SEBANYAK 21,000 liter minyak diesel bersubsidi bernilai RM45,150 yang cuba diseleweng satu sindiket dirampas dalam serbuan di sebuah bengkel membaiki kenderaan di Jalan Paboi, Simpang Ampat, Pulau Pinang malam tadi.

Rampasan itu susulan satu serbuan dibuat anggota Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) Pulau Pinang kira-kira pukul 11.30 malam tadi.

Menurut Pengarahnya, S.Jegan, dalam operasi hasil maklumat awam dan risikan yang dijalankan sejak seminggu lepas itu, pihaknya turut menahan empat lelaki berusia antara 30 hingga 50-an.

Jelas beliau, ketika serbuan empat suspek berkenaan sedang memindahkan minyak diesel bersubsidi dari sebuah lori berkapasiti 10 tan yang telah diubah suai di bahagian belakang dengan tangki-tangki aluminium ke sebuah lori tangki lain.

“Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat kira-kira 5,000 liter minyak diesel di dalam lori itu manakala 10,000 liter yang telah dipindahkan ke dalam lori tangki,” katanya dalam sidang akhbar di Stor PPDNHEP Pulau Pinang di Bukit Minyak hari ini.

Jelas beliau, pemeriksaan lanjut turut menemukan sebuah lagi lori yang juga telah diubah suai dan dianggarkan mengandungi sebanyak 6,000 minyak diesel bersubsidi di dalam tangki di bahagian belakang lori itu.

Katanya, bengkel membaiki kenderaan itu tidak dilesenkan untuk menyimpan barang kawalan iaitu minyak diesel dan dipercayai sindiket tersebut menjadikan premis berkenaan sebagai lokasi untuk kegiatan pemindahan bahan api itu bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Ujarnya, sindiket itu menggunakan dua buah lori yang telah diubah suai tersebut untuk membeli diesel bersubsidi di stesen-stesen minyak di seluruh Pulau Pinang sebelum memindahknya ke lori tangki dan menjual kepada pihak industri dengan harga lebih mahal.

“Minyak diesel itu dibeli di stesen-stesen minyak pada waktu lewat malam hingga awal pagi bagi mengelak dikesan pihak berkuasa dan mereka dipercayai mampu mengaut keuntungan puluhan ribuan ringgit setiap bulan,” katanya.

Tambah Jegan, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan sindiket itu turut menyeludup bahan api tersebut ke negeri jiran yang dijual lebih mahal.

“Dalam serbuan ini juga kita turut menyita dua buah lori dan sebuah lori tangki yang kesemuanya bernilai RM70,000 serta giat mengesan dalang rangkaian sindiket ini untuk siasatan lanjut,” katanya.

Tambah beliau, kesemua empat suspek termasuk dua pemandu lori itu ditahan untuk siasatan lanjut dan kes tersebut disiasat menurut Akta Kawalan Bekalan 1961.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here