Category: Semasa

  • Empat beranak maut dilanggar treler pasir

    Empat beranak maut dilanggar treler pasir

    EMPAT beranak termasuk seorang bayi maut apabila motosikal dinaiki dilanggar treler membawa muatan pasir, dalam nahas di Kampung Semanggar, Kota Tinggi, Johor, hari ini.

    Memetik laporan Sinar Harian, dalam kejadian kira-kira 2 petang itu, mangsa maut ialah penunggang motosikal, Mohamad Suti Yahaya, 39, dan isterinya, Siti Jamaliah Mohd Yatim, 27.

    Dua anak pasangan itu, Nur Firman Hadi Abdul Rahman, 4, dan juga Nurfatihah Jannah berusia 7 bulan, maut di lokasi kejadian akibat cedera parah.

    Menurutnya, kesemua mangsa menaiki motosikal jenis Yamaha 135LC dalam perjalanan pulang ke rumah mereka yang terletak di Kampung Mawai, Kota Tinggi.

    Ibu Siti Jamaliah, Rosni sintingan, 53, berkata, dia mendapat maklumat kejadian itu kira-kira 3 petang selepas anak buahnya terlihat gambar kemalangan yang menimpa anak cucunya itu di Facebook, sebelum ada orang lain yang menghubunginya.

    Katanya, dia juga sempat ke lokasi kejadian, namun ketika itu tidak sempat menemui anaknya kerana telah dibawa menaiki kenderaan polis bersama cucunya Nurfatihah Jannah.

    “Semasa saya sampai saya dapat lihat menantu dan anak lelakinya sahaja yang masih terbaring di lokasi. Saya tidak tahu mereka pergi ke mana tetapi kalau cuti memang mereka akan berjalan anak beranak mungkin ke pekan Anggerik, Bandar Tenggara atau ke Felda Pasir Raja berjumpa rakannya.

    “Mereka anak beranak memang akan menaiki motosikal ke mana sahaja kerana itu sahaja kenderaan yang mereka ada. Sebelum ini mereka pernah juga terlibat kemalangan namun hanya alami cedera.

    “Kami sekeluarga puas juga nasihat suruh mereka beli kereta namun katanya tak apa naik motosikal. Kami hanya kesian pada anak dan isterinya sahaja. Tak sangka perkara yang kami bimbangkan berlaku hari ini,” kata laporan itu.

    Sementara itu Ketua Polis Kota Tinggi Hussin Zamora, mengesahkan kejadian dan kes masih dalam siasatan pihak polis.

  • Nafi selamatkan Bella untuk ambil alih Rumah Bonda – Saksi

    Nafi selamatkan Bella untuk ambil alih Rumah Bonda – Saksi

    SAKSI pendakwaan pertama kes pengabaian dan penganiayaan remaja Sindrom Down dikenali Bella menafikan menyuruh Ahli Jawatankuasa (AJK) Rumah Bonda supaya meletakkan jawatan.

    Memetik laporan Berita Harian, penafian dibuat pembantu pengurus syarikat swasta, Zurianty Sudin, 39, ketika pemeriksaan balas oleh peguam Nurul Hafidzah Hassan yang mewakili pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, pada perbicaraan kes itu di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini.

    Bagaimanapun, beliau mengakui ada menyebut mengenai peletakan jawatan selepas beliau ‘menyelamatkan’ Bella, namun tidak bermaksud mengarahkan mereka berbuat demikian.

    Menurutnya, beliau berhubung dengan beberapa AJK Rumah Bonda selepas diminta oleh seorang individu dikenali ‘Bubu’ untuk menjelaskan kejadian menimpa Bella.

    “Saya menerangkan kepada mereka (AJK) sekiranya mereka tidak tahu mengenai perkara ini (keadaan Bella) langsung, adalah tidak adil untuk mereka.

    “Kalau saya jadi mereka, saya akan letak jawatan. Saya tak cadangkan tapi saya bagi pendapat,” katanya.

    Dalam pada itu, Zurianty tidak bersetuju cadangan peguam bahawa tindakannya menyelamatkan Bella kerana mahu mengambil alih pengurusan Rumah Bonda.

    Disoal seorang lagi peguam Siti Bainun, Mohammad Farhan Maaruf, bahawa tindakannya menyuruh AJK Rumah Bonda meletak jawatan selepas video Bella ‘meletup’ di media sosial, Zurianty menjawab tidak setuju.

    Mengenai pertanyaan Mohammad Farhan apa kaitan Bella dengan Rumah Bonda sehingga saksi meminta AJK meletak jawatan sedangkan remaja itu tidak ditempatkan di rumah jagaan berkenaan, Zurianty menjawab tidak pernah mengaitkan Bella dengan Rumah Bonda.

    Saksi itu kemudian sekali lagi menegaskan tidak pernah mengarahkan mana-mana AJK Rumah Bonda meletak jawatan.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi bersambung 14 September depan.

  • Sindiket seleweng diesel subsidi tumpas, 21,000 liter diesel dirampas

    Sindiket seleweng diesel subsidi tumpas, 21,000 liter diesel dirampas

    SEBANYAK 21,000 liter minyak diesel bersubsidi bernilai RM45,150 yang cuba diseleweng satu sindiket dirampas dalam serbuan di sebuah bengkel membaiki kenderaan di Jalan Paboi, Simpang Ampat, Pulau Pinang malam tadi.

    Rampasan itu susulan satu serbuan dibuat anggota Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) Pulau Pinang kira-kira pukul 11.30 malam tadi.

    Menurut Pengarahnya, S.Jegan, dalam operasi hasil maklumat awam dan risikan yang dijalankan sejak seminggu lepas itu, pihaknya turut menahan empat lelaki berusia antara 30 hingga 50-an.

    Jelas beliau, ketika serbuan empat suspek berkenaan sedang memindahkan minyak diesel bersubsidi dari sebuah lori berkapasiti 10 tan yang telah diubah suai di bahagian belakang dengan tangki-tangki aluminium ke sebuah lori tangki lain.

    “Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat kira-kira 5,000 liter minyak diesel di dalam lori itu manakala 10,000 liter yang telah dipindahkan ke dalam lori tangki,” katanya dalam sidang akhbar di Stor PPDNHEP Pulau Pinang di Bukit Minyak hari ini.

    Jelas beliau, pemeriksaan lanjut turut menemukan sebuah lagi lori yang juga telah diubah suai dan dianggarkan mengandungi sebanyak 6,000 minyak diesel bersubsidi di dalam tangki di bahagian belakang lori itu.

    Katanya, bengkel membaiki kenderaan itu tidak dilesenkan untuk menyimpan barang kawalan iaitu minyak diesel dan dipercayai sindiket tersebut menjadikan premis berkenaan sebagai lokasi untuk kegiatan pemindahan bahan api itu bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

    Ujarnya, sindiket itu menggunakan dua buah lori yang telah diubah suai tersebut untuk membeli diesel bersubsidi di stesen-stesen minyak di seluruh Pulau Pinang sebelum memindahknya ke lori tangki dan menjual kepada pihak industri dengan harga lebih mahal.

    “Minyak diesel itu dibeli di stesen-stesen minyak pada waktu lewat malam hingga awal pagi bagi mengelak dikesan pihak berkuasa dan mereka dipercayai mampu mengaut keuntungan puluhan ribuan ringgit setiap bulan,” katanya.

    Tambah Jegan, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan sindiket itu turut menyeludup bahan api tersebut ke negeri jiran yang dijual lebih mahal.

    “Dalam serbuan ini juga kita turut menyita dua buah lori dan sebuah lori tangki yang kesemuanya bernilai RM70,000 serta giat mengesan dalang rangkaian sindiket ini untuk siasatan lanjut,” katanya.

    Tambah beliau, kesemua empat suspek termasuk dua pemandu lori itu ditahan untuk siasatan lanjut dan kes tersebut disiasat menurut Akta Kawalan Bekalan 1961.

  • Rasuah: Pembantu penguat kuasa dipenjara 14 hari, denda RM10,000

    Rasuah: Pembantu penguat kuasa dipenjara 14 hari, denda RM10,000

    SEORANG pembantu penguat kuasa dihukum penjara 14 hari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen, di Seremban, atas kesalahan meminta dan menerima wang rasuah daripada peniaga kedai rokok elektronik.

    Memetik laporan Berita Harian, Hakim Rushan Lutfi Mohamed menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Norhisham Saharuddin, 49, mengaku bersalah atas kesalahan yang didakwa dilakukan antara 2020 hingga 2022 itu.

    Mahkamah turut menetapkan hukuman penjara empat bulan sekiranya tertuduh gagal membayar denda berkenaan.

    Berdasarkan pertuduhan, tertuduh yang juga pembantu penguat kuasa di Majlis Daerah Rembau didakwa meminta dan menerima rasuah RM1,050 daripada peniaga kedai vape sekitar Rembau.

    Perbuatan itu sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang iaitu mengeluarkan saman kepada pemilik kedai atas kesalahan berniaga tanpa lesen.

    Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali.

  • Mayat lelaki dalam bonet kereta: Tujuh warga asing direman

    Mayat lelaki dalam bonet kereta: Tujuh warga asing direman

    TUJUH warga asing direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan penemuan mayat seorang lelaki tempatan dalam bonet kereta di Jalan Tugu di sini, semalam.

    Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Noor Dellhan Yahaya berkata permohonan reman sehingga 5 Sept itu dibenarkan oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pagi ini.

    “Kebenaran reman ini akan membantu polis dalam menyiasat motif pembunuhan dan setakat hari ini tiada tangkapan baharu dilakukan,” katanya kepada Bernama hari ini.

    Dalam pada itu, Noor Dellhan berkata proses bedah siasat mayat mangsa belum selesai dan punca kematian belum dapat dikenal pasti.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

    Semalam polis menahan lima lelaki dan dua wanita, kesemuanya warga asing berusia 20 hingga 26 tahun bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat lelaki berusia 41 tahun itu.

    Media melaporkan mayat lelaki dipercayai pemandu e-hailing ditemukan dengan kaki diikat menggunakan kain serta kesan cedera pada muka dan telinga dalam bonet Perodua Bezza yang ditinggalkan di Jalan Tugu kira-kira 6.30 pagi. – BERNAMA

  • Presiden UMNO disiasat mengikut Akta Hasutan

    Presiden UMNO disiasat mengikut Akta Hasutan

    POLIS menjalankan siasatan terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung ucapannya ketika Taklimat Khas Presiden UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

    Ketua Komunikasi Korporat Bukit Aman, A. Skandaguru berkata, ia berikutan 12 laporan diterima ke atas Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berhubung ucapannya.

    Menurut beliau, kes dikendalikan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) D5, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman.

    “Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam satu kenyataan.

    Semalam, Pengarah Biro Mobilisasi Amanah, Mohd Sany Hamzan membuat laporan polis terhadap Zahid di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

    Sany berkata, Zahid secara terbuka dengan niat yang jelas mencaci, menghina dan memfitnah Badan Kehakiman Negara, Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Yang di-Pertuan Agong berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Najib Razak, minggu lalu.

    Selain itu, wanita Pakatan Harapan (PH) turut membuat laporan sama pukul 3 petang hari ini.

    Sabtu lalu, UMNO menganjurkan taklimat khas presiden antara lain menyentuh kesiapsiagaan parti itu menghadapi pilihan raya umum ke-15 serta solidariti ke atas Datuk Seri Najib Razak.

    Dalam ucapannya, Ahmad Zahid secara terbuka dengan niat yang jelas mencaci, menghina dan memfitnah Badan Kehakiman Negara, Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Yang di-Pertuan Agong berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Datuk Seri Najib Razak, minggu lalu.

    Antara inti pati taklimat adalah menunjukkan solidariti ahli UMNO kepada Najib yang dihukum penjara selama 12 tahun selepas didapati bersalah dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.

  • Lelaki didakwa guna kedudukan lantik anak saudara dapatkan tender kantin

    Lelaki didakwa guna kedudukan lantik anak saudara dapatkan tender kantin

    SEORANG penolong pegawai pendidikan daerah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan dengan melantik syarikat milik anak saudaranya dalam tender kantin sebuah sekolah bernilai RM50,400.

    Tertuduh Mahalay @ Mahali Jahaya, 48, dituduh melakukan kesalahan itu melibatkan tender kantin sekolah SK Bukit Garam II, Kinabatangan dengan mengambil tindakan dalam proses pemilihan penawaran kerja untuk syarikat Damai Enterprise, yang pemiliknya adalah anak saudaranya Amiruddin Baro, 37, bagi tempoh tiga tahun bermula 1 Dis 2015 hingga 30 Nov 2018.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Pendidikan Daerah Kinabatangan pada 11 Nov 2015.

    Mahalay didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama iaitu penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Hakim Abu Bakar Manat membenarkan ikat jamin RM8,000 dengan RM4,000 didepositkan oleh seorang penjamin tempatan, dan menetapkan 7 Okt depan untuk sebutan semula.

    Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM Rekhraj Jaswant Singh.- BERNAMA

  • Kerjasama UMNO-Pas mesti di seluruh negara, turut libatkan Bersatu – Tuan Ibrahim

    Kerjasama UMNO-Pas mesti di seluruh negara, turut libatkan Bersatu – Tuan Ibrahim

    DATUK Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tawaran UMNO untuk bekerjasama dengan Pas mesti diperluas ke seluruh negara dan bukannya di negeri-negeri tertentu.

    Pada masa sama Timbalan Presiden Pas itu menegaskan, kerjasama itu juga perlu melibatkan Bersatu untuk menyatukan semua parti utama Melayu-Islam.

    “Saya beritahu, kalau nak pakat, pakat satu negara. You tak boleh pakat tempat you suka, tempat you tak suka you lawan, mana boleh. Di Kelantan, Terengganu nak lawan Pas tapi di Selangor nak kawan, mana boleh. Kalau nak kawan, kawan betul-betul. Kalau nak lawan, lawan betul-betul,” katanya dalam wawancara bersama saluran Youtube FengRenGuan.

    Pada Mei lalu, Pengerusi BN Selangor  Tan Sri Noh Omar berkata UMNO  dan Pas akan mengelak daripada bertanding di kerusi yang sama di negeri itu, dengan harapan untuk menumbangkan Pakatan Harapan.

    Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang itu berkata, dengan strategi itu, UMNO dan Pas mensasarkan untuk memenangi sekurang-kurangnya 30 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor.

    Tuan Ibrahim seterusnya mengingatkan, parti itu tidak akan memberi autonomi kepada Pas negeri untuk memutuskan kerjasama dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Beliau berkata,  parti itu menggunakan pendekatan yang sama di kubu kuatnya di Pantai Timur dan Pantai Barat.

    “Hingga setakat ini kita tak ada autonomi. Bermakna bahawa polisi kita adalah sama, (di) Pantai Timur atau Pantai Barat, sama. Tak ada autonomi untuk setiap negeri, tetapi fleksibiliti untuk memilih rakan partner dalam politik, itu kita ambil kira kekuatan yang ada. Sebagai contoh, kalau kita nak menang di Selangor, kalau Pas dengan UMNO tak berpakat saya rasa akan kekal pada PH. Jadi UMNO pun tahu situasi itu dan UMNO nak pakat dengan Pas di Selangor,” katanya.

  • Jeritan selamatkan wanita warga asing yang dikurung 3 hari dalam sebuah rumah

    Jeritan selamatkan wanita warga asing yang dikurung 3 hari dalam sebuah rumah

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    JERITAN seorang wanita warga asing yang meminta tolong semasa dikurung dalam sebuah rumah selama tiga hari, berjaya menyelamatkannya apabila seorang jiran menyedarinya lalu menghubungi polis.

    Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitendan Mohd. Sohaimi Ishak berkata, kejadian di Taman Pasir Putih, Pasir Gudang itu berlaku terhadap mangsa yang dikatakan dijanjikan pekerjaan sebagai pembantu rumah.

    “Mangsa yang berusia 37 tahun itu dikurung seorang lelaki dan seorang wanita warga tempatan dalam rumah berkenaan.

    “Seorang wanita yang merupakan jiran suspek menyedari kejadian tersebut pada pukul 11.45 pagi selepas terdengar mangsa menjerit meminta tolong sebelum memaklumkan perkara itu kepada anggota polis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, bertindak atas maklumat pada pukul 1.30 petang sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam telah membuat pemeriksaan di rumah berkenaan.

    “Pihak polis menyelamatkan mangsa yang dikurung dalam rumah dalam keadaan pintu dikunci dengan mangga dari luar,” katanya.

    Susulan itu pada pukul 3.30 petang semalam hingga 9.42 malam tadi, pihaknya menahan seorang wanita dan seorang lelaki tempatan berusia 36 dan 38 tahun di dua lokasi berasingan di Pasir Gudang.

    Menerusi serbuan itu katanya, enam telefon bimbit pelbagai jenama dirampas dan semakan mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai sebrang rekod jenayah lampau.

    Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa ditawarkan bekerja sebagai pembantu rumah tetapi telah dikurung sementara mendapatkan pekerjaan berkenaan.

    “Jiran suspek berkenaan yang berusia 34 tahun pada masa sama turut membuat laporan polis pada pukul 3.45 petang semalam,” katanya.

    Mohd. Sohaimi berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007, jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan juga denda.

    Beliau menambah, kedua-dua suspek direman selama lima hari bermula Selasa hingga 3 September ini mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ).

  • Baru empat tahun, Afiyah disahkan hidap penyakit sukar ditemui

    Baru empat tahun, Afiyah disahkan hidap penyakit sukar ditemui

    BERAT mata memandang berat lagi bahu memikul. Ibu bapa mana yang tidak sedih apabila anak yang dikandungnya selama 9 bulan disahkan menghidap penyakit yang sukar ditemui dalam kalangan kanak-kanak.

    Portal satuberita melaporkan, Afiyah Mikayla Mohd Azri, 4, disahkan menghidap penyakit Juvenile Myelomonocytic Leukemia (JMML) pada 16 Ogos 2022.

    Leukemia myelomonocytic Juvenile (JMML) adalah sejenis jenis kanser darah yang agresif, menjejaskan bayi dan kanak-kanak; menyumbang kurang daripada 1% leukemia kanak-kanak.

    Umur purata kanak-kanak pada diagnosis adalah 2 tahun, dan adalah jarang berlaku untuk melihat kes-kes pada kanak-kanak berumur lebih dari enam tahun.

    Tanda-tanda dan gejala JMML berkaitan dengan pengumpulan sel-sel yang tidak normal di dalam sumsum tulang dan organ seperti kulit pucat, jangkitan pemyakit, pendarahan tidak normal, perut bengkak (splenomegaly), demam, kurang selera makan, batuk dan pembangunan terbantut.

    Memetik laporan Rotikaya, Afiyah merupakan anak kepada Marini (37), dan Mohd Azri (37) ini hanya boleh menerima rawatan untuk JMML dengan Transplantasi Sumsum Tulang (BMT) sahaja.

    Proses chemotherapy hanya akan dijalankan selepas penderma sumsum tulang yang sepadan ditemui, prosedur BMT dilakukan bertujuan untuk mengganti sumsum tulang yang rosak dengan sumsum tulang yang baru.

    Bagaimanapun Afiyah bakal menerima rawatan awal dengan memasukkan sel darah merah yang baru ke dalam badannya bagi menyokong sistem badannya.

    Tiada daya upaya bagi Marini dan Azri apabila melihat anak kesayangan mereka menderita sebegini selain memohon doa kepadaNya dan doa pembaca untuk sama-sama berdoa kesembuhan anak perempuan mereka.

    Bagi pembaca yang mahu menghulurkan bantuan boleh salurkan di akaun CIMB Pertubuhan Amal Kebajikan Rotikaya: 8604675654.