MAHKAMAH Tinggi di Kuala Lumpur hari ini, menetapkan tarikh baharu pada 1 September ini untuk keputusan kes rasuah Datin Seri Rosmah Mansor membabitkan projek solar hibrid untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion.

Tarikh itu ditetapkan Timbalan Pendaftar Catherine Nicholas ketika pengurusan kes di dalam kamarnya yang dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Poh Yih Tinn dan peguam Datuk Jagjit Singh dan Datuk Akberdin Abdul Kader, yang mewakili Rosmah.

Akberdin ketika ditemui pemberita berkata, pihaknya dimaklumkan untuk hadir ke prosiding pengurusan kes hari ini melalui surat mahkamah bertarikh 29 Jun.

“Pihak-pihak hadir hari ini dan mahkamah menjadualkan semula tarikh keputusan baharu pada 1 September, pukul 9 pagi,” katanya.

Poh, yang mengesahkan perkara itu memberitahu pemberita bahawa Hakim Mohamed Zaini Mazlan mahu memberikan keputusannya pada Ogos ini tetapi pihak-pihak hanya bersetuju bagi tarikh pada September.

Mohamed Zaini sebelum ini menetapkan 7 Julai untuk menyampaikan keputusan sama ada isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak itu akan dibebaskan atau disabitkan dengan tiga pertuduhan rasuah.

Pada 18 Februari tahun lalu, Rosmah, 70, diperintah membela diri terhadap tiga pertuduhan selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap beliau.

Rosmah dituduh meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin melalui bekas pembantunya Datuk Rizal Mansor sebagai ganjaran membantu Jepak Holdings memperoleh projek bernilai RM1.25 bilion untuk menyediakan tenaga hibrid solar di 369 sekolah di luar bandar Sarawak.

Pada 24 Jun lalu, Rosmah memfailkan permohonan terbaharunya untuk mencabar pelantikan Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai timbalan pendakwa raya kanan dalam kes rasuah membabitkan projek hibrid solar dihadapinya dan memohon perbicaraan penuh kes itu yang berlangsung sejak 2018, terbatal dan tidak sah.

Permohonan kebenaran semakan kehakiman itu akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi (Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) Datuk Ahmad Kamal Md Shahid pada 6 Julai ini.

Sebelum ini Rosmah memfailkan permohonan sama di Mahkamah Tinggi Jenayah di sini, bagaimanapun permohonannya ditolak oleh Mahkamah Tinggi dan rayuannya terhadap permohonan itu juga ditolak oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here