Category: Semasa

  • 50 kenderaan mewah RM11.4 juta tanpa AP dirampas

    50 kenderaan mewah RM11.4 juta tanpa AP dirampas

    SEBANYAK Sebanyak 50 kenderaan mewah tanpa permit import (AP) bernilai RM11.4 juta disita dalam Op Bearing dilaksanakan bermula 15 Ogos lalu.

    Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Mohammad Sabri Saad, berkata operasi berakhir esok itu memfokuskan kepada kenderaan import individu serta syarikat di sekitar Pelabuhan Klang.

    “Sembilan daripada 50 kenderaan melibatkan motosikal berkuasa tinggi manakala selebihnya adalah kereta mewah dari pelbagai negara antaranya Amerika Syarikat, United Kingdom dan Jepun,” katanya pada sidang media di Wisma Kastam, Pulau Indah.

    Mohammad berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1957 kerana mengimport barang larangan bawah Butiran 3 Jadual Kedua/Bahagian 1 Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017 yang permit pengimportannya dibenarkan dengan syarat ia tertakluk permit import dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

    Beliau menggesa orang ramai membantu JKDM dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan dengan menghubungi talian bebas tol 1 800 88 8855 atau menghubungi pejabat JKDM terdekat di semua negeri.

  • Pemimpin, ketua kampung perlu ada data asa kampung – Mahdzir

    Pemimpin, ketua kampung perlu ada data asa kampung – Mahdzir

    PEMIMPIN atau ketua kampung perlu mempunyai data asas kampung mereka yang lengkap, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid.

    Katanya, ini bagi memastikan setiap program atau bantuan yang dilaksanakan kerajaan dapat disalurkan kepada golongan sasar dengan tepat dan lebih berkesan.

    Beliau berkata pemimpin atau ketua kampung bagi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) perlu mempunyai maklumat antaranya mengenai jumlah penduduk, bilangan ibu tunggal dan golongan orang kurang upaya.

    “Di peringkat Persekutuan, kita terus-menerus ada bantuan nak diberikan kepada penduduk di kampung dan bandar, bila nak bagi kena ada saluran, kadang-kadang ada masalah sikit dari segi penyampaian sebab tak sampai ke saluran sebenarnya.

    “Ini menjadi sebahagian daripada tanggungjawab Persekutuan untuk melantik ketua-ketua kampung, peranan dimainkan ketua kampung ada banyak, paling utama adalah data yang patut disediakan oleh mereka,” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Anggota JPKPP Negeri Sembilan yang turut dihadiri Pengerusi Majlis Tindakan Pembangunan negeri Khairy Jamaluddin di Seremban hari ini.

    Selain itu, beliau berkata setiap ketua kampung dan pemimpin juga perlu mempunyai kemahiran dalam pentadbiran pendidikan, kesihatan dan keselamatan, agar dapat menguruskan kampung dengan lebih baik.

    Katanya, JPKK dan JPKKP yang ketika ini berjumlah lebih 15,000, memainkan peranan penting dalam membantu menyediakan perkhidmatan secara sistematik kepada komuniti setempat.

    Dalam pada itu, beliau berkata seramai 123 kampung di seluruh negara dicalonkan dalam pertandingan Aspirasi Kampung Sejahtera yang diadakan selama enam bulan bermula April lepas hingga Oktober ini.

    — BERNAMA

  • PM akan pertimbang pelbagai aspek sebelum bubar Parlimen – Mahdzir

    PM akan pertimbang pelbagai aspek sebelum bubar Parlimen – Mahdzir

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mempertimbangkan pelbagai aspek sebelum membuat keputusan membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkatamia termasuk soal kestabilan dan usaha pemulihan ekonomi negara untuk membantu meringankan beban rakyat.

    “Dalam apa keadaan pun, bila kita hendak buat sesuatu keputusan itu perlu mengambil kira pelbagai aspek. Begitu juga dalam soal PRU-15 ini, saya fikir Perdana Menteri sudah tentu akan mengambil kira pelbagai faktor atau aspek tertentu sebelum membuat keputusan untuk umumkan tarikh pilihan raya,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Anggota Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Negeri Sembilan di Pusat Konvensyen Casa Lagenda, Paroi, di Seremban hari ini.

    Perdana Menteri kata Mahdzir, sudah pasti akan meneliti keadaan dalam negara sebelum membuat keputusan berhubung tarikh PRU-15 diadakan.

    Beliau yakin keputusan itu akan dibuat apabila tiba waktu yang sesuai.

    Media semalam melaporkan Ismail Sabri enggan mengulas lanjut ketika ditanya mengenai spekulasi tarikh PRU-15 yang didakwa diawalkan susulan perbincangan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada Sabtu lalu.

    Sebaliknya, Perdana Menteri meminta semua pihak supaya ‘menunggu’ mengenai tarikh pilihan raya umum itu.

    Sementara itu, Mahdzir yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata, sejumlah 387 Pengerusi JPKKP bagi Negeri Sembilan dilantik untuk sesi berkuatkuasa 1 Oktober 2021 hingga 30 September 2023.

    Manakala 385 orang dilantik sebagai Setiausaha dan 4,001 orang dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa.

    Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memperuntukkan sejumlah hampir RM7 juta bagi bayaran elaun Pengerusi, Setiausaha dan Ahli Jawatankuasa JPKKP Negeri Sembilan tahun ini.

    Majlis penyerahan watikah pelantikan hari ini turut dihadiri Menteri Kesihatan yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Sembilan, Khairy Jamaluddin, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias dan Pengerusi RISDA, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif.

  • Negara ini bukan milik UMNO-Amanah Selangor

    Negara ini bukan milik UMNO-Amanah Selangor

    PENGERUSI Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor, Ir. Izham Hashim menegaskan UMNO tidak boleh sewenang-wenangnya memecat sesiapa kerana negara ini bukan milik mereka.

    “UMNO kini tidak ubah seperti sebuah parti yang mengalami ‘kerosakan’ berterusan apabila menganggap negara ini seperti milik mereka, umpama tiada undang-undang dan peraturan.

    “UMNO ni ingat Malaysia ni dia punya ke? Nak pecat itu, nak pecat ini!!!

    “Negara ni ada undang-undang dan peraturan… Punya rosak parti korup ini berterusan,” katanya menerusi satu catatan dalam Facebook miliknya hari ini, lapor Sinar Harian.

    Mengikut laporan memetik sumber sebelum ini, parti itu dikatakan memberi kata dua kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya memecat Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun.

    Selain itu juga gesaan agar memecat Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, memohon pengampunan diraja untuk bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak serta mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) secepat mungkin.

    Laporan itu menyebut Ismail Sabri akan dipecat jika enggan mengikut permintaan berkenaan.

    Bagaimanapun, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menafikan dakwaan itu dengan menyifatkannya sebagai ‘palsu’ dan ‘fitnah’.

  • 11 remaja ditahan, disyaki terlibat kes buli di asrama

    11 remaja ditahan, disyaki terlibat kes buli di asrama

    POLIS menahan 11 remaja berusia 13 hingga 16 tahun bagi membantu siasatan berhubung satu kes buli membabitkan tiga mangsa iaitu pelajar asrama sebuah sekolah harian di Kemaman pada Khamis lepas.

    Ketua Polis Daerah Kemaman Supt. Hanyan Ramlan berkata pihaknya menerima tiga laporan daripada pelajar lelaki berusia 13 hingga 15 tahun itu, yang mendakwa mereka dipukul oleh beberapa pelajar senior di asrama sehingga cedera.

    Susulan laporan itu, beliau berkata pihaknya telah menahan 11 remaja terbabit di asrama sekolah dan rumah masing-masing di sekitar Kemaman hari ini untuk siasatan lanjut.

    “Mangsa mendakwa dipukul kerana suspek berang dengan tindakan mereka melaporkan kepada guru perbuatan suspek yang menghisap vape di asrama.

    “Akibat kejadian itu, mangsa pertama pecah gegendang telinga kanan, manakala mangsa kedua dan ketiga mengalami lebam di beberapa bahagian badan,” katanya kepada pemberita di Kemaman hari ini.

    Hanyan berkata 11 remaja tersebut direman empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 235 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah.

    Beliau juga menasihatkan supaya pihak pengurusan sekolah lebih peka dan mengambil tindakan segera jika terdapat aduan daripada pelajar mengenai kes buli yang boleh membawa kepada kejadian lebih buruk. – Bernama

  • Syarikat kitar semula didenda RM58,000 beroperasi tanpa lesen, kelulusan EIA

    Syarikat kitar semula didenda RM58,000 beroperasi tanpa lesen, kelulusan EIA

    MAHKAMAH Sesyen Butterworth, Pulau Pinang hari ini menjatuhi hukuman denda sebanyak RM58,000 terhadap pemilik sebuah syarikat kitar semula buangan terjadual kerana beroperasi tanpa lesen dan tanpa mendapat kelulusan penilaian impak alam sekitar (EIA).

    Hakim Noor Aini Yusof membuat hukuman itu selepas wakil syarikat tersebut mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dikenakan terhadap mereka.

    Syarikat terbabit didenda sebanyak RM8,000 atas pertuduhan pertama iaitu beroperasi tanpa lesen yang dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang manakala denda sebanyak RM50,000 dikenakan atas kesalahan di bawah pertuduhan tidak mendapat kelulusan EIA.

    Syarikat itu tidak mempunyai lesen dan kelulusan EIA bagi satu kawasan penstoran luar tapak di Permatang Pauh yang dijadikan lokasi buangan terjadual itu.

    Dalam pada itu, Pengarah JAS Pulau Pinang, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, syarikat yang beroperasi di Bukit Minyak tersebut mempunyai lesen sebagai premis yang ditetapkan untuk memproses buangan terjadual.

    Bagaimanapun katanya, syarikat itu tidak mempunyai lesen dan kelulusan EIA bagi satu kawasan penstoran luar tapak di Permatang Pauh yang dijadikan lokasi buangan terjadual itu.

    Syarikat terbabit didenda sebanyak RM8,000 atas pertuduhan pertama iaitu beroperasi tanpa lesen yang dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang

    “Semua premis atau lokasi yang digunakan untuk aktiviti melibatkan buangan terjadual termasuk penstoran perlu mendapatkan kelulusan EIA di bawah Seksyen 34A (6), Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 terlebih dahulu.

    “Kemudian, mereka perlu memperolehi lesen di bawah Seksyen 18, Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 sebelum boleh beroperasi,” katanya.

  • Azalina belakangi seruan RCI perbaharui Jabatan Peguam Negara

    Azalina belakangi seruan RCI perbaharui Jabatan Peguam Negara

    KETUA Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari membidas penasihat khas perdana menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said kerana membelakangi cadangan pernah disuarakannya bagi pembaharuan Jabatan Peguam Negara ketika berkhidmat sebagai timbalan speaker Dewan Rakyat.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, kenyataan Azalina “melantik peguam negara orang dia” merupakan seruan kembali ke belakang, selain mempersoalkan visi Ahli Parlimen Pengerang itu yang mencadangkan penubuhan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi pembaharuan dikatakan sebelum ini.

    “Ketika era pelbagai pembaharuan dari sudut menghidupkan demokrasi sebenar dilakukan oleh kerajaan pada hari ini, seruan ini kelihatan kembali ke belakang.

    “Pada ketika kenyataan itu dibuat, menariknya ia juga sebagai menyahut cadangan Ahli Parlimen Pengerang yang ketika itu sebagai timbalan speaker Dewan Rakyat, di mana beliau menuntut supaya sebuah RCI ditubuhkan bagi pembaharuan Jabatan Peguam Negara,” katanya di Facebook.

    Katanya, langkah paling baik adalah memisahkan fungsi peguam negara dengan tugas pendakwaan.

    Ini sebenarnya telah dimulakan perancangan oleh pihak kerajaan ketika Datuk Seri Takiyuddin Hassan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang),” katanya.

    Fadhli bagaimanapun tidak pasti sejauh mana perancangan pemisahan fungsi yang disebut itu sudah dilaksanakan.

    “Namun, ia perlu dihidupkan dan dijayakan dengan serius jika mahu melihat undang-undang dilaksanakan dengan adil dan dilihat adil,” katanya.

    Semalam, Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata kenyataan lantik “orang dia” membuktikan UMNO dan Barisan Nasional mengawal penjawat awam mengikut kehendak parti mereka.

    Radzi yang juga menteri kanan pendidikan ketika mengulas lanjut, berkata kenyataan Azalina itu menunjukkan sikap sebenar Umno.

    Pada 27 Ogos ketika berucap pada taklimat khas presiden Umno, Azalina menegur Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas pelantikan peguam negara.

    Katanya, kuasa peguam negara adalah sangat besar dan “tidak boleh dipersoalkan”.

    “Sesiapa yang jadi perdana menteri akan melantik orang dia untuk jadi peguam negara,” katanya.

  • PRU boleh diadakan setiap tahun jika selesai masalah ekonomi

    PRU boleh diadakan setiap tahun jika selesai masalah ekonomi

    PENGERUSI DAP Kebangsaan, Lim Guan Eng mendakwa, Belanjawan 2023 yang dijadualkan dibentangkan pada 7 Oktober depan bukan untuk membantu rakyat dan mengatasi masalah ekonomi negara.

    Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu berkata, sebaliknya hanyalah belanjawan pilihan raya bagi menguntungkan pentadbiran kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Beliau berkata, kerajaan sepatusnya mengambil pendekatan holistik mencari jalan mengatasi kenaikan harga, menangani kekurangan buruh yang teruk, kejatuhan nilai ringgit, kerenah birokrasi dan halangan kepada pertumbuhan ekonomi yang dihadapi oleh perniagaan.

    “Menangani masalah-masalah ini akan membantu mengurangkan kos dan menjana pertumbuhan ekonomi yang lebih tinggi, di mana pengeluaran yang lebih tinggi akan membantu perniagaan untuk mengurangkan lebih banyak kos.

    “Malangnya, kerajaan sekarang nampaknya taksub dengan survival politik dan mengadakan pilihan raya umum dengan mengorbankan mengambil langkah konkrit untuk menyelesaikan masalah ekonomi negara,” kata ahli parlimen Bagan itu dalam satu kenyataan.

    Guan Eng berkata, tindakan kerajaan menjadualkan semula pembentangan Belanjawan 2023 juga jelas menunjukkan bahawa Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 berkemungkinan besar diadakan pada November tahun ini.

    “Pada ketika setiap sumber, tenaga dan tumpuan harus ditujukan untuk menyelamatkan negara daripada krisis ekonomi sekarang, kerajaan mengorbankan tadbir urus yang baik demi kepentingan politik.

    “Jika pilihan raya awal boleh membantu menyelesaikan masalah ekonomi negara, maka pilihan raya sepatutnya diadakan setiap tahun,” katanya memetik laporan MalaysiaKini.

    Menurutnya, pembentangan Belanjawan 2023 lebih awal dari yang dijadualkan semata-mata untuk tujuan pilihan raya umum menafikan tujuan keseluruhan bajet sebagai penyata dasar fiskal dan kewangan untuk tahun hadapan.

    Guan Eng turut mengambil contoh kenaikan harga roti Gardenia antara 20 sen hingga 70 sen bermula 1 September ini.

    “Pengumuman Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd bahawa mulai 1 September, roti putihnya, yang merupakan produk makanan ruji dalam kalangan kumpulan B40 dan M40, akan menyaksikan peningkatan antara 20 dan 70 sen, menunjukkan peningkatan kos sara hidup masih masalah ekonomi yang membimbangkan.

    “Gardenia berkata syarikat itu tidak mempunyai alternatif selain menaikkan harganya berikutan kenaikan kos pengangkutan dan kos bahan mentah seperti tepung gandum dan lemak sayuran,” katanya.

    Jelasnya, kenaikan harga roti Gardenia itu juga bercanggah dengan dakwaan tidak bertanggungjawab dibuat kerajaan sekarang bahawa mereka telah berjaya mengawal harga yang melambung tinggi, terutama harga barang makanan yang meningkat sebanyak 6.2 peratus pada Julai 2022.

  • Armada lapor polis terhadap Ahmad Zahid

    Armada lapor polis terhadap Ahmad Zahid

    ARMADA Bersatu menyifatkan kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Majlis Taklimat Khas Presiden UMNO berbaur hasutan dan mengancam keselamatan negara.

    Ketua Penerangannya, Mohd. Ashraf Mustaqim berkata, dalam ucapan itu, Ahmad Zahid didakwa menghina dan memfitnah institusi kehakiman negara, Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Yang di-Pertuan Agong berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak.

    Beliau menambah, satu laporan polis telah dibuat ke atas Ahmad Zahid kerana dakwanya, intipati ucapan bekas Timbalan Perdana Menteri itu secara jelas bersifat menghasut rakyat.

    “Ingin menanam kebencian, menanam prasangka supaya rakyat tidak mempercayai integriti institusi-institusi ini, sekali gus mengancam keselamatan negara.

    “Ahmad Zahid telah membuat fitnah terhadap sistem kehakiman negara yang kononnya telah dinodai oleh tangan-tangan ghaib, ia jelas telah menghasut rakyat dan merosakkan keyakinan rakyat terhadap sistem kehakiman negara,” katanya pada sidang media selepas membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur, hari ini.

    Dalam Taklimat Khas Presiden UMNO pada Sabtu, ucapan-ucapan pemimpin UMNO antaranya Ahmad Zahid; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said turut menyentuh berkaitan kes Najib itu.

    Tambah Ashraf, ucapan itu juga telah cuba menyemarakkan api kemarahan seramai 3,000 ahli UMNO untuk membenci institusi kehakiman negara.

    “Zahid juga menfitnah mahkamah, kononnya sudah bersiap sedia untuk membebaskan Syed Saddiq dan Lim Guan Eng walaupun kesnya belum selesai dibicarakan.

    “Sedangkan mahkamah kita bersifat bebas, terbukti sejak di bawah kerajaan Perikatan Nasional kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, tiada satu campur tangan pun di dalam sistem kehakiman,” tegasnya sebagaimana dilaporkan SatuBerita.

  • Tiap seorang daripada 20 kanak-kanak alami gangguan mental

    Tiap seorang daripada 20 kanak-kanak alami gangguan mental

    TINJAUAN Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2019 menganggarkan tiap seorang daripada 20 kanak-kanak berumur lima hingga sembilan tahun di Malaysia mengalami gangguan mental, termasuk gangguan dari segi perkembangannya, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

    Bercakap kepada media selepas melancarkan Laporan dan Infografik Negara Malaysia: Memperkukuh Sistem dan Perkhidmatan Sokongan Kesihatan Mental dan Psikososial (MHPSS) untuk Kanak-kanak dan Remaja di Rantau Asia Timur dan Pasifik di sini hari ini, beliau berkata tinjauan itu juga mendapati tiap seorang daripada lapan remaja berumur 10 hingga 19 tahun mengalami gangguan mental.

    Katanya NHMS juga mendapati kira-kira 424,000 kanak-kanak di Malaysia mengalami masalah mental, tetapi ramai yang tidak tampil untuk mendapatkan bantuan.

    “Di Malaysia, kanak-kanak dan remaja mengalami beban kesihatan mental yang teruk,” katanya dan menambah antara faktor risiko adalah kesihatan mental yang lemah, pendedahan kepada keganasan, penganiayaan rakan sebaya dan buli, kesunyian dan pengasingan sosial amat berleluasa.

    Mengenai MHPSS, Dr Noor Azmi berkata laporan itu menekankan jurang kritikal dalam tindak balas dan cabaran semasa pelaksanaan MHPSS dalam kalangan kanak-kanak dan remaja, termasuk kesukaran atau akses terhad kepada perkhidmatan bagi menangani masalah kesihatan mental, kekurangan pemerkasaan undang-undang dan dasar sedia ada, kelemahan dalam komunikasi dan penyelarasan antara sektor, serta pembiayaan yang tidak mencukupi.

    Dr Noor Azmi berkata Kementerian Kesihatan juga komited untuk menterjemahkan penemuan penyelidikan MHPSS kepada dasar dan amalan.- BERNAMA