Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

SEORANG pekerja lelaki terperangkap dalam runtuhan tanah semasa melakukan kerja di Sekolah Menengah (SM) Sains Kota Tinggi di Bandar Penawar, Kota Tinggi hari ini.

Kejadian yang menimpa lelaki berkenaan yang berusia 44 tahun itu dimaklumkan orang awam kepada pihak polis pada pukul 2.20 petang.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, Bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai kanan dan anggota polis dari Balai Polis Bandar Penawar digerakkan untuk mengawal situasi di tempat kejadian.

“Operasi menyelamat dibantu anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Penawar dan BBP Sebana Cove, kakitangan Klinik Kesihatan Bayu Damai dan panel kontraktor Indah Water Konsortium iaitu syarikat Prospek Qaraeez,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati secara keseluruhan seramai empat pekerja syarikat Prospek Qaraeez termasuk mangsa menjalankan kerja baik pulih loji kumbahan di sekolah berkenaan.

Anggota bomba membantu mengeluarkan mangsa yang tertimbus dalam runtuhan tanah di Sekolah Menengah (SM) Sains Kota Tinggi di Bandar Penawar

Jelasnya, semasa melakukan kerja-kerja itu tanah di tepi tangki loji kumbahan runtuh atau jerlus menyebabkan seorang mangsa terperangkap dan tertimbus hingga ke paras pinggang.

Menurutnya, tiga lagi pekerja sempat menyelamatkan diri sebelum mangsa berjaya diselamatkan dan kini dalam keadaan stabil.

Sementara itu, Komander Operasi dari BBP Penawar, Penolong Kanan Penguasa Bomba Masri Ibrahim berkata, 16 anggota dari dua BBP berkenaan dibantu dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

“Mangsa terperangkap dalam runtuhan tanah ketika kerja- kerja pembaikan tangki septik. Mangsa dikeluarkan dengan menggunakan peralatan khas sebelum diserahkan kepada pegawia perubatan untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Beliau menambah, operasi tamat pada pukul 6.50 petang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here