Category: Mahkamah

  • AS$700 juta milik 1MDB masuk akaun syarikat Jho Low pada 2009, Bank Negara hanya tahu 2015 – Zeti

    AS$700 juta milik 1MDB masuk akaun syarikat Jho Low pada 2009, Bank Negara hanya tahu 2015 – Zeti

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu hanya selepas hampir tujuh tahun, barulah Bank Negara Malaysia (BNM) mendapati bahawa wang AS$700 juta milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah masuk ke entiti yang salah, iaitu Good Star Ltd, sebuah syarikat milik ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

    Bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, 76, juga mengakui bahawa ia adalah satu tempoh yang panjang untuk mengetahui perkara berkenaan, kerana ia melibatkan proses yang panjang untuk menjejaki wang itu.

    Urus niaga AS$700 juta berlaku pada 2009 dan pihak berkuasa menemukannya pada 2015.

    Saksi pendakwaan ke-46 itu berkata demikian ketika ditanya peguam utama Datuk Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada perbicaraan bekas perdana menteri itu yang membabitkan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB.

    Muhammad Shafee: Tan Sri, hanya selepas hampir tujuh tahun, semua pihak berkuasa menyedari bahawa wang itu telah masuk ke dalam entiti Jho Low? 

    Zeti menjawab “betul”.

    Muhammad Shafee: Bukankan ia satu tempoh yang panjang untuk mendapati bahawa wang itu telah masuk ke entiti yang salah.

     “Ia perkara yang amat biasa berlaku. Saya diberitahu oleh pihak berkuasa kewangan di seluruh dunia bahawa ia mengambil masa bertahun-tahun lamanya untuk menemukan dan mengesan kesalahan yang sedemikian.

    “Betul urus niaga itu berlaku pada 2009, dan kita hanya tahu mengenainya pada 2015, tapi ia tidak bermakna bahawa BNM tidak membuat sebarang tindakan. Kita telah hantar beberapa surat dan emel kepada 1MDB. Kita minta status pelaburan AS$1 bilion itu.

    “Namun tiada maklum balas yang kami terima, dan itu sebabnya pada 2014 apabila 1MDB memohon untuk mendapatkan lebih banyak wang, BNM menolak permohonannya kerana hutangnya terus meningkat, oleh itu, bank pusat menolak permohonannya,” tegas Zeti lapal BERNAMA.

    Saksi itu juga berkata bank pusat perlu menjalankan siasatan berberapa tahun lamanya, berikutan kegagalan pegawai 1MDB memberikan jawapan yang memuaskan kepada bank pusat mengenai apa yang berlaku kepada dana yang dihantar ke luar negara pada 2009 itu.

    Muhammad Shafee: Tan Sri, BNM tentu boleh mengenal pasti pemilik akaun sebelum sebarang kelulusan diberikan terhadap transaksi?

    Zeti: Tidak, ia adalah bidang kuasa pihak lain, dan memerlukan masa untuk mengetahui siapa pemilik akaun itu.

    Beliau juga menegaskan bahawa bukan peranan BNM untuk menjalankan due diligence berhubung transaksi itu, dan yang jelas ialah ia merupakan fungsi institusi kewangan terlibat.

    Najib, 70, berdepan dengan empat pertuduhan menggunakan kedudukan beliau untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion milik 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan amaun sama.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung.

  • Rasuah : Bekas Timbalan Pengarah Kanan DBKL di penjara 4 tahun, denda RM1 juta

    Rasuah : Bekas Timbalan Pengarah Kanan DBKL di penjara 4 tahun, denda RM1 juta

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur menjatuhi hukuman penjara empat tahun dan denda RM1 juta terhadap bekas Timbalan Pengarah Kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Sabudin Mohd Salleh atas dua tuduhan memperoleh suapan berjumlah RM200,000 bagi mengeluarkan permit kerja.

    Hakim K Muniandy membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan pendakwaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen pada 15 Sept 2022 yang membebaskan Sabudin, 62, daripada kedua-dua pertuduhan di akhir kes pembelaan.

    Bernama melaporkan, Sabudin dipenjara empat tahun bagi setiap pertuduhan dengan hukuman berjalan serentak mulai hari ini. Sabudin juga didenda RM1 juta bagi kedua-dua pertuduhan, atau penjara empat tahun jika gagal melunaskannya.

    Bagaimanapun, Muniandy membenarkan permohonan peguam bela K Theivaendran penangguhan pelaksanaan hukuman terhadap anak guamnya sementara menunggu rayuan akhir di Mahkamah Rayuan.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin memohon mahkamah mengenakan tempoh hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda RM1 juta dengan mengambil kira faktor kepentingan awam selain sifat kesalahan yang serius.

    Bagaimanapun, seorang lagi peguam Sabudin, Y Sheelan Samuagam memohon anak guamnya dipenjara sehari kerana menghidap osteoartritis di kedua-dua lutut dan pernah menjalani beberapa pembedahan besar.

    “Anak guam saya tidak dapat berdiri atau berjalan dengan baik selain memerlukan bantuan kerusi roda. Selepas kaki kirinya menjalani pembedahan pada Januari tahun ini, keadaannya tidak stabil. Oleh itu, dia perlu kerap mendapatkan rawatan susulan di hospital,” katanya.

    Pada 18 Dis 2020, Mahkamah Sesyen membebaskan Sabudin daripada kedua-dua pertuduhan di akhir kes pendakwaan.

    Bagaimanapun, Sabudin diperintah membela diri atas kedua-dua pertuduhan selepas Mahkamah Tinggi pada 24 Mac 2022 membenarkan rayuan pendakwaan untuk mengetepikan keputusan berkenaan.

    Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Sabudin yang ketika itu Timbalan Pengarah Kanan di Jabatan Kejuruteraan Awam dan Pengangkutan Bandar DBKL didakwa memperoleh suapan wang tunai itu daripada Wong May Kuan.

    Wong ialah subkontraktor Dusari Niaga yang melaksanakan kerja-kerja penurapan semula jalan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi tahun 2018/2020 dan suapan itu adalah sebagai upah mengeluarkan permit kerja kepada syarikat berkenaan.

    Sabudin didakwa melakukan kesalahan itu di kedai serbaneka sebuah stesen minyak, Jalan Lingkaran Tengah 2, Bukit Antarabangsa  serta di hadapan kediamannya di Ukay Perdana, Ampang pada 9 Jun 2018 dan 17 Jan 2019.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, dan dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

  • Kes saman fitnah : Muhyiddin beritahu mahkamah beliau jalani kuarantin 7 hari di rumah

    Kes saman fitnah : Muhyiddin beritahu mahkamah beliau jalani kuarantin 7 hari di rumah

    TAN SRI  Muhyiddin Yassin memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bahawa beliau mematuhi arahan kuarantin di rumah selama tujuh hari sebaik pulang dari kunjungan rasmi ke Jakarta dua tahun lepas.

    Semasa kes saman fitnah Presiden Bersatu itu terhadap Puad Zarkashi didengar, Muhyiddin berkata, beliau memang berniat menjalani kuarantin mengikut arahan Ketua Pengarah Kesihatan.

    “Saya tidak menolak untuk menjalani kuarantin (kendiri). Saya diberi arahan pengawasan dari rumah dan dipakaikan gelang pengawasan.

    “Saya menjalani kuarantin di rumah dari 5 Feb 2021 hingga 11 Feb 2021. Oleh itu, saya tidak mencetuskan sebarang kejadian mahupun kekecohan di lapangan terbang Subang sekembalinya dari Jakarta disebabkan dakwaan bahawa saya enggan dikuarantin,” katanya dalam pernyataan saksi, lapor FMT.

    Dua tahun lepas, Muhyiddin memfailkan saman fitnah terhadap Puad, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, berhubung dakwaan bahawa bekas Perdana Menteri itu enggan menjalani kuarantin mandatori Covid-19.

    Muhyiddin berkata, beliau malah menolak cadangan seorang pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) agar beliau tidak perlu dikuarantin atau dipakaikan gelang pengawasan.

    “Saya sentiasa berpendirian bahawa saya harus mematuhi arahan Ketua Pengarah Kesihatan seperti orang lain,” katanya.

    Beliau berkata, perintah pengecualian untuk mMenteri hanya berkuat kuasa dari 9 Feb hingga 1 Ogos, dan tidak terpakai kepadanya kerana beliau pulang dari Jakarta pada 5 Feb.

    Menurut Muhyiddin, Menteri Kesihatan ketika itu mengeluarkan arahan pengecualian disebabkan keputusan Jemaah Menteri, dengan suci hati, bagi memudahkan perjalanan rasmi menteri ke luar negara untuk menangani masalah pelaburan negara.

    Pada 2 Feb 2021, Menteri Kesihatan ketika itu, Datuk Dr Adham Baba, mengeluarkan arahan pengecualian membenarkan menteri yang pulang dari luar negara hanya menjalani kuarantin selama tiga hari.

    Arahan itu diwartakan pada 8 Feb dan berkuat kuasa pada hari seterusnya.

    Muhyiddin menegaskan bahawa arahan pengecualian itu bukan dikeluarkan disebabkan keengganannya untuk menjalani kuarantin selepas pulang dari Jakarta.

    Diperiksa balas oleh :eguam Puad G Rajasingam, Muhyiddin, yang mengakui ini kali pertama beliau memberi keterangan di mahkamah, berkata beliau tidak dimaklumkan oleh Adham mengenai keputusan yang dibuat pada 2 Feb itu.

    Rajasingam: Saya cadangkan memandangkan keputusan itu dibuat oleh Jemaah Menteri, anda dan menteri-menteri lain mesti tahu tentang arahan pengecualian itu.

    Muhyiddin: Saya tidak setuju. Keputusan itu tidak dibuat oleh Jemaah Menteri.

    Rajasingam: Saya cadangkan bahawa keterangan lisan anda bercanggah dengan pernyataan saksi anda.

    Muhyiddin: Saya tidak setuju.

    Rajasingam: Saya cadangkan bahawa delegasi ke Jakarta sudah sedia maklum mengenai arahan (pengecualian khas) itu sebelum meninggalkan ibu negara Indonesia itu.

    Muhyiddin: Saya tidak setuju.

    Ahli Parlimen Pagoh itu memfailkan saman terhadap Puad berhubung catatan Facebook bertajuk “Kuarantin Pun Ada Dua Darjat”.

    Muhyiddin berhujah bahawa catatan Puad itu membayangkan bahawa beliau enggan menjalani kuarantin selama 10 hari sekembalinya dari kunjungan rasmi ke Indonesia.

    Beliau berkata, catatan itu – yang dipadam atas perintah mahkamah – mengandungi kenyataan yang jelas tidak benar, tidak berasas dan berunsur khianat, serta memfitnahnya.

    Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri ketika itu, Muhyiddin dikehendaki menjalani kuarantin di rumah dan memakai gelang kuarantin Covid-19.

    Muhyiddin menuntut ganti rugi am, teladan dan teruk daripada Puad.

    Puad, yang turut diwakili peguam Shahrul Fazli Kamarulzaman, Justin Tong dan Ally Ong, bergantung pada pembelaan justifikasi, komen berpatutan, perlindungan bersyarat dan kebebasan bersuara bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

    Defendan juga berpendirian bahawa beliau tidak membuat kenyataan, sekadar mempersoalkan pentadbiran Muhyiddin memandangkan keselamatan awam berkait wabak Covid-19 menjadi kebimbangan pada ketika itu.

    Peguam Rosli Dahlan, Bahri Yeow, Hayden Tan dan Ling Siew Hui mewakili Muhyiddin.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz akan disambung pada Khamis.

  • Karut, Jho Low tidak pernah masak pasta untuk keluarga saya – Zeti

    Karut, Jho Low tidak pernah masak pasta untuk keluarga saya – Zeti

    BEKAS  Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low tidak pernah melawatnya dan memasak pasta untuk keluarganya di kediamannya di Bukit Tunku, di sini.

    Saksi berusia 76 tahun itu berkata demikian ketika menafikan dakwaan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak pada perbicaraan bekas perdana menteri itu membabitkan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB.

    Muhammad Shafee: Semasa menjadi Gabenor BNM, di manakah kediaman kamu?

    Zeti: Di Bukit Tunku, Jalan Tunku Puteri.

    Muhammad Shafee: Itu tidak jauh dari rumah Najib.

    Zeti: Ya.

    Mengenai cadangan Muhammad Shafee bahawa Jho Low mempunyai tabiat datang ke rumahnya pada hujung minggu untuk memasak pasta kepada keluarganya, Zeti menjawab: “tidak masuk akal dan mengarut, tidak pernah berlaku”.

    Saksi pendakwaan ke-46 itu turut menafikan Jho Low rapat dengan keluarganya melalui suaminya Datuk Dr Tawfiq Ayman kerana kedua-duanya adalah rakan kongsi perniagaan, lapor BERNAMA.

    Zeti berkata bahawa beliau tidak pernah menerima hadiah mahal daripada Jho Low sepanjang hidupnya.

    Muhammad Shafee: Ada sekali tu ketika kamu bertemu PM (Najib), kamu berkata Jho Low suka memberikan kamu hadiah mahal dan berkata “saya menerimanya tetapi saya pulangkan balik”.

    Zeti: Saya tidak pernah menerima sebarang hadiah daripada sesiapa, termasuk Jho Low.

    Muhammad Shafee: Adakah kamu mengatakannya kepada PM (Najib)?

    Zeti: Saya tidak ingat.

    Sementara itu, Zeti juga menafikan dakwaan yang dibuat oleh bekas jurubank Goldman Sachs, Tim Leissner semasa perbicaraan kes Roger Ng yang membabitkan 1MDB di mahkamah New York, bahawa suami Zeti telah menerima rasuah, sehingga US$1 bilion yang dimaksudkan untuk usaha sama 1MDB-Petrosaudi dapat dibawa ke luar negara tanpa kelulusan BNM.

    Muhammad Shafee ketika membaca transkrip perbicaraan Ng di mahkamah New York berkata Leissner memberi keterangan bahawa BNM perlu memberi kelulusan US$1 bilion dibawa ke luar Malaysia kerana pada 2009, Malaysia masih mempunyai kawalan modal.

    “US$1 bilion telah dipindahkan semalaman keluar dari Malaysia (ke akaun syarikat JV di luar negara) dan ia telah dilakukan kerana suami kepada gabenor Zeti ketika itu di BNM telah menerima rasuah untuk melaksanakannya.

    “Semalaman, wang itu telah dipindahkan, yang tidak pernah berlaku sebelum ini pada masa itu. Tiada kelulusan diperoleh secepat itu dengan BNM,” dakwa Leissner.

    Muhammad Shafee: Tan Sri, kamu pasti pernah dengar tentang perkara ini.

    Zeti: Beliau (Tawfiq) berkata beliau tidak pernah menerima sebarang rasuah sepanjang hidupnya. Beliau membuat rujukan bahawa beliau tidak pernah bertemu dengan dua orang ini (Ng dan Leissner).

    Muhammad Shafee: Adakah BNM atau kamu membuat sebarang kenyataan untuk menyangkal perkara ini?

    Zeti: Kami tidak berbuat demikian kerana kami diberitahu ia akan menjejaskan kes (perbicaraan Ng).

    Bagaimanapun, Zeti berkata suaminya membuat kenyataan berhubung dakwaan itu kerana ia bersifat peribadi kepadanya.

    Najib, 70, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion milik 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung.

  • ”Sejak awal lagi..ini pertuduhan bermotif politik” – Muhyiddin

    ”Sejak awal lagi..ini pertuduhan bermotif politik” – Muhyiddin

    TAN Sri Muhyiddin Yassin berkata, empat pertuduhan salah guna kuasa melibatkan rasuah yang dikenakan terhadapnya merupakan suatu penyalahgunaan kuasa mahkamah oleh pihak tertentu.

    Muhyiddin, 76, berkata, susulan pembebasan itu, beliau akan terus berusaha dan menjelaskan kepada masyarakat mengenai tindakan yang dibuat oleh pihak yang menganiayainya.

    Beliau berkata, pertuduhan yang dikenakan terhadapnya adalah palsu dan tidak langsung menepati undang-undang yang telah dibicarakan.

    “Sebelum ini, perkara seumpama itu tidak pernah berlaku, saya dimaklumkan ini merupakan kes pertama. Sejak awal lagi pertuduhan berkenaan adalah bermotifkan politik sedangkan saya tidak melakukan apa-apa kesalahan dari sudut undang-undang di bawah SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) atau undang-undang jenayah lain,” katanya lapor Sinar Harian.

    Muhyiddin berkata demikian kepada wartawan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini selepas dibebaskan daripada empat tuduhan salah guna kuasa untuk suapan berjumlah RM232.5 juta bagi parti itu.

    Ucapan Ahli Parlimen Pagoh itu kemudiannya disambut oleh penyokongnya dengan laungan ‘referendum’ dan ‘takbir’.

    Sebelum itu, mahkamah membebaskan Pengerusi Perikatan Nasional itu selepas membenarkan permohonannya untuk membatalkan empat tuduhan salah guna kuasa melibatkan suapan berjumlah RM232.5 juta bagi parti itu.

    Hakim, Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan demikian selepas berpuas hati bahawa keempat-empat pertuduhan tersebut adalah cacat, tidak berasas dan kabur.

    Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, keyakinannya untuk dilepaskan daripada kes mahkamah ini terbukti apabila hakim turut memutuskan perkara yang sama.

  • Bekas pegawai bank didakwa ubah suai had kad kredit tanpa kuasa

    Bekas pegawai bank didakwa ubah suai had kad kredit tanpa kuasa

    SEORANG bekas pegawai bank dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan mengubah suai had kad kredit miliknya antara April tahun lepas sehingga Jun lalu.

    Tertuduh yang merupakan bekas Eksekutif Khidmat Pengesahan di Maybank , Abas Sulaiman, 44, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Priscilla Hemamalini Nadarajan.

    Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan niat telah melakukan capaian kepada sistem Kenaikan Had Kredit Kekal atau ‘Permanent Increase Credit Limit’ (PICL) dan telah menyebabkan pengubahsuaian tanpa kuasa terhadap sistem tersebut, lapor Utusan TV.

    Pertuduhan itu didakwa dilakukan di Menara Maybank dekat Dang Wangi, Kuala Lumpur antara 25 April 2022 sehingga 24 Jun 2023.

    Justeru tertuduh didakwa mengikut Seksyen 5(1) Akta Jenayah Komputer 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 5(4) akta yang sama.

    Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau dijatuhkan hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun atau kedua-duanya.

    Timbalan Pendakwa Raya, Nurilya Ellyna Nor Azmal menawarkan jaminan sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin.

    Bagaimanapun, peguam Md. Radzi Mustafa memohon jaminan minima dikenakan ke atas tertuduh memandangkan anak guamnya itu kini sudah tidak bekerja dan tiada punca pendapatan selain menanggung isteri dan empat lagi anaknya.

    Hakim Priscilla kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

    Mahkamah kemudian menetapkan 29 Ogos ini bagi sebutan semula dan serahan dokumen.

  • Muhyiddin bebas empat pertuduhan  guna kedudukan untuk suapan RM232.4 juga berkaitan Jana Wibawa

    Muhyiddin bebas empat pertuduhan  guna kedudukan untuk suapan RM232.4 juga berkaitan Jana Wibawa

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini melepas dan membebaskan bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta bagi parti Bersatu berkaitan projek Jana Wibawa.

    Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan itu setelah mendapati keempat-empat pertuduhan tersebut adalah kabur dan tidak berasas kerana ia tidak menyatakan butiran kesalahan dilakukan.

    “Oleh itu, mahkamah membenarkan permohonan pemohon (Muhyiddin) untuk membatalkan keempat-empat pertuduhan berkenaan. Dengan ini, pemohon dilepas dan dibebaskan,” katanya.

    Muhyiddin, sebagai Perdana Menteri (ketika itu) dan Presiden Bersatu, didakwa menggunakan kedudukan beliau untuk suapan berjumlah RM232.5 juta daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff bagi parti tersebut.

    Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

    Pada 18 April lepas, Muhyiddin, 76, yang juga Pengerusi Perikatan Nasional, memfailkan notis usul bagi memohon agar beliau dilepas dan dibebaskan daripada keempat-empat pertuduhan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dikenakan terhadapnya pada 10 Mac lepas selain prosiding kes tersebut di Mahkamah Sesyen ditangguhkan.

    Muhammad Jamil dalam penghakiman ringkasnya berkata mahkamah mempunyai kuasa sedia ada untuk mengetepikan atau membatalkan pertuduhan serta menggantung pertuduhan secara kekal.

    Hakim itu berkata empat pertuduhan terhadap Muhyiddin yang menyatakan suapan bagi sekutunya Bersatu tidak mendedahkan suatu kesalahan di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM.

    “Mahkamah mendapati Muhyiddin dituduh dengan suatu kesalahan yang tidak diperuntukkan mengikut undang-undang. Keempat-empat pertuduhan itu cacat kerana tidak mendedahkan suatu kesalahan di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM.

    “Pertuduhan yang tidak meletakkan suatu kesalahan di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM adalah salah laksana keadilan. Empat kesalahan itu juga tidak mengandungi butir-butir cara kesalahan dilakukan sebagai mana diperuntukkan di bawah Seksyen 154 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ),” katanya.

    –BERNAMA

  • Pasukan petugas 1MDB bukan untuk ‘jatuhkan’ Najib-Zeti

    Pasukan petugas 1MDB bukan untuk ‘jatuhkan’ Najib-Zeti

    BEKAS gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Zeti Akhtar Aziz memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa pasukan petugas 1MDB yang dibentuk pada 2015 bukan bertujuan menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri ketika itu.

    Ketika memberi keterangan pada perbicaraan 1MDB Najib, Zeti berkata, pasukan petugas yang dianggotainya itu dibentuk untuk menyiasat sama ada 1MDB dan pegawainya melakukan sebarang salah laku.

    “Apabila pasukan petugas itu pertama kali bermesyuarat pada 2015, tidak diketahui sama ada wujud kaitan antara dana 1MDB dan akaun bank Perdana Menteri.

    “Kami tahu tentang (tahap) hutang 1MDB yang tinggi, dan keingkaran mungkin berlaku yang akan memberi impak pada generasi akan datang,” kata Zeti.

    Pasukan petugas itu yang dianggotai wakil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), polis, BNM, dan Jabatan Peguam Negara, dibentuk pada Julai tahun itu untuk menyiasat dakwaan yang dibuat berhubung dana negara itu.

    Bagaimanapun, dilaporkan kemudian bahawa pasukan petugas itu dibubarkan.

    Zeti menafikan dakwaan peguam, Tan Sri Shafee Abdullah bahawa pasukan petugas itu dibentuk bagi ‘mencari jalan untuk mendakwa Perdana Menteri dan menyebabkan perubahan dalam kerajaan’.

    “Saya tidak tahu wujudnya draf pertuduhan (terhadap Najib),” katanya ketika ditanya mengenai tuduhan terhadap Najib yang didakwa ‘bocor’.

    Tiada konflik kepentingan

    Zeti juga menafikan bahawa peranannya sebagai ahli Majlis Penasihat Kerajaan yang ditubuhkan pada 2018 menyebabkan wujudnya konflik kepentingan baginya.

    Dibentuk sejurus selepas Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan berikutan PRU14 pada Mei 2018, majlis tersebut turut dianggotai bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin; bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Hassan Marican; hartawan Robert Kuok; dan ahli ekonomi, Jomo Kwame Sundaram.

    Zeti berkata, majlis itu bukan ditubuhkan untuk menyiasat 1MDB. Tugas itu jatuh pada pasukan lain yang diketuai oleh bekas peguam negara Abu Talib Othman.

    “Majlis Penasihat Kerajaan tidak menyiasat 1MDB. Ia tentang reformasi ekonomi.

    “Saya hadiri 100 hari mesyuarat (majlis itu), dan 1MDB tidak pernah dibincangkan. Boleh dapatkan agenda dan tunjuk pada saya (kalau saya silap).”

    Peguam itu mencadangkan bahawa wujud konflik kepentingan bagi Zeti kerana suami dan anak-anaknya didakwa menerima dana daripada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, yang lebih dikenali sebagai Jho Low.

    “(Tun) Dr. M. (Mahathir Mohamad) berkata dalam satu temu bual bahawa anda memintanya mengambil tindakan terhadap PM (ketika itu) (Najib) kerana anda tahu dia (Najib) mempunyai banyak wang dalam akaun,” dakwa Shafee, yang disangkal Zeti.

    Hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah kemudian secara berseloroh bertanya sama ada pihak pendakwaan berhasrat untuk memanggil Mahathir sebagai saksi, menggunakan sepina, untuk mengesahkan kandungan temu bual itu.

    Secara berasingan, Zeti memberitahu mahkamah bahawa beliau berharap siasatan polis terhadap suaminya, Tawfiq Ayman, akan selesai segera.

    Katanya, polis telah mengeluarkan kenyataan media sebelum ini, mengatakan bahawa mereka sedang menunggu respons daripada kerajaan Singapura.

    Apabila ditanya sama ada beliau individu yang dilindungi kerana tiada tindakan diambil terhadap dirinya dan keluarganya, Zeti menjawab: “Saya rakyat biasa dan tidak dilindungi oleh sesiapa,” lapor FMT.

    Najib sedang dibicarakan atas 25 tuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan dana didakwa milik 1MDB sebanyak RM2.28 bilion yang dimasukkan ke akaun AmBank miliknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.

  • Rogol 2 anak, lelaki dihukum penjara 702 tahun, 234 sebatan

    Rogol 2 anak, lelaki dihukum penjara 702 tahun, 234 sebatan

    SEORANG bapa dijatuhkan hukuman penjara 702 tahun dan 234 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Muar selepas mengaku bersalah atas 30 tuduhan rogol dan amang seksual fizikal terhadap dua anaknya, sejak enam tahun lalu.

    Tertuduh yang berusia 53 tahun didakwa melakukan perbuatan itu terhadap dua anaknya, kini masing-masing berusia 12 dan 15 tahun dengan seorang daripadanya hamil lima minggu.

    Lelaki yang juga pekerja pembersihan itu membuat pengakuan bersalah selepas setiap pertuduhan termasuk 19 kes rogol dan 11 kes cabul kehormatan dua anaknya dibacakan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat, lapor Berita Harian.

    Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan itu sejak 2017 ketika salah seorang mangsa berusia 10 tahun dengan kejadian terakhir berlaku pada 4 Julai lalu membabitkan dua lokasi berasingan di Jeram dan Bakri, Muar.

    Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan 10 kali sebatan.

    Hakim menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun serta 10 sebatan bagi setiap pertuduhan merogol, 10 tahun penjara serta dua sebatan bagi kesalahan amang seksual fizikal serta tambahan hukuman bagi Seksyen 16 (1) Kanun Keseksaan iaitu dua tahun penjara dan dua sebatan bagi setiap pertuduhan.

    Bagaimanapun, mahkamah mengarahkan semua hukuman penjara dijalankan serentak bermula dari tarikh tertuduh ditahan 10 Julai lalu, manakala sebatan secara berasingan.

    Ini bermakna tertuduh hanya perlu menjalani hukuman penjara 42 tahun, manakala hukuman sebatan kekal 234 kali.

    Namun, Seksyen 288 Kanun Prosedur Jenayah hanya membenarkan maksimum hukuman sebatan adalah 24 kali.

    Mengikut fakta kes, pegawai perubatan dari Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di Muar membuat laporan polis selepas mendapati seorang mangsa hamil ketika mendapat rawatan akibat sakit dada.

    Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya, Danial Munir mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Terdahulu, Abu Bakar berkata tidak ada faktor yang boleh dipertimbangkan untuk hukuman terhadap tertuduh kerana mangsa adalah anak kandungnya selain seorang daripadanya hamil.

  • Ibu, teman lelaki didakwa bunuh anak usia 9 tahun

    Ibu, teman lelaki didakwa bunuh anak usia 9 tahun

    SEORANG ibu dan teman lelakinya didakwa di Mahkamah Majistret Taiping hari ini atas pertuduhan membunuh anak lelakinya yang berusia sembilan tahun, bulan lalu.

    Siti Farina Mohamed Basharol Ariffin, 36, dan Izuhaizad Ismail, 37, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Nur ‘Atiqah Sapari.

    Mereka didakwa bersama-sama membunuh dengan menyebabkan kematian Muhammad Hasiffaidhi Mohamad Jeffry, 9, di sebuah rumah di Jalan Panglima 5, Taman Panglima Assam Kumbang, antara 10 pagi, 29 Julai dan 10.52 pagi, 30 Julai lalu.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

    Kedua-dua tertuduh berdepan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun, dan hendaklah jika tidak dihukum dengan hukuman mati dihukum dengan minimum 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

    Mahkamah menetapkan sebutan kes pada 16 Oktober ini untuk laporan kimia, bedah siasat, forensik dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Amalina Harun.

    Pada 31 Julai lalu, seorang kanak-kanak lelaki ditemukan meninggal dunia di sebuah rumah dan atas maklumat orang awam dan hasil siasatan awal mendapati terdapat unsur penderaan terhadap mangsa.

    Polis kemudian menahan ibu mangsa dan teman lelakinya yang turut tinggal di rumah berkenaan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.