Category: Semasa

  • Lelaki laung azan di tokong Cina ada masalah mental

    Lelaki laung azan di tokong Cina ada masalah mental

    POLIS mengesahkan lelaki yang dirakam melaungkan azan di hadapan sebuah patung di tokong Cina dalam kejadian di Butterworth, Pulau Pinang merupakan individu kurang siuman dan mempunyai masalah mental.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, perkara itu disahkan selepas pihaknya mengambil keterangan beberapa saksi kejadian.

    Menurut Cheng San, kejadian itu juga merupakan kali kedua melibatkan suspek warga tempatan berusia 40-an yang tinggal di Jalan Kilang Ubi berkenaan selepas dilaporkan melakukan perbuatan sama pada 2017.

    “Siasatan lanjut juga mendapati masyarakat di sekitar kawasan itu kebanyakannya mengenali suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Terdahulu, video rakaman tindakan lelaki berkenaan yang melaungkan azan di hadapan patung di sebuah tokong tular di laman sosial selepas dimuat naik ke dalam laman Facebook ‘Akademi Penyelidikan Agama Dunia’ kira-kira pukul 2.30 petang semalam.

    Ia mengundang pelbagai reaksi daripada warga maya apatah lagi lelaki berkenaan dilihat terus melaungkan azan tanpa mempedulikan orang sekeliling serta meskipun ketika perbuatannya itu dirakam.

    Kejadian itu dipercayai berlaku antara 26 hingga 27 Julai lalu di sebuah premis Pertubuhan Yulan di Butterworth sempena Festival Sambutan Perayaan Hantu Lapar yang disambut pada Julai setiap tahun

    Dalam pada itu, Cheng San turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menularkan apa-apa perbuatan yang boleh menyentuh sensitiviti serta memecahbelahkan keamanan antara kaum serta agama dalam masyarakat di negara ini.

  • Juara dunia Al-Jufferi ucap selamat tinggal pentas silat

    Juara dunia Al-Jufferi ucap selamat tinggal pentas silat

    JUARA dunia empat kali Mohd Al-Jufferi Jamari akhirnya secara rasmi mengucapkan selamat tinggal kepada dunia persilatan profesional yang menjadi sebahagian kehidupannya sejak 15 tahun lepas.

    Jaguh silat negara kelahiran Pahang itu berkata kemenangan yang dilakar pada Kejuaraan Pencak Silat Dunia 2022 malam tadi melengkapkan kemanisannya yang selama ini berjuang di pentas silat demi mengharumkan nama negara dan warisan bangsa Melayu itu.

    “Malam ini, secara rasmi saya bersara dan bagi saya, dapat ataupun tidak dapat emas saya tetap dengan keputusan saya iaitu menamatkan karier saya selaku atlet silat negara selepas hampir 15 tahun berkecimpung dalam dunia ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan akhir malam tadi.

    Mohd Al-Jufferi, 30, menambah koleksi gelaran juara dunianya yang keempat apabila merangkul pingat emas di Kejuaraan Pencak Silat Dunia 2022 yang berlangsung di Dewan Melaka International Trade Center (MITC) malam tadi.

    Beraksi dalam Kelas F Putera, pemenang empat pingat emas Sukan SEA itu menewaskan pesilat dari Indonesia Iqbal Chandra Pratama dengan keputusan 35-21.

    Mohd Al-Jufferi berkata faktor kesihatan merupakan antara sebab beliau berundur dari arena persilatan terutama kecederaan pada bahu kanan yang dihadapinya selama ini memerlukan tumpuan untuk dipulihkan.

    Mengulas lanjut, beliau berkata keputusan untuk bersara itu sudah banyak kali disuarakan termasuklah ketika Sukan SEA di Hanoi pada Mei lepas namun terpaksa ditangguhkan selepas dipujuk oleh pelbagai pihak terutama tarikh aksi kejuaraan dunia sudah hampir.

    “Jadi kejuaraan ini sudahpun berlangsung dan paling utama, saya dapat raih gelaran dunia keempat. Jadi di sinilah noktah saya,” katanya.

    Ditanya mengenai hala tuju selepas ini, anak didik Mazlan Shaari itu menjelaskan beliau akan memberi tumpuan terhadap Akademi Semboyan Warrior yang diusahakan di Saujana Putra, Selangor bagi melatih lebih ramai pelapis dalam sukan itu pada masa akan datang.

    Dalam pada itu, Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata beliau secara peribadi merelakan persaraan tersebut.

    “Saya relakan kerana saya ingin merehatkan beliau dan kita sendiri tahu satu episod menyayat hati berlaku di Hanoi apabila dia tidak dapat meneruskan pertandingan. Saya katakan padanya yang saya akan sediakan pentas bertaraf lima bintang dan tugas dia hanyalah dapatkan pingat. Jadi hari ini, janji tu sudah kami berdua kotakan,” katanya.

    Beliau berkata Pesaka mungkin ada perancangan lain yang akan disusun untuk jagoan itu namun bukan sebagai seorang atlet.- BERNAMA

  • Tiga rakan karib maut, motosikal bertembung kereta

    Tiga rakan karib maut, motosikal bertembung kereta

    TIGA rakan karib maut selepas motosikal dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kereta yang dipercayai gagal memotong sebuah kenderaan lain di Kilometer (KM) 80 Jalan Jerangau-Jabor di Bukit Besi dekat Dungun, semalam.

    Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Baharudin Abdullah berkata, Muhammad Hafiqzie Mohd Zukri; Muhammad Salman Faris Samsu; dan Muhammad Faris Haikal Mohd Faizal, kesemuanya berumur 14 tahun maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

    Baharudin berkata, polis menerima maklumat mengenai kemalangan tersebut pada pukul 9.25 malam dan siasatan awal mendapati kemalangan berlaku setelah sebuah Proton Iswara dari arah Jabor menghala ke Jerangau masuk ke laluan bertentangan untuk memotong sebuah kenderaan lain, namun telah bertembung dengan motosikal Honda EX5 yang dinaiki ketiga-tiga mangsa.

    “Akibat kemalangan tersebut, penunggang iaitu Muhammad Faris Haikal dan dua lagi rakannya yang membonceng motosikal berkenaan, maut di tempat kejadian. Mereka difahamkan dalam perjalanan ke kedai makan.

    “Pemandu Proton Iswara iaitu seorang lelaki berumur 50 tahun dan penumpang hadapan, seorang wanita berumur 45 tahun serta dua kanak-kanak lelaki berumur enam dan tujuh tahun yang duduk di bahagian penumpang belakang mengalami kecederaan. Mereka kini dirawat di Hospital Dungun,” katanya ketika dihubungi awal pagi tadi.

    Menurut Baharudin mayat ketiga-tiga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Besi itu telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut.

    Sementara itu, nenek Muhammad Faris Haikal, Nolida Ismail, 51, ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Dungun di sini, awal pagi ini berkata beliau menerima maklumat mengenai tragedi yang menimpa cucu kesayangannya itu melalui panggilan telefon daripada anak perempuanya yang tinggal di Kuala Terengganu.

    “Ketika anak saya iaitu ibu saudara Faris (Muhammad Faris Haikal) telefon memberitahu ada maklumat yang tular di kumpulan WhatsApp mengenai kemalangan membabitkan tiga ‘budak’ lelaki yang menaiki motosikal EX5 berwarna merah di situ (Bukit Besi). Saya terus rasa tidak sedap hati kerana Faris baru sahaja keluar menunggang motosikal saya yang juga jenis EX5 merah. Lagipun mereka bertiga memang selalu bersama ke mana-mana sahaja.

    “Jadi saya terus hubungi telefon bimbit Faris namun, panggilan tidak dijawab. Saya semakin tidak sedap hati dan bergegas ke lokasi yang dimaklumkan. Apabila sampai saya lihat motosikal saya berada di situ dan mayat cucu serta rakan-rakannya telah diusung masuk ke dalam kenderaan polis,” katanya.

    Nolida berkata, dia berasa sangat sedih kerana telah menjaga Muhammad Faris Haikal yang merupakan anak bongsu daripada 10 beradik, sejak lahir memandangkan kedua-dua ibu bapa remaja berkenaan telah berpisah dan bekerja di luar Terengganu. – Bernama

  • Khalid Ibrahim meninggal dunia

    Khalid Ibrahim meninggal dunia

    BEKAS Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, meninggal dunia di Hospital Cardiac Vascular Sentral, Kuala Lumpur, malam ini.

    Perkara itu disahkan pentadbir laman Facebook rasmi beliau malam ini.

    “Dukacita dimaklumkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah pulang ke rahmatullah pada pukul 11.08 malam tadi di Hospital Cardiac Vascular Sentral, Kuala Lumpur.

    “Allahyarham pergi dengan tenang dan disaksikan oleh semua ahli keluarganya,” katanya di laman Facebook itu,lapor Astro AWANI

    Katanya, Allahyarham dimasukkan ke hospital sejak 23 April yang lalu akibat jangkitan pada injap jantung.

    Beliau meninggalkan seorang isteri, empat orang anak dan dua orang cucu.

    Jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Saidina Umar Al Khattab, Bukit Damansara untuk dimandi, dikafan dan disembahyangkan.

    Jenazah kemudian akan dibawa ke Masjid Negeri Shah Alam bagi memberi peluang kepada rakyat di Selangor yang mahu memberikan penghormatan terakhir dan melakukan solat jenazah.

    “Atas titah dan limpah kurnia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj Ibni Sultan Salahuddin Abdul Aziz Al-Haj, jenazah akan disemadikan di Makam Diraja Shah Alam,” katanya.

  • Penganggur dengan 14 rekod jenayah ditahan bawa pistol

    Penganggur dengan 14 rekod jenayah ditahan bawa pistol

    Oleh RIZQI ZABIDI

    MESKIPUN memiliki 14 rekod jenayah, seorang penganggur masih belum menunjukkan tanda-tanda untuk insaf apabila dia sekali lagi ditahan polis kerana memiliki pistol dan peluru di Sungai Petani, Kedah, malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, tangkapan terhadap lelaki berusia 40 tahun itu dibuat di Taman Ria Jaya.

    Menurutnya, sepasukan anggota polis pada mulanya terlihat individu berkenaan berada dalam keadaan mencurigakan di salah sebuah lorong dalam taman perumahan itu.

    “Pihak polis mendekatinya namun dia melarikan diri. Tindakannya itu bagaimanapun sia-sia apabila dia berjaya dikejar dan diberkas.

    “Pemeriksaan dijalankan mendapati terdapat sepucuk piatol jenis Colt-PT.F.A buatan Amerika Syarikat padanya bersama enam butir peluru jenis PMC. 38 SPL,” katanya.

    Tambahnya, lelaki itu kemudiannya dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda untuk siasatan lanjut.

    “Ujian urin ke atas suspek mendapati dia positif dadah jenis MOP.

    “Semakan lanjut mendapati dia memiliki 14 rekod lampau membabitkan termasuk melibatkan kes dadah,” katanya.

    Tambahnya, lelaki tersebut yang beralamat di Taman Sejati direman selama lima hari bermula hari ini hingga 4 Ogos depan.

  • Isu siasatan 1MDB: PDRM panggil Apandi esok

    Isu siasatan 1MDB: PDRM panggil Apandi esok

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) telah memanggil bekas Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali bagi memberi keterangan berhubung kes tidak puas hati seorang Ahli Parlimen terhadap siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Setiausaha Polis Malaysia, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, pihaknya akan merekod keterangan bekas Peguam Negara itu pada 2.30 petang esok (1 Ogos).

    “Kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di bawah Seksyen 217 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Jumaat lepas, media melaporkan, PDRM menerima laporan polis dibuat Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago yang tidak berpuas hati terhadap siasatan 1MDB oleh Apandi ketika beliau menjadi Peguam Negara dan mendakwa Apandi menyalahgunakan kuasa melibatkan kes itu. – BERNAMA

  • Budak lelaki 9 tahun lemas dalam Sungai Plentong

    Budak lelaki 9 tahun lemas dalam Sungai Plentong

    SEORANG kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun yang dilaporkan hilang di Taman Plentong, Masai pada Jumaat lepas, ditemukan lemas dalam Sungai Plentong di Johor Bahru pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Seri Alam, Supt Mohd Sohaimi Ishak berkata, pihaknya menerima maklumat penemuan mayat kanak-kanak itu daripada seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun di sungai berkenaan kira-kira pukul 11.30 pagi.

    “Kami menerima laporan kehilangan kanak-kanak itu pukul 6.49 petang semalam daripada seorang wanita berusia 40 tahun yang memaklumkan bahawa anaknya masih tidak pulang sejak keluar dari rumah kira-kira pukul 3 petang pada Jumaat lepas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mohd Sohaimi berkata, mayat kanak-kanak itu telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Ismail untuk bedah siasat.

    Menurutnya, mangsa disahkan sebagai anak wanita yang hilang itu dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). – BERNAMA

  • Tentera, polis pahlawan tulen ketika negara berdepan ancaman COVID-19

    Tentera, polis pahlawan tulen ketika negara berdepan ancaman COVID-19

    PENGERUSI Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan Selamat Hari Pahlawan kepada seluruh warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

    Menurut beliau, segala jasa dan pengorbanan mereka dalam menjaga keamanan dan mempertahankan kedaulatan negara tidak terkira besarnya.

    Bekas Perdana Menteri itu berkata, warga ATM dan PDRM telah membuktikan mereka adalah pahlawan tulen ketika negara berhadapan dengan ancaman COVID-19 sedikit masa dahulu.

    “Mereka merupakan petugas barisan hadapan yang sanggup mempertaruhkan nyawa bagi membantu apa sahaja perancangan kerajaan demi mengekang penularan wabak ini tanpa mengira waktu walaupun diri mereka sendiri terdedah kepada ancaman wabak tersebut.

    “Pengorbanan besar anda semua akan dikenang sampai bila-bila dan hanya Allah SWT sahaja yang mampu membalas segala khidmat bakti dan kebaikan anda.

    “Marilah kita sama-sama terus mendoakan kesejahteraan, keselamatan dan kesihatan kepada para pahlawan kita yang masih setia berkhidmat.

    “Kepada yang terkorban dan telah pergi meninggalkan kita semua, semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Selamat Hari Pahlawan 2022,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

  • [VIDEO] Asrama lelaki SMK Agama di Pedas terbakar

    [VIDEO] Asrama lelaki SMK Agama di Pedas terbakar

    ASRAMA pelajar lelaki Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Dato’ Haji Abu Hassan Haji Sail, Pedas dekat Rembau terbakar 80 peratus tengah hari tadi namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Mohd Izwan Md Said berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.18 tengah hari dan tiba di lokasi tiga minit kemudian.

    “Kebakaran melibatkan bangunan asrama lelaki di tingkat tiga yang mempunyai kira-kira 10 bilik dan berkeluasan 40×200 kaki persegi,” katanya dalam kenyataan.

    Sumber video: Akaun TikTok juraizacheyap

    Beliau berkata, operasi pemadaman yang turut dibantu anggota Balai Bomba dan Penyelamat Kota serta Senawang itu tamat sepenuhnya pada 3.51 petang manakala punca kejadian sedang disiasat. – BERNAMA

  • 31 PATI Myanmar cuba ceroboh sempadan negara

    31 PATI Myanmar cuba ceroboh sempadan negara

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Hasrat 31 warganegara Myanmar memasuki negara ini secara haram ‘terbantut’ apabila kesemua mereka diberkas sepasukan anggota tentera yang sedang melakukan rondaan di sempadan Malaysia-Thailand, dekat Bukit Kayu Hitam, Kubang Pasu, semalam.

    Kenyataan dikeluarkan Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) memaklumkan, 31 pendatang asing tanpa izin (PATI) itu terdiri daripada 21 lelaki dan 10 perempuan ditahan kira-kira pukul 9.30 pagi.

    Dalam usaha meloloskan diri katanya, kalangan PATI itu cuba bersembunyi dalam semak di kawasan kebun getah.

    “Mereka terlebih dulu dikesan memasuki negara ini melalui pagar sempadan oleh tim ronda. Selepas iu, pergerakan mereka terus dijejaki dan kesemua PATI tersebut didapati bersembunyi dalam kawasan semak di kebun getah itu yang terletak di sektor Op Benteng, Kawasan Tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia.

    “Pemeriksaan dijalankan mendapati kesemua mereka tidak memiliki dokumen perjalanan sah,” katanya.

    Kenyataan itu menambah, mereka yang ditahan berusia antara 18 hingga 44 tahun.

    Kesemua 31 PATI warganegara Myanmar dibawa ke Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk tindakan lanjut.

    “Sebanyak tiga telefon bimbit, wang tunai berjumlah RM967 dalam mata wang Malaysia dan Thailand, serta 31 beg pakaian turut dirampas bersama PATI tersebut.

    “Pasukan operasi akan terus meningkatkan kawalan di sempadan negara baggi mengekang kemasukan PATI dan sebarang aktiviti jenayah rentas sempadan,” katanya.