SYED Saddiq Syed Abdul Rahman yang berdepan dengan tuduhan pecah amanah jenayah (CBT) dan pengubahan wang haram, sekali lagi memohon bagi mencabar kredibiliti seorang saksi utama susulan terdapat beberapa percanggahan dalam keterangan yang direkod oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan keterangan lisannya di mahkamah.

Ini merupakan percubaan kali kedua oleh pihak pembelaan untuk mendapatkan kebenaran memulakan prosiding bagi mencabar kredibiliti Rafiq Hakim Razali, bekas penolong bendahari Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), selepas Mahkamah Tinggi pada 18 Julai, menolak permohonan Ahli Parlimen Muar untuk mencabar saksi pendakwaan ke-13 itu berikutan percanggahan dalam kenyataan saksi dan keterangan lisannya di mahkamah berhubung prosedur pengeluaran RM1 juta daripada akaun bank Armada.

Peguam Syed Saddiq, Gobind Singh Deo berhujah terdapat percanggahan dalam keterangan lisan Rafiq Hakim di mahkamah dengan keterangan yang direkod sebelum ini oleh SPRM mengikut Seksyen 30 Akta SPRM 2009.

“Percanggahan itu merujuk kepada masa dan tempat arahan yang didakwa diberikan oleh Syed Saddiq kepada Rafiq Hakim dan Ahmad Redzuan Mohamed Shafi, yang merupakan penolong setiausaha Armada, untuk mengeluarkan RM1 juta dan tujuan acara kutipan dana di Muar serta wang yang diperoleh daripadanya,” kata peguam itu.

Katanya saksi itu menerusi keterangan lisannya di mahkamah memberitahu arahan untuk mengeluarkan RM1 juta oleh Syed Saddiq dibuat selepas Langkah Sheraton, pada perjumpaan di rumah tertuduh.

“Bagaimanapun menerusi kenyataan kepada SPRM saksi berkata arahan untuk pengeluaran RM1 juta itu dibuat menerusi panggilan telefon pada awal Mac 2020,” katanya.

Gobind turut berhujah bahawa terdapat percanggahan pada keterangan lisan Rafiq Hakim di mahkamah, apabila saksi tidak bersetuju bahawa wang dalam akaun Armada Bumi Bersatu Enterprise (ABBE) adalah hasil dana kutipan orang ramai oleh Syed Saddiq sendiri untuk berkempen di Muar.

Bagaimanapun peguam itu berkata menerusi kenyataan kepada SPRM, Rafiq Hakim mengesahkan bahawa sumber kewangan ABBE adalah hasil sumbangan orang ramai sepenuhnya iaitu melalui Majlis Makan Malam di Muar dan Majlis Makan di De Palma Hotel.

“Tujuan majlis makan ini diadakan untuk mendapatkan dana bagi Syed Saddiq sendiri iaitu berkempen di Muar,” katanya yang turut memohon dibekalkan dengan keterangan saksi yang dirakam oleh SPRM.

Sementara itu Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berhujah permohonan pembelaan adalah satu penyalahgunaan proses mahkamah kerana mereka sebenarnya cuba untuk mendapatkan kenyataan direkodkan SPRM, bukan bertujuan untuk mencabar kredibiliti saksi tetapi untuk melihat keseluruhan kandungan kenyataan itu.

“Sekarang ini pihak pembelaan melakukan percubaan kali kedua mengikut pintu belakang untuk memulakan prosiding mencabar kredibiliti saksi berkenaan,” katanya.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid menetapkan 25 Julai untuk mengumumkan keputusannya.

Syed Saddiq, 29, didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali iaitu Penolong Bendahari Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di Kuala Lumpur pada 6 Mac 2020.

Bagi pertuduhan kedua, Syed Saddiq didakwa menyalahguna RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise untuk diri sendiri dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di Kuala Lumpur antara 8 dan 21 April 2018.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang dipercayai merupakan hasil aktiviti haram, di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here