Category: Semasa

  • Kes bunuh CEO Cradle Fund:Chandra Muzaffar bersyukur anak, dua cucu bebas tuduhan bunuh

    Kes bunuh CEO Cradle Fund:Chandra Muzaffar bersyukur anak, dua cucu bebas tuduhan bunuh

    BAPA kepada Samirah Muzaffar iaitu aktivis, Dr. Chandra Muzaffar bersyukur dengan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini yang melepas dan membebaskan anak serta dua cucunya daripada tuduhan membunuh bekas menantunya empat tahun lalu.

    Beliau berkata, keputusan mahkamah itu jelas menunjukkan anak dan cucunya tidak terbabit dengan tuduhan membunuh bekas menantunya yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund, Allahyarham Nazrin Hassan.

    “Alhamdulillah, inilah berita yang kita tunggu-tunggu selama empat tahun. Ia berita yang amat menggembirakan.

    “Inilah satu bukti yang jelas tentang kemenangan, kebenaran kerana kita tahu inilah kebenarannya dan kita tidak meragui langsung tentang apa yang sebenarnya berlaku kerana kita kenal baik arwah Nazrin.

    “Kita tahu bahawa hubungannya dengan anak saya (Samirah) dan anak-anak yang lain begitu mesra, begitu rapat dan akrab. Bila tuduhan itu dibuat, kami semua terkejut dengan tuduhan yang dibuat beberapa minggu selepas arwah dikebumikan.

    “Kita semua maklum peristiwa ini berlaku pada Jun 2018 tetapi tuduhan seperti bunuh ini timbul sekitar Oktober (2018). Cerita ini tiba-tiba timbul, walhal tiada bukti langsung seperti mana dibuktikan dalam mahkamah, tiada bukti langsung,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Beliau berkata, tuduhan berkenaan menimbulkan kesengsaraan yang besar kepada mereka sekeluarga serta sahabat dan selama empat tahun, mereka terpaksa menanggung bebanan dan penderitaan.

    Katanya, selama empat tahun juga Samirah tidak bekerja manakala dua cucunya pula dibebani dengan tuduhan membunuh pada usia yang masih terlalu muda.

    “Alhamdulillah selepas empat tahun, keputusan mahkamah hari ini membuktikan mereka tidak terbabit dengan tuduhan itu.

    “Samirah mungkin dapat bekerja semula, begitu juga cucu-cucu saya, seorang kini di peringkat pra universiti dan seorang lagi bersekolah.

    “Sekarang mereka dapat menumpukan perhatian sepenuhnya dalam pelajaran kerana mereka pelajar yang bagus tanpa dibebani lagi dengan tuduhan yang amat berat itu.

    “Saya harap selepas ini Samirah dan dua cucu dapat menjalani kehidupan dengan lebih baik, lebih tenang dan dapat menyumbang bakti kepada masyarakat, insya-Allah,” katanya.

    Terdahulu, Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan Samirah, 47, bersama dua anaknya dilepas serta dibebaskan daripada pertuduhan membunuh Allahyarham Nazrin pada 2018.

    Hakim Datuk Ab. Karim Ab. Rahman menetapkan keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Samirah yang juga balu Allahyarham Nazrin dan dua anaknya berusia 16 serta 19 tahun.

  • Khairy nafikan terima wang daripada UKSB, sedia beri kerjasama dalam siasatan

    Khairy nafikan terima wang daripada UKSB, sedia beri kerjasama dalam siasatan

    MENTERI Kesihatan, Khairy Jamaluddin menafikan beliau pernah menerima sumbangan daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) seperti yang didakwa bekas pengarah syarikat berkenaan kepada Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 13 Jun lalu.

    Ahli Parlimen Rembau itu, bagaimanapun berkata, sedia memberi sepenuhnya kerjasama kepada pihak berkuasa sekiranya dipanggil untuk memberi keterangan.

    Sebelum ini dua pemimpin yang turut disebut menerima dana daripada UKSB iaitu Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman telah menafikan dakwaan berkenaan.

    Kedua-dua turut menyatakan kesediaan disiasat oleh SPRM yang telahpun membuka kertas siasatan.

    Dalam masa sama, kata Khairy, beliau juga belum dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan berkenaan.

     “Saya hendak nyatakan saya tidak pernah terima apa-apa secara peribadi sepertimana telah dilaporkan. Saya tidak pernah terima apa-apa wang dalam kes tersebut dan perkara ini mana-mana pihak dipanggil, saya bersedia memberi kerjasama sepenuhnya,” katanya dalam sidang media di Petaling Jaya  hari ini, lapor Astri Awani.

    Sebelum ini, bekas pengarah UKSB, Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani, 42, mendakwa, bekas Menteri Belia dan Sukan itu ada menerima sumbangan daripada syarikatnya namun pemberian tersebut tidak diberikan secara terus.

    Sumbangan antara RM50,000 dan RM200,000 itu, kata Wan Quoris Shah, diberikan UKSB kepada Khairy untuk bantuan politik, bencana serta aktiviti kemanusiaan.

    Kata Wan Quoris, sumbangan itu tidak diberikan secara terus kepada Khairy, sebaliknya disalurkan melalui UMNO Bahagian Rembau kerana ketika itu bekas Ketua Pemuda UMNO itu merupakan Timbalan Ketua Bahagian berkenaan.

    Sebelum itu juga, saksi pendakwaan ke-15, Harry Lee Vui Khun yang juga bekas pengarah UKSB memberitahu mahkamah bahawa catatan ‘KJ’ dan bomoh antara perkataan yang tertera di dalam buku ‘faraid’ UKSB yang dikemukakan dalam perbicaraan kes rasuah bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

    Buku faraid UKSB yang juga dikenali sebagai Buku 555 di dalam perbicaraan kes Ahmad Zahid, adalah lejar yang mencatatkan bayaran yang dibuat oleh UKSB kepada beberapa individu antara 2014 dan 2018.

  • Pemandu lori di penjara 5 tahun, satu sebatan rogol remaja OKU

    Pemandu lori di penjara 5 tahun, satu sebatan rogol remaja OKU

    SEORANG pemandu lori sampah dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan di Mahkamah Sesyen kota Bharu hari ini atas pertuduhan merogol kekasihnya yang juga orang kurang upaya (OKU) masalah pembelajaran, 2 Jun lalu.

    Tertuduh, Shahrul Azwan Mohd. Shahiran, 27, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli

    Memetik laporan Harian Metro, mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol remaja perempuan berusia 15 tahun tiga bulan ketika kejadian, di sebuah rumah di Bunut Payong, Kota Bharu pada pukul 2 pagi, 2 Jun 2022.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga sebat.

    Berdasarkan fakta kes, kejadian itu disedari ibu mangsa berusia 40 tahun pada 7.10 petang, 11 Jun lalu, selepas mendapati anak perempuannya tidak balik selepas keluar rumah sebelum dihantar pulang seorang wanita tidak dikenali.

    Remaja itu memaklumkan kepada ibunya dia ditinggalkan di sebuah lorong di Paya Senang, Kota Bharu.

    Mangsa kemudian dibawa ke hospital untuk pemeriksaan dan hasil siasatan mendapati dia melakukan hubungan seks dengan tertuduh.

    Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalna Zainal Abidin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Tertuduh memohon mahkamah memberi hukuman ringan kepadanya, mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan kepada tertuduh.

  • Kediaman rasmi Pengarah Hospital Kemaman terbakar

    Kediaman rasmi Pengarah Hospital Kemaman terbakar

    SEBUAH rumah setingkat kediaman rasmi Pengarah Hospital Kemaman Dr Amran Japar di Kampung Gong Limau, Chukai, Kemaman, terbakar 50 peratus malam tadi.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Chukai Mohd Zailani Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 10.49 malam dan 17 anggota dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Chukai serta BBP Kemaman dikerah ke lokasi kejadian.

    “Kebakaran dipercayai berpunca daripada sebuah bilik sebelum api merebak ke ruang tamu dan stor melalui siling.

    “Operasi pemadaman agak mencabar kerana kerangka bumbung daripada kayu menyebabkan api cepat merebak namun kepantasan anggota bomba dapat menyelamatkan rumah tersebut dari terbakar 100 peratus,” katanya ketika dihubungi pemberita, hari ini.

    Difahamkan, ketika kejadian berlaku, pengarah hospital itu tiada di rumah kerana mempunyai tugasan rasmi di Kuala Lumpur.

    Mohd Zailani berkata, hanya dua anak dan isteri Dr Amran sahaja yang berada di rumah namun mereka berjaya menyelamatkan diri lebih awal dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan berlaku.

    Katanya, operasi selesai sepenuhnya pada 1.45 pagi dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

    Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Pembangunan Nasional Terengganu Hanafiah Mat berkata, pihaknya sudah menyediakan sebuah rumah inap desa untuk didiami selama tiga hari oleh keluarga Dr Amran.

    “Semoga beliau tabah dengan dugaan ini dan saya difahamkan beliau sekeluarga akan berpindah masuk ke kuarters kosong di Hospital Kemaman selepas ini,” katanya. – Bernama

  • Bekas penyelia tapak mengaku salah terima suapan

    Bekas penyelia tapak mengaku salah terima suapan

    MAHKAMAH Sesyen Seremban hari ini menjatuhkan hukuman penjara 14 hari dan denda RM25,000 terhadap seorang bekas penyelia tapak atas pertuduhan menerima suapan daripada seorang lelaki pada Mac tahun lalu.

    Hakim Rushan Lutfi Mohamed menjatuhkan hukuman tersebut terhadap tertuduh Mohd Zakiuddin Ridzuan, 38, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

    Bagaimanapun sekiranya tertuduh gagal membayar denda tersebut, dia boleh dipenjara selama enam bulan, lapor Sinar Harian.

    Berdasarkan pertuduhan, tertuduh telah secara rasuah menerima daripada seorang lelaki untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai RM5,000 sebagai dorongan untuk tertuduh mengesahkan dokumen.

    Dokumen berkenaan adalah Request For Inspection (RFI) yang disediakan oleh sebuah syarikat bagi kerja-kerja pembinaan struktur saliran di Projek Pembangunan Kompleks Sukan Rembau yang dilaksanakan oleh sebuah syarikat sub kontraktor lain.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah restoran makanan segera di Tampin antara pukul 12 tengah hari hingga 2 petang pada 15 Mac tahun lalu.

    Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta yang sama.

    Jika sabit kesalahan boleh dipenjarakan tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

    Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

  • Dua spesies ikan asing dari benua lain ditemukan di Besut

    Dua spesies ikan asing dari benua lain ditemukan di Besut

    JABATAN Perikanan Terengganu (JPT) menemukan dua spesies ikan asing iaitu peacock bass dan patin chaophraya di perairan Tasik Telabak di Kampung Durian Telur, Jertih, Besut.

    Pengarah JPT, Ruzaidi Mamat berkata, dua spesies ikan pemangsa yang berasal dari benua lain itu ditangkap ketika aktiviti mengeluarkan spesies ikan asing yang dijalankan pada 17 hingga 19 Jun lalu.

    Katanya, aktiviti mengeluarkan ikan asing dilakukan menggunakan teknik ‘casting’ dan pukat oleh kakitangan JPT bersama-sama tiga nelayan darat tulen sungai Besut.

    “Sebanyak 95 ekor ikan ditangkap termasuk tujuh ekor daripada spesies ikan asing iaitu ikan patin chaophraya (empat ekor) dan peacock bass (tiga ekor) manakala selebihnya merupakan spesies ikan asli atau ikan tempatan yang dikenal pasti iaitu lampam sungai, selat, patong, temperas, kawan, ketutu dan terbol,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Menurut Ruzaidi, spesies ikan asli yang ditangkap dilepaskan semula ke tasik manakala ikan daripada spesies ikan asing disimpan di dalam akuarium bagi tujuan pameran dan kesedaran awam.

    “Jika ada orang awam yang menangkap spesis ikan asing ini dari perairan tasik atau sungai kita, jangan lepaskan semula kerana ia berisiko mengancam spesies ikan asli.

    “Ikan spesies ini boleh dimakan melainkan jika ia ditangkap di kawasan perairan yang tercemar. Kita tidak galak untuk makan,” katanya.

    Menurut Ruzaidi, kehadiran ikan asing di perairan negara ini berpunca daripada ikan asing yang dilepaskan oleh pemiliknya dan terlepas ke kawasan lain apabila berlaku bencana alam.

    “Kebanyakan ikan asing ini terdiri daripada spesis ikan hiasan yang dipelihara dan dilepaskan ke perairan apabila tidak lagi dipelihara oleh tuannya.

    “Selain itu, bencana banjir yang biasanya berlaku menenggelamkan kawasan ternakan ikan berkenaan menyebabkan ikan itu terlepas ke tempat lain,” katanya.

    Dalam pada itu, Ruzaidi berkata, aktiviti mengeluarkan ikan asing akan diperluas di lokasi yang dikenal pasti terdapat spesies tersebut, namun, bergantung kepada peruntukan, kekuatan sumber tenaga dan peralatan yang disediakan.

    “Spesis ikan asing ada dikesan di kawasan perairan sungai dan tasik lain di negeri ini antaranya Tasik Kenyir dan Sungai Terengganu, namun populasinya masih terkawal.

    “Bagaimanapun, jika tidak dikawal ia berpotensi mengancam populasi ikan asli dalam tempoh jangka masa panjang kerana ikan-ikan berkenaan turut menjadi sumber makanannya,” katanya.

  • Budak positif dadah terpaksa ditidurkan, keadaan semakin lemah

    Budak positif dadah terpaksa ditidurkan, keadaan semakin lemah

    KANAK-KANAK lelaki lelaki berusia empat tahun yang kritikal kerana kandungan dadah dalam badan, terpaksa ditidurkan berikutan keadaannya yang sangat lemah.

    Ibunya yang berusia 36 tahun berkata, setakat ini keadaan anak bongsu dari tiga beradik itu tiada tanda positif dan masih dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu.

    Dia sempat meluangkan masa setengah jam malam tadi sambil menggosok tubuh anaknya.

    “Doktor memaklumkan anak saya perlu ditidurkan kerana keadaannya yang sangat lemah kesan daripada dadah itu.

    “Pilu hati saya melihat keadaannya sebegitu dan walaupun dia tidak sedarkan diri, saya tetap berbisik di telinganya agar bukakan mata dan segera sembuh.

    “Saya hanya inginkan anak sedar sahaja, tidak mengapa kalau dia tidak boleh berjalan atau ada kesan lain, itu sahaja yang saya harapkan,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Berita Harian.

    Wanita itu berkata, anaknya juga pemegang kad orang kurang upaya (OKU) kerana mengalami masalah pertuturan (lambat) dan baru boleh berjalan.

    Media sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun kritikal selepas dikesan terdapat dadah jenis methampethamine dalam badannya.

    Susulan itu, seorang buruh yang juga bapa saudara mangsa berusia 30 tahun ditahan malam kelmarin untuk membantu siasatan.

    Suspek yang memiliki tiga rekod lampau bersabit dadah ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam sehingga 26 Jun ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

  • Dera kucing jalanan, lelaki direman tiga hari

    Dera kucing jalanan, lelaki direman tiga hari

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG lelaki berusia 27 tahun direman selama tiga hari bagi membantu siasatan terhadap tularnya rakaman klip video sejak semalam memaparkan dirinya menendang serta membaling batu dipercayai serpihan bata, ke arah kucing jalanan.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner (ACP) Zaidy Che Hassan, kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira pukul pukul 1.09 pagi, Ahad lalu di kaki lima premis rumah kedai dalam daerah ini.

    Menurutnya, lelaki tersebut mendakwa dirinya mengalami gangguan emosi kerana tidak bekerja.

    “Tangkapan terhadap lelaki itu dibuat kira-kira pukul 1.29 petang semalam di rumah lelaki tersebut di Kampung Pengkalan Bujang dekat Merbok.

    “Temu bual bersama ahli keluarga mangsa menyatakan lelaki itu sebelum ini merupakan pencinta haiwan malah turut membela banyak kucing di rumahnya,” katanya.

    Menerusi salah satu rakaman yang tular di media sosial, lelaki itu dilihat terlebih dulu mengumpan kucing tersebut dengan makanan, sebelum dia bertindak aneh dengan membaling batu ke arah haiwan itu hingga menyebabkan kucing berkenaan seakan menggelupur menahan sakit.

    Tangkap layar rakaman CCTV menunjukkan seorang lelaki membaling batu terhadap seekor kucing yang sedang makan hingga menimbulkan kemarahan orang ramai.

    Dalam rakaman kedua, dia dilihat meletakkan seekor kucing lain berdekatan kereta dipandunya sebelum tiba-tiba menendang haiwan tersebut menuju ke badan kenderaan tersebut.

    Zaidy menambah, kedua-dua kucing tersebut diselamatkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kedah dan telah diberikan rawatan.

    “Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda sedang menyiasat kes tersebut di bawah Seksyen 428 Kanun Keseksaan iaitu melakukan khianat terhadap haiwan yang memperuntukan hukuman maksimum tiga tahun penjara atau denda atau kedua-duanya sekali.

    “Dalam masa sama Jabatan Perkhidmatan Veterinar turut menyiasat kes ini di bawah Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang memperuntukan hukuman tiga tahun penjara atau denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM100,000 atau kedua-duanya sekali” katanya.

  • Keluarga Nazrin mohon pendakwaan rayu keputusan mahkamah bebas Sarimah

    Keluarga Nazrin mohon pendakwaan rayu keputusan mahkamah bebas Sarimah

    AHLI keluarga Nazrin Hassan mahu pasukan pendakwaan merayu terhadap keputusan mahkmah yang melepas dan membebaskan Samirah Muzaffar dan dua remaja daripada pertuduhan membunuh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund itu empat tahun lalu.

    Abang kepada mangsa, Dr. Abdul Aziz, 62 berkata rayuan itu demi mencari kebenaran dan keadilan terhadap pembunuhan Nazrin, lapor Berita Harian.

    “Kita bersyukur dengan keputusan mahkamah, walaupun ia tidak memihak kepada keluarga. In shaa Allah, kebenaran akan timbul dan kami berdoa sebegitu.

    “Isu tidak berpuas hati atau tidak, kita kena terima sebagai takdir. Kita mahu terus usaha untuk cari keadilan. Jika pihak pendakwaan tidak buat rayuan, saya akan berbuat demikian dan meminta inkues bagaimana Nazrin maut,” katanya ketika ditemui di luar mahkamah, hari ini.

    Terdahulu, Hakim Datuk Ab. Karim Ab. Rahman menetapkan keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Samirah, 47 yang juga merupakan balu Allahyarham Nazrin dan remaja berusia 16 serta 19 tahun berkenaan.

    Pasukan pendakwaan dianggotai Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Asnawi Abu Hanipah; Tengku Intan Suraya Tengku Ismail dan Nur Sabrina Zubairi, sementara pasukan pembelaan terdiri daripada peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah serta Rahmat Hazlan.

    Pada 14 Februari lalu, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 57 saksi termasuk abang dan kakak Nazrin iaitu Dr.Abdul Aziz, Dr. Malek Reedzwan serta Che Elainee; Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) KualaLumpur, Edwin Galan Anak Teruki; Pegawai Forensik Patologi Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Siew Sheue Feng serta pengawal keselamatan kediaman Nazrin, Raju Kumar Pandit.

    Perbicaraan yang bermula 6 September 2019 itu melibatkan Samirah, dua remaja terbabit dan seorang warga Indonesia yang masih bebas, Eka Wahyu Lestari kerana didakwa membunuh Nazrin di sebuah rumah di Mutiara Damansara antara pukul 11.30 malam, 13 Jun 2018 hingga 4 pagi 14 Jun 2018.

    Difahamkan, pasukan pendakwaan akan merujuk Jabatan Peguam Negara (AGC) sebelum membuat keputusan untuk merayu atau sebaliknya terhadap keputusan berkenaan.

    Kakak Nazrin, Che Elainee Che Hassan, 65, pula berkata ahli keluarga menerima keputusan itu dan berserah kepada Allah.

    “Kami hanya mahu kebenaran, itu sahaja,” katanya.

    Sementara itu, Muhammad Shafee ketika sidang media berkata, pihak pendakwaan gagal membuktikan pembunuhan itu berlaku antara pukul 11.30 malam 13 Jun 2018 hingga pukul 1 pagi 14 Jun 2018 mengikut kertas pertuduhan.

    “Seorang saksi memberi keterangan bahawa pembunuhan berlaku antara pukul 11 pagi hingga 1 tengah hari pada 14 Jun 2018, bukan seperti dalam kertas pertuduhan. Merujuk masa pembunuhan dinyatakan saksi, ketiga-tiga OKT tidak boleh ditempatkan pada masa itu.

    “Terlalu banyak benda tidak menentu. Pihak pendakwaan tidak boleh membuktikan dengan kukuh kes ini iaitu masa pembunuhan seperti dinyatakan dalam kertas pertuduhan,” katanya.

  • Pendakwaan akan buktikan semua kesalahan Syed Saddiq berniat jahat, tidak jujur

    Pendakwaan akan buktikan semua kesalahan Syed Saddiq berniat jahat, tidak jujur

    PIHAK pendakwaan dalam kes Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang berdepan empat pertuduhan berkaitan pecah amanah dan pengubahan wang haram akan membuktikan kesemua kesalahan yang didakwa dilakukan Ahli Parlimen Muar itu adalah berniat jahat dan tidak jujur.

    Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin yang mengetuai pasukan pendakwaan berkata pihaknya akan bergantung kepada kombinasi keterangan terus, ikut keadaan dan dokumentar dalam membuktikan kes terhadap tertuduh.

    “Keterangan di bawah Seksyen 6, 7, 8 dan 9 Akta Keterangan 1950 langsung tidak memihak kepada tertuduh.

    “Kami juga tidak akan menggunakan anggapan di bawah Seksyen 409A Kanun Keseksaan dalam membuktikan kes kami ke atas tertuduh kelak,” katanya semasa membaca pernyataan pembukaan pendakwaan pada hari pertama perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azhar Abdul Hamid.

    Syed Saddiq, 29, yang memakai kemeja batik biru tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur kira-kira jam 9 pagi. – Bernama