Category: Semasa

  • ‘Datuk Yusri’ tipu projek jalan raya RM1.93 juta

    ‘Datuk Yusri’ tipu projek jalan raya RM1.93 juta

    POLIS Sabah sedang mengesan seorang lelaki dikenali sebagai ‘Datuk Yusri Bin Yusoh’ yang terlibat dengan kes penipuan projek naik taraf jalan raya yang tidak wujud di negeri tersebut melibatkan kerugian RM1.93 juta.

    Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata, pihaknya telah menerima lapan laporan polis mengenai kes tersebut yang dikatakan berlaku dalam bulan ini.

    Beliau berkata, suspek telah memperdaya mangsa dengan meminta membayar sejumlah wang deposit bagi mendapatkan projek tersebut.

    “Mempercayai kata-kata ini, mangsa telah membayar antara RM30,000 sehingga RM650,000 (setiap pembayaran) dengan keseluruhan kerugian berjumlah RM1.93 juta.

    “Ekoran itu pihak polis sedang mencari lelaki ini bagi membantu siasatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai lelaki itu boleh menghubungi mana-mana balai polis berdekatan atau menghubungi pegawai penyiasat Insp Tilmanshah Wasli di talian 016-5785962 atau 088-529761. – BERNAMA

  • JPJ sita tujuh kenderaan dipandu pemegang kad UNHCR

    JPJ sita tujuh kenderaan dipandu pemegang kad UNHCR

    JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) menyita tujuh kenderaan dipandu pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Pelarian (UNHCR) menerusi Op Pemandu Warga Asing (Op PeWA) yang bermula 1 April lepas hingga hari ini.

    Pengarah JPJ Perlis Fatimah Mohamed Ali Piah berkata pihaknya turut mengeluarkan saman ke atas individu terlibat yang terdiri daripada enam warga Myanmar dan seorang warga Pakistan berikutan memandu kenderaan tanpa lesen.

    “Sitaan itu melibatkan tiga motosikal, tiga kereta serta sebuah lori dan tindakan diambil mengikut Seksyen 26(1) dan Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

    “JPJ turut mengeluarkan notis saman kepada pemilik kenderaan warga tempatan yang membenarkan kenderaan mereka dipandu warga asing tanpa lesen memandu,” katanya selepas Op PeWA Bersepadu yang dilaksanakan di Bulatan Padang Besar hari ini.

    Mengulas mengenai operasi dilaksanakan hari ini, Fatimah berkata sebanyak 33 kenderaan warga asing disaman atas pelbagai kesalahan antaranya melibatkan insurans dan nombor pendaftaran.

    Katanya, JPJ turut mengingatkan pemilik kenderaan tempatan agar tidak menawarkan perkhidmatan sewaan kepada warga asing yang tidak mempunyai lesen sah bagi mengelakkan tindakan tegas diambil oleh pihak berkuasa.

    “Mereka boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 16 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 dan didenda sehingga RM500,000 jika sabit kesalahan menjalankan perkhidmatan sewa pandu tanpa permit,” katanya. – Bernama

  • Polis tahan 20 individu, tumpaskan lima kumpulan jenayah

    Polis tahan 20 individu, tumpaskan lima kumpulan jenayah

    POLIS menahan 20 individu dengan 18 daripadanya merupakan anggota lima kumpulan yang terlibat dalam pelbagai jenayah antaranya pecah rumah, stor kilang dan tabung masjid yang membabitkan kerugian kira-kira RM500,000 sejak 1 Jan hingga 22 Jun lepas.

    Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata mereka yang terdiri daripada 17 lelaki dan tiga wanita berusia 22 hingga 57 tahun itu ditahan secara berasingan di sekitar daerah tersebut menerusi Op Pintu.

    Beliau berkata pihaknya percaya berjaya menyelesaikan 49 kes jenayah di Melaka Tengah dengan penahanan mereka.

    “Secara keseluruhan, 18 individu termasuk tiga wanita itu merupakan anggota Geng Micheal, Geng Ruben, Geng Zahid, Geng Botak dan Geng ADC.

    “Dua lagi individu yang turut ditahan adalah dua lelaki dikenali sebagai Yazmi Solo dan Spider Solo berusia 30-an dipercayai terlibat dalam jenayah pecah rumah dengan bergerak secara berseorangan,” katanya kepada pemberita di Melaka hari ini.

    Christopher berkata Spider Solo yang ditahan pada 8 Jun lepas dipercayai terlibat dalam jenayah pecah rumah dengan cara memasuki kediaman mangsa menerusi bumbung dan meloloskan dirinya mengikut pintu belakang rumah mangsa setelah mengambil barangan berharga.

    Beliau berkata Spider Solo  yang berasal dari Kepong, Kuala Lumpur dikesan terbabit lima jenayah pecah rumah antara Mei dan awal Jun melibatkan kerugian RM50,000 dengan menyasarkan rumah kos rendah yang tiada penghuni pada waktu siang untuk melakukan jenayah terbabit.

    “Spider Solo merupakan seorang penganggur dan duit hasil jualan barangan curi daripada jenayah pecah rumah yang dilakukannya itu digunakan untuk perbelanjaan hariannya,” katanya dengan menambah Spider Solo mempunyai 13 rekod lampau melibatkan jenayah pecah rumah. – Bernama

  • Kerani tapak didenda RM3,500 selepas mengaku salah

    Kerani tapak didenda RM3,500 selepas mengaku salah

    SEORANG kerani tapak mengaku salah di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah lima tahun lalu.

    Mohd. Nor Afendi Abd. Wahab, 31, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Rushan Lutfi Mohamed.
    Bagaimanapun, sekiranya tertuduh gagal membayar denda, tertuduh boleh dipenjara tiga bulan, lapor Sinar Harian.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh selaku kerani tapak sebuah syarikat konsultan telah meminta dan menerima wang rasuah berjumlah RM240 dan RM1,500 daripada seorang pengarah projek sebuah syarikat pembinaan.

    Ia sebagai balasan memberi kebenaran untuk memulakan kerja-kerja di tapak projek membina dan menyiapkan bangunan Fakulti Pengajian Bahasa Utama di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Bandar Baru Nilai di Seremban.

    Kesalahan itu dilakukan pada 2 Jun 2017 dan 13 Jun 2018.

    Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

    Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

  • Haji: Malaysia negara pertama dapat pilih waktu melontar, tetapkan waktu malam

    Haji: Malaysia negara pertama dapat pilih waktu melontar, tetapkan waktu malam

    haramain

    MALAYSIA sekali lagi mencipta sejarah apabila menjadi negara pertama dijemput kerajaan Arab Saudi untuk memilih waktu melaksanakan ibadah melontar jamrah.

    Ketua Rombongan Haji Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata kelebihan yang diberikan membolehkan Malaysia memilih antara pukul 8 hingga 10 malam untuk ibadah itu dan ia memberi keselesaan berbanding cuaca pada waktu siang yang boleh mencecah suhu melebihi 50 darjah Celcius.

    “Malaysia dipanggil sebagai negara pertama dan diberi keutamaan untuk memilih. Apabila perbincangan dengan Kementerian Haji dan Umrah, mereka hanya menerima apa sahaja waktu yang kita pilih dan ia telah dimeterai dalam satu perjanjian antara Malaysia dan Arab Saudi.

     “Jadual yang dipilih bersesuaian dengan jemaah haji dan jadual operasi haji kita. Ini satu kebaikan kerana kita diberi keutamaan…negara lain kemungkinan akan pergi pada waktu pagi, zohor dan asar manakala kita pergi waktu malam,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di lokasi penempatan jemaah Malaysia di Arafah, Muzdalifah dan Mina.

    Sebelum ini, Malaysia melakar sejarah tersendiri apabila menjadi negara pertama menerima permit operasi pusat perubatan di Arab Saudi, malah turut disenarai antara lima negara yang menyertai ‘Makkah Route”.

    Sementara itu, dalam perkembangan sama, Syed Saleh berkata pada 13 Zulhijjah sebahagian jemaah akan melontar jamrah pada awal pagi iaitu selepas subuh dan menurutnya pengaturan waktu melontar dilaksana untuk mengelak kesesakan serta musibah yang tidak diingini.

    “Tahun ini ikut perancangan jika wukuf jatuh pada hari Jumaat, kita akan bermula dengan pergerakan awal petugas pada 7 Zulhijjah (6 Julai). Mereka akan pergi pada waktu malam dan berada di sana untuk bersiap menerima jemaah haji Malaysia yang akan bergerak pada Khamis (7 Julai) bermula awal pagi.

    Pergerakan jemaah menggunakan 17 bas bermula 7 pagi. Kita harap pergerakan dari Makkah ke Arafah berjalan lancar. Pada 10 Zulhijjah mereka akan bergerak pula ke Muzdalifah selepas waktu magrib untuk bermabit sehingga separuh malam iaitu 11.45 malam.

    Setelah itu, mereka akan bergerak pula dari Muzdalifah ke Mina dan berada di situ selama tiga hari bermula 10 Zulhijjah. Sebahagian jemaah akan balik awal dan sebahagian lagi akan tunggu sehingga 13 Zulhijjah,” katanya.

    Hari ini, kerajaan Arab Saudi akan mula melihat anak bulan untuk membuat penetapan sama ada bulan Zulhijjah akan bermula pada 30 Jun atau 1 Julai.

    *Ikuti perkembangan jemaah haji Malaysia melalui media sosial Facebook, Instagram dan Tik Tok Lembaga Tabung Haji.

    — BERNAMA

  • Peguam didakwa pecah amanah RM1.5 juta

    Peguam didakwa pecah amanah RM1.5 juta

    SEORANG peguam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan pecah amanah wang berjumlah RM1.52 juta.

    Mohd Zawahid Ya, 47, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu.

    Dia didakwa sebagai peguam di Tetuan Mohd Zawahid & Co yang diamanahkan dengan wang berjumlah RM1.52 juta, telah melakukan pecah amanah terhadap harta berkenaan di pejabat tetuan tersebut di Subang Bestari, dekat sini, antara 9 Mei dan 11 Ogos 2017.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun dengan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Uzair Abd Munir memohon mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan atas alasan kesalahan dilakukan serius kerana melibatkan jumlah wang yang besar.

    Peguam Fahmi Abd Moin bersama-sama Azizzul Shariman Mat Yusoff dan Ilyani Khuzairi yang mewakili Mohd Zawahid memohon jaminan rendah atas alasan tertuduh menanggung ibu bapa, isteri serta lima anak yang masih bersekolah selain tiga daripada mereka sedang melanjutkan pelajaran di Institut Pengajian Tinggi (IPT).

    Hakim Helina Sulaiman kemudian membenarkan jaminan RM50,000 dan seorang penjamin serta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh perlu melapor diri di balai polis berdekatan sebulan sekali.

    Mahkamah menetapkan 9 Ogos depan untuk sebutan semula kes.

    Tertuduh membayar jaminan tersebut.

    — BERNAMA

  • ‘Hilang’ wang simpanan KWSP, ditipu sindiket tawaran kerja

    ‘Hilang’ wang simpanan KWSP, ditipu sindiket tawaran kerja

    SEORANG Pembantu Perawatan Kesihatan kerugian RM37,361 apabila wang simpanan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) miliknya lesap akibat terpedaya dengan sindiket penipuan tawaran kerja yang tidak wujud.

    Ketua Polis Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd Shokri Abdullah berkata, wanita berusia 26 tahun itu terpergaruh setelah melihat iklan di laman Facebook yang menjanjikan pulangan tinggi dalam masa singkat.

    “Setelah melihat iklan di facebook ‘online work’ dan mangsa telah berurusan dengan seorang individu yang memperkenal diri sebagai ‘Agnes’ dari syarikat ‘SP eCommerce’ untuk urusan tawaran kerja secara dalam talian,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

    Katanya, mangsa telah diperkenalkan dengan cara membeli pelbagai produk bagi tujuan menaikan rating dan mangsa kemudian akan mendapat imbuhan komisen setelah barangan tersebut dijual oleh pihak mereka.

    “Mangsa telah membuat lapan kali transaksi ke empat akaun bank suspek sepertimana yang telah diarahkan…namun apa yang dijanjikan tidak diperoleh malah mangsa kerugian wang simpanan peribadi dan KWSP miliknya,” katanya.

    Mohd Shokri berkata, modus operandi sindiket ialah mengiklankan tawaran kerja yang mudah dan menguntungkan dalam masa singkat melalui media sosial dengan mangsa akan diberikan pulangan pada awalnya dan setelah mangsa terpikat, sindiket akan meningkatkan jumlah pembelian sehingga menyebabkan mangsa terjerat.

    Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melalukan penipuan.

    Katanya, hasil siasatan awal menerusi semakan mendapati terdapat tiga laporan polis dibuat ke atas nombor akaun bank terbabit dan dua laporan terhadap nombor talian yang digunakan oleh sindiket sebelum ini.

    “Orang ramai dinasihati agar mengunakan applikasi Semak Mule Account bagi menyemak nombor akaun dan nombor telefon ketika membuat sebarang urusan secara dalam talian,” katanya. – Bernama

  • Pukul lelaki warga Ghana selepas tipu RM2 juta:2 ditahan, 3 lagi diburu menyamar polis

    Pukul lelaki warga Ghana selepas tipu RM2 juta:2 ditahan, 3 lagi diburu menyamar polis

    POLIS menahan lima lelaki yang menyamar sebagai anggota polis dan memukul lelaki warga asing di kawasan parkir di Jalan Tun Razak, di Kuala Lumpur, semalam selepas didakwa menipu seorang daripada mereka sebanyak RM2 juta.

    Dalam kejadian 2.15 petang itu, pihak pengurusan di kawasan itu menerima panggilan berkaitan berlaku pergaduhan di kawasan parkir kereta.

    Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pengadu kemudian bergegas ke tempat kejadian dan mendapati lima lelaki memukul lelaki warga Ghana dengan gari dan sebatang kayu.

    “Pengadu kemudiannya bertanya kepada salah daripada lelaki terbabit dan dia memaklumkan bahawa lelaki warga asing ini scammer dan suspek mendakwa ditipu RM2 Juta.

    “Suspek ingin lelaki terbabit ke Balai Polis Bukit Aman dan memaklumkan bahawa mereka adalah anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7),” katanya menurut laporan Harian Metro, hari ini.

    Ashari berkata, pengadu seterusnya memberitahu mereka tidak boleh membawa keluar lelaki itu selagi polis belum sampai.

    “Tidak lama kemudian, mereka tergesa-gesa beredar dari kawasan parkir itu walaupun pengadu beritahu kepada mereka untuk menunggu polis sampai.

    “Pengadu sempat mengambil gambar kereta yang dinaiki lima suspek dan akibat pergaduhan itu sebuah kereta yang di parkir bersebelahan dipenuhi darah mangsa pukul,” katanya.

    Beliau berkata, punca kejadian mangsa dipercayai menipu wang pelaburan suspek menyebabkan dia tidak berpuas hati dan menyerang lelaki warga asing itu.

    “Mangsa juga sudah membuat laporan polis namun menghilangkan diri selepas itu.

    “Pihak pengurusan terbabit turut tampil membuat laporan polis bagi membantu siasatan,” katanya.

    Katanya, susulan itu dua suspek ditahan bagi membantu siasatan sementara yang lain sedang dikesan.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana mencederakan orang serta menyamar penjawat awam,” katanya.

  • Bapa sepupu kanak-kanak lembam mangsa dadah dijel 3 tahun

    Bapa sepupu kanak-kanak lembam mangsa dadah dijel 3 tahun

    SEORANG lelaki yang juga merupakan bapa sepupu kepada kanak-kanak lembam kritikal akibat kandungan dadah dalam badan dijatuhi hukuman penjara tiga tahun, bon berkelakuan baik selama tiga tahun dengan cagaran RM3,000 dan khidmat masyarakat selama 180 jam oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu Kelantan hari ini.

    Memetik laporan Sinar Harian, hukuman tersebut diputuskan oleh Hakim Mohd. Zul Zakiqudin Zulkifli selepas tertuduh, Mohd. Shahrizuan Alias, 32, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dikemukakan.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai seorang yang mempunyai pemeliharaan terhadap kanak-kanak lelaki yang berusia tiga tahun sembilan bulan itu didakwa mendedahkan kanak-kanak tersebut kepada sesuatu yang berbahaya terhadap tubuh badan iaitu dadah berbahaya jenis metamphetamine dan morfin sehingga menyebabkan mangsa mengalami drug toxicity.

    Kesalahan dilakukan di tepi sungai Kampung Sri Jaya, Mahligai, Dabong, Kuala Krai pada pukul 3 petang, 18 Jun lalu.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 31(1) akta sama apabila disabitkan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya.

    Berdasarkan fakta kes, pada 19 Jun lalu, pihak Hospital Gua Musang menerima pesakit kanak-kanak tersebut dalam keadaan tidak sedarkan diri dibawa oleh ibunya untuk rawatan.

    Ujian saringan air kencing mendapati kanak-kanak itu positif dadah jenis methamphetamine dan morfin serta dipercayai terlebih dos hingga kritikal.

    Sehari sebelum itu, kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) itu dibawa keluar oleh tertuduh untuk pergi mandi sungai.

    Mangsa diletakkan di dalam kereta bersendirian kerana dilihat mengantuk sementara tertuduh turun semula ke sungai untuk mengambil anak lelakinya yang berusia dua tahun enam bulan.

    Mangsa dipercayai meminum air mengandungi dadah milik tertuduh yang diletakkan di dalam kereta itu kerana mendapati botol sudah kosong.

    Tertuduh ditangkap pada pukul 10 malam, 19 Jun lalu.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nurul Hanini Wan Ahmad Shukry, manakala tertuduh tidak diwakili peguam dan memohon hukumannya diringankan kerana perlu menyara keluarga.

    Wan Nurul Hanini bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara yang setimpal terhadap tertuduh kerana kecuaian terhadap kanak-kanak di bawah umur dan OKU tersebut.

    “Mangsa yang masih kecil tidak dapat membezakan air yang mengandungi dadah kerana usia muda selain memerlukan pemerhatian serta tunjuk ajar.

    “Tertuduh tidak sepatutnya cuai hingga menyebabkan mangsa kritikal hingga memerlukan bantuan oksigen,” katanya.

    Dalam kejadian lalu, ibunya menyedari kanak-kanak itu berada dalam keadaan lemah dengan muka bertukar kebiruan pada pukul 5 pagi lalu dirujuk ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai untuk rawatan.

  • Semakan kes Batu Puteh: Tun M pertikai, enggan bekerjasama selagi Apandi kekal pengerusi

    Semakan kes Batu Puteh: Tun M pertikai, enggan bekerjasama selagi Apandi kekal pengerusi

    TUN Dr. Mahathir Mohamad mempertikaikan kedudukan Tan Sri Mohamed Apandi Ali sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kecil Tort of Misfeasance yang dianggapnya tidak wajar dilantik memegang jawatan itu.

    Protes dan rasa tidak puas hati bekas Perdana Menteri itu ditunjukkan semasa negarawan tersebut hadir dalam sesi temu bual di Jabatan Peguam Negara (JPN) di Kuala Lumpur hari ini tetapi beliau segera meninggalkan malis tersebut.

    Sesi tersebut tidak berlangsung seperti dirancang apabila menyaksikan Dr. Mahathir yang tiba pukul 11.40 pagi keluar meninggalkan perkarangan JPN dalam tempoh tidak sampai 15 minit.

    Jawatankuasa itu dibentuk bagi membuat semakan semula undang-undang kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

    Ketika ditemui media, Dr. Mahathir berkata beliau tegas dengan pendirian untuk tidak akan memberikan sebarang kerjasama sehingga Mohamed Apandi diganti.

    “Apandi adalah individu yang terlibat dalam kes ini dan dia tidak patut dilantik sebagai pengerusi.

    “Dia sepatutnya lebih layak menjadi saksi tetapi telah dilantik sebagai pengerusi. Ia adalah sesuatu yang mengarut,” katanya memetik laporan Astro Awani.

    Jelasnya, surat untuk memohon penukaran kedudukan Apandi sebelum ini telahpun dihantar namun katanya tiada sebarang jawapan.

    Perkara itu menurutnya penting kerana kedudukan Apandi pada kerusi tersebut lebih cenderung menimbulkan konflik kepentingan tertentu.

    Dalam masa yang sama katanya, siapa sahaja layak untuk dilantik menggantikan Apandi selagi ia mampu memberikan ketelusan dan jaminan keadilan.

    Kebelakangan ini pelbagai pihak tampil menempelak kenyataan yang dibuat oleh Dr. Mahathir yang mendakwa kehilangan Batu Puteh adalah atas kesilapan kerajaan negeri Johor sendiri.