Category: Mahkamah

  • Mahkamah Rayuan tolak permohonan Rosmah tangguh bicara kes rasuah

    Mahkamah Rayuan tolak permohonan Rosmah tangguh bicara kes rasuah

    MAHKAMAH Rayuan hari ini menolak permohonan Datin Seri Rosmah Mansor untuk menangguhkan perbicaraan kes rasuahnya esok yang membabitkan projek hibrid solar untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak sementara menunggu pelupusan rayuan beliau dalam kes sama.

    Panel tiga hakim diketuai Datuk Seri Kamaludin Md Said, yang membuat keputusan itu sebulat suara, berkata mahkamah berpendapat prosiding di Mahkamah Tinggi perlu diteruskan.

    Susulan keputusan tersebut, isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu perlu memberi keterangan sebagai saksi pembelaan pada perbicaraan kes itu di Mahkamah Tinggi esok.

    Bagaimanapun, Kamaludin berkata Rosmah masih boleh meneruskan rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan beliau untuk membatalkan perbicaraan kes itu dan menggugurkan Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai pendakwa utama.

    Beliau berkata keputusan itu tidak akan memprejudis Rosmah dan berharap tarikh pendengaran rayuan tersebut boleh dipercepat.

    Turut bersidang Datuk Nordin Hassan dan Datuk Hashim Hamzah.

    Rosmah telah diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi pada 18 Feb lepas untuk membela diri atas tiga pertuduhan rasuah.

    Beliau memfailkan dua permohonan di Mahkamah Tinggi pada 6 Mei lepas bagi membatalkan keseluruhan perbicaraannya dalam usaha untuk dibebaskan daripada ketiga-tiga pertuduhan serta menggugurkan Sri Ram.

    Rosmah berdepan pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsuddin melalui bekas pegawai khasnya Datuk Rizal Mansor.

    Wang itu didakwa sebagai upah bagi membantu Jepak Holdings mendapat projek bernilai RM1.25 bilion melalui rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

    Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra, Kuala Lumpur antara bulan Mac dan April 2016.

    Bagi pertuduhan kedua, Rosmah didakwa menerima RM1.5 juta daripada Saidi bagi tujuan sama di kediaman beliau di Jalan Langgak Duta, Taman Duta pada 7 Sept 2017.

    Beliau juga berdepan pertuduhan menerima RM5 juta daripada Saidi menerusi Rizal sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek sama pada 20 Dis 2016 di Seri Perdana, Putrajaya antara Januari 2016 dan September 2017.

    Rosmah telah memfailkan permohonan baharu untuk penangguhan di Mahkamah Rayuan selepas Mahkamah Tinggi menolak permohohannya berhubung perkara itu.

    Terdahulu, pada prosiding yang dikendalikan secara dalam talian, peguam utama Rosmah iaitu Datuk Jagjit Singh berhujah bahawa penangguhan hendaklah dibenarkan kerana keadaan kes yang luar biasa.

    Bagaimanapun, Sri Ram berhujah fakta prosiding itu mungkin dibatalkan bukanlah keadaan luar biasa yang membolehkan kes itu ditangguhkan.

    Sementara itu, seorang lagi peguam Rosmah iaitu Datuk Akberdin Abdul Kader ketika dihubungi berkata pihaknya akan memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan hari ini. – BERNAMA

  • Keterangan saksi buktikan Zahid terima RM21.25 juta

    Keterangan saksi buktikan Zahid terima RM21.25 juta

    TERDAPAT bukti yang mencukupi bagi menunjukkan bahawa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sememangnya menerima RM21.25 juta daripada beberapa entiti ketika beliau menjadi Menteri Dalam Negeri, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu hari ini.

    Timbalan Pendakwa Raya Gan Peng Kun yang berhujah di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah berkata perkara itu didedahkan oleh saksi pendakwaan sebagaimana yang terdapat dalam lapan pertuduhan rasuah terhadap Ahmad Zahid.

    Beliau berkata mengikut tiga pertuduhan yang dihadapi Ahmad Zahid, sejumlah RM13.25 juta telah diterima sebagai upah membantu Mastoro Kenny IT Consultant & Services untuk mendapatkan projek tertentu MyEG yang dikaitkan dengan Kementerian Dalam Negeri.

    “Bagi lima lagi pertuduhan, terdapat keterangan yang mencukupi bagi membuktikan bahawa tertuduh telah menerima rasuah berjumlah RM8 juta daripada dua syarikat iaitu Datasonic Group Berhad (DGB) (RM6 juta) dan Profound Radiance Sdn Bhd (RM2 juta),” katanya semasa menyangkal hujah pembelaan berhubung kelapan-lapan pertuduhan rasuah yang dihadapi Ahmad Zahid.

    Gan berkata bekas Timbalan Pengarah Urusan Datasonic Group Berhad iaitu Chew Ben Ben dan Abu Hanifah Noordin, yang merupakan bekas Pengarah Urusan DGB mendakwa bahawa wang RM6 juta itu adalah diberikan sebagai sumbangan politik kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum 2018.

    “Jika benar RM6 juta itu diberikan sebagai sumbangan politik, mengapa ia diberikan kepada tertuduh yang juga adalah Menteri Dalam Negeri yang bertanggungjawab menganugerahkan kerja dalam projek membekalkan cip pasport kepada Datasonic Technologies Sdn Bhd (DTSB)?

    “Dua cek yang dibayar kepada Tetuan Lewis & Co, sebuah firma guaman, tidak mempunyai kaitan dengan BN. Jika benar wang itu adalah sumbangan politik, cek terbabit sepatutnya dibayar kepada BN dan bukan Tetuan Lewis & Co,” katanya.

    Berhubung pertuduhan rasuah berjumlah RM5 juta bagi membina sebuah masjid dan sekolah Tahfiz di Bagan Datuk, Perak, Gan berkata sumbangan itu adalah dalam bentuk 24 cek yang diterima oleh tertuduh adalah sebenarnya upah kerana membantu Mastoro Kenny dan Junaith Asharab Md Shariff mendapat projek MyEG di bawah Kementerian Dalam Negeri.

    Beliau berkata Ahmad Zahid ingin membina sebuah masjid serta sekolah Tahfiz dan meminta saksi penting pendakwaan iaitu Junaith Asharab menyumbang kepada kos pembinaan.

    Gan berhujah bahawa tiga elemen yang perlu dibuktikan mengikut Seksyen 16(1)(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ialah tertuduh adalah seorang pegawai sebuah badan awam dan beliau secara rasuah menerima ganjaran untuk dirinya.

    “Selain itu, ganjaran diterima sebagai dorongan atau upah untuk melakukan apa sahaja berkaitan sesuatu perkara atau urus niaga, secara benar atau dicadangkan atau mungkin berlaku, di badan awam terbabit.

    “Ini bukan perkara biasa. Ia tidak melibatkan orang biasa yang sering berkunjung ke kedai mamak dan menikmati secawan teh tarik atau sepinggan of nasi lemak.

    “Kes ini membabitkan bekas Menteri Dalam Negeri yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri iaitu orang kedua paling berkuasa di negara ini,” katanya sambil menambah oleh itu, bukti yang dikemuka harus diteliti dan diperhalusi oleh mahkamah.

    Ahmad Zahid, 68, berdepan 47 pertuduhan iaitu 12 pecah amanah jenayah, lapan pertuduhah rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan berpuluh-puluh juta ringgit milik Yayasan Akal Budi.

    Pendakwaan akan menyambung hujahnya esok.- BERNAMA

  • Abai bayi hingga cacat kekal: Pengasuh dipenjara setahun, denda RM10,000

    Abai bayi hingga cacat kekal: Pengasuh dipenjara setahun, denda RM10,000

    MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur hari ini menjatuhkan hukuman penjara setahun dan denda RM10,000 ke atas seorang pengasuh yang mengabaikan seorang bayi lelaki berusia 11 bulan sehingga menyebabkan mangsa patah tulang belakang dan lumpuh separuh badan.

    Hakim Mahyon Talib menjatuhi hukuman itu selepas Azlina Lizawati Ahmad Tarmizi, 37, menukar pengakuannya kepada bersalah semasa sebutan kes hari ini.

    Mahkamah yang memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara mulai hari ini turut mengarahkan wanita itu dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda selain mengenakan hukuman tambahan mengikut Seksyen 31(2) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu bon berkelakuan baik tiga tahun dengan cagaran RM5,000 dan khidmat masyarakat selama 180 jam. 

    Azlina didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Desa Tun Hussein Onn, Jalan Jelatek, Wangsa Maju antara 7 dan 10 pagi 23 Julai 2020 mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Shahieza Md Hazaid memohon hukuman berat dan meminta mahkamah mengambil kira kecederaan serius yang dialami sehingga menyebabkan mangsa cacat seumur hidup.

    “Tertuduh juga tidak amanah dan tidak bertanggungjawab selain merupakan pengasuh di rumah yang tidak berdaftar dengan JKM. Dia juga tidak mempunyai sebarang sijil atau kelayakan bagi pendidikan awal kanak-kanak. 

    “Peningkatan kes-kes penderaan, pengabaian dan penganiayaan kanak-kanak oleh pengasuh di Malaysia jelas menunjukkan hukuman berat perlu diberikan sebagai pengajaran buat tertuduh dan masyarakat,” katanya.

    Peguam Raihanah Abdul Razak dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, yang mewakili Azlina Lizawati, memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya mengaku bersalah di peringkat awal kes dan ini merupakan kesalahan pertama tertuduh.

    “Anak guam saya mempunyai tiga anak yang masih kecil dan paling bongsu berusia lima bulan. Dia juga telah insaf kerana sebelum ini direman selama 14 hari ketika siasatan,” katanya.

    Berdasarkan fakta kes, mangsa dihantar ke rumah pengasuh pada 7 pagi dalam keadaan sihat namun pada 10 pagi, dia diambil oleh bapanya setelah tertuduh memaklumkan bahawa bayi itu tidak berhenti menangis.

    Bapanya kemudian membawa bayi itu ke klinik kerana dia kelihatan teramat sakit dan klinik tersebut mengarahkan mangsa dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan sinar-X.

    Siasatan pihak hospital mendapati mangsa mengalami kecederaan patah tulang belakang serta urat saraf dan laporan perubatan menunjukkan bayi itu mengalami kecederaan kekal dengan mangsa tidak boleh menggerakkan badannya.

    Akibat kejadian itu, mangsa kini adalah pemegang kad Orang Kurang Upaya berikutan kecacatan kekal yang dialami.

  • Najib fail permohonan mahkamah gantung prosiding kes saman SRC

    Najib fail permohonan mahkamah gantung prosiding kes saman SRC

    DATUK Seri Najib Tun Razak akan mengemukakan permohonan kepada mahkamah untuk menggantung prosiding saman sivil SRC International Sdn Bhd terhadap beliau atas dakwaan melakukan pecah amanah jenayah dan melanggar kewajipan statutori berhubung pinjaman RM4 bilion Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) kepada SRC.

    Peguam bekas Perdana Menteri itu, Muhammad Farhan Muhammad Shafee berkata, ini kerana anak guamnya mahu kes jenayah membabitkan SRC yang kini di peringkat rayuan diselesaikan terlebih dahulu sebelum prosiding saman sivil diteruskan.

    “Kami memaklumkan mahkamah bahawa kami akan mengemukakan permohonan untuk menggantung prosiding saman sivil sehingga pelupusan kes jenayah.

    “Mahkamah telah menetapkan 4 Nov untuk pengurusan kes selanjutnya,” kata beliau kepada Bernama selepas prosiding pengurusan kes hari ini yang dikendalikan secara dalam talian di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin.

    Pada 28 Julai tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib selepas mendapati beliau bersalah atas tujuh pertuduhan pecah amanah jenayah, pengubahan wang haram serta menyalahgunakan kedudukan membabitkan RM42 juta dana SRC.

    Pada 7 Mei lepas, SRC di bawah pengurusan baharu telah memulakan tindakan perundangan terhadap Najib dan beberapa bekas pengarahnya iaitu Datuk Suboh Md Yassin, Datuk Mohammed Azhar Osman Khairuddin, Nik Faisal Ariff Kamil dan Datuk Che Abdullah @ Rashidi Che Omar.

    SRC, yang juga anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selaku plaintif, dalam writ saman mendakwa kesemua defendan bersubahat dan melakukan pecah amanah.

    Najib turut didakwa menyalahgunakan kuasanya dan memperoleh ganjaran peribadi daripada dana SRC selain menyeleweng dana itu.

    Beliau adalah Penasihat Emeritus SRC dari 1 Mei 2012 hingga 4 Mac 2019.

    SRC, yang kini milik penuh Kementerian Kewangan Diperbadankan (MoF Inc), memohon deklarasi bahawa semua defendan adalah bertanggungjawab untuk membayar kerugian dana pelaburan itu akibat penggunaan jumlah pinjaman itu selain menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan, ganti rugi tambahan, faedah, kos dan relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. – BERNAMA

  • Warga emas dituduh sembunyikan wang RM2.9 juta

    Warga emas dituduh sembunyikan wang RM2.9 juta

    SEORANG warga emas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban, Negeri Sembilan, hari ini atas 172 pertuduhan menyembunyikan wang bernilai RM2.9 juta daripada syarikat tempatnya bekerja antara 2016 hingga 2020.

    Tertuduh, Lai Ching Wai, 63, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Diana Md. Razali.

    Mengikut pertuduhan, Ching Wai dengan curangnya menolong menyembunyikan wang RM2.9 juta yang dimasukkan oleh Aerial Mix Sdn. Bhd. ke dalam empat akaunnya yang mana tertuduh tidak berhak ke atas wang berkenaan.

    Kesalahan dilakukan dari 26 April 2016 hingga 2 Jun 2020 di empat bank berbeza di Seremban iaitu Maybank, Cimb Bank, Bank Rakyat dan HSBC Bank.

    Tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

    Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Zulfikri Mohd. Nasir menawarkan jaminan RM300,000 bagi semua pertuduhan.

    Tertuduh yang diwakili oleh empat peguam yang diketuai S. Karthigesan merayu supaya anak guamnya diberi jumlah jaminan yang munasabah atas alasan tertuduh baharu kematian isteri dan kini tidak lagi bekerja dan mempunyai dua anak.

    Katanya, tertuduh juga memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis sepanjang siasatan dilakukan.

    Mahkamah menetapkan jaminan RM58,000 dan sebutan semula kes 2 Disember ini.

  • Edar dadah: Anggota polis berdepan hukuman gantung sampai mati

    Edar dadah: Anggota polis berdepan hukuman gantung sampai mati

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG anggota polis berpangkat Lans Koperal dan seorang remaja dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini atas pertuduhan terlibat mengedar dadah pada 23 September lalu.

    Tertuduh, C. Harethaess, 27, yang bertugas di Balai Polis Labu, Negeri Sembilan dan P. Darshan, 19, yang bekerja sebagai pemandu sambilan mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Suhaila Shafi’uddin namun tiada pengakuan direkodkan.

    Berdasarkan kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa secara bersama telah mengedar dadah jenis ekstasi seberat 181.95 gram.

    Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di tempat letak kenderaan berhadapan sebuah pusat penjagaan kesihatan di Kota Southkey, Johor Bahru pada jam 9.45 malam, 23 September lalu.

    Bagi perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

    Jika sabit bersalah, kedua-duanya boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati.

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aina Syakira Muhammad Syafiq Sim.

    Darshan diwakili barisan peguam, Muhammad Firdaus Adnan, Muhamad Wafiq Hadie dan Amer Ashrhaf Azuddin manakala Harethaess tidak diwakili peguam.

    Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 5 Disember untuk sebutan semula kes bagi serahan laporan kimia manakala kedua-dua tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin.

  • Lokman Adam didakwa sebar berita tidak benar mengenai vaksin, virus COVID-19

    Lokman Adam didakwa sebar berita tidak benar mengenai vaksin, virus COVID-19

    BEKAS Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Datuk Lokman Noor Adam didakwa di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini atas dua pertuduhan iaitu menyebarkan berita palsu melalui rakaman audio visual mengenai vaksin dan virus COVID-19, pada April dan Mei lepas.

    Lokman, 48, selaku Orang Kena Saman (OKS) bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim M. M. Edwin Paramjothy.

    Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Lokman didakwa menyebarkan berita tidak benar melalui rakaman audio visual tentang kemasukan warga India ke Malaysia yang menjadi penyebab penyebaran virus COVID-19 dan kematian seorang pegawai polis yang dikaitkan dengan vaksin.

    Penyebaran itu melalui aplikasi media sosial Facebook atas nama profil “Lokman Adam” itu dengan niat untuk menyebabkan kebimbangan kepada orang awam yang didakwa dilakukan pada 10.55 malam, 3 Mei dan 10.38 malam, 9 April lepas.

    Dua rakaman itu kemudian dilihat di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Tingkat 27, Menara KPJ, di Kuala
    Lumpur pada 4.40 petang, 9 Mei dan 8.55 malam, 11 April. 

    Kedua-dua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 4 (1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No.2) 2021 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Terdahulu, Pengarah Pendakwaan Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Datin Kalmizah Salleh menawarkan jaminan RM30,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport OKS diserahkan kepada mahkamah.

    “Pihak kami memohon untuk penyerahan pasport OKS kerana kawasan Lembah Klang akan memasuki Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan kemungkinan sempadan negara akan dibuka tidak lama lagi,” katanya.

    Peguam Logen Eskander yang mewakili Lokman memohon jaminan rendah serta pasport anak guamnya tidak ditahan atas alasan sempadan negara masih belum dibuka. 

    “Anak guam saya kini tidak bekerja dan membantu isterinya menjual sate selain masih menanggung 11 orang anak mereka,” kata Logen.

    Mahkamah membenarkan Lokman diikat jamin RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 Nov depan untuk sebutan semula kes.

  • Kes bunuh Zulfarhan: nasib 18 penuntut UPNM diputuskan 2 November ini

    Kes bunuh Zulfarhan: nasib 18 penuntut UPNM diputuskan 2 November ini

    NASIB 18 penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang didakwa membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Pegawai Kadet Laut UPNM Zulfarhan Osman Zulkarnain empat tahun lepas, akan diketahui pada 2 November depan.

    Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azman Abdullah menetapkan tarikh itu selepas selesai mendengar hujahan pihak pembelaan dan pendakwaan di akhir kes pembelaan.

    “Selepas mengambil kira kelapangan pihak-pihak, mahkamah menetapkan 2 November ini, pada 10 pagi untuk keputusan,” katanya.

    Kes itu dikendalikan Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur Datin Kalmizah Salleh bersama Timbalan Pendakwa Raya N. Joy Jothi manakala barisan peguam yang mewakili tertuduh ialah Datuk Ranjit Singh Dhillon, Datuk Hazman Ahmad, Zamri Idrus, Fadly Hashim dan Datuk Hazizah Kassim.

    Terdahulu, Kalmizah berhujah bahawa keterangan pakar Perubatan Forensik Hospital Serdang Dr Salmah Arshad, yang merupakan saksi pendakwaan keenam (SP6) mengenai punca kematian Zulfarhan, adalah konsisten dan tidak pernah bercanggah dengan sebab kematian yang lain.

    “SP6 mendapati kematian Zulfarhan adalah kesan luka bakar manakala menerusi laporan mikroskopi yang disediakan ketua Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sungai Buloh Dr Rohayu Shahar Adnan yang merupakan saksi pembelaan ke-19 (SD19), mendapati terdapat ‘granulation tissue’ pada paru-paru si mati.

    “Jadi si mati mengalami radang paru-paru di antara 10 hingga 14 hari selepas jangkitan. Oleh itu, jangkitan berlaku sebelum atau pada hari kejadian manakala keterangan saksi pendakwaan ke-31 Dr Mohamad Azaini Ibrahim telah menyatakan ‘granulation tissue’ boleh dikesan pada minggu kedua selepas jangkitan iaitu tujuh hingga 14 hari,” katanya.

    Kalmizah juga berhujah, bekas pegawai perubatan UPNM Dr Harniza Kosnan (SP30) turut menyatakan Zulfarhan tidak pernah mengadu sesak nafas atau sakit jantung.

    Semalam, peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili dua tertuduh, Muhammad Akmal Zuhairi Azmal dan Muhammad Azamuddin Mad Sofi berhujah bahawa terdapat percanggahan keterangan antara dua pakar perubatan mengenai punca kematian Zulfarhan.

    Sementara itu, Kalmizah turut berhujah kaedah yang digunakan oleh SP6 dalam menentukan sebab kematian Zulfarhan adalah wajar dan berpatutan.

    “SD19 bersetuju sebagai pakar yang melihat dan memeriksa atau melakukan autopsi ke atas jasad, SP6 yang dapat buat anggaran terdekat tentang peratus kebakaran sebab beliau melihat sendiri jasad itu,” katanya.

    Kalmizah juga berkata pihak pendakwaan menegaskan bahawa keterangan SD19 langsung tidak mematahkan dapatan SP6 seperti mana yang dihujahkan oleh Amer Hamzah.

    “Keterangan SD19 mengenai ujian mikroskopi ke atas Zulfarhan yang mendapati mangsa mempunyai masalah kesihatan antaranya otak berdarah, radang otak dan pernah mengalami sakit jantung, adalah tidak selari kerana Zulfarhan seorang yang aktif dalam aktiviti sukan lasak di UPNM.

    “Ini jelas menunjukkan keterangan SD19 terhadap ujian mikroskopi itu meragukan dan ia adalah satu yang ditokok tambah,” katanya.

    Pada 31 Julai 2019, Mahkamah Tinggi memerintahkan penuntut UPNM terbabit membela diri terhadap pertuduhan membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Zulfarhan Osman selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

    Lima tertuduh iaitu Muhammad Akmal Zuhairi dan Muhammad Azamuddin, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat dan Mohamad Shobirin Sabri berdepan pertuduhan membunuh Zulfarhan manakala Abdoul Hakeem Mohd Ali didakwa bersubahat membunuh.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara 4.45 dan 5.45 pagi 22 Mei 2017, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan manakala Abdoul Hakeem didakwa bersubahat mengikut Seksyen 109 kanun sama yang memperuntuk hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

    Mereka bersama dengan 12 lagi iaitu Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri, Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif, Muhammad Adib Iman dan Mohamad Syazwan juga diperintah membela diri atas pertuduhan mencederakan mangsa.

    Mereka didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa, untuk mendapatkan pengakuan bahawa dia telah mencuri komputer riba, mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di dalam bilik 03-05, blok penginapan asrama Jebat universiti itu di Kem Perdana, Sungai Besi antara 2.30 dan 5.30 pagi 21 Mei 2017. – Bernama

  • Keputusan rayuan anak Mat Sabu sabitan kes dadah 27 Oktober ini

    Keputusan rayuan anak Mat Sabu sabitan kes dadah 27 Oktober ini

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini menetapkan 27 Oktober untuk keputusan rayuan anak bekas Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, Ahmad Saiful Islam bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara lapan bulan kerana penyalahgunaan dadah.

    Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan peguam Nasar Khan yang mewakili Ahmad Saiful Islam, 33, dan Timbalan Pendakwa Raya Izalina Abdullah.

    Terdahulu, Nasar berhujah, dalam kes itu pihak polis hanya mengambil satu sampel urin anak guamnya dan proses pengambilan sampel tersebut tidak mengikut peraturan serta terdapat percanggahan antara keterangan saksi pendakwaan berhubung sampel itu.

    “Selain itu, terdapat kesilapan pada ekshibit botol sampel air kencing itu dan kepincangan dalam rantaian penguasaan sampel tersebut selain sampel disimpan terlalu lama sebelum diuji di makmal,” katanya.

    Izalina berhujah, prosedur pengambilan sebotol sampel urin ke atas perayu  (Ahmad Saiful Islam) adalah memadai dan teratur mengikut undang-undang.

    “Isu sampel urin dicemari tidak pernah dibangkitkan oleh pihak pembelaan kepada mana-mana saksi pendakwaan dan tiada pada bila-bila masa perayu membuat laporan polis yang mengatakan dia dianiaya berikutan proses pengambilan sampel urin yang konon tidak teratur.

    “Oleh itu, Majistret (Mohamad Aizat Abdul Rahim) tidak tersalah arah dalam menjatuhkan hukuman ke atas perayu dan tiada faktor menyebabkan Mahkamah Tinggi perlu ubah dapatan Majistret.

    “Pihak kami memohon rayuan perayu ditolak dan hukuman ke atasnya dikekalkan,” katanya.

    Ahmad Saiful Islam didakwa menggunakan dadah jenis THC di sebuah hotel di sini, pada jam 2.05 pagi, 5 Jan 2019.

    Pada 2 Julai 2020, Ahmad Saiful Islam memfailkan rayuan terhadap keputusan Majistret Mohamad Aizat Abdul Rahim pada 24 Jun tahun sama yang mensabitkannya atas kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan menghukumnya dengan penjara lapan bulan.

    Mohamad Aizat menjatuhkan hukuman itu terhadap Ahmad Saiful Islam selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan dan mengarahkannya menjalani dua tahun pengawasan di bawah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta polis sejurus selesai menjalani hukuman penjara itu.

    Bagaimanapun mahkamah membenarkan permohonannya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi. – Bernama

  • Geng Nicky: 14 individu dilepaskan tanpa dibebaskan

    Geng Nicky: 14 individu dilepaskan tanpa dibebaskan

    MAHKAMAH Tinggi Shah Alam hari ini melepas tanpa membebaskan 14 individu termasuk empat warganegara China serta dua adik kepada ahli perniagaan yang masih diburu, Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee daripada tuduhan terbabit dalam kumpulan jenayah terancang yang dikenali sebagai ‘Geng Nicky’.

    Dua tertuduh yang merupakan adik Nicky adalah Datuk Liow Wei Kin dan Datuk Liow Wei Loon, manakala tertuduh lain ialah Lee Han Keat, Lee Kam Onn, Datuk Lee Kum Weng, Eee Eng Chee, Dr Jovian Joris Tan Chern Chian, Datuk Loo Siew Chin, Lim Kang Li, Datuk Seri Andrew Lim Kim Ming serta empat warga China Huang Lei, Wang Yu Jun, Gu Xing Qiong serta Jiang Xue, yang berusia awal 20-an hingga 56 tahun.

    Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Iskandar Ahmad memaklumkan kepada media bahawa Hakim Datuk Abd Halim Aman membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan memohon agar kesemua tertuduh dilepaskan tanpa dibebaskan kerana pendakwaan berhasrat untuk meneruskan pertuduhan pada masa akan datang.

    Beliau berkata, hakim itu memutuskan berdasarkan Artikel 145 Perlembagaan Persekutuan iaitu kuasa mendakwa, tidak mendakwa dan menarik semula pendakwaan adalah berkait dengan kuasa pihak pendakwa raya.

    Muhamad Iskandar berkata, siasatan awal yang dijalankan pendakwaan tidak lengkap dan pihak peguam juga telah menghantar representasi berhubung pertuduhan itu kepada Jabatan Peguam Negara.

    “Peguam Negara telah meneliti representasi tersebut dan bersetuju untuk menarik balik kes ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas prosiding kes itu.

    Media tidak dibenarkan berada di dalam mahkamah sepanjang prosiding kes itu berlangsung.

    Peguam Datuk Rajpal Singh memohon agar kesemua anak guamnya dilepaskan dan dibebaskan atas pertuduhan itu memandangkan mereka telah ditangkap antara 18 hingga 21 Mac lepas dan ditahan selama 21 hari mengikut Seksyen 13 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

    Mengikut pertuduhan, 13 tertuduh didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang ‘Geng Nicky’ di kawasan SetiaWalk, Persiaran Wawasan, Pusat Bandar Puchong, di sini antara 1 Januari 2017 dan 20 Mac 2021.

    Mereka dituduh mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun jika sabit kesalahan.

    Sementara itu, Kim Ming didakwa membantu kumpulan jenayah sama di kawasan SetiaWalk, Persiaran Wawasan, Pusat Bandar Puchong, di sini antara 1 Januari 2017 dan 29 Mac 2021 mengikut Seksyen 130W Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, jika sabit kesalahan. – Bernama