Category: Semasa

  • Tawar gaji mahal, hidup mewah bekerja di Myanmar, UAE

    Tawar gaji mahal, hidup mewah bekerja di Myanmar, UAE

    SINDIKET menawarkan gaji yang lumayan serta kehidupan mewah antara taktik yang digunakan dua individu termasuk seorang warga Taiwan dalam memperdaya mangsa untuk bekerja sebagai operator ‘scammer’ dan judi dalam talian di Myanmar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

    Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi berkata, kegiatan itu bagaimanapun berjaya dibongkar apabila kedua-dua suspek berjaya diberkas dalam serbuan di sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Setia Impian di Shah Alam pada Jumaat.

    “Kedua-dua suspek yang berumur 35 dan 45 tahun itu dipercayai menjalankan kegiatan berkenaan sejak awal Jun lalu.

    “Siasatan dijalankan mendapati, suspek warga Taiwan berperanan mencari individu-individu di negara ini untuk bekerja sebagai operator dalam talian melibatkan ‘scammer’ dan judi dalam talian dengan menerima upah bayaran sebanyak AS$1,000 bagi setiap seorang.

    “Suspek warga tempatan pula berperanan sebagai pemandu bagi menghantar mangsa ke lapangan terbang mengikut jadual penerbangan yang ditetapkan,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di Shah Alam, hari ini.

    Katanya, serbuan dijalankan berjaya merampas pelbagai peralatan serta dokumen dipercayai digunakan untuk penghantaran mangsa.

    “Antara dirampas ialah enam unit telefon bimbit, 14 pasport Malaysia atas nama individu yang berlainan, 14 keping borang pemeriksaan Covid-19 atas nama individu yang berlainan.

    “Ini termasuk 19 keping borang ‘Visa Approval to Myanmar’ atas nama individu yang berlainan, tujuh keping borang Visa Negara Dubai atas nama individu yang berlainan, lima pasport mempunyai borang pemeriksaan Covid-19 dan visa ke Myanmar.

    “Selain itu, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire yang dipercayai disewa turut dirampas dalam serbuan dijalankan,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

    Menurutnya, siasatan masih dijalankan melibatkan jumlah mangsa yang terlibat dalam kegiatan ini.

    “Berdasarkan kepada pasport yang ditemukan, mereka yang menjadi mangsa dipercayai masih belum bertolak ke negara yang dinyatakan.

    “Polis juga masih belum menerima sebarang laporan daripada ahli keluarga mangsa yang terlibat setakat ini,” katanya.

    Tambahnya, kedua-dua suspek kini direman empat hari untuk siasatan lanjut dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

    “Orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah terperdaya dengan mana-mana pihak atau individu yang cuba menawarkan gaji yang lumayan untuk bekerja di luar negara,” katanya.

  • 100 kes seleweng bekalan minyak masak, nilai rampasan RM2.2 juta

    100 kes seleweng bekalan minyak masak, nilai rampasan RM2.2 juta

    SEBANYAK 100 kes kesalahan menyeleweng bekalan minyak masak bersubsidi dengan nilai rampasan RM2.2 juta dilaporkan dalam tempoh 1 hingga 24 Julai.

    Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, sebanyak 12,417 premis diperiksa menerusi beberapa operasi berkaitan minyak masak termasuk Ops ATM (Ayam, Telur Ayam dan Minyak Masak) dan Ops Anti Sorok serta 117 aduan diterima sepanjang tempoh sama.

    “Untuk ayam dan telur, bermula 1 Julai hingga 24 Julai sebanyak 10,302 premis diperiksa menyaksikan 157 kes dengan nilai rampasan sehingga kini RM22,677,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

    Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Seri Rohani Abdul Karim (GPS-Batang Lupar) mengenai langkah kementerian membendung masalah ketirisan bekalan bahan asas makanan di pasaran dan peningkatan harga barangan. – BERNAMA

  • Laporan audit Melaka: Aktiviti usaha sama tanah dengan syarikat swasta tidak memuaskan

    Laporan audit Melaka: Aktiviti usaha sama tanah dengan syarikat swasta tidak memuaskan

    AKTIVITI usaha sama tanah dengan syarikat swasta tidak memuaskan di Melaka kerana projek lewat disiapkan menyebabkan agensi lewat menerima pulangan atau balasan yang ditetapkan, demikian menurut Laporan Ketua Audit Negara 2020 Siri 1 berkaitan Pengurusan Tanah Agensi negeri Melaka.

    Ketua Audit Negara, Datuk Seri Nik Azman Nik Abdul Majid dalam laporannya berkata, pengauditan melibatkan penilaian terhadap semua tanah dimiliki Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM), Yayasan Melaka (YM) dan Perbadanan Kemajuan Tanah Adat Melaka (PERTAM), setelah dikenal pasti sebagai agensi yang menguruskan pembangunan hartanah di Melaka secara langsung dan mempunyai milikan tanah lebih tinggi berbanding 11 agensi lain di negeri berkenaan.

    “Terdapat kelemahan dalam pengurusan tanah bagi tiga agensi di Melaka iaitu tanah yang masih kosong/ belum dibangunkan di PKNM, YM dan PERTAM berbanding keseluruhan lot tanah dimiliki masing-masing ialah 156 (64.5 peratus), 42 (33.6 peratus) dan dua (16.7 peratus), tanah kosong PKNM di Mukim Sungai Baru, Sungai Baru Tengah, Sungai Baru Ilir dan Linggi dengan perbelanjaan sejumlah RM58.50 juta masih belum mendatangkan sebarang pulangan.

    “Tunggakan hasil agensi sehingga 31 Dis 2020 iaitu PERTAM masih belum menerima hasil jualan tanah di lot PT8534 berjumlah RM21 juta, YM mempunyai tunggakan hasil sewaan sehingga 2020 berjumlah RM1.16 juta melibatkan sembilan penyewa dan tunggakan hasil pajakan tanah bagi tiga pemajak berjumlah RM120,678. YM juga mempunyai tunggakan hasil jualan tanah sejumlah RM0.57 juta,” menurut laporan itu.

    Laporan itu juga menyebut, PKNM mempunyai tunggakan hasil sewaan tanah sehingga 2020 berjumlah RM42,449 melibatkan tujuh penyewa dan tunggakan hasil pajakan tanah berjumlah RM16,500 bagi satu pemajak; PKNM lewat memperbaharui perjanjian sewaan tanah melibatkan tujuh penyewa dengan kelewatan antara 13 hari hingga 12 bulan 23 hari.

    Selain itu, YM telah memberi pajakan empat lot tanah kepada kelab dan kelab telah melantik pihak ketiga untuk menyewa serta menetapkan kadar sewaan dua kali ganda berbanding bayaran sewa kepada YM, selain YM mempunyai kurangan hasil penjualan tanah sejumlah RM2.33 juta disebabkan penurunan harga dan komitmen sosial berkaitan isu pendudukan orang Melayu kepada 21 orang penduduk di tanah tersebut.

    Laporan itu juga menyebut, pelaksanaan projek secara usaha sama YM dan PERTAM dengan syarikat swasta tidak memuaskan kerana projek tidak dapat disiapkan mengikut tempoh yang ditetapkan dalam perjanjian dan keadaan itu menyebabkan agensi lewat menerima pulangan atau balasan yang ditetapkan.

    Menurut laporan itu, bagi menambah baik pengurusan tanah agensi dan memastikan pelaksanaannya mencapai objektif yang ditetapkan, pihak terlibat disyorkan mengambil tindakan penambahbaikan seperti agensi perlu mengenal pasti tanah-tanah kosong yang berpotensi untuk dibangunkan atau dijual bagi memberi pulangan yang terbaik.

    “Agensi perlu bersama-sama kerajaan negeri merealisasikan hasrat pembangunan tanah yang pesat untuk kebajikan rakyat dan perlu mengkaji semula prosedur bagi aktiviti usaha sama dengan syarikat swasta supaya objektif pembangunan dapat dirancang dengan sempurna dan memberi pulangan yang terbaik.

    “Secara keseluruhannya, dapat dirumuskan pengurusan aktiviti tanah bagi tiga agensi di Melaka telah memberi pulangan dan hasil yang memuaskan selaras dengan objektif penubuhan agensi,” menurut laporan itu. – BERNAMA

  • Polis buru pemandu Honda Civic putih lari pemeriksaan

    Polis buru pemandu Honda Civic putih lari pemeriksaan

    Oleh RIZQI ZABIDI

    POLIS kini giat memburu individu yang memandu sebuah kereta jenis Honda Civic berwarna putih, yang meloloskan diri daripada diperiksa di Kuah, Langkawi, malam tadi.

    Menerusi klip video yang tular di media sosial, kereta tersebut dipandu laju dalam keadaan berbahaya termasuk melalui lorong-lorong kecil di sekitar destinasi pelancongan popular itu.

    Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, sebuah kereta peronda polis terserempak dengan kenderaan tersebut kira-kira pukul 8 malam tadi.

    “Anggota polis terlibat mengarahkan pemandu Honda Civic tersebut memberhentikan kenderaan namun arahan tersebut tidak diendahkan.

    “Pemandu kereta itu sebaliknya memecut laju menghala ke Kampung Padang Lalang di Kuah sebelum membuat pusingan di sekitar Kuah bagi meloloskan diri.

    “Kereta itu kemudiannya ditemukan di hadapan sebuah sekolah di Kisap dan pihak polis kini giat mengesan pemandunya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Tambahnya, semakan awal mendapati pemilik berdaftar kenderaan itu beralamat di Kulim namun dia telah menjual kereta tersebut tanpa melaksanakan proses penukaran nama.

    “Pembeli kereta tersebut pula sebelum ini telah ditahan di Langkawi pada 17 Julai lalu dan sedang disiasat mengikut Seksyen 39A(2) dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

    “Buat masa ini kami masih mengesan pemandu kereta tersebut malam tadi. Kes kini disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan,” katanya.

  • UKSB beri sumbangan politik RM2.6 juta kepada Tun Mahathir – Saksi

    UKSB beri sumbangan politik RM2.6 juta kepada Tun Mahathir – Saksi

    SEORANG saksi memberitahu Mahkamah Tinggi Shah Alam bahawa Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) memberi sumbangan politik berjumlah RM2.6 juta kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

    Bekas Pengurus Pentadbiran UKSB, David Tan Siong Sun, 47, berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam Datuk Ahmad Zaidi Zainal yang mewakili Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ketika lejar di dalam komputer riba milik saksi itu dirujuk kepadanya semasa perbicaraan kes rasuah bekas Timbalan Perdana Menteri itu berhubung projek Visa Luar Negara (VLN) hari ini.

    Ketika ditanya Ahmad Zaidi, adakah Tun Dr Mahathir menerima sumbangan politik, saksi itu menjawab, “Ya dan parti (Bersatu)”.

    Saksi ke-17 itu memberitahu mahkamah bahawa sumbangan dana itu dibayar melalui anak saudara (Tun Dr Mahathir) iaitu Tan Sri Rahmat Abu Bakar yang menggunakan kod nama ‘Kedahan’.

    Ahmad Zaidi: Kenapa anda membuat pembayaran kepada Tan Sri Rahmat?

    Tan: Saya percaya ia adalah untuk dana politik.

    Ahmad Zaidi: Bahawa RM2.6 juta telah diberikan kepada Tan Sri Rahmat untuk diberi kepada Tun Mahathir, adakah itu betul, untuk dana politik?

    Tan: Betul.

    Tan turut memberitahu mahkamah bahawa Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut diberi sumbangan politik daripada UKSB melalui sahabat baik ahli politik itu, Datuk Teo Wee Cheng yang juga merupakan pengarah syarikat SHH Resources Sdn Bhd.

    Saksi itu turut bersetuju dengan Ahmad Zaidi bahawa dana yang diterima Ahmad Zahid adalah dana politik.

    Ahmad Zaidi: Adakah anda melihat Tun Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin di mahkamah di sebelah Datuk Seri Zahid?

    Tan: Tidak.

    Ahmad Zahid, 69, menghadapi 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri bagi menyambung kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan Sistem Visa Luar Negara (VLN) serta untuk mengekalkan perjanjian kontrak untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat yang sama oleh Kementerian Dalam Negeri.

    Bagi tujuh lagi pertuduhan, dia didakwa memperoleh untuk dirinya SG$1,150,000; RM3 juta; 15,000 Swiss Franc dan US$15,000 daripada syarikat sama yang mempunyai kaitan rasmi dengan tugas rasminya.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya, dan Country Heights Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa bersambung esok. – BERNAMA

  • Kosmetik kandungi bahan bahaya tarik balik 24 jam dari pasaran

    Kosmetik kandungi bahan bahaya tarik balik 24 jam dari pasaran

    PRODUK kosmetik dan ubat-ubatan yang mengandungi bahan berbahaya kepada kesihatan pengguna akan diarah ditarik balik dari pasaran dalam masa 24 jam, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

    Dr Noor Azmi berkata, bagi produk yang mendatangkan risiko kecil atau produk yang tidak mencapai standard kualiti yang ditetapkan, ia perlu ditarik balik dari pasaran dalam tempoh 72 jam (tahap 2).

    “Tahap 3 pula produk dengan masalah-masalah lain, ia perlu ditarik balik dari pasaran dalam tempoh 30 hari,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat hari ini.

    Beliau menjawab soalan Sabri Azit (PAS-Jerai) yang mahu Menteri Kesihatan menyatakan mengenai tindakan pemantauan kerajaan bagi menangani doktor media sosial yang berleluasa melariskan jualan kosmetik hingga menyebabkan kesan sampingan kepada pengguna.

    Dr Noor Azmi berkata, pada tahap 1, produk akan ditarik balik dari semua pengguna, tahap 2 ditarik balik dari semua tempat yang membekalkan kepada pengguna seperti hospital, farmasi, klinik dan sebagainya manakala pada tahap 3 ia ditarik balik dari semua pemborong/pengedar produk. – BERNAMA

  • Suri rumah, buruh didakwa bunuh suami

    Suri rumah, buruh didakwa bunuh suami

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG suri rumah didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini atas pertuduhan membunuh suaminya di rumah mereka di Taman Daya di Johor Bahru, kira-kira dua minggu lalu.

    Margaret Law, 36, bersama-sama rakan lelakinya, Fam Mee Fat, 53, tahun didakwa melakukan perbuatan itu sebelum kedua-duanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Majistret Nurmadiana Mamat.

    Berdasarkan kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa bersama-sama membunuh Lee Ming How, 44, di No 03-14, Blok 11, Jalan Nipah, Taman Daya, pada pukul 2 petang, 14 Julai lalu.

    Bagi perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Sharifah Natasha Syed Ahmad dan Nur Aqiilah Ahmad Rafaei manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

    Mahkamah menetapkan 27 September ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat dan tiada sebarang jaminan dibenarkan.

    Pada prosiding yang sama, kedua-dua tertuduh didakwa secara berasingan atas tuduhan memasukkan dadah berbahaya ke dalam badan.

    Margaret didakwa memasukkan dadah jenis methamphetamine dan amphetamine ke dalam badan setelah air kencingnya diuji di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan kira-kira pukul 1.30 petang, 15 Julai lalu.

    Mee Fatt yang juga seorang buruh pula didakwa melakukan perkara sama memasukkan methamphetamine ke dalam badan di tempat sama, pada pukul 12.01 tengah malam, 16 Julai lalu.

    Mereka didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

    Kedua-duanya mengaku salah atas pertuduhan itu dan mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM1,700 atau enam bulan penjara ke atas setiap tertuduh.

    Mereka berdua turut diperintahkan menjalani pengawasan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selama dua tahun.

    Pada 15 Julai lalu, media melaporkan, Ming How, ditemukan maut dalam keadaan terbaring di kediaman keluarganya, selepas dipercayai dipukul isterinya.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat dilaporkan berkata, terdapat kesan ikatan di kaki, pukul serta tikaman di tubuh mangsa lelaki itu.

    Beliau turut memaklumkan polis menemui dadah jenis syabu dan peralatan penagihan di rumah mangsa.

    Margaret ditahan polis pada 15 Julai lalu manakala Mee Fatt ditahan kira-kira 10 malam, hari yang sama sebelum kedua-duanya ditahan reman.

  • Seorang rentung dalam kemalangan empat kenderaan

    Seorang rentung dalam kemalangan empat kenderaan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG rentung dalam kemalangan melibatkan empat kenderaan berhampiran Jambatan Permas Jaya, Lebuhraya EDL, Pasir Gudang menghala ke Bakar Batu, Johor Bahru, pagi tadi.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Mohd. Suhaimi Jamal berkata, kemalangan itu membabitkan tiga kereta iaitu jenis BMW, Perodua Myvi dan Honda City serta sebuah van pekerja kilang jenis Nissan.

    “Mangsa yang rentung tersepit di bahagian pemandu kereta BMW.
    Seramai 13 anggota dari BBP Larkin dibantu sembilan anggota BBP Johor Jaya ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 6.10 pagi.

    “Setibanya anggota di tempat kejadian didapati berlaku kebakaran melibatkan sebuah kereta jenis BMW terbakar 90 peratus, van pekerja kilang (terbakar 90 peratus) dan Perodua Myvi (terbakar 60 peratus) manakala Honda City tidak terbakar.

    “Anggota bertindak membuat pemadaman dengan menggunakan dua aliran salur bantu mula dan air tangki pam jentera serta membantu mengeluarkan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, mangsa yang dikeluarkan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

    Tambah Mohd Suhaimi, pemandu Honda City dan Perodua Myvi masing-masing lelaki berusia 34 dan 52 tahun selamat.

  • Bot penumpang bawa pelancong tanpa lesen, insuran ditahan

    Bot penumpang bawa pelancong tanpa lesen, insuran ditahan

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan sebuah bot penumpang selepas disyaki melakukan pelbagai kesalahan pada kedudukan 0.19 batu nautika Tanjung Puchat, Mukah Head, Teluk Bahang, pukul 5.25 petang semalam.

    Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, bot tersebut ditahan semasa sedang membawa tiga pelancong di perairan Tanjung Puchat.

    Ujar beliau, bot yang menggunakan nombor pendaftaran PPP 02389 (P) itu dikendalikan seorang lelaki warga tempatan berusia 32 tahun.

    “Pemeriksaan lanjut mendapati bot tersebut membawa penumpang tanpa lesen yang sah serta insuran telah tamat tempoh.

    “Sehubungan itu, bot serta tekong telah ditahan dan dibawa ke Maritim Negeri Pulau Pinang untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia bagi siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut Abd. Razak, kes itu akan disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana membawa penumpang tanpa lesen yang sah dan insuran tamat tempoh.

    Dalam pada itu, beliau menasihatkan pengusaha-pengusaha bot yang membawa penumpang atau pelancong di laut supaya mematuhi undang-undang serta peraturan yang telah dikeluarkan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

    “Orang ramai serta komuniti maritim diseru untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat dan melaporkan sebarang aktiviti kesalahan di laut.

    “Sebarang aduan boleh disalurkan ke talian 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang 04-2626146,” katanya.

  • Suami isteri ditahan, dadah RM2 juta dirampas

    Suami isteri ditahan, dadah RM2 juta dirampas

    SEPASANG suami isteri ditahan dan polis merampas dadah jenis methamphetamine seberat lebih 20 kilogram di dua lokasi di Ipoh, Khamis lalu.

    Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, nilai keseluruhan dadah itu lebih RM2 juta yang boleh digunakan 200,000 penagih.

    Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, kira-kira pukul 4.40 petang Khamis, sepasukan pegawai dan anggota polis telah menahan seorang lelaki berusia 34 tahun dan isterinya, warga Vietnam berusia 38 tahun di tepi jalan sekitar kawasan Taman Panorama Lapangan Perdana, Ipoh.

    “Hasil pemeriksaan terhadap sebuah kereta yang dipandu suspek lelaki Cina tersebut, telah menjumpai 10 bungkusan plastik warga hijau bertulisan Guanyingwang bahan disyaki dadah jenis methamphetamine anggaran berat 10,356 gram.

    “Pemeriksaan susulan telah dilakukan terhadap sebuah kereta di tempat letak kereta sebuah pangsapuri di sekitar Ipoh, telah menjumpai lagi 10 bungkusan plastik warna hijau bertulisan Guanyingwang, bahan disyaki dadah jenis methamphetamine anggaran berat 10,339 gram,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di Ipoh, hari ini, lapor Astro Awani.

    Menurutnya, polis turut menyita seutas jam tangan dengan tulisan Rolex, seutas rantai kaki, sebentuk cincin dan seutas gelang tangan dengan anggaran jumlah keseluruhan lebih RM83,000.

    Katanya, ujian saringan air kencing yang dilakukan mendapati suspek lelaki positif dadah jenis methamphetamine manakala isterinya negatif.

    Pasangan suami isteri itu dipercayai telah melakukan aktiviti tersebut sejak tiga bulan lalu dan semakan awal mendapati mereka tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan lampau.

    Suspek direman tujuh hari sehingga 28 Julai dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mandatori gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.