Category: Mahkamah

  • Penolong jurutera MPKS didakwa terima suapan bagi projek kecil kampung

    SEORANG penolong jurutera Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima suapan RM5,000 sebagai balasan berkaitan projek pihak berkuasa tempatan (PBT), tahun lalu.

    Nurul Azmunir Ahmad, 40, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Muhamad Anas Mahadzir.

    Menurut pertuduhan, Nurul Azmunir yang ketika itu berkhidmat di Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) sebagai penolong jurutera, didakwa menerima wang tunai RM5,000 daripada seorang lelaki berusia 46 tahun yang mempunyai hubungan dengan tugas rasminya di Jabatan Kejuruteraan MDKS, dengan memberikan nilai anggaran jabatan untuk sebut harga bagi Projek-Projek Kecil Kampung Baru/Bagan/Tersusun Negeri Selangor.

    Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Taman Kuala Selangor Utama, Kuala Selangor dekat sini antara pukul 5 petang dan 7 malam pada 15 Jan 2020, yang mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya.

    Mahkamah membenarkan tertuduh yang diwakili peguam Hamdan Hamzah, diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah serta menetapkan 13 Sept sebagai sebutan semula kes.

    Sementara itu, di mahkamah sama tiga anggota polis berpangkat lans koperal dan konstabel masing-masing mengaku tidak bersalah atas pertuduhan rasuah.

    Ketiga-tiga tertuduh, Lans Koperal Mohamad Taufik Abdul Aziz, 31, dan dua lagi Konstabel iaitu Mohamad Fazli Nordin, 28, dan Shahrul Norhan Sirhan, 26, didakwa dengan niat bersama memperoleh suapan wang tunai RM2,000 daripada seorang lelaki berusia 37 tahun sebagai dorongan untuk tidak melaporkan kesalahan yang dilakukan iaitu aktiviti tidak dibenarkan semasa Fasa Satu Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

    Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di Lorong Haji Mughni, Kampung Jalan Kebun, Seksyen 30, dekat sini, pada 25 Jun lepas.

    Pertuduhan di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Tertuduh juga menghadapi pertuduhan pilihan iaitu atas dakwaan kesalahan sama yang mempunyai hubungan dengan tugas rasmi sebagai anggota polis mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

    Mahkamah membenarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dan mereka perlu melapor diri di pejabat SPRM terdekat setiap bulan dan menetapkan sebutan semula kes pada 13 Sept.

    Ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam Tham Weng Kin, Faizah Khalilah Zaberi dan ‘Azi ‘Azlin Zulkifli. Pendakwaan bagi kesemua kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM Fadhli Ab Wahab.- BERNAMA

  • Dua pemungut telur penyu dihukum gantung sampai mati

    Dua pemungut telur penyu dihukum gantung sampai mati

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Terengganu hari ini menjatuhkan hukumam sampai mati ke atas dua pemungut telur penyu setelah didapati bersalah membunuh seorang lelaki dalam kejadian pada 3 Jun 2016.

    Hakim Datuk Zainal Azman Ab Aziz menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Faizol Aznan Muhamad, 40, dan Mohd Riduan Ismail, 32, setelah mendapati pihak pembelaan kedua-dua tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah.

    Mengikut pertuduhan kes, kedua-dua lelaki terbabit bersama seorang lagi yang masih bebas dituduh membunuh Razak Abdullah, 50, yang juga merupakan pemungut telur penyu di tepi Pantai Geliga, berhadapan Sekolah Kebangsaan Geliga Cukai, Kemaman, sekitar pukul 7 pagi pada 3 Jun 2016.

    Berikutan itu, mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan dibaca bersama Seksyen 35 kanun sama.

    Bagi kesalahan tersebut, mereka boleh dihukum gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.

    Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Engku Ahmad Rashdi Engku Abdillah dan Intan Nor Hilwani Mat Rifin, manakala kedua- dua tertuduh diwakili peguam Masliela Ismail dan Ghazali Ismail daripada Tetuan Ghazali Ismail & Co.

  • Tiga anggota polis didakwa terima suapan RM2,000

    Tiga anggota polis didakwa terima suapan RM2,000

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    TIGA anggota polis berpangkat Lans Koperal dan Konstabel dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas pertuduhan menerima rasuah RM2,000 supaya tidak melaporkan kesalahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Jun lalu.

    Lans Koperal Mohamad Taufik Abdul Aziz, 31, Konstabel Mohamad Fazli Nordin, 28, dan Konstabel Shahrul Norhan Sirhan, 26, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Muhamad Anas Mahadzir.

    Mengikut pertuduhan, mereka didakwa dengan niat bersama memperoleh suapan RM2,000 daripada seorang lelaki berusia 37 tahun.

    Suapan itu sebagai dorongan supaya tidak melaporkan kesalahan yang dilakukan iaitu menjalankan aktiviti tidak dibenarkan sepanjang PKP di Lorong Haji Mughni, Kampung Jalan Kebun di sini pada 25 Jun lalu.

    Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

    Hukuman itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Mereka turut berdepan satu pertuduhan pilihan iaitu bagi kesalahan sama di lokasi, tarikh dan masa sama, didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Fadhli Ab. Wahab mencadangkan setiap tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM7,000 serta melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

  • Amang seksual: Ustaz Budak direman enam hari

    Amang seksual: Ustaz Budak direman enam hari

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    SEORANG Mudir pondok dikenali juga sebagai ‘Ustaz Budak’ ditahan reman selama enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan dakwaan berhubung kes amang seksual terhadap seorang remaja lelaki, Selasa lalu.

    Perintah tahanan reman tersebut dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Kota Bharu, Nor Faezah Abdullah.

    Lelaki berusia 33 tahun itu ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

    Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, lelaki berkenaan ditahan pada pukul 1 pagi tadi di sebuah rumah di Machang.

    Menurut beliau, penahanan itu dilakukan susulan laporan yang dibuat oleh mangsa iaitu remaja lelaki berusia 13 tahun yang mendakwa suspek melakukan amang seksual terhadapnya di sebuah rumah di Kampung Sat Tengah, Tanah Merah, 8 pagi, Selasa lalu.

    “Mangsa diminta mengurut badan lelaki itu di ruang tamu sebelum mengajak mangsa masuk ke dalam bilik kerana takut dilihat orang.

    “Ketika di dalam bilik, suspek dipercayai melakukan amang seksual terhadap mangsa sebelum remaja itu minta diri untuk ke bilik air,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini, lapor Harian Metro

    Beliau berkata, susulan kejadian itu mangsa membuat laporan polis pada pukul 10.44 malam semalam sebelum suspek ditahan.

  • Agong tertakluk nasihat Kabinet, kata Mahkamah Persekutuan tolak saman Anwar

    Agong tertakluk nasihat Kabinet, kata Mahkamah Persekutuan tolak saman Anwar

    MAHKAMAH Persekutuan hari ini berkata Yang di-Pertuan Agong tertakluk kepada nasihat Kabinet ketika mengumumkan penghakiman sekali gus menolak saman yang dikemukakan Presiden PKR Anwar Ibrahim yang menuntut pengisytiharan Akta Majlis Keselamatan Negara sebagai tidak mengikut Perlembagaan.

    Anwar menuntut pengisytiharan tersebut dengan alasan Akta MKN menjadi undang-undang berdasarkan “pindaan tidak berperlembagaan”, dan berikutan itu enakmen-enakmen di bawahnya melanggar Artikel 149 Perlembagaan serta Artikel 9 (2) mengenai kebebasan untuk bergerak.

    Anwar merujuk pindaan Artikel 66 pada tahun 1994 ketika negara di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) di mana beliau menjadi timbalan perdana menteri ketika itu.

    Pindaan tersebut menyatakan rang undang-undang yang diluluskan di Parlimen akan secara serta-merta menjadi undang-undang dalam masa 30 hari setelah ia dikemukakan kepada Agong, walaupun ketika ia tidak mendapat persetujuan raja.

    Portal Malaysia Now melaporkan, dalam penghakiman tersebut, lima hakim berkata Agong masih tertakluk kepada had-had Perlembagaan.

    “Yang di-Pertuan Agong tidak diragukan merupakan Ketua Tertinggi Persekutuan berdasarkan Artikel 32 Perlembagaan Persekutuan .

    “Namun, Artikel 39 dan 40 Perlembagaan menetapkan bahawa Agong akan bertindak sesuai dengan nasihat Kabinet atau menteri yang diberi kuasa oleh Kabinet melainkan dalam hal-hal di bawah budi bicara Agong sebagaimana yang termaktub dalam Klausa (2) Artikel 40 Perlembagaan Persekutuan,” kata penghakiman yang ditulis oleh Zaleha Yusof, Zabariah Mohd Yusof, Hasnah Mohammed Hashim, Mary Lim Thiam Suan dan Rhodzariah Bujang.

    Mahkamah selanjutnya berkata persetujuan raja tidak pernah menjadi sebahagian daripada tindakan eksekutif Agong.

    “Ini adalah langkah terakhir proses perundangan sebelum rang undang-undang menjadi undang-undang,” tambahnya.

    Keputusan hari ini tampil selepas perbahasan hangat mengenai kuasa Agong selepas gesaan Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah pada Jun supaya sidang Parlimen diadakan secepat mungkin, selain beberapa tindakan kerajaan baru-baru ini dalam usaha membatalkan ordinan-ordinan darurat.

    Ini kemudian disusuli tuduhan “derhaka” terhadap Agong oleh ahli parlimen pembangkang terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

    Akta MKN dibentangkan semasa pentadbiran Najib Razak pada tahun 2015, yang antara lain memperuntukkan penubuhan sebuah Majlis Keselamatan Negara yang dipengerusikan oleh perdana menteri.

    RUU tersebut tidak mendapat persetujuan segera pihak istana, namun ia kemudian menjadi undang-undang selari dengan tempoh waktu 30 hari selepas ia diserahkan kepada Agong.

  • Peguam Kanan Persekutuan terkait rasuah didenda RM130,000, penjara sehari

    Peguam Kanan Persekutuan terkait rasuah didenda RM130,000, penjara sehari

    SEORANG Peguam Kanan Persekutuan dijatuhkan hukuman denda RM130,000 dan dipenjara sehari selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang hari ini atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM700,000 tahun lalu.

    Tertuduh, Lim Cheah Yit, 43, mengaku bersalah bagi kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid.

    Mengikut ketiga-tiga pertuduhan, dia sebagai pegawai badan awam iaitu Peguam Kanan Persekutuan yang bertugas di Jabatan Peguam Negara Pulau Pinang telah bersetuju menerima untuk dirinya wang tunai berjumlah RM700,000.

    Dia didakwa menerimanya daripada seorang lelaki yang diketahui mempunyai urusan rasmi yang akan dijalankan dengan Pegawai Pendakwaan Negeri Pulau Pinang iaitu bagi menuduh seorang lelaki lain di mahkamah atas kesalahan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

    Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa bersetuju menerima RM500,000 di dalam bilik sebuah pusat karaoke di Gurney Paragon Mall, dekat sini kira-kira pukul 7 malam 8 Mac 2020.

    Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa bersetuju menerima RM100,000 di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Alor Setar, Kedah kira-kira pukul 12.43 tengah hari pada 18 Mei 2020.

    Bagi pertuduhan ketiga pula, dia didakwa bersetuju menerima RM100,000 di AC Hotel Penang, Bukit Jambul, dekat sini kira-kira pukul 12.19 tengah hari pada 1 Jun 2020.

    Kesemua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mukhzany Fariz Mohd. Mokhtar manakala tertuduh diwakili peguam S. Devanandan.

    Cheah Yit kemudiannya dihantar ke Penjara Seberang Perai di Jawi, Nibong Tebal di sini bagi menjalani hukuman penjara sehari yang berjalan serentak selepas selesai membayar denda.

  • Syed Saddiq mengaku tidak bersalah dua pertuduhan gubah wang haram

    Syed Saddiq mengaku tidak bersalah dua pertuduhan gubah wang haram

    AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas dakwaan terlibat dengan aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM100,000.

    Bekas Menteri Belia dan Sukan berusia 29 tahun itu membuat pengakuan tersebut selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

    Mengikut pertuduhan, beliau didakwa memindahkan wang sebanyak RM50,000 sebanyak dua kali dari akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) juga miliknya yang merupakan hasil aktiviti haram.

    Perbuatan itu dilakukan secara berasingan di Maybank Islamic Berhad beralamat di Nombor 17 dan 19, Jalan Persisiran Perling, Taman Perling di sini pada 16 Jun dan 19 Jun 2018.

    Syed Saddiq didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama.

    Jika sabit kesalahan, beliau boleh dikenakan penjara maksimum 15 tahun dan juga boleh didenda sehingga lima kali ganda atau hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta, mengikut mana yang lebih tinggi.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ahmad Akram Gharib dan Mohd. Afif Ali.

    Syed Saddiq yang sebelum itu tiba di pekarangan Mahkamah Sesyen Johor Bahru kira-kira pukul 9 pagi diwakili peguam, Gobind Singh Deo.

    Wan Shaharuddin memohon mahkamah membenarkan ikat jamin terhadap Syed Saddiq mengguna pakai jaminan sama yang dikenakan terhadap beliau ketika menghadapi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 22 Julai lalu.

    Pihak pendakwaan turut memohon agar mahkamah memindahkan kes itu ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kerana semua saksi pendakwaan adalah saksi yang sama bagi kes dihadapi tertuduh di Kuala Lumpur.

    Mahkamah kemudian membenarkan semua permohonan pendakwaan dan menetapkan 10 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

    Pada 22 Julai lalu, bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) itu berdepan pertuduhan menyeleweng dana politik kira-kira RM1 juta dan kesalahan menyalahgunakan wang sumbangan kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 sebanyak RM120,000.

    Bagaimanapun, beliau membuat pengakuan tidak bersalah ke atas kedua-dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

  • Salah guna kuasa: Pengurus Felda direman lima hari

    Salah guna kuasa: Pengurus Felda direman lima hari

    Oleh:Bernama

    SEORANG pengurus Felda direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes salah guna kuasa membabitkan projek pertanian berjumlah RM64,739.

    Perintah reman dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Malaya Kuantan Humairah KM Haider selepas menerima permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

    Lelaki berusia 38 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Pahang, di sini, selepas hadir memberi keterangan kira-kira 7 malam semalam.

    Suspek yang tiba di Kompleks Mahkamah Kuantan pada 9.30 pagi dengan berkemeja-T lokap SPRM, disyaki menggunakan kedudukannya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perolehan Rancangan (JKPR) melantik syarikat yang mempunyai kepentingan dengan dirinya.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Pahang Hairuzam Mohmad Amin @ Hamim mengesahkan penahanan lelaki itu dan menyatakan kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009. – BERNAMA

  • Lelaki Nigeria dihukum gantung sampai mati bunuh ketua jururawat

    Lelaki Nigeria dihukum gantung sampai mati bunuh ketua jururawat

    Seorang lelaki Nigeria dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas didapati bersalah membunuh Ketua Jururawat Hospital Serdang, Siti Kharina Mohd Kamarudin yang mayatnya ditemukan dalam unit kondominium dekat Cyberjaya pada Mei 2019.

    Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman menjatuhkan hukuman itu terhadap Alowonle Oluwajuwon Gilbert, 38, selepas mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan dan keterangan tertuduh hanya bersifat penafian semata-mata.

    Dalam penghakimannya, Ab Karim berkata kenyataan tertuduh bahawa dia telah meninggalkan kediaman mangsa pada 8 Mei 2019 adalah bertentangan dengan bukti rakaman kamera litar tertutup di Kondominium Third Avenue, Cyberjaya, yang merakam kelibat tertuduh pada keesokan hari.

    “Maka kenyataan tertuduh bahawa beliau tidak lagi bersama mangsa pada 8 Mei 2019 dan telah meninggalkan kediaman itu hanyalah semata-mata penafian,” katanya.

    Gilbert yang memakai pakaian penjara warna putih kelihatan menangis sebaik keputusan hukuman dijatuhkan.

    Dalam pada itu, Ab Karim berkata, pihak pembelaan juga tidak mempertikaikan baju yang dipakai tertuduh pada hari kejadian yang mempunyai kesan darah dan asid deoksiribonukleik (DNA) milik mangsa.

    Bagaimanapun ujar beliau, mahkamah membenarkan penangguhan hukuman itu sehingga selesai keputusan rayuan pihak pembelaan di Mahkamah Rayuan.

    Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Tengku Intan Suraya Tengku Ismail manakala tertuduh diwakili peguam Shafinah Taib.

    Gilbert dituduh membunuh Siti Kharina di sebuah unit Kondominium Third Avenue, Cyberjaya antara pukul 12.41 pagi, 9 Mei 2019 hingga 2.30 petang, 15 Mei 2019.
    Dia dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

    Pada 16 Mei 2019, media melaporkan penemuan mayat Siti Kharina selepas polis menerima maklumat daripada orang awam yang melihat darah mengalir keluar daripada unit kondominium berkenaan.

    Mayat ketua jururawat itu ditemui terbaring dalam keadaan tidak berpakaian lengkap selain terdapat kesan kelar pada dada, leher serta kepala mangsa dan polis percaya Siti Kharina telah dibunuh dalam tempoh empat hingga lima hari berdasarkan keadaan mayatnya.

    Sementara itu, adik mangsa, Siti Khairani Mohd Kamarudin, 38, berkata, selama ini mereka mendoakan keadilan dalam kes kakaknya.

    “Tidak kira siapa yang menang sama ada dia atau kakak saya namun kita mahu keadilan.

    “Saya harap keputusan ini yang terakhir dan tidak perkara berkait lagi selepas ini,” katanya.

    Terdahulu Siti Khairani turut menangis kegembiraan sebaik hakim menjatuhkan hukuman mati ke atas tertuduh.

  • ASP mengaku tidak bersalah minta, terima rasuah

    ASP mengaku tidak bersalah minta, terima rasuah

    Seorang pegawai kanan polis berpangkat Asisten Superintendan (ASP) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah pada 2018.

    Tertuduh, Ameyrudin Ahmad Zuki, 40, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Ahmad Azhari Abd. Hamid.

    Mengikut pertuduhan pertama, dia sebagai seorang ejen kerajaan iaitu Penolong Penguasa Polis didakwa secara rasuah menyetujui untuk menerima suapan RM20,000 daripada Muhamad Hisham Aziz.

    Perbuatan itu sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdaganan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 terhadap Muhamad Hisham.

    Dia didakwa melakukan kesalahan itu di dalam biliknya di Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah kira-kira pukul 12 tengah hari pada 5 Ogos 2018.

    Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

    Sementara itu, bagi pertuduhan kedua pula, Ameyrudin didakwa secara rasuah menerima suapan RM15,000 daripada individu sama sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang tersebut.

    Dia didakwa melakukan kesalahan itu di dalam kereta jenis Perodua Axia di hadapan premis Hometown The Houseware Outlet di daerah Seberang Perai Tengah di sini kira-kira pukul 4.30 petang pada 7 Ogos 2018.

    Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

    Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana-mana lebih tinggi bagi kedua-dua kesalahan.

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Azlan Basri, manakala tertuduh diwakili peguam Shahrullah Khan.

    Mahkamah turut membenarkan diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin manakala 14 September ini ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula.

    Sementara itu, kira-kira 15 individu yang mengenakan pakaian hampir sama dengan Ameyrudin iaitu berbaju hitam yang mengenakan topi turut hadir ke mahkamah bagi mengiringi tertuduh.

    Mereka tiba dengan menaiki beberapa kenderaan termasuk dua buah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard.

    Usaha jurugambar merakam foto tertuduh juga tidak berjaya apabila beberapa individu itu dipercayai berpura-pura mengiringi tertuduh sambil menutup kepala dengan sehelai jaket.

    Dalam masa sama,  Ameyrudin dipercayai keluar melalui pintu belakang sejurus membayar jaminan.