PARTI Keadilan Rakyat (PKR) Pahang telah membuat sebanyak 10 laporan polis terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung dakwaan kecuaiannya sehingga menyebabkan Malaysia berdepan tuntutan RM67.5 billion daripada waris kesultanan Sulu.

Ketua Cabang (PKR) Kuantan, Fakhrul Anuar Zulkawi berkata, laporan itu dibuat bagi membolehkan kertas siasatan dibuka dan tindakan terhadap Najib dapat diambil mengikut peruntukan kanun jenayah yang sedia ada.

“Hari ini (Selasa) sebanyak 10 laporan dibuat oleh wakil cabang PKR Pahang termasuk individu di negeri ini.

“Laporan polis dibuat secara serentak di seluruh negara tetapi di Pahang kita lakukan secara berperingkat.

“Laporan ini dibuat bagi memastikan seorang penjawat awam menjalankan tugas dengan penuh ketelitian dan tanpa kecuaian yang boleh merugikan rakyat dan negara,” katanya ketika mengadakan sidang akhbar di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan hari ini,” lapor Sinar Harian.

Beliau menjelaskan terdapat Akta 574 dan peraturan-peraturan yang mengikat seorang penjawat awam semasa dalam perkhidmatan seperti Perkara 132 (Perkhidmatan-Perkhidmatan Awam) dan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 di bawah Perlembagaan Persekutuan (P.U.A. 395).

Tambahnya, akta dan peraturan itu boleh diguna pakai dalam menentukan unsur-unsur kecuaian yang dilakukan Ahli Parlimen Pekan itu dalam menangani isu berkenaan.

Sebelum itu, Fakhrul Anuar berkata, waris kesultanan Sulu membuat tuntutan selepas pentadbiran negara yang diketuai Najib membuat keputusan menghentikan bayaran tahunan kepada waris kesultanan Sulu pada tahun 2013.

Menurutnya, keputusan itu mencetuskan langkah balas waris Kesultanan Sulu yang memulakan tindakan saman di peringkat antarabangsa terhadap kerajaan Malaysia.

“Notis tindakan saman yang diambil telah dihantar kepada pentadbiran beliau pada 2 November 2017 semasa Najib masih menjadi Perdana Menteri.

“Sekiranya Najib tidak cuai dalam menjalankan tugas pasti beliau (Najib) telah memastikan semua langkah diambil untuk menghalang dan menangani tindakan undang-undang susulan setelah bayaran itu dihentikan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Fakhrul Anuar turut menzahirkan rasa kecewa terhadap Speaker Dewan Rakyat Sabah yang tidak membenar satu usul berkaitan tindakan waris kesultanan Sulu dibawa untuk dibahaskan.

“Saya terkilan dengan kecewa tindakan speaker Dewan Rakyat Sabah yang mengenepikan hak ahli Parlimen (Ketua Pembangkang Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal (Warisan-Senallang) untuk mengusulkan perkara yang begitu penting terkait dengan kedaulatan.

“Saya harap Parlimen atau Speaker dapat menerima dan membenarkan ahli-ahli Parlimen membahaskan isu kedaulatan negara ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here