KERAJAAN menyeru rakyat supaya menjadi ‘mata-mata’ dalam menyalurkan maklumat berhubung kegiatan yang menyalahi undang-undang.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kerjasama masyarakat dalam menyalurkan maklumat dapat membantu pihak berkuasa menangani kegiatan jenayah.

“Penahanan 60 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan penemuan lima senjata jenis senapang angin buatan sendiri dalam Operasi Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Perkampungan Nelayan, Kuala Gula, Jumaat lalu, adalah hasil maklumat orang ramai.

“Kita takkan biarkan mereka ini lakukan kesalahan dan berkeliaran dengan mudah dalam negara.

“Sebab itulah perlunya maklumat atau kerjasama rakyat. Daripada maklumat itu, kita dapat tahu ada tempat tertentu dalam negara yang mempunyai penjenayah yang boleh merosakkan nama baik kita,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas program penutup Jelajah Kita Demi Negara di Astaka Batu Kurau, Larut, hari ini.

Menurutnya, pentingnya kerjasama atau maklumat daripada rakyat supaya kerajaan dapat mengambil tindakan lebih awal agar kegiatan penjenayah tidak merebak.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here