Category: Semasa

  • Penceramah bebas disyaki rogol remaja bawah umur diserah kepada polis KL

    Penceramah bebas disyaki rogol remaja bawah umur diserah kepada polis KL

    PENCERAMAH bebas yang disyaki merogol remaja perempuan berusia 14 tahun di negeri ini, akan diserah kepada Polis Kuala Lumpur esok, untuk siasatan lanjut berhubung kejadian rogol yang dilaporkan berlaku di Kuala Lumpur pula.

    Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi, berkata tempoh reman yang dipohon pihaknya terhadap lelaki berusia 30an itu, akan tamat esok.

    “Setakat ini laporan polis yang diterima membabitkan kes itu masih kekal empat iaitu dua di Selangor dan masing-masing satu di Kuala Lumpur dan Perak.

    “Polis menggesa sekiranya ada mangsa lain yang mendakwa menjadi mangsa, untuk tampil membantu siasatan pihak polis,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Berita Harian melaporkan, berdasarkan siasatan awal, perkenalan di antara suspek dan remaja bawah umur itu dipercayai bermula apabila mangsa menghubungi lelaki terbabit di media sosial bagi bertanyakan masalah agama sebelum hubungan terjalin sejak Mei tahun lalu.

    Katanya, polis turut menjalankan siasatan bagi melihat sama ada wujud unsur ugutan dilakukan suspek terhadap mangsa, susulan berlakunya beberapa hubungan intim sebelum ini.

    Jelasnya, polis juga masih menyiasat sama ada perwatakan baik suspek membuatkan mangsa percaya kepada lelaki itu sehingga disyaki berlakunya kejadian berkenaan (rogol).

    Media sebelum ini melaporkan seorang penceramah bebas popular ditahan pada Isnin selepas dipercayai terbabit dalam kes merogol seorang remaja perempuan berusia 14 tahun.

    Lelaki itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor pada pukul 4.50 petang.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

  • Penulis blog Aspan Alias didenda RM4,500 buat komen jelik terhadap Agong

    Penulis blog Aspan Alias didenda RM4,500 buat komen jelik terhadap Agong

    SEORANG penulis blog Aspan Alias didenda RM4,500 oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini kerana membuat dan memulakan penghantaran komen jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong di laman Facebook miliknya, Mei tahun lepas

    Hakim Nor Hasniah Ab Razak menjatuhkan hukuman itu ke atas Aspan, 70, selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah semasa sebutan semula kes itu hari ini.

    Mahkamah turut memerintahkan warga emas itu menjalani hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

    Aspan didakwa memulakan komen jelik melalui Facebook ‘Aspan Alias’ dengan niat untuk menyakiti hati orang lain pada 2.47 petang, 16 Mei 2021.

    Hantaran itu kemudian dibaca di Jabatan Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Tingkat 27, Menara KPJ, Wangsa Maju, di sini pada 9 pagi, 18 Mei 2021.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara yang boleh sampai setahun atau kedua-duanya dan denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Najihah Farhana Che Awang memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh kerana tindakannya tidak mencerminkan kesopanan dan kesusilaan sebagai seorang rakyat Malaysia yang menunjukkan kesetiaan kepada raja dan negara selain melampaui hak kebebasan bersuara di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

    Peguam Nurul Huda Razali merayu hukuman berbentuk denda rendah dengan mengambil kira anak guamnya menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi serta tidak bekerja.

    “Anak guam saya tidak mempunyai niat jahat untuk membuat hantaran yang jelik dan menyakitkan hati orang lain. Dia juga telah menyesal dengan kekhilafan tersebut,” katanya. -Bernama

  • Syed Saddiq sekali lagi mohon cabar kredibiliti saksi utama

    Syed Saddiq sekali lagi mohon cabar kredibiliti saksi utama

    SYED Saddiq Syed Abdul Rahman yang berdepan dengan tuduhan pecah amanah jenayah (CBT) dan pengubahan wang haram, sekali lagi memohon bagi mencabar kredibiliti seorang saksi utama susulan terdapat beberapa percanggahan dalam keterangan yang direkod oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan keterangan lisannya di mahkamah.

    Ini merupakan percubaan kali kedua oleh pihak pembelaan untuk mendapatkan kebenaran memulakan prosiding bagi mencabar kredibiliti Rafiq Hakim Razali, bekas penolong bendahari Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), selepas Mahkamah Tinggi pada 18 Julai, menolak permohonan Ahli Parlimen Muar untuk mencabar saksi pendakwaan ke-13 itu berikutan percanggahan dalam kenyataan saksi dan keterangan lisannya di mahkamah berhubung prosedur pengeluaran RM1 juta daripada akaun bank Armada.

    Peguam Syed Saddiq, Gobind Singh Deo berhujah terdapat percanggahan dalam keterangan lisan Rafiq Hakim di mahkamah dengan keterangan yang direkod sebelum ini oleh SPRM mengikut Seksyen 30 Akta SPRM 2009.

    “Percanggahan itu merujuk kepada masa dan tempat arahan yang didakwa diberikan oleh Syed Saddiq kepada Rafiq Hakim dan Ahmad Redzuan Mohamed Shafi, yang merupakan penolong setiausaha Armada, untuk mengeluarkan RM1 juta dan tujuan acara kutipan dana di Muar serta wang yang diperoleh daripadanya,” kata peguam itu.

    Katanya saksi itu menerusi keterangan lisannya di mahkamah memberitahu arahan untuk mengeluarkan RM1 juta oleh Syed Saddiq dibuat selepas Langkah Sheraton, pada perjumpaan di rumah tertuduh.

    “Bagaimanapun menerusi kenyataan kepada SPRM saksi berkata arahan untuk pengeluaran RM1 juta itu dibuat menerusi panggilan telefon pada awal Mac 2020,” katanya.

    Gobind turut berhujah bahawa terdapat percanggahan pada keterangan lisan Rafiq Hakim di mahkamah, apabila saksi tidak bersetuju bahawa wang dalam akaun Armada Bumi Bersatu Enterprise (ABBE) adalah hasil dana kutipan orang ramai oleh Syed Saddiq sendiri untuk berkempen di Muar.

    Bagaimanapun peguam itu berkata menerusi kenyataan kepada SPRM, Rafiq Hakim mengesahkan bahawa sumber kewangan ABBE adalah hasil sumbangan orang ramai sepenuhnya iaitu melalui Majlis Makan Malam di Muar dan Majlis Makan di De Palma Hotel.

    “Tujuan majlis makan ini diadakan untuk mendapatkan dana bagi Syed Saddiq sendiri iaitu berkempen di Muar,” katanya yang turut memohon dibekalkan dengan keterangan saksi yang dirakam oleh SPRM.

    Sementara itu Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berhujah permohonan pembelaan adalah satu penyalahgunaan proses mahkamah kerana mereka sebenarnya cuba untuk mendapatkan kenyataan direkodkan SPRM, bukan bertujuan untuk mencabar kredibiliti saksi tetapi untuk melihat keseluruhan kandungan kenyataan itu.

    “Sekarang ini pihak pembelaan melakukan percubaan kali kedua mengikut pintu belakang untuk memulakan prosiding mencabar kredibiliti saksi berkenaan,” katanya.

    Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid menetapkan 25 Julai untuk mengumumkan keputusannya.

    Syed Saddiq, 29, didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali iaitu Penolong Bendahari Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di Kuala Lumpur pada 6 Mac 2020.

    Bagi pertuduhan kedua, Syed Saddiq didakwa menyalahguna RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise untuk diri sendiri dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di Kuala Lumpur antara 8 dan 21 April 2018.

    Beliau juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang dipercayai merupakan hasil aktiviti haram, di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018. – Bernama

  • JPJ keluar 1,294 notis dalam Ops Khas Rentas Sempadan

    JPJ keluar 1,294 notis dalam Ops Khas Rentas Sempadan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan 1,294 notis melibatkan pelbagai kesalahan menerusi Op Khas Rentas Sempadan JPJ di negeri ini dari 19 Julai hingga hari ini.

    Pengarah JPJ Johor, Azmin Zainal Adnan berkata, operasi selama empat hari itu diadakan hampir di semua daerah di negeri itu terutama di Johor Bahru, Muar, Segamat dan sepanjang Lebuhraya Utara Selatan.

    “Sebanyak 968 daripada 1,070 kenderaan yang diperiksa dalam operasi itu yang memfokuskan kenderaan perdagangan itu dikenakan tindakan.

    “Sebanyak 384 daripadanya membabitkan pemandu kenderaan perdagangan yang melakukan kesalahan seperti membawa lebih muatan atau muatan berbahaya, kesalahan teknikal dan memandu kenderaan berat di lorong kanan secara berterusan,” katanya.

    Sebanyak 968 daripada 1,070 kenderaan yang diperiksa dalam operasi itu yang memfokuskan kenderaan perdagangan itu dikenakan tindakan

    Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Op Khas Rentas Sempadan di tol Skudai, Johor Bahru, hari ini.

    Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusof dan Pengarah JPJ Melaka, Muhammad Firdaus Shariff.

    Operasi yang julung kali diadakan itu membabitkan tiga negeri di selatan Semenanjung iaitu Johor, Negeri Sembilan dan Melaka dengan memfokuskan kenderaan perdagangan.

    Katanya, kesalahan membawa lebih muatan dan muatan berbahaya dikenal pasti paling tinggi dilakukan oleh pemandu kenderaan barangan.

    Kesalahan membawa lebih muatan dan muatan berbahaya dikenal pasti paling tinggi dilakukan oleh pemandu kenderaan barangan

    Katanya, kesalahan lain melibatkan memandu kenderaan berat di lorong kanan secara berterusan amat membahayakan pengguna jalan raya lain dan boleh menyebabkan kemalangan maut.

    Menurutnya, operasi itu turut memberi tumpuan kepada pemandu warga asing yang tidak mempunyai lesen memandu sah serta menyalahgunakan Lesen Kenderaan Motor (LKM) untuk tujuan perniagaan.

    Beliau berkata sebanyak 37 kenderaan dipandu warga asing melibatkan 19 warga Myanmar, Pakistan (lapan), Bangladesh (enam) dan Nepal (empat) disita.

  • Tiada kajian mengenai cuti haid pada masa ini – KPWKM

    Tiada kajian mengenai cuti haid pada masa ini – KPWKM

    KEMENTERIAN Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) tidak pernah dan tidak akan membuat kajian mengenai cuti haid buat masa ini.

    KPWKM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, sebaliknya kerajaan sedang menjalankan kajian berkaitan pengurusan haid dalam kalangan remaja perempuan bagi menambah baik pelaksanaan program Pendidikan SERI (Social Empowerment of Reproductive Health Initiatives).

    Kenyataan itu susulan beberapa laporan media mengenai jawapan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff kepada soalan Ahli Parlimen Klang, Charles Anthony Santiago berhubung cuti haid dalam sidang Dewan Rakyat pada Rabu. – BERNAMA

  • Misteri kehilangan Zalina Azman: 20 November kali terakhir telefon bimbit aktif

    Misteri kehilangan Zalina Azman: 20 November kali terakhir telefon bimbit aktif

    KALI terakhir telefon bimbit bekas pembaca berita sebuah stesen televisyen, Zalina Shaharah Azman atau dikenali sebagai Zalina Azman dikesan aktif adalah pada 20 Nov tahun lepas, empat hari sebelum anak lelakinya cuba membuat panggilan kepada wanita itu. 

    Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata menerusi semakan dan siasatan dibuat, pihak polis berpendapat berkemungkinan Zalina hilang lebih awal daripada tarikh yang dilaporkan. 

    “Kalau anaknya tidak cuba telefon, kita pun tidak tahu dia hilang. Berkemungkinan Zalina telah hilang lebih awal, tapi tidaklah awal sangat sebab kita dah semak dan pada 20 Nov didapati telefonnya telah dimatikan (tiada rekod panggilan keluar atau masuk).

    “Sama ada kerana sudah habis bateri itu kita tidak dapat pastikan,” katanya kepada Bernama ketika melakukan lawatan di rumah wanita berusia 58 tahun itu bersama Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Senator Datuk Ras Adiba Radzi. 

    Mohd Iqbal berkata keadaan rumah Zalina Shaharah yang didapati tidak tersusun adalah disebabkan kediaman itu sedang dalam proses pengubahsuaian untuk menjadi sebuah galeri. 

    Sementara itu, dalam kenyataan beliau berkata polis kini sedang mengesan pekerja yang pernah melakukan kerja pengubahsuaian bagi membantu siasatan kes kehilangan bekas personaliti televisyen itu. 

    “Kita masih menjalankan siasatan, kini sedang mengesan pekerja-pekerja yang terlibat dalam pengubahsuaian kediaman itu (rumah Zalina) yang mungkin boleh membantu siasatan,” katanya.

    Beliau berkata setakat ini, seramai enam individu telah dipanggil dan dirakam keterangan sejak laporan polis mengenai kehilangan itu dibuat.

    Sebelum ini, Mohd Iqbal dilapor berkata Zalina Shaharah dipercayai masih berada di dalam negara susulan tiada pergerakan keluar membabitkan wanita itu yang dikesan pihak berkuasa setakat ini. 

    Pihak polis menerima laporan mengenai kehilangan itu daripada anak lelaki Zalina Shaharah, Mikhael Norman, 33, pada 29 Nov tahun lepas yang cuba menghubunginya sejak 24 Nov 2021 bagi memaklumkan datuk pengadu telah dimasukkan ke hospital, namun wanita itu tidak dapat dihubungi. – Bernama

  • Peniaga didakwa bunuh ahli perniagaan

    Peniaga didakwa bunuh ahli perniagaan

    SEORANG peniaga didakwa di Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan membunuh seorang ahli perniagaan yang ditemukan terbaring berlumuran darah berhampiran keretanya yang diletakkan di luar kawasan perumahan, minggu lalu.

    M. Partibekumaran, 37, didakwa bersama-sama dengan seorang lagi yang masih bebas membunuh Goh Chok Chuan, 63, di kawasan tempat letak kereta berhampiran pondok pengawal Amarin Kiara, antara pukul 11.40 hingga 11.55 malam, 11 Julai lalu.

    Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

    Tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Wong Chai Sia kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

    Kes itu dikendalikan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Nom Phot Prackdit manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Mahkamah menetapkan 29 September ini untuk sebutan semula kes.

    Semalam, dua pengawal keselamatan yang difahamkan kenalan kepada tertuduh didakwa di hadapan majistret sama bagi pertuduhan yang sama.

    Pada 12 Julai lalu, media melaporkan Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Amihizam Abdul Syukor dalam kenyataan berkata saksi kejadian mendengar tiga das tembakan dilepaskan sebelum menemukan mayat mangsa.

    Beliau berkata lelaki berkenaan dikatakan bermain mahjung di rumah rakannya di Amarin Kiara dan dilapor ditembak berdekatan keretanya yang diparkir berhampiran pondok pengawal di luar kawasan perumahan itu.

  • Inflasi bulan Jun meningkat 3.4% didorong harga makanan

    Inflasi bulan Jun meningkat 3.4% didorong harga makanan

    KADAR inflasi negara yang diukur menerusi Indeks Harga Pengguna (IHP) meningkat 3.4 peratus pada Jun tahun ini, didorong oleh kenaikan harga makanan, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

    Ketua Perangkawan Mohd. Uzir Mahidin berkata, indeks makanan meningkat sebanyak 6.1 peratus dan kekal menjadi penyumbang utama kenaikan inflasi pada Jun 2022, dengan semua kumpulan lain kecuali komunikasi merekodkan kenaikan.

    “Kesemua subkumpulan bagi makanan dan minuman bukan alkohol menunjukkan peningkatan antara 2.8 peratus hingga 11.9 peratus, manakala komponen makanan di rumah dan makanan di luar rumah masing-masing meningkat 6.1 peratus dan 6.6 peratus, mendorong kepada kenaikan inflasi makanan,” katanya dalam kenyataan.

    Beliau berkata, antara makanan di luar rumah yang menunjukkan kenaikan adalah roti canai (10.5 peratus), nasi berlauk (9.7 peratus), masakan daging (7.8 peratus) dan makanan berasaskan mi (7 peratus).

    “Ayam yang mempunyai wajaran terbesar dalam subkumpulan daging (46.1%) meningkat sebanyak 17.2 peratus berbanding peningkatan 13.4 pertatus pada Mei.

    “Purata harga ayam mentah pada Jun 2022 adalah sebanyak RM10.02 sekilogram berbanding RM8.55 pada Jun 2021.

    “Peningkatan harga ayam ini adalah selari dengan kenaikan input pengeluaran makanan dunia seperti jagung (14.8 peratus), gandum (60.9 peratus) dan kacang soya (19.9 peratus) yang merupakan komposisi terbesar penyediaan dedak ayam,” katanya lapor FMT.

    Kumpulan pengangkutan turut mencatatkan kenaikan 5.2 peratus diikuti restoran dan hotel (5 peratus); hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (3.4 peratus); pelbagai barangan dan perkhidmatan (2.2 peratus); serta perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan (2.2 peratus).

    Uzir berkata, peningkatan dalam kumpulan pengangkutan terutamanya disebabkan oleh peningkatan purata harga petrol tanpa plumbum RON97 sebanyak 80 peratus (RM4.7 seliter) berbanding RM2.65 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

    Inflasi meningkat 0.6 peratus berbanding Mei 2022 dan peningkatan itu disumbangkan terutamanya oleh pengangkutan, serta restoran dan hotel yang mana kedua-duanya meningkat kepada 1.3 peratus, diikuti oleh makanan dan minuman bukan alkohol (1.2 peratus).

    Mengulas tentang inflasi di peringkat negeri pula, beliau menjelaskan peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Putrajaya (8.1 peratus), diikuti Labuan dan Melaka yang merekodkan peningkatan paling rendah, masing-masing sebanyak 2.5 peratus.

    Peningkatan tertinggi inflasi makanan dan minuman bukan alkohol di peringkat negeri pula dicatatkan oleh Putrajaya (8.2 peratus), diikuti Selangor (7.5 peratus), Johor (7.3 peratus), Pulau Pinang (6.8 peratus) dan Perlis (6.1 peratus).

    Peningkatan bagi kumpulan ini terutamanya adalah disebabkan oleh kenaikan harga daging dan sayur-sayuran pada Jun 2022 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

  • Ras Adiba akan minta kerjasama syarikat e-hailing cari Zalina Azman

    Ras Adiba akan minta kerjasama syarikat e-hailing cari Zalina Azman

    PENGERUSI Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Senator Datuk Ras Adiba Radzi akan mendapatkan kerjasama daripada syarikat e-hailing bagi membantu usaha pencarian rakan baiknya Zalina Shaharah Azman atau lebih dikenali sebagai Zalina Azman. 

    “Saya bersama suami dan beberapa sahabat ada berusaha dengan cara tersendiri bagi mencari Zal (Zalina Shaharah) tetapi selepas ini saya akan bersama syarikat e-hailing untuk mereka menguar-uarkan mengenai kehilangannya,” katanya kepada Bernama dan TV3. 

    Beliau ditemui ketika melakukan lawatan ke rumah bekas pembaca berita sebuah stesen televisyen itu di Seksyen 3 di Sham Alam bersama Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten komisioner Mohd Iqbal Ibrahim. 

    “Saya datang hari ini nak periksa sekiranya Zal ada pulang, tetapi ternyata rumah ini sama seperti yang mereka jumpa tahun lepas dan akan terus berdoa agar beliau masih selamat di luar sana,” katanya. 

    Ras Adiba ke Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam pagi tadi bagi memberikan sedikit informasi kepada pihak polis berkenaan wanita berusia 58 tahun itu dan berharap sahabat yang lain dapat juga memberi kerjasama agar dapat memberi jawapan mengenai kehilangan bekas rakan sekerjanya itu.

    “Ramai yang cakap sudah terlalu lama (hilang) tapi bukan mudah untuk dapatkan jawapannya kalau ada orang hilang secepat mungkin tapi dengan sokongan semua, insya-Allah kita akan dapat sedikit maklumat di mana Zalina Azman berada dan bagaimana keadaannya. 

    “Sejak saya kenal dia dari awal 90-an beliau tidak ada sakit apa-apa. Memang sentiasa gembira tapi kita boleh lihat daripada gambar-gambar yang dikongsi nampak badannya telah susut.

    “Jadi ramai yang tanya sakit apa, adakah dia dalam kegusaran tapi saya kata tidak tahu sebab saya pun dah lama tak bertemu beliau seperti sahabat-sahabat yang lain jadi mereka yang prihatin di luar sana bantulah sama-sama mencari Zalina Azman,” katanya. 

    Isnin lepas, Mohd Iqbal dalam satu kenyataan berkata pihaknya menerima laporan daripada anak lelaki Zalina Shaharah, Mikhael Norman, 33, berkenaan kehilangan ibunya pada 29 Nov tahun lepas.  – Bernama

  • LIMA buat kemunculan semula besar-besaran tahun depan

    LIMA buat kemunculan semula besar-besaran tahun depan

    Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) dijangka membuat kemunculan semula secara besar-besaran tahun depan, yang dijadualkan berlangsung pada Mei, memandangkan sempadan kini dibuka sepenuhnya dengan corak tingkah laku perjalanan kembali kepada waktu sebelum pandemik.

    Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, Malaysia yakin LIMA 2023 bakal menjadi acara paling popular di rantau ini selepas edisi terakhir LIMA atau LIMA 19 memandangkan edisi 2021 terpaksa dibatalkan susulan pandemik COVID-19.

    “Susulan kerumpangan tiga tahun selepas penganjuran LIMA 19, bukan sahaja kerajaan dan pihak penganjur bersiap sedia sepenuhnya malah pempamer, delegasi asing serta orang ramai begitu teruja dan tidak sabar menantikan LIMA 2023.

    “Siri pameran LIMA yang membuat penampilan sulung pada 1991 telah menempuh pelbagai pengalaman sejak 30 tahun lepas dan ia telah diangkat sebagai acara terbesar dan paling popular serta dinanti-nantikan di rantau Asia Pasifik,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang akhbar bersama di Pertunjukan Udara Farnborough 2022 (FIA 2022) yang berlangsung di United Kingdom pada Rabu.

    Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Isham Ishak. Video sidang akhbar itu kemudian diedarkan kepada Bernama.

    LIMA 2023 akan berlangsung dari 23 hingga 27 Mei 2023 di Langkawi.

    Isham pula berkata, penyertaan Malaysia dalam FIA 2022 merupakan platform terbaik untuk memulakan kempen promosi selama 10 bulan bagi LIMA 2023 membabitkan Alpine Integrated Solution Sdn Bhd sebagai penganjur dilantik bagi LIMA 2023 yang akan membuat pameran di Pavilion Malaysia MATRADE.

    Beliau berkata, sebanyak 14 syarikat Malaysia dan tiga agensi kerajaan mengambil bahagian dalam acara lima hari itu yang berakhir pada Jumaat. – BERNAMA