Category: Mahkamah

  • Pemandu lori didenda RM6,000 pindah 20 ekor lembu tanpa kebenaran

    Pemandu lori didenda RM6,000 pindah 20 ekor lembu tanpa kebenaran

    SEORANG pemandu lori didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret Selayang hari ini kerana memindahkan 20 ekor lembu tanpa kebenaran Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor, Ogos lepas.

    Majistret Nur Hafizah Rajuni menjatuhkan hukuman itu selepas Rosmadie Ramli, 32, selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku bersalah memindahkan 18 lembu hidup, seekor lembu yang lemah dan tidak bermaya serta seekor yang telah mati tanpa kebenaran bertulis dari Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor atau mana-mana pihak berkuasa veterinar.

    Perbuatan itu, yang melanggar Perintah 4(1)(a), Perintah Kawalan dan Pembasmian Contagious Abortion serta Penyakit Kuku dan Mulut (Negeri Selangor) 2001, dilakukan di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) bersebelahan Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Gombak, pada 1.10 pagi, 7 Ogos lepas.

    Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 36(1)(c) Akta Binatang 1953 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 36(7) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM15,000.

    Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu dipenjara 10 bulan jika gagal membayar denda. Dia membayar denda itu.

    Pegawai Pendakwa Mohd Sharif Sabran daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor memohon hukuman setimpal kerana lembu berkenaan mempunyai penyakit kuku dan mulut (FMD) yang boleh merebak kepada ternakan lain manakala Rosmadie yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan perlu menanggung isteri serta dua anak.

  • Dua bekas pegawai kanan Pos Malaysia didakwa terima rasuah

    Dua bekas pegawai kanan Pos Malaysia didakwa terima rasuah

    DUA bekas pegawai kanan Pos Malaysia Bhd masing-masing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Shah Alam hari ini atas lima pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM26,000 bagi membantu mempercepatkan bayaran kepada sebuah syarikat, dua tahun lepas.

    Bekas Ketua Pengurusan Kontrak dan Armada, Abdul Hadi Aziz Wong dan bekas Penolong Pengurus Operasi, Ruslin Sapari membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

    Abdul Hadi, 48, dan Ruslin, 54, yang bertugas di Bahagian Pengurusan Kenderaan Pos Malaysia, masing-masing didakwa dengan tiga dan dua pertuduhan secara rasuah menerima suapan untuk diri mereka iaitu wang berjumlah RM16,000 serta RM10,000 melalui pindahan dalam talian ke akaun bank milik kedua-dua lelaki itu daripada syarikat OnxOn Logistik Sdn Bhd sebagai upah melakukan perbuatan tersebut.

    Suapan itu bagi membantu mempercepatkan bayaran Pos Malaysia kepada syarikat OnxOn Logistik bagi kerja-kerja ‘Outsourcing Linehaul’ dan ‘Shuttle Services’ di Sabah dan Sarawak.

    Mereka didakwa melakukan perbuatan tersebut di dua cawangan bank iaitu di USJ Subang Jaya dan Ara Damansara dekat Shah Alam antara 11 Jun dan 23 Julai 2020.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum dibawah Seksyen 24 akta sama.

    Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Irwan Shah Abdul Samat mencadangkan jaminan RM8,000 kepada Abdul Hadi dan RM5,000 bagi Ruslan bersama seorang penjamin selain syarat tambahan kedua-dua tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat sebulan sekali.

    Bagaimanapun, peguam Irzan Iswatt Mohd Noor mewakili Abdul Hadi dan peguam Najiah Zaimah Aris mewakili Ruslin masing-masing memohon jaminan RM5,000 dengan alasan anak-anak guam mereka adalah penanggung utama keluarga selain memberi kerjasama baik dengan pihak SPRM sepanjang siasatan kes-kes tersebut.

    Rozilah menetapkan jaminan RM7,000 kepada Abdul Hadi dan Ruslan sebanyak RM5,000 serta seorang penjamin selain membenarkan syarat tambahan yang diminta pihak pendakwaan.

    Mahkamah kemudian menetapkan13 Januari tahun depan untuk sebutan semula kes. – Bernama

  • Bekas ketua balai polis didenda RM6,500 selepas mengaku terima suapan

    Bekas ketua balai polis didenda RM6,500 selepas mengaku terima suapan

    BEKAS ketua balai polis didenda RM6,500 oleh Mahkamah Sesyen Melaka hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan menerima suapan dari pusat hiburan yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

    Hakim Elesabet Paya Wan menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Abdul Halim Alias, 59, selepas membuat pengakuan itu setelah pertuduhan dibacakan terhadapnya.

    Elesabet turut memerintah tertuduh dipenjara lima bulan jika gagal membayar denda berkenaan, lapor Sinar Harian.

    Berdasarkan pertuduhan, tertuduh sebagai seorang penjawat awam, iaitu anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) berpangkat sub-inspektor, telah mendapatkan untuknya sesuatu benda berharga iaitu wang tunai RM6,000 tanpa balasan daripada Hang Kah Joon, yang diketahui mempunyai hubungan dengan kerja rasmi dengannya.

    Perbuatan itu dilakukan pada pukul 5 hingga 6.15 petang di pejabatnya di dalam Balai Polis Tengkera, pada 11 Ogos 2020.

    Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama, sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

    Tertuduh diwakili peguam Azrul Zulkifli Stork memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda paling minimum tanpa penjara kerana tertuduh begitu menyesali perbuatannya yang turut dipulau keluarga selain akan bersara tidak lama lagi.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Haresh Prakash Somiah bagaimanapun meminta mahkamah mengambil kira kepentingan awam.

    Mahkamah juga bersetuju pertuduhan lain digugurkan atau diambil kira sebagai Take Into Consideration (TIC) selepas dipohon pihak pendakwaan susulan pengakuan tertuduh.

  • Najib gagal ketepikan injunksi Mareva bagi kes saman SRC

    Najib gagal ketepikan injunksi Mareva bagi kes saman SRC

    DATUK Seri Najib Tun Razak gagal mengetepikan injunksi Mareva yang diperoleh SRC International Sdn Bhd dan anak syarikatnya untuk menghalang beliau daripada memindahkan atau melupuskan mana-mana asetnya berjumlah RM42 juta.

    Keputusan itu dibuat panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Yaacob Md Sam, Datuk P. Ravinthran dan Datuk Seri Mariana Yahya yang menolak rayuan Najib hari ini serta memerintahkan bekas perdana menteri itu membayar kos RM15,000.

    Yaacob, yang menyampaikan keputusan itu berkata Mahkamah Rayuan tidak perlu campur tangan kerana Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi tidak silap dalam memberikan injunksi Mareva tersebut.

    Beliau berkata Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohd Arief Emran Arifin telah mempertimbangkan undang-undang dan menganalisis bukti yang terdapat dalam afidavit syarikat sebelum membenarkan injunksi Mareva itu.

    Hakim itu kemudiannya mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi yang memberikan injunksi Mareva kepada SRC International dan Gandingan Mentari Sdn Bhd untuk menghalang Najib daripada memindahkan atau melupuskan mana-mana asetnya berjumlah RM42 juta.

    Injunksi Mareva merupakan perintah sementara yang menghalang defendan daripada melupuskan aset sehingga keputusan dicapai dalam kes antara plaintif dan defendan.

    Pada 24 Mac lepas, mahkamah memberikan injunksi Mareva kepada syarikat-syarikat itu dan mengarahkan Najib supaya tidak memindahkan, melupuskan, berurusan atau mengurangkan nilai mana-mana aset mereka di dalam dan di luar Malaysia bernilai sehingga RM42 juta, sementara menunggu penyelesaian tuntutan mahkamah mereka yang telah mereka failkan terhadapnya.

    Bekas Ahli Parlimen Pekan itu hanya layak mengeluarkan RM100,000 sebulan untuk perbelanjaan sara hidup dan bayaran yuran guaman.

    Ini mendorong Najib memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.

    SRC International dan Gandingan Mentari memfailkan saman terhadap Najib tahun lepas, mendakwa beliau telah melakukan pecah amanah, menyalahgunakan kuasanya, mendapat manfaat secara peribadi daripada dana SRC International dan menyalahgunakan dana tersebut. Saman itu masih belum selesai di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

    Najib, 69, kini menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas Mahkamah Persekutuan pada Ogos lepas mengekalkan sabitan dan hukuman penjara serta denda RM210 juta kerana menyalahgunakan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

    Dalam prosiding yang dijalankan secara dalam talian hari ini, Najib diwakili peguam Harvinderjit Singh, Muhammad Farhan Muhammad Shafee dan Mohammad Arfan Wan Othman manakala peguam Nagarajah Muttiah dan Clament Tay mewakili syarikat-syarikat tersebut. – BERNAMA

  • Peniaga mengaku tidak bersalah 22 tuduhan menipu

    Peniaga mengaku tidak bersalah 22 tuduhan menipu

    SEORANG peniaga dihadapkan di dua Mahkamah Majistret di Kuantan hari ini terhadap 22 tuduhan penipuan penawaran lot tanah dan tender kenderaan jabatan serta pinjaman wang yang melibatkan kerugian RM211,800, sejak Februari tahun lepas.

    Abdul Kadir Salleh, 64, yang beralamat di Panching Selatan, Kuantan, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan tersebut.

    Di hadapan Majistret Fatinah Abu Bakar, tertuduh didakwa terhadap 13 pertuduhan menipu tiga lelaki di beberapa lokasi sekitar Jaya Gading di Kuantan, antara 8 Februari 2021 hingga 30 Disember 2021, yang menyebabkan mangsa menyerahkan wang tunai antara RM3,000 hingga RM15,000 kepadanya.

    Wang itu kononnya bagi mendapatkan tawaran lot tanah Rancangan Tanah Kelompok (RTK) Chengal Lempong, lot tanah di tepi Jalan Pintasan Kuantan di Kampung Pandan, lot tanah di Sungai Lembing, bayaran proses kenderaan lelong jabatan dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang serta untuk pinjaman wang yang menggunakan nama seorang kerabat diraja Pahang.

    Abdul Kadir didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

    Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan RM76,000 yang ditawarkan Timbalan Pendakwa Raya Anuarul Hakim Abdul Muen bagi semua pertuduhan dikurangkan dengan alasan perniagaannya ‘tidak bagus kebelakangan ini’.

    “Anggaran pendapatan saya sekarang sekitar RM4,000 sebulan. Saya menanggung ibu berusia 80 tahun, isteri dan enam anak. Seorang anak di universiti dan semua belanjanya ditanggung sendiri,” katanya yang turut memaklumkan dirinya menghidap penyakit darah tinggi.

    Fatinah membenarkan Abdul Kadir dibebaskan dengan jaminan RM26,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 6 Januari depan untuk sebutan semula kes bagi tertuduh melantik peguam.

    Sementara itu, di hadapan Majistret Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat, Abdul Kadir didakwa atas sembilan pertuduhan menipu empat mangsa antara 14 Mei 2021 hingga 1 Jun lepas bagi tujuan sama sehingga mereka menyerahkan wang tunai antara RM500 hingga RM5,000 kepadanya.

    Raja Norshuzianna Shakila membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM26,000 bagi semua pertuduhan dan menetapkan sebutan semula kes pada 6 Januari depan.

  • Kes dana 1MDB: Mahkamah dengar hujah pendakwaan bagi penerimaan rakaman audio sebagai bukti

    Kes dana 1MDB: Mahkamah dengar hujah pendakwaan bagi penerimaan rakaman audio sebagai bukti

    PERBICARAAN kes Datuk Seri Najib Tun Razak berkaitan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Tinggi hari ini mendengar hujah pihak pendakwaan berhubung permohonan mengemukakan rakaman audio sebagai bukti, sebelum ditangguhkan kerana peguam tidak sihat.

    Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah menangguhkan perbicaraan itu setelah membenarkan permohonan pihak pembelaan yang memaklumkan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, peguam utama bekas perdana menteri itu tidak sihat.

    Peguam Tania Scivetti memberitahu mahkamah bahawa Muhammad Shafee tidak dapat menghadiri perbicaraan hari ini dan sijil sakit beliau akan dikemukakan kemudian.

    Prosiding hari ini bermula dengan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Seri Gopal Sri Ram mengemukakan hujahnya mengapa pihak pendakwaan perlu dibenarkan memainkan rakaman audio antara Najib dan kerabat diraja Arab Saudi sebagai bukti dalam perbicaraan.

    Sri Ram berhujah bahawa adalah sukar bagi pihak pendakwaan untuk membawa individu yang terlibat dengan rasuah ke muka pengadilan jika mereka perlu mematuhi peraturan yang mengawal Akta Keterangan 1950 (Akta 1950).

    Beliau berkata keperluan pihak pendakwaan untuk membuktikan setiap dokumen mengikut kehendak Akta 1950 boleh menyebabkan ramai penjenayah rasuah bebas.

    Disebabkan itulah kerajaan memperkenalkan Seksyen 41(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (Akta SPRM) 2009 dengan cara pindaan bagi mengelak perkara ini, katanya.

    Seksyen 41(A) Akta SPRM menyatakan bahawa sebarang dokumen atau salinan mana-mana dokumen yang diperoleh SPRM di bawah akta ini boleh diterima sebagai keterangan dalam prosiding di bawah akta ini, walaupun yang bertentangan dalam sebarang undang-undang bertulis lain.

    “Rakaman dan transkrip itu boleh diterima di bawah Seksyen 41A Akta SPRM kerana seksyen itu tidak termasuk kaedah atau cara pembuktian yang ditetapkan oleh peruntukan di bawah Bab 5 Akta 1950,” kata Sri Ram.

    Beliau seterusnya berhujah bahawa definisi dalam Akta 1950 tidak tersedia untuk tujuan semasa kerana definisi undang-undang biasa bagi sesuatu dokumen adalah cukup luas untuk menempatkan rakaman dan transkrip di dalamnya.

    “Pada masa kini, urus niaga berjuta-juta boleh dilakukan secara elektronik dalam sekelip mata. Bab 5 Akta 1950 ialah undang-undang am yang mengawal penerimaan bukti dokumentari manakala Seksyen 41(A) Akta SPRM ialah undang-undang khas.

    “Rakaman dan transkrip itu boleh diterima mengikut Seksyen 41(A) Akta SPRM tanpa mengira sebarang persoalan berkaitan,” katanya.

    Najib, 69, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram.

    Perbicaraan bersambung esok.

  • Siti Bainun dimasukkan ke hospital akibat Pneumonia, hempedu

    Siti Bainun dimasukkan ke hospital akibat Pneumonia, hempedu

    PERBICARAAN hari pertama bela diri, Siti Bainun Ahd Razali yang didakwa atas pertuduhan mengabai dan menganiaya seorang kanak-kanak perempuan sindrom Down berusia 13 tahun dikenali Bella tahun lalu, ditangguhkan selepas Pengasas Rumah Bonda itu dimasukkan ke hospital akibat penyakit Pneumonia dan pembedahan hempedu.

    Hakim Izralizam Sanusi memutuskan demikian selepas peguam, Nur A’minahtul Mardiah Md Nor yang mewakili Siti Bainun, memohon untuk menangguhkan prosiding susulan anak guamnya dimasukkan ke hospital sejak 28 November lalu.

    Semasa prosiding, Nur A’minahtul Mardiah berkata, Siti Bainun akan menyediakan pernyataan namun ia tidak dapat dilakukan kerana sakit.

    “Dia dijadualkan untuk menjalani dua pembedahan iaitu Pneumonia pada 3 Disember manakala hempedu, lima hari kemudian.

    “Bagaimanapun, pembedahan Pneumonia tidak dapat dilaksanakan kerana mendapati saluran pernafasannya tersumbat,” katanya lapor Sinar Harian.

  • Buruh didakwa tetak lelaki guna parang

    Buruh didakwa tetak lelaki guna parang

    SEORANG buruh didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini atas pertuduhan menetak seorang lelaki menggunakan parang sehingga menyebabkan mangsa cedera parah termasuk hampir putus ibu jari tangan kiri.

    Tertuduh, Mohd Amran Razali, 33, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas mangsa berusia 38 tahun dengan menggunakan sebilah parang, lapor Harian Metro.

    Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Kampung Gong Cempedak di daerah Marang, 7.50 malam pada 23 November lalu.

    Bagi kesalahan itu, tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hanis Nabihah Hizamul-Din, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan perlu melapor diri ke balai polis berhampiran setiap bulan selain tidak dibenarkan menganggu mangsa dan saksi sepanjang prosiding berlangsung.

    Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 8 Januari tahun depan.

    Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki hampir putus jari dan cedera parah pada lutut akibat ditetak di hadapan sebuah rumah di Kampung Gong Cempedak, Marang.

    Kejadian dipercayai berpunca akibat rasa tidak puas hati berkaitan pembayaran ganti rugi kerosakan kereta.

  • Remaja didakwa rakam gambar pelanggan dalam tandas

    Remaja didakwa rakam gambar pelanggan dalam tandas

    SEORANG pemuda yang juga pekerja restoran asam pedas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Melaka hari ini atas tuduhan merakam gambar pelanggan premis itu sedang membuang air kecil mengggunakan telefon bimbit.

    Muhammad Azizi Hazim Kamarudin, 18, mengaku bersalah sejurus selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mazana Sinin.

    Bagaimanapum mahkamah belum menjatuhi hukuman ke atas lelaki terbabit kerana masih menunggu laporan akhlak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan menetapkan 11 Januari tahun depan untuk sebutan semula kes.

    Berdasarkan pertuduhan, remaja lelaki itu didakwa telah mengaibkan kehormatan seorang wanita dengan cara merakam gambar mangsa ketika sedang buang air kecil di sebuah restoran asam pedas tanpa pengetahuannya menggunakan telefon bimbit yang mengganggu kesantunan mangsa.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di restoran terbabit di Jalan PM3, Plaza Mahkota, di Melaka, pukul 3.35 petang,pada 14 November lalu, lapor Sinar Harian.

    Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

    Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, J Banusha memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran terhadap tertuduh kerana perbuatannya telah mengaibkan mangsa dan mencadangkan jaminan RM8,000.

    Tertuduh yang diwakili peguam Muhammad Izzuddin Ab. Malek memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan dengan alasan ini merupakan kesalahan pertama yang dilakukan anak guamnya selain pemuda itu telah insaf atas perbuatan tersebut.

    Ujar Muhammad Izzzuddin, tertuduh hanya memperolehi pendapatan sebanyak RM350 seminggu dan perlu menanggung kedua ibu bapa.

    Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 Januari tahun depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan akhlak JKM.

  • Kes saman selesai, DAP mohon maaf kepada Rahim Thamby Chik

    Kes saman selesai, DAP mohon maaf kepada Rahim Thamby Chik

    KES saman fitnah Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik terhadap Khoo Poay Tiong dan DAP selesai, apabila Penolong Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP dan parti itu pada Isnin memohon maaf kepada bekas Ketua Menteri Melaka itu berhubung penerbitan beberapa artikel mengaitkannya dengan pelbagai skandal.

    Poay Tiong yang turut mewakili DAP membacakan kenyataan permohonan maaf di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Dr John Lee Kien How @ Mohammad Johan Lee berkata artikel-artikel tersebut adalah tidak berasas serta tidak benar dan adalah fitnah terhadap Abdul Rahim dan keluarganya.

    “Kami dengan ini memohon maaf dan menyatakan kekesalan kami atas sebarang kesusahan dan penghinaan kepada Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan keluarganya akibat daripada penerbitan artikel-artikel tersebut.

    “Kami telah memadamkan artikel-artikel itu dan berjanji tidak akan menerbitkan sebarang artikel yang mengandungi alegasi-alegasi ini (dakwaan) atau serupa terhadap Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik,” katanya.

    Mahkamah kemudian merekodkan penghakiman persetujuan itu dengan kos RM180,000 dibayar kepada Abdul Rahim.

    Prosiding perbicaraan kes saman itu sepatutnya berlangsung Isnin hingga Khamis, namun pihak-pihak bersetuju untuk menyelesaikannya melalui penghakiman persetujuan.

    Peguam, Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin mewakili Abdul Rahim manakala Ramkarpal Singh mewakili Poay Tiong dan DAP.

    Selain Poay Tiong, Abdul Rahim turut menamakan Pengerusi Kebangsaan DAP, Tan Kok Wai, Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng ketika itu, sebagai defendan kedua hingga keempat yang disaman sebagai pemegang jawatan dalam parti.

    Pada 17 September 2020, Abdul Rahim mendakwa pada 16 Disember 2018, Poay Tiong yang juga Ahli Parlimen Kota Melaka ketika itu, telah menulis, menerbit atau menyebabkan untuk diterbitkan artikel-artikel mengandungi perkataan fitnah yang mengaitkan beliau di laman Facebook milik defendan pertama (Poay Tiong), laman sesawang DAP www.dapmalaysia.org dan portal berita www.thestar.com.my.