Category: Semasa

  • 712,435 PATI daftar Program Rekalibrasi, kata Hamzah

    712,435 PATI daftar Program Rekalibrasi, kata Hamzah

    SERAMAI 712,435 pendatang tanpa izin (PATI) berjaya didaftarkan di bawah Program Rekalibrasi sejak dilaksanakan pada November 2020 hingga tarikh akhir pelaksanaannya, 30 Jun lepas.

    Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, setakat 30 Jun lalu Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mendaftarkan 293,907 PATI di bawah Program Rekalibrasi Pulang.

    “Pada Oktober 2020, kita kata kalau mereka hendak kerja boleh daftar dan nak pulang boleh daftar.

    “Sementara seramai 418,528 PATI telah berdaftar dengan kita semula, maknanya Program Rekalibrasi Tenaga Kerja,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Surat Keputusan Kewarganegaraan di ibu pejabat KDN di Putrajaya, hari ini, lapor Astro Awani.

    Jelas Hamzah lagi, program itu bagi memastikan setiap warga asing di negara ini dikenal pasti.

    Mengulas lanjut, kerajaan ujarnya akan mengumumkan program e-locker iaitu program melindungi tenaga kerja asing daripada menjadi mangsa mana-mana majikan yang tidak bertanggungjawab.

    “Kita akan umumkan satu program menentukan semua pekerja melalui proses e-locker.

    “Di mana kita tahu orang ini tinggal di mana, gaji dia dapat atau tidak semua ini kita akan lakukan, tidak lama lagi kita akan umumkan.
    Sekarang kita dalam proses menyelesaikan (program) ini.

    “Sebenarnya tanggungjawab KDN bukan hanya menjaga keselamatan negara, tetapi keberadaan mereka (tenaga kerja asing) di Malaysia juga adalah tanggungjawab KDN. Kita nak pastikan orang yang ada ini ada dokumen,” katanya lagi.

  • Pembekuan sementara pekerja Indonesia:Malaysia masih ada 15 negara sumber – Hamzah

    Pembekuan sementara pekerja Indonesia:Malaysia masih ada 15 negara sumber – Hamzah

    MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, Malaysia masih mempunyai 15 negara sumber lain bagi pengambilan pekerja asing.

    Katanya, ini susulan Indonesia membekukan sementara kemasukan tenaga kerja negara itu berkuat kuasa serta-merta.

    “Kita ada banyak warga asing yang datang duduk bekerja. Negara sumber nombor satu adalah Bangladesh, dan kita ada 15 lagi negara sumber,” jelasnya memetik laporan Astro Awani, hari ini.

    Hari ini, Indonesia dilaporkan membeku penghantaran semua pekerja ke Malaysia serta-merta berikutan pelanggaran syarat-syarat dalam Memorandum persefahaman (MoU) bagi pengambilan dan perlindungan pekhidmat domestik Indonesia (PDI) di Malaysia.

    Duta Besar Indonesia ke Malaysia Hermono mengesahkan bahawa surat rasmi berhubung keputusan ini telah diserahkan kepada Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan semalam.

    Antara lain, langkah itu diambil berikutan penggunaan Sistem Maid Online (MOS) oleh Jabatan Imigresen Malaysia dalam pengambilan pekhidmat domestik Indonesia merupakan pelanggaran MoU yang ditandatangani pada 1 April lalu.

    Mengulas lanjut, ujar Hamzah, kementeriannya mengambil serius dalam memastikan setiap tenaga kerja asing yang memasuki Malaysia mengikut syarat yang ditetapkan.

    Malah ujarnya, penggunaan MOS dalam pengambilan pekerja domestik bukan hanya tertumpu tenaga kerja warga Indonesia, sebaliknya untuk kesemua 15 negara sumber.

    “Saya nak maklumkan permohonan secara atas talian itu dah umumkan kepada dunia, boleh kita gunakan sistem online takkan ada orang kata tidak boleh sistem ‘online’. Kenapa pula? Ini sistem yang kita gunakan.

    “Jadi ia bukan hanya untuk Indonesia tapi untuk semua warga asing datang (bekerja) yang perlukan visa boleh buat secara atas talian,” jelasnya lagi.

    Tambahnya, sistem MOS yang digunakan bertujuan memastikan setiap warga asing yang ingin bekerja di Malaysia mempunyai dokumentasi lengkap.

    “Yang penting kepada semua untuk memahami bahawa, kita ingin memastikan semua tenaga kerja asing mempunyai dokumen yang lengkap jika mereka ingin datang dan tinggal di negara ini,” katanya.

  • Permohonan UMNO: RoS belum keluarkan surat – Hamzah

    Permohonan UMNO: RoS belum keluarkan surat – Hamzah

    MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata,  Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) terletak di bawah kementeriannya namun sebagai menteri beliau tidak mempunyai kuasa untuk membuat kelulusan berhubung permohonan UMNO  meminda Perlembagaannya bagi menangguh pemilihan parti itu.

    Sehubungan itu Hamzah berkata, buat masa ini beliau difahamkan RoS belum mengeluarkan surat berkaitan permohonan UMNO.

    ‘’Saya menteri mengawal RoS, tapi keputusan itu RoS buat secara bebas,” katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis penyerahan surat keputusan kewarganegaraan di Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya hari ini.

    Mengenai kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa RoS mempunyai masa hingga 16 Julai untuk meluluskan pindaan itu, Hamzah berkata ia terserah kepada jabatan berkenaan untuk mempercepatkannya.

    “Itu permohonan Perdana Menteri, minta supaya kalau boleh bagi (keputusan) sebelum 16 Julai, itu juga kita tak boleh nak salahkan Perdana Menteri sebab beliau memohon kalau boleh percepatkan, kalau boleh buat sebelum 16 Julai apa salahnya.

    “Saya menteri KDN hanya apabila (ia membabitkan) perkara rayuan, itu boleh tanya saya, rayuan mesti dibuat kepada menteri dalam negeri, bab permohonan asal (saya tak boleh campur),” katanya.

    Sebelum ini Perdana Menteri berkata, JPPM mempunyai masa hingga 16 Julai untuk meluluskan pindaan perlembagaan UMNO bagi menangguhkan pemilihan parti itu.

  • B-19 AFF: Harimau Muda ke pentas akhir selepas baham Vietnam

    B-19 AFF: Harimau Muda ke pentas akhir selepas baham Vietnam

    SKUAD bola sepak Bawah 19 Tahun (B-19) negara melangkah ke pentas akhir Kejohanan B-19 Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) penuh bergaya, dengan menewaskan Vietnam 3-0 pada aksi separuh akhir di Bekasi, Indonesia, hari ini.

    Pada perlawanan berlangsung di Stadium Patriot Candrabhaga itu, skuad muda negara berjaya mendahului pada minit ke-26, menerusi jaringan Adam Farhan Faizal.

    Namun demikian walaupun kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dan menguji barisan pertahanan lawan, keadaan itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

    Separuh masa kedua perlawanan memperlihatkan Vietnam yang ketinggalan cuba untuk menyamakan kedudukan, dengan mengasak ke gol Malaysia, namun gagal.

    Dalam keadaan asakan bertali arus Vietnam itu, skuad muda negara berjaya menambah jaringan pada minit ke-70 selepas bola leret Haqimi Azim di dalam kawasan kotak penalti, berjaya disempurnakan Haiqal Haqeemi Hairi.

    Ternyata momentum jaringan tersebut tidak terhenti buat skuad muda negara selepas Hayqal Danish Haizon menjadikannya 3-0, pada ketika perlawanan berbaki tiga minit.

    Malaysia dijadualkan bertemu sama ada pasukan Laos atau Thailand yang turut bertemu pada satu lagi aksi separuh akhir malam ini.

    Pencapaian terbaik skuad negara di pentas Kejuaraan B-19 AFF adalah semasa menjuarai edisi 2018 dengan menumbangkan Myanmar 4-3 pada final di Indonesia.

    Malaysia juga berjaya mara ke final ketika edisi terakhir pada 2019 di Vietnam, namun dikecewakan Australia yang merangkul kejuaraan kelima dengan keputusan 1-0. – BERNAMA

  • KXP: Penamatan ECK tiada kaitan Musang King di Gunung Inas

    KXP: Penamatan ECK tiada kaitan Musang King di Gunung Inas

    Oleh BADLISHAH MAT

    KUMPULAN Syarikat ECK (ECK) sudah tidak lagi terlibat dalam projek pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) di Kedah, kata Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor

    Beliau menegaskan, usaha sama tersebut ditamatkan bukan kerana syarikat berkenaan memiliki kaitan dengan penanaman durian Musang King di Gunung Inas seperti didakwa sesetengah pihak.

    Sebaliknya Muhammad Sanusi berkata, penamatan itu disebabkan syarikat berkenaan tidak dapat memenuhi syarat dipersetujui kedua-dua pihak sebelum ini.

    Katanya, salah satu syarat yang gagal dipenuhi ECK adalah mereka gagal menyediakan deposit yuran komitmen yang berjumlah 125 peratus daripada RM2.1 bilion untuk pengambil alihan tanah

    “Itu adalah perkara asas dan apabila tanah tak dapat diambil, maka projek itu tak ‘jalanlah’. Tetapi kita tak berniat nak batalkan projek tersebut. Apabila khidmat mereka ditamatkan, kita cari orang lain pula untuk buat usaha sama bagi laksanakan projek tersebut.

    “Yang pastinya penamatan usaha sama bersama ECK ini tiada kaitan dengan ladang duriang Musang King di Gunung Inas atau kejadian kepala air serta banjir yang berlaku.

    “Saya buat keputusan tamatkan usaha sama dengan ECK pada Mei sedangkan kejadian banjir baru berlaku minggu lepas, macam mana boleh kata ada kena mengena?” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan Kolaborasi Inisiatif Kulim Smart Parking antara Majlis Perbandaran Kulim dan Heitech Padu Bhd di Wisma Darul Aman, hari ini.

    Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Muhkriz Mahathir semalam mendakwa, ECK telah membeli syarikat Aman Mega Sdn. Bhd. yang kemudian dibenarkan menanam durian Musang King ketika Kedah ditadbir Barisan Nasional (BN), pada era Ahmad Bashah menjadi Menteri Besar.

    Menurut Mukhriz, Sanusi kemudiannya menganugerahkan projek KXP kepada ECK sebelum anugerah itu dibatalkan berikutan ketidak mampuan syarikat berkenaan melaksanakan projek mega tersebut.

    Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata, ketika ini terdapat tujuh atau lapan syarikat yang menunjukkan minat untuk meneruskan projek KXP seperti dihasratkan kerajaan negeri.

    “Mereka sudah hantar kertas cadangan dan KXP AirportCity Holdings Sdn. Bhd. akan buat penilaian serta usaha wajar (due diligence) bagi memilih syarikat yang layak. Kita akan laksanakan proses pemilihan paling menyakinkan sebab projek ini melibatkan pelaburan besar,” katanya.

  • Dua ditahan terbabit kes lelaki jatuh bangunan

    Dua ditahan terbabit kes lelaki jatuh bangunan

    DUA lelaki tempatan ditahan polis selepas dipercayai terbabit dalam kes bunuh seorang lelaki yang jatuh dari tingkat atas sebuah bangunan di Kelana Jaya, di Petaling Jaya, semalam.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pukul 2.50 petang.

    “Sepasukan anggota polis dikejarkan ke lokasi kejadian sebelum mendapati mayat seorang lelaki dipercayai warga asing dalam keadaan bogel.

    “Setakat ini, kami belum mengenal pasti identiti mangsa berkenaan yang dianggarkan berusia lingkungan 30-an,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Harian Metro.

    Susulan itu pihaknya menahan dua lelaki tempatan masing-masing berusia 40-an yang dipercayai terbabit dalam kes terbabit di sebuah kediaman di lokasi kejadian pukul 10.15 malam tadi.

    Katanya, polis turut merampas pelbagai barangan peribadi milik suspek termasuk telefon bimbit serta beberapa peralatan seks,” katanya.

    “Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh,” katanya.

  • ”Tak ada faedah apa pun. Mangsa tergolek di sana kita berkelahi” -Sanusi

    ”Tak ada faedah apa pun. Mangsa tergolek di sana kita berkelahi” -Sanusi

    Oleh BADLISHAH MAT

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menegaskan beliau enggan terlibat dalam permainan tuduh-menuduh antara dua bekas Menteri Besar negeri itu berhubung isu Musang King di Kupang, Baling.

    Beliau enggan mengulas lanjut dakwaan Datuk Seri Mukhriz Mahathir terhadap Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah kerana perkara itu tidak membawa manfaat kepadanya dan rakyat.

    “No komen. Saya tak mahu terlibat dalam blame game. Hangpa (kamu) duk heret saya masuk blame game. I won’t play. Saya tak mahu mencari salah orang. Tak ada faedah apa pun. Mangsa tergolek di sana kita berkelahi,” katanya selepas melancarkan Kolaborasi Inisiatif Kulim Smart Parking antara Majlis Perbandaran Kulim dan Heitech Padu Bhd di Wisma Darul Aman, hari ini.

    Semalam, Mukhriz mendakwa bahawa penanaman durian Musang King di Gunung Inas yang dikaitkan dengan tanaman durian Musang King dibuat Ahmad Bashah ketika menjadi Menteri Besar pada 2016 hingga 2018.

    Justeru, beliau meminta agar kedua-dua pemimpin itu tidak bercakaran antara satu sama lain, sebaliknya mencari jalan penyelesaian terhadap masalah rakyat yang dihadapi.

    “Tak ada faedah apa (cari) siapa bersalah. Dah bersalah jadi apa? Adakah orang yang rumah runtuh akan terbina semula rumah dia bila kita jumpa orang yang bersalah (tetapi) kita kena usahakan nasib mereka terbela,” katanya.

    Dalam pada itu, beliau menggesa semua pihak memberi ruang secukupnya kepada jabatan serta agensi kerajaan yang terlibat dalam siasatan tragedi kepala air dan banjir lumpur sebelum membuat rumusan terhadap punca kejadian itu di Kupang.

    Muhammad Sanusi berkata, beliau tidak akan memberi sebarang tempoh masa kepada pihak terbabit termasuk Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) untuk melakukan tugas mereka.

    “Ya, kita bagi masa yang cukuplah kepada jabatan ini. Saya tak tahu (berapa lama), terpulanglah kepada jabatan, free and easy. Kerana kalau kita bagi sebab (punca) apa pun, penduduk tak akan dapat balik kepada kedudukan asal.

    “Orang desak saya buat rumusan cepat (untuk) katakan Musang King itu penyebab kepada banjir. Tetapi tak boleh begitu kerana sebagai ketua kerajaan saya kena dengar laporan jabatan dan agensi yang ada kepakaran khusus dalam bidang berkaitan.

    “Kalau saya mendahului mereka, tiba-tiba dapatan (hasil siasatan) jabatan dan agensi berlainan, akan flip flop. Kerajaan tak boleh begitu kerana kena guna dapatan agensi dan jabatan kita. Saya tak boleh pakai jabatan netizen punya pandangan,” katanya.

  • Empat maut dalam kemalangan tujuh kenderaan

    Empat maut dalam kemalangan tujuh kenderaan

    EMPAT meninggal dunia dalam kemalangan melibatkan tujuh kenderaan di Kilometer 277.1 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan dekat Ipoh, hari ini.

    Menurut Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, pihaknya menerima panggilan kejadian itu pada pukul 3.02 petang melibatkan enam kereta dan sebuah treler.

    “Kemalangan telah mengakibatkan empat mangsa dengan tiga daripadanya wanita tersepit. Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Meru Raya telah dihantar ke lokasi kejadian bagi mengeluarkan mangsa.

    “Pegawai perubatan yang hadir ke lokasi mengesahkan kesemua mangsa telah meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Kesemua mangsa yang maut telah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut, operasi tamat pada pukul 4.16 petang.

  • Lelaki maut selepas kereta dipandu terbakar

    Lelaki maut selepas kereta dipandu terbakar

    SEORANG lelaki maut selepas kereta dipandunya terbakar di Kilometer 303.4 Lebuhraya Utara Selatan dari Serdang ke Kajang, bangi, hari ini.

    Pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pukul 12.53 tengah hari.

    Susulan itu kata Ketua Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Zulfikar Jaffar, seramai 11 anggota bersama tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bangi dan BBP Serdang dikejarkan ke lokasi kejadian.

    “Sebaik tiba, kami mendapati kereta terbakar 100 peratus selepas terbabit dalam kemalangan di lokasi berkenaan.

    “Difahamkan pemandu kereta itu iaitu seorang lelaki berusia 20-an sempat dibawa keluar dari kenderaan berkenaan oleh orang awam.

    “Mangsa dilaporkan mengalami kecederaan di paha kiri dan patah tangan kiri,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Bagaimanapun ujarnya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan.

    Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, katanya.

  • Perjanjian antara Muhyiddin dengan Ismail Sabri lebih banyak untungkan orang UMNO

    Perjanjian antara Muhyiddin dengan Ismail Sabri lebih banyak untungkan orang UMNO

    Oleh DATUK DR.MARZUKI MOHAMAD

    PERJANJIAN antara Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob banyak menguntungkan orang UMNO. Dengan perjanjian itulah seorang pemimpin UMNO menjadi Perdana Menteri.

    Usah dinafikan apabila Perdana Menteri daripada UMNO, banyak orang UMNO dapat manfaat. Tak perlu saya hurai satu persatu apa manfaatnya.

    Tetapi nampaknya orang UMNO lah yang paling tak suka dengan perjanjian itu. Ini saya kurang faham. Kenapa jadi begitu?

    Sepatutnya sambut baiklah perjanjian itu. Dengan perjanjian itulah, semua Menteri dan Timbalan Menteri UMNO yang ada dalam Kabinet kerajaan PN kekal dalam Kabinet. Yang tak jadi Menteri sebelum ini pun dapat naik pangkat jadi Menteri.

    Itu belum kira yang dapat merasa duduk dalam board GLC dan badan-badan berkanun. Daripada Ketua Cawangan, Ketua Puteri, Ketua Wanita, Ketua pemuda sampailah ketua Bahagian dapat merasa.

    Kalau tak duduk dalam ‘board’ GLC pun sekurang-kurangnya dapat jadi ketua kampung dan ahli JKKK. Tak terfikirkah mereka yang semua ini berlaku kerana adanya perjanjian itu. Tak terfikirkah mereka semua ini takkan berlaku kalau Muhyiddin tak tandatangan perjanjian itu dengan Ismail Sabri.

    Jadi kenapa malu nak mengaku adanya perjanjian? Yang ada rugi sedikit daripada perjanjian ini adalah orang-orang Bersatu. Yang dulu duduk dalam board GLC dan badan-badan berkanun dah tak disambung lagi khidmat mereka. Tempat itu diisi oleh orang-orang UMNO pula.Tak mengapalah, mungkin kerana dah tamat tempoh perkhidmatan,  tak disambung pun tak pe. Dapat peluang berkhidmat setahun dua pun dah cukup bertuah.

    Mereka tak bising. Mereka tak buat hal. Malah merekalah yang paling kuat mempertahankan perjanjian antara Muhyiddin dan Ismail Sabri kerana hormat mereka kepada pemimpin parti.  Tawadduk betul orang-orang Bersatu ni.

    Saya rasa bertuah berada dalam parti yang dikelilingi oleh orang-orang yang tawadduk. Tidak tamak dan haloba. Reda saja dengan ketentuan Allah. Jika ada rezeki ada lah. Jika tak ada rezeki kali ini, mungkin Allah nak bagi yang lebih baik. Mungkin itu lah yang ada dalam pemikiran orang-orang Bersatu yang tawadduk ini.

    Mereka fokus buat kerja. Mangsa banjir kepala air di Baling dibantu. Bakul makanan terus dihantar ke rumah-rumah dalam keadaan rakyat susah zaman inflasi ini. Srikandi Bersatu pelopori projek tanaman hidroponik sayur-sayuran untuk diagih secara percuma kepada orang-orang kampung.

    Ahli-ahli Parlimen dan ADUN Bersatu terus buat kerja untuk rakyat. Mereka tak sibuk nak ugut itu dan ini. Mereka tak ambil pot pun apa orang UMNO nak kata.

    Mungkin inilah budaya politik baru yang dicari. InsyaAllah dalam setiap kesusahan ada kesenangan. Itu janji Allah.

    *Datuk Dr.Marzuki Mohamad adalah bekas Ketua Setiausaha Sulit Kanan Perdana Menteri Kelapan.