Category: Mahkamah

  • Kesilapan besar dalam dokumen awal projek terowong Pulau Pinang

    Kesilapan besar dalam dokumen awal projek terowong Pulau Pinang

    MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa terdapat kesilapan besar dalam kandungan dokumen Perjanjian Awalan Bagi Projek Penswastaan Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.

    Bekas Penasihat Undang-Undang Pulau Pinang Datuk Faiza Zulkifli, 61, berkata kesilapan itu membabitkan lot tanah yang menjadi perkara utama, yang dinyatakan dalam dokumen tersebut.

    “Saya boleh katakan ini adalah kesilapan besar kerana terdapat beberapa kesilapan dari segi ‘typo’ dan dari segi pernyataan mengenai lot tanah,” katanya ketika merujuk kepada dokumen Perjanjian Awalan Bagi Penswastaan Projek Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang di Antara Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group Sdn Bhd (CZBUCG), pada 29 Okt 2013.

    Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin, saksi itu berkata kesilapan tersebut membabitkan tanah kerajaan negeri yang akan dipindah milik kepada pemaju, dikenal pasti secara salah dalam dokumen tersebut.

    Saksi pendakwaan ke-11 itu berkata demikian pada perbicaraan kes rasuah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, yang berdepan empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di negeri itu bernilai RM6.3 bilion.

    Wan Shaharuddin: Jika diberikan peluang untuk meneliti balik perjanjian tersebut, adakah Datuk Faiza akan mengesan kesilapan itu?

    Faiza: Saya amat teliti dalam kerja saya sebagaimana pegawai-pegawai kerajaan Pulau Pinang mengetahuinya, dan saya pastikan perkara ini tidak akan berlaku demi memastikan kepentingan kerajaan negeri dijaga.

    Bagaimanapun, saksi pendakwaan itu berkata adalah tidak wajar untuknya memberikan komen berhubung kandungan perjanjian tersebut, kerana beliau tidak terbabit dalam meneliti dan menyemak dokumen itu.

    “Tiada arahan daripada mana-mana pihak sama daripada bekas Ketua Menteri Pulau Pinang atau Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, supaya dokumen tersebut dihantar untuk disemak oleh bekas Penasihat Undang-Undang negeri itu,” katanya.

    Sementara itu, Faiza ketika membacakan pernyataan saksinya berkata sepanjang bertugas sebagai Penasihat Undang-Undang negeri itu, pihaknya tidak pernah menerima apa-apa draf perjanjian untuk disemak.

    Saksi itu berkata beliau tidak meneliti draf perjanjian berkenaan kerana Ketua Menteri (Lim) telah bersetuju untuk melantik pihak peguam swasta, bagi meneliti perjanjian tersebut.

    “Saya akur akan keputusan Ketua Menteri yang ingin melantik firma peguam swasta tersebut untuk meneliti perjanjian ini. Jika Ketua Menteri memutuskan untuk melantik pihak swasta untuk meneliti apa-apa perjanjian, Ketua Menteri hendaklah menetapkan tanggungjawab kepada peguam swasta, untuk menjaga kepentingan Kerajaan Negeri.

    “Merujuk kepada butir-butir minit mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri 19/2013, Ketua Menteri telah bersetuju untuk melantik firma peguam swasta bagi menyediakan draf perjanjian awalan. Saya hanya mengetahui dokumen ini disediakan oleh firma guaman swasta Lee Hishamuddin Allen & Gledhill,” katanya.

    Dalam prosiding hari ini, pihak pendakwaan telah mengemukakan sijil kematian Pengarah Urusan Ewein Zanith Sdn Bhd, Datuk Ewe Swee Kheng yang ditemukan maut selepas dipercayai terjatuh dari sebuah kondominium di Jalan Kelawai, Pulau Pinang pada 5 Okt lepas.

    Mendiang yang berumur 53 tahun itu merupakan saksi pendakwaan ke-15 yang sepatutnya dipanggil untuk memberi keterangan pada perbicaraan kes itu.

    Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Lim, 60, didakwa menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima wang rasuah RM3.3 juta sebagai tindakan membantu syarikat milik Zarul Ahmad mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702.

    Lim didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, George Town, antara Januari 2011 dan Ogos 2017.

    Dalam pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa meminta suapan daripada Zarul Ahmad sebanyak 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh oleh syarikat itu sebagai penghargaan mendapatkan projek tersebut.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan berhampiran The Garden Hotels, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, Kuala Lumpur, pada Mac 2011.

    Lim yang juga Setiausaha Agung DAP, turut berdepan dengan dua tuduhan menyebabkan dua plot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang, Tingkat 21, Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung 29 Nov ini. – BERNAMA

  • Bicara kes Da’i Syed dituduh cabul pelajar kolej April 2022

    Bicara kes Da’i Syed dituduh cabul pelajar kolej April 2022

    MAHKAMAH Sesyen Petaling Jaya menetapkan 10 hari bermula April tahun hadapan untuk perbicaraan kes pendakwah selebriti Da’i Syed, atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful, yang didakwa atas pertuduhan melakukan persetubuhan di luar tabii dan mencabul seorang penuntut sebuah kolej swasta, tahun lalu.

    Hakim Jamaludin Mat menetapkan sembilan hari dalam bulan April bermula 18, 20, 21 dan 22, 25 hingga 29 dan sehari pada 17 Mei, sebagai tarikh perbicaraan ketika sebutan kes itu, hari ini.

    Timbalan Pendakwa Raya Zamriah Zarifah Aris memaklumkan kepada mahkamah pihaknya akan memanggil tujuh saksi pendakwaan termasuk mangsa, untuk memberi keterangan.

    Pada 10 Dis tahun lalu, Syed Shah Iqmal, 26, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan melakukan persetubuhan di luar tabii terhadap wanita berumur 22 tahun, di rumah sewa tertuduh di Damansara Perdana di sini, antara 3 hingga 4 pagi, 17 Okt 2020.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

    Sementara itu, pada tarikh sama di Mahkamah Majistret, Syed Shah Iqmal turut didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa sama dengan maksud untuk mencabul kehormatannya, pada tarikh dan lokasi sama mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

    Pada 19 Mac lepas, Mahkamah Majistret membenarkan kes cabul yang dihadapi Syed Shah Iqmal dipindahkan ke Mahkamah Sesyen, untuk dibicarakan bersama.

    Da’i Syed, yang diwakili peguam Syed Amirul Syed Edros ketika ditemui pemberita selepas prosiding berkata, beliau sudah bersedia untuk dibicarakan meskipun ia akan mengambil masa yang panjang.- BERNAMA

  • Penganggur didakwa bunuh teman wanita

    Penganggur didakwa bunuh teman wanita

    SEORANG penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Taiping, hari ini atas pertuduhan membunuh teman wanita sendiri yang mayatnya ditemukan dalam keadaan reput di tepi Sungai Jebong, Kuala Sepetang, Taiping, bulan lalu.

    Mohd Khairul Nizam Ibrahim, 34, mengangguk faham sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nurfarah Syahidah Mohd Noh.

    Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

    Mohd Khairul Nizam didakwa melakukan perbuatan itu ke atas Norfahizatul Syahira Sopa, 32, di sebuah bilik di tepi Sekolah Kebangsaan Simpang, Jalan Taman Mawar, Simpang pada kira-kira 2 petang 4 Oktober lalu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

    Mahkamah menetapkan 20 Januari depan untuk sebutan semula kes.

    Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Aqilah Syaza Ariffin manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – Bernama

  • 1MDB: Saksi tak tahu sebahagian bon AS$3 bilion dipindah

    1MDB: Saksi tak tahu sebahagian bon AS$3 bilion dipindah

    BEKAS Ketua Pegawai Kewangan (CFO) 1MDB memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bahawa beliau tidak mengetahui bahawa sebahagian daripada hasil terbitan bon AS$3 bilion telah dipindahkan kepada tiga syarikat termasuk Tanore Finance Corporation (Tanore).

    Azmi Tahir, 48, berkata beliau hanya mengetahui perkara itu melalui laporan media.

    Dalam pernyataan pembukaan kes 1MDB, pendakwaan mendakwa Tanore telah memindahkan sejumlah US$681 ke dalam akaun Datuk Seri Najib Tun Razak antara 21 Mac 2013 hingga 10 April 2013 dan ia menjadi perkara utama dalam pertuduhan terhadap bekas Perdana Menteri itu.

    Saksi pendakwaan ke-12 itu berkata bon tersebut sepatutnya dilaburkan ke dalam syarikat usaha sama 1MDB dan Aabar Investment PJS iaitu Abu Dhabi Malaysia Investment Company (ADMIC).

    “Datuk Seri Najib, melalui Ketua Setiausaha Sulitnya Arwah Datuk Azlin Alias, telah mengarahkan bon tersebut disalurkan kepada tiga syarikat pelaburan iaitu Cistenique Investment Fund B.V (Cistenique), Devonshire Capital Growth Fund (Devonshire) dan Enterprise Emerging Market Fund (Enterprise Emerging).

    “Bagaimanapun, saya mengesahkan saya tidak tahu tiga syarikat pelaburan ini akan memindahkan sebahagian dana bon US$3 bilion kepada Tanore dan dua lagi syarikat iaitu Granton Property Holding Limited dan Midhurst Trading Limited.

    “Kesemua keputusan dan pemindahan ini adalah di luar pengetahuan saya. Saya juga ada bertanya kepada Terence Geh (bekas Timbalan Ketua Pegawai Kewangan 1MDB) sekiranya kami (1MDB) ada membuat pelaburan dengan Tanore semasa nama syarikat itu keluar di media dan dikaitkan dengan 1MDB. Bagaimanapun, Geh ketika itu menafikan perkata tersebut,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksi setebal 127 muka surat pada perbicaraan rasuah dan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik 1MDB yang dihadapi Najib.

    Azmi berkata beliau dan Mohd Hazem Abd Rahman (bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB) hanya dimaklumkan mengenai pelaburan kepada tiga syarikat sahaja iaitu Cistenique, Devonshire dan Enterprise Emerging.

    “Saya sahkan saya ada menurunkan tandatangan di atas beberapa dokumen yang mengesahkan pihak 1MDB mengambil maklum mengenai pelaburan di dalam tiga syarikat pelaburan ini.

    “Saya juga tidak pernah membenarkan mana-mana pihak ketiga untuk membuat sebarang pelaburan kepada pihak lain termasuklah ke akaun Datuk Seri Najib,” katanya.

    Terdahulu, beliau berkata pindahan dana kepada tiga syarikat terbabit telah dilakukan pada 20 Mac 2013 iaitu sehari selepas US$2.7 bilion hasil terbitan bon dimasukkan ke dalam akaun 1Malaysia Development Berhad Global Investments Limited (1MDB GIL).

    “Saya sahkan bahawa selepas mendapat kelulusan Ahli Lembaga Pengarah dan surat sokongan daripada Kementerian Kewangan bagi kutipan dana untuk bon, US$3 bilion telah diterbitkan ke dalam akaun 1MDB GIL dengan jumlah AS$2.7 bilion iaitu jumlah setelah ditolak caj perkhidmatan yang dikenakan oleh bank Goldman Sachs.

    “Sebagai CFO, tujuan utama kutipan dana sebanyak AS$3 bilion dibuat adalah untuk usaha sama ADMIC namun memandangkan dana tersebut telah digunakan bagi tujuan lain seawal 24 jam selepas dana diterima, saya percaya usaha sama ADMIC tersebut adalah sesuatu yang sengaja diada-adakan bagi memastikan bon dapat diterbitkan secara sah,” katanya.

    Azmi juga berkata bon itu langsung tidak digunakan untuk tujuan hartanah dan pembangunan Bandar Malaysia.

    Najib, 68, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung Isnin ini. – BERNAMA

  • Buruh dipenjara 10 tahun lakukan amang seksual terhadap anak saudara

    Buruh dipenjara 10 tahun lakukan amang seksual terhadap anak saudara

    MAHKAMAH Sesyen Kuala Terengganu, hari ini menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan dua sebatan ke atas seorang buruh kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap anak saudara perempuannya yang berusia lima tahun.

    Keputusan itu dibuat Hakim Nooriah Osman selepas tertuduh, 45, mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

    Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa di rumah di Dungun antara 6 pagi hinggga 7 pagi pada 13 Mac lalu.

    Harian Metro melaporkan, tertuduh turut mengulangi kesalahan sama di lokasi dan masa sama pada keesokan harinya.

    Sejurus pengakuan bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan bagi setiap pertuduhan.

    Bagaimanapun, mahkamah mengarahkan hukuman penjara berjalan serentak bermula daripada tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 22 Mac lalu.

    Selain itu, tertuduh turut diarahkan berada dalam pengawasan polis selama satu tahun mengikut Seksyen 27 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 sebaik tertuduh selesai menjalani hukuman penjara.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Intan Nor Hilwani Mat Rifin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

  • Dua lelaki Vietnam tangkap gamat didakwa cuba rasuah polis

    Dua lelaki Vietnam tangkap gamat didakwa cuba rasuah polis

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    AKIBAT cuba merasuah pegawai polis berpangkat Inspektor, dua lelaki warga Vietnam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Johor Bahru, hari ini supaya melepaskan mereka selepas ditahan melakukan aktiviti penangkapan gamat di Pulau Rawa, Mersing.

    Kedua-dua mereka, Vo Minh Ly, 40, dan Le Phuc Thuong, 20, cuba memberi rasuah berjumlah RM3,000 kepada anggota polis pada Mac lalu.

    Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada Minh Ly dan Phuc Thuong selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamil Arifin Ismail.

    Justeru, mahkamah menetapkan 24 November ini untuk melantik jurubahasa bagi membacakan pertuduhan terhadap kedua-dua mereka.

    Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa cuba memberi suapan kepada Pegawai Memerintah Markas Taktikal, Pasukan Polis Marin Wilayah Dua Mersing, Inspektor Rosli Md. Saad supaya tidak mengambil tindakan terhadap mereka.

    Kedua-dua tertuduh melakukan perbuatan tersebut di perairan Pulau Rawa pada pukul 5.50 petang, 8 Mac lalu.

    Bagi perbuatan itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(b) dan Seksyen 24(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

    Mereka boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun atau denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Suhaili Sapun, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

  • 1MDB: Arahan daripada Jho Low adalah mandat Najib

    1MDB: Arahan daripada Jho Low adalah mandat Najib

    BEKAS Ketua Pegawai Kewangan (CFO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bahawa semua arahan yang dikeluarkan oleh ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low dianggap mandat daripada Datuk Seri Najib Tun Razak.

    Azmi Tahir, 46, berkata beliau dimaklumkan oleh bekas Ketua Setiausaha Sulit Najib, Allahyarham Datuk Azlin Alias bahawa Jho Low adalah penasihat atau orang yang rapat kepada bekas Perdana Menteri itu dan Jho Low juga akan memberi maklumat atau arahan yang perlu beliau laksanakan kerana ia adalah daripada Najib.

    “Saya juga difahamkan Jho Low mempunyai hubungan rapat dengan pihak Abu Dhabi dan Arab Saudi dan beliau juga merupakan orang kepercayaan Najib. Saya hanya mengikut arahan yang diterima oleh arwah Datuk Azlin dan bekas pegawai khas Najib, Datuk Amhari Effendi Nazaruddin kerana saya menganggap itu adalah arahan daripada Perdana Menteri.

    “Semasa bertugas sebagai CFO 1MDB, terdapat tindakan sulit di belakang yang telah disusun dan dirancang oleh Jho Low melalui arahan dan kelulusan Najib dan orang tertentu dipilih dalam pengurusan tertinggi 1MDB dan ahli lembaga pengarah bagi memastikan arahan tersebut akan dilaksanakan. Saya boleh katakan sistem ini adalah berlapis,” kata Azmi.

    Saksi pendakwaan ke-12 itu berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya pada perbicaraan rasuah dan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik 1MDB yang dihadapi Najib.

    Azmi berkata, beliau juga diberitahu bahawa arahan daripada Najib ini selari dengan Artikel 117 Memorandum dan Artikel (M&A) Persatuan 1MDB kerana setiap keputusan penting perlulah di bawah arahan dan kelulusan Najib.

    “Datuk Seri Najib mempunyai kuasa muktamad dalam membuat keputusan terutamanya melibatkan pelaburan, keputusan kewangan dan kepentingan negara. Selain saya, antara pengurusan tertinggi yang disusun dalam sistem ‘work in silo’ dalam 1MDB ini adalah bekas Ketua Pegawai Operasi, Mohd Hazem Abd Rahman; bekas Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi; bekas Ketua Pegawai Pelaburan, Vincent Koh; bekas peguam, Jasmine Loo dan Timbalan CFO, Terence Geh.

    “Saya hanya menerima arahan selari dengan pengurusan tertinggi lain dan dalam masa sama Jho Low memberitahu saya semua tugasan adalah berdasarkan need to know basis iaitu kami hanya akan diberitahu mengenai sesuatu perkara berdasarkan skop tugasan dan setakat yang saya perlu tahu sahaja,” kata Azmi.

    Azmi menambah, Jho Low akan menghantar e-mel dan Blackberry Messenger (BBM) yang mengandungi nota percakapan dan pelan tindakan kepada beliau dan orang lain dalam lapisan silo ini.

    “E-mel ini perlu dipadam segera selepas dibaca kerana Jho Low tidak mahu ia bocor kerana arahan sulit tersebut melibatkan keputusan dan kehendak Perdana Menteri serta perlu melaksanakannya dengan segera memandangkan Najib mahu ia dilaksanakan segera.

    “Kebiasaannya keputusan kritikal akan dibuat melalui Resolusi Ahli Lembaga Pengarah (DCR) tanpa melalui mesyuarat ahli lembaga pengarah (BOD) kerana Jho Low akan mengarahkan Loo untuk menyediakan semua DCR. BOD hanya perlu menandatangani DCR tersebut tanpa sebarang bantahan kerana ia adalah arahan Jho Low,” katanya.

    Tambah Azmi, semua DCR itu disusuli oleh kelulusan Najib melalui sebuah dokumen resolusi pemegang saham yang Najib telah mengetahui lebih awal berdasarkan perbincangannya (Najib) dengan Jho Low.

    “Ini berdasarkan dokumen yang telah ditandatangani dan dalam pengetahuan Najib sebagai Menteri Kewangan dan Perdana Menteri.

    “Keseluruhannya, bagi saya, peranan Jho Low amatlah ketara sebagai penasihat kepada Najib dan boleh juga dikatakan Jho Low merupakan orang kanan dan dipercayai Najib dalam urusan 1MDB ini,” katanya.

    Najib, 68, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung. – BERNAMA

  • 1MDB: Jho Low boleh sahkan arahan dari Najib

    1MDB: Jho Low boleh sahkan arahan dari Najib

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa hanya ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low boleh mengesahkan bahawa arahan bagaimana untuk mengendalikan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebenarnya datang daripada Datuk Seri Najib Tun Razak.

    Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB Mohd Hazem Abdul Rahman mendedahkan perkara ini selepas disoal balas oleh peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed yang mewakili bekas Perdana Menteri itu pada perbicaraan menyeleweng RM2.3 bilion dana 1MDB.

    Wan Aizuddin menyoal saksi berumur 49 tahun itu mengenai salah urus 1MDB yang telah menyebabkan syarikat pembangunan strategik itu menanggung banyak pinjaman dan liabiliti tidak perlu, yang dipersetujui Mohd Hazem.

    Saksi itu juga bersetuju dengan cadangan Wan Aizuddin bahawa terdapat dana 1MDB yang diseleweng dan disalurkan kepada pelbagai organisasi untuk manfaat Jho Low.

    Wan Aizuddin: Sekarang anda katakan dalam pelbagai bahagian penyataan saksi dan juga keterangan di mahkamah bahawa telah secara konsisten menerima arahan daripada Jho Low, dari tajuk perbincangan dan juga secara lisan?

    Mohd Hazem: Ya.

    Wan Aizuddin: Anda juga bersetuju dengan saya bahawa hanya Jho Low boleh mengesahkan kepada mahkamah ini bahawa kesemua arahan ini yang diberikan kepada beliau adalah daripada Datuk Seri Najib?

    Mohd Hazem: Ya.

    Saksi itu juga bersetuju dengan cadangan peguam bahawa Jho Low kini dalam buruan dan telah melarikan diri dari negara ini.

    Terdahulu, seorang lagi peguam Najib iaitu Mardhiyah Siraj mencadangkan kepada saksi itu bahawa beliau telah membuat ‘perjanjian’ dengan pendakwaan untuk mengaitkan bekas Perdana Menteri itu supaya terlepas daripada pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.

    Mardhiyah: Nampaknya anda hanya ingat perkara yang boleh mengaitkan Najib, termasuk akses langsung yang kononnya dimiliki Jho Low kepada Najib. Apabila perkara itu melibatkan anda secara langsung, anda boleh lupa pula.

    Mohd Hazem: Saya tidak bersetuju.

    Mardhiyah: Semalam anda setuju bahawa 1MDB dikendalikan seperti kedai kopi, yang bermakna anda telah banyak melanggar undang-undang syarikat. Saya katakan kepada anda bahawa anda berbohong kepada mahkamah. Saya katakan kepada anda bahawa anda berbohong untuk mengaitkan Najib dalam usaha melepaskan diri daripada pertuduhan.

    Mohd Hazem menafikan semua cadangan yang dikemukakan oleh peguam itu.

    Pembelaan mengakhiri pemeriksaan balas terhadap Mohd Hazem yang berlangsung selama 23 hari dan saksi itu telah memberi keterangan sejak 14 Sept 2020.

    Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P Kunyalam berkata pendakwaan akan memanggil seorang lagi saksi daripada pengurusan tertinggi 1MDB iaitu bekas Ketua Pegawai Kewangannya (CFO) Azmi Tahir untuk memberi keterangan esok.

    Najib, 68, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. – BERNAMA

  • Mahkamah tolak permohonan UMNO batal saman SRC

    Mahkamah tolak permohonan UMNO batal saman SRC

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan UMNO untuk membatalkan saman SRC International Sdn Bhd terhadap parti politik itu bagi menuntut RM16 juta yang didakwa dipindahkan secara salah kepada UMNO.

    Pada Mei lepas, SRC International, yang merupakan anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), di bawah pengurusan baharunya telah memfailkan saman itu bersama dengan anak syarikatnya iaitu Gandingan Mentari Sdn Bhd dan Jendela Pinggiran Sdn Bhd.

    Peguam Shahrul Fazli Kamaruzaman, yang mewakili UMNO, berkata Pesuruhjaya Kehakiman Quay Chew Soon menolak permohonan parti politik itu atas alasan kes tersebut tidak sesuai diketepikan pada peringkat ini kerana terdapat isu yang perlu diputuskan semasa perbicaraan.

    “Mahkamah juga membenarkan permohonan plaintif untuk meminda nama Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Ahmad Maslan yang pada asalnya dinamakan sebagai pemegang jawatan parti, yang mewakili UMNO dalam tuntutan saman dan digantikan dengan nama Datuk Mohd Sumali Reduan iaitu setiausaha kerja UMNO sebagai pegawai awam yang mewakili parti tersebut,” katanya ketika dihubungi pemberita selepas pendengaran permohonan itu yang berlangsung secara dalam talian.

    Beliau juga berkata, mahkamah membenarkan permohonan UMNO untuk satu perintah penggantungan interim daripada memfailkan pernyataan pembelaan sementara menunggu rayuan terhadap keputusan hari ini.

    Prosiding hari ini disertai peguam Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff yang mewakili UMNO dan Nur Syafinaz Vani Abdullah bagi pihak kesemua plaintif.

    SRC International, Gandingan Mentari dan Jendela Pinggiran menyaman UMNO bagi menuntut RM16 juta yang didakwa dipindahkan secara salah kepada parti politik itu.

    Plaintif mendakwa parti politik itu mengetahui bahawa wang tersebut adalah milik SRC International dan UMNO tidak mempunyai asas untuk menerima dana berkenaan.

    Pada 10 Mei lepas, Kementerian Kewangan mengesahkan bahawa 1MDB dan anak syarikatnya SRC International Sdn Bhd telah memfailkan 22 saman bagi mendapatkan semula aset bernilai lebih RM96.6 bilion termasuk RM300 juta daripada pelbagai pihak tempatan.

    Kementerian itu menyebut writ saman terbabit difailkan pada 7 Mei iaitu enam oleh 1MDB dan 16 oleh SRC.

    Saman itu difailkan oleh 1MDB terhadap sembilan entiti termasuk dua institusi kewangan asing dan 25 individu manakala SRC memfailkan saman terhadap lapan entiti serta 15 individu atas pelbagai salah laku. – BERNAMA

  • Warga emas kelar anak berebut siaran televisyen didakwa membunuh

    Warga emas kelar anak berebut siaran televisyen didakwa membunuh

    LELAKI warga emas yang mengelar leher anak sendiri selepas bertengkar kerana berebut siaran televisyen di Ulu Bernam, Selangor pada 3 November lalu, didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu, hari ini atas tuduhan membunuh.

    S. Krisman, 72, dihadapkan di hadapan Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza yang bertindak sebagai Majistret, namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

    Dia dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan membunuh anak lelakinya, K Apacnaidu, 37, di sebuah rumah di Jalan Kemudi, Taman Bernam Jaya, Ulu Bernam.

    Kejadian dilaporkan berlaku antara jam 11 pagi hingga 11.30 pagi, pada 3 November lalu. Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati.

    Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Khadijah Amir Hamdzah, manakala tertuduh diwakili peguam, Dr Vasu Appu. Tiada jaminan diberikan dan mahkamah menetapkan 22 Disember untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.