Category: Semasa

  • Penceramah popular disyaki rogol remaja ditahan

    Penceramah popular disyaki rogol remaja ditahan

    POLIS menahan seorang penceramah bebas popular kerana dipercayai terbabit kes rogol remaja perempuan berusia 14 tahun.

    Menurut Timbalan Ketua Polis Selangor, S. Sasikala Devi Subramaniam, suspek berusia 30-an ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor pada 4.50 petang semalam.

    Katanya, suspek kemudian direman lima hari hingga Sabtu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

    “Kebenaran reman itu diperoleh dari Mahkamah Majistret Sungai Besar bagi membolehkan siasatan lanjut ke atas suspek dijalankan,” katanya menurut Berita Harian.

    Beliau berkata, sebelum itu polis menerima laporan berhubung kejadian berkenaan daripada remaja perempuan terbabit pada 11.15 malam, 16 Julai lalu.

    Katanya, hasil siasatan mendapati mangsa berkenalan dengan suspek yang juga warga tempatan sejak Mei tahun lalu.

    “Bermula daripada perkenalan itu, pengadu dan suspek beberapa kali melakukan hubungan intim di beberapa lokasi berbeza.

    “Polis setakat ini telah membuka empat kertas siasatan iaitu dua di Selangor, satu di Kuala Lumpur dan satu di Perak membabitkan pengadu sama,” katanya.

  • Muhyiddin kecewa isu kemasukan pekerja asing belum selesai

    Muhyiddin kecewa isu kemasukan pekerja asing belum selesai

    MAJLIS Pemulihan Negara (MPN) menyarankan kementerian dan agensi berkaitan agar mempermudahkan lagi prosedur pengambilan dan kemasukan pekerja asing ke negara ini.

    Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau agak kecewa kerana isu kemasukan pekerja asing ke negara ini belum selesai meskipun dikatakan prosedurnya sudah agak mudah.

    “Perkara ini juga kami bincangkan (dalam sesi perbincangan meja bulat MPN hari ini) dan sesi MPN (lepas).

    “Walaupun prosedur dikatakan agak sudah mudah, namun proses pengambilan pekerja asing itu lambat dan ini memberikan kesan besar kepada produktiviti dan proses pemulihan negara,” katanya selepas menghadiri sesi perbicangan meja bulat bertajuk ‘Speeding up Economic Recovery’ di Kuala Lumpur hari ini.

    Katanya, pengambilan pekerja asing merupakan keperluan pelbagai sektor ekonomi seperti perladangan, pembinaan, pembuatan, perkilangan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi meneruskan produktiviti mereka.

    Menyentuh mengenai perbelanjaan subsidi negara yang mencecah RM77 bilion, Muhyiddin berkata, MPN sedang mengambil tindakan susulan bagi memastikan kerajaan tidak terus menanggung beban subsidi yang tinggi.

    Katanya, ramai ahli MPN mencadangkan kerajaan membuat pemberian subsidi bersasar iaitu kepada kumpulan tertentu yang lebih berhak menerimanya.

    “Ada tindakan-tindakan susulan yang urus setia Majlis Pemulihan Negara sedang buat sekarang ini untuk memikirkan caranya.

    “Kalau terus meningkat disebabkan kenaikan harga barang, itu bagi saya mungkin akan membebankan dan mungkin kerajaan tidak mampu menanggung subsidi yang meningkat dengan ketara ini,” katanya.

    Selain itu Muhyiddin berkata, MPN turut membangkitkan isu keselamatan makanan dengan menilai langkah untuk meningkatkan bahan makanan negara dalam masa yang singkat kerana sektor agromakanan itu penting untuk masa hadapan negara. – BERNAMA

  • Tanam Musang King lindungi semula kawasan Gunung Inas – Ahmad Bashah

    Tanam Musang King lindungi semula kawasan Gunung Inas – Ahmad Bashah

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah menegaskan keputusan kerajaan negeri pimpinannya untuk menanam Musang King di Gunung Inas, Baling adalah untuk melindungi semula kawasan tersebut yang sudah dibalak sebelumnya.

    Beliau menegaskan, kerajaan negeri pimpinannya memberi kelulusan itu dibuat setelah mengambil kira pelbagai faktor termasuk ekonomi, alam semula jadi, kepentingan penduduk dan sebagainya.

    BERIKUT MERUPAKAN KENYATAAN PENUH BELIAU:

    ISU HUTAN BALING.

    Ketika saya mengambil alih sebagai Menteri Besar Kedah, sebuah syarikat tempatan iaitu ECK Development Sdn Bhd membeli syarikat Aman Mega yang sebelum itu diberi kelulusan untuk menguruskan kawasan Gunung Inas di Baling oleh Menteri Besar terdahulu.

    Pada masa itu Proposal yang dikemukakan oleh ECK kepada saya adalah supaya kawasan berkenaan dlijadikan ladang durian Musang King pada sekala besar.

    Tujuan tidak lain adalah untuk memastikan kawasan yang sebelum ini dijalankan aktiviti pembalakan dilindungi semula dengan tanaman supaya ia kelak tidak menjadi masalah kepada kawasan sekitar.

    Kelulusan itu, tidak sama sekali untuk tujuan pembalakan yang baharu kerana aktiviti pembalakan sudah pun berlaku.

    Jadi tumpuan kerajaan adalah untuk memastikan supaya kawasan berkenaan dilindungi semula, dibaik pulih selepas pembalakan. Ia lebih kepada kesinambungan daripada aktiviti yang dicadangkan oleh syarikat syarikat yang dipertanggungjawabkan sebelum ini.

    Cadangan dari ECK itu kemudiannya diangkat untuk pertimbangan kerajaan. Sebagai Menteri Besar sudah tentu saya tidak boleh mengambil keputusan semberono. Ia perlu melalui beberapa peringkat penelitian dan mesyuarat khas diperingkat kerajaan.

    Sebenarnya banyak cadangan lain lagi tetapi bagi kerajaan pada masa itu cadangan dari ECK tampak lebih meyakinkan.

    Kita mengambil kira pelbagai faktor termasuk faktor ekonomi, alam semulajadi, kepentingan penduduk dan sebagainya.

    Saya tegaskan, Kerajaan memberi kelulusan itu untuk melindungi semula kawasan tersebut disamping kerajaan turut mendapat faedah dan pulangan yang difikirkan setimpal.

    Apa yang penting bagi kerajaan, adalah isu di kawasan hutan Inas itu diselesaikan segera.

    Tidak pula saya berpolitik untuk menuding jari kepada sesiapa. Kerana saya sangat faham kerajaan negeri mana sekalipun tidak akan membiarkan perkara ini berterusan.

    Apa yang berlaku ketika pertukaran kerajaan berlaku perkara ini turut menerima tempias. Lain orang lain cara pemikirannya.

    Ini disebabkan dari satu Menteri Besar ke satu Menteri Besar menyebabkan beberapa perubahan dari segi cara berfikir, cara mentadbir negeri yang sedikit sebanyak memberi kesan terhadap perkara seperti ini.

    Sebab itu saya katakan di sini, bahawa selepas PRU-14 saya tidak lagi menjadi Menteri Besar dan sudah tiada apa apa lagi kuasa ke atas mana mana keputusan kerajaan.

    Sudah tentu Menteri Besar selepas saya yang akan mengambil alih tanggungjawab untuk apa saja hal pentadbiran negeri termasuk isu yang berkenaan.

    Bukan sesuatu yang luar biasa untuk sesuatu kerajaan atau pimpinan negeri yang baru membatalkan atau tidak meneruskan usaha kerajaan atau pimpinan terdahulu.

    Bukan juga satu kesalahan untuk meneruskannya. Terserah kepada mereka.

    Jadi bagi saya isu pokoknya adalah kerajaan mencari jalan untuk melindungi semula kawasan yang telah dibalak.

    Saya tidak mengatakan pembalakan itu salah kerana ia tidak boleh dibuat sewenang wenangnya. Ia perlu melalui kelulusan kerajaan.

    Apa yang saya tekankan disini bahawa perkara ini tidak perlu dipolitikkan secara keterlaluan. Hentikan menyalah satu sama lain. Teruskan usaha dan ambil tindakan segera.

  • PKR Pahang buat 10 laporan polis terhadap Najib

    PKR Pahang buat 10 laporan polis terhadap Najib

    PARTI Keadilan Rakyat (PKR) Pahang telah membuat sebanyak 10 laporan polis terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung dakwaan kecuaiannya sehingga menyebabkan Malaysia berdepan tuntutan RM67.5 billion daripada waris kesultanan Sulu.

    Ketua Cabang (PKR) Kuantan, Fakhrul Anuar Zulkawi berkata, laporan itu dibuat bagi membolehkan kertas siasatan dibuka dan tindakan terhadap Najib dapat diambil mengikut peruntukan kanun jenayah yang sedia ada.

    “Hari ini (Selasa) sebanyak 10 laporan dibuat oleh wakil cabang PKR Pahang termasuk individu di negeri ini.

    “Laporan polis dibuat secara serentak di seluruh negara tetapi di Pahang kita lakukan secara berperingkat.

    “Laporan ini dibuat bagi memastikan seorang penjawat awam menjalankan tugas dengan penuh ketelitian dan tanpa kecuaian yang boleh merugikan rakyat dan negara,” katanya ketika mengadakan sidang akhbar di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan hari ini,” lapor Sinar Harian.

    Beliau menjelaskan terdapat Akta 574 dan peraturan-peraturan yang mengikat seorang penjawat awam semasa dalam perkhidmatan seperti Perkara 132 (Perkhidmatan-Perkhidmatan Awam) dan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 di bawah Perlembagaan Persekutuan (P.U.A. 395).

    Tambahnya, akta dan peraturan itu boleh diguna pakai dalam menentukan unsur-unsur kecuaian yang dilakukan Ahli Parlimen Pekan itu dalam menangani isu berkenaan.

    Sebelum itu, Fakhrul Anuar berkata, waris kesultanan Sulu membuat tuntutan selepas pentadbiran negara yang diketuai Najib membuat keputusan menghentikan bayaran tahunan kepada waris kesultanan Sulu pada tahun 2013.

    Menurutnya, keputusan itu mencetuskan langkah balas waris Kesultanan Sulu yang memulakan tindakan saman di peringkat antarabangsa terhadap kerajaan Malaysia.

    “Notis tindakan saman yang diambil telah dihantar kepada pentadbiran beliau pada 2 November 2017 semasa Najib masih menjadi Perdana Menteri.

    “Sekiranya Najib tidak cuai dalam menjalankan tugas pasti beliau (Najib) telah memastikan semua langkah diambil untuk menghalang dan menangani tindakan undang-undang susulan setelah bayaran itu dihentikan,” ujarnya.

    Dalam pada itu, Fakhrul Anuar turut menzahirkan rasa kecewa terhadap Speaker Dewan Rakyat Sabah yang tidak membenar satu usul berkaitan tindakan waris kesultanan Sulu dibawa untuk dibahaskan.

    “Saya terkilan dengan kecewa tindakan speaker Dewan Rakyat Sabah yang mengenepikan hak ahli Parlimen (Ketua Pembangkang Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal (Warisan-Senallang) untuk mengusulkan perkara yang begitu penting terkait dengan kedaulatan.

    “Saya harap Parlimen atau Speaker dapat menerima dan membenarkan ahli-ahli Parlimen membahaskan isu kedaulatan negara ini,” katanya.

  • PGA7 rampas beg tangan, kasut seludup bernilai RM3.3 juta

    PGA7 rampas beg tangan, kasut seludup bernilai RM3.3 juta

    BEG tangan serta kasut terpakai bernilai lebih RM3.3 juta yang dipercayai diseludup dari negara jiran berjaya dirampas anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) Kuantan dalam operasi dilakukan di Bukit Bunga, Tanah Merah pada pukul 6 petang kelmarin.

    Menurut Pemangku Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun, ketika kejadian, anggota PGA7 terbabit sedang membuat rondaan sebelum terserempak dua lori dalam keadaan mencurigakan.

    “Kami menahan lori berkenaan serta memperkenalkan diri sebelum memeriksa kedua-dua kenderaan tersebut.

    SEBAHAGIAN kasut terpakai pelbagai jenama yang dirampas anggota PGA7 di Bukit Bunga, Tanah Merah petang, kelmarin. FOTO ihsan PDRM Kelantan

    “Pemeriksaan menemui kasut dan beg tangan pelbagai jenama dalam longgokan guni yang diletak di belakang lori.

    “Dua suspek berusia 30 dan 31 tahun ditahan manakala barangan dan lori dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.

    Muhamad Zaki berkata, kesemua barangan rampasan kemudian diserah kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

  • Penganggur didakwa samun dan bunuh wanita

    Penganggur didakwa samun dan bunuh wanita

    SEORANG lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen Temerloh hari ini atas empat pertuduhan berbeza dalam satu kejadian samun dan bunuh pada 5 Julai lepas.

    Tertuduh K. Yogeswaran, 33, didakwa melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian Siti Zulliana Said, 52, di sebuah rumah di Felda Mengkuang, Bera antara pukul 6.30 pagi hingga 8.00 pagi.

    Dia yang tidak bekerja boleh dihukum mati mandatori jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, lapor Astro Awani.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wardah Nabilah Mohd. Abd Wahab.

    Tertuduh bagaimanapun hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

    Majistret Siti Hajar Ali menetapkan 25 Ogos 2022 sebagai tarikh sebutan semula kes bagi penyerahan laporan bedah siasatan serta tiada jaminan ditawarkan.

    Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mencuri sebuah kereta jenis Honda City berwarna perak milik suami mangsa, Mohd Haris Ibrahim, 58, pada tarikh 5 Julai lalu antara jam 6.30 pagi hingga 8.30 pagi.

    Beliau telah dituduh di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang satu tahun atau tidak lebih tujuh tahun dan boleh dikenakan denda jika disabitkan kesalahan.

    Mahkamah sekali lagi menetapkan 17 Ogos 2022 sebagai tarikh sebutan semula kes untuk fakta dan hukuman kes.

    Menurut kertas pertuduhan, bagi pertuduhan seterusnya, Yogeswaran telah didakwa kerana disyaki menggunakan dadah berbahaya jenis methamphetamine di Lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera lebih kurang jam 12.00 tengah hari pada 8 Julai lalu.

    Bagi pertuduhan ini, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15(a) akta yang sama dan dibaca dengan Seksyen 38B akta yang sama.

    Tertuduh memahami setiap pertuduhan yang dibaca dan mengaku bersalah bagi kedua-dua pertuduhan tersebut.

    Tarikh sebutan semula kes ini telah ditetapkan mahkamah pada 19 Oktober ini.

    Pada masa yang sama, Yogeswaran juga didakwa dengan curang telah melakukan rompak wang tunai RM9,300 milik Mohd Haris dan menyebabkan kecederaan di bahagian leher di hadapan Hakim Mahkamah Seksen Temerloh, Norakmar Mohd Sani.

    Pendakwaan telah dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Faizah Khalilah Sabri dan Ezuain Farhana Ahmad.

    Tertuduh mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah, dan mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 17 Ogos dan tiada sebarang jaminan ditawarkan.

    Dalam kejadian dua minggu lalu, Siti Zuliana menjadi mangsa samun meninggal dunia di rumahnya selepas didakwa telah dijerut dengan kabel pengecas telefon oleh tertuduh.

  • Pilihan dos penggalak kedua untuk individu sihat 50 – 59 tahun

    Pilihan dos penggalak kedua untuk individu sihat 50 – 59 tahun

    INDIVIDU sihat berumur 50 hingga 59 tahun kini diberi pilihan untuk mendapatkan dos penggalak kedua vaksin COVID-19, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

    Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, keputusan itu berdasarkan syor Kumpulan Kerja Teknikal (TWG) di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) untuk perlindungan daripada risiko penyakit yang teruk akibat COVID-19.

    “KKM telah meningkatkan peratusan individu yang layak menerima vaksin dos penggalak bagi mengurangkan penularan jangkitan, jangkitan serius serta kematian.

    “KKM menggesa agar semua individu yang layak tampil untuk mendapatkan perkhidmatan ini supaya populasi Malaysia mendapat perlindungan yang optimum terhadap penyakit COVID-19,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

    Beliau menjawab soalan Datuk Rubiah Wang (GPS-Kota Samarahan) mengenai keadaan terkini ancaman varian baharu COVID-19 dan tindakan KKM menghadapinya.

    Antara golongan yang layak menerima dos penggalak kedua sebelum ini adalah individu berumur 60 tahun ke atas dengan komorbiditi berisiko tinggi serta individu berumur 60 tahun ke atas tanpa komorbiditi serta mendapat saranan daripada pengamal perubatan.

    Selain itu, warga emas yang tinggal di fasiliti penjagaan jangka panjang, individu berumur 18 hingga 59 tahun yang berisiko tinggi serta petugas barisan hadapan juga layak mendapat dos penggalak kedua.

    Dalam pada itu, Khairy berkata, KKM juga sedang melihat kepada penghasilan vaksin generasi baharu yang mungkin akan ke pasaran serta mendapat kelulusan badan regulatori kesihatan.

    “Sekiranya didapati vaksin yang dibangunkan untuk varian seperti Omicron ini berkesan dan selamat, mungkin perolehan boleh dipertimbangkan untuk masa akan datang,” katanya menjawab soalan tambahan Rubiah mengenai sejauh mana Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang dijalankan sebelum ini membolehkan negara berhadapan dengan varian baharu yang datang. – BERNAMA

  • Tuntutan kumpulan Sulu: PM jamin lindungi aset negara

    Tuntutan kumpulan Sulu: PM jamin lindungi aset negara

    SUSULAN isu tuntutan kumpulan Sulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan bahawa kerajaan akan melindungi aset negara dengan menggunakan saluran perundangan sedia ada.

    “Kita lindungi (aset) dari segi perundangan. Mereka (kumpulan Sulu) bawa kes ke mahkamah jadi kita akan melindungi semua (aset) secara perundangan.

    “Saya beri jaminan tidak akan berkompromi dan berganjak walau seinci pun dalam mempertahankan hak dan kedaulatan negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Keselamatan Negara 2022 dan sambutan Bulan Keselamatan Negara 2022, di Putrajaya hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu kumpulan Sulu yang mengganggu-gugat kepentingan aset-aset Malaysia di luar negara khususnya aset di bawah syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

    Pada 12 Julai dilaporkan aset dua anak syarikat Petronas di Azerbaijan dirampas oleh kumpulan Sulu, yang dikatakan menuntut AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) daripada Malaysia.

    Langkah itu yang pertama kali dilaporkan adalah sebahagian daripada tindakan undang-undang yang dikemukakan pada 2017 oleh kumpulan Sulu untuk mendapatkan pampasan terhadap tanah di Sabah yang didakwa telah dipajak oleh nenek moyang mereka kepada sebuah syarikat perdagangan British pada 1878.

    Ismail Sabri berkata, beliau difahamkan Petronas dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar akan memberi penjelasan di Parlimen dalam masa terdekat mengenai rampasan aset Petronas di Azerbaijan itu.

    Beliau berkata, Jemaah Menteri pada 14 Julai lepas telah bersetuju menubuhkan pasukan khas untuk meneliti, memantau serta merangka tindakan berlunaskan undang-undang sewajarnya bagi menangani isu tuntutan kumpulan Sulu terhadap kerajaan Malaysia.

    “Pasukan khas telah ditubuhkan untuk melihat masalah ini secara menyeluruh bukan setakat aset Petronas tetapi aset-aset negara yang lain di luar negara. Ada banyak lagi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mempunyai aset di luar negara dan ini akan dilihat secara keseluruhan,” katanya.

    Ditanya keperluan kerajaan menggerakkan sistem keselamatan untuk mempertahankan aset di luar negara, Ismail Sabri berkata: “Bukan senang bawa sekuriti ke negara lain kecuali Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).”

    Pada Mac lepas, penimbang tara di Perancis memutuskan bahawa Malaysia yang mewarisi obligasi perjanjian pajakan apabila memperoleh kemerdekaan daripada Britain, mesti membayar waris berkenaan sebanyak AS$14.92 bilion.

    Namun Wan Junaidi ketika itu dilaporkan berkata, keputusan Mahkamah Arbitrasi Paris untuk Malaysia membayar pampasan AS$14.92 bilion kepada pihak mendakwa sebagai waris Sultan Sulu adalah tidak sah, kerana tidak berlandaskan undang-undang.

    Katanya, keputusan yang ditetapkan penimbang tara Dr Gondoza Stampa itu sudah dibatalkan dan tidak lagi sah dari segi undang-undang.

    Pada 12 Julai lepas, Mahkamah Rayuan Paris membenarkan permohonan kerajaan Malaysia untuk menggantung penguatkuasaan Final Award yang dikeluarkan Mahkamah Arbitrasi Paris, dengan alasan perundangan kes itu menjejaskan kekebalan kedaulatan Malaysia.

    Dalam kenyataan Wan Junaidi pada 13 Julai lepas, beliau berkata, kesan daripada perintah penggantungan itu, Final Award yang diputuskan Dr Stampa tidak boleh dikuatkuasakan di mana-mana negara, sehingga keputusan muktamad oleh Mahkamah Paris dengan permohonan pembatalan Final Award yang dibuat kerajaan Malaysia. – BERNAMA

  • Malaysia tak akan jadi bangkrap seperti Sri Lanka

    Malaysia tak akan jadi bangkrap seperti Sri Lanka

    MENTERI Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz yakin Malaysia tidak akan menjadi bankrap seperti Sri Lanka kerana ekonomi negara ini adalah jauh lebih kukuh.

    Memetik laporan FMT, beliau berkata, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) tidak pernah menyatakan Malaysia mengalami masalah ekonomi yang boleh mengakibatkan muflis.

    Malah, kata beliau, IMF juga berasa yakin dengan prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia.

    “Pada April tahun ini, IMF telah menyuarakan keyakinan bahawa keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara bagi 2022 akan berkembang pada kadar 5.75 peratus.

    ““Kalau kita bandingkan indikator ekonomi Malaysia dan Sri Lanka, jelas bahawa ekonomi kita jauh lebih kukuh berbanding Sri Lanka.

    “Jadi kemungkinan untuk negara bankrap seperti Sri Lanka adalah amat tipis,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) tentang isu tersebut dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat hari ini.

    Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, kerajaan masih di peringkat awal pengujian mekanisme pemberian subsidi petrol secara bersasar.

    Menurut beliau, ia akan disusuli dengan pengujian lebih meluas dari segi beberapa kaedah lain dan kebolehlaksanaan mekanisme tersebut di kawasan bandar dan luar bandar.

    Tengku Zafrul menambah, pembangunan dan pengujian sistem subsidi bersasar itu dijangka memerlukan tempoh antara tiga hingga enam bulan sebelum ia sepenuhnya bersedia untuk dilaksanakan di seluruh negara.

  • Dituduh bunuh ibu kandung, duda berdepan hukuman mati

    Dituduh bunuh ibu kandung, duda berdepan hukuman mati

    SEORANG duda berdepan hukuman gantung selepas didakwa di Mahkamah Majistret di Melaka hari ini atas pertuduhan membunuh ibu kandungnya pada 5 Julai lalu.

    Namun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Amirul Hakim Abu, 38, yang merupakan penganggur selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mazana Sinin, lapor Sinar Harian.

    Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Rozizah Md. Dom, 64, di sebuah rumah bernombor, Batu 9 1/2 Kampung Paya Luboh antara pukul 2.30 hingga 3 petang.

    Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

    Dalam prosiding berasingan, tertuduh turut didakwa atas tuduhan memasukkan dadah berbahaya methamphetamine ke dalam badannya di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Melaka Tengah di Melaka pukul 1.35 pagi 6 Julai lalu.

    Dia yang mempunyai dua anak itu bagaimanapun mengaku bersalah bagi pertuduhan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 itu.

    Sabit kesalahan, dia boleh dihukum di bawah akta yang sama dan dibaca Seksyen 38B akta yang sama yang memperuntukan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum dua tahun atau denda RM5,000.

    Tertuduh juga perlu menjalani pengawasan oleh pegawai sebagaimana ditarifkan di bawah Seksyen 2 Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 bagi tempoh tidak kurang dua tahun dan tidak lebih tiga tahun.

    Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan ia membabitkan kes bunuh.

    Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 30 Ogos depan bagi serahan laporan kimia, bedah siasat mangsa dan laporan ujian air kencing tertuduh.

    Pada awal bulan ini, media menyiarkan seorang pesakit mental tergamak menikam ibu kandungnya sehingga mati selepas dipercayai terdengar bisikan menyuruh membunuh mangsa dalam kejadian di Kampung Paya Luboh, Tangga Batu, di Melaja pada Selasa.

    Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, suspek berusia 38 tahun dan berstatus duda menikam Rozizah Md. Dom, 63, menggunakan pisau pemotong sayur sepanjang 26 sentimeter (cm) dalam bilik tidur selepas mangsa keluar dari bilik air.

    Menurutnya, dua tikaman itu menyebabkan mangsa yang baharu kehilangan suami bulan lalu mengalami cedera parah pada leher kanan dan kiri sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian