Category: Mahkamah

  • Skandal terowong: Guan Eng pernah jumpa pemilik CZBUCG

    Skandal terowong: Guan Eng pernah jumpa pemilik CZBUCG

    MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng bertemu Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli, bagi membincangkan perkembangan projek terowong dasar laut di negeri itu.

    Memetik laporan BH, bekas Setiausaha Sulit Guan Eng, Farida Hani Yacob, dalam keterangannya berkata, pertemuan dengan Zarul yang juga pemilik syarikat Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group (CZBUCG) itu sering diadakan di Pejabat Ketua Menteri di Bangunan KOMTAR.

    Saksi keenam pendakwaan itu berkata, beliau mula mengenali Zarul sejak media mula melaporkan tentang projek terowong di Pulau Pinang sebagai pemilik CZBUCG, berdasarkan keadaan pada masa itu serta maklumat pegawai.

    “Seingat saya, pertemuan yang disusun membabitkan temu janji antara Zarul dan Guan Eng kurang daripada lima kali.

    “Sekiranya Zarul datang ke pejabat Ketua Menteri, beliau akan terus ke bilik mesyuarat atau bilik VIP tanpa melalui bilik saya,” katanya ketika membacakan pernyataan saksi pada perbicaraan yang dihadapi Guan Eng.

    Sementara itu seorang lagi saksi, Pengurus Besar WCT Construction Sdn Bhd, Ooi Bok Thian, 49, berkata walaupun syarikatnya mempunyai pengalaman dalam projek pembinaan terowong dasar laut, namun markah penilaian teknikal dan kewangan bagi projek hanyalah sebanyak 59.

    Sebaliknya, Bok Thian, berkata syarikat CZBUCG mendapat markah tertinggi sebanyak 93 bagi keseluruhan penilaian teknikal dan kewangan bagi projek pembinaan jalan utama dan terowong dasar laut di Pulau Pinang.

    “Markah kedua tertinggi ialah China State Construction Engineering Corporation Ltd & VST Cemerlang Sdn Bhd sebanyak 77,” katanya.

    Beliau berkata, WCT menjalankan usaha sama dengan Kumpulan Daewoo kerana syarikat itu terbabit dalam projek mega pembinaan terowong dasar laut di Korea Selatan.

    Ahli Parlimen Bagan itu didakwa atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan negeri Pulau Pinang yang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu.

    Guan Eng dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Tingkat 21, KOMTAR di sini, pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.

    Beliau didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara di antara enam bulan dan lima tahun serta sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

    Guan Eng turut didakwa atas tuduhan pindaan, iaitu sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan bagi dirinya sendiri, wang berjumlah RM3,300,000 dengan mengambil tindakan, bagi membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli yang dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang yang bernilai RM6,341,383,702.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, KOMTAR, Georgetown, Pulau Pinang.

    Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Bagi pertuduhan pindaan kedua, Guan Eng didakwa ketika menjawat jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang meminta suapan, iaitu balasan berjumlah 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh kelak daripada Zarul sebagai upah bagi melakukan perkara yang dicadangkan, iaitu membantu syarikat milik ahli perniagaan berkenaan dilantik untuk projek sama.

    Beliau dituduh melakukan perbuatan itu berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, di sini pada Mac 2011, di antara 12.30 pagi hingga 2 pagi.

    Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 16 Akta SPRM yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung esok.

  • Cuba sogok pegawai KPDNHEP, pengarah syarikat didenda RM70,000

    Cuba sogok pegawai KPDNHEP, pengarah syarikat didenda RM70,000

    MAHKAMAH Sesyen Seremban hari ini menjatuhi hukuman denda sebanyak RM70,000 ke atas seorang pengarah syarikat selepas tertuduh mengaku salah menawarkan rasuah kepada Pegawai Penyiasat Kementerian Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Januari tahun lalu.

    Tertuduh, Wong Yeng Fart, 49, mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan itu dihadapan Hakim Madihah Harullah.

    Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara 12 bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

    Mengikut kertas pertuduhan, Yeng Fart secara rasuah memberi wang tunai RM100,000 kepada dua individu iaitu seorang penolong pegawai penguat kuasa dan seorang pegawai penguat kuasa KPDNHEP Negeri Sembilan yang bertugas di Unit Kawalan Bekalan, Seksyen Penguat Kuasa.

    Sogokan tersebut sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap semua pemilik Syarikat Viss Motor Parts Sdn Bhd yang melakukan kesalahan mengikut Akta Cap Dagangan 2019.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan pada 4 Februari tahun lalu, di sebuah restoran di Seremban 2.

    Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta yang sama.

    Jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

    Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali manakala tertuduh diwakili Peguam KF Wong & Lee.

  • Waran tangkap terhadap Clare Rewcastle-Brown

    Waran tangkap terhadap Clare Rewcastle-Brown

    MAHKAMAH Majistret Kuala Terengganu hari ini mengeluarkan waran tangkap terhadap Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown, kerana gagal menghadirkan diri untuk dituduh berkaitan kes fitnah terhadap Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.

    Memetik laporan BH, perintah itu dikeluarkan Majistret Nordiana Abd Aziz selepas pihak pendakwaan memohon satu waran tangkap dikeluarkan terhadap Rewcastle-Brown, 62.

    Rewcastle-Brown berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah melalui buku The Sarawak Report-The Inside Story of the 1MDB Expose.

    Nordiana kemudian menetapkan 23 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Engku Ahmad Rashdi Engku Abdillah, Noor Haslinda Che Seman dan Nadia Zulkefli.

    Terdahulu, Sultanah Nur Zahirah memfailkan saman fitnah terhadap Rewcastle-Brown berhubung fitnah dalam buku ‘The Sarawak Report-The Inside Story of the 1MDB Expose’ dan menuntut ganti rugi am sebanyak RM100 juta.

    Sultanah Nur Zahirah yang memfailkan saman pada 21 November 2018, mendakwa kenyataan berbaur fitnah itu antara lain bermaksud baginda terbabit dalam amalan rasuah dan mencampuri urusan pentadbiran Kerajaan Terengganu, selain menggunakan status baginda untuk mempengaruhi penubuhan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) yang kemudian dikenali sebagai 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Sultanah Nur Zahirah juga mendakwa kenyataan itu membawa maksud baginda membantu ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low menjadi penasihat TIA.

  • Ahmad Zahid tiada hak tuntut kekebalan daripada pendakwaan

    Ahmad Zahid tiada hak tuntut kekebalan daripada pendakwaan

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur diberitahu hari ini bahawa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak kebal daripada didakwa hanya kerana mendedahkan maklumat transaksi berkaitan yayasan kebajikan, Yayasan Akalbudi (YAB) yang dijalankan keluarganya.

    Ketua pendakwaan Datuk Raja Rozela Raja Toran  berkata tuntutan tertuduh untuk kekebalan tidak boleh didengar oleh mahkamah kerana ia tidak mempunyai  kuasa untuk mengetepikan pertuduhan berdasarkan kekebalan.

    Beliau berhujah pihak pembelaan bergantung kepada Seksyen 30 (7) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 untuk menuntut kekebalan tetapi seksyen itu tidak memberikan kekebalan hanya pengecualian daripada didakwa dengan pertimbangan pendakwa raya kepada orang tertentu yang membantu siasatan.  

    “Pihak pendakwa raya mengambil keputusan bahawa tertuduh tidak berhak untuk diberi kekebalan. Bahkan beliau tidak mempunyai hak untuk menuntut kekebalan di bawah Seksyen 30 (7).

    Seksyen 30 (7) apabila dibaca berdasarkan konteks menyeluruh perundangan, ia digubal untuk menggalakkan saksi-saksi untuk bekerjasama mendedahkan maklumat dan dokumen bagi membantu SPRM dalam siasatannya.

    “Seksyen ini terpakai kepada mereka yang mendedahkan maklumat atau dokumen dan maklumat atau dokumen itu sebaliknya mendedahkan individu berkenaan kepada penjenayah atau tindakan atau tuntutan sivil,” katanya dalam hujahan untuk mematahkan hujahan pembelaan mengenai kekebalan tertuduh di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

    Sebelum ini, ketua pembelaan Hisyam Teh Poh Teik berhujah bahawa Ahmad Zahid telah membuat kenyataan pada 2 dan 3 Julai 2018 dan dengan membuat pendedahan itu menerusi dua kenyataan, Presiden UMNO itu sepatutnya mendapat kekebalan daripada pendakwaan di bawah Seksyen 30 (7).  

    Raja Rozela berkata pihak pembelaan tersilap anggap bahawa kes pendakwaan dibicarakan berdasarkan kedua-dua kenyataan itu.

    “Sebaliknya, pihak pendakwaan bersandarkan kepada bukti daripada 99 saksi, kebanyakannya orang awam yang kenyataan mereka dirakamkan oleh SPRM.  Tidak pernah pendakwa raya atau SPRM melakukan sesuatu bagi menggalakkan tertuduh mempercayai bahawa beliau akan diberikan kekebalan. 

    Seksyen 30(7) tidak mengandungi perkataan kekebalan. Jika Parlimen merancang untuk menyediakan kekebalan di bawah Seksyen 30 (7), ia akan menyatakannya dengan jelas,” kata beliau. 

    Timbalan Pendakawa Raya itu kemudian berhujah bahawa SPRM mempunyai kuasa di bawah Seksyen 30(7) untuk memanggil siapa sahaja untuk memberikan maklumat termasuk mereka yang masih belum didakwa di mahkamah sebagai sebahagian daripada proses siasatan.

    “Jika SPRM merekodkan kenyataan daripada saksi dan semua mereka dilindungi, setiap orang adalah kebal, maka apa tujuan siasatan dibuat? Di mana letaknya SPRM ? Adalah tidak masuk akal untuk menyatakan Ahmad Zahid tidak perlu didakwa hanya kerana beliau telah memberikan makluamt kepada SPRM,” katanya.

    Ahmad Zahid, 68, berhadapan 47 pertuduhan – 12 daripadanya adalah pecah amanah, lapan berhubung rasuah dan 27 mengenai pengubahan wang haram, melibatkan puluhan juta ringgit milik YAB. 

    Pihak pendakwaan akan menyambung penghujahannya pada 4 Okt ini.- BERNAMA

  • Syarikat didenda RM30,000 gagal pastikan keselamatan pekerja

    Syarikat didenda RM30,000 gagal pastikan keselamatan pekerja

    SEBUAH syarikat pembuatan acuan plastik didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen Bandar Baru Bangi di sini hari ini kerana gagal memastikan keselamatan terhadap pekerjanya sehingga menyebabkan kematian.

    Hakim Effandi Nazila Abdullah menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Syarikat Ryoka (Malaysia) Sdn. Bhd selepas Pengurus Sumber Manusianya, S. Letchumi Kaanthan, 44, yang mewakili syarikat itu mengaku bersalah atas pertuduhan itu.

    Mahkamah turut memerintahkan wakil syarikat itu dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda. Syarikat itu bagaimanapun membayar denda dikenakan.

    Mengikut pertuduhan, Ryoka (Malaysia) sebagai majikan didakwa telah gagal memastikan setakat yang praktik, keselamatan, kesihatan dan kebajikan semasa bekerja bagi pekerja syarikat itu, Azman Abdullah, 29, dengan gagal mengadakan latihan bagi kerja-kerja pengacuan suntikan sehingga menyebabkan kemalangan maut ke atas mangsa.

    Kesalahan itu dilakukan di Lot 9, Jalan P/1, Bangi Industrial Estate, Seksyen 13, Bandar Baru Bangi, Selangor pada 11.45 pagi, 5 Nov 2019.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 15(2)(c) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 19 akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

    Pegawai Pendakwa dari Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negeri Selangor Idris Abdul Rahman memohon hukuman setimpal, mengambil kira faktor kepentingan awam dan pekerja.

    “Dalam kes ini, syarikat itu gagal memberikan latihan sepatutnya sehingga menyebabkan kemalangan maut. Oleh itu, pihak pendakwaan memohon hukuman setimpal agar dapat memberi pengajaran kepada OKS (Orang Kena Saman) dan golongan majikan di luar sana supaya tidak mengambil mudah tentang keselamatan dan kebajikan pekerja pada masa akan datang,” katanya.

    Peguam R Maran yang mewakili syarikat itu memohon hukuman ringan atas alasan kesalahan itu diakui oleh anak guamnya dan ia pertama kali berlaku sepanjang syarikat berkenaan beroperasi lebih 30 tahun.

    “Hari ini, pengarah urusan syarikat datang ke mahkamah untuk mendengar prosiding kes. Pihak syarikat juga telah selesai memberi pampasan kepada keluarga mangsa selepas kejadian tersebut,” kata peguam itu.- BERNAMA

  • Anggota polis mengaku tidak bersalah terima rasuah RM700

    Anggota polis mengaku tidak bersalah terima rasuah RM700

    SEORANG anggota polis berpangkat koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini, atas tuduhan menerima rasuah RM700 bagi membebaskan seorang lerlaki yang didapati memiliki air ketum, hujung tahun lepas. 

    Pengakuan Mohamed Syaffiq Mohamed Sidek, 32, yang berkhidmat di Bahagian Tugas Bit dan Patrol (Rondaan) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan direkodkan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain. 

    Dia didakwa menerima suapan itu antara jam 1 tengah hari dan 2 petang, 25 Dis lepas di tempat kerjanya daripada seorang lelaki yang dikatakan sebagai dorongan melepaskan rakannya yang ditahan kerana disyaki memiliki air ketum. 

    Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. 

    Mohamad Syaffiq, yang tidak diwakili peguam, merayu supaya jaminan RM10,000 yang ditawarkan pihak pendakwaan dikurangkan kepada RM3,000 kerana mempunyai tempoh masa singkat untuk mengumpulkan wang selepas dimaklumkan SPRM untuk hadir ke mahkamah pada minggu lepas.  

    “Isteri saya yang bekerja sebagai jururawat akan menjadi penjamin. Saya mempunyai dua anak berusia tujuh dan tiga tahun selain menjaga ibu serta ayah. Saya mungkin digantung kerja selepas ini dan sukar untuk mencari pekerjaan baharu disebabkan COVID-19,” katanya. 

    Ahmad Zamzani membenarkan jaminan sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 Okt ini sebagai tarikh sebutan semula kes. 

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Siti Sarah Zainal Abiddin.-BERNAMA 

  • Buruh mengaku tidak bersalah bakar pondok bit polis

    Buruh mengaku tidak bersalah bakar pondok bit polis

    SEORANG buruh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membakar pondok bit polis berhampiran Pasar Jelawat, Bachok, pada 11 Sept lepas.

    Tertuduh Mohd Zamri Mohd Zakariyah, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

    Mengikut pertuduhan, Mohd Zamri yang masih bujang didakwa melakukan khianat dengan api dengan cara membakar pondok bit polis di Jelawat, Bachok pada jam 2.20 pagi, 11 Sept lepas.

    Lelaki terbabit didakwa mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Fariz Abdul Hamid manakala tertuduh diwakili peguam Syed Muhammad Syafiq Syed Abu Bakar dan Husni Mubarak.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Okt depan untuk sebutan semula kes.- BERNAMA

  • Pegawai ATM didakwa terima rasuah RM2,500

    Pegawai ATM didakwa terima rasuah RM2,500

    SEORANG pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berpangkat Leftenan Kolonel didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini atas tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2,500 bagi urusan kerja-kerja di Kem Paya Jaras, Sungai Buloh, tahun lalu.

    Tertuduh Shafizan Amin, 47, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan tersebut yang dibacakan di hadapan Hakim Rasyihah Ghazali.

    Mengikut pertuduhan, Shafizan yang berjawatan sebagai Penolong Pegawai Memerintah di Rejimen Perhubungan Strategik, Kem Paya Jaras, Sungai Buloh, telah menerima wang berjumlah RM2,500 melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) milik Rosaida Yaacob.

    Wang tersebut diterima secara berperingkat daripada Mohd Hazizy Mohd Nor, iaitu pemilik syarikat Essential Operation Solution bagi kerja-kerja di kem tersebut.

    Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Bank Islam Cawangan Putra Height, Subang pada 2 Mei hingga 28 Julai 2020 dan didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Rasyihah menetapkan 25 Okt depan untuk sebutan semula kes serta serahan dokumen.

    Mahkamah menetapkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dan perlu melaporkan diri di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Shah Alam setiap awal bulan serta tidak dibenarkan memperbaharui pasport sehingga kes selesai.

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohd Aliff Shahruzaman dan Tuan Attfina Tuan Kamaluddin manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Aidil Arsad dan Mohd Shukri Ahmad Mansor – Bernama

  • 15 saksi dipanggil, pendakwaan tutup kes Peter Anthony

    15 saksi dipanggil, pendakwaan tutup kes Peter Anthony

    PIHAK pendakwaan menutup kes bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony hari ini selepas 15 saksi dipanggil memberi keterangan.

    Memetik laporan BH, Peter, 50, didakwa atas pertuduhan menggunakan dokumen palsu berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan Sistem Mekanikal dan Elektrikal (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

    Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata demikian kepada Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Azura Alwi, selepas saksi terakhir, bekas Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UMS, Prof Dr Shariff Abd Kadir Shariff Omang, 66, yang dipanggil semula untuk pemeriksaan kedua-dua pihak selesai memberikan keterangan.

    Sebelum itu, Wan Shaharuddin memaklumkan bahawa pihak pendakwaan menawarkan seorang saksi kepada pihak pembelaan iaitu Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wilayah Persekutuan Labuan, Mohd Yusizzudin Mohd Yusof.

    Mahkamah memerintahkan pihak pendakwaan dan pembelaan memfailkan hujahan bertulis pada 8 Oktober dan mengemukakan jawapan balas pada 18 Oktober.

    Mahkamah turut menetapkan 29 Oktober ini untuk kedua-dua pihak berhujah secara lisan sebelum memutuskan sama ada Naib Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) itu dibebaskan daripada pertuduhan atau diperintahkan untuk membela diri.

    Seramai 15 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan yang bermula pada April 2021.

    Antara 15 saksi yang dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan bermula April lalu termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah dan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi.

    Peter sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati, dituduh memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 dengan memasukkan pernyataan palsu dengan niat menipu di pejabat Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun 2014 dan 21 Ogos 2014.

    Beliau juga berdepan pertuduhan pilihan iaitu sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati, menggunakan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 dengan pernyataan palsu pada tajuk surat itu di tempat dan masa yang sama.

  • Pegawai AADK didakwa sebabkan kematian seorang lelaki

    Pegawai AADK didakwa sebabkan kematian seorang lelaki

    SEORANG pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Yan hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang lelaki dua bulan lalu.

    Tertuduh Md Ilyas Syahmi Ibnu, 34, bagaimanapun hanya mengangguk faham dan tiada pengakuan direkodkan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Anis Suraya Ahmad.

    Astro Awani melaporkan, mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja telah menyebabkan kematian Zahari Ayub, 24, di hadapan bangunan pejabat AADK Kuala Muda, Sungai Petani.

    Tertuduh yang bertugas di AADK Kuala Muda dituduh melakukan kesalahan itu kira-kira jam 10.40 malam 18 Julai lalu.

    Tertuduh yang berasal dari Kemunting, Perak dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati.

    Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Khairul Azreem Mamat dan Mohd Farhan Aliff Ahmad.

    Tertuduh, yang diwakili peguam Mohd Shafiq Ahmed Bazari dan Nur Elissa Baharudin merayu kepada mahkamah agar jaminan diberikan kerana tertuduh menyara isteri dan tiga orang anak yang masih kecil.

    Tertuduh turut mempunyai masalah kesihatan buasir kronik dan perlu mengambil ubat setiap hari.

    Majistret Anis Suraya kemudiannya menetapkan 20 Oktober depan untuk tarikh sebutan semula kes serta serahan laporan forensik dan kimia.Mahkamah juga tidak membenarkan tertuduh diikat jamin berikutan ia dibawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.