Category: Semasa

  • Ejen pelancongan didakwa guna dokumen palsu projek lebih RM22 juta

    Ejen pelancongan didakwa guna dokumen palsu projek lebih RM22 juta

    SEORANG ejen pelancongan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini atas dua pertuduhan menggunakan dokumen palsu berhubung cadangan membina dan menyiapkan rumah keluarga untuk pegawai dan anggota tentera Kementerian Pertahanan Malaysia (Mindef) bernilai lebih RM22 juta.

    Sulaiman Abdul Razak, 56, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.

    Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa menggunakan dokumen palsu sebagai tulen iaitu dua ‘Borang Jaminan Bank / Jaminan Syarikat Kewangan/Jaminan Insurans untuk Bon Pelaksanaan (Kontrak Kerja)’ bagi Cadangan Membina dan Menyiapkan Rumah Keluarga (338 Unit) Pelbagai Kelas Serta Kerja-Kerja Berkaitan untuk pegawai dan anggota tentera darat di Kem Batu 10, Kuantan, Pahang bernilai RM3.75 juta dan RM18.75 juta.

    Dia dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di Mindef, Jalan Padang Tembak, Sentul di Kuala Lumpur antara 20 Oktober dan 15 November 2006.

    Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 467 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya Zulaaikha Mohd Apandi menawarkan jaminan RM500,000 bagi kedua-dua pertuduhan, namun peguam Adi Zulkarnain Zulkafli yang mewakili Sulaiman memohon jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya mempunyai penyakit kencing manis dan darah tinggi serta menanggung keluarga.

    “Jumlah jaminan RM500,000 terlalu tinggi dan anak guam saya tidak mempunyai kesalahan (jenayah) lain. Pada 4 Julai ini, anak guam akan menunaikan haji dan jika dia dipenjarakan kemungkinan dia tidak dapat mengerjakan haji,” kata peguam itu.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM80,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berdekatan dan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

    Kamarudin menetapkan 1 Ogos untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen. – Bernama

  • Keputusan kes rasuah Rosmah dijadual semula 1 September

    Keputusan kes rasuah Rosmah dijadual semula 1 September

    MAHKAMAH Tinggi di Kuala Lumpur hari ini, menetapkan tarikh baharu pada 1 September ini untuk keputusan kes rasuah Datin Seri Rosmah Mansor membabitkan projek solar hibrid untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion.

    Tarikh itu ditetapkan Timbalan Pendaftar Catherine Nicholas ketika pengurusan kes di dalam kamarnya yang dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Poh Yih Tinn dan peguam Datuk Jagjit Singh dan Datuk Akberdin Abdul Kader, yang mewakili Rosmah.

    Akberdin ketika ditemui pemberita berkata, pihaknya dimaklumkan untuk hadir ke prosiding pengurusan kes hari ini melalui surat mahkamah bertarikh 29 Jun.

    “Pihak-pihak hadir hari ini dan mahkamah menjadualkan semula tarikh keputusan baharu pada 1 September, pukul 9 pagi,” katanya.

    Poh, yang mengesahkan perkara itu memberitahu pemberita bahawa Hakim Mohamed Zaini Mazlan mahu memberikan keputusannya pada Ogos ini tetapi pihak-pihak hanya bersetuju bagi tarikh pada September.

    Mohamed Zaini sebelum ini menetapkan 7 Julai untuk menyampaikan keputusan sama ada isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak itu akan dibebaskan atau disabitkan dengan tiga pertuduhan rasuah.

    Pada 18 Februari tahun lalu, Rosmah, 70, diperintah membela diri terhadap tiga pertuduhan selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap beliau.

    Rosmah dituduh meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin melalui bekas pembantunya Datuk Rizal Mansor sebagai ganjaran membantu Jepak Holdings memperoleh projek bernilai RM1.25 bilion untuk menyediakan tenaga hibrid solar di 369 sekolah di luar bandar Sarawak.

    Pada 24 Jun lalu, Rosmah memfailkan permohonan terbaharunya untuk mencabar pelantikan Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai timbalan pendakwa raya kanan dalam kes rasuah membabitkan projek hibrid solar dihadapinya dan memohon perbicaraan penuh kes itu yang berlangsung sejak 2018, terbatal dan tidak sah.

    Permohonan kebenaran semakan kehakiman itu akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi (Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) Datuk Ahmad Kamal Md Shahid pada 6 Julai ini.

    Sebelum ini Rosmah memfailkan permohonan sama di Mahkamah Tinggi Jenayah di sini, bagaimanapun permohonannya ditolak oleh Mahkamah Tinggi dan rayuannya terhadap permohonan itu juga ditolak oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan. – Bernama

  • Mahkamah batal saman terhadap kerajaan kes Batu Puteh

    Mahkamah batal saman terhadap kerajaan kes Batu Puteh

    MAHKAMAH Tinggi di Kuala Lumpur hari ini membatalkan saman seorang individu terhadap kerajaan Malaysia berhubung isu Batu Puteh.

    Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan berkata, Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Perdana Menteri dan kerajaan untuk membatalkan saman mengenai keputusan menarik balik semakan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di Hague, Belanda berhubung tuntutan ke atas pulau itu.

    Beliau yang mewakili kerajaan berkata, Hayatul Akmal memutuskan bahawa subjek dalam tuntutan saman itu tidak boleh diadili oleh mahkamah.

    “Malah, Mohd. Hatta Sanuri selaku plaintif tidak mempunyai locus standi atau hak di sisi undang-undang untuk mengambil tindakan,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Beliau berkata, keputusan itu dibuat menerusi prosiding sidang video, turut dihadiri peguam Mohaji Selamat yang mewakili plaintif.

    Pada 2018, kerajaan Pakatan Harapan (PH) di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menarik balik permohonan semakan terhadap keputusan ICJ sebelum kes itu dijadualkan didengar pada 11 Jun 2018.

    Pada 28 Mei 2020, Mohd. Hatta memfailkan tindakan saman itu mewakili dirinya dan mewakili lebih 32 juta rakyat Malaysia yang terkesan dengan penarikan balik semakan semula keputusan ICJ oleh kedua-dua defendan, tanpa membincangkan dan membentangkannya terlebih dahulu di Parlimen.

    Dalam pernyataan tuntutannya, Mohd. Hatta memohon perintah supaya kedua-dua defendan memberi penjelasan bertulis mengapa mereka telah menarik diri daripada semakan semula keputusan ICJ berkenaan dengan tuntutan Batu Puteh terhadap Singapura pada 1 Jun 2018 sedangkan permohonan semakan semula dengan bukti kukuh telah dimulakan dan difailkan sejak 3 Februari 2017.

    Mohd. Hatta turut memohon deklarasi bahawa kedua-dua defendan membayar ganti rugi kepada setiap rakyat Malaysia berdasarkan nilai tanah Batu Puteh dan berdasarkan kerugian ekonomi dialami seluruh rakyat Malaysia termasuk plaintif secara sama rata berjumlah paling kurang RM10 juta.

    Turut dimohon perintah supaya kedua-dua defendan mendedahkan secara terperinci jumlah semua kos yang telah dibelanjakan oleh defendan kedua (kerajaan) untuk persediaan permohonan semakan semula keputusan ICJ pada 3 Februari 2017 sehingga defendan-defendan menarik diri secara tiba-tiba pada 1 Jun 2018.

  • Ibadah korban dibenarkan selepas solat sunat Aidiladha

    Ibadah korban dibenarkan selepas solat sunat Aidiladha

    IBADAH korban dibenarkan bermula selepas selesai solat sunat Aidiladha pada 10 Zulhijah dan hari-hari tasyriq iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijah 1443H sebelum berakhir waktu Asar.

    Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Mohd. Ajib Ismail berkata, ketetapan itu melibatkan semua masjid dan surau yang berada dalam Wilayah Persekutuan.

    Katanya, pihak yang akan melaksanakan ibadah penyembelihan haiwan korban perlu mematuhi peraturan atau ketetapan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Wilayah Persekutuan dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

    “Petugas korban hendaklah mempunyai tahap kesihatan tubuh badan yang baik, tidak menghidap penyakit kronik dan tidak mempunyai gejala Covid-19 seperti batuk, sakit tekak, selesema dan demam.

    “Selain itu, peserta juga perlu memastikan tidak mempunyai kontak rapat individu positif Covid-19 serta tidak berada dalam Perintah Pengawasan Dan Pemerhatian (Home Surveillance Order),” katanya menerusi kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.

    Rabu lalu, Penolong Setiausaha Majlis Raja-Raja, Mohd. Aseral Jusman telah mengisytiharkan umat Islam di seluruh Malaysia bakal menyambut Hari Raya Aidiladha pada 10 Julai ini.

    Pengumuman rasmi dibuat selepas sesi pencerapan oleh panel falak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di 29 lokasi di seluruh negara, petang Rabu.

  • Kes rasuah: Peguam Abdul Azeez mohon keputusan rayuan ditangguh

    Kes rasuah: Peguam Abdul Azeez mohon keputusan rayuan ditangguh

    PASUKAN pembelaan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim memohon untuk menangguhkan keputusan rayuan bekas Pengerusi Tabung Haji itu bagi membatalkan 13 tuduhan menerima rasuah dan pengubahan wang haram di Mahkamah Rayuan di Putrajaya, hari ini.

    Peguam, Amer Hamzah Arshad, berkata ia bagi memberi ruang dan masa kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan terhadap penemuan fakta serta bukti baharu kes tersebut yang diserahkan pihaknya kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).

    Menurutnya, beliau juga dimaklumkan bahawa Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki sedang meneliti perkara berkenaan daripada aspek tertentu.

    “Pada 27 Jun lalu, kami menerima maklum balas daripada SPRM berkaitan representasi dan surat sokongan kes itu yang diserahkan oleh kami kepada AGC.

    “Atas perkembangan itu, kami dengan rendah diri memohon jasa baik mahkamah untuk menangguhkan keputusan hari ini. Saya difahamkan pihak pendakwaan tiada bantahan terhadap perkara ini,” katanya, lapor Berita Harian.

    Susulan itu, Timbalan Pendakwa Raya, Aslinda Ahad, berkata pihaknya diberi arahan supaya tidak membantah permohonan pihak pembelaan.

    “Kami dimaklumkan ada perkembangan terkini membabitkan kes itu dan AGC perlu masa untuk membuat penelitian menyeluruh,” katanya.

    Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Seri Kamaludin Md. Said bersama Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Che Mohd.Ruzima Ghazali telah menetapkan 26 Ogos ini bagi keputusan rayuan itu, selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak.

    Kamaludin berkata, mahkamah menangguhkan keputusan rayuan itu untuk kali terakhir, kerana kes itu sudah berjalan dalam tempoh lama.

    “Sebarang keputusan daripada pihak SPRM perlu dibuat secepat mungkin,” katanya.

    Pada 12 Mac tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Abdul Azeez bagi membatalkan kes sama.


    Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan itu selepas mendapati, pertuduhan yang dikenakan terhadap Abdul Azeez tidak mempunyai sebarang kecacatan.

    Muhammad Jamil dalam penghakimannya, berkata mahkamah juga mendapati alasan permohonan Abdul Azeez tidak bermerit selain tertuduh gagal menunjukkan pendakwaan terhadapnya adalah bersifat mala fide (berniat jahat).

    Abdul Azeez, 54, menghadapi tiga tuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta berkaitan projek jalan raya di Perak dan Kedah serta 10 pertuduhan pengubahan wang haram mencecah jutaan ringgit.

    Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 serta dibaca bersama Seksyen 16(a)(A) dan Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda.

  • Lelaki didakwa curi kabel TM

    Lelaki didakwa curi kabel TM

    SEORANG lelaki didakwa tdi Mahkamah Majistret Tampin hari ini atas pertuduhan mencuri kabel milik Telekom Malaysia (TM) bulan lalu.

    Tertuduh Nor Ezlan Minhat, 40, mengaku tidak bersalah mbuat selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya dihadapan Majistret, Kartini Kasran.

    Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa telah mencuri kabel milik Telekom Malaysia pada 23 Jun lalu pada pukul 11 pagi di tepi jalan Solok Jelawai, Rembau, lapor Sinar Harian.

    Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan boleh di hukum di bawah seksyen dan akta yang sama.

    Hukuman bagi seksyen berkenaan memperuntukkan penjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda, atau kedua-duanya, dan bagi kesalahan yang kedua atau yang kemudian boleh dihukum dengan pemenjaraan dan hendaklah juga dikenakan denda atau sebat jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Yap Tsu Sheng manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Mahkamah kemudiannya memerintahkan tertuduh diberi jamin sebanyak RM4,000 dan menetapkan 3 Ogos ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.

  • Otai Reformis bantah cadangan projek Stadium Shah Alam baharu

    Otai Reformis bantah cadangan projek Stadium Shah Alam baharu

    KUMPULAN Otai Reformis yang merupakan penyokong tegar Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim membantah cadangan kerajaan negeri Selangor untuk merobohkan Stadium Shah Alam dan membina arena yang lebih kecil untuk menggantikannya.

    Memetik laporan FMT, Setiausaha Otai Reformis, Abdul Razak Ismail berkata, projek membina stadium yang baharu menelan kos yang tinggi.

    Beliau berpandangan, adalah lebih baik dana itu disalurkan kepada mangsa banjir negeri itu termasuk di kawasan Sri Muda yang masih memerlukan bantuan.

    “Jumlah RM1,000 yang diberikan kepada mangsa banjir masih tidak mencukupi jika dibandingkan dengan kerosakan harta benda mereka mencecah puluhan dan ratusan ribu ringgit,” katanya kepada FMT.

    Abdul Razak menambah, tindakan merobohkan stadium itu akan mendatangkan kemarahan rakyat yang sedang susah ketika ini.

    Beliau memberitahu, tiada keperluan menggantikan stadium tersebut memandangkan struktur asalnya masih boleh digunakan, dan cuma perlu dinaik taraf.

    “Yang rosak bumbung sahaja, kenapa nak roboh stadium? Cukup naik taraf baiki kerosakan tertentu sahaja,” katanya.

    Abdul Razak mengulas tentang laporan media yang mendedahkan stadium tersebut yang pernah dinobat sebagai terbesar di Asia Tenggara dan menjadi stadium rasmi bagi pasukan bola sepak Red Giants didakwa akan diroboh dan digantikan dengan stadium baharu yang lebih kecil.

    Stadium baharu berkenaan dikatakan berkapasiti 30,000 hingga 40,000 penonton supaya mudah dijaga dan diselenggara berbanding Stadium Shah Alam sekarang yang berkeluasan kira-kira 155,000 meter persegi.

    Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pembangunan semula Kompleks Sukan Stadium Shah Alam di Seksyen 13 akan dilaksanakan berdasarkan hasil penilaian jawatankuasa khas.

    Menurut beliau, pembangunan semula itu juga akan membabitkan Stadium Malawati sebelum tindakan selanjutnya diumumkan tidak lama lagi.

    “Keputusan pembangunan semula Stadium Shah Alam (di Seksyen 13) akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya..

  • Polis tahan lelaki langgar kereta JPJ dengan jengkaut

    Polis tahan lelaki langgar kereta JPJ dengan jengkaut

    POLIS telah menahan pemandu jentolak yang melanggar pacuan empat roda milik Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) hingga terbalik menggunakan jengkaut dalam kejadian di Jalan Kepayan, Kampung Magatang, Keningau, Sabah, semalam.

    Lelaki berusia 60 tahun itu ditahan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau, selepas menerima laporan pukul 6.32 petang.

    Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Nor Rafidah Kasim berkata, pihaknya menerima laporan polis berkenaan kejadian seorang individu menghalang penjawat awam dalam menjalankan tugas.

    Menurutnya, individu terbabit turut menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam daripada menjalankan kewajipan.

    “Siasatan awal mendapati ketika menjalankan operasi harian, salah seorang anggota JPJ cawangan Keningau menahan dan membuat pemeriksaan ke atas kenderaan berat jenis backhoe yang mencurigakan.

    “Ketika pemeriksaan dijalankan mendapati terdapat kesalahan. Ketika saman hendak dikeluarkan, pemandu terbabit tidak berpuas hati dan marah dengan bertindak melanggar kenderaan JPJ yang dinaiki oleh petugas hingga mengakibatkan kerosakan pada kenderaan berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, lapor Beria Harian.

    Tambah Nor Rafidah, petugas bagaimanapun sempat menyelamatkan diri dan tiada kecederaan direkodkan ketika kejadian.

    “Kejadian kemudian dimaklumkan kepada polis dan suspek ditahan di lokasi kejadian pada hari yang sama.

    “Polis turut merampas jengkaut yang digunakan ketika kejadian. Suspek warga tempatan dan rampasan dibawa balik ke IPD Keningau untuk siasatan lanjut,” katanya.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 186 dan 353 Kanun Keseksaan antaranya kerana menghalang tugas penjawat awam serta Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.

    “Orang awam dinasihati untuk tidak membuat sebarang spekulasi terhadap video tular dalam media sosial yang akan mengganggu siasatan polis,” katanya.

    Terdahulu, tular video berdurasi 51 saat memaparkan tindakan seorang lelaki melanggar kenderaan pacuan empat roda milik JPJ hingga terbalik menggunakan jengkaut yang dipandunya.

    Rakaman kejadian yang tular di media sosial bagaimanapun memaparkan anggota dan pegawai JPJ yang terbabit terselamat tanpa sebarang kecederaan.

  • Lari pemeriksaan polis gara-gara bawa dadah

    Lari pemeriksaan polis gara-gara bawa dadah

    TINDAKAN nekad seorang lelaki yang cuba meloloskan diri dengan memecut laju kereta semasa pemeriksaan polis di tepi jalan Taman Ikhlas, Bandar Sungai Long, Kajang, semalam membongkar penemuan dadah.

    Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, dalam kejadian pukul 11.10 pagi, kereta jenis Nissan Almera yang dipandu lelaki berusia 23 tahun telah melanggar kereta peronda polis (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang dan kereta orang awam semasa cuba melarikan diri.

    Beliau berkata, suspek bagaimanapun berjaya ditahan di Lebuhraya Grand Saga berhampiran susur keluar Balakong/Sungai Long.

    “Pemeriksaan polis telah menemui bahan disyaki dadah jenis heroin dan methamphetamine bernilai kira-kira RM693.

    “Suspek yang memiliki rekod lampau bersabit kes dadah itu juga didapati positif dadah hasil ujian saringan air kencing,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini, lapor Astro Awani.

    Kes disiasat di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

    Tambah Mohd. Zaid, Polis Daerah Kajang menasihatkan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes jenayah dan dadah khususnya di daerah ini boleh disalurkan kepada pihaknya untuk tindakan lanjut.

  • Macau Scam kreatif perdaya mangsa, kes penipuan meningkat tahun ini

    Macau Scam kreatif perdaya mangsa, kes penipuan meningkat tahun ini

    SEBANYAK 383 tangkapan membabitkan jenayah komersial direkodkan di Negeri Sembilan sejak Januari hingga Mei lalu, kata Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ruslan Khalid.

    Menurut beliau, kes penipuan pembelian dalam talian mencatatkan kes tertinggi dan 249 daripada keseluruhan tangkapan sudah dituduh di mahkamah.

    “Kes penipuan jual beli dalam talian mencatatkan 189 kes manakala 66 tangkapan membabitkan pinjaman tidak wujud, sebanyak 51 tangkapan bagi kes skim pelaburan, penipuan tawaran kerja (35), Macau Scam (24) dan Love Scam (18).

    “Modus operandi seperti Macau Scam ini, mereka menggunakan nombor tidak dikenali dan menyamar sebagai pihak berkuasa seperti pegawai polis dan pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

    “Mereka memaklumkan mangsa terbabit dalam beberapa kes jenayah termasuk langgar lari, dadah atau penggubahan wang haram dan melarang mangsa untuk memberitahu sesiapa,” katanya memetika laporan Harian Metro, hari ini.

    Katanya, sindiket Macau Scam sangat kreatif kerana terdapat peningkatan kes pada tahun ini berbanding tahun lalu dan pihaknya sentiasa memberikan pendedahan, kesedaran serta kempen bagi mencegah orang daripada menjadi mangsa.

    “Bagi tempoh Januari hingga Mei lalu, sebanyak 839 kes jenayah komersial dilaporkan di negeri ini iaitu peningkatan 6.87 peratus iaitu sebanyak 785 kes berbanding tempoh sama tahun lalu,” katanya.

    Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut memberi peringatan kepada orang ramai supaya tidak terjebak menjadi keldai akaun menerusi iklan di laman sosial yang menawarkan untuk menyewa nombor akaun bank.

    “Mereka sanggup bersubahat dengan ‘scammer’ bagi mendapatkan wang, melakukan jenayah dengan menganiaya orang lain. Saya mahu ingatkan masyarakat supaya tidak terjebak dengan iklan menarik yang ditawarkan kerana kesannya akan membinasakan diri dan keluarga,” katanya.