POLIS menahan 20 individu dengan 18 daripadanya merupakan anggota lima kumpulan yang terlibat dalam pelbagai jenayah antaranya pecah rumah, stor kilang dan tabung masjid yang membabitkan kerugian kira-kira RM500,000 sejak 1 Jan hingga 22 Jun lepas.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata mereka yang terdiri daripada 17 lelaki dan tiga wanita berusia 22 hingga 57 tahun itu ditahan secara berasingan di sekitar daerah tersebut menerusi Op Pintu.

Beliau berkata pihaknya percaya berjaya menyelesaikan 49 kes jenayah di Melaka Tengah dengan penahanan mereka.

“Secara keseluruhan, 18 individu termasuk tiga wanita itu merupakan anggota Geng Micheal, Geng Ruben, Geng Zahid, Geng Botak dan Geng ADC.

“Dua lagi individu yang turut ditahan adalah dua lelaki dikenali sebagai Yazmi Solo dan Spider Solo berusia 30-an dipercayai terlibat dalam jenayah pecah rumah dengan bergerak secara berseorangan,” katanya kepada pemberita di Melaka hari ini.

Christopher berkata Spider Solo yang ditahan pada 8 Jun lepas dipercayai terlibat dalam jenayah pecah rumah dengan cara memasuki kediaman mangsa menerusi bumbung dan meloloskan dirinya mengikut pintu belakang rumah mangsa setelah mengambil barangan berharga.

Beliau berkata Spider Solo  yang berasal dari Kepong, Kuala Lumpur dikesan terbabit lima jenayah pecah rumah antara Mei dan awal Jun melibatkan kerugian RM50,000 dengan menyasarkan rumah kos rendah yang tiada penghuni pada waktu siang untuk melakukan jenayah terbabit.

“Spider Solo merupakan seorang penganggur dan duit hasil jualan barangan curi daripada jenayah pecah rumah yang dilakukannya itu digunakan untuk perbelanjaan hariannya,” katanya dengan menambah Spider Solo mempunyai 13 rekod lampau melibatkan jenayah pecah rumah. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here