POLIS membuka kertas siasatan terhadap kes berkaitan pemberian cenderahati yang mengandungi mi segera berperisa daging babi cincang ketika program derma darah di pusat beli-belah di Batu Pahat, kelmarin.

Pihak polis menerima laporan oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai perkara berkenaan pada pukul 11.38 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, laporan berkenaan mengenai sebahagian daripada penderma darah menerima bungkusan cenderahati mengandungi mi segera dipercayai berperisa daging babi cincang.

“Siasatan awal mendapati, program derma darah anjuran bersama badan bukan kerajaan (NGO) dan hospital di Batu Pahat diadakan di pusat membeli-belah di Batu Pahat kelmarin.

“Selepas selesai menderma darah, mereka menerima bungkusan cenderahati daripada NGO berkenaan.

“Sebahagian penerima adalah beragama Islam mendapati didalam beg berkenaan terdapat mi segera dipercayai berperisa daging babi cincang.

“Susulan kejadian berkenaan, pihak polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat telah menubuhkan satu pasukan untuk menjalankan siasatan lanjut berkaitan dengan kejadian terbabit,” katanya dalam kenyataan, lapor Harian Metro hari ini.

Katanya, beberapa individu dipanggil dan rampasan turut dilakukan bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 298A/504 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara ataupun denda atau kedua-duanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here