Category: Semasa

  • 857 ubat, suplemen tidak berdaftar dirampas

    857 ubat, suplemen tidak berdaftar dirampas

    SEBANYAK 857 ubat-ubatan dan suplemen penjagaan kesihatan tidak berdaftar bernilai RM4.2 juta menerusi 124 serbuan di negeri Selangor sepanjang Januari hingga Mei lalu.

    Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Selangor (Farmasi), Dzafarullah Daud, berkata serbuan dilakukan Cawangan Penguatkuasaan, Bahagian Perkhidmatan Farmasi Jabatan Kesihatan Negeri Selangor berdasarkan hasil maklumat awam risikan yang kebiasaannya mengambil masa selama dua bulan.

    “Rampasan membabitkan tiga kategori produk utama iaitu perangsang seks, pelangsingan badan dan memutihkan kulit atau wajah.

    “Hasil pemeriksaan mendapati produk itu tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan (KKM), sekali gus mendatangkan risiko kepada masyarakat,” katanya memetik laporan Berita Harian.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Jelajah Scan, Sahih dan Selamat di Management and Science University (MSU), hari ini.

    Terdahulu, program dirasmikan Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Farmasi KKM, Roselan Ishak. Yang turut hadir, Presiden MSU, Prof. Tan Sri Dr. Mohd. Shukri Ab. Yajid.

    Dzafarullah berkata, siasatan kes dijalankan mengikut Akta Racun 1952, Akta Jualan Dadah 1952 dan Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

    Beliau berkata, selain itu pihaknya juga telah menyaring dan menyekat sebanyak 264 laman sesawang dan laman sosial yang didapati melanggar peraturan ditetapkan sepanjang tahun lalu.

    “Ia termasuk membabitkan kesalahan mengiklan dan menjual ubat-ubatan dan suplemen penjagaan kesihatan yang tidak berdaftar.

    “Untuk itu, kita sentiasa bertindak proaktif dalam menjalankan pemantauan seumpama itu selain pemeriksaan dan serbuan ke atas premis penjualan,” katanya.

    Pada masa sama, semua ubat-ubatan dan suplemen penjagaan kesihatan perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) sebelum dijual kepada orang ramai.

    “Pendaftaran itu adalah kaedah yang ditetapkan mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

    “Ini bagi menjamin keselamatan, keberkesanan dan kualiti semua ubat-ubatan dan suplemen penjagaan kesihatan,” katanya.

  • Cenderahati mi segera babi diberi ketika program derma darah

    Cenderahati mi segera babi diberi ketika program derma darah

    POLIS membuka kertas siasatan terhadap kes berkaitan pemberian cenderahati yang mengandungi mi segera berperisa daging babi cincang ketika program derma darah di pusat beli-belah di Batu Pahat, kelmarin.

    Pihak polis menerima laporan oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai perkara berkenaan pada pukul 11.38 pagi semalam.

    Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, laporan berkenaan mengenai sebahagian daripada penderma darah menerima bungkusan cenderahati mengandungi mi segera dipercayai berperisa daging babi cincang.

    “Siasatan awal mendapati, program derma darah anjuran bersama badan bukan kerajaan (NGO) dan hospital di Batu Pahat diadakan di pusat membeli-belah di Batu Pahat kelmarin.

    “Selepas selesai menderma darah, mereka menerima bungkusan cenderahati daripada NGO berkenaan.

    “Sebahagian penerima adalah beragama Islam mendapati didalam beg berkenaan terdapat mi segera dipercayai berperisa daging babi cincang.

    “Susulan kejadian berkenaan, pihak polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat telah menubuhkan satu pasukan untuk menjalankan siasatan lanjut berkaitan dengan kejadian terbabit,” katanya dalam kenyataan, lapor Harian Metro hari ini.

    Katanya, beberapa individu dipanggil dan rampasan turut dilakukan bagi membantu siasatan.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 298A/504 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara ataupun denda atau kedua-duanya.

  • SPRM di peringkat akhir siasat kes dikatakan terkait exco Kedah

    SPRM di peringkat akhir siasat kes dikatakan terkait exco Kedah

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SIASATAN dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap kes penyelewengan dana bantuan pakej rangsangan ekonomi Kedah yang dikatakan turut terkait dengan seorang Exco kerajaan negeri, kini berada di peringkat takhir.

    Menurut Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd. Manap, selepas siasatan selesai dijalankan, pihaknya akan menyerahkan segala fail berkaitan kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

    “Kita sudah berada di fasa akhir namun individu berkenaan belum dipanggil memberi keterangan. Mungkin beliau akan dipanggil dalam masa terdekat tetapi masanya belum ditentukan.

    “Selepas siasatan selesai, kita akan serahkan kepada timbalan pendakwa raya untuk diputuskan apa tindakan yang sesuai diambil,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Program ‘Kedah Free Corruption Ride 2022 SPRM Negeri Kedah 2022 di pekarangan Pejabat SPRM di Alor Setar, hari ini.

    Dalam program tersebut, seramai 100 peserta terdiri daripada kalangan rakan strategik SPRM berkonvoi selama tiga hari dua malam di lima daerah dalam negeri ini bagi memberi

    Sebelum ini, akhbar melaporkan mengenai siasatan dijalankan SPRM berhubung kes tersebut yang dikatakan berlaku pada 2020.

    Mengulas lanjut katanya, SPRM boleh mencadangkan kepada pihak timbalan pendakwa raya untuk mengambil beberapa tindakan bergantung kepada hasil siasatan.

    “Jika kes itu wujud, kita boleh cadangkan agar pertuduhan dilaksanakan. Jika tidak dan kita dapati ada kelonggaran di sana-sini, kita boleh cadangkan supaya beberapa peraturan berkaitan dikemaskini,” katanya.

  • ‘Ada arahan untuk memalsukan dokumen’ – saksi kes rasuah Guan Eng

    ‘Ada arahan untuk memalsukan dokumen’ – saksi kes rasuah Guan Eng

    BEKAS Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (Consortium Zenith) memberitahu Mahkamah Sesyen hari ini, beliau mengetahui tindakan memalsukan invois dan baucar bayaran adalah satu kesalahan jenayah berat, ketika perbicaraan kes rasuah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

    Ibrahim Sahari, 58, berkata tindakan itu diambil mengikut arahan Pengarah Consortium Zenith, Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli serta bekas Naib Presiden Kanan Kewangan dan Perkhidmatan Korporat Consortium Zenith, Azli Adam bagi kepentingan syarikat.

    Namun demikian, saksi pendakwaan ke-29 itu menafikan beliau, Zarul Ahmad dan Azli yang merupakan dalang dalam membuat rekaan membabitkan isu berkenaan.

    Guan Eng didakwa atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan Pulau Pinang yang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut, di negeri itu.

    Ahli Parlimen Bagan itu dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Pulau Pinang di Tingkat 21 Bangunan Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.

    Guan Eng turut didakwa atas tuduhan pindaan, iaitu sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan bagi dirinya sendiri wang berjumlah RM3.3 juta dengan mengambil tindakan bagi membantu syarikat milik Zarul yang dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang yang bernilai RM6,341,383,702.

    Menurut laporan Berita Harian, kesalahan itu didakwa dilakukan antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang di KOMTAR.

    Bagi pertuduhan pindaan kedua, Guan Eng didakwa ketika menjawat jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang meminta suapan, iaitu balasan berjumlah 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh kelak daripada Zarul sebagai upah, bagi melakukan perkara yang dicadangkan, iaitu membantu syarikat milik ahli perniagaan berkenaan dilantik untuk projek sama.

    Beliau dituduh melakukan perbuatan itu berhampiran Hotel The Gardens di Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, Kuala Lumpur pada Mac 2011 antara 12.30 tengah malam hingga 2 pagi.

  • Warga emas maut kereta rempuh belakang treler

    Warga emas maut kereta rempuh belakang treler

    SEORANG warga emas maut selepas kereta dipandunya rempuh belakang sebuah treler di Kilometer (KM) 353 Jalan Kuala Lumpur – Kota Bahru dalam kawasan stesen minyak di Raub, pukul 6.30 pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Kama Azural Mohamed berkata, mangsa yang berusia 83 tahun meninggal dunia di tempat kejadian.

    “Hasil siasatan awal mendapati kemalangan melibatkan treler yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 46 tahun dari arah Pekan Raub menghala ke Kuala Lumpur.

    “Apabila sampai di tempat kejadian treler telah masuk ke simpang kanan dan berhenti (dalam keadaan parkir) di dalam kawasan stesen minyak tersebut bagi mengisi minyak sebelum kereta yang dipandu oleh mangsa datang.

    “Kereta mangsa dari arah Kota Bahru (Jalan Lipis) melanggar bahagian belakang tayar sebelah kiri treler. Mangsa maut di lokasi kemalangan dan mayatnya dihantar ke Hospital Raub untuk bedah siasat,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Katanya, pemandu treler tidak mengalami kecederaan dan rakaman percakapannya telah diambil selain dia dibawa ke balai polis untuk ujian air kencing.

    “Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

  • KPDNHEP rampas 13.6 tan metrik minyak masak bersubsidi bernilai RM88,785

    KPDNHEP rampas 13.6 tan metrik minyak masak bersubsidi bernilai RM88,785

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    BERSELINDUNG di sebalik aktiviti pengumpulan dan penjualan minyak masak terpakai di sebuah kilang di Kota Masai, Pasir Gudang tetapi sebenarnya menjalankan kegiatan penyelewengan minyak masak bersubsidi.

    Kegiatan tersebut terbongkar selepas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor melakukan serbuan serta pemeriksaan di premis tersebut semalam.

    Menurut Pengarah KPDNHEP Johor, Mohd. Hairul Anuar Bohro, serbuan dilakukan pukul 11 pagi oleh enam anggota pengkuat kuasa KDPNHEP Johor Bahru sebelum melakukan sitaan.

    “Premis ini disyaki menjalankan aktiviti pemindahan minyak masak bersubsidi ke dalam tangki dengan cara memotong minyak masak plastik polybag dan mencampurkan ke dalam tangki minyak masak terpakai bagi mendapatkan kuantiti yang banyak untuk jualan dan keuntungan lebih.

    “Pasukan serbuan telah menemui serta menyita sejumlah 13,610 kilogram minyak masak dalam 20 tangki di tempat kejadian yang disyaki telah dicampur bersama minyak masak terpakai.

    “Selain itu, sitaan juga dibuat ke atas peralatan yang diguna pakai bagi menjalankan aktiviti penyelewengan minyak masak bersubsidi beserta rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, semua barangan itu telah dirampas untuk siasatan lanjut dan jumlah keseluruhan nilai rampasan minyak itu RM88,785.

    KPDNHEP menyita sejumlah 13,610 kilogram minyak masak di tempat kejadian yang disyaki telah dicampur bersama minyak masak terpakai.

    Dalam serbuan ini juga pihaknya menahan seorang lelaki tempatan berumur 30 tahun merupakan pemilik syarikat bagi membantu siasatan.

    Tambah beliau, kegiatan tersebut sudah dilakukan kira-kira setahun lalu dan hasilnya dijual kepada syarikat biodesel.

    Menurutnya, kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961, jika sabit kesalahan denda sehingga RM1 juta atau penjara selama tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

    “Bagi kesalahan kedua dan seterusnya denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

    “Bagi pertubuhan atau perbadanan, denda tidak melebihi RM2 juta bagi kesalahan pertama dan RM5 juta bagi kesalahan kedua dan seterusnya. Siasatan lanjut akan dijalankan terhadap pemilik premis tersebut,” katanya.

    Sebarang aduan boleh disalurkan menerusi talian 03-8000 8000 Malaysia Goverment Call Centre (MYGCC); call centre 1800 886 800; enforcement command centre (ECC) 03-8882 6245/6088; nombor aduan Whatsapp KPDNHEP iaitu 019–279 4317; emel [email protected]; aplikasi telefon pintar Ez ADU dan lapor atau hadir ke mana-mana lapan pejabat KPDNHEP di seluruh Johor.

  • Mayat kanak-kanak 11 tahun lemas di pantai Bagan Ajam dijumpai

    Mayat kanak-kanak 11 tahun lemas di pantai Bagan Ajam dijumpai

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    MAYAT kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang dikhuatiri lemas ketika mandi bersama rakannya di Jeti Nelayan Bagan Ajam dekat Pantai Bersih, Butterworth, Pulau Pinang petang semalam dijumpai kira-kira pukul 9.15 pagi ini.

    Mangsa, Muhammad Mikhaeil Muqmin Abdullah dijumpai tersangkut di tali pukat tidak jauh dari pesisiran Pantai Bersih di Butterworh.

    Pegawai Kanan Bomba II, Unit Penyelam Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Butterworth, Muhammad Isharudin Ismail berkata, ketika dijumpai mayat mangsa berada dalam keadaan sempurna tanpa sebarang kesan luka.

    Mayat Muhammad Mikhaeil dijumpai tersangkut di tali pukat tidak jauh dari pesisiran Pantai Bersih di Butterworh.

    “Mayat mangsa kemudian dibawa ke hospital untuk bedah siasat,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Dalam kejadian petang semalam, Muhammad Mikhaeil Muqmin dikatakan hanyut dibawa arus semasa sedang mandi bersama tiga rakannya di kawasan jeti berkenaan kira-kira pukul 5.45 petang.

    Difahamkan mangsa mandi bersama tiga lagi rakannya yang turut hanyut dibawa arus namun berjaya diselamatkan orang awam.

    Dalam pada itu, seorang pemancing yang kebetulan berada di lokasi yang cuba menyelamatkan mangsa bagaimanapun turut lemas dan diselamatkan orang awam sebelum dikejarkan ke hospital.

  • Mayat lelaki warga asing hanya berseluar renang ditemui terapung berhampiran Jambatan Pulau Pinang

    Mayat lelaki warga asing hanya berseluar renang ditemui terapung berhampiran Jambatan Pulau Pinang

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT
     
    MAYAT lelaki disyaki warga asing tanpa baju dan hanya berseluar renang ditemui dalam keadaan terapung berhampiran sangkar ikan berdekatan Jambatan Kedua Pulau Pinang kira-kira pukul 12 tengah hari semalam.

    Pengarah Maritim Malaysia Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan mayat itu daripada Polis Marin Batu Uban.
     
    Sebaik menerima aduan tersebut ujar beliau, bot KILAT 26 diatur gerak ke lokasi kejadian bagi usaha menyelamat.

    “Ketika pemeriksaan dilakukan, tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui.

    “Mayat kemudiannya diserahkan kepada Balai Polis Nibong Tebal dan dibawa ke Hospital Sungai Bakap untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Tambahnya, orang awam diminta melaporkan sebarang penemuan dan melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut di talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146.

  • Kejohanan dunia: Pandelela raih gangsa di Budapest

    Kejohanan dunia: Pandelela raih gangsa di Budapest

    RATU terjun negara Datuk Pandelela Rinong Pamg terus mengharumkan nama Malaysia di pentas tertinggi selepas meraih pingat gangsa 10 meter (m) platform wanita Kejohanan Dunia 2022 di Budapest, Hungary, pagi ini.

    Kejayaan itu menyaksikan Pandelela menyamai pencapaiannya pada Kejohanan Dunia 2015 di Kazan, Rusia dan memperbaiki kedudukan kelima yang diraih pada edisi 2019 di Gwangju, Korea Selatan.

    Pada aksi akhir yang berlangsung di Arena Duna, penerjun berusia 29 tahun itu mengumpul 338.85 mata dalam keseluruhan lima terjunan untuk memastikan kedudukan podium dalam genggamannya.

    Juara dunia 2019 dan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020 berusia 16 tahun Chen Yuxi, dari China merangkul emas selepas mengumpul 417.25 mata sementara rakan senegara berusia 15 tahun yang juga pemenang emas Olimpik Tokyo Quan Hongchan membawa pulang perak dengan kutipan 416.95 mata.

    Pandelela yang memenangi pingat emas kejohanan terjun Piala Dunia 2021 di Tokyo, merupakan atlet paling senior dalam acara 10m platform wanita di Budapest.

    Selain itu, beliau akan turun beraksi dalam acara 10m platform seirama wanita bersama gandingannya Nur Dhabitah Sabri Khamis ini, dalam usaha mempertahankan pingat perak yang dimenangi bersama pasangan terdahulu, Datuk Leong Mun Yee pada 2019.

    Sementara itu, cabaran Malaysia dalam acara 3m papan anjal lelaki berakhir di pusingan kelayakan selepas Muhammad Syafiq Puteh dan Chew Yiwei masing-masing menamatkan saingan di kedudukan ke-35 dan ke-51 daripada keseluruhan 55 penerjun. – Bernama

  • Radzi wakil Malaysia di persidangan UNESCO

    Radzi wakil Malaysia di persidangan UNESCO

    MENTERI Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin kini berada di Paris, Perancis bagi mewakili Malaysia di persidangan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), yang berlangsung hari ini sehingga Khamis.

    Menurut beliau sesi pra-sidang kemuncak kali ini membicarakan tentang transformasi pendidikan serta langkah yang dapat diambil bagi memastikan kemajuan dan kemampanan sistem pendidikan.

    “Beberapa sesi perbincangan dan lawatan kerja akan turut diadakan sepanjang berada di sini, khususnya berkaitan dengan transformasi pendidikan,” katanya dalam catatan di Facebook hari ini.

    UNESCO berusaha untuk membina keamanan melalui kerjasama antarabangsa dalam pendidikan, sains dan budaya.

    Program UNESCO menyumbang kepada pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan yang ditakrifkan dalam Agenda 2030, yang diterima pakai oleh Perhimpunan Agung PBB pada 2015. – BERNAMA