Category: Semasa

  • Tiga lelaki ditahan tak sampai 24 jam curi di kedai dobi

    Tiga lelaki ditahan tak sampai 24 jam curi di kedai dobi

    POLIS hari ini menahan tiga lelaki yang disyaki mencuri dua unit mesin token dan dua kamera rakaman litar tertutup (CCTV) di sebuah kedai dobi di Jalan Langgar, pagi semalam.

    Mereka ditahan kurang 24 jam selepas pemilik dobi membuat laporan kehilangan peralatan di premis berkenaan di Balai Polis Alor Setar, pada pukul 10.43 pagi semalam.

    Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir, berkata dalam kejadian itu, mangsa kerugian kira-kira RM8,000.

    Beliau berkata, sejurus laporan diterima, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar menggerakkan pasukan operasi untuk mengesan suspek.

    “Hasil daripada risikan, tiga lelaki warga tempatan berusia dalam lingkungan 30-an berjaya ditahan di tiga lokasi berasingan sekitar bandar raya ini, awal pagi tadi.

    “Polis turut merampas sebuah mesin token yang dipercayai dicuri untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Berita Harian.

    Ahmad Shukri berkata, kesemua suspek dibawa ke Kompleks Mahkamah Alor Setar, pagi ini, untuk permohonan reman.

    Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan (curi dalam bangunan) dan dengan tangkapan awal tiga suspek ini, kes dianggap selesai.

  • Bayi lapan bulan hilang suara, penglihatan akibat kemalangan

    Bayi lapan bulan hilang suara, penglihatan akibat kemalangan

    SEORANG bayi berusia lapan bulan menanggung derita sejak lebih dua bulan lalu sehingga kehilangan suara dan penglihatan akibat kemalangan.

    Ibunya, Nur Adilla Ab Ghani, 30, berkata, anaknya, Ahmad Ilham Mohd. Basyid, sebelum ini anak yang aktif dan mudah ketawa, namun kemalangan yang berlaku pada Mei lalu mengubah kehidupan anaknya itu sekelip mata.

    Katanya, akibat kemalangan itu, anak bongsu daripada dua beradik itu mengalami pendarahan di kepala dan perlu menjalani pembedahan membuang darah beku di Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian.

    “Anak saya ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital USM, selama 10 hari dan kemudian, hampir dua minggu menjalani rawatan lanjut di Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai.

    “Leher anak saya juga terpaksa ditebuk untuk memudahkannya bernafas, selain perlu minum susu yang diberikan melalui tiub yang dipasang di hidungnya.

    “Kedua-dua matanya juga tidak dapat melihat kesan daripada pendarahan di kepala,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Durian, di Kuala Krai, semalam.

    Terdahulu, keluarga berkenaan menerima kunjungan daripada aktivis masyarakat, Cempaka Merah Asnaf Society, Che Norhayati Mohamed, yang menyampaikan wang zakat dan sumbangan barang keperluan makanan asas.

    Menceritakan kembali kemalangan yang berlaku, Nur Adilla berkata, ketika kejadian beliau dan suaminya, Mohd. Basyid Mohd Nawi, 35, bersama dua anak mereka dalam perjalanan pulang ke rumah selepas selesai membeli barang di Guchil sebelum kereta yang dipandu suaminya terbabas.

    “Suami saya diserang sawan secara tiba-tiba ketika memandu dan akibat kemalangan itu, suami mengalami kecederaan di bahagian tulang rusuk dan Ahmad Ilham pula terhentak kepala. Saya dan anak sulung hanya mengalami luka kecil,” katanya lapor Berita Harian, hari ini.

    Nur Adilla berkata, setiap bulan beliau perlu memperuntukkan RM500 untuk membeli keperluan Ahmad Ilham, termasuk lampin pakai buang dan susu berharga RM117 satu tin, yang hanya mampu bertahan untuk tempoh sembilan hari.

    “Kami sekeluarga hanya bergantung kepada suami yang bekerja sebagai buruh dengan pendapatan RM50 sehari. Ada ketika, kami terpaksa meminjam wang daripada keluarga terdekat untuk membeli barang keperluan Ahmad Ilham.

    “Kami juga masih berhutang perbelanjaan rawatan anak di Hospital USM,” katanya.

  • Pencuci kapal didakwa bunuh isteri,bayi

    Pencuci kapal didakwa bunuh isteri,bayi

    SEORANG pencuci kapal didakwa di Mahkamah Majistret di Johor Bahru hari ini atas dua pertuduhan membunuh isteri dan bayinya di sebuah rumah di Kampung Bakar Batu, Johor Bahru awal bulan ini.

    Mohamad Amir Nazri Mohd Adam, 24, mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Mohd Zulhilmi Ibrahim.

    Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

    Bagi pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa membunuh Hajar Nursyahirin Rosman, 26, seorang suri rumah pada 11.30 pagi, manakala pertuduhan kedua tertuduh didakwa membunuh anak lelakinya Hans Mohamad Thaqeef berusia dua bulan, pukul 11.40 pagi.

    Kedua-dua pertuduhan itu didakwa dilakukan di No 44, Jalan Dewasa, Kampung Bakar Batu pada 4 Julai lepas mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.

    Mahkamah menetapkan 18 Ogos untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan bedah siasat dan kimia.

    Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu dihantar ke Hospital Permai di Johor Bahru bagi menjalani pemeriksaan mental.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Qaiyyum Ramlan, Muhammad Syafiq Mohd Ghazali dan Danial Munir, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Media sebelum ini melaporkan lelaki terbabit ditahan pada 4 Julai di kawasan Permas Jaya di Johor Bahru, beberapa jam selepas mayat dua beranak itu ditemukan di hadapan rumah mereka, di Kampung Bakar Batu.

    Lelaki berkenaan ditahan ketika menunggang motosikal dalam keadaan berbogel pada 2.45 petang dan polis turut merampas sebilah pisau pemotong daging daripada lelaki itu. -Bernama

  • Kumpulan pertama jemaah haji Malaysia tiba di tanah air

    Kumpulan pertama jemaah haji Malaysia tiba di tanah air

    KUMPULAN pertama jemaah haji Malaysia seramai 298 orang tiba di tanah air hari ini di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini melalui penerbangan Saudia Airlines SV 5612.

    Ketibaan mereka pada pukul 9.05 pagi dari Jeddah, Arab Saudi disambut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary dan Pengerusi Tabung Haji (TH) Tan Sri Azman Mokhtar.

    Ahmad Marzuk ketika ditemui pemberita berkata 49 penerbangan menerusi Malaysia Airlines (MH) dan Saudia Airlines disediakan bagi membawa kesemua 14,305 jemaah haji pulang ke tanah air bermula semalam hingga 13 Ogos ini.

    “Jemaah haji akan balik secara berperingkat dan mengikut jadual yang telah ditetapkan oleh TH… syukur operasi haji pada tahun ini berjalan dengan lancar.

    “Semua jemaah haji dapat melaksanakan ibadat dengan selamat, selesa dan teratur meskipun cuaca agak panas sehingga mencecah hampir 50 darjah celcius” katanya.

    Ahmad Marzuk berkata 32 jemaah haji Malaysia sedang menerima rawatan di hospital di Makkah kerana mengalami strok haba.

    “Alhamdulilah, semua jemaah haji yang menerima rawatan dilaporkan stabil… kita nasihatkan baki jemaah haji yang masih berada di Makkah untuk menjaga tahap kesihatan masing-masing,” katanya.

    Sementara itu Azman merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi haji kali ini terutama sekali Kedutaan Besar Diraja Arab Saudi di Malaysia.

    “TH amat berterima kasih kepada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, Muassasah Asia Tenggara serta semua agensi yang terlibat di dalam operasi haji di tanah air dan di tanah suci,” katanya. – Bernama

  • KIR miskin tegar meningkat lebih tiga kali ganda setakat Jun – Mustapa

    KIR miskin tegar meningkat lebih tiga kali ganda setakat Jun – Mustapa

    JUMLAH ketua isi rumah (KIR) yang dikategorikan sebagai miskin tegar menunjukkan peningkatan lebih tiga kali ganda bagi tempoh 2020 hingga Jun lalu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.

    Beliau berkata, berdasarkan Bank Data Kemiskinan Nasional atau eKasih diuruskan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri, sebanyak 144,932 ketua isi rumah dikategorikan sebagai miskin tegar setakat 30 Jun lalu berbanding 44,829 pada 2020.

    “Pertambahan ini berlaku susulan daripada penggunaan metodologi pendapatan garis kemiskinan (PGK) 2019 dan impak pandemik Covid-19.

    “Bagaimanapun kerajaan komited membasmi kemiskinan tegar menerusi sasaran dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) pada akhir tahun 2025.

    “Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) adalah pelengkap kepada program sedia ada untuk menangani isu kemiskinan merentasi semua etnik dalam Keluarga Malaysia.

    “Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (EPU) dan ICU telah diberi tanggungjawab untuk menyelaras dan memudah cara pelaksanaan program ini,” katanya pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

    Katanya, program pembasmian kemiskinan bukan sesuatu yang baharu dan telah mula sejak kemerdekaan dan dipergiatkan pada tahun 1970-an melalui Dasar Ekonomi Baru.

    Walau bagaimanapun ujarnya, di bawah BMTKM, kaedah dan pendekatan dalam membasmi kemiskinan tegar adalah berbeza dan lebih holistik.

    Sebelum itu, Datuk Mohd. Fasiah Mohd Fakeh (Bersatu-Sabak Bernam) meminta Perdana Menteri menyatakan bilangan rakyat yang dikategorikan sebagai miskin tegar bagi tempoh 2020 hingga kini, serta langkah kerajaan bagi menghapuskan kemiskinan tegar.

    Mengulas lanjut, Mustapa berkata, BMTKM akan dilaksanakan di 1,000 lokaliti dalam tempoh tiga tahun enam bulan, di mana fasa 1 telah mula dilaksanakan pada Jun lalu melibatkan 80 lokaliti secara rintis.

    Ujarnya, program yang akan dilaksanakan adalah untuk meningkatkan pendapatan yang merangkumi projek-projek pertanian, penternakan, keusahawanan, pemasaran serta pembangunan minda dan motivasi.

    Mustapa berkata anggaran pendapatan tambahan yang akan dijana adalah di antara RM300 hingga RM1,000 sebulan.

    Selain itu, beliau menambah Unit Kemiskinan khusus pada peringkat persekutuan, negeri dan daerah turut ditubuhkan serta mengguna pakai pendekatan keseluruhan negara berdasarkan masalah setempat dan bukannya ‘one size fits all’.

    Kerajaan juga katanya turut memperkenalkan dasar pemisah selepas tempoh dua hingga tiga tahun pelaksanaan.

  • Kes remaja hamil di Sarawak menurun sejak 2014

    Kes remaja hamil di Sarawak menurun sejak 2014

    MENTERI di Jabatan Premier Sarawak Datuk John Sikie Tayai memberitahu, kes remaja hamil di Sarawak mencatatkan penurunan sejak 2014.

    Menurutnya, penurunan daripada 3,401 kes pada 2014 kepada 1,623 kes sahaja pada 2021.

    “Berdasarkan statistik dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak pada 2021 sebanyak 11 bahagian di negeri ini dapat mencapai sasaran penurunan sebanyak 10 peratus atau lebih daripada jumlah kes kehamilan remaja pada tahun semasa berbanding tahun sebelumnya.

    “Bahagian ini merangkumi Limbang, Kapit, Samarahan, Sri Aman, Betong, Bintulu, Serian, Kuching, Sarikei dan Miri.

    “Hanya satu bahagian mencatatkan peningkatan dalam bilangan kes remaja hamil pada 2021 berbanding 2020 iaitu bahagian Mukah dengan peningkatan kes sebanyak 24.2 peratus,” katanya .

    Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian Program Intervensi Sosial: Kesedaran dan Advokasi Pendidikan Seksual (KAPS) Bahagian Bintulu 2022 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tatau, Tatau, lapor Utusan Borneo hari ini.

    Sikie berkata, secara keseluruhannya 2021 mencatatkan penurunan dari segi bilangan kes remaja hamil sebanyak 22.7 peratus berbanding 2020 manakala peratusan remaja hamil pada 2021 juga menurun sebanyak 0.5 peratus berbanding 2020.

    “Trend penurunan ini pada masa sama turut memberi semangat kepada Kerajaan Sarawak melalui Majlis Pembangunan Sosial Sarawak dan rakan-rakan strategiknya dalam One Stop Teenage Pregnancy Committee (OSTPC) terus mengendalikan program KAPS ini di sekolah-sekolah menengah seluruh Sarawak,” jelasnya.

    Beliau berkata, bagi tempoh lima tahun iaitu dari 2016 hingga 2020, Majlis Pembangunan Sosial Sarawak di KPWK berkolaboratif dengan ahli-ahli OSTPC di peringkat negeri dan bahagian mengendalikan sebanyak 61 siri program KAPS di sekolah-sekolah menengah kebangsaan di seluruh Sarawak.

    “Bagi tujuan sama, di Bintulu sebanyak empat program KAPS dirancang dilaksanakan pada tahun ini iaitu dua siri program KAPS sekolah menengah iaitu di SMK Tatau dan SMK Bintulu di daerah Bintulu dan dua lagi siri program KAPS sekolah rendah di SK Sebauh dan SK Labang, daerah Sebauh,” katanya.

  • SPRM siasat 40 kakitangan KSM, Perkeso

    SPRM siasat 40 kakitangan KSM, Perkeso

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat 40 kakitangan Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di Putrajaya, pagi tadi.

    Mereka dikatakan dibawa keluar dari pejabat untuk disoal siasat dalam serbuan SPRM itu.

    Dipercayai sebagai sebahagian daripada siasatan sedang dijalankan yang digelar Ops Hire, MalaysiaKini hari ini melaporkan, bahawa tidak jelas berapa ramai yang akan ditahan tetapi kakitangan dari dua pejabat itu telah dibawa keluar dari bangunan.

    Dilaporkan pada 15 Julai lalu, SPRM menahan reman 37 individu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan tuntutan palsu dan penyelewengan dana Program Insentif Pengambilan Pekerjaan (PenjanaKerjaya) berjumlah RM100 juta.

    Siasatan dijalankan dengan kerjasama Perkeso dan suspek terdiri daripada pemilik syarikat, pengarah, pengurus, pemegang saham, jurutera dan eksekutif.

    Semalam, Timbalan Presiden MIC M. Saravanan tidak menolak kemungkinan beberapa individu daripada MIC terlibat dalam skandal itu.

    Dia dipetik The Star semalam berkata bahawa walaupun dia tidak mempunyai sebarang maklumat berhubung perkara itu, namun dia tidak dapat menafikan beberapa ahli parti kemungkinan terlibat.

    Menurut laporan itu, Saravanan mendakwa bahawa penglibatan individu berkenaan tidak mempunyai kaitan dengan parti itu sambil menambah bahawa dia tidak akan berkompromi dengan sesiapa sahaja yang terlibat dalam kegiatan jenayah.

    Dia berkata demikian sebagai menjawab soalan berhubung dakwaan bahawa beberapa pemimpin MIC telah ditahan minggu lepas oleh SPRM berhubung skandal itu.

    Sejak Ops Hire bermula 13 Julai lalu, sejumlah individu direman di Putrajaya, Selangor, Johor, Kedah, Pahang, Perak, Pulau Pinang, Melaka, Perlis, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.

    Menurut portal berkenaan, setakat ini, 67 syarikat telah disiasat dan 36 akaun dengan nilai keseluruhan lebih RM7 juta telah dibekukan.

    Seorang ketua kerani yang bekerja di sebuah jabatan kerajaan, antara yang ditahan di pejabat SPRM Johor.

  • Isu kenaikan kos sara hidup antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini

    Isu kenaikan kos sara hidup antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini

    PERSOALAN mengenai langkah untuk menangani kenaikan kos sara hidup dan memastikan kestabilan harga barangan kekal pada harga mampu milik rakyat antara topik yang dijangka menjadi tumpuan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini. 

    Menurut Aturan Urusan Mesyuarat yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, soalan itu diajukan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) kepada Perdana Menteri semasa sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan.

    Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Bersatu-Sabak Bernam) pula meminta Perdana Menteri menyatakan bilangan rakyat yang dikategorikan sebagai miskin tegar bagi tempoh 2020 hingga kini, serta langkah kerajaan bagi menghapuskan kemiskinan tegar.

    Tumpuan juga dijangka terarah kepada soalan Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) yang mengajukannya kepada Menteri Wilayah Persekutuan mengenai pelan jangka panjang dan pendek supaya Kuala Lumpur bebas daripada banjir, termasuk banjir kilat yang sering melanda apabila hujan lebat.

    Selain itu, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) dijangka meminta Perdana Menteri menyatakan program dan formula yang akan dirangka kerajaan untuk meningkatkan kesedaran pengundi muda akan tanggungjawab mereka untuk keluar mengundi.

    Isu mengenai Perang Rusia-Ukraine pula disentuh Mohamad Sabu (PH-Kota Raja) melalui soalan yang diajukan kepada Menteri Luar iaitu langkah yang diambil kerajaan untuk membendung kesan secara tidak langsung peperangan itu khususnya kepada ekonomi.

    Beliau juga bertanyakan mengenai usaha kerajaan untuk memastikan rantau ini tidak akan terlibat secara langsung dalam mana-mana proksi yang akan memberi kesan buruk kepada negara.

    Selepas sesi soal jawab, mesyuarat itu bakal menyaksikan sama ada pemilihan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi menggantikan Ahli Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said dapat dilaksanakan atau ditangguh buat kali ketiga.

    Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 12 hari hingga 4 Ogos. – Bernama

  • Kemalangan motosikal: Ibu reda anak maut, kembar cedera parah

    Kemalangan motosikal: Ibu reda anak maut, kembar cedera parah

    SEORANG wanita bukan sahaja kehilangan seorang anak lelakinya yang terlibat dalam kemalangan membabitkan beberapa kenderaan di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu di George Town awal pagi tadi malah kembar kepada si mati turut cedera parah dalam kejadian itu.

    Masitah Md Isa, 44, berkata, anaknya, Mohd Syazwan Hakim Mohd Abdul Sani, 22, maut di lokasi kejadian manakala Muhamad Syazwan Hafiz kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Hospital Pulau Pinang.

    Walaupun sedih dengan kejadian menimpa pasangan kembar itu, yang merupakan anak sulung, dia reda dengan apa yang berlaku dan berkata, empat bulan lepas, anak ketiganya, Muhamad Shazril Haikal, 20, turut terlibat dalam kemalangan di Parit Buntar, Perak membabitkan motosikal ditunggangnya dengan sebuah treler.

    “Saya mengetahui kejadian yang menimpa pasangan kembar itu selepas dihubungi rakan kepada anak dan terus ke lokasi kejadian untuk melihat apa yang berlaku… sebaik sampai, saya tergamam melihat beberapa orang bergelimpangan di atas jalan lalu terus mencari kedua-dua anak saya.

    “Mula-mula saya panggil nama adik (Muhamad Syazwan Hafiz) dan dia mengangguk. Saya kemudian memanggil nama abang (Muhamad Shazwan Hakim) tetapi dia tiada respons, kaku dah. Saya hilang kata-kata,” katanya kepada pemberita di Jabatan Forensik HPP di sini.

    Masitah, dari Batu Maung, berkata, pasangan kembar itu yang bekerja sebagai ‘runner’ insurans memang sangat rapat dan dia juga terkilan kerana Muhamad Shazwan Hakim bakal melangsungkan perkahwinan pada Disember ini setelah bertunang tahun lepas.

    Shahiril Rohaiza Ramli, 46, ibu seorang lagi mangsa yang maut iaitu Muhamad Eizreel Muhamad Roszadi, 25, pula berkata, sebelum sambutan Aidiladha, dia sempat menasihati anak sulungnya itu agar berhati-hati ketika menunggang motosikal.

    “Dia memang suka motosikal dan dia sangat minat dengan bidang membaiki motosikal. Dari kecil dia baiki basikal, bila besar dia baiki motosikal pula… saya juga tidak sangka dia meninggal dunia pun berpunca daripada minatnya itu,” katanya.

    Dia berkata, Muhamad Eizreel bekerja sebagai mekanik di Saujana Height dan tinggal di Bukit Gedung bersama isteri serta dua anak mereka yang berusia lapan dan empat tahun namun selalu singgah ke rumahnya di Kampung Tersusun, Sungai Ara dekat sini.

    “Boleh kata setiap hari arwah datang rumah saya dan sejak seminggu dua ni, dia macam mengelak daripada memandang muka saya, saya hairan juga tetapi tidak fikir apa-apa… kali terakhir dia datang rumah saya pada Sabtu petang tapi saya tiada kerana bekerja dan dia jumpa adik dia sahaja,” katanya.

    Bagi Ahmad Najwan Ikhwan Ahmad Nazrul, 20, kehilangan adiknya, Ahmad Haikal Naif, 19, dalam kemalangan itu memberi kesan mendalam kerana arwah sangat rapat dengan semua ahli keluarga mereka.

    Ahmad Najwan Ikhwan berkata, arwah juga sempat berpesan kepada rakan-rakan agar mengebumikan jenazahnya di tanah perkuburan yang sama dengan datuk mereka di Balik Pulau jika dia meninggal dunia bagi memudahkan urusan keluarga untuk menziarah.

    Empat penunggang motosikal maut manakala tiga lagi cedera parah selepas motosikal ditunggang mereka terlibat dalam kemalangan membabitkan beberapa kenderaan di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu awal pagi tadi.

    Polis menerima laporan berhubung kemalangan itu pada 4.30 pagi dan siasatan awal mendapati kejadian tersebut berlaku kira-kira 4 pagi di kawasan lebuh raya berkenaan menghala ke pusat bandar George Town melibatkan beberapa motosikal yang disyaki terlibat dalam kegiatan lumba haram.

  • 4 mat rempit maut dalam lumba motosikal haram

    4 mat rempit maut dalam lumba motosikal haram

    POLIS Pulau Pinang mengesyaki kemalangan melibatkan beberapa buah motosikal di Lebuh Raya Tun Dr Lim Choong Eu yang menyebabkan empat lelaki maut awal pagi tadi mempunyai kaitan dengan aktiviti lumba haram.

    Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Sophian Santong berkata, sebelum kejadian pihak polis dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang dan pasukan trafik dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Timur Laut telah membuat rondaan awal sebagai tindakan pencegahan aktiviti lumba haram tersebut.

    Malah, jelas beliau, perancangan untuk menangkap individu-individu yang terlibat dalam lumba haram tersebut juga telah diatur.

    Mengulas kejadian itu, beliau berkata, Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut menerima maklumat awam mengenai kemalangan jalan raya melibatkan penunggang motosikal kira-kira pukul 4.30 pagi.

    Menurutnya, setakat ini, tujuh mangsa telah dikenal pasti terlibat dalam kemalangan terbabit dengan tiga maut di tempat kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang (HPP).

    Jelas beliau, seramai tiga lagi mangsa masih menerima rawatan di HPP iaitu seorang lelaki yang berada di Zon Merah manakala dua lagi dirawat di Zon Kuning.

    “Siasatan awal mendapati kemalangan yang berlaku kira-kira pukul 4 pagi itu melibatkan beberapa buah motosikal disyaki terlibat dalam aktiviti ‘lumba haram’.

    “Semasa di lokasi kejadian dipercayai beberapa penunggang motosikal telah hilang kawalan dan merempuh antara satu sama lain.

    “Dalam kejadian tersebut, dua buah kereta jenis Perodua Myvi dan Proton Waja turut dirempuh dari arah belakang oleh kumpulan penunggang
    motosikal berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Dalam pada itu, beliau menasihati orang ramai supaya tidak melibatkan diri dalam aktiviti lumba haram. Ini bukan sahaja boleh membahayakan nyawa sendiri malah keselamatan pengguna jalan raya lain.

    Ujar beliau, kes tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.