Category: Mahkamah

  • Muhyiddin akan didakwa lagi esok di Mahkamah Shah Alam

    Muhyiddin akan didakwa lagi esok di Mahkamah Shah Alam

    BEKAS Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam esok berhubung wang dalam akaun parti Bersatu.

    Berdasarkan semakan sistem e-kehakiman, kes itu akan didengar di Mahkamah Sesyen 1, di hadapan Hakim Rozilah Salleh pada 9 pagi.

     Sementara itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam jemputan media memaklumkan pihaknya telah mendapat izin mendakwa seorang Ahli Parlimen esok di mahkamah sama.

    Ahli Parlimen  Pagoh itu dijangka menghadapi satu pertuduhan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

    Muhyiddin, 75, dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas enam pertuduhan berkaitan wang dalam akaun Bersatu pada 10 Mac lepas.

    Beliau mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan sebagai Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Bersatu telah menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan berjumlah RM232.5 juta dan dua pertuduhan sebagai Presiden Bersatu telah menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM195 juta. – BERNAMA

  • Pengarah syarikat dituduh gubah wang haram RM1.2 juta

    Pengarah syarikat dituduh gubah wang haram RM1.2 juta

    SEORANG pengarah syarikat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang hari ini atas sembilan pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah keseluruhan RM1.2 juta.

    Bagaimanapun, tertuduh, Choo Peng Hoong, 41, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.

    Terdahulu, sesi prosiding ke atasnya terpaksa ditangguhkan seketika selepas dia mendakwa tidak memahami Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

    Mengikut semua pertuduhan, tertuduh yang ketika kejadian memegang jawatan pengarah syarikat Choo Marketing Sdn. Bhd. didakwa memindahkan sejumlah wang dipercayai hasil aktiviti haram berjumlah RM1.2 juta daripada akaun bank syarikat ke sembilan akaun lain.

    Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di cawangan Maybank Berhad di Taman Inderawasih, Jalan Chain Ferry di Butterorth, antara 11 Mac hingga 24 Mac 2020.

    Susulan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta yang sama.

    Akta itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Noor Zalizan Lazarous memohon tertuduh diikat jamin sebanyak RM100,000 bagi semua pertuduhan dengan dua penjamin.

    Bagaimanapun, peguambela, Y. Anbananthan memohon jaminan dikurangkan kerana tertuduh kini hanya bekerja sebagai jurujual dengan pendapatan RM3,500 sebulan selain perlu menanggung ibunya berusia 72 tahun yang menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu.

    Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM54,000 dengan dua penjamin dengan syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan selain pasport diserahkan kepada mahkamah.

    Mahkamah turut menetapkan 28 April depan bagi sebutan semula kes dan serahan dokumen.

  • Bekas pengurus nafi pecah amanah lebih RM40,000

    Bekas pengurus nafi pecah amanah lebih RM40,000

    SEORANG bekas pengurus sebuah syarikat didakwa di Mahkamah Majistret Seremban, hari ini, atas pertuduhan pecah amanah wang syarikat itu berjumlah lebih RM40,000 dari Jun hingga Julai tahun lalu.

    Tertuduh, Siti Khadyja Razali, 28, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mohd. Firdaus Saleh.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai pengurus sebuah syarikat yang telah diamanahkan suatu harta iaitu wang hasil jualan syarikat berjumlah RM41,143.50 telah melakukan pecah amanah jenayah.

    Kesalahan dilakukan di pejabat syarikat terbabit di Aeon Nilai, dekat Nilai, dari 17 Jun hingga 27 Julai tahun lalu, lapor Harian Metro.

    Dengan itu, tertuduh melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan.

    Hukuman hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh tidak lebih 10 tahun dan sebat dan boleh juga dikenakan denda.

    Pegawai Pendakwa Polis Asisten Superintendan L. Rathna mencadangkan mahkamah supaya menetapkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin.

    Peguam Asiah Abd. Jalil yang mewakili tertuduh memohon mahkamah menetapkan wang jaminan paling minimum memandangkan tertuduh sudah tidak bekerja sejak kejadian itu, malah memaklumkan tertuduh memberi kerjasama kepada polis sepanjang ditahan.

    Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM2,500 dengan seorang penjamin, manakala sebutan semula kes pada 24 Mac depan.

    Sementara itu, di luar bilik mahkamah, ahli keluarga tidak berpuas hati dengan pengamal media yang membuat liputan kes berkenaan dan menghalang jurufoto mengambil gambar tertuduh.

  • Jurulatih kecergasan dituduh tunjuk kemaluan, cabul gadis

    Jurulatih kecergasan dituduh tunjuk kemaluan, cabul gadis

    SEORANG jurulatih kecergasan sebuah gimnasium didakwa di Mahkamah Majistret Georgetown, Pulau Pinang hari ini atas tuduhan mencabul kehormatan dan menunjukkan kemaluan kepada seorang gadis pada 7 Mac lalu.

    Bagaimanapun, tertuduh, Khaw Chee Young, 29, mengaku tidak bersalah selepas dua pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mohamad Azlan Basri.

    Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang masih bujang didakwa hendak mengaibkan kehormatan seorang gadis dengan cara menunjukkan kemaluan kepada gadis tersebut.

    Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 9.40 pagi pada 7 Mac lalu, di aras dua sebuah gimnasium di All Season Place, Lebuh Raya Thean Teik, di Georgetown.

    Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

    Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa di lokasi dan masa yang sama telah menggunakan kekerasan jenayah dengan maksud untuk mencabul kehormatan gadis yang sama.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua hukuman.

    Sementara itu, Pegawai Pendakwa, Zaida Azwa Zainal memohon mahkamah menetapkan jaminan berjumlah
    RM5,000 dengan seorang penjamin ke atas tertuduh bagi pertuduhan pertama manakala jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin bagi pertuduhan kedua.

    Bagaimanapun, peguam HC Chan memohon jaminan dikurangkan atas alasan tertuduh hanya berpendapatan RM2,000 sebulan dan wang jaminan hanya untuk memastikan kehadirannya ke mahkamah.

    Selain itu, HC Chan berkata, pasport tertuduh juga telah tamat tempoh pada 2020 dan anak guamnya tidak berhasrat untuk memperbaharui pasport tersebut.

    Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM9,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 17 April depan untuk sebutan semula kes dan penyerahan dokumen.

  • Muhyiddin dibenar ikat jamin RM2 juta enam pertuduhan

    Muhyiddin dibenar ikat jamin RM2 juta enam pertuduhan

    TAN Sri Muhyiddin Yassin yang menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta bagi parti Bersatu dan dua pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram RM195 juta, dibenarkan diikat jamin RM2 juta oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur.

    Hakim Azura Alwi membenarkan tertuduh diikat jamin dengan dua penjamin selain memerintahkan bekas perdana menteri itu menyerahkan pasport antarabangsanya kepada mahkamah sehingga kes selesai.

    Azura turut menetapkan 26 Mei untuk sebutan semula kes.

    Terdahulu, Peguam Cara Negara Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh mencadangkan jaminan sebanyak RM2 juta dengan dua penjamin berserta syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.

    Peguam Datuk K. Kumaraendran yang mewakili Muhyiddin bersetuju dengan jumlah jaminan dan syarat tambahan itu.

    Pendakwaan juga dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Faridz Gohim Abdullah, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Ahmad Akram Gharib, Noralis Mat, Nor Asma Ahmad, Rasyidah Murni Azmi, Muhammad Asraf Mohamed Tahir, Kalai Vani Annadorai dan Maziah Mohaide.

    Muhyiddin turut diwakili peguam Datuk Rosli Dahlan, Datuk Takiyuddin Hassan, Chetan Jethwani, Dev Kumaraendran, Mohamad Isa Mohamad Basir, Teh See Khoon dan Varsha Chelvi.

    Muhyiddin, 75, mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta bagi parti Bersatu dan dua pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram RM195 juta.

    Terdahulu pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang memakai sut lengkap berwarna gelap itu tiba di mahkamah dengan menaiki kenderaan Toyota Alphard pada 8.40 pagi ditemani isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

  • Muhyiddin mengaku tak salah atas enam pertuduhan

    Muhyiddin mengaku tak salah atas enam pertuduhan

    Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas enam pertuduhan, membabitkan empat kerana menggunakan kedudukan mendapatkan rasuah RM232.5 juta dan dua kesalahan pengubahan wang haram membabitkan RM195 juta.

    Bagaimanapun, Muhyiddin atau nama sebenarnya Mahiaddin Md Yasin, 76, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Azura Alwi.

    “Mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan,” kata Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan (PN) dan bekas Perdana Menteri, lapor Berita Harian.

    Bagi pertuduhan pertama, Muhyiddin didakwa menggunakan kedudukannya untuk suapan, iaitu wang berjumlah RM200,000,000 dari Bukhary Equity Sdn Bhd bagi milik parti, BERSATU.

    Beliau turut didakwa menggunakan kedudukannya untuk satu suapan, iaitu wang berjumlah RM1,000,000 daripada syarikat Nepturis Sdn Bhd bagi milik partinya, BERSATU.

    Bagi pertuduhan ketiga, beliau juga didakwa menggunakan kedudukannya untuk satu suapan, iaitu wang berjumlah RM19,500,000 daripada syarikat Mamfor Sdn Bhd bagi milik partinya.

    Pertuduhan keempat pula, tertuduh didakwa menggunakan kedudukannya untuk suapan, iaitu wang berjumlah RM12,000,000 bagi milik partinya daripada Azman Yusoff.

    Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

    Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi jika disabitkan kesalahan.

    Muhyiddin juga didakwa sebagai Presiden Bersatu menerima RM120 juta dan RM75 juta daripada sebuah syarikat yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank milik BERSATU.

    Kesalahan itu dilakukan di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral, di sini, antara 25 Februari 2021 hingga 8 Julai 2022.

    Pendakwaan mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

    Jika sabit kesalahan hukuman penjara maksimum 15 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

    Prosiding kes diketuai Peguam Cara Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh manakala tertuduh diwakili peguam Datuk K Kumarendran, Rosli Dahlan, Datuk Takiyuddin Hassan, Chetan Jethwani, Dev Kumaraendran, Mohamad Isa Mohamad Basir, Teh See Khoon dan Varsha Chelvi.

    Mahkamah kemudian menetapkan wang jaminan RM2 juta dengan dua penjamin berserta syarat tambahan serahan pasport sehingga kes selesai sementara 26 Mei ini sebagai tarikh sebutan kes.

  • PDRM, Rela siap sedia kawal di mahkamah

    PDRM, Rela siap sedia kawal di mahkamah

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) bersedia sedia seawal pagi bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

    Selain memastikan suasana terkawal, anggota keselamatan negara itu berusaha memastikan laluan ke lokasi bangunan kehakiman tersebut berjalan lancar.

    Selain anggota polis, petugas daripada Jabatan Sularelawan Malaysia (Rela) turut bersiap sedia di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta, Kuala Lumpur.

    Semua langkah keselamatan itu digerakkan bagi menghadapi sebarang kemungkinan dan memastikan suasana terkawal apabila Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa di mahkamah pagi ini.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu akan menghadapi tujuh pertuduhan berhubung projek Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) dan dana parti, lapor Sinar Harian.

  • Muhyiddin didakwa di mahkamah hari ini

    Muhyiddin didakwa di mahkamah hari ini

    BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan didakwa dengan tujuh pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

    Pendakwaan itu disahkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki semalam.

    Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu semalam hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM selama lapan jam.

    Dalam kenyataan menerusi akaun Facebook miliknya, Muhyiddin memaklumkan keterangan beliau antaranya menyentuh dua perkara.

    Pertama, projek Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa atau Jana Wibawa.

    Kedua, isu kelulusan pembatalan cukai ke atas Yayasan Albukhary, lapor Astro Awani.

    SPRM sebelum ini telah membekukan akaun parti Bersatu dan beberapa individu termasuk bekas Ketua Penerangan Parti itu Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut Adam Radlan Adam Muhammad.

    Wan Saiful dan Adam kini berdepan pendakwaan berkaitan projek Jana Wibawa.

  • Muhyiddin tiba di Kompleks Mahkamah KL

    Muhyiddin tiba di Kompleks Mahkamah KL

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pagi ini dipercayai untuk didakwa atas tuduhan rasuah.

    Bekas Perdana Menteri dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu tiba pada pukul 8.40 pagi manakala para penyokongnya telah berkumpul di luar kompleks mahkamah sejak kira-kira 8 pagi.

    Menjelang 8.30 pagi, hampir 100 orang telah berkumpul, dengan kebanyakannya memakai baju putih terpapar wajah Muhyiddin dan tertera slogan ‘Kami Bersama Abah’.

    Sementara itu, Ketua PN Pahang l, Datuk Seri Saifuddin Abdullah turut dilihat memasuki kompleks mahkamah, lapor FMT.

  • Isteri ketiga mengaku rosakkan kereta BMW, motosikal kuasa tinggi milik suami

    Isteri ketiga mengaku rosakkan kereta BMW, motosikal kuasa tinggi milik suami

    SEORANG peniaga kedai emas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kemaman hari ini atas dakwaan melakukan perbuatan khianat dengan merosakkan cermin kereta dan motosikal berkuasa tinggi milik suaminya, Ahad lalu.

    Tertuduh, Siti Fazira Mohd Sofian, 28, yang juga isteri ketiga mengaku bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Shariffuddin.

    Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa sengaja melakukan khianat dengan mengetuk cermin hadapan dan belakang kereta jenis Mercedes-Benz dan merosakkan bahagian belakang motosikal berkuasa tinggi jenis Honda Gold Wing menggunakan bakul mengisi buah.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di rumah madunya yang juga isteri kedua suaminya di kawasan perumahan di Chukai di Kemaman pukul 2.15 petang, lapor Sinar Harian.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

    Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 oleh seorang penjamin dan menetapkan 15 Mac ini untuk fakta dan hukuman kes.