Category: Semasa

  • Guru tuisyen pernah alami tekanan perasaan ditemukan maut

    Guru tuisyen pernah alami tekanan perasaan ditemukan maut

    SEORANG guru tuisyen wanita ditemukan maut di sebuah rumah di Subang Jaya, Selangor kelmarin.

    Memetik Harian Metro, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya dimaklumkan berkaitan kejadian cubaan membunuh diri pada pukul 11.53 malam.

    Menurutnya, mangsa dibawa oleh keluarganya ke hospital dalam keadaan masih bernafas dan meninggal dalam perjalanan.

    “Mangsa berusia 44 tahun itu adalah guru tuisyen yang tinggal bersama suami dan anak di kediaman berkenaan.

    “Hasil siasatan awal dimaklumkan bahawa mangsa pernah mengalami tekanan perasaan dan mendapat rawatan di sebuah klinik swasta di Petaling Jaya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Abd Khalid berkata, pemeriksaan tempat kejadian dan fizikal mangsa sudah dibuat namun tiada unsur-unsur jenayah ditemui.

    “Mayat mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bagi proses bedah siasat.

    “Setakat ini tiada laporan yang dibuat oleh mangsa atas dakwaan menjadi mangsa gangguan buli siber,” katanya.

    Kes diklasifikasikan sebagai Mati Mengejut (SDR).

  • Lelaki ditemui maut dengan kesan kelar di leher

    Lelaki ditemui maut dengan kesan kelar di leher

    POLIS menemui mayat seorang lelaki dengan kesan kelar pada lehernya dan sebilah pisau pemotong daging, di belakang sebuah kilang di Pekeliling Dataran Kledang, Menglembu, Ipoh, hari ini.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mohamad Nordin Abdullah berkata pihaknya menerima panggilan MERS 999 yang memaklumkan penemuan mayat mangsa berusia 58 tahun itu pada pukul 9.46 pagi sebelum ke lokasi kejadian bagi melakukan siasatan.

    “Hasil kecederaan pada tubuh mangsa terdapat kesan kelar pada leher sepanjang 16 sentimeter.

    “Kesan kelar dipercayai menggunakan pisau pemotong daging yang dijumpai di sebelah si mati,” katanya lapor BH Online.

    Tambah Mohamad Nordin, tiada kesan jenayah lain pada tubuh badan mangsa manakala telefon bimbit dan pengenalan diri masih berada bersamanya.

    Beliau berkata, doktor patologi dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) mengesahkan punca kematian disebabkan kecederaan pada lehernya menggunakan pisau pemotong daging.

    “Bagaimanapun, bedah siasat akan dijalankan bagi mendapatkan punca sebenar kematian mangsa,” katanya.

    Selain itu, beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa mempunyai perniagaan kilang, pemborong dan pembekal ikan ke pasar sejak 10 tahun lalu.

    “Kali terakhir mangsa berhubung dengan isteri dan memberitahu untuk mengambil semua wang dalam bank untuk kegunaan isteri serta anak-anak dan memberi isyarat ‘bye’ seolah-olah mahu meninggalkan mereka,” katanya

    Mohamad Nordin berkata, siasatan juga mendapati mangsa mengalami kemurungan kerana perniagaan mempunyai masalah kewangan.

  • Tiga remaja alami masalah psikiatri lari dari rumah perlindungan

    Tiga remaja alami masalah psikiatri lari dari rumah perlindungan

    TIGA remaja di sebuah rumah perlindungan di Jalan Kuantan-Pekan di Kuantan melarikan diri dalam satu kejadian pada pada 4.30 pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, remaja berusia 13 hingga 17 tahun berkenaan mempunyai masalah psikiatri.

    “Kehilangan ketiga-tiga remaja itu disedari pegawai bertugas ketika mahu mengejutkan mereka di asrama perlindungan itu bagi persiapan sesi persekolahan.

    “Usaha mencari remaja terbabit dilakukan di kawasan sekitar, namun tidak menemui mereka.

    “Susulan itu, pembantu kebajikan masyarakat rumah kanak-kanak itu melaporkan kejadian berkenaan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut pada pukul 10.29 pagi,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Beliau berkata, berdasarkan laporan, seorang daripada penghuni yang hilang itu merupakan kanak-kanak berusia 13 tahun yang baru keluar daripada menerima rawatan dari Wad Dahlia Hospital Tengku Ampuan Afzan di Kuantan pada Jumaat.

    “Dua kanak-kanak lagi berusia 14 tahun dan 17 tahun yang merupakan pesakit psikiatri juga masih menerima rawatan.

    “Justeru, laporan dibuat agar kesemua mereka boleh mendapatkan semula rawatan di Wad Psikatari HTAA tersebut selain untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

    Wan Mohd. Zahari menjelaskan kejadian itu kali kelima berlaku di pusat jagaan tersebut manakala ketiga-tiga remaja terbabit pernah beberapa kali melarikan diri dan mencederakan diri mereka akibat tekanan perasaan.

    “Pihak polis akan menghubungi keluarga remaja terbabit bagi memaklumkan berkenaan kehilangan anak-anak mereka dan usaha mengesan mereka masih lagi diteruskan,” katanya.

  • JAWI, PDRM siasat jaran sesat kumpulan Hadi Minallah

    JAWI, PDRM siasat jaran sesat kumpulan Hadi Minallah

    JABATAN Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bekerjasama melaksanakan siasatan dan tindakan susulan terhadap kegiatan ajaran sesat dikenali kumpulan Hadi Minallah.

    Siasatan itu berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah Akta 559 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.

    Pengarah JAWI, Datuk Mohd. Ajib Ismail berkata, sebarang usaha menyebarkan ajaran yang bercanggah dengan akidah Islam harus dibanteras habis-habisan.

    “Umat Islam disarankan sentiasa merujuk kepada autoriti agama bagi mengenal pasti dan menangkis anasir-anasir mengelirukan.

    ““Ia termasuk dari segi akidah, syariah dan pemikiran yang memesongkan akidah serta menjauhkan diri daripada sebarang kegiatan yang menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Utusan TV.

    Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad memaklumkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah mengenal pasti lokasi pusat operasi kumpulan Hadi Minallah.

    Jelasnya, maklumat berhubung lokasi itu telah diserahkan kepada JAWI untuk diambil tindakan selanjutnya.

    Jakim dilaporkan telah membuat laporan kepada Kementerian Dalam Negeri dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bagi tindakan menyekat penularan ajaran berkenaan.

    Kumpulan ajaran Hadi Minallah yang berasal dari negara jiran dikesan berlaku di beberapa negeri di Malaysia dan aktif menyebarkan dakyah sesat mereka melalui YouTube, Persatuan Nur Mutiara Mutmainnah.

    Berdasarkan video tular itu, seorang lelaki mendakwa sebagai pengasas ajaran itu, Wayang Hadi Kesumo atau Hadi Minallah Aminnullah Ahmad berasal dari Indonesia dan dia mengaku tiada agama dan menyebarkan fahaman makrifat sesat, Nur Muhammad serta pluralisme agama yang dakwanya Tuhan tidak melihat kepada agama selain turut menolak hadis.

  • Tubuh RCI siasat skandal LCS – Mahathir Rais

    Tubuh RCI siasat skandal LCS – Mahathir Rais

    KERAJAAN digesa menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat skandal perolehan Kapal Tempur Pesisir (LCS) yang telah menyebabkan wang rakyat dibelanjakan sehingga RM6 bilion, namun tidak ada satu pun kapal diserahkan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

    Ketua Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) Bahagian Segambut, Mahathir Mohd Rais, berkata skandal LCS bukan isu kecil, namun isu negara dan rakyat malah lebih membimbangkan, ia berkaitan keselamatan negara.

    “Siasat secara menyeluruh dan jika mampu, kita gunakan tiga hingga lima orang hakim untuk menjalankan siasatan,” katanya ketika dihubungi SatuBerita, hari ini.

    Katanya, siasatan oleh badan bebas dapat membongkar permasalahan sebenar yang mengancam kedaulatan serta keamanan negara.

    “Jika kita tengok persediaan perang yang berlaku antara China dan Taiwan, kita dilihat sangat hampir untuk berdepan Perang Dunia Ketiga pada bila-bila masa.

    “Ini kita baharu sahaja mendapat tahu mengenai aset sebanyak RM6 bilion yang tidak ada, berapa banyak lagi ketirisan yang berlaku dalam kerajaan dan kita tidak tahu?” katanya.

    Khamis lalu, Wong ketika mengumumkan dapatan siasatan projek LCS, berkata Kementerian Pertahanan (Kementah) dan Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNS) tidak menghiraukan pandangan tentera laut mengenai projek LCS.

    Beliau berkata, pada asalnya, kapal model Sigma yang dipilih tentera laut telah diluluskan Kementah, tetapi ia ditukar kepada model Gowind, pada 11 Jul 2011, atas cadangan BNS, pada 8 Jul 2011.

    Katanya, tiada sebuah pun LCS diserahkan kepada kerajaan sehingga kini, walaupun RM6.08 bilion sudah dibayar kepada BNS yang mendapat projek itu secara rundingan terus.

    Mengikut jadual asal, BNS sepatutnya menyerahkan lima unit LCS sejak 2013 hingga bulan ini.

  • Penganggur mengaku salah miliki senjata berbahaya

    Penganggur mengaku salah miliki senjata berbahaya

    SEORANG penganggur dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen Kuala Pilah hari ini selepas mengaku salah atas pertuduhan memiliki senjata berbahaya iaitu sebilah pisau di tempat awam tahun lepas.

    Hakim Norma Ismail membuat keputusan tersebut selepas tertuduh B. Vimel, 26, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan, lapor Sinar Harian.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati dalam milikannya, satu senjata berbahaya iaitu satu bilah pisau berhulu warna coklat ukuran panjang lebih kurang 24 sentimeter (cm) di tempat awam.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di pekarangan Taman Perumahan Polis, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin pada 25 Mac tahun lalu.

    Disebabkan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun dan tidak melebihi 10 tahun.

    Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Muhammad Hafiz.

  • Pesawat ringan tersasar keluar landasan, juruterbang selamat

    Pesawat ringan tersasar keluar landasan, juruterbang selamat

    LAGI insiden membabitkan sebuah pesawat ringan yang digunakan bagi tujuan latihan penerbangan bulan ini.

    Di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL) Kedah, sebuah pesawat latihan jenis Diamond DA-42D tersasar keluar dari landasan ketika melakukan pendaratan pagi ini.

    Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Datuk Kapten Chester Voo dalam satu kenyataan berkata, kejadian berlaku pada pukul 11.01 pagi ketika pesawat dengan pendaftaran 9M-HMY yang dikendalikan oleh dua juruterbang HM Aerospace Sdn Bhd (HMA) hilang kawalan ketika mendarat.

    Bagaimanapun kedua-dua juruterbang itu katanya tidak cedera dan telah dibawa melakukan pemeriksaan kesihatan.

    “Pesawat kemudiannya dialihkan pada pukul 12.05 tengah hari dan pemeriksaan penuh landasan telah dilakukan bagi memastikan keselamatan operasi lapangan terbang.

    “Landasan LTAL dibuka semula pada pukul 12.20 tengahari dan siasatan lanjut dilaksanakan Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) mengikut Bahagian XXVI Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016,” katanya.

    Sementara itu Chester berkata, sebagai salah satu usaha CAAM mempromosikan keselamatan penerbangan, semua Pengurus dan Ketua Pegawai Eksekutif daripada organisasi latihan penerbangan akan dipanggil untuk taklimat keselamatan.

    Tambahnya, semua aspek keselamatan pesawat dalam ekosistem organisasi latihan penerbangan akan dikaji semula untuk penambahbaikan bagi meningkatkan lagi tahap piawaian keselamatan semua pihak dalam industri penerbangan.

    Dalam kejadian pada 1 Julai lalu, seorang juruterbang maut, manakala seorang lagi mengalami kecederaan parah dalam nahas pesawat ringan terhempas di Jalan Dr Nazrin Shah-Sungai Rokam, berhampiran Medan Gopeng, Ipoh, Perak.

    Nahas melibatkan pesawat jenis Piper 28-161 yang sedang menjalani latihan penerbangan di Sungai Pinji selepas berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah.

  • Projek LCS: Segera dakwa individu terlibat

    Projek LCS: Segera dakwa individu terlibat

    GABUNGAN pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Rasuah Busters Pahang menggesa supaya Jabatan Peguam Negara (AGC) segera mendakwa individu yang terlibat dengan skandal Kapal Tempur Pesisir Pantai (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bernilai RM9 bilion.

    Timbalan Pengerusi Rasuah Busters Pahang, Wan Emril Nizam Wan Embong berkata, gesaan itu dibuat selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dikatakan sudah merujuk kertas siasatan berhubung isu tersebut kepada pihak AGC.

    “SPRM sudah selesai jalankan siasatan, jadi pihak AGC pula kena bertindak dan kalau boleh segerakan pendakwaan, jika sudah ada bukti lengkap bersabit kes ini.

    “Kalau boleh jangan pilih bulu, mana-mana individu yang terlibat sama ada penjawat awam atau ahli politik mereka perlu diheret ke muka pengadilan tanpa kompromi,” katanya, lapor Sinar Harian hari ini.

    Pada Sabtu lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mendedahkan kertas siasatan mengenai kes itu sudah pun dirujuk kepada pihak AGC untuk tindakan lanjut.

    Azam bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai keputusan AGC berhubung perkara itu.

    Sebelum ini, pelbagai pihak mendesak SPRM supaya menyelesaikan segera siasatan berhubung kepincangan projek pembinaan enam kapal tempur LCS susulan laporan PAC yang dibentangkan pada Khamis lalu.

    Wan Emril Nizam menjelaskan semua pihak ingin mengetahui siapa dalang di sebalik skandal ini dan disebabkan itu semua pihak termasuk SPRM perlu telus menjalankan siasatan.

    Beliau mengakui tidak mahu Malaysia dilabel negara yang mempunyai korupsi tertinggi di dunia.

    “Jadi, sebab itu kita mahu SPRM dan AGC menjalankan tanggungjawab dan amanah mereka secara telus kerana ia sedikit sebanyak memberi kesan kepada indeks persepsi rasuah di negara kita.

    “Justeru, yang terlibat mereka layak mendapat hukuman di atas perbuatan mereka,” ujarnya.

  • 22 warga Thailand ditahan bekerja di atas bot tanpa dokumen sah

    22 warga Thailand ditahan bekerja di atas bot tanpa dokumen sah

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan tempatan selepas disyaki menggajikan pendatang asing tanpa izin (PATI) pada kedudukan kira-kira 0.9 batu nautika utara Monkey Beach, pukul 5.15 petang semalam.

    Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, bot nelayan tempatan itu ditahan ketika sedang bersauh di utara perairan Pulau Pinang oleh anggota penguat kuasa yang sedang melaksanakan rondaan rutin Op Benteng Laut.

    Jelas beliau, hasil pemeriksaan mendapati bot nelayan tempatan kelas C2 itu dikendalikan 22 kru warga Thailand termasuk tekong berumur antara 26 hingga 54 tahun.

    “Pemeriksaan lanjut mendapati kesemua kru terbabit disyaki melakukan kesalahan iaitu bekerja di atas bot tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Perikanan dan tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

    “Bot, kru termasuk tekong ditahan dan dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia bagi siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sebuah bot nelayan tempatan ditahan selepas disyaki menggajikan PATI pada kedudukan kira-kira 0.9 batu nautika utara Monkey Beach, Pulau Pinang, semalam

    Menurut beliau, kes itu disiasat di bawah Seksysn 8 (b) Akta Perikanan 1985 iaitu bekerja di atas bot tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Perikanan dan Seksyen 56 (1A) (a) Akta Imigresen 1959/63 iaitu melakukan kesalahan dengan berada di Malaysia tanpa suatu dokumen yang sah.

    Dalam pada itu tambahnya, Maritim Malaysia menegaskan kepada semua terutama komuniti nelayan agar mematuhi peraturan yang telah ditetapkan dan tidak akan berkompromi dengan mereka yang sengaja melanggar undang-undang sedia ada.

    “Sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut segera hubungi talian hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian (04-2626146) atau talian kecemasan MERS 999,” katanya.

  • Wanita diperdaya scammer menyamar polis, rugi RM333,100

    Wanita diperdaya scammer menyamar polis, rugi RM333,100

    SEORANG wanita kerugian RM333,100 diperdaya sindiket Macau Scam kononnya terdapat waran tangkap atas namanya.

    Kejadian bermula selepas mangsa berusia 27 tahun itu menerima panggilan telefon daripada lelaki yang mendakwa polis dari Melaka.

    Sumber memberitahu, kejadian bermula 10.30 pagi, 8 Julai lalu ketika mangsa berada di rumahnya di Damansara Jaya.

    “Mangsa dihubungi seorang lelaki menyamar polis dan memberitahu mempunyai waran tangkap atas pengubahan wang haram.

    “Malah suspek turut menghantar salinan waran tangkap ke WhatsApps mangsa,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

    Sumber berkata, suspek kemudian meminta mangsa memindahkan wang ke akaun bank diberikan untuk urusan siasatan.

    Sejak itu katanya, mangsa membuat bayaran beberapa kali dengan jumlah keseluruhan RM333,100.

    “Mangsa yang akhirnya menyedari ditipu, membuat laporan di Balai Polis Damansara Jumaat lalu,” katanya.