Category: Mahkamah

  • Kalimah Allah: Kerajaan tak teruskan rayuan terhadap keputusan mahkamah

    Kalimah Allah: Kerajaan tak teruskan rayuan terhadap keputusan mahkamah

    KERAJAAN tidak berniat meneruskanr rayuan terhadap keputusan mahkamah mengenai hak seorang penganut Kristian dari Sarawak menggunakan kalimah Allah bagi tujuan pembelajaran agamanya.

    Jabatan Peguam Negara yang mewakili Kementerian Dalam Negeri memaklumkan keputusan itu kepada Mahkamah Rayuan pada 18 April.

    Mahkamah Tinggi pada 2021 memutuskan bahawa Jill Ireland boleh menggunakan kalimah Allah dalam pembelajaran agamanya, lapor FMT.

    Haniff Khatri Abdulla, yang mewakili pihak berkuasa agama Selangor, Kedah, dan Wilayah Persekutuan selaku peguam berkata, anak guamnya hanya dimaklumkan mengenainya pagi ini.

    Ireland memulakan permohonan semakan kehakiman pada 20 Ogos 2008 supaya dikembalikan lapan cakera padat yang dirampas daripadanya pada 11 Mei 2008, sebaik tiba di Terminal Tambang Murah (LCCT) di Sepang.

    Wanita itu memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk mencabar penyitaan cakera padat tersebut serta memohon perisytiharan mengenai hak Perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan Kristian.

  • Ibu didakwa lakukan amang seksual terhadap 2 anak lelaki

    Ibu didakwa lakukan amang seksual terhadap 2 anak lelaki

    IBU kepada lima anak didakwa di Mahkamah Sesyen Klang, hari ini, atas tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua anak lelakinya pada November tahun lalu.

    Wanita yang berusia 33 tahun itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Syafeera Mohd. Said.

    Tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap dua anak lelakinya yang berusia 14 dan 12 tahun (ketika kejadian) di sebuah unit pangsapuri di Alam Perdana, Puncak Alam kira-kira jam 8 malam November 2022.

    Wanita itu didakwa melakukan Seksyen 14 (a) dan Seksyen 14 (b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan penjara tidak melebihi 20 tahun dan boleh juga dihukum dengan hukuman sebat.

    Dalam pada itu, tertuduh juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengarahkan pembuatan suatu pornografi kanak-kanak dalam bentuk video terhadap anak perempuannya yang berusia 15 tahun (ketika kejadian).

    Perbuatan itu dilakukan wanita berkenaan di sebuah hotel di Taman Sri Pristana, Sungai Buloh pada pukul 2 pagi, Februari 2022.

    Justeru, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 5 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan penjara tidak melebihi 30 tahun dan hendaklah juga dihukum dengan hukuman sebat.

    Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nur ‘Ayuni Jamri dan Nurul ‘Izzati Mohamad tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh dengan alasan mangsa adalah kanak-kanak dan mempunyai hubungan kekeluargaan dengan tertuduh.

    Mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan dan sebutan semula ditetapkan pada 26 Jun ini.

    Sementara itu, di mahkamah yang sama, seorang penarik kereta berusia 22 tahun yang juga kenalan wanita berkenaan didakwa dengan sengaja melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 15 tahun.

    Tertuduh, Haddad Radhi, didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017.

    Lelaki berkenaan didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah hotel di Taman Sri Pristana, Sungai Buloh kira-kira pukul 2 pagi, Februari 2022.

    Timbalan Pendakwa Raya, Nurul ‘Izzati tidak membenarkan sebarang jaminan manakala tertuduh yang diwakili peguam,

    Mohd. Azali Ibrahim memohon jaminan diberikan terhadap tertuduh dengan alasan lelaki itu mempunyai seorang anak yang masih kecil serta isteri yang sedang mengandung.

    Hakim kemudian membenarkan jaminan RM15,000 dengan tertuduh perlu melaporkan diri ke Balai Polis pada setiap bulan dan tidak dibenarkan mendekati mangsa.

    Sebutan semula kes ditetapkan pada 14 Jun ini lapor Berita Harian.

  • Tak tahan desakan bayar hutang, jurujual buat laporan palsu dirompak

    Tak tahan desakan bayar hutang, jurujual buat laporan palsu dirompak

    SEORANG jurujual didenda RM400 susulan membuat laporan palsu dirompak kerana tidak tahan menerima desakan supaya melunaskan hutang.

    Tertuduh, Nur Zaman Nasir, 31, memberikan alasan itu selepas disoal peguam Tan Song Yan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) sebelum Majistret Nur Asidah A Rahman menjatuhi hukuman denda itu, di Mahkamah Majistret Batu Pahat.

    “Saya terpaksa membuat laporan palsu dirompak kerana desakan daripada peminjam supaya melunaskan hutang mereka,” katanya menurut Harian Metro.

    Mahkamah juga mengarahkan tertuduh dipenjara sebulan sekiranya gagal membayar denda.

    Mengikut fakta kes, tertuduh membuat laporan di Balai Polis Sri Gading mendakwa beg sandang miliknya disamun pada 4.10 petang, 5 April lalu.

    Dalam laporan itu, tertuduh mendakwa kejadian berlaku ketika dia dalam perjalanan dari Jalan Rahmat menuju ke Jalan Tanjung Laboh, Batu Pahat.

    Bagaimanapun, polis menjalankan siasatan bersabit laporan dibuat tertuduh mendapati ia palsu dan sengaja diada-adakan cerita bagi mengelak dia membayar hutang.

    Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Khalijah Khalid memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap kesalahan dilakukannya.

    Tan bagaimanapun meminta mahkamah meringankan hukuman kerana tertuduh perlu membesarkan dua anak berusia dua hingga empat tahun serta menjaga ibunya berusia 58 tahun yang sakit.

  • Wanita suspek amang seksual didakwa esok

    Wanita suspek amang seksual didakwa esok

    SEORANG wanita yang ditahan sebelum ini susulan kes amang seksual fizikal terhadap anak lelakinya berusia 14 tahun di Puncak Alam, akan didakwa Mahkamah Sesyen Klang, esok.

    Ketua Polis Kuala Selangor Ramli Kasa ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

    “Kita akan bawa suspek (wanita) untuk dituduh esok,” katanya lapor Berita Harian.

    Pada 4 Mei lalu, media melaporkan suspek direman selama lima hari bagi membantu siasatan berhubung kes terbabit.

    Ramli dilaporkan berkata, suspek berusia 33 tahun direman bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 14 dan Seksyen 5 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

    Katanya, wanita itu ditahan di kediamannya di Puncak Alam selepas polis menerima laporan daripada pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang mendapat maklumat mengenai perbuatan itu menerusi sebuah video yang diperoleh daripada individu tidak dikenali.

    Dua hari kemudian, seorang lelaki berusia 35 tahun ditahan selepas dipercayai terbabit menyebarkan video adegan itu.

    Suspek lelaki yang menetap di Bandar Sri Damansara itu memiliki dua rekod jenayah iaitu kes pemerasan dan rogol selain telefon bimbitnya dirampas bagi membantu siasatan.

  • Rosmah perlu jawab saman syarikat barangan kemas Global Royalty

    Rosmah perlu jawab saman syarikat barangan kemas Global Royalty

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengarahkan Datin Seri Rosmah Mansor memfailkan jawapan tuntutan saman oleh Global Royalty Trading SAL dari Beirut, Lebanon dalam masa tiga minggu.

    Peguam David Gurupatham yang mewakili syarikat itu berkata, ketika pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Rini Triany Muhamad Ali, pihak Rosmah dikehendaki memfailkan perkara itu sebelum atau pada 2 Jun depan.

    Ini berhubung saman syarikat itu untuk mendapatkan semula 43 barang kemas bernilai RM67.5 juta daripada isteri bekas Perdana Menteri ini.

    “Mahkamah juga menetapkan pengurusan kes akan datang dibuat melalui e-review pada 7 Jun,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Sebelum itu, pada 26 Jun 2018, Global Royalty menyaman Rosmah selaku defendan dan menuntutnya memulangkan 44 unit barang kemas yang dihantar untuk dipilih atau membayar harga untuk semua barangan kemas berkenaan berjumlah AS$14.79 juta.

    Syarikat ini mendakwa Rosmah berbohong bahawa barangan kemas termasuk kalung berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara yang diserahkan oleh ejen syarikat kepadanya, dirampas pihak berkuasa Malaysia untuk kesalahan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

    Menurut syarikat itu, hanya satu daripada 44 barang kemas berkenaan berada dalam simpanan dan kawalan polis, dan bakinya tidak disimpan pihak berkuasa.

    Pada 28 Ogos 2019, Kerajaan Malaysia mengesahkan melalui Afidavit Jawapan yang diikrarkan oleh Superintenden Polis G/15177 Foo Wei Min (yang difailkan dalam guaman sivil tersebut) bahawa hanya satu daripada 44 barang kemas yang berada dalam simpanan Polis Diraja Malaysia.

    Plaintif kemudiannya menarik balik tuntutan saman tersebut untuk memfailkan semula dan mencelah dalam prosiding pelucuthakan Kerajaan Malaysia terhadap OBYU Holdings Sdn Bhd, pemilik harta yang dimana 12,000 barang kemas tersebut telah disita oleh PDRM atas kesalahan di bawah AMLA.

    Pada 11 Mac 2020, Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussein membenarkan permohonan plaintif untuk memeriksa barang-barang kemas tersebut, yang telah disita oleh PDRM.

    Pada 17 April lalu, media melaporkan, Global Royalty memfailkan saman baharu, untuk mendapatkan semula 43 barang kemas daripada isteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu.

    Berdasarkan writ yang difailkan di Mahkamah Tinggi pada 29 Mac lalu, syarikat barang kemas itu mengambil langkah berkenaan melalui firma guaman, Tetuan David Gurupatham dan Koay dengan menamakan Rosmah selaku defendan tunggal.

  • Pelajar lepasan SPM mengaku tak bersalah dakwaan rogol remaja bawah umur

    Pelajar lepasan SPM mengaku tak bersalah dakwaan rogol remaja bawah umur

    SEORANG pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengaku tidak bersalah merogol remaja perempuan 15 tahun di Mahkamah Sesyen Melaka.

    Tertuduh, Muhammad Isa Muhaimim Mohamad Fauzi, 18, yang berdepan tiga pertuduhan bagi kesalahan itu membuat pengakuan berkenaan di hadapan Hakim Dharmafikri Abu Adam.

    Menurut Sinar Harian, perbuatan itu didakwa dilakukan di Taman Limbongan Permai di Melaka, antara September 2022 hingga Mei lalu.

    Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat mengikut Seksyen Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan.

    Selain itu, Isa juga mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan memiliki video lucah dalam telefon bimbitnya di hadapan Hakim Mahkamah Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat D11 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di Melaka, pada 10 malam, 5 Mei lalu.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya N. Sivashangari mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000, manakala J Banusha pula mencadangkan jaminan sebanyak RM8,000.

    Bagaimanapun tertuduh diwakili Peguam Goh Chin Han, merayu jaminan rendah dikenakan terhadap tertuduh yang tidak bekerja kerana baharu tamat persekolahan selain hanya bergantung kepada pendapatan bapanya sebagai pemandu lori.

    Mahkamah kemudian mengarahkan tertuduh diikat jamin dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM14,000 selain menetapkan 19 Jun depan sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen.

  • Bekas pemain ragbi Sabah didakwa bunuh adik

    Bekas pemain ragbi Sabah didakwa bunuh adik

    SEORANG bekas pemain ragbi Sabah yang masih aktif bermain untuk sebuah kelab tempatan didakwa di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu atas tuduhan membunuh adik perempuannya minggu lalu.

    Arden Mattson Maturin, 26, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

    Berita Harian melaporkan tiada pengakuan direkodkan dan Majistret Jessica Ombou Kakayun menetapkan 14 Jun ini untuk sebutan semula kes.

    Pendakwaan dikendalikan Albert Basiri, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Berdasarkan kertas pertuduhan, Arden didakwa membunuh Audrey, 24, antara 3.30 hingga 4.30 petang di rumah Nombor 10, Taman Prestij, Jalan Signall Hill, di Kota Kinabalu pada 4 Mei lalu.

    Media melaporkan mangsa ditemui ayahnya kira-kira 4.50 petang hari sama dalam keadaan tertiarap, berlumuran darah dan tidak sedarkan diri dengan kesan kecederaan di muka.

    Mangsa disahkan meninggal dunia pada 10.30 malam Sabtu lalu, selepas dua hari dirawat di Hospital Queen Elizabeth.

  • Tiga dipenjara simbah cat merah, beri notis ugutan

    Tiga dipenjara simbah cat merah, beri notis ugutan

    MAHKAMAH Sesyen Seremban hari ini menjatuhkan hukuman penjara selama 26 hari terhadap tiga lelaki atas pertuduhan menyimbah cat berwarna merah dan memberi notis berunsur ugutan di rumah dua wanita bulan lalu.

    Hukuman tersebut dijatuhkan selepas semua mereka mengaku bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Norshila Kamaruddin.

    Beliau turut berpesan kepada kesemua tertuduh, Ameerul Ridhuan Shamsudin, 29, yang bekerja sendiri, Mohd. Lutfi Laily, 31, bekerja sebagai penghantar makanan dan Mohd Rusdy Safuan Laily, 29, tidak bekerja supaya tidak lagi melakukan kesalahan itu.

    “Jangan nak ugut-ugut lagi. Dah insaf ke belum,” soalnya, lapor Sinar Harian.

    Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh sebagai wakil pemberi pinjaman tanpa lesen didapati telah mengganggu peminjam wang iaitu seorang wanita berusia 41 tahun dengan menyimbah cat berwarna merah di pekarangan rumah dan pagar rumah mangsa serta memberikan notis berunsur ugutan ‘ini peringatan pertama hutang wang, bayar wang. Jika awak orang masih tak nak selesaikan hutang, new year saya buat teruk’.

    Kesalahan itu dilakukan pada 22 April 2023, pukul 5.42 pagi di sebuah rumah di Taman Pinggiran Golf di Seremban.

    Berikutan itu tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 29B(1) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan hukuman Seksyen 29B(1) Akta Pemberi Pinjam Wang.

    Sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM50,000 dan tidak melebihi RM250,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

    Sekiranya ia kesalahan kedua atau berturutan, akan dikenakan sebatan.

    Mengikut pertuduhan kedua, mereka turut melakukan kesalahan sama di rumah seorang wanita berusia 52 tahun dengan memberikan notis berunsur ugutan ‘jangan cat kami tukar jadi petrol’.

    Kesalahan itu dilakukan pada 22 April 2023 pukul 5.30 pagi di Taman Paroi Jaya di Seremban.

    Kesemua tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu diberi hukuman ringan kerana masing-masing perlu menjaga ibu yang sedang sakit selain mengaku sudah insaf.

    Timbalan Pendakwa Raya, M. Kalaivaanan mohon hukuman berat terhadap kesemua tertuduh yang dapat memberi pengajaran dengan mengambil kira kepentingan awam lebih daripada kepentingan peribadi.

    Katanya, ia juga sebagai mesej jelas kepada orang lain agar tidak melakukan kesalahan sama.

    Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman 12 hari penjara bagi pertuduhan pertama dan 14 hari penjara bagi pertuduhan kedua serta tertuduh diminta tidak berhubung lagi dengan pengadu.

  • Dua lelaki didakwa kes letupan guna alat kawalan jauh

    Dua lelaki didakwa kes letupan guna alat kawalan jauh

    DUA lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan menyebabkan letupan di depan sebuah kedai minggu lalu.

    Alex Lau, 32, dan Lai Meng Sien, 34, membuat pengakuan itu apabila pertuduhan dibaca kepada mereka di depan Majistret Nur Farahain Roslan, lapor FMT.

    Kedua-duanya didakwa dengan niat bersama melakukan perbuatan itu di bawah Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

    Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya.

    Lau dan Lai didakwa menyebabkan letupan di depan sebuah kedai di kondominium Tiara Mutiara 1 di Jalan Puchong dan Jalan Klang Lama pada 6 pagi 2 Mei lalu.

    Dua tertuduh itu didakwa mengubah suai paip PVC menjadi bahan letupan buatan sendiri (IED) yang diledakkan melalui kawalan jauh untuk menyebabkan letupan.

    Peguam Izhar Ahmad Azmi yang mewakili kedua-duanya, merayu ikat jamin rendah.

    Mahkamah membenarkan ikat jamin RM3,000 bersama seorang penjamin untuk setiap tertuduh serta mereka perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

    Mahkamah menetapkan 22 Jun ini untuk serahan dokumen oleh pendakwaan kepada pembelaan.

  • Pengurusan kes rayuan pembebasan Zahid 28 Julai

    Pengurusan kes rayuan pembebasan Zahid 28 Julai

    MAHKAMAH Rayuan menetapkan 28 Julai untuk pengurusan kes bagi rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan Datuk Seri Dr Zahid Hamidi daripada 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN).

    Pengurusan kes untuk rayuan itu dijalankan di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Rayuan Nurul Azrina Mohamed Yusof hari ini yang menetapkan tarikh pengurusan kes baharu itu.

    Peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik, ketika dihubungi Bernama, mengesahkan tarikh pengurusan kes selanjutnya ditetapkan berikutan permohonan pihak pendakwaan untuk tarikh lain bagi Jabatan Peguam Negara menimbangkan representasi Zahid untuk pihak pendakwaan menghentikan rayuannya.

    Pihak pendakwaan memfailkan notis rayuan kepada Mahkamah Rayuan pada 26 Sept tahun lepas terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membebaskan dan melepaskan Zahid, yang kini timbalan perdana menteri, daripada semua pertuduhan selepas memutuskan bahawa pihak pendakwaan tidak dapat membuktikan kes prima facie terhadapnya.

    Presiden UMNO itu mengaku tidak bersalah atas 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah SG$13.56 juta daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) untuk dirinya sebagai menteri dalam negeri bagi menyambung kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan pusat sehenti (OSC) di China dan sistem VLN, serta mengekalkan kontraknya dengan Kementerian Dalam Negeri untuk membekalkan sistem bersepadu VLN.

    Mengikut pertuduhan, Zahid didakwa melakukan kesalahan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan di Country Heights, Kajang, antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

    Beliau juga didakwa atas 33 pertuduhan alternatif di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan, iaitu beliau didakwa atas kapasitinya sebagai menteri dalam negeri menerima rasuah berjumlah S$13.56 juta berhubung sistem VLN antara 2014 dan 2017.

    Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu didakwa memperoleh untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000; RM3.125 juta; 15,000 Swiss Franc dan USD15,000 daripada syarikat sama yang diketahui mempunyai kaitan dengan tugas rasmi beliau.

    Zahid didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Country Heights Kajang antara Jun 2015 dan Oktober 2017.

    Dalam petisyen rayuan difailkan pada 29 Dis tahun lepas, pihak pendakwaan mengemukakan 14 alasan tertumpu kepada dapatan fakta dan undang-undang yang dibuat oleh hakim Mahkamah Tinggi mengenai persoalan sama ada berlakunya pemberian dan penerimaan wang secara rasuah dalam kes tersebut.