POLIS sedang memburu seorang lelaki yang menikam kekasihnya kerana berang apabila pelawaan untuk keluar bersama ditolak dalam kejadian di kaki lima sebuah hotel di Jalan Tun Sri Lanang, Melaka, semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam berhubung kejadian pada 6.26 petang.

“Sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah kemudian dikejarkan ke lokasi, sebelum menemui kedua-dua mangsa wanita berusia 23 dan 25 tahun yang cedera.

“Kedua-dua mangsa mendakwa sedang berjalan balik dari tempat kerja di hotel berkenaan sebelum didatangi bekas teman lelaki kepada wanita berusia 23 tahun.

“Suspek dikatakan terus mengeluarkan senjata dipercayai pisau sebelum cuba menikam wanita terbabit, namun sempat ditahan oleh mangsa dengan tangan selain pisau turut terkena pada bahagian kakinya,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

Katanya, dalam pergelutan itu, mangsa terjatuh dan rakannya yang cuba membantu, turut cedera di telinga akibat terkena pisau suspek.

Christopher berkata, kedua-dua mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Melaka untuk rawatan dan keadaan mereka dilaporkan stabil.

Menurutnya, kejadian dipercayai berpunca apabila mangsa menolak ajakan bekas teman lelakinya untuk keluar bersama setelah wanita itu memutuskan hubungan mereka, kira-kira dua minggu lalu.

“Suspek dipercayai menaiki sebuah kereta berdasarkan nombor kenderaan yang digunakan dicam oleh saksi di tempat kejadian.

“Gambar suspek juga sudah diperolehi dan disahkan oleh mangsa dan usaha mengesannya kini giat dijalankan sepasukan pegawai dan anggota dari Cawangan D7, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah,” katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here