Category: Semasa

  • Polis buru tiga lelaki bantu siasatan kes guru maut

    Polis buru tiga lelaki bantu siasatan kes guru maut

    POLIS memburu tiga lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes seorang guru pendidikan moral yang meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Kulim, Alor Setar, Khamis lalu.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Datuk G. Suresh Kumar berkata, setakat ini hanya seorang suspek wanita berjaya ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kes terbabit.

    “Berikutan itu, kita masih memburu tiga lelaki yang dipercayai mempunyai kaitan dalam kes yang menyebabkan kematian mangsa selepas mereka dikatakan terbabit dalam satu pergaduhan sebelum itu.

    “Kita percaya tiga lelaki berkenaan yang juga individu yang menghantar mangsa ke rumahnya dan hospital kini sedang menyembunyikan diri,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Pihaknya juga masih menunggu laporan lengkap bedah siasat untuk mengenalpasti punca kematian mangsa.

    Khamis lalu, seorang guru berusia 54 tahun yang patah tengkuk serta turut mengalami kesan lebam di mata dan luka badan terpaksa dirawat menggunakan alat bantuan pernafasan sebelum dilaporkan meninggal dunia pukul 10 pagi di Hospital Kulim.

    Mangsa sebelum itu dihantar tiga lelaki pulang ke rumahnya di Lunas namun melihatkan keadaannya yang tidak sedarkan diri, isteri mangsa meminta mereka membawa suaminya ke hospital.

    Tiga lelaki berkenaan mendakwa mereka terserempak dengan mangsa dalam keadaan parah kononnya ditimpa kemalangan di sebuah lokasi di Pulau Pinang.

    Bagaimanapun, selepas menghantar guru berkenaan ke hospital, tiga lelaki terbabit terus beredar dan isteri mangsa yang tidak mengenali semua individu itu membuat laporan polis kerana curiga dengan kelakuan mereka.

    Susulan itu, polis yang menjalankan siasatan melalui kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah restoran mendapati tiga lelaki berkenaan terbabit dalam pergaduhan dengan mangsa sebelum mereka dilihat menariknya keluar daripada premis terbabit.

    Siasatan lanjut polis juga berjaya membawa kepada penahanan seorang wanita berusia 41 tahun yang bekerja sebagai penolong pegawai sebuah agensi kerajaan.

    Wanita terbabit ditahan 4 pagi semalam di rumahnya di Ayer Itam, Pulau Pinang dan siasatan lanjut membongkar kepada rahsia tindakannya yang bersekongkol dengan tiga lelaki berkenaan.

    Hasil siasatan, wanita itu mengaku yang dia ada meminta bantuan seorang daripada tiga lelaki itu untuk memadam gambar bogelnya yang dikatakan disimpan dalam telefon bimbit mangsa.

    Selain itu, suspek juga turut meminta rakan lelakinya itu memberi ‘amaran’ kepada mangsa dan guru berkenaan kemungkinan dibelasah dengan teruk oleh mereka sehingga dia meninggal dunia.

  • Skim subsidi bersasar dapat jimat wang lebih RM20 bilion setahun

    Skim subsidi bersasar dapat jimat wang lebih RM20 bilion setahun

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    PELAKSANAAN skim subsidi bersasar di negara ini boleh menjimatkan wang kerajaan lebih RM20 bilion setahun, kata Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Sehubungan itu Muhyiddin meminta kerajaan khususnya Kementerian Kewangan mencari kaedah serta makenisme terbaik untuk memperhalusi pelaksanaan skim tersebut.

    Beliau berkata, ia penting kerana selama dua tahun kehidupan rakyat terbeban ekoran penularan wabak Covid-19.

    Katanya, sepanjang pelaksaan perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini, ekonomi rakyat telah merudum, manakala yang berniaga pula mengalami kerugian.

    Justeru katanya, MPN berharap kerajaan perlu segera melaksanakan skim ini bagi meringankan beban dan nasib rakyat.

    Beliau berkata, skim ini perlu memandangkan sebelum ini semua golongan sama ada warga negara atau bukan warga negara, orang kaya atau pun miskin semua dapat subsidi.

    Muhyiddin hadir Majlis temu mesra nelayan di Pelabuhan Perikanan Chendering Kuala Terengganu hari ini.

    “Jadi, orang kaya bertambah kaya, yang miskin pula semakin miskin.

    “Melalui skim subsidi bersasar, kita berharap kerajaan lebih mengutamakan golongan B40 yang hanya ada tak sampai 20 peratus di negara ini,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas hadir Majlis temu mesra nelayan di Pelabuhan Perikanan Chendering Kuala Terengganu hari ini.

    Turut hadir ialah Menteri Pertanian dan Ibdustri Makanan Dr Ronald Kiandee.

    Sementara itu, Muhyiddin berkata, golongan nelayan dan petani tidak seharusnya merasa malu atau rendah diri dengan pekerjaan masing-masing.

    Sebaliknya beliau berkata, golongan tersebut seharusnya menjadikan bidang pertanian dan perikanan itu satu kerjaya yang terpuji.

    “Mereka perlu mengubah konsep bidang tersebut dengan menjadikannya sebagai satu industri masa hadapan.

    “Kita masih memiliki banyak kawasan tanah yang terbiar, marilah sama-sama kita mengusahakannya,” ujar beliau.

  • Bomba guna helikopter selamatkan pendaki wanita letih terkandas di Kem Berlumut

    Bomba guna helikopter selamatkan pendaki wanita letih terkandas di Kem Berlumut

    SEORANG wanita terkandas kerana terlalu penat untuk meneruskan pendakian di Kem Berlumut, Gunung Tahan, pukul 7.15 pagi tadi.

    Menurut Ketua Polis Daerah Lipis, Superitenden Azli Mohd. Noor, wanita itu, Nadia Azmi berusia 39 tahun dari Putrajaya bersama sekumpulan 21 orang pendaki lain memulakan ekspedisi mendaki pada 27 Julai lalu melalui Merapoh.

    Katanya, kumpulan itu dipandu oleh tiga orang Malim Gunung dari Kuala Juram ke Kem Berlumut lebih kurang 21 kilometer.

    “Ketika kejadian, keadaan cuaca mendung, berawan dan berkabus. Bantuan helikopter Bomba yang berlepas dari Subang ke Merapoh pukul 12 tengah hari, hari ini.

    “Seramai lima anggota Pasukan Bantuan Mencari dan Menyelamat Gunung (MOSAR) telah naik ke Kem Berlumut untuk memberi bantuan awal kepada mangsa,” katanya memetik laporan Astro Awani.

  • KKM mansuh keperluan isi kad pengembara untuk masuk Malaysia

    KKM mansuh keperluan isi kad pengembara untuk masuk Malaysia

    BERKUAT kuasa Isnin ini (1 Ogos), semua pengembara yang memasuki Malaysia tidak perlu lagi mengisi dan melengkapkan ciri-ciri Kad Pengembara dalam aplikasi MySejahtera, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

    Dalam kenyataan hari ini, beliau memaklumkan kelonggaran itu diputuskan berikutan keadaan sistem kesihatan kini berada pada tahap baik dan terkawal serta bertujuan untuk memudahkan prosedur kemasukan pengembara ke negara ini.

    Khairy berkata Kementerian Kesihatan (KKM) akan sentiasa mempergiatkan aktiviti pemantauan gejala dalam kalangan pengembara di semua pintu masuk antarabangsa (PMA) Malaysia.

    “Semasa ketibaan di PMA, sekiranya pengembara dikesan demam melalui pengimbas suhu ataupun didapati tidak sihat melalui rujukan kendiri oleh pengembara, mereka akan dirujuk untuk pemeriksaan semula oleh pihak kesihatan,” katanya.

    Khairy berkata selepas penilaian kesihatan dibuat dan sekiranya disyaki menghidap penyakit berjangkit seperti COVID-19, monkeypox, MERS-CoV atau lain-lain, mereka akan dirujuk ke fasiliti kesihatan berhampiran untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

    Justeru, beliau berkata semua pengembara yang baru tiba dari luar negara hendaklah mengamalkan pemantauan status kesihatan kendiri, mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dan dinasihatkan ke fasiliti kesihatan berhampiran untuk pemeriksaan sekiranya didapati tidak sihat. – BERNAMA

  • 72,800 liter diesel bersubsidi dirampas

    72,800 liter diesel bersubsidi dirampas

    LAPAN individu termasuk seorang wanita ditahan polis kerana disyaki menjalankan aktiviti penyalahgunaan diesel bersubsidi di kawasan perindustrian Taman Lagenda Putra, Kulai, semalam.

    Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, serbuan pukul 3 petang yang dijalankan hasil maklumat awam turut merampas 72,800 liter diesel dianggar bernilai RM174,720.

    “Suspek dipercayai menjalankan aktiviti penyalahgunaan barangan kawalan bersubsidi.

    “Lapan warga tempatan berusia antara 28 hingga 52 tahun ditahan dan kita merampas barangan yang digunakan dalam aktiviti penyalahgunaan barangan kawalan bersubsidi.

    “Suspek disyaki menjalankan urusan jual beli minyak diesel bersubsidi tanpa kebenaran yang sah,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Berita Harian.

    Tambahnya, hasil semakan mendapati semua suspek tidak mempunyai rekod lampau sama ada berkaitan jenayah mahupun penyalahgunaan dadah.

    Katanya, semua tangkapan dan barang rampasan diserahkan kepada pegawai penyiasat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk tindakan selanjutnya.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

    Pada masa sama, Beng Yeow meminta orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah untuk tampil menyalurkan maklumat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai atau menghubungi bilik gerakan IPD di talian 07-6637222.

  • Sembilan anggota polis disiasat kes pemerasan

    Sembilan anggota polis disiasat kes pemerasan

    SEMBILAN anggota polis disiasat selepas dipercayai terlibat kes pemerasan seorang ahli perniagaan di Gombak, Selangor mengenai pemilikan dadah, baru-baru ini.

    Anggota yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, semalam.

    Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S. Sasikala Devi berkata, kesemua anggota berpangkat konstabel hingga sub inspektor itu disiasat di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan selepas pihaknya menerima laporan daripada pengadu pada 26 Julai lalu.

    “Siasatan jenayah dijalankan selari dengan siasatan tatatertib.

    “Sembilan anggota itu dipercayai memeras berkaitan kes memiliki dadah,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata, semakan juga mendapati pengadu memiliki rekod lampau bersabit kes dadah.

    Tambahnya, tindakan turut dimaklumkan di peringkat Bukit Aman untuk arahan pertukaran keluar anggota terbabit.

    Tegasnya, Polis Selangor tidak akan berkompromi terhadap anggota atau pegawai yang terlibat dalam sebarang kes jenayah dan dadah.

  • Pemandu ekskavator maut ditimbus runtuhan batu

    Pemandu ekskavator maut ditimbus runtuhan batu

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Seorang pemandu ekskavator maut setelah gagal menyelamatkan diri dari runtuhan batu di sebuah tapak pembinaan, dekat Jalan Padang Tembak, Bukit Pinang, Pokok Sena, pagi tadi.

    Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd. Zain, mangsa, Muhammad Nasir Awang Ali, 40, maut di lokasi kejadian akibat tertimbus sedalam kira-kira tiga meter.

    Menurutnya, terdapat saksi melihat mangsa sempat meninggalkan jentera berat tersebut ketika kejadian itu berlaku.

    “Mangsa dikatakan terlebih dulu melompat keluar dari ekskavator tersebut namun gagal berlari ke lokasi yang selamat. Disebabkan itu, mangsa terperangkap dalam runtuhan batu tersebut.

    “Kami menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 9.37 pagi dan setibanya di lokasi, pencarian dibuat di dua sektor lokasi kejadian.

    “Dengan bantuan dua ekskavator lain, mayat mangsa berjaya ditemukan kira-kira pukul 12.38 tengah hari,” katanya.

    Tambahnya, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat sepenuhnya pada pukul 12.51 tengah hari.

  • 14 GRO ditahan Imigresen di Langkawi

    14 GRO ditahan Imigresen di Langkawi

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SERAMAI 14 pelayan pelanggan (GRO) warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah menerusi Operasi Gegar (Ops Gegar) yang dilaksanakan di sebuah pusat hiburan di Langkawi, lewat malam tadi.

    Jabatan itu menerusi satu kenyataan memaklumkan, ketika serbuan terdapat dalam kalangan GRO tersebut yang cuba lari menggunakan pintu belakang premis.

    Tindakan mereka itu bagaimanapun sia-sia setelah semua jalan keluar dikepung pihak berkuasa.

    “Kesemua yang ditahan terdiri daripada warganegara Thaildan dan Laos. Mereka didapati melanggar syarat pas dikeluarkan dan tinggal lebih masa di negara ini.

    “Difahamkan pusat hiburan tersebut menawarkan perkhidmatan GRO dengan menggunakan aplikasi Whatsapp serta Telegram. Disebabkan itu, ada dalam kalangan GRO berkenaan yang membuang telefon mereka bagi melepaskan diri,” katanya.

    Kenyataan itu menambah, kesemua tahanan dibawa ke Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk tindakan lanjut.

    “Selain menahan GRO, kesemua pelanggan yang hadir ke pusat hiburan tersebut turut diperiksa dan diberikan notis untuk hadir memberi keterangan.

    “Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/1963 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.

  • Tiada rekod jenayah, hukuman penjara di bawah undang-undang kawalan tembakau,rokok

    Tiada rekod jenayah, hukuman penjara di bawah undang-undang kawalan tembakau,rokok

    TIADA rekod jenayah mahupun hukuman penjara terhadap individu dalam kalangan Generasi Penamat (GEG) sekiranya mereka melakukan kesalahan berdasarkan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022.

    Jelas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, melalui satu video di laman Twitternya, beliau berkata hukumannya masih sama seperti peraturan sedia ada iaitu kompaun maksimum RM50.

    “Kepada golongan GEG yang melakukan kesalahan nanti, kita hanya akan kenakan kompaun maksimum sebanyak RM50 seperti yang kita laksanakan di bawah peraturan sedia ada, dan pesalah boleh memohon untuk potongan diskaun.

    “Keslaahan yang melibatkan generasi akan datang di bawah RUU ini adalah bukan suatu kesalahan boleh daftar di bawah Akta Pendaftaran Penjenayah Dan Orang Yang Tidak Diingini 1969 (Akta 7), oleh itu tidak berbangkit isu rekod kesalahan yang melibatkan golongan GEG,” katanya, lapor Astro AWANI.

    Dalam pada itu, beliau menegaskan, pelaksanaan GEG tidak akan menyumbang kepada pertambahan lambakan rokok tidak sah.

    Sebaliknya, ia akan membantu mengurangkan permintaan kepada bekalan produk rokok ini susulan penurunan peratus perokok dalam kalangan GEG.

    Tegasnya, kerajaan sedang menangani isu lambakan rokok tidak sah kerana sekiranya tidak dibendung ia akan terus meningkatkan peratus perokok secara keseluruhan.

    KKM juga jelasnya akan terus bekerjasama dengan kementerian serta agensi lain bagi memastikan masalah rokok tidak sah ini dibendung.

  • Tolak pelawaan keluar bersama, lelaki tikam bekas kekasih

    Tolak pelawaan keluar bersama, lelaki tikam bekas kekasih

    POLIS sedang memburu seorang lelaki yang menikam kekasihnya kerana berang apabila pelawaan untuk keluar bersama ditolak dalam kejadian di kaki lima sebuah hotel di Jalan Tun Sri Lanang, Melaka, semalam.

    Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam berhubung kejadian pada 6.26 petang.

    “Sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah kemudian dikejarkan ke lokasi, sebelum menemui kedua-dua mangsa wanita berusia 23 dan 25 tahun yang cedera.

    “Kedua-dua mangsa mendakwa sedang berjalan balik dari tempat kerja di hotel berkenaan sebelum didatangi bekas teman lelaki kepada wanita berusia 23 tahun.

    “Suspek dikatakan terus mengeluarkan senjata dipercayai pisau sebelum cuba menikam wanita terbabit, namun sempat ditahan oleh mangsa dengan tangan selain pisau turut terkena pada bahagian kakinya,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Katanya, dalam pergelutan itu, mangsa terjatuh dan rakannya yang cuba membantu, turut cedera di telinga akibat terkena pisau suspek.

    Christopher berkata, kedua-dua mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Melaka untuk rawatan dan keadaan mereka dilaporkan stabil.

    Menurutnya, kejadian dipercayai berpunca apabila mangsa menolak ajakan bekas teman lelakinya untuk keluar bersama setelah wanita itu memutuskan hubungan mereka, kira-kira dua minggu lalu.

    “Suspek dipercayai menaiki sebuah kereta berdasarkan nombor kenderaan yang digunakan dicam oleh saksi di tempat kejadian.

    “Gambar suspek juga sudah diperolehi dan disahkan oleh mangsa dan usaha mengesannya kini giat dijalankan sepasukan pegawai dan anggota dari Cawangan D7, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah,” katanya.

    Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah.