Category: Semasa

  • Tokoh korporat, Mustapha Kamal meninggal dunia

    Tokoh korporat, Mustapha Kamal meninggal dunia

    TOKOH korporat ternama, Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar menghembuskan nafas terakhir akibat sakit tua pada pukul 7.45 pagi tadi.

    Difahamkan, pengasas syarikat hartanah MK Land itu meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN).

    Allahyarham yang berusia 73 tahun akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara hari ini.

    “Buat masa ini jenazah ayah masih di IJN dan pihak keluarga sedang melakukan persiapan untuk proses selanjutnya,” kata anak Allahyarham, Felina, kepada Astro Awani ketika dihubungi.

    Dilahirkan di Kampung Changkat, Pusing, Perak pada 18 Mac 1949, Allahyarham merupakan graduan Universiti Malaya dalam jurusan Sejarah dan menerima Ijazah Kedoktoran dari Universiti Utara Malaysia.

    Allahyarham memulakan kerjayanya dengan berkhidmat sebagai Penolong Pegawai Daerah di Pejabat Daerah dan Tanah Selangor.

    Selepas dilantik sebagai Timbalan Pesuruhjaya Tanah & Galian Selangor, beliau beralih ke sektor swasta dengan memegang jawatan Pengarah Urusan Shah Alam Properties Sdn. Bhd.

    Pada 1983, beliau menubuhkan secara rasminya Kumpulan Syarikat EMKAY yang menawarkan rumah mampu milik, terutamanya kepada pembeli rumah pertama, sehingga beliau digelar ‘Raja Rumah Mampu Milik’.

    Pada Ogos 1999, nama syarikat itu ditukar kepada MK Land Holdings Berhad selepas disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur.

    Setakat tahun 2018, kumpulan itu telah membina lebih 60,000 unit kediaman, komersial dan ruang pejabat dengan keluasan 10 juta kaki persegi dengan nilai pembangunan RM20 bilion.

    Ia juga berjaya menjual lebih daripada 35,000 unit kediaman dengan harga bawah RM100,000 termasuk di Damansara Damai dan Bandar Baru Sungai Buloh.

    Sepanjang kariernya, beliau dikurniakan pelbagai jenis anugerah dan penghargaan termasuk daripada Yang di-Pertuan Agong pada 2002 dan daripada Raja Muda Perak pada 2003.

  • Polis tahan lelaki rompak, bakar kedai

    Polis tahan lelaki rompak, bakar kedai

    POLIS menahan seorang lelaki yang disyaki merompak dan membakar kedai runcit di Felda Tersang 1, Raub Sabtu lalu di kawasan ladang kelapa sawit Felda Sungai Koyan, Lipis pada Ahad.

    Hasil maklumat orang awam, suspek berusia 50 tahun dan tidak bekerja berjaya ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub dan Balai Polis Cheroh dengan bantuan Cawangan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang pada pukul 7.15 malam.

    Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Kama Azural Mohamed berkata, ketika tangkapan dibuat, suspek telah bertindak agresif dan berlaku pergelutan di antara suspek dan pihak polis.

    “Susulan daripada itu polis turut menemukan sebuah beg warna hitam tertulis waterproof, wang tunai RM1,420, seutas gelang tangan emas berloceng, dua utas gelang tangan emas, dua unit pemetik api jenama Aladdin dan satu pemetik api jenama Cricket,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, hasil semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai 10 rekod kesalahan dadah dan empat rekod kesalahan jenayah.

    “Soal siasat awal ke atas suspek mendapati dia mengaku bertindak bersendirian melakukan rompakan hingga mendatangkan kecederaan serta khianat dengan api.

    “Suspek akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Raub untuk permohonan reman,” katanya seperti dilaporkan Astro Awani.

    Dalam kejadian Sabtu lalu di Kedai Mara Felda Tersang 1, seorang pembantu kedai warga Indonesia dipukul, dirompak sebelum kedai di bakar.

    Kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu menyebabkan Nur Hasanah, 43, mengalami kecederaan parah di bahagian muka dan kepala.

    Mangsa mengatakan antara pukul 1 hingga 2 pagi, terdapat seorang lelaki bertopeng memanjat bumbung dan masuk ke dalam kedai sebelum bertindak menyerangnya dengan menggunakan sebatang besi hingga menyebabkan kecederaan.

    Suspek kemudiannya melarikan wang tunai sebanyak RM1,700 yang berada di kaunter kedai dan dua utas gelang emas milik mangsa.

    Mangsa diikat di tangan menggunakan pita pelekat dan melihat suspek bertindak membakar kedai. Mangsa berjaya melarikan diri dan meminta bantuan.

  • Wanita maut, dipercayai dilanggar semasa melintas Lebuhraya Persekutuan

    Wanita maut, dipercayai dilanggar semasa melintas Lebuhraya Persekutuan

    SEORANG wanita maut selepas dipercayai dilanggar sewaktu dia melintas jalan di Kilometer (KM) 7 Lebuhraya Persekutuan di Shah Alam tengah malam tadi. 

    Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata kejadian langgar lari pada pukul 12.11 tengah malam itu dipercayai berlaku ketika wanita berumur 33 tahun yang melintas jalan di laluan dari Kuala Lumpur menghala Klang di lebuh raya berkenaan, dilanggar sebuah kenderaan yang tidak dapat dipastikan jenisnya.

    “Wanita yang berpakaian serba warna hitam itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, dan mayat telah dibawa ke Hospital Shah Alam untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987, dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Inspektor Muhammad Hasrul Suhiami dengan menelefon 011-31215697 bagi membantu siasatan. –Bernama

  • Sekumpulan warga emas ditahan berjudi tepi bendang

    Sekumpulan warga emas ditahan berjudi tepi bendang

    POLIS menahan sekumpulan warga emas yang sedang asyik bermain judi Pok Deng di bangsal di tepi sawah berhampiran Taman Bersatu, Kuala Kedah, di Alor Setar, selepas mengepung kawasan itu, pukul 4 petang tadi.

    Semua suspek yang berusia antara 50 hingga 73 tahun itu pada mulanya cuba menyorok di kawasan sawah namun berjaya ditahan pegawai dan anggota Bahagian Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.

    Operasi turut disertai Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar.

    Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Mohd. Roze Shaari berkata, ketika serbuan dilakukan, terdapat 12 individu terdiri daripada 10 lelaki, seorang wanita tempatan dan seorang wanita Indonesia sedang asyik berjudi disyaki jenis Pok Deng.

    Beliau berkata, turut ditahan seorang lelaki disyaki penganjur berusia 57 tahun untuk membantu siasatan.

    “Polis merampas 52 keping daun terup, empat kerusi plastik hitam dan satu alas meja.

    “Turut dirampas wang tunai berjumlah RM5,948 yang dipercayai berkaitan dengan kegiatan itu.

    “Hasil siasatan mendapati mereka terbabit dalam kegiatan itu sejak tiga bulan lalu tetapi dalam seminggu mereka hanya bermain judi itu dua atau tiga kali,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

    Mohd. Roze berkata, kesemua mereka ditahan dan dibawa ke IPD Kota Setar untuk tindakan lanjut.

  • Kontraktor mengaku lempar mercun dalam sungai, bukan wakil rakyat

    Kontraktor mengaku lempar mercun dalam sungai, bukan wakil rakyat

    SEORANG kontraktor menafikan dakwaan menggunakan peledak letupan untuk menangkap ikan di Sungai Sepia, Ulu Tembeling di Jerantut, Sabtu lalu seperti yang tular dalam media sosial.

    Mohd. Rosli Awang, 44, mengaku melemparkan mercun bola ke sungai terbabit pada 16 Julai lalu dan bukan dilakukan seorang wakil rakyat seperti didakwa.

    “Sebanyak enam biji mercun dilemparkan ke dalam sungai itu tanpa arahan sesiapa dan daripada jumlah tersebut, dua sahaja yang meletup.

    “Saya sebenarnya nak mencuba sahaja tapi tak sangka meletup juga kerana dibaling ke dalam air.

    “Saya ingin memohon maaf kerana perbuatan ini telah menjejaskan ramai pihak, ia adalah kesalahan kali pertama dilakukan,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Katanya, baki mercun telah diserahkan kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Jerantut pada 17 Julai lalu.

    Ujarnya lagi, tindakan tersebut tiada kena-mengena dengan pihak lain khususnya wakil rakyat setempat yang dalam rangka lawatan kerja ke Ulu Tembeling pada 15 dan 16 Julai lalu.

    “Insiden ini tular dalam media sosial pada 18 Julai lalu, saya membuat laporan polis di Balai Polis Nilai, Negeri Sembilan pada Sabtu.

    “Laporan bagi menafikan penggunaan bom peledak untuk mendapatkan ikan dibuat di Negeri Sembilan kerana kebetulan saya ada kerja di sana,” jelasnya.

    Tegasnya, dalam insiden tersebut, wakil rakyat berkenaan langsung tidak terbabit dan tiada arahan untuk melemparkan mercun terbabit.

    Pada Khamis, media melaporkan sekumpulan pemancing kesal dengan tindakan individu yang membaling bahan letupan di Jeram Perahu dekat Sungai Sepia di Taman Negara di Jerantut pada Sabtu lalu.

    Pemancing yang enggan dikenali berkata, pada hari kejadian, tapak kem mereka dikunjungi satu rombongan yang terdiri daripada 20 orang termasuk tokoh-tokoh kenamaan.

  • Pengedar ditahan bersama heroin bernilai RM200,000

    Pengedar ditahan bersama heroin bernilai RM200,000

    POLIS menahan seorang lelaki bersama sejumlah 100 botol dadah disyaki jenis heroin bernilai RM200,000 di sebuah kedai makan di Kampung Gual Sitok, Pasir Mas, dua hari lepas.

    Pemangku Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata suspek yang berumur 23 tahun dikesan dalam Ops Tapis Sempadan selepas dia dilihat dalam keadaan mencurigakan pada pukul 2.36 pagi di dalam kedai berkenaan.

    Bercakap kepada pemberita dalam persidangan media di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di Kota Bharu hari ini beliau berkata apabila diperiksa, polis menemukan satu beg plastik hitam pada tangan kiri suspek mengandungi 100 botol lutsinar serbuk keputihan disyaki dadah jenis heroin, yang setiap satunya bernilai sekitar RM2,000.

    Antara dadah yang dirampas bernilai RM200,000 di sebuah kedai makan di Kampung Gual Sitok, Pasir Mas, dua hari lepas. – Foto ihsan Facebook Polis Kelantan

    Sementara itu menurutnya Khamis lepas polis menahan seorang lelaki berusia 34 tahun dan merampas 2,000 biji pil Yaba di dalam sebuah kereta di hadapan sebuah rumah pada 5.06 pagi di Kampung Repek, Pasir Mas.

    Beliau berkata suspek yang bekerja sebagai buruh turut positif dadah jenis Methamphetamine serta mempunyai empat rekod jenayah lampau.

    Muhamad Zaki berkata Ops Tapis Sempadan yang dijalankan dari 21 hingga 23 Julai lepas di daerah-daerah bersempadan dengan Thailand, telah membawa kepada penahanan 34 orang atas pelbagai kesalahan, di samping merampas dadah bernilai RM230,165.–Bernama

  • Rakyat perlu jadi ‘mata-mata’, salur maklumat, kata Hamzah

    Rakyat perlu jadi ‘mata-mata’, salur maklumat, kata Hamzah

    KERAJAAN menyeru rakyat supaya menjadi ‘mata-mata’ dalam menyalurkan maklumat berhubung kegiatan yang menyalahi undang-undang.

    Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kerjasama masyarakat dalam menyalurkan maklumat dapat membantu pihak berkuasa menangani kegiatan jenayah.

    “Penahanan 60 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan penemuan lima senjata jenis senapang angin buatan sendiri dalam Operasi Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Perkampungan Nelayan, Kuala Gula, Jumaat lalu, adalah hasil maklumat orang ramai.

    “Kita takkan biarkan mereka ini lakukan kesalahan dan berkeliaran dengan mudah dalam negara.

    “Sebab itulah perlunya maklumat atau kerjasama rakyat. Daripada maklumat itu, kita dapat tahu ada tempat tertentu dalam negara yang mempunyai penjenayah yang boleh merosakkan nama baik kita,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas program penutup Jelajah Kita Demi Negara di Astaka Batu Kurau, Larut, hari ini.

    Menurutnya, pentingnya kerjasama atau maklumat daripada rakyat supaya kerajaan dapat mengambil tindakan lebih awal agar kegiatan penjenayah tidak merebak.

  • Tayar van pecah:Seorang wanita maut, sembilan cedera

    Tayar van pecah:Seorang wanita maut, sembilan cedera

    SEORANG wanita maut manakala sembilan yang lain cedera selepas van dinaiki hilang kawalan dan terbalik di Kilometer 178.7 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan di Bagan Serai hari ini.

    Kejadian tersebut dimaklumkan kepada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Serai pada pukul 6.22 petang.

    Difahamkan kejadian berkenaan berlaku disebabkan tayar pecah mengakibatkan van terbabit hilang kawalan dan terbabas.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, terdapat 10 mangsa dalam kenderaan itu terdiri daripada enam perempuan, tiga lelaki dan seorang kanak-kanak lelaki.

    “Bagaimanapun semua mangsa tidak tersepit. Anggota bertindak membuat rawatan awal kepada mangsa dan membawa mereka ke Hospital Taiping.

    “Mangsa maut diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya memetika laporan Sinar Harian.

  • Lelaki terperangkap empat jam dalam runtuhan tanah

    Lelaki terperangkap empat jam dalam runtuhan tanah

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG pekerja lelaki terperangkap dalam runtuhan tanah semasa melakukan kerja di Sekolah Menengah (SM) Sains Kota Tinggi di Bandar Penawar, Kota Tinggi hari ini.

    Kejadian yang menimpa lelaki berkenaan yang berusia 44 tahun itu dimaklumkan orang awam kepada pihak polis pada pukul 2.20 petang.

    Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, Bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai kanan dan anggota polis dari Balai Polis Bandar Penawar digerakkan untuk mengawal situasi di tempat kejadian.

    “Operasi menyelamat dibantu anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Penawar dan BBP Sebana Cove, kakitangan Klinik Kesihatan Bayu Damai dan panel kontraktor Indah Water Konsortium iaitu syarikat Prospek Qaraeez,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, siasatan awal mendapati secara keseluruhan seramai empat pekerja syarikat Prospek Qaraeez termasuk mangsa menjalankan kerja baik pulih loji kumbahan di sekolah berkenaan.

    Anggota bomba membantu mengeluarkan mangsa yang tertimbus dalam runtuhan tanah di Sekolah Menengah (SM) Sains Kota Tinggi di Bandar Penawar

    Jelasnya, semasa melakukan kerja-kerja itu tanah di tepi tangki loji kumbahan runtuh atau jerlus menyebabkan seorang mangsa terperangkap dan tertimbus hingga ke paras pinggang.

    Menurutnya, tiga lagi pekerja sempat menyelamatkan diri sebelum mangsa berjaya diselamatkan dan kini dalam keadaan stabil.

    Sementara itu, Komander Operasi dari BBP Penawar, Penolong Kanan Penguasa Bomba Masri Ibrahim berkata, 16 anggota dari dua BBP berkenaan dibantu dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

    “Mangsa terperangkap dalam runtuhan tanah ketika kerja- kerja pembaikan tangki septik. Mangsa dikeluarkan dengan menggunakan peralatan khas sebelum diserahkan kepada pegawia perubatan untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

    Beliau menambah, operasi tamat pada pukul 6.50 petang.

  • Wei Chong – Kai Wun tundukkan juara Olimpik, juarai Terbuka Taipei

    Wei Chong – Kai Wun tundukkan juara Olimpik, juarai Terbuka Taipei

    PASANGAN beregu lelaki muda negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun mencipta kejutan besar apabila berjaya menumpaskan Juara Olimpik Tokyo 2020 Lee Yang-Wang Chi Lin untuk muncul juara Terbuka Taipei pada hari ini.

    Pasangan di ranking ke-36 dunia yang turun dengan semangat juang tinggi itu menampilkan persembahan cemerlang untuk menundukkan wakil tuan rumah itu 21-18 pada set pertama.

    Namun, beregu nombor empat dunia yang juga pilihan pertama kejohanan, Lee-Chi Lin bangkit mengejar beregu Malaysia dan mencatatkan kemenangan 21-11.

    Wei Chong-Kai Wun, pilihan keenam kejohanan, memperkemaskan aksi mereka pada set penentuan untuk mengesahkan kemenangan 21-18, dalam pertarungan selama 54 minit itu.

    Ia merupakan gelaran juara kedua buat Wei Chong-Kai Wun pada tahun ini selepas menjuarai Kejohanan Antarabangsa India pada Januari lepas yang menewaskan wakil tuan rumah, Krishna Prasad Garaga-Vishnuvardhan Goud Panjala 21-18, 21-15. – BERNAMA