Category: Semasa

  • Mayat remaja lemas di tasik Sarikei ditemukan

    Mayat remaja lemas di tasik Sarikei ditemukan

    SEORANG remaja lelaki yang dilaporkan hilang ketika mandi-manda bersama rakan-rakannya di sebuah tasik tempat mengorek pasir di Jalan Kin San, Sarikei, kira-kira 58 kilometer dari Sibu, ditemukan lemas 12.30 tengah malam tadi.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba dan Penyelamat Sarawak berkata, mayat Terry Leon Zi Jun, 13, ditemukan oleh anggota keluarganya setelah operasi mencari yang dilakukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei ditangguhkan pukul 10.30 malam ekoran cuaca gelap.

    “Berikutan penemuan itu yang turut disahkan oleh pihak polis, operasi mencari itu ditamatkan jam 1 pagi tadi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Menurutnya, panggilan berhubung kehilangan remaja berkenaan diterima kira-kira pukul 8.35 malam dan BBP Sarikei mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat melibatkan empat anggotanya. – Bernama

  • Lelaki berkhalwat dengan isteri orang maut jatuh tingkat empat

    Lelaki berkhalwat dengan isteri orang maut jatuh tingkat empat

    TINDAKAN  seorang lelaki cuba melarikan diri selepas perbuatan berdua-duaan dengan isteri orang terbongkar, membawa padah apabila maut terjatuh dari tingkat empat sebuah pangsapuri di Jasin, hari ini.

    Dalam kejadian kira-kira jam 11.47 pagi itu, lelaki itu yang juga duda berusia 46 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian selepas jatuh tertiarap dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, lapor Asto AWANI.

    Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Mispani Hamdan berkata, kejadian dipercayai berlaku selepas lelaki itu yang berada di dalam rumah kekasihnya di pangsapuri itu panik apabila suami wanita berkenaan pulang ke rumah secara tiba-tiba.

    “Menurut saksi yang juga kekasih kepada si mati itu, lelaki itu datang bermalam di rumahnya sebelum secara tiba-tiba suaminya pulang ke rumah kira-kira jam 10.30 pagi tadi.

    “Menyedari ada individu lain di dalam rumahnya, suami wanita itu kemudian bertindak mengunci pintu jeriji hadapan rumah menyebabkan pasangan berkenaan tidak boleh keluar dan suaminya turut menghubungi pihak polis.

    “Wanita tiga anak yang merupakan isteri kedua itu kemudian meminta si mati berunding dengan suaminya, namun lelaki itu nekad mengambil seutas dawai ampaian dan mengikat pada besi palang di bahagian koridor untuk melarikan diri,” katanya.

    Sejurus itu katanya, secara tiba-tiba wanita itu terdengar bunyi dentuman kuat di bahagian luar koridor dan mendapati kekasihnya telah tertiarap di atas tanah dan tidak bergerak.

    Ujar Mispani, lelaki itu telah bercerai pada tahun 2017 lalu dan kemudian mencari semula bekas kekasihnya untuk meneruskan hubungan walaupun mengetahui bahawa wanita itu telah berkahwin.

    “Pada tahun 2005 si mati telah berkenalan dan bercinta dengan saksi, namun mereka tiada jodoh dan apabila bercerai dengan isterinya pada tahun 2017 lalu, lelaki ini telah mencari semula saksi untuk meneruskan hubungan.

    “Hubungan si mati dengan saksi adalah secara sembunyi tanpa pengetahuan suami wanita itu,” katanya.

    Katanya mayat lelaki itu dihantar ke Unit Forensik Hospital Jasin untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

  • Banglo 4 tingkat terbakar, ibu dan anak perempuan rentung

    Banglo 4 tingkat terbakar, ibu dan anak perempuan rentung

    SEORANG ibu dan anak perempuannya ditemukan rentung manakala dua lagi lelaki, cedera dalam kebakaran di sebuah rumah banglo empat tingkat di Taman Gembira, Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur, awal pagi hari ini.

    Komander Operasi Bomba Kuala Lumpur, Musa Abdullah berkata, kedua-dua mangsa yang rentung itu masing-masing berusia 60-an dan 20-an, ditemukan di bilik tidur berlainan tingkat atas rumah banglo tersebut.

    Katanya, kedua-dua lelaki rakyat tempatan yang cedera, telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut.

    Menurut Musa sebaik menerima panggilan kecemasan pada 6.22 pagi, pihaknya terus menghantar jentera beserta 35 anggota dan tiba di lokasi kejadian 10 minit kemudian.

    “Bomba tiba di lokasi pada 6.32 pagi dan mendapati api sangat marak. Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada 7.12 pagi tadi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Musa berkata tingkat satu banglo itu, mengalami kemusnahan 100 peratus manakala tingkat dua 50 peratus.

    banglo empat tingkat terbakar bungalow fire Kuala Lumpur
    Anggota-anggota bomba memadam kebakaran di sebuah banglo empat tingkat di Taman Gembira, Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur pagi tadi. (Gambar: Facebook Bomba Kuala Lumpur)

    Sementara itu Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Amihizam Abdul Shukor berkata bahawa kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan punca kebakaran masih di dalam siasatan.

    “Kami meminta orang awam yang mempunyai maklumat kejadian untuk menghubungi Balai Polis Brickfields di talian 03-22979222, Kuala Lumpur (03-21159999) atau mana-mana balai polis yang berdekatan,” katanya. – BERNAMA

  • Harga siling ayam mungkin naik, tetapi masih menang-menang

    Harga siling ayam mungkin naik, tetapi masih menang-menang

    HARGA maksimum baharu ayam yang akan diumumkan esok telah mengambil kira kepentingan pengguna dan golongan peniaga secara seimbang, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid.

    Katanya, meskipun terdapat kemungkinan berlaku sedikit kenaikan, ia dilihat sebagai situasi menang-menang antara pengguna dan pemain industri ternakan.

    “KPDNHEP melalui anggota penguatkuasaannya sentiasa menjalankan pemantauan bagi memastikan keberadaan bekalan dan kestabilan harga ayam di pasaran,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Imam Bilal Mukim Cawangan Hulu Terengganu Kali Ke-15, di Kuala Berang hari ini.

    Menurut Rosol, pihaknya juga sedang menjalankan siasatan berhubung segelintir penternak, pemborong dan peruncit mengenakan caj tambahan termasuk upah tangkap, upah potong dan kos plastik sehingga membebankan pengguna.

    Katanya, pihak berkenaan mendakwa terpaksa mengenakan caj tambahan itu bagi memastikan kelangsungan perniagaan disebabkan pelbagai kos lain yang terpaksa ditampung pada masa ini.

    “Bagaimanapun kita akan siasat lebih lanjut dan tengok daripada beberapa sudut untuk pastikan kebenaran dakwaan mereka,” katanya.

    Dalam pada itu, Rosol berkata pihaknya juga sedia maklum dengan kekurangan minyak peket satu kilogram (kg) di pasaran dan pihaknya telah memohon kepada Kementerian Kewangan untuk menambah kuota minyak peket tersebut untuk mengatasi masalah berkenaan.

    “Sekarang ini kerajaan bekalkan 60,000 tan minyak masak bersubsidi sebulan dan kita minta tambahan lagi 10,000 tan sebulan untuk atasi masalah rakyat.

    “Bagaimanapun ia bergantung kepada kemampuan kewangan negara. Kita harap Kementerian Kewangan akan lihat dengan terperinci permohonan berkenaan,” katanya. – BERNAMA

  • Haji: Petugas TH perlu konsisten, mentaliti taraf dunia

    Haji: Petugas TH perlu konsisten, mentaliti taraf dunia

    Oleh ZALINA MAIZAN NGAH

    PETUGAS Lembaga Tabung Haji (TH) di Makkah dan Madinah disaran terus konsisten dalam menerapkan mentaliti bertaraf dunia dan sentiasa mempunyai maklumat ketika menyantuni jemaah.

    Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, TH mengamalkan polisi ‘no wrong door’ dan petugas perlu bersedia pada bila-bila masa atau sekurang-kurangnya membawa jemaah menyelesaikan persoalan mereka dengan unit lain.

    “Walaupun jemaah haji tahun ini kurang jumlahnya daripada musim haji sebelum ini, janganlah kita (petugas) menganggap mudah untuk melaksanakan tanggungjawab di segenap aspek operasi haji di Tanah Suci.

    “Pencapaian TH pada setiap tahun adalah konsisten dengan memenuhi sasaran yang ditetapkan dan menunjukkan jemaah haji berpuas hati atas perkhidmatan yang diberikan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bersama Petugas di ibu pejabat TH di Abraj Al Janadriah.

    Beliau berkata, petugas juga digalakkan tampil dengan idea dan memberi cadangan baharu bagi menambah baik sistem serta proses perkhidmatan haji.

    Selain itu, beliau menasihatkan petugas agar bijak menyusun atur tugasan apabila tiba hari kemuncak iaitu Hari Arafah yang berbaki 12 hari lagi, kerana ketika itu mereka akan mengalami cabaran lebih getir terutama dalam berdepan dengan jemaah dan dalam masa sama perlu melakukan ibadah.

    “Masyair (wukuf) menuntut kita melaksanakan perancangan dan gerak kerja dengan lancar dan tersusun bagi menjamin jemaah haji dapat berwukuf serta mengerjakan rukun dan wajib haji termasuk urusan pergerakan, penempatan, perkhidmatan sajian dan ibadah,” katanya.

    Sementara itu, pada majlis tersebut, seramai 300 petugas yang antaranya daripada pasukan perubatan, pembimbing haji, kaunselor, pentadbiran dan kewangan hadir mendengar amanat Syed Saleh di bangunan Abraj Al Janadriah yang menempatkan ibu pejabat TH dan jemaah haji.

    Selain petugas di Abraj Al Janadriah, ada dalam kalangan mereka yang berkhidmat di dua lagi bangunan penginapan jemaah Malaysia iaitu Qsar Al Janadriyah dan Lane Premium.

    Setakat semalam, seramai 8,663 jemaah haji telah tiba di Makkah. Malaysia memperoleh sebanyak 14,306 kuota haji tahun ini setelah Arab Saudi memberi kebenaran untuk melaksanakan rukun kelima itu. – BERNAMA

  • Keputusan kes rasuah Abd Latif Bandi, anak ditunda

    Keputusan kes rasuah Abd Latif Bandi, anak ditunda

    MAHKAMAH Sesyen Johor Bahru hari ini menangguhkan keputusan kes dihadapi bekas Exco Johor, Datuk Abd Latif Bandi dan anak lelakinya serta seorang perunding hartanah yang menghadapi 37 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah lebih RM30 juta ke 7 Ogos ini.

    Hakim Kamarudin Kamsun dijadualkan menyampaikan keputusan di akhir kes pembelaan hari ini, bagaimanapun beliau berkata masih terdapat beberapa hujahan daripada pihak-pihak terbabit yang belum diterima.

    “Masih terdapat beberapa hujahan yang belum dibuat dan saya perlu mendengar hujahan terbabit sebelum membuat keputusan.

    “Maka, saya tidak boleh membuat keputusan pada hari ini dan keputusan akan ditetapkan ke satu tarikh baharu,” katanya.

    Peguam Datuk Salehuddin Saidin yang mewakili Abd Latif, 56, dan anaknya, Ahmad Fauzan Hatim, 30, kemudiannya memohon mahkamah untuk mendengar hujahan daripada pihak pembelaan.

    Prosiding turut mendengar hujahan daripada pihak pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pengarah I Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin bersama barisan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib dan Mahadi Abdul Jumaat.

    Selain Salehuddin, Abd Latif dan Ahmad Fauzan turut diwakili Datuk Hasnal Rezua Merican manakala perunding , Amir Shariffuddin Abd Raub, 49, diwakili Khairulazwad Sariman.

    Pada 14 Jun 2017, Abd Latif, Ahmad Fauzan dan Amir Shariffuddin didakwa atas 33 pertuduhan rasuah dan empat pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram berjumlah RM35.7 juta dan masing-masing mengaku tidak bersalah.

    Kamarudin pada 21 April 2019 melepas dan membebaskan ketiga-tiga mereka selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

    Bagaimanapun, pada 7 November 2021, Mahkamah Tinggi mengarahkan bekas Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor itu dengan dua yang lain terbabit untuk membela diri selepas Hakim Datuk Abu Bakar Katar memutuskan Mahkamah Sesyen terkhilaf dalam keputusannya itu.

    Ketiga-tiga mereka menghadapi pertuduhan membabitkan rasuah mengikut Seksyen 28 (1) (C) Akta SPRM 2009 yang dibaca bersama Seksyen 16(a)(B) akta sama.

    Mereka turut didakwa mengikut Seksyen 32(8)(c) serta Seksyen 89 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001. – BERNAMA

  • Kapal bawa pasir karam, dua pekerja hilang

    Kapal bawa pasir karam, dua pekerja hilang

    DUA pekerja sebuah kapal membawa muatan pasir hilang sementara dua orang lagi berjaya diselamatkan selepas kapal berkenaan karam di Sungai Batang Igan berdekatan Kampung Bungan Kecil, kira-kira 45 km dari Sibu dari awal pagi tadi.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, identiti dua mangsa yang hilang itu masih belum dikenal pasti namun mereka dianggarkan berumur dalam lingkungan 20-an, sementara yang selamat berumur dalam lingkungan 40-an dan 50-an.

    Beliau berkata, PGO Sarawak menerima laporan dari Balai Polis Sungai Merah pada pukul 6.05 pagi menyatakan bahawa pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu daripada orang awam, dan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mukah telah digerakkan ke lokasi.

    “Semasa kejadian pelapor sempat menyelamatkan dua orang pekerja kapal dan dipercayai ada dua lagi pekerja kapal itu masih berada di dalam kapal berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian dan pasukan siasatan masih berada di lokasi kejadian. – BERNAMA

  • Nur Hidayati hilang sejak 20 Jun, bantuan orang ramai diperlukan

    Nur Hidayati hilang sejak 20 Jun, bantuan orang ramai diperlukan

    POLIS sudah menerima laporan berhubung kehilangan seorang remaja perempuan dikenali sebagai Nur Hidayati Duwaijah Mazlan sejak 20 Jun lepas di Kampung Bandar Dalam, Sentul, Kuala Lumpur.

    Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Beh Eng Lai berkata, laporan mengenai kehilangan remaja berusia 17 tahun itu diterima daripada ibunya pada 21 Jun lepas.

    Beliau berkata, siasatan mendapati remaja itu dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya iaitu sebuah kondominium di Kampung Bandar Dalam pada 7.20 petang.

    “Remaja berkenaan dikatakan telah keluar dari rumah mereka untuk ke kedai dan sehingga kini, masih gagal dihubungi,” menurutnya dalam kenyataan malam tadi.

    Beh berkata, Nur Hidayati berketinggian kira-kira 145 sentimeter itu, yang berkulit cerah, berbadan sederhana dan kedua-dua matanya berwarna coklat, kali terakhir dilihat memakai baju berwarna merah serta seluar hitam dan kehilangannya telah dihebahkan melalui Nur Alert.

    Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat kes Inspektor Noramalina Md Jamil di talian 017-318 5868 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di talian 03-4048 2222. – BERNAMA

  • Ibu dan 2 anak maut, kereta terjunam masuk sungai

    Ibu dan 2 anak maut, kereta terjunam masuk sungai

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG ibu bersama dua anaknya maut setelah kereta yang dinaiki mereka terbabas sebelum terjunam ke dalam sungai berdekatan Jambatan Syed Omar, dekat Kampung Pantai Cicar, Kuala Ketil, Baling, petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, mayat ibu berkenaan, Masyitoh Ibrahim, 37 bersama dua anaknya iaitu Muhammad Ziyad Zikri Sharudin, 7, dan Muhammad Ziyad Haziq Sharudin, 5, ditemukan masih berada dalam kereta Proton Persona dinaiki mereka sebaik kenderaan yang terjunam tersebut dibawa ke darat kira-kira pukul 3.30 pagi tadi.

    Menurutnya, pihaknya terlebih dahulu menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 7.10 petang semalam.

    “Siasatan awal mendapati kereta mangsa terbabas lalu terjatuh ke dalam Sungai Muda yang terletak di kawasan sempadan Baling dan Sungai Petani.

    “Kesemua mangsa dijumpai masih berada dalam kereta tersebut. Mayat kesemua mereka dibawa ke Hospital Kulim untuk dibedah siasat dengan kes tersebut kini diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

    terjunam
    Sebuah kren digunakan bagi mengangkatnya ke darat dan kereta itu berjaya dinaikkan sepenuhnya kira-kira pukul 3.30 pagi tadi.

    Difahamkan mangsa merupakan seorang guru agama di Sekolah Kebangsaan Kampung Selarong.

    Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Pesuruhjaya Bomba Syufaat Kamaron berkata, bangkai kereta tersebut ditemukan oleh empat penyelam yang melakukan pencarian kira-kira pukul 1.41 pagi.

    “Kereta itu ditemukan di kedalaman tujuh meter kira-kira pukul 1.41 pagi. Sebuah kren digunakan bagi mengangkatnya ke darat dan kereta itu berjaya dinaikkan sepenuhnya kira-kira pukul 3.30 pagi,” katanya.

  • Shahidan minta pihak tidak berkaitan henti campur tangan isu Sungai Baru

    Shahidan minta pihak tidak berkaitan henti campur tangan isu Sungai Baru

    MENTERI Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim meminta pihak tidak berkaitan berhenti masuk campur dan mempolitikkan isu pengambilan tanah projek pembangunan semula unit kediaman di Sungai Baru, Kampung Baru, Kuala Lumpur yang masih dalam proses rundingan.

    Beliau turut meminta agar kumpulan penduduk yang masih tidak bersetuju dalam proses pengambilan tanah tidak keliru dan terpengaruh dengan pihak yang sekadar mahu menangguk di air keruh dengan berlagak ‘hero’.

    “Orang yang punya tanah lebih berhak daripada orang lain, mereka menyuarakan pendapat mereka cuma tersalah sikit apabila pendapat itu disalurkan kepada pihak yang mahu mengambil kesempatan.

    “Saya mungkin dicabar oleh pihak lain, cabarlah saya tidak ada masalah tapi saya tetap memihak kepada orang punya tanah, tidak perlulah cari orang lain kerana kita (kerajaan) yang akan buat keputusan, tapi kalau orang lain nak jadi hero terpulanglah,” katanya pada sidang
    media program Self Defence Awareness @ Jihad Dadah di Kuala Lumpur, hari ini.

    Menurut Perbadanan Kampong Bharu, sejumlah 291 pemilik lot dan unit flat (27 lot teres dan 264 unit flat) yang mewakili 88.72 peratus pemilik bersetuju dengan projek pembangunan semula itu dan pada masa sama pemaju terus berusaha berjumpa dan mengadakan sesi libat urus bersama pemilik 37 lot rumah teres yang tidak bersetuju.

    Program sehari Self Defence Awareness@ Jihad Dadah dianjurkan Persekutuan Seni Silat Cekak Pusaka Ustaz Hanafi Malaysia (Pusaka Hanafi Malaysia), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di Wangsa Walk Mall hari ini bertujuan memupuk kesedaran umum agar berwaspada dengan risiko jenayah luar jangka selain mempersiapkan diri dengan asas pertahanan diri.

    Dalam pada itu, ketika ditanya berkenaan kenyataan Ahli Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa yang memberi bayangan terdapat beberapa lagi pemecatan beberapa individu di dalam parti susulan pengguguran Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sebagai Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Shahidan berharap parti akan memberi lebih perhatian kepada aspek penyatuan ummah.

    Bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis itu juga melahirkan rasa kesal atas isu terbabit dan menyifatkan soal pemecatan tidak seharusnya berlaku selain berpandangan masih ada ruang dan peluang untuk parti memperkukuh perpaduan dalam memberi keyakinan kepada rakyat untuk terus menerajui negara.

    “Saya percaya Presiden UMNO (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) juga ingin meninggalkan legasi yang menyatukan ummah.

    “Kalau sebelum PRU (Pilihan Raya Umum) memecah-belahkan ummah, kita buat pilihan raya kita akan rugi, payah menang,” katanya. – Bernama