Category: Semasa

  • Mahkamah benarkan premis Rumah Bonda dibuka semula

    Mahkamah benarkan premis Rumah Bonda dibuka semula

    PREMIS Pertubuhan Kebajikan Rumah Bonda Kuala Lumpur, yang lebih dikenali sebagai Rumah Bonda dibenarkan untuk beroperasi semula selepas Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan membuka ‘Lak’ yang difailkan pengerusi rumah perlindungan itu, Siti Bainun Ahd Razali.

    Majistret Nur Syafiqah Noorinda mengeluarkan perintah itu selepas membenarkan permohonan Rumah Bonda melalui Siti Bainun selaku plaintif yang memohon untuk menanggalkan lak yang telah dibuat oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKM WPKL) pada 12 Julai 2021.

    Peguam Asiah Abd Jalil yang mewakili Siti Bainun ketika dihubungi berkata perintah menanggalkan lak diberikan oleh mahkamah di bawah Seksyen 16A Akta Pusat Jagaan 1993 tidak dibantah oleh pihak JKM dan Rumah Bonda hendaklah berakujanji bahawa premis itu tidak akan digunakan sebagai pusat jagaan.

    “Rumah Bonda sudah dikompaun berjumlah RM5,000 dan ia telah dibayar pada 25 April lepas,” kata peguam itu.

    Prosiding hari ini turut dihadiri Peguam Persekutuan Fatin Shafira Ab Patah yang mewakili Pengarah JKM WPKL.

    Pada 7 Jun lepas, Rumah Bonda memfailkan saman terhadap JKM WPKL selaku defendan bagi memohon perintah menanggalkan lak yang telah dibuat pada 12 Julai 2021 ke atas premis itu di Taman Setapak, dan memohon perintah agar plaintif boleh menggunakan premis berkenaan bagi maksud lain selain daripada pusat jagaan, selain memohon kos dan relif lain yang sesuai oleh mahkamah.

    Berdasarkan afidavit sokongan yang difailkan bersama saman itu, Siti Bainun berkata beliau telah menerima Notis Lak daripada JKM WPKL, yang memaklumkan bahawa Rumah Bonda di Taman Setapak akan ditutup mengikut Seksyen 16(1) Akta Pusat Jagaan 1993.

    Dakwa Siti Bainun, tindakan lak yang dibuat pada 12 Julai 2021 atas alasan Rumah Bonda tidak berdaftar di bawah Akta Pusat Jagaan 1993 adalah tidak adil, tidak mengikut prinsip pentadbiran dan undang-undang administratif yang wajar, memandangkan JKM WPKL telah mengetahui bahawa rumah perlindungan itu sedang dalam proses permohonan pendaftaran.

    “Pada 20 April 2022, Rumah Bonda telah menerima notis tawaran kompaun berjumlah RM5,000 daripada JKM WPKL mengikut Peraturan-Peraturan Pusat Jagaan 1994 (Pengkompaunan Kesalahan), di bawah Seksyen 21A dan Seksyen 24 Akta Pusat Jagaan 1993 dan Rumah Bonda telah membuat bayaran penuh kompaun itu pada 25 April 2022,” katanya menerusi afidavit sokongan.

    Menurut Siti Bainun, beliau kecewa apabila dimaklumkan oleh Pegawai Penguatkuasa JKM WPKL bahawa, Rumah Bonda hanya boleh dibuka melalui satu perintah mahkamah walaupun kompaun telah dijelaskan sepenuhnya. – BERNAMA

  • ‘’Jika tidak dilantik pun, saya okay, banyak tugas lain’’ – Tajuddin

    ‘’Jika tidak dilantik pun, saya okay, banyak tugas lain’’ – Tajuddin

    AHLI Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman akur dengan apa sahaja keputusan kerajaan mengenai pelantikan beliau sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia.

    Sama ada dilantik atau tidak, bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memberitahu, ia adalah keputusan kerajaan dan beliau menerimanya.

    “Saya akur apa sahaja keputusan kerajaan, sama ada lantik (jadi) duta atau tak, saya akan terima apa sahaja ditentukan. Kalau dilantik, saya akan berkhidmat untuk manfaat kedua-dua negara.

    “Jika tidak dilantik pun, saya okay, banyak tugas lain yang saya akan buat. Saya juga Pengerusi Backbenchers, ada 50 wakil rakyat di bawah saya, saya juga jaga kawasan (Parlimen),” katanya kepada Berita Harian.

    Backbenchers merujuk kepada blok Ahli Parlimen kerajaan dan Tajuddin yang juga bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani serta pernah menjadi Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), dilantik mengetuainya pada September 2021.

    Jawatan Duta Besar Malaysia ke Indonesia kini kosong dengan yang terakhir disandang Datuk Zainal Abidin Bakar.

    Tajuddin menjelaskan, sehingga kini tiada pihak memaklumkan sama ada beliau tidak dilantik atau namanya tiada dalam senarai lantikan, sekadar diberitahu bahawa majlis penyerahan watikah ditangguhkan.

    Ditanya sama ada penangguhan itu bermakna beliau akan dilantik menjadi duta ke negara lain, Ahli Parlimen Pasir Salak itu berkata, pada pemahamannya, penangguhan bermakna mungkin ada perubahan atau sebaliknya.

    Katanya, jika kerajaan melihat beliau sesuai dilantik sebagai duta, maka beliau menerimanya dan sedia berkhidmat di mana-mana negara diarahkan.

    Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yakob ketika ditanya media mengenai status pelantikan Tajuddin sebagai duta, berkata Ahli Parlimen Pasir Salak itu akan mengeluarkan kenyataan berhubung isu berkenaan.

    Ia berikutan nama Tajuddin tidak ada dalam senarai penerima watikah pelantikan sebagai ketua perwakilan Malaysia ke luar negara pada majlis yang berlangsung di Istana Negara, petang Selasa lalu, sekali gus menimbulkan tanda tanya sama ada beliau telah digugurkan.

    Terdahulu pada 11 Julai, portal Free Malaysia Today (FMT) memetik sumber kerajaan, mendakwa Tajuddin digugurkan sebagai duta dan mengesahkan nama wakil rakyat itu tidak terkandung dalam senarai terbaru penerima watikah pelantikan diplomat daripada Yang di-Pertuan Agong.

    Bagaimanapun, satu lagi portal berita yang memetik sumber rapat dengan Pejabat Perdana Menteri, mendakwa pelantikan itu ‘masih di landasan betul’ dan penyerahan surat watikah hanya ditangguhkan.

    Sementara itu, Tajuddin ketika ditanya sama ada akan menyertai Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), menegaskan beliau adalah seorang pejuang dan akan bertanding mempertahankan kerusinya.

    “Jika UMNO tidak pilih saya sebagai calon pun, saya tetap bertanding. Saya sudah 50 tahun dalam politik, sudah lalui macam-macam, kena pecat, kena buang jawatan, tapi saya tak pernah kalah di Pasir Salak,” katanya tanpa menyatakan mahu bertanding sebagai calon Bebas atau atas tiket parti mana.

    Mengenai kepemimpinan Ismail Sabri, beliau berharap Naib Presiden UMNO itu dapat menjadi Perdana Menteri yang berlaku adil dan baik kepada semua.

    Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah ketika ditanya berhubung pelantikan Duta Besar Malaysia ke Indonesia, hanya memaklumkan proses itu ditangguhkan.

    “Ia ditunda, itu saja yang saya boleh katakan,” katanya juga enggan mengulas.

  • Lelaki Sierra Leone dituduh tipu wanita ganda wang guna cecair

    Lelaki Sierra Leone dituduh tipu wanita ganda wang guna cecair

    SEORANG lelaki warganegara Sierra Leone mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan menipu seorang wanita tempatan untuk menyerahkan wang RM50,000 dua bulan lepas.

    Aruna Saccoh, 39, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Inggeris di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.

    Saccoh didakwa menipu Chee Ting Han, 32, untuk menyerahkan wang tunai berjumlah RM50,000 dengan memperdaya wanita itu bahawa tertuduh boleh menggandakan wang menggunakan cecair kimia dengan cara cucian wang.

    Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan tempat letak kereta OUG Parklane, Brickfields pada 30 Mei lepas, mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya Nurliyana Mohd Jafri tidak menawarkan sebarang jaminan atas alasan tertuduh bukan warganegara dan tiada dokumen perjalanan sah.

    Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 18 Ogos ini untuk sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen serta lantikan peguam. – BERNAMA

  • Bot nelayan Indonesia karam; seorang lagi nelayan dijumpai selamat

    Bot nelayan Indonesia karam; seorang lagi nelayan dijumpai selamat

    SEORANG lagi mangsa bot nelayan asing Indonesia yang karam di perairan Pulau Pinang kelmarin dijumpai selamat oleh nelayan tempatan di kedudukan sekitar pantai Pulau Kendi hari ini.

    Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, pihaknya menerima laporan pukul 7.50 pagi tadi daripada bot nelayan tempatan yang memaklumkan menjumpai individu lelaki berada di pantai Pulau Kendi dalam keadaan lemah dan meminta bantuan dalam keadaan mencurigakan.

    Jelasnya, sebaik sahaja menerima maklumat tersebut, bot PERKASA 1220 Maritim Malaysia yang dalam Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) yang telah memasuki hari ketiga hari ini terus diatur gerak ke lokasi untuk mengambil mangsa.

    Jelasnya, mangsa dengan bantuan bot nelayan tempatan dipindahkan ke bot Maritim Malaysia seterusnya dibawa ke Jeti Marin Polis Marin Batu Uban untuk tindakan lanjut.

    “Hasil keterangan awal, mangsa, Zulham Efendi Marwani, 31, merupakan warga Indonesia. Keterangan lanjut ke atas mangsa akan diambil di ibu pejabat Maritim Negeri Pulau Pinang untuk pengesahan bahawa mangsa ialah salah seorang kru kapal yang karam dalam Operasi CARILAMAT yang diaktifkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Terdahulu, mangsa pertama bot karam warga Indonesia yang terselamat yang hanya dikenali sebagai Aswin, 43, telah diserahkan kepada Kedutaan Indonesia dan diterima sendiri oleh Konsular Jendral Republik Indonesia (KJRI) Pulau Pinang, Bambang Suharto daripada Leftenan Komander Maritim Mohd. Hafidz Abd. Aziz selaku wakil Maritim Malaysia Pulau Pinang pukul 10.00 pagi ini.

    Dalam pada itu, Bambang berterima kasih di atas keperihatinan Maritim Malaysia dalam usaha pencarian terhadap kejadian tersebut.

    “Sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut segera hubungi talian hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian (04-2626146) atau talian kecemasan MERS 999,” katanya.

  • Dua beranak terlibat kes khianat di CIQ Linkedua ditahan

    Dua beranak terlibat kes khianat di CIQ Linkedua ditahan

    SEORANG  wanita tempatan dan anak lelakinya warga Singapura yang terlibat dalam kes khianat di Kompleks Kastam Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua), ditahan pada 9.15 malam semalam.

    Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP Rahmat Ariffin berkata wanita berusia 46 tahun yang juga memiliki taraf penduduk tetap (PR) Singapura dan anaknya berumur 18 tahun itu, ditahan di Pos Pemeriksaan Kastam laluan masuk Singapura ke Malaysia, Kompleks Sultan Abu Bakar, Tanjung Kupang.

    Beliau berkata ketika siasatan kedua-duanya mengaku terlibat dengan kes tersebut dan direman sehari pada hari ini.

    “Dalam kejadian itu, suspek dipercayai tidak berpuas hati kerana kenderaannya telah dihalang serta bergesel semasa kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sebelum ini, tular di media sosial rakaman video berdurasi dua minit enam saat memaparkan tindakan seorang wanita berdiri di hadapan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan menahannya daripada bergerak di Linkedua.

    Dalam rakaman video itu, wanita terbabit dilihat mencabut nombor plat kenderaan berkenaan dan membalingnya, sebelum seorang lelaki muncul dari sebuah kereta berwarna merah dengan nombor pendaftaran Singapura dan menunjukkan isyarat lucah kepada pemandu MPV itu.

    — BERNAMA

  • Awal Ashaari kemuka representasi tuduhan rosak palang pagar

    Awal Ashaari kemuka representasi tuduhan rosak palang pagar

    SELEBRITI Awal Ashaari yang didakwa atas pertuduhan melakukan khianat dengan merosakkan palang pagar pondok pengawal milik pengurusan sebuah perumahan di Damansara akan mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) berkaitan pertuduhan itu.

    Peguam Hamizah Sobree yang mewakili Awal Ashaari atau nama sebenarnya Ahmad Awaluddin Ashaari, 41, memaklumkan kepada mahkamah pihaknya bercadang untuk mengemukakan representasi berdasarkan dokumen yang diterima daripada pihak pendakwaan hari ini.

    “Kami sahkan sudah menerima dokumen daripada pendakwaan dan bercadang untuk mengemukakan representasi berkenaan pertuduhan. Mohon arahan lanjut mahkamah,” katanya pada prosiding di hadapan Majistret Muhammad Iskandar Zainol, yang turut dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Siti Maryam Jamilah Ab Manaff.

    Muhammad Iskandar berkata pihak pembelaan boleh memfailkan representasi sekiranya dokumen yang diterima pada hari ini telah mencukupi dan menetapkan 25 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

    Ketika ditemui media di luar mahkamah, Hamizah berkata pihaknya memerlukan masa untuk meneliti dokumen berkaitan kes yang telah diserahkan oleh pihak pendakwaan sebelum memutuskan jenis representasi yang akan dikemukakan.

    Pada 17 Mei lepas, personaliti televisyen itu mengaku tidak bersalah melakukan khianat dengan merosakkan palang pagar milik Pengurusan Challis Damansara yang nilai kerugian dianggarkan RM600, di pondok pengawal Challis Damansara, Jalan PJU 3/30, Sunway Damansara, pada 11.30 pagi, 16 April lepas.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dari setahun dan tidak lebih dari lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – BERNAMA

  • Budak perempuan ditemui mati dengan kesan jerut, ibu direman

    Budak perempuan ditemui mati dengan kesan jerut, ibu direman

    KANAK-kanak perempuan berusia 11 tahun ditemukan meninggal dunia di sebuah rumah di Taman Bukit Tropika, Yong Peng, Johor.

    Dalam kejadian 4.55 petang semalam, mangsa ditemui dengan kesan luka di bahagian dahi dan kesan jerut di bahagian leher.

    Ketua Polis Johor, Kamarul Zaman Mamat, berkata siasatan awal mendapati tiada kesan kecederaan lain pada badan mangsa.

    “Keterangan saksi sudah diambil untuk mendapatkan fakta kejadian sebenar,” katanya menurut Harian Metro.

    Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

    “Ibu mangsa berusia 34 tahun ditahan untuk siasatan lanjut memandangkan terdapat kenyataan tidak konsisten daripada saksi dengan kenyataan suspek. Majistret Batu Pahat membenarkan suspek direman tujuh hari hingga 21 Julai ini,” katanya.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

  • KPDNHEP NS tumpas kegiatan seleweng diesel bersubsidi

    KPDNHEP NS tumpas kegiatan seleweng diesel bersubsidi

    KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan menumpaskan kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi berjumlah 31,215 liter dalam serbuan di sebuah stor haram di Kampung Bemban Hilir di Seremban, semalam.

    Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Negeri Sembilan, Abd Muis Samsudin berkata, menerusi serbuan hampir lapan jam bermula 5.30 petang itu, turut dirampas sebuah motolori tangki, lori ‘bonded’ diubah suai, tangki gelongsor, tangki petak dan peralatan untuk kerja pemindahan diesel dengan keseluruhan rampasan bernilai RM269,912.25.

    Beliau berkata ketika serbuan, empat lelaki tempatan dalam lingkungan umur 29 hingga 42 tahun sedang memindahkan minyak diesel daripada sebuah motolori tangki dan lori ‘bonded’ ke dalam tangki minyak yang berada di kawasan stor berkenaan.

    “Mereka cuba melarikan diri selepas menyedari kehadiran pasukan penguat kuasa namun berjaya ditahan bagi membantu siasatan. Pemeriksaan lanjut mendapati 11 unit tangki petak dan sebuah tangki gelongsor berisi minyak diesel dipercayai dipindahkan daripada lori berkenaan melalui hos.

    “Semakan juga mendapati premis itu tidak mempunyai lesen sah atau apa-apa dokumen kebenaran daripada pengawal bekalan untuk menjalankan urusan barang kawalan bersubsidi diesel,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, hasil risikan mendapati terdapat aktiviti pembelian diesel daripada stesen minyak oleh lori tangki berkenaan di sekitar bandar Seremban, selain dipercayai terdapat aktiviti penghantaran dan penyimpanan di lokasi berkenaan.

    Menurutnya, lokasi stor yang agak terpencil menjadikan sindiket berkenaan sukar dikesan pada peringkat awal penjejakan dan mereka disyaki menjadikan kawasan itu sebagai tempat penyelewengan minyak diesel bersubsidi sejak enam bulan lepas.

    Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Bekalan 1961 kerana menyimpan barang kawalan dengan niat melakukan kesalahan serta Seksyen 20 (1) Akta yang sama kerana menyimpan barang kawalan di tempat tidak dilesenkan.

    “KPDNHEP negeri akan terus menjalankan pemantauan dan pengguna di negeri ini boleh menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan peniaga yang tidak mematuhi undang-undang menerusi portal e-aduan.kpdnhep (https://eaduan.kpdnhep.gov.my) dan WhatsApp di talian 019-279 4317,” katanya. – BERNAMA

  • Penolong Pengarah JPN Kelantan maut dilanggar kereta

    Penolong Pengarah JPN Kelantan maut dilanggar kereta

    PENOLONG Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan maut selepas dilanggar sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki yang hanya memiliki lesen L, ketika berjalan kaki di Jalan Kota Bharu-Pasir Puteh berhampiran Sekolah Kebangsaan Padang Kala, di sini, pagi semalam.

    Ketua Polis Daerah Kota Bharu ACP Mohd Rosdi Daud berkata kejadian itu berlaku kira-kira 11.30 pagi, ketika mangsa Nik Mohd Hissham Mohamed Nor, 45, sedang berjalan dari sekolah tersebut menuju ke rumah sepupunya yang terletak di seberang jalan berhampiran lokasi kejadian.

    “Menurut keterangan saksi, ketika Nik Mohd Hissham berada di bahu jalan dari arah Peringat ke Melor, datang sebuah kereta Perodua Axia dari arah belakang telah termasuk ke bahu jalan lalu melanggar mangsa yang berada di bahu jalan.

    “Kejadian itu menyebabkan mangsa terseret sejauh 29 meter ke bahu jalan dan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Mohd Rosdi berkata kejadian itu mengakibatkan kereta terlibat mengalami kerosakan pada bahagian bampar dan cermin hadapan pecah, namun pemandu berusia 25 tahun dan penumpang kereta, 24, tidak mengalami kecederaan.

    Menurutnya ujian saringan air kencing terhadap pemandu dan penumpang kereta terbabit didapati negatif.

    “Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai disebabkan kecuaian dan kelekaan pemandu kereta yang tidak berhati-hati dan berhemah hingga menyebabkan berlakunya kemalangan serta kematian kepada mangsa.

    “Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

    — BERNAMA

  • Lelaki ditemukan mati dipercayai dipukul isteri

    Lelaki ditemukan mati dipercayai dipukul isteri

    SEORANG lelaki ditemukan maut dipercayai akibat dipukul isterinya dalam satu kejadian di Flat Nipah, Taman Daya, Johor Bahru pagi tadi.

    Mengesahkan kejadian itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Raub Selamat berkata pihaknya menerima panggilan mengenai insiden itu kira-kira 7.50 pagi.

    Beliau berkata, mangsa yang dikenali sebagai Lee Ming How, 44, ditemukan terbaring dalam rumah.

    “Susulan dari itu, isteri mangsa berusia 36 tahun telah ditahan dan akan dimohon reman hari ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Beliau berkata, kejadian itu turut disaksikan anak lelaki mereka, dipercayai berusia 11 tahun.

    Pasangan itu difahamkan mempunyai seorang lagi anak iaitu kanak-kanak perempuan berusia dua tahun.

    Raub berkata pihaknya masih menyiasat senjata dan motif kejadian serta satu kenyataan akhbar lebih lengkap akan dikeluarkan hari ini.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    Sementara itu, seorang penduduk Zaidah Neng, 46, berkata pasangan suami isteri itu kerap bergaduh dan wanita tersebut pernah ditahan polis sebelum ini.

    “Saya memang kenal pasangan suami isteri berkenaan, tetapi kami tidaklah terlalu rapat cuma dia selalu datang beli burger di gerai saya.

    “Wanita berkenaan baik sahaja orangnya, cuma dia seperti ada masalah mental, jadi ada ketikanya dia akan bertindak garang dan kerap marah-marah serta bercakap seorang dalam bahasa Mandarin,” katanya kepada pemberita.

    Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru untuk siasatan lanjut kira-kira pukul 11 pagi tadi.

    Sementara itu, wanita yang ditahan tersebut didapati berada di bawah pengaruh dadah.

    Raub berkata, hasil ujian saringan ke atas wanita itu mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

    “Wanita itu juga mempunyai tiga rekod lampau iaitu dua kes berkaitan dadah dan satu kes berkaitan jenayah (mendatangkan cedera).

    “Hasil siasatan mendapati motif pembunuhan dipercayai wanita itu berada di bawah pengaruh dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Raub berkata, pihaknya sedang mengesan seorang lelaki dipercayai terlibat dalam kes itu untuk membantu siasatan.

    Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

    Bagi kes positif dadah pula, wanita itu disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

    Raub turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian supaya menghubungi talian hotline Ibu Pejabat Daerah Johor Bahru Selatan di 07-2182 323 atau pegawai penyiasat ASP Kong Hock Peng di 019-7308 888.

    Dalam kejadian 7.50 pagi tadi, mangsa yang berusia 44 tahun ditemukan maut dengan muka dan kepala mengalami kecederaan, dipercayai diserang menggunakan objek tumpul.

    Lebih sejam kemudian, polis menahan seorang wanita berusia 36 tahun dipercayai isteri kepada mangsa berhampiran kawasan kejadian. – BERNAMA