Category: Semasa

  • Tuntutan palsu projek RM300 juta: 4 individu dibebaskan

    Tuntutan palsu projek RM300 juta: 4 individu dibebaskan

    EMPAT individu yang sebelum ini ditahan kerana disyaki bersubahat dalam membuat tuntutan palsu berkaitan projek pembangunan di Pantai Timur yang bernilai lebih RM300 juta, dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

    Peguam Vivek Sukumaran yang mewakili keempat-empat suspek berkata, selepas mendengar bantahan serta hujahan beliau, perintah tersebut dikeluarkan Mahkamah Majistret Kuala Terengganu berikutan tempoh reman selama enam hari ke atas kesemua mereka yang berusia 28 hingga 48 tahun berakhir hari ini.

    “Sekarang status kes ini masih lagi dalam siasatan, jadi tidak ada pertuduhan berlaku lagi. Tiada permohonan sambung reman dibuat kerana semua pihak memberikan kerjasama penuh kepada SPRM.

    “Saya harap semua pihak jangan buat sebarang spekulasi lagi. Beri ruang kepada SPRM untuk menjalankan siasatan,” katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan Mahkamah Kuala Terengganu di Kuala Terengganu, hari ini.

    Walau bagaimanapun, Vivek enggan mendedahkan jumlah wang jaminan yang ditetapkan oleh mahkamah.

    Menurut laporan sebelum ini, seorang pengarah urusan sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang terlibat dalam bidang hartanah adalah antara empat individu ditahan kerana disyaki bersubahat dalam membuat tuntutan palsu berkaitan projek pembangunan di Pantai Timur yang bernilai lebih RM300 juta.

    Tiga lagi yang ditahan adalah pengarah syarikat, pengurus projek dan arkitek daripada syarikat kontraktor dan juruperunding. – BERNAMA

  • Mansuh subsidi ayam, telur, minyak masak lonjak inflasi makanan

    Mansuh subsidi ayam, telur, minyak masak lonjak inflasi makanan

    LANGKAH kerajaan memansuhkan subsidi ayam, telur dan minyak masak botol dijangka menyebabkan inflasi makanan meningkat lebih tinggi di tengah-tengah kemuncak harga komoditi di peringkat global, demikian menurut MIDF Research.

    Firma penyelidik itu dalam satu nota penyelidikan, berkata dalam tempoh empat bulan tahun ini, harga makanan meningkat sebanyak 3.9 peratus tahun ke tahun.

    Malah, katanya, ia meramalkan tekanan inflasi keseluruhan mungkin melebihi 3.0 peratus tahun ke tahun jika harga makanan meningkat lebih tinggi dari paras semasa.

    “Sekiranya isu bekalan makanan domestik semakin teruk, inflasi utama mungkin mencecah puncak baharu 5.8 peratus tahun ke tahun jika inflasi makanan melonjak sebanyak 7.0 peratus tahun ini dan 10 peratus pada 2023,” katanya lapor Berita Harian

    Sepanjang 2011 hingga 2019, purata inflasi makanan adalah sekitar 2.9 peratus setahun.

    MIDF Research berkata, senario ini dibuat berdasarkan andaian bahawa harga minyak mentah Brent berada pada paras purata AS$112 setong tahun ini dan AS$120 setong pada 2023.

    “Paling penting, subsidi bahan api untuk RON95 dan Diesel diandaikan kekal pada paras semasa sehingga akhir 2023,” katanya.

    Menurut firma penyelidik itu, ia turut meninjau senario lain terutama jika subsidi bahan api dimansuhkan secara beransur-ansur dan serta-merta.

    “Walaupun dengan fasa beransur-ansur, inflasi utama akan meningkat melepasi 5.0 peratus pada 2023 kerana pengguna dan pengeluar perlu menyesuaikan serta menormalkan keadaan daripada RON95 bersubsidi RM2.05 seliter kepada RM4.67 seliter menjelang akhir tahun depan.

    “Pada ketika ini, kebanyakan ekonomi menghadapi trilema dasar terutamanya dalam mengimbangi antara pertumbuhan ekonomi, risiko inflasi dan beban fiskal,” katanya.

    Kawalan harga siling ayam, telur ayam serta subsidi minyak masak botol bagi isipadu dua, tiga dan lima kilogram tidak akan diteruskan mulai 1 Julai ini.

    Sebelum ini, dilaporkan penternak berharap kerajaan mengapungkan harga ayam susulan penamatan subsidi kepada mereka.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata berkuat kuasa 1 Julai ini, Putrajaya tidak akan lagi memberikan subsidi kepada penternak ayam.

    Semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata subsidi minyak masak botol dua hingga lima kilogram dimansuhkan juga bermula 1 Julai ini.

    Tindakan itu diambil bagi memastikan bekalan bahan makanan dalam pasaran akan lebih stabil dalam jangka masa yang panjang dan seterusnya menstabilkan harga barangan.

    Bagaimanapun subsidi bagi minyak masak paket satu kilogram masih diteruskan.

  • 4 anggota polis direman bekal bahan terlarang kepada tahanan

    4 anggota polis direman bekal bahan terlarang kepada tahanan

    EMPAT anggota polis direman tujuh hari mulai hari ini bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas dakwaan menerima upah sebagai orang tengah membekalkan bahan terlarang kepada tahanan lokap.

    Perintah reman ke atas kesemua tertuduh berumur antara 35 dan 40 tahun itu dikeluarkan Majistret Mazana Sinin di Mahkamah Ayer Keroh hari ini.

    Siasatan ke atas kesemua anggota yang berpangkat Lans Koperal dan Koperal yang bertugas di sebuah balai di Alor Gajah itu dijalankan mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta SPRM 2009.

    Kesemua anggota tersebut didakwa membawa masuk bekalan bahan terlarang seperti dadah, tembakau dan makanan kepada tahanan lokap di balai mereka bertugas dan dikatakan menerima upah antara RM600 hingga RM9,000 menerusi kira-kira 20 transaksi sepanjang 2019 hingga 2020 sama ada secara dalam talian atau tunai.

    Kesemua suspek ditahan selepas hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Melaka petang semalam.

    Terdahulu mereka tiba di perkarangan mahkamah pada kira-kira pukul 9.30 pagi dengan memakai baju tahanan lokap SPRM berwarna jingga.

    Dalam pada itu, Pengarah SPRM Melaka, Mohd Shahril Che Saad ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan siasatan lanjut sedang dilakukan. – BERNAMA

  • Pusat tahfiz di Seri Iskandar terbakar pagi tadi

    Pusat tahfiz di Seri Iskandar terbakar pagi tadi

    ENAM pelajar lelaki Pusat Tahfiz Dar al-Fawzan di Seri Iskandar, Perak terselamat dalam kebakaran awal pagi tadi membabitkan sebuah bilik di asrama yang dihuni mereka.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 4.46 pagi.

    “Kebakaran melibatkan sebuah bilik di tingkat atas berkeluasan 15×10 kaki persegi musnah terbakar kira-kira 15 peratus.

    “Seramai enam pelajar yang tinggal di asrama tersebut semasa kejadian itu berada dalam keadaan selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Jurucakap itu berkata, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Iskandar dengan bantuan BBP Batu Gajah yang dikejarkan ke lokasi kejadian menggunakan satu aliran hos bagi melakukan pemadaman dan operasi tamat sepenuhnya pada kira-kira 5.20 pagi. – BERNAMA

  • Belia mampu jadi penggerak utama digitalisasi – Muhyiddin

    Belia mampu jadi penggerak utama digitalisasi – Muhyiddin

    SEMUA  pihak perlu menggembleng usaha dan tenaga bagi menggilap potensi serta meningkatkan daya upaya belia kerana golongan ini mampu menjadi penggerak utama dalam era digitalisasi dengan memanfaatkan aplikasi digital untuk menjana sumber pendapatan atau peluang pekerjaan.

    Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata belia juga memainkan peranan penting ke arah memacu pembangunan negara yang mampan dan inklusif pasca pandemik.

    Beliau berkata generasi muda perlu meneroka peluang untuk menceburi bidang-bidang baharu bagi memacu agenda pendigitalan selari dengan inisiatif MyDIGITAL dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia yang telah dilancarkan kerajaan Februari tahun lepas.

    “Antara cabaran utama belia masa kini adalah perubahan kehendak pasaran yang semakin dinamik di seluruh dunia, khususnya pemadanan kemahiran. Belia perlu dilengkapi dengan kemahiran berasaskan teknologi digital melalui penyesuaian norma baharu dalam mendepani Revolusi Perindustrian 4.0,” katanya.

    Beliau yang juga merupakan Pengerusi Institut Masa Depan Malaysia (MASA) berkata demikian ketika berucap pada program #RUANGBELIA Bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin anjuran MASA di Kuala Lumpur hari ini.

    Beliau berkata menerusi kerjasama Kementerian Belia dan Sukan, pembangunan Model Baharu Pembangunan Belia yang holistik sudah pasti dapat menepati aspirasi belia dalam melahirkan pemimpin yang berdaya saing dan kalis cabaran masa depan di peringkat global.

    Sementara itu Muhyiddin berkata kerajaan juga perlu terus mendengar dan memberi perhatian terhadap suara dan pandangan generasi muda di peringkat akar umbi agar mereka dapat terus menyumbang ke arah perancangan dasar kerajaan dan pembangunan negara.

    “Langkah ini penting untuk memastikan supaya segala dasar dan inisiatif kerajaan kekal relevan dengan mengambil kira aspirasi dan keperluan semasa belia yang menjadi antara golongan paling terkesan.

    “Saya sendiri berpeluang bertemu dengan ramai anak muda di lapangan dari Semenanjung sehinggalah ke Sabah dan Sarawak… Saya turut mengadakan perjumpaan bersama pucuk pimpinan Majlis Belia Malaysia (MBM) dalam memperkukuh landasan pembangunan golongan belia di negara kita,” katanya.

    Muhyiddin berkata sebagai kesinambungan Pelan Pemulihan Negara (PPN), MPN akan terus mengadakan siri libat urus untuk mengumpul pandangan dan input daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan belia ke arah pelaksanaan PPN 2.0 yang sedang dirangka.

    “Melalui platform seperti ini #RuangBelia, saya berharap saudari sekalian dapat bersama-sama merungkai isu semasa, especially those bread and butter issues affecting the rakyat, serta memberi pandangan konstruktif yang boleh menyumbang kepada usaha pemulihan negara secara menyeluruh,” katanya.

    — BERNAMA

  • Syed Saddiq bincang kenyataan media tutup mulut masyarakat isu RM250,000 hilang – Saksi

    Syed Saddiq bincang kenyataan media tutup mulut masyarakat isu RM250,000 hilang – Saksi

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman telah berbincang dengan ahli kumpulan nilai tambah WhatsApp mengenai kenyataan yang perlu dikeluarkan kepada media berkaitan kehilangan RM250,000 di kediaman Ahli Parlimen Muar itu bagi menutup mulut masyarakat.

    Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Muhammad Taufik Awaludin berkata, perbincangan kumpulan WhatsApp tersebut diperoleh daripada laporan forensik yang diambil dalam telefon bimbit Rafiq Hakim Razali iaitu Penolong Bendahari Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia ketika itu.

    “Dalam kumpulan WhatsApp itu juga, YB Syed Saddiq ada membincangkan mengenai naratif bagaimana alasan yang perlu dikeluarkan kepada pihak media mengenai kehilangan wang tersebut.

    “Perbincangan itu mengenai kenyataan media yang perlu dikeluarkan bagi menutup mulut masyarakat. Di akhir perbincangan dalam kumpulan WhatsApp itu, YB Syed Saddiq tidak bersetuju dengan cadangan ahli kumpulan dan memutuskan untuk mengeluarkan kenyataan bahawa sumber wang tersebut adalah daripada ibu, ayah dan beliau sendiri,” katanya.

    Beliau berkata demikian semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Muhammad Asyraf Mohamed Tahir pada hari pertama perbicaraan kes Ahli Parlimen Muar itu yang berdepan empat pertuduhan berkaitan pecah amanah serta pengubahan wang haram.

     Saksi pertama pendakwaan itu juga tidak bersetuju dengan peguam Gobind Singh Deo, yang mewakili Syed Saddiq, bahawa wang itu adalah daripada ibu dan bapa Syed Saddiq untuk mengubah suai rumah.

    Wan Shaharuddin: Mengapa anda tidak bersetuju?

    Muhammad Taufik: Saya tidak bersetuju kerana dalam laporan forensik itu juga terdapat perbincangan dalam kumpulan WhatsApp bahawa wang tersebut adalah daripada dana budi bicara yang dahulu pernah dimohon oleh YB Syed Saddiq.

    Selepas itu, YB Syed Saddiq berbincang mengenai kenyataan media yang perlu dikeluarkan dan YB Syed Saddiq memilih untuk membuat laporan polis serta mengeluarkan kenyataan media berhubung perkara itu.

    Wan Shaharuddin: Siasatan anda tentang kehilangan duit di rumah YB Syed Saddiq, ada tak kaitan dengan pertuduhan pengeluaran wang RM1 juta?

    Muhammad Taufik: Ada.

    Muhammad Asyraf kemudian meminta saksi itu menjelaskan kenyataannya bahawa kehilangan wang RM250,000 mempunyai kaitan dengan pertuduhan yang dihadapi Syed Saddiq.

    Muhammad Taufik menjawab “Kaitannya adalah tanpa siasatan melibatkan keterangan beberapa saksi, tidak akan jumpa petunjuk bagi pertuduhan lain, oleh itu pertuduhan yang dihadapi YB Syed Saddiq dapat disiasat.”

    Dirujuk kepada laporan polis yang dibuat oleh Syed Saddiq, saksi itu berkata laporan tersebut menyatakan bahawa pada 7.51 petang 29 Mac 2020, sejumlah wang tunai iaitu kira-kira RM250,000 dalam peti besi di kediaman Syed Saddiq telah dicuri.

    “Tiada sebarang kesan umpil manakala keadaan rumahnya kemas dan telah menetapkan kod rahsia pada peti besi itu dan hanya orang tertentu sahaja mengetahui kod tersebut,” katanya.

    Menurut Muhammad Taufik, ibu dan bapa Syed Saddiq juga telah membuat laporan polis berhubung kehilangan wang tersebut.

    Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq, yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020.

    Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 hingga 21 April 2018.

    Beliau juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram, di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

    Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid bersambung. – BERNAMA.

  • ‘’Lebih dua minggu saya tunggu, harap PM beri keutamaan adakan pertemuan’’

    ‘’Lebih dua minggu saya tunggu, harap PM beri keutamaan adakan pertemuan’’

    PRESIDEN Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassi meminta Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi keutamaan untuk mengadakan pertemuan dengan menyelesaikan isu membabitkan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin yang kini tidak lagi bersama parti tersebut.

    Ketika menegaskan, pertemuan itu perlu diadakan memandangkan ia melibatkan kuota Kabinet milik Bersatu seperti mana termaktub dalam perjanjian sebelum ini.

    “Saya sedang menunggu tarikh untuk bertemu Perdana Menteri. Saya minta Perdana Menteri beri keutamaan kerana daripada tarikh pengumuman yang dibuat oleh Datuk Zuraida saya fikir sudah melangkau lebih dua minggu.

     “Ini satu tempoh agak terlalu panjang untuk saya tunggu. Di pihak Bersatu kita dah nyatakan pandangan kita dan pendirian kita. Sewajarnya perkara itu diputuskan segera,” katanya pada  sidang media selepas menghadiri Program #RuangBelia Bersama Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin di Kuala Lumpur hari ini.

    Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau tidak mahu mencampuri urusan Perdana Menteri, apa yang beliau fikirkanlah ia soal Bersatu dan kedudukan parti itu dalam kerajaan dan jawatan menteri yang memang menjadi sebahagian daripada kandungan perjanjian antara Perdana Menteri dengan kepemimpinan Perikatan Nasional (PN).

    “Saya ambil contoh bila mana Menteri Perladangan dan Komoditi Dr.Khairuddin Aman Razali keluar daripada Pas, jadi kerusi itu diisi oleh Idris Ahmad, walaupun ada rombakan Kabinet…kuota (Pas) tak terjejas.

    ‘’ Kita tuntut yang itu saja bukanlah perkara yang luar biasa jadi saya mohon pertimbangan Perdana Menteri segerakan (pertemuan)…saya dah minta nak jumpa dekat dua minggu…saya tak nak nanti pimpinan daripada bersatu menyatakan bahawa saya ini tidak bertindak secara yang sewajarnya.

    ‘’Kita pun ada pendirian Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu pun sudah buat keputusan minta pertimbangan Perdana Menteri menyegerakan supaya isu dapat diselesaikan secepat mungkin,’’ katanya.

    Ditanya berhubung kenyataan Zuraida yang masih berharap kekal dalam Kabinet, Muhyiddin berkata;

    ‘’Itu dia boleh haraplah…tapi soal pokoknya Perdana Menteri kena buat keputusan dan tentulah bagi beliau harus menghormati apa yang telah saya sebutkan. Beliau nak lantik Zuraida jadi apapun itu… hak beliau…kuota Bersatu itu beliau tak boleh ambil.

    ‘’ Manalah tahu kalau beliau hendak wujud satu kementerian baharu kepada Zuraida atau apa juga alasan… itu saya tak nak campurlah itu hak Perdana Menteri ..tapi kuota bersatu yang kita terima sejak awal lagi jadi harus dipenuh oleh Ahli Parlimen Bersatu saya dah sedia nama dah tapi tak sampai kepada PM lagi..nak jumpa saya secara peribadi nak cakap dengan beliau dan perkara-perkara lain,’’ katanya.

  • ‘’Datang lah siasat saya bila-bila pun’’ – Muhyiddin

    ‘’Datang lah siasat saya bila-bila pun’’ – Muhyiddin

    TAN Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, beliau bersedia disiasat oleh pihak berkuasa sama ada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mahupun Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung dakwaan beliau menerima dana daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) bila-bila masa.

    Bekas Perdana Menteri itu berkata, perkara itu tidak perlu dibahaskan lagi kerana sudah membuat kenyataan sebelum ini sedia disiasat selepas seorang saksi dalam perbicaraan kes rasuah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendakwa Muhyiddin turut menerima dana daripada syarikat berkenaan.

    Mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mempersoalkan kenyataan beliau berhubung tarikh beliau berada di luar negara, Muhyiddin pada sidang media selepas majlis #Ruang Belia Bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kuala Lumpur berkata,;;

    ‘’Dia bukan hakim..elok dia manage problem dia…saya dah selesai buat satu kenyataan…saya tak nak tokok (tambah) lagi dalam majlis ni..kenyataan saya begitu dan saya sudah sebut juga contoh satu dua tarikh itu yang dikatakan kononnya oleh pihak yang memberi sogokan itulah tarikhnya..yang itu saya kata saya tak ada di sini ..saya sebut itu.,’’ katanya.

    Pada 17 Jun lalu, Astro Awani melaporkan,  Peguam mewakili Ahmad Zahid, Datuk Ahmad Zaidi Zainal, Muhyiddin pernah menerima sumbangan wang tunai berjumlah RM300,000 pada 4 Jun 2018; RM500,000 pada 4 Julai 2018; serta RM500,000 pada 23 Ogos 2018.

     Perkara itu dimaklumkan bekas Pengurus Pentadbiran UKSB, David Tan Siong Sun berdasarkan buku lejar syarikat terbabit.

    David Tan yang juga merupakan saksi pendakwaan ke-17 itu menyatakan, terdapat kod nama ‘TSM’ yang merujuk kepada Muhyiddin serta ‘Team Pagoh’ yang merupakan kod nama bagi projek.

    Bagaimanapun beberapa jam selepas kenyataan saksi itu dibuat, Muhyiddin dalam satu kenyataan dengan tegas menafikan dakwaan berkenaan dan menegaskan sedia disiasat oleh pihak berkuasa.

    Mengulas lanjut Muhyddin yang juga Presiden Bersatu dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, beliau sudah membuat kenyataan jelas berhubung pendiriannya berkaitan dakwaan itu.

    ‘’Saya nak minta tak perlu dibahas lagi …saya pun sudah buat kenyataan yang agak jelas …dah ada orang report polis biar polis siasat ..kalau  SPRM nak panggil saya pun, boleh panggil sayatak takut ..kerana saya cakap yang benar ..saya dah buat kenyataan..tak kan saya nak paksa mereka ‘datanglah’.

    ‘’Saya cakap benar…saya tak pernah bohong…itu orang nak komen masing-masing punya komenla..tapi yang penting saya tak rasuah, saya tak terima apa-apa pun , tetapi kalau orang lain kata itu…itu hal dia lah…kalau nak sah benar atau tidak benar, saya dah kata saya sedia disiasat..sekarang pun esok pun boleh bila-bila masa  datang…dah buat report polis…buat la banyak2 polis kena siasat la,’’ katanya.

    Mengulas kenyataan Tun Dr.Mahathir Mohamad bahawa Bersatu tidak menerima wang RM1.3 juta, Muhyiddin berkata;

    ‘’Dia tak boleh andai..statement itu macam andai saya terima dan saya tak serah kepada parti….itu tak ada kaitan..ini tuduhan yang mengatakan saya terima …Tun jawab sebab waktu itu dia jadi Pengerusi (Bersatu) …saya tak nak komen itulah..hakikat yang betul yang katakan itu …serah kepada pihak berkuasa…apa orang lain kata tidak penting..’’

  • Pengedar dadah sewa rumah untuk simpan, bungkus dadah

    Pengedar dadah sewa rumah untuk simpan, bungkus dadah

    SEORANG pengedar dadah ditahan dari anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri dan merampas dadah jenis syabu di Iskandar Puteri, pukul 3.20 petang kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, suspek warga tempatan itu ditahan polis bersama sejumlah dadah dan hasil ujian saringan awal air kencingnya juga positif methamphetamine.

    “Modus operasi suspek ini adalah dengan menyewa rumah ‘gated and guarded’ untuk dijadikan sebagai tempat menyimpan dan membungkus dadah bagi mengaburi pihak polis.

    “Hasil semakan rekod lampau, suspek juga mendapati dia mempunyai enam rekod lampau berkaitan dadah,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Rahmat berkata, dalam serbuan itu, 903 gram syabu yang dianggarkan bernilai RM32,500 dirampas, manakala sebuah kereta Mercedes Benz E250 bernilai kira-kira RM70,000 disita.

    Katanya, suspek kini direman tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

    Pada masa sama, Rahmat meminta kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat kepada pihak polis berhubung aktiviti individu yang disyaki mengedar dadah.

    “Orang ramai diminta untuk menyalurkan maklumat berkaitan pengedar dadah kepada pihak polis bagi memudahkan kita mengesan dan menangkap pengedar dadah ini,” katanya

  • Tipu urus niaga sarung tangan getah, dua rakan didakwa

    Tipu urus niaga sarung tangan getah, dua rakan didakwa

    DUA rakan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan menipu seorang lelaki berhubung pengedaran 180,000 kotak sarung tangan getah membabitkan kerugian lebih RM1 juta, tahun lalu.

    Wan Ahmad Farhaan Wan Kia Salleh Nor, 30, dan Mohd Fami Sharin, 48, didakwa menipu Mohamad Faiz Yaacob, 35, bahawa mereka akan mengedarkan 180,000 kotak produk itu sehingga mendorong mangsa memasukkan wang berjumlah RM1,001,650 ke akaun bank atas nama Syarikat Tuntas Abadi Sdn Bhd milik tertuduh pertama.

    Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah premis di Jalan Damansara, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur pada 17 Mac 2021 mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan serta boleh didenda, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya Nur Aqilah Ishak menawarkan jaminan RM70,000 kepada setiap tertuduh namun peguam David Dev Peter, yang mewakili mereka, memohon jumlah itu dikurangkan kepada RM8,000 atas alasan anak guamnya penanggung tunggal keluarga masing-masing dan tidak memiliki rekod jenayah.

    Hakim Datin Sabariah Othman membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport mereka diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

    Mahkamah menetapkan 1 Ogos untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.