Category: Semasa

  • Proses geologi berangkai penyebab utama banjir di Baling

    Proses geologi berangkai penyebab utama banjir di Baling

    FENOMENA proses geologi berangkai – hujan lebat, tanah runtuh, aliran dan banjir puing serta banjir lumpur dikenal pasti sebagai penyebab utama kejadian bencana banjir di Baling, Kedah baru-baru ini, kata Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) Datuk Rosli Isa.

    Beliau berkata ia adalah penemuan dalam Laporan Kajian Bencana Geologi Banjir Puing 2022 Sungai Kupang, Baling, Kedah yang dihasilkan Pasukan Khas Siasatan Bencana Tragedi Baling yang diketuai KeTSA.

    Beliau berkata penemuan itu merumuskan fenomena proses geologi berangkai iaitu kejadian tanah runtuh serentak secara meluas di terain perbukitan granit terluluh hawa berlaku akibat cetusan hujan lebat melampau.

    “Cetusan hujan lebat melampau itu kemudiannya diikuti dengan pembentukan aliran puing, banjir puing dan banjir lumpur.

    “Hakisan di hutan sekunder akibat penukaran guna tanah kepada hutan ladang sejak 2010 juga telah meningkatkan kadar hakisan di kawasan tanah tinggi membawa kepada perlodakan dan mencetekkan sungai,” katanya dalam sidang media Laporan Kajian Bencana Geologi Banjir Puing 2022 Sungai Kupang, Baling, Kedah, di sini hari ini.

    Beliau berkata banjir diburukkan lagi apabila jambatan Kampung Iboi, Baling yang menjadi ‘empangan sementara’ ketika banjir puing berlaku telah pecah. 

    “Ini menyebabkan banyak puing pasir dan kayu-kayan terkumpul dan menghasilkan kuasa damparan tinggi serta mengakibatkan kematian dan kemusnahan harta benda.

    “Apabila bahan puing pasir dan kayu-kayan sudah terdampar, banjir puing menjadi banjir lumpur yang menyebabkan kerosakan harta benda dan petempatan di hilirnya,” katanya, lebih tujuh juta meter padu (m3) bahan terdampar terhasil akibat fenomena itu. 

    Sehubungan itu, Rosli berkata beberapa pelan jangka pendek dan panjang telah dirangka bagi memastikan fenomena proses geologi berangkai khususnya di Baling dapat dikawal. 

    Antara tindakan yang akan dilaksanakan adalah pemetaan terperinci bencana geologi bencana puing, pemasangan sistem amaran dan penubuhan Pusat Penyelidikan Bencana Geologi Kebangsaan.

    Banjir di Baling pada 4 Julai lepas menjejaskan 41 kawasan dan mengorbankan tiga nyawa termasuk seorang wanita hamil berusia 23 tahun.- BERNAMA

  • Saya bayar RM19 juta untuk hentikan siasatan terhadap Lim – Saksi

    Saya bayar RM19 juta untuk hentikan siasatan terhadap Lim – Saksi

    SEORANG saksi utama kes perbicaraan Lim Guan Eng hari ini memberitahu Mahkamah Seksyen bahawa beliau membayar RM19 juta kepada orang tengah yang didakwa rapat dengan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, bagi menghentikan siasatan rasuah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Ahli Parlimen Bagan.

    Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB) Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli, 62, berkata beliau lakukannya disebabkan beliau tidak mahu ‘bersikap tidak mengenang budi’ kerana Lim yang ketika itu Ketua Menteri Pulau Pinang, telah memberikannya projek terowong bawah laut Pulau Pinang bernilai RM6.34 billion.

    Ketika pemeriksaan balas Gobind Singh Deo selaku peguam bela Lim, Zarul juga mengakui yang beliau sanggup melindungi Lim sehingga memberi rasuah kepada Najib, bagi menghentikan siasatan terhadap Lim atas projek terowong bawah laut Pulau Pinang yang kontroversi.

    Saksi pendawaan ke-23 itu berkata beliau membuat bayaran RM19 juta menerusi seorang ahli perniagaan dikenali sebagai G. Gnanaraja yang didakwa dekat dengan Najib, bagi menghentikan siasatan rasuah tersebut terhadap Lim, berkaitan projek tersebut.

    Menjawab soalan seterusnya yang ditanya oleh peguam itu, Zarul bagaimanapun berkata beliau tidak pasti sama ada duit itu benar-benar sampai kepada Najib atau tidak.

     Gobind: Najib adalah perdana menteri dan ketua Barisan Nasional (BN) pada 2017. BN merupakan parti pembangkang untuk kerajaan negeri Pulau Pinang.

    Zarul: Ya.

    Gobind: Jadi kamu pergi dan bayar ketua mereka (BN) untuk lindungi Lim?

    Zarul: Ya.

    Bagaimanapun Gobind mempertikaikan bahawa perkara itu adalah mustahil dan tidak masuk akal untuk Zarul membayar Najib demi melindungi Lim, kerana menurut peguam itu, jika beliau (Zarul) mahu melindungi Lim, saksi itu tidak akan membayar Najib, kerana Najib adalah musuh politiknya.

    Zarul kemudiannya mengatakan bahawa ia adalah logik kepadanya, kerana pada masa itu beliau terdesak untuk memastikan Lim dilindungi dan kerajaan BN tidak akan buat apa-apa kepada Lim.

    Gobind juga mencadangkan bahawa Zarul juga bersedia untuk berbohong dalam usaha menyelamatkan dirinya daripada diambil tindakan undang-undang ketika membuat kenyataan media pada 2018, yang beliau berkata tidak terdapat sebarang elemen rasuah dalam projek terowong bawah tanah itu, kerana ia dibuat secara sah.

    Gobind: Bukti anda di mahkamah semalam bahawa anda telah berbohong pada sidang media, dalam usaha melindungi Lim adalah tidak benar.

    Zarul: Anda perlu melihat kepada keseluruhan konteks. Saya telah diminta untuk membuat keseluruhan kenyataan.

    Gobind: Jadi saya katakan, anda tentunya bersedia untuk berbohong untuk menyelamatkan diri.

    Zarul: Saya tidak setuju.

    Lim, 61, berdepan pertuduhan pindaan menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta dalam membantu syarikat milik Zarul Ahmad bagi mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702. 

    Lim didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, George Town antara Januari 2011 hingga Ogos 2017.

    Bagi pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa meminta suapan daripada Zarul Ahmad sebanyak 10 peratus daripada keuntungan diperoleh syarikat itu, sebagai penghargaan mendapatkan projek tersebut.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan berhampiran The Garden Hotels, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini pada Mac 2011.

    Lim, juga berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu.- BERNAMA

  • Suami isteri diberkas cuba seludup keluar 15.88 kg dadah ke Indonesia

    Suami isteri diberkas cuba seludup keluar 15.88 kg dadah ke Indonesia

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor menahan suami isteri yang cuba menyeludup keluar sejumlah dadah ke Indonesia menerusi perairan Morib, Klang, pada 29 Julai lalu.

    Pihak APMM menemukan 15.88 kilogram (kg) dadah dipercayai jenis syabu yang dibungkus dalam bungkusan teh cina.

    Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim V. Siva Kumar berkata, pasangan warga tempatan berusia 46 dan 44 tahun itu ditahan pada 5.50 petang hasil risikan Maritim Selangor dan Pasukan Gerakan Am (PGA).

    Menurutnya, ketika ditahan, pasangan berkenaan dipercayai sedang memindahkan dadah ke bot pancung yang akan menuju ke Indonesia menerusi perairan Morib.

    “Ketika pemeriksaan awal, pasukan operasi menemui sebuah kotak mengandungi 15 bungkusan teh cina berwarna hijau di dalam kenderaan yang digunakan pasangan berkenaan.

    “Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, bungkusan itu mengandungi hablur kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 15.88 kg yang dianggarkan bernilai RM 670,000,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.

    Beliau berkata, pasangan suami isteri itu dan kesemua bungkusan yang dirampas dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Selangor untuk tindakan lanjut, sebelum diserahkan kepada Cawangan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat.

    Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana kesalahan pengedaran dadah, jika sabit kesalahan boleh dihukum dengan hukuman mati atau penjara seumur hidup, yang mana boleh juga dikenakan hukuman sebat.

    “APMM memandang serius sebarang pelanggaran undang-undang dan tindakan tegas akan diambil demi memastikan kesejahteraan perairan negara sentiasa terpelihara.

    “Sebarang aduan dan maklumat mengenai kegiatan jenayah maritim serta kecemasan di laut, orang awam boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03- 31760627 atau talian kecemasan MERS 999 untuk tindakan segera,” katanya.

  • Pengawal keselamatan parah dilibas pedang

    Pengawal keselamatan parah dilibas pedang

    SEORANG pengawal keselamatan parah apabila kepalanya dilibas pedang oleh sekumpulan tiga lelaki dalam kejadian di tapak projek perumahan di Bukit Banyan dekat Sungai Petani, semalam.

    Mangsa yang berusia 58 tahun sebelum itu dikatakan menegur seorang lelaki dipercayai pekerja di tapak projek berkenaan dengan perkataan ‘hoi’ kerana dia menunggang secara berbahaya di kawasan terbabit.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, teguran itu dikatakan membuatkan suspek berang sebelum mangsa didatangi tiga lelaki tidak lama kemudian dalam kejadian pada 4.15 petang.

    “Ketika itu berlaku pertengkaran antara kedua-dua lelaki berkenaan dan suspek yang berang dikatakan mengambil sebilah pedang sebelum melibas kepala mangsa.

    “Berikutan itu, mangsa mengalami kecederaan di kepala serta tangan kiri dan polis yang menerima maklumat bergegas ke lokasi kejadian,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Menurutnya, susulan daripada itu seorang lelaki berusia 41 tahun berjaya ditahan pada 8 malam hari yang sama dan siasatan lanjut membawa kepada rampasan sebilah pedang dan pakaian yang digunakan suspek ketika kejadian.

    “Selain daripada itu, kita juga menahan seorang lelaki dipercayai rakan suspek berusia 37 tahun yang turut berada di lokasi kejadian ketika itu bagi membantu siasatan kes terbabit.

    “Bagaimanapun, siasatan lanjut untuk mengenalpasti motif sebenar kejadian masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya.

    Sementara itu, seorang lelaki berusia 29 tahun ditahan selepas disyaki melibas kapak terhadap seorang lelaki ketika perarakan Chariot (pedati berhias) di Taman Ria Jaya di sini, awal pagi semalam dalam kejadian berasingan.

    Sumber berkata, suspek ditahan pada 1 pagi dan siasatan mendapati suspek ketika itu mencabut bunga pada patung kuil yang berada bawah khemah sebelum perbuatannya ditegur mangsa.

    “Berlaku pergaduhan antara mereka sebelum suspek yang berang dan tidak dapat mengawal diri mengambil kapak yang diselit di pinggang dan melibas ke arah mangsa.

    “Mangsa bagaimanapun sempat mengelak namun libasan kapak itu terkena bahu kanannya dan suspek juga turut mengugut akan mencederakan sekiranya terserempak mangsa di mana-mana tempat selepas itu,” katanya.

    Menurut sumber, suspek berjaya ditahan tidak jauh dari lokasi kejadian oleh sepasukan polis namun dia pada mulanya cuba bertindak agresif kerana mahu melarikan diri dan berlaku pergelutan.

    “Ketika ditahan suspek masih memegang kapak berkenaan dan tindakan pantas anggota polis berjaya menghalang lelaki terbabit daripada mencetuskan keadaan lebih buruk.

    “Suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya.

  • Pegawai kanan polis, 4 individu terlepas hukuman mati

    Pegawai kanan polis, 4 individu terlepas hukuman mati

    MAHKAMAH Tinggi Seremban melepas dan membebaskan seorang pegawai kanan polis serta empat individu daripada tuduhan membunuh tiga lelaki, tujuh tahun lalu.

    Keputusan itu membuatkan tertuduh, pegawai polis, S. Selvakumar, 45, tiga beradik yang juga peniaga besi buruk, N. Rajasakanan, 43, N. Sureshkannah, 42 dan N. Thanabalan, 35 serta seorang pemandu lori, R. Veeramuthu, 56, terlepas daripada hukuman mati.

    Hakim Datuk Azman Abdullah membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

    “Mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal untuk membuktikan kes prima facie terhadap kelima-lima orang kena tuduh (OKT) dan melepaskan serta membebaskan mereka tanpa dipanggil untuk membela diri.

    “Adalah tidak selamat untuk bergantung kepada keterangan saksi utama pendakwaan dan keterangan di bawah Seksyen 27 Akta Keterangan atas penemuan mayat-mayat tersebut juga tidak boleh diterima kerana pihak polis terlebih dahulu menjumpai mayat-mayat tersebut dan bukan ditunjukkan oleh kesemua OKT,” katanya pada prosiding pendengaran keputusan kes, lapor Harian Metro.

    Mengikut pertuduhan, kelima-lima mereka didakwa membunuh K. Thinesh, M. Tansewaran dan P. Kartisan antara pukul 6 pagi hingga 11 malam di atas bukit dalam kawasan kebun kelapa sawit di Jalan Seremban-Mantin pada 25 Februari 2015.

    Pertuduhan ke atas mereka dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

    Sepanjang perbicaraan bermula Januari 2020, 20 saksi termasuk Pakar Patalogi dan Antropologi Forensik Universiti Kebangsaan Malaysia dan Pakar Forensik Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) dipanggil untuk memberi keterangan.

    Dalam kes ini, Selvakumar diwakili peguam, Datuk K.L. Chee manakala Sureshkannah dan Thanabalan diwakili peguam, Haresh Mahadevan dan Ramzani Idris.

    Sementara itu, Veeramuthu dan Rajasakanan pula diwakili peguam, Paul Krihsnaraja dan Amy Chong.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rahimah Abd Majib.

  • Budak lelaki dikhuatiri lemas, bot dinaiki  berlanggar tongkang

    Budak lelaki dikhuatiri lemas, bot dinaiki berlanggar tongkang

    SEORANG kanak-kanak lelaki hilang selepas perahu yang dinaiki bersama ibu bapa dan adik perempuannya karam hari ini akibat berlanggar dengan sebuah tongkang di Sungai Batang Rajang berdekatan Kapit, kira-kira 167 kilometer dari sini.

    Ketua Polis Daerah Kapit DSP Freddy Bian berkata kehilangan Jenggut Antas, 10, dilaporkan oleh bapanya, Antas Agang, 38, yang terselamat bersama isteri dan anak perempuannya dalam insiden yang berlaku kira-kira 8 pagi tadi.

    Beliau berkata berdasarkan laporan dibuat oleh Antas, semasa menghampiri sebuah dermaga batu di seberang bandar Kapit enjin perahu yang dinaiki keluarga itu tiba-tiba mati dan gagal dihidupkan semula.

    “Perahu itu kemudian dihanyutkan air deras dan berlanggar dengan tongkang yang berlabuh di dermaga batu lalu terbalik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Menurutnya operasi mencari dan menyelamat diaktifkan pada 11.30 pagi melibatkan tiga anggota polis serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kapit, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Lembaga Sungai-Sungai Sarawak yang masing-masing menghantar empat anggota.- BERNAMA

  • Pemanah para negara rangkul dua emas

    Pemanah para negara rangkul dua emas

    TEPAT ke sasaran. Pemanah para negara merangkul dua emas menerusi acara compound berpasukan di Kota Barat Stadium, di Solo, Indonesia, hari ini.

    G Daneshen, 25, yang terpaksa berpuas hati dengan pingat perak dalam acara individu lelaki pada Khamis, bangkit dalam acara berpasukan untuk memenangi kedua-dua acara berpasukan lelaki dan berpasukan campuran.

    Atlet dari Kulim itu bergandingan dengan Nur Jannaton Abdul Jalil untuk membawa pulang emas dalam acara berpasukan campuran selepas menewaskan pasukan Thailand Comsan Singpirom-Praphaporn Homjanthuek 144-139.

    Daneshen, yang mengalami masalah saraf kaki sejak lahir akibat penyakit polio, kemudiannya bergabung kekuatan dengan Wiro Julin bagi meraih gelaran juara berpasukan lelaki, menewaskan Manangdang Angelo-Marzel Burgos dari Filipina 137-123.

    “Saya sangat gembira menang pingat emas ini, pada mulanya gementar tetapi kami berjaya bertenang dan kekal fokus sehingga akhir. Saya sangat bersyukur atas kemenangan ini memandangkan usaha dan kerja keras saya sepanjang 10 tahun lepas untuk mencapai sesuatu dalam sukan ini akhirnya berjaya.

    “Saya terpaksa menempuh banyak kesusahan dalam hidup apabila ramai yang merendah-rendahkan saya kerana tidak mempunyai pencapaian bermakna, meskipun telah menceburi sukan memanah selama 10 tahun, tetapi saya tetap bersabar. Saya tidak akan berhenti di sini, akan terus bekerja keras untuk APG seterusnya di Kemboja dan Sukan Para Asia di Hangzhou tahun depan,” katanya kepada Bernama.

    Sementara itu, jurulatih kebangsaan, Marzuki Zakaria gembira dengan aksi keseluruhan anak buahnya yang mencapai sasaran dua emas, satu perak dan satu gangsa (menerusi S Suresh dalam recurve individu lelaki)

    “Bagaimanapun, sebagai seorang jurulatih saya sentiasa mengingatkan atlet bahawa jangan mudah puas hati dengan kejayaan ini kerana ada lagi hala tuju tahun depan, iaitu APG dan Hangzhou.

    “Matlamat saya sebenarnya ingin melihat sekurang-kurangnya ada atlet layak secara merit ke Sukan Paralimpik Paris 2024,” katanya.

    Kali terakhir APG dianjurkan di Kuala Lumpur 2017, memanah membawa pulang satu emas, dua perak dan tiga pingat yang merupakan suatu peningkatan daripada pungutan pingat 1-2-1 di Singapura pada 2015. – Bernama

  • Atasi jurang pendapatan golongan miskin dan kaya, elak rusuhan berdarah

    Atasi jurang pendapatan golongan miskin dan kaya, elak rusuhan berdarah

    TINDAKAN mengurangkan jurang pendapatan perlu dilakukan lebih awal bagi mengelak permusuhan ganas antara golongan miskin dan kaya di negara ini.

    Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, sejarah manusia menunjukkan permusuhan antara kedua-dua golongan itu berakhir dengan rusuhan berdarah.

    Menurutnya, contoh yang jelas ialah perang saudara yang berlaku di Perancis dan Rusia apabila kemenangan puak yang miskin akan membunuh puak yang kaya.

    “Di United Kingdom (UK) puak miskin tidak mengganas. Dengan mengguna mogok atau strike, pekerja yang rata-rata miskin memaksa masyarakat memberi kuasa kepada puak pekerja. Dan wujudlah parti buruh.

    “Masyarakat manusia perlu ambil iktibar dari peristiwa rusuhan antara miskin dan kaya. Jika masyarakat ingin elak permusuhan yang ganas berlaku antara miskin dan kaya, jarak antara miskin dan kaya dari segi pendapatan hendaklah dikurangkan,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam entri di akaun media sosialnya bertajuk “Mengurangkan Jarak”.

    Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, di Malaysia, masyarakat sedar ada perbezaan yang ketara antara yang miskin dengan yang kaya.

    Beliau menjelaskan, yang lebih bahaya ialah miskin dan kaya dikait dengan kaum apatah lagi ramai yang miskin terdiri dari orang Melayu dan yang kaya dari orang Cina.

    “Memang pun kedua-dua kaum tidak rapat dalam hubungan antara mereka. Perasaan perkauman tidak disukai oleh para intelek. Tetapi hakikatnya ialah perasaan ini terdapat dalam semua kaum di Malaysia.

    “Kemungkinan rusuhan antara kaum berlaku kerana dipisah juga oleh kemiskinan dan kekayaan antara mereka tidak boleh dipandang ringan,” katanya.

    Sementara itu, Dr Mahathir memberitahu, beliau sedar ada pihak yang akan berkata perkara ini tidak patut disuarakan kerana kononnya menyuarakan perkara ini sama seperti menggalak isu ini disedari dan dijadikannya sebagai isu yang boleh membakar perasaan kaum-kaum.

    Beliau menegaskan, jika isu ini tidak ditangani dengan bijak ia akan jadi lebih teruk dan apabila ia meletup, permusuhan akan jadi lebih buruk dan lebih sukar ditangani.

    “Justeru, adalah lebih baik jika awal-awal lagi sebelum jarak perpisahan menjadi lebih teruk, tindakan diambil untuk meredakan keadaan,” katanya.

    Tambahnya, beliau mengakui Dasar Ekonomi Baru (DEB) dikatakan gagal namun dalam bidang pelajaran ia berjaya kurangkan jarak antara kaum.

    “Dalam bidang ekonomi, kelemahan DEB telah dikenal pasti. Pembetulan juga sudah dibuat. Dengan ini DEB akan mencapai kejayaan yang lebih baik,”jelasnya.

  • Sultan Ibrahim:Perolehan aset Gerak Khas mesti dibuat ikut spesifikasi, keperluan

    Sultan Ibrahim:Perolehan aset Gerak Khas mesti dibuat ikut spesifikasi, keperluan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SULTAN Johor Sultan Sultan Iskandar bertitah, peralatan ketenteraan amat penting untuk pasukan Gerup Gerak Khas (GGK) mengalaskan tugas yang diberikan selain daripada kekuatan anggota.

    Baginda yang juga Kolonel Komandan GGK bertitah, perolehan aset komando mestilah dibuat mengikut kehendak dan keperluan yang diberikan oleh Gerak Khas dan bukannya ditentukan pihak lain.

    Justeru, Sultan Johor bertitah mengingatkan Kementerian Pertahanan supaya jangan sesuka hati membuat perolehan aset untuk Gerak Khas tanpa merujuk baginda.

    “Jangan bazirkan duit kerajaan dengan menerima sahaja peralatan yang dijual oleh ejen pembekal sedangkan peralatan tersebut tidak sesuai dengan gerak kerja komando.

    “Suka juga saya ingatkan kepada pihak kementerian, apabila membuat sesuatu perolehan aset, jangan lupa sediakan peruntukan untuk penyelenggaraan aset tersebut.

    “Tidak guna membeli barang kalau tidak mampu dijaga. Cubalah bandingkan bot dibeli oleh komando sendiri dengan bot yang saya belikan, yang mana masih dalam keadaan baik dan yang mana sudah rosak tersadai di stor simpanan,” titah baginda.

    Sultan Johor bertitah demikian ketika berangkat sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Rejimen Gerak Khas Ke-57 di Padang Kawad Markas 21, Gerup Gerak Khas, Kem Iskandar, Mersing, hari ini.

    Turut hadir Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Al-Haj Sultan Ibrahim.

    Titah baginda teguran yang dibuat itu bukanlah sesuatu yang baharu, namun perkara berkenaan masih lagi berlaku sehingga ke hari ini.

    “Ingat pesanan saya.., saya berdiri di sini sebagai Kolonel Komandan Gerak Khas yang memikul amanah bukan sebagai patung untuk menghiasi upacara majlis sahaja,” titah baginda.

  • 11,367 kes jenayah siber dari Januari hingga Julai tahun ini -Polis

    11,367 kes jenayah siber dari Januari hingga Julai tahun ini -Polis

    SEBANYAK  11,367 kes atau 61 peratus jenayah siber direkodkan dari Januari hingga Julai tahun ini, kata Timbalan Pengarah (Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial SAC Victor Sanjos. 

    Beliau berkata trend jenayah siber dari 2016 hingga Julai 2022 menunjukkan peningkatan daripada 39 peratus kepada 61 peratus.

    Terdapat enam jenis penipuan dalam talian iaitu Macau Scam, jenayah e-dagang, pinjaman tidak wujud, pelaburan tidak wujud, 419 scam atau love scam, dan memancing data (phishing).

    “Macau Scam atau panggilan penyamaran/penipuan sehingga kini merekodkan 4,912 kes melibatkan kerugian RM199.8 juta, jenayah e-dagang mencatatkan 5,397 kes dengan kerugian RM71.6 juta, dan e-financial fraud (penipuan kewangan dalam talian) atau phishing pula sebanyak 543 kes dengan kerugian RM40.5 juta,” katanya dalam webinar bertajuk ‘Duit dalam akaun bank anda lesap. Apakah puncanya dan langkah mencegahnya’ semalam.  

    Victor berkata wang dalam akaun bank hilang ini berlaku sejak wujudnya phishing dan internet selain pihak bank juga menawarkan perkhidmatan secara dalam talian.

     “Jadi apa yang dibuat oleh scammer adalah mereka mencipta satu laman web seakan-akan bank berkenaan.

    “Selaras dengan perkembangan teknologi, scammer terfikir untuk buat apps scam (aplikasi scam), ini biasanya satu taktik phishing yang digunakan scammers untuk mendapatkan nama, kata laluan dan maklumat lain tentang pengguna,” katanya.

    Beliau berkata selepas pengguna memuat naik aplikasi scam ini, aplikasi tersebut akan minta untuk mengambil alih peranan khidmat pesanan ringkas (SMS) dan sekiranya pengguna membenarkan perkara tersebut maka ia memudahkan scammers untuk menjalankan aktiviti.

    Menurut Victor, antara modus operandi yang biasa digunakan scammers ialah iklan-iklan di platform media sosial – apps scam merekodkan 39 kes melibatkan kerugian RM721,728.69 oleh individu tertentu dari Januari hingga Julai 2022.

    “Mangsa sebenarnya yang melibatkan diri mereka tetapi kadang-kadang lupa bahawa mereka yang mendedahkan diri mereka,” katanya.

    Sementara itu, Pengurus (Bahagian Pertanyaan dan Aduan) Bank Negara Malaysia Vijayadurai Singgatore berkata BNM sentiasa menyeru orang ramai untuk cakna dengan tipu helah atau tawaran dibuat oleh scammer sama ada ia logik atau tidak.

    “Kita kena bijak guna teknologi, applikasi yang diberi melalui WhatsApp jangan mudah percaya, hyperlink yang diberi jangan main klik dan buat transaksi, itu mungkin perangkap,” katanya.

    BNM dan pihak industri perbankan juga sentiasa meningkatkan taraf keselamatan supaya pengguna yakin dengan keselamatan sistem yang ditawarkan.

    “Sekarang perbankan internet siap dengan gambar kena sepadan, captcha. Dalam masa sama ada banyak bank sudah meningkatkan tahap keselamatan dengan membuat ikatan peranti (device binding) iaitu sekiranya pengguna mahu buat perbankan internet, mesti guna peranti yang didaftarkan,” katanya.

    Ketua pegawai eksekutif AmBank Islamic Eqhwan Mokhzanee Muhammad berkata sekiranya pengguna terlibat dengan aktiviti scam, mereka harus menghubungi pihak bank terlebih dahulu supaya akaun mereka dapat dibekukan serta-merta sebelum membuat laporan polis.

    “Apabila pelanggan mengesyaki dia ditipu, lihat duit sudah hilang, saya menyarankan pelanggan untuk menghubungi pihak bank di talian khidmat pelanggan dan pada masa sama saya menyeru pelanggan untuk tukar nombor pin kad ATM dan juga kata laluan akses perbankan internet,” katanya. – Bernama