Category: Mahkamah

  • Serba Dinamik, pengarah dan dua pegawai kanan didakwa kemuka pernyataan palsu

    Serba Dinamik, pengarah dan dua pegawai kanan didakwa kemuka pernyataan palsu

    SYARIKAT penyedia perkhidmatan kejuruteraan minyak dan gas bersepadu Serba Dinamik Holdings Berhad, seorang pengarah dan dua pegawai kanannya mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mengemukakan pernyataan palsu kepada Bursa Malaysia Securities Berhad, Februari lepas. 

    Serba Dinamik yang diwakili Pengarah Bukan Eksekutif Bebas Abu Bakar Uzir, 43, selaku Orang Kena Saman (OKS) membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Hamidah Md Deril.

    Syarikat itu didakwa dengan niat untuk menipu telah mengemukakan pernyataan palsu kepada Bursa Malaysia Securities Berhad berhubung hal ehwal Serba Dinamik Holdings Berhad yang terkandung di dalam “Serba Dinamik Holdings Berhad’s Quarterly Report on the Consolidated Results for the Quarter and Year Ended 31 December 2020”.

    Di mahkamah berasingan, Pengarah Eksekutif Bukan Bebas Datuk Syed Nazim Syed Faisal, 41, Pengawal Kewangan Kumpulan Azhan Azmi, 39, dan Timbalan Presiden Akaun dan Kewangan Muhammad Hafiz Othman, 37, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan sama dibacakan secara berasingan ke atas mereka di hadapan Hakim Datin Sabariah Othman.

    Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Bursa Malaysia Securities Berhad, Bukit Kewangan, di sini pada 26 Feb lepas dan didakwa mengikut Seksyen 369(a)(B) dibaca bersama Seksyen 367(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (Akta 671) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 369 akta sama. 

    Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM3 juta, jika sabit kesalahan.

    Mahkamah membenarkan Syed Nazim, Muhammad Hafiz dan Azhan diikat jamin RM300,000 setiap seorang dengan dua penjamin berserta syarat tambahan melaporkan diri kepada pegawai penyiasat Suruhanjaya Sekuriti sebulan sekali serta menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Sekuriti Hashley Tajudin dan Zulaida Zulkifli manakala Serba Dinamik dan kesemua pegawainya diwakili peguam L.K. Mak.

    Kedua-dua mahkamah menetapkan 27 Jan depan bagi sebutan semula kes.

    — BERNAMA

  • Remaja perempuan mengaku salah dera budak 16 bulan

    Remaja perempuan mengaku salah dera budak 16 bulan

    SEORANG remaja perempuan dan lelaki mengaku salah di Mahkamah Sesyen Kuala Pilah hari ini atas kesalahan mendera kanak-kanak berusia 16 bulan pada Ogos lalu.

    Tertuduh, Muhammad Afiq Abdullah, 23, dan remaja perempuan berusia 18 tahun itu membuat pengakuan tersebut sebaik pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Norma Ismail.

    Mengikut pertuduhan, mereka secara bersamasama- pada 3 Ogos hingga 25 Ogos melakukan penganiayaan sehingga menyebabkan kecederaan fizikal di kepala, mata, badan dan tapak kaki kanak-kanak berusia 16 bulan.

    Kejadian itu dilakukan di sebuah rumah tidak bernombor di Felda Bukit Jalor, Tampin.

    Kedua-duanya dituduh mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

    Norma menjatuhkan hukuman 24 bulan penjara dan mengenakan hukuman tambahan mengikut Seksyen 31(2) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu bon berkelakuan baik selama tempoh dua tahun ke atas Muhammad Afiq.

    Remaja perempuan itu pula diperintahkan ditahan di Sekolah Henry Gurney sehingga usia 21 tahun mengikut Seksyen 76 Akta Kanak-Kanak 2001.

    Pendakwaan kes dikendali Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

  • Syarikat didenda RM50,000 gagal pastikan keselamatan pekerja

    Syarikat didenda RM50,000 gagal pastikan keselamatan pekerja

    SEBUAH syarikat pembinaan didenda maksimum RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini selepas didapati bersalah gagal memastikan keselamatan dan kebajikan pekerjanya sehingga menyebabkan seorang pekerja warga Indonesia meninggal dunia.

    Hakim Rofiyah Mohammad menjatuhkan hukuman itu ke atas Syarikat HAB Construction Sdn Bhd yang diwakili pengarahnya Haw Wei Sheng, 32, selaku orang kena saman (OKS) selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan kes melampaui keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

    Rofiyah tidak membenarkan penangguhan bayaran dan memerintahkan denda itu dijelaskan hari ini.

    Mengikut pertuduhan, syarikat itu sebagai majikan didakwa telah gagal untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan semasa bekerja kepada semua pekerjanya sebagaimana yang perlu semasa pengoperasian kren menara sehingga menyebabkan kemalangan pekerja ditimpa oleh struktur kren menara.

    Syarikat itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di tapak cadangan pembangunan bercampur di Persiaran Multimedia, Seksyen 7, Shah Alam pada 10.30 pagi, 2 Jan 2018 mengikut Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 serta dihukum mengikut Seksyen 19 akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya.

    Dalam kejadian itu mangsa Matrais, 38, telah meninggal dunia dan tiga lagi pekerja Sudami (Indonesia), 50, dan dua warga Bangladesh, Toffazal Hossain, 41, dan Raja Miah,33, mengalami kecederaan selepas kren tumbang di tapak pembinaan berkenaan.

    Ketika rayuan, syarikat itu yang diwakili peguam Arif Asyraf Mohd Khairi memohon dikenakan denda minimum dengan alasan pihak OKS memberi kerjasama yang baik sepanjang perbicaraan berjalan.

    “Atas rasa tanggungjawab, OKS juga telah membayar pampasan RM10,000 kepada pihak keluarga si mati serta urusan penghantaran jenazah ke Indonesia selain tiga yang lain turut ditanggung sepanjang menerima rawatan di hospital.

    “Saya juga memohon, sekiranya mahkamah dapat menggunakan budi bicara memberikan tempoh waktu sekurang-kurangnya dalam minggu ini bagi pihak OKS menyempurnakan denda tersebut,” katanya.

    Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JPKKP) Selangor, Mohd Nizam Teh Kamaruddin memohon hukuman setimpal mengambil kira faktor kepentingan awam selain kematian pekerja itu supaya memberi pengajaran kepada OKS serta majikan lain.

    Dalam prosiding itu, pendakwaan turut dikendalikan Pegawai Pendakwa JPKKP Selangor Maizura Yusof dan Mohd Khairi Mohd Yatim manakala tertuduh turut diwakili peguam Mohd Khairul Brian dan Muhamad Syah Azlan.

    Seramai lapan saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan telah memberi keterangan sepanjang perbicaraan yang bermula pada 22 April 2021 selain sebanyak 37 eksibit dikemukakan sepanjang kes itu berlangsung. – Bernama

  • Buat laporan polis palsu, juruwang dipenjara, didenda

    Buat laporan polis palsu, juruwang dipenjara, didenda

    SEORANG juruwang wanita yang membuat laporan polis palsu berhubung kehilangan kad pengenalannya kerana bimbang didenda oleh Jabatan Pendaftaran Negara, hari ini dihukum penjara tiga hari dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Selayang.

    Majistret Nik Fadli Nik Azlan menjatuhkan hukuman itu selepas Siti Norhidayah Mohamad Amin, 29, mengaku bersalah atas pertuduhan memberi maklumat palsu kepada Jamarul Azuan Abdullah sehingga menyebabkan pegawai polis itu menyiasat kejadian seperti yang dilaporkan.

    Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula hari ini dan akan dipenjara tiga hari lagi jika gagal membayar denda. Siti Norhidayah membayar denda itu.

    Tertuduh, yang bekerja di sebuah pasar raya, didakwa melakukan kesalahan itu di Balai Polis Gombak pada 1.44 pagi 12 Dis lepas mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara enam bulan atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisak Hasni memohon hukuman setimpal kerana perbuatan Siti Norhidayah menyusahkan banyak pihak terutama pegawai yang menyiasat laporan polis palsu itu manakala tertuduh, yang tidak diwakili peguam, merayu hukuman ringan atas alasan laporan tersebut dibuat kerana bimbang didenda oleh JPN.

    Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, tertuduh telah membuat laporan polis kononnya dia telah disamun oleh dua lelaki bermotosikal sedangkan kejadian itu tidak wujud.

    Siasatan mendapati dompet Siti Norhidayah yang mengandungi kad pengenalannya telah tercicir dan dia mengakui membuat laporan polis palsu bagi mengelak daripada didenda oleh JPN ketika membuat kad pengenalan baharu. – Bernama

  • Pemandu lori dituduh memandu bawah pengaruh dadah, sebabkan kematian

    Pemandu lori dituduh memandu bawah pengaruh dadah, sebabkan kematian

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG pemandu lori mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan memandu di bawah pengaruh dadah hingga menyebabkan kematian seorang anggota  Pasukan Gerakan Am (PGA), Jumaat lalu.

    Tertuduh, Hairul Azman Abdullah, 40, membuat pengakuan tersebut sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di depan Majistret, Nadhirah Abdul Rahim di Mahkamah Majistret Sungai Petani, hari ni.

    Mengikut kertas pertuduhan, Hairul Azman yang berasal dari Sungai Besar, Selangor didakwa memandu sebuah lori jeni Hino di dengan penagaruh dadah jenis methamphetamine dalam badannya hingga mengakibatkannya tidak berdaya mengawal kenderaan tersebut.

    Keadaan itu didakwa menyebabkan kematian anggota PGA tersebut yang merupakan pemandu sebuah kenderaan jenis Honda City, Muhamad Aziem Azman di Kilometer 79.5, Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara dalam Daerah Kuala Muda.

    Kesalahan tersebut didakwa dilakukan pukul 2.09 pagi, 24 Disember lalu dengan pertuduhan dikendalikan Pegawai Pendakwa Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, Inspektor Syed Ahmad Ridzuan Syed Zainol mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

    Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara antara 10 hingga 15 tahun dan didenda antara RM50,000 hingga RM100,000 serta hilang kelayakan lesen bagi tempoh minimum 10 tahun.

    Tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Tengku Hezrul Anuar Tengku Abdul Samad.

    Terdahulu Syed Ahmad Redzuan memohon mahkamah menetapkan jaminan pada kadar RM50,000 serta meletakkan syarat tambahan supaya tertuduh melaporkan diri di balai polis terdekat dengan tempat tinggalnya sebulan sekali.

    Begitu pun Tengku Hezrul meminta mahkamah untuk mengurangkan kadar jaminan itu dengan alasan tertuduh perlu menyara isteri yang tidak bekerja, anak yang masih kecil serta ibu dan bapa yang uzur.

    Nadhirah kemudiannya menetapkan kadar jaminan sebanyak RM6,000 dengan serang penjamin dengan tarikh sebutan semula ditetapkan pada 26 Januari depan.

  • Tukang kayu mengaku salah perdaya pelanggan, didenda RM6,000

    Tukang kayu mengaku salah perdaya pelanggan, didenda RM6,000

    MAHKAMAH Majistret Kuala Pilah hari ini menjatuhkan hukuman denda RM6,000 terhadap seorang tukang kayu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan memperdaya pelanggannya sehingga mengalami kerugian RM3,650 tahun lalu.

    Muhammad Ezuwan Nordin, 31, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Saiful Sayoti sebelum memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tujuh bulan jika gagal membayar denda itu.

    Berdasarkan pertuduhan pilihan, tertuduh telah menipu Ramli Yunus, 32, dengan memperdayakan beliau dalam urusan pemasangan kabinet dapur di rumahnya.

    Dengan itu tertuduh dengan curangnya telah mendorong beliau untuk menyerahkan wang tunai berjumlah RM3,650 kepada tertuduh yang mama beliau tidak akan menyerahkan wang tersebut sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan antara 19 Jun 2020 sehingga 2 Julai 2020 pikil 11.26 pagi sehingga 10.49 malam bertempat di sebuah rumah di Taman Senimas, Kuala Pilah.

    Oleh demikian tertuduh telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nik Nur ‘Aqilah Syarfa Nik Zaidi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

  • Rasuah: Empat pegawai kastam dipenjara dua tahun

    Rasuah: Empat pegawai kastam dipenjara dua tahun

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Empat pegawai kastam dihukum penjara dua tahun oleh Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini setelah didapati bersalah menerima rasuah berjumlah RM22,000, dua tahun lalu.

    Hakim Harmi Thamri Mohamad menjatuhkan hukuman itu terhadap  Kamaruzaman Hashim, 41, Mohamad Fadzil Voon Fandi Voon, 34, Saiful Azhar Ismail, 35, dan Muhamad Izrul Ismail, 30, setelah pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

    Mengikut pertuduhan, kesemua pegawai kastam berkenaan didakwa dengan niat bersama menerima wang sebanyak RM22,000 daripada seorang peniaga kedai runcit berusia 69 tahun yang menyimpan rokok dan mercun belum lulus kastam.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kampung Namek Tua, Sik, kira-kira pukul 6.30 petang pada 21 Mei 2019.

    Tertuduh pertama, Kamaruzaman selain itu turut disabitkan dengan satu lagi kesalahan kerana menerima rasuah berjumlah RM3,000 daripada menantu warga emas tersebut sebagai ganjaran untuk tidak menangkap atau mengambil tindakan terhadap bapa mentuanya itu.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira pukul 6.49 petang pada tarikh dan lokasi sama.

    Bagi kesalahan tersebut, Hakim turut memerintahkan agar Kamaruzaman dipenjara 24 bulan dan hukumannya akan berjalan serentak dengan pertuduhan pertama.

    Kes tersebut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Khairul Nizam Abu Bakar mengikut Seksyen 137(1)(b) Akta Kastam 1967 sementara kesemua tertuduh pula diwakili peguam, Rosman Azwan Osman.

    Mahkamah kemudiannya membenarkan permohonan pihak pembelaan agar hukuman tersebut ditangguhkan, sementara menanti keputusan Mahkamah Tinggi.

    Begitu pun mahkamah menetapkan kadar jaminan yang sebelum ini berjumlah RM2,000 pada tempoh perbicaraan, dinaikkan kepada RM12,000 dengan seorang penjamin dan kesemua tertuduh perlu melapor diri di pejabat JKDM terdekat pada minggu pertama setiap bulan hingga kes selesai.

  • Rogol kambing sampai mati, lelaki tua dipenjara 6 tahun

    Rogol kambing sampai mati, lelaki tua dipenjara 6 tahun

    SEORANG warga emas yang mempunyai tiga rekod lampau berkaitan kes cabul, hari ini dipenjara enam tahun oleh Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu kerana melakukan persetubuhan luar tabii dengan seekor kambing betina di belakang rumah jirannya, Julai lalu.

    Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza menjatuhkan hukuman itu ke atas Shaari Hasan, 60, selepas beliau menukar pengakuan kepada bersalah ketika sebutan kes hari ini.

    Mahkamah juga mengarahkan tertuduh diletakkan di bawah pengawasan polis selama setahun selepas keluar dari penjara, selain mendapatkan khidmat kaunseling.

    Sebelum menjatuhkan hukuman itu, hakim berkenaan menyoal punca kematian kambing berkenaan dan Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisa Noor Harun menyatakan ia adalah disebabkan kegagalan paru-paru.

    Dalam prosiding itu, tertuduh juga mengesahkan barang kes termasuk gambar kambing, pakaian miliknya yang dirampas semasa kejadian iaitu sehelai baju T berwarna hijau dan seluar panjang berwarna coklat, yang ditunjukkan kepadanya oleh jurubahasa mahkamah.

    Lelaki itu didakwa melakukan perbuatan itu di belakang sebuah rumah di Kampung Sungai Buaya, Rawang di sini pada 1.33 tengah hari, 27 Julai lalu, mengikut Seksyen 377 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

    Terdahulu peguam Muizzudin Schanni Feizal Maurice Feizal memohon mahkamah mengenakan hukuman penjara dari tarikh tangkap, dengan alasan tertuduh menyesal dengan perbuatannya selain hukuman berpatutan terhadap tertuduh.

    “Tertuduh merupakan warga emas dan tinggal sebatang kara, memandangkan seksyen ini memperuntukkan hukuman sebat, mohon hukuman itu (sebat) tidak dikenakan berikutan tertuduh merupakan seorang warga emas,” kata peguam itu.

    Sementara itu Khairunnisa memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap tertuduh.

    Menurut fakta kes, kejadian itu disedari seorang wanita berusia 45 tahun yang terdengar bunyi mengembek dari kandang kambing yang terletak di belakang rumahnya.

    Wanita berkenaan yang pergi ke kandang kambing itu mendapati, seorang lelaki yang dikenalinya berada dalam keadaan separuh bogel, bangun dari sebelah kambing milik wanita tersebut.

    Selepas menyedari kehadiran wanita terbabit, suspek telah melarikan diri dan hasil pemeriksaan mendapati, kambing betina yang menjadi mangsa lelaki itu telah mati. – BERNAMA

  • Suami isteri didakwa beli kucing guna wang palsu

    Suami isteri didakwa beli kucing guna wang palsu

    SEPASANG suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Gajah, hari ini, atas pertuduhan membeli dua kucing Parsi dengan menggunakan wang palsu, 11 Disember lalu.

    Mohammad Norkieflee Abdul Raheem, 22, dan isterinya, Nurul Farah Syafiqah Abdul Aziz, 24, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Afizi Othman.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa bersama-sama menggunakan wang palsu sebanyak 53 keping bernilai RM2,500 bagi membeli dua kucing Parsi.

    Kesalahan itu dilakukan tertuduh di tepi jalan berhampiran Plaza Tol Ayer Keroh, pada 2.25 pagi 11 Disember lalu.

    Justeru, mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 489B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

    Tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu agar hukuman ringan dikenakan ke atas mereka disebabkan tidak mengetahui wang berkenaan adalah palsu.

    Selepas mendengar rayuan itu, mahkamah kemudian menolak pengakuan bersalah yang dibuat pasangan itu kerana menjadi pengakuan bersyarat.

    Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Puteri Nur Nadia Mohamed Iqbal yang kemudian mencadangkan jaminan RM20,000 diberikan kepada setiap tertuduh.

    Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 setiap seorang dan menetapkan 28 Januari depan tarikh sebutan semula kes.

  • Rosmah nafi suaranya dalam audio ‘Can I advise you something?’

    Rosmah nafi suaranya dalam audio ‘Can I advise you something?’

    DATIN Seri Rosmah Mansor memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini kandungan rakaman audio yang mengandungi ayat “Can I advise you something?” adalah tidak benar dan tiada siasatan saintifik untuk membuktikan ia adalah suaranya.

    Rosmah, 70, berkata demikian ketika ditanya sama ada kandungan audio itu benar, semasa pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram dalam perbicaraan pembelaannya yang menghadapi tiga pertuduhan berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

    Sri Ram: Saya katakan kepada anda kandungan rakaman itu benar. Adakah anda bersetuju?

    Rosmah menjawab, “Tidak, mengarut semata-mata.”

    Rosmah juga tidak bersetuju dengan cadangan Sri Ram bahawa suara dalam rakaman itu adalah suaranya.

    Sri Ram: Anda mengesahkan suara dalam rakaman itu adalah suara anda dan suami anda (Datuk Seri Najib Tun Razak)?

    Rosmah: Tidak, saya tidak dapat mengesahkannya, kerana tidak ada siasatan saintifik yang dilakukan mengenainya.

    Sri Ram: Saya juga menyatakan kepada anda bahawa semasa perbualan itu, anda membuat rujukan berhubung pelantikan jawatan awam.

    Rosmah: Saya tidak bersetuju.

    Rosmah juga tidak bersetuju dengan Sri Ram bahawa beliau tidak mahu dikaitkan dengan kandungan rakaman audio berkenaan kerana rakaman itu mengesahkan beliau menasihatkan suaminya berhubung pelantikan jawatan awam.

    Sri Ram berkata beberapa saksi dalam perbicaraan itu termasuk bekas Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid dan bekas pembantunya Datuk Rizal Mansor, telah memberi keterangan di mahkamah bahawa ia adalah suara Rosmah dan Najib.

    Bagaimanapun, Rosmah membalasnya dengan berkata, “Dan anda sepatutnya mempercayai mereka”.

    Ketika ini, Sri Ram meninggikan suaranya dan berkata Rosmah tidak sepatutnya menyoalnya semula.

    Sri Ram: Anda tidak boleh tanya saya soalan. Anda mahu bertengkar dengan saya? Rosmah menjawab, “Saya tidak bertengkar dengan anda. Saya nak jawab”.

    Pada ketika ini, Hakim Mohamed Zaini Mazlan mencadangkan Rosmah mendengar soalan pihak pendakwaan dan memendekkan jawapannya kerana peguamnya akan membuat pemeriksaan semula.

    Sejurus selepas hakim memberikan arahannya, Rosmah menjawab, “Datuk Seri (Sri Ram), janganlah jerit-jerit dekat saya. Saya tak biasa orang jerit-jerit dekat saya,” katanya.

    Terdahulu, Hakim Mohamed Zaini menolak permohonan pihak pendakwaan untuk mencabar kredibiliti Rosmah berhubung dakwaan memberi keterangan bercanggah dalam perbicaraan kes itu selepas memutuskan pendakwaan itu tidak perlu memandangkan Rosmah telah memberikan penjelasan berhubung dakwaan percanggahan itu.

    Percubaan pihak pendakwaan untuk mencabar kredibiliti Rosmah berhubung dakwaan beliau memberi keterangan bercanggah dalam perbicaraan projek solar dan kenyataan yang diberikannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kes pengubahan wang haram.

    Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib berkata ketika Rosmah memberikan keterangannya kepada SPRM pada 3 Okt 2018 berhubung kes pengubahan wang haramnya, beliau berkata tidak mengenali atau tidak pernah berjumpa Saidi Abang Samsudin (bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd) dan Rayyan Radzwill Abdullah (bekas rakan perniagaan Saidi).

    Ahmad Akram berhujah bahawa semasa prosiding sebelum ini dalam perbicaraan solar, Rosmah memberi keterangan bahawa beliau tidak mengenali Saidi dan Rayyan (saksi pendakwaan utama) sebelum pertemuan pertamanya dengan mereka pada tahun 2016.

    Pada 18 Feb, Mahkamah Tinggi memerintahkan Rosmah membela diri atas tiga pertuduhan selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

    Rosmah menghadapi satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah RM6.5 juta daripada Saidi menerusi Rizal sebagai balasan kerana membantu Jepak Holdings memperoleh Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel untuk 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion daripada Kementerian Pendidikan secara rundingan terus.

    Perbicaraan bersambung esok. – BERNAMA