AHLI Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman akur dengan apa sahaja keputusan kerajaan mengenai pelantikan beliau sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia.

Sama ada dilantik atau tidak, bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memberitahu, ia adalah keputusan kerajaan dan beliau menerimanya.

“Saya akur apa sahaja keputusan kerajaan, sama ada lantik (jadi) duta atau tak, saya akan terima apa sahaja ditentukan. Kalau dilantik, saya akan berkhidmat untuk manfaat kedua-dua negara.

“Jika tidak dilantik pun, saya okay, banyak tugas lain yang saya akan buat. Saya juga Pengerusi Backbenchers, ada 50 wakil rakyat di bawah saya, saya juga jaga kawasan (Parlimen),” katanya kepada Berita Harian.

Backbenchers merujuk kepada blok Ahli Parlimen kerajaan dan Tajuddin yang juga bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani serta pernah menjadi Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), dilantik mengetuainya pada September 2021.

Jawatan Duta Besar Malaysia ke Indonesia kini kosong dengan yang terakhir disandang Datuk Zainal Abidin Bakar.

Tajuddin menjelaskan, sehingga kini tiada pihak memaklumkan sama ada beliau tidak dilantik atau namanya tiada dalam senarai lantikan, sekadar diberitahu bahawa majlis penyerahan watikah ditangguhkan.

Ditanya sama ada penangguhan itu bermakna beliau akan dilantik menjadi duta ke negara lain, Ahli Parlimen Pasir Salak itu berkata, pada pemahamannya, penangguhan bermakna mungkin ada perubahan atau sebaliknya.

Katanya, jika kerajaan melihat beliau sesuai dilantik sebagai duta, maka beliau menerimanya dan sedia berkhidmat di mana-mana negara diarahkan.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yakob ketika ditanya media mengenai status pelantikan Tajuddin sebagai duta, berkata Ahli Parlimen Pasir Salak itu akan mengeluarkan kenyataan berhubung isu berkenaan.

Ia berikutan nama Tajuddin tidak ada dalam senarai penerima watikah pelantikan sebagai ketua perwakilan Malaysia ke luar negara pada majlis yang berlangsung di Istana Negara, petang Selasa lalu, sekali gus menimbulkan tanda tanya sama ada beliau telah digugurkan.

Terdahulu pada 11 Julai, portal Free Malaysia Today (FMT) memetik sumber kerajaan, mendakwa Tajuddin digugurkan sebagai duta dan mengesahkan nama wakil rakyat itu tidak terkandung dalam senarai terbaru penerima watikah pelantikan diplomat daripada Yang di-Pertuan Agong.

Bagaimanapun, satu lagi portal berita yang memetik sumber rapat dengan Pejabat Perdana Menteri, mendakwa pelantikan itu ‘masih di landasan betul’ dan penyerahan surat watikah hanya ditangguhkan.

Sementara itu, Tajuddin ketika ditanya sama ada akan menyertai Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), menegaskan beliau adalah seorang pejuang dan akan bertanding mempertahankan kerusinya.

“Jika UMNO tidak pilih saya sebagai calon pun, saya tetap bertanding. Saya sudah 50 tahun dalam politik, sudah lalui macam-macam, kena pecat, kena buang jawatan, tapi saya tak pernah kalah di Pasir Salak,” katanya tanpa menyatakan mahu bertanding sebagai calon Bebas atau atas tiket parti mana.

Mengenai kepemimpinan Ismail Sabri, beliau berharap Naib Presiden UMNO itu dapat menjadi Perdana Menteri yang berlaku adil dan baik kepada semua.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah ketika ditanya berhubung pelantikan Duta Besar Malaysia ke Indonesia, hanya memaklumkan proses itu ditangguhkan.

“Ia ditunda, itu saja yang saya boleh katakan,” katanya juga enggan mengulas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here