Category: Mahkamah

  • Lelaki mengaku tidak bersalah dera 7 anak, cederakan isteri

    Lelaki mengaku tidak bersalah dera 7 anak, cederakan isteri

    SEORANG lelaki mengaku tidak bersalah di dua mahkamah berbeza di Georgetown, Pulau Pinang hari ini atas dakwaan mendera tujuh anaknya yang berusia antara lima hingga 14 tahun dan mencederakan isterinya yang berusia 42 tahun.

    Tertuduh, Mohd. Faizal Abdul Kudus, 42, yang merupakan seorang pembantu peniaga membuat pengakuan itu ketika dihadapkan di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret Georgetown hari ini.

    Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di 1B-G-4, Mutiara Idaman, Solok Tengku, Jelutong, Pulau Pinang antara Januari hingga Disember 2021.

    Di Mahkamah Sesyen, tertuduh didakwa telah mendera dengan cara menyebabkan kecederaan ke atas tubuh dan mengabaikan kesihatan enam kanak-kanak perempuan dan seorang kanak-kanak lelaki di bawah jagaannya itu.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Di Mahkamah Majistret pula, dia didakwa atas pertuduhan mencederakan isterinya yang merupakan  juga di kediaman sama tahun lalu.

    Bagi pertuduhan mencederakan isterinya iaitu warga Singapura, Ummu Nabilah Md. Ehwan,42, dia dituduh mencederakan isterinya di bahagian leher dan badan di kediaman sama, antara Januari hingga Disember tahun lalu.

    Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan (KK) dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun.

    Bagi kesalahan mengikut Seksyen 323 kanun yang sama, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

    Bagi pertuduhan dera, Timbalan Pendakwa Raya, Raiz Imran Hamid dan Muhammad Shahrezal Mohd. Shukry memohon supaya tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin atas alasan kes itu adalah serius.

    Bagaimanapun, peguam, Md. Yusuf Md. Idris kemudian memohon mahkamah membenarkan jaminan berdasarkan janji tertuduh tidak akan mendekati mangsa dan saksi penderaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga telah memohon perintah perlindungan terhadap kanak-kanak berkenaan.

    Hakim Mazdi Abdul Hamid dan Norsalha Datuk Hamzah kemudiannya membenarkan Mohd. Faizal dijamin sebanyak RM60,000 dengan seorang penjamin.

    Selain itu, tertuduh turut dikenakan syarat-syarat tambahan iaitu perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran; menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sepanjang perbicaraan.

    Sementara itu bagi pertuduhan mencederakan isterinya pula, mahkamah menetapkan wang jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin.

    Mahkamah turut menetapkan 11 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula
    kesemua pertuduhan yang dihadapi Mohd. Faizal.

  • Rasuah: Guru besar dipenjara 3 bulan, denda RM20,000

    Rasuah: Guru besar dipenjara 3 bulan, denda RM20,000

    MAHKAMAH Sesyen Kuantan hari ini, menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan dan denda RM20,000 ke atas seorang guru besar selepas tertuduh mengaku bersalah atas dua pertuduhan melantik syarikat milik isterinya dalam urusan berkaitan sukan perahu layar, kira-kira lapan tahun lepas.

    Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain turut memerintahkan tertuduh Khairul Azizi Ab Aziz, 55, dihukum penjara tambahan selama 12 bulan, jika tertuduh yang beralamat di Pulau Tioman, Rompin gagal menjelaskan denda tersebut.

    Khairul Azizi didakwa melakukan kesalahan itu semasa berkhidmat sebagai Guru Penolong Kanan Kokurikulum di Sekolah Kebangsaan Cherating di Kuantan, dengan mencadangkan syarikat milik isterinya, Sueazizi Enterprise kepada guru besar sekolah tersebut bagi urusan bayaran pesanan sekolah.

    Ia melibatkan bayaran berkaitan peruntukan perahu layar bagi latihan Majlis Sukan Sekolah Pahang (MSSP) bernilai RM1,200 pada 19 Mac 2014 dan bayaran RM700 bagi program perahu layar anjuran Kementerian Pendidikan pada 15 Dis 2014.

    Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Pada prosiding itu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memaklumkan bahawa dirinya telah berkhidmat dalam bidang pendidikan selama 31 tahun dan dilantik sebagai guru besar pada tahun 2016.

    “Kesalahan dilakukan semasa saya guru penolong kanan dan semasa itu, tidak pernah mengikuti apa-apa kursus formal berkaitan pengurusan kewangan kerajaan. Sebagai jurulatih MSSP, saya cuba memaksimumkan nilai ringgit yang diperuntukkan bagi memastikan sukan perahu layar berada di landasan yang betul.

    “Murid yang terlibat datang dari pelbagai daerah seperti Rompin, Jerantut, Bentong dan Kuantan. Saya mengorbankan masa dan wang ringgit membantu mereka kerana ada yang datang daripada keluarga susah sedangkan sukan perahu layar agak mahal.

    “Sepanjang saya menguruskan sukan ini sejak tahun 2010 hingga sekarang, sukan pelayaran telah melahirkan ramai atlet termasuk ke peringkat Olimpik di Jepun tahun lepas,” katanya yang kelihatan tenang sepanjang prosiding berlangsung.

    Khairul Azizi juga memaklumkan tidak pernah mengulangi kesilapan itu dan mengikuti setiap tatacara pengurusan kewangan kerajaan setelah dia mengikuti kursus berkaitan hal tersebut selepas bergelar guru besar.

    Selain itu, dia juga memohon ihsan mahkamah menjatuhkan hukuman rendah kerana dirinya menanggung beban hutang dalam menyara isteri yang kini tidak bekerja dan dua anak yang masih belajar di institusi pengajian tinggi.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Siti Sarah Zainal Abiddin. – BERNAMA

  • Dua kakitangan kastam tidak mengaku bersalah bocor maklumat

    Dua kakitangan kastam tidak mengaku bersalah bocor maklumat

    DUA pembantu penguat kuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sepang hari ini atas pertuduhan membantu sindiket samun dengan membocorkan maklumat berhubung tempat penyimpanan minuman keras pada November 2020.

    Mereka dituduh menyebabkan kehilangan barangan rampasan dan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 119 yang dibaca-sama bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

    Bagi tuduhan pertama, Mohd. Syahmir Mustafa, 42, dan Mazli Jamil, 45, didapati menyembunyikan barangan rampasan berupa dua buah kotena berisi minuman keras dan rokok yang disimpan di Stor Simpanan JKDM, Dengkil pada 17 November tahun lalu.

    Kesalahan itu dilakukan antara pukul 10 malam hingga 12 tengah malam bagi dua kontena bernombor UETU5457898 dan BM0U6343884 yang sebelum itu dirampas di Lapangan Pemeriksaan Kontena, Pelabuhan Utara, Port Klang, Selangor pukul 10 pagi hari yang sama.

    Bagi pertuduhan kedua pula, kedua-dua tertuduh didapati menyembunyikan keterangan mengenai barangan rampasan yang sama di Stor Simpanan JKDM, Dengkil pada 24 November tahun lalu.

    Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan dan di baca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

    Selepas pertuduhan dibacakan, kedua-dua tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon untuk dibicarakan.

    Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman kemudian menetapkan kedua-dua tertuduh dikenakan jaminan sebanyak RM4,000 bagi setiap pertuduhan dan kes akan disebut semula pada 7 Mac depan.

    Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Selangor, Mohammad Al-Saifi Hashim manakala, kedua-dua tertuduh pula diwakili peguam masing-masing.

    Sebelum ini media melaporkan, penahanan dua suspek itu membawa kepada rampasan dadah jenis pil Captagon seberat dua kilogram, 47 pil Erimin 5 dan kokain (4.9 gram) dengan nilai keseluruhan berjumlah RM559,899.

    Turut dirampas beberapa penimbang elektronik, telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM111,100 dalam kenderaan penguat kuasa yang dirampas.

  • Rasuah lagi:SPRM tahan semula bekas pengurus GLC

    Rasuah lagi:SPRM tahan semula bekas pengurus GLC

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG bekas pengurus syarikat milik kerajaan (GLC) yang tamat tempoh reman pada hari ini berhubung kes rasuah di Segamat, ditahan semula Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) petang tadi.

    SPRM Cawangan Segamat menahan suspek yang berusia 61 tahun itu bagi membantu siasatan satu lagi kes berkaitan penyalahgunaan kuasa melibatkan pemberian projek-projek kepada dua anaknya benilai lebih RM50,000.

    Suspek itu sepatutnya dibebaskan daripada reman hari ini tetapi ditahan pihak SPRM Cawangan Segamat bersama-sama dua anak lelakinya yang masing-masing berusia 28 dan 34 tahun antara pukul 4 hingga 4.30 petang tadi.

    Sementara seorang lagi pengurus syarikat yang juga berusia 61 tahun ditahan bersama-sama pengurus GLC itu pada 6 Januari lalu, dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas tempoh reman lima hari terhadapnya tamat hari ini.

    Menurut sumber, sekitar Disember tahun lalu, suspek warga emas itu yang sebelum ini bertugas sebagai pengurus GLC di Segamat telah memberikan beberapa projek kepada dua anaknya yang memiliki syarikat sendiri.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan ketiga-tiga penahanan terbabit dan berkata kes disiasat dibawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

    Azmi Alias

    Kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru pada Selasa, bagi mendapatkan permohonan reman.

    Pada 6 Januari lalu, SPRM menahan pengurus GLC dan pengurus syarikat tersebut di pejabat SPRM Johor Bahru bagi membantu siasatan berkaitan kes rasuah melibatkan nilai RM500,000.

    Pada 2019 hingga 2020, Pengurus GLC itu telah menerima rasuah daripada pengurus syarikat terbabit sebagai balasan mendapatkan kerja-kerja kontrak perladangan di daerah tersebut.

  • Jurutera didenda RM6,000 jual gambar lucah di Telegram

    Jurutera didenda RM6,000 jual gambar lucah di Telegram

    PADAH menjual gambar lucah seorang wanita dengan harga RM100 menerusi aplikasi Telegram dua tahun lepas, seorang jurutera didenda RM6,000 atau enam bulan penjara oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Selangor hari ini.

    Hakim Norshila Kamaruddin menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Azri Zahari, 34, selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas dia mengaku bersalah memberikan komunikasi lucah bagi tujuan komersial (menjual) kepada seorang lelaki melalui aplikasi Telegram menggunakan akaun ‘Menteri Pasola’.

    Komunikasi lucah dalam bentuk gambar itu kemudian telah dilihat di sebuah rumah di Jalan PJS 10/12, Subang Indah, Bandar Sunway, pada 8.21 malam, 4 Mac 2019.

    Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 233 (2) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya.

    Menjawab pertanyaan Norshila sama ada tindakan OKS menjual gambar lucah itu untuk menambah pendapatannya, peguam Syed Amirul Syed Edros yang mewakili Mohd Azri berkata, ‘tidak’.

    Syed Amirul berkata ketika kejadian itu anak guamnya tertekan berikutan masalah rumah tangga.

    “Mahkamah memberikan kamu peluang kedua untuk bertaubat. Sekiranya kejadian ini berulang semula, mahkamah akan menjatuhkan hukuman yang lebih tinggi,” kata Norshila kepada Mohd Azri.

    Terdahulu, Pegawai Pendakwa dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) Nazrul Hizam Mohd Zameri memohon hukuman denda setimpal mengambil kira faktor OKS menjual gambar lucah mangsa dengan harga RM100 seolah-olah menjual harga diri mangsa.

    Syed Amirul pula memohon denda minimum atas alasan anak guamnya merupakan penanggung utama keluarga dan telah insaf, selain berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama pada masa akan datang. – Bernama

  • Dadah: Pelakon, pengarah dan penolong pengarah didenda

    Dadah: Pelakon, pengarah dan penolong pengarah didenda

    MAHKAMAH Majistret Kuala Kangsar hari ini menjatuhkan hukuman denda sehingga RM4,000 terhadap seorang pelakon, pengarah dan penolong pengarah selepas masing-masing mengaku bersalah atas dua pertuduhan memiliki dan memasukkan dadah dalam badan, Oktober lalu.

    Niezam Zaidi atau nama sebenarnya Muhamad Niezam Mohd Zaidi bersama-sama Muhamad Niezam, 30, Mohd. Latiff Zami, 50, dan Saiful Zaidrin Ismail, 48, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Mohd. Shazmeer Zamhari .

    Mohd. Shazmeer turut memerintahkan kesemua mereka menjalani pengawasan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) antara dua hingga tiga tahun serta hukuman penjara sehingga lima bulan sekiranya gagal membayar denda.

    Muhamad Niezam mengaku bersalah memiliki dadah jenis kanabis seberat 0.60 gram di sebuah rumah di Persiaran Jati, Taman Chandan Putri 2, pukul 7.15 pagi, 10 Oktober 2021.

    Pendakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda maksimum RM20,000, jika sabit kesalahan.

    Pelakon filem Budak Pailang itu juga mengaku bersalah memasukkan kepada diri sendiri dadah berbahaya jenis THC di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar pukul 9.50 pagi, 10 Oktober lalu.

    Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 dan tiga tahun pengawasan.

    Dalam prosiding itu, Muhamad Niezam yang diwakili Peguam Hennie Soraya Hanafi daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) memohon hukuman ringan memandangkan pendapatannya telah terjejas akibat tiada tawaran sejak tangkapan terhadapnya dilakukan selain perlu menanggung ibu yang sakit.

    Ketiga-tiga mereka dikenakan denda dan pengawasan AADK oleh Mahkamah Majistret Kuala Kangsar selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki dan memasukkan dadah dalam badan, Oktober lalu.

    Timbalan Pendakwa Raya, Nur Syuhada Muhammad Lutfi bagaimanapun memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal mengambil kira kepentingan awam kerana tertuduh merupakan individu yang dikenali ramai.

    Mahkamah kemudiannya memerintahkan Muhamad Niezam membayar denda RM2,000 bagi setiap pertuduhan dan jika gagal dikenakan lima bulan penjara serta dua tahun pengawasan.

    Sementara itu, Mohd. Latiff yang mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki 0.20 gram dadah jenis kanabis diperintahkan membayar denda RM1,800 dan jika gagal boleh dikenakan empat bulan penjara.

    Bagi kesalahan memasukkan dadah dalam badan pula, bapa kepada enam anak itu dikenakan denda RM2,000 dan lima bulan penjara sekiranya gagal bayar serta tiga tahun pengawasan AADK.

    Mahkamah sama turut memerintahkan Saiful Zaidrin membayar denda RM4,000, lima bulan penjara jika gagal bayar denda serta dua tahun pengawasan selepas mengaku memiliki dan memasukkan dadah dalam badan jenis methamphetamine di lokasi dan tarikh yang sama.

    Pada 10 Oktober lalu, ketiga-tiga mereka ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar dengan dibantu anggota Balai Polis Kuala Kangsar yang bertindak atas maklumat pada pukul 7.15 pagi.

    Pemeriksaan di tiga bilik di rumah tersebut menemui dadah jenis ganja dan syabu dianggarkan bernilai RM270.

  • Najib tidak akan bagi keterangan kes Rosmah

    Najib tidak akan bagi keterangan kes Rosmah

    DATUK Seri Najib Razak tidak akan memberi keterangan sebagai saksi pembelaan pada perbicaraan kes rasuah yang dihadapi isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor berhubung projek tenaga hibrid solar bernilai RM1.25 bilion.

    Terdahulu, hari ini, bekas Perdana Menteri itu dijangka memberi keterangan sebagai saksi ketiga pembelaan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan.

    Bagaimanapun, Datuk Jagjit Singh yang mewakili Rosmah, memberitahu mahkamah, pihaknya mengambil keputusan untuk tidak memanggil Najib, memandangkan keterangannya adalah bersifat menyokong.

    “Sehubungan itu, pihak pembelaan menyusun semula strategi dan mengambil keputusan untuk tidak memanggil Najib,” katanya.

    Pada prosiding itu, Jagjit turut memohon mahkamah untuk melapangkan tarikh perbicaraan pada minggu ini memandangkan saksi kedua pembelaan, bekas pegawai khas Najib, Datuk Seri Siti Azizah Sheikh Abod sedang menunaikan Umrah.

    Perkara itu kemudian tidak dibantah Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram, yang memberitahu mahkamah bahawa keputusan memanggil saksi pembelaan adalah hak pembelaan.

    Terdahulu, Najib tidak hadir pada prosiding perbicaraan kes itu, bagaimanapun, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dilihat duduk di galeri awam.

    Rosmah dituduh melakukan kesalahan itu di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra di sini; di kediaman Rosmah di Jalan Langgak Duta, Taman Duta serta di Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Januari 2016 dan September 2017.

    Perbicaraan kes bersambung 4 Februari ini. 

  • Lindungi Long Tiger, lelaki lembut dipenjara 5 bulan

    Lindungi Long Tiger, lelaki lembut dipenjara 5 bulan

    MAHKAMAH Majistret Sungai Petani hari ini menjatuhkan hukuman penjara lima bulan terhadap seorang lelaki kerana melindungi Abdul Hamim Ab Hamid atau dikenali sebagai ‘Long Tiger’ yang melarikan diri dari Mahkamah Tangkak, Johor pada Disember lepas.

    Majistret Nurul Ainna Ahmad menjatuhkan hukuman itu terhadap Rusli Mat, 47, yang bekerja sendiri selepas dia mengaku bersalah.

    Mahkamah memerintahkan lelaki berperwatakan wanita itu menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditangkap pada 28 Dis 2021.

    Rusli didakwa melindungi Abdul Hamim atau Long Tiger dengan niat hendak mengelakkannya daripada ditangkap dan tertuduh mengetahui lelaki itu yang menghadapi pertuduhan di Mahkamah Tangkak pada 15 Dis lepas telah melarikan diri daripada tahanan polis.

    Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah beralamat LBS 854A, Kebun Tebu, Jalan Kuala Ketil pada 3.15 petang, 28 Dis.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 216 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau dengan denda.

    Berdasarkan fakta kes, Rusli menerima panggilan telefon daripada satu nombor tidak dikenali lebih kurang pukul 10 pagi pada 18 Dis dan individu itu memperkenalkan dirinya sebagai Abdul Hamim Ab Hamid serta memberitahu ingin menumpang sementara di rumah tertuduh sebelum melarikan diri ke Indonesia.

    Pada 8.45 malam hari sama Abdul Hamim tiba di rumah Rusli dan menumpang di rumah tertuduh selama 11 hari dengan Rusli mengetahui bahawa Abdul Hamim adalah individu yang dikehendaki pihak polis kerana melarikan diri daripada tahanan polis semasa proses perbicaraan di Mahkamah Tangkak.

    Rusli dengan rela hati memberikan kebenaran kepada lelaki beretnik Rohingya berumur 33 tahun itu untuk menyembunyikan diri daripada pihak polis sementara menunggu tekong untuk membawanya ke Indonesia.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Khairul Azreem Mamat dan Zulfadzly Hassan manakala Rusli diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Ruzanna Abdul Rahim. – BERNAMA

  • Kes SRC: Najib mohon mahkamah dengar dahulu rayuan

    Kes SRC: Najib mohon mahkamah dengar dahulu rayuan

    BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memohon Mahkamah Persekutuan mendengar terlebih dahulu rayuan beliau berkaitan bukti baharu yang ingin dikemukakannya dalam kes membabitkan penyelewengan kira-kira RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

    Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mengesahkan perkara itu, berkata ini adalah kerana bukti tersebut mungkin mempunyai kaitan penting dengan rayuan utama Najib bagi membatalkan sabitan serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadapnya.

    Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashrof Andrin Kamarul pula berkata, Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan Siti Hajar Mustaffa telah menetapkan 24 Jan sebagai tarikh pengurusan kes selanjutnya bagi rayuan utama pada prosiding yang berlangsung secara dalam talian hari ini.

    Pada 7 Dis lepas, Mahkamah Rayuan menolak permohonan Najib untuk mengemukakan bukti baharu bagi rayuannya dalam kes SRC.

    Sehari selepas itu, mahkamah yang sama mengekalkan sabitan serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC.

    Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, yang mengetuai panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, menolak rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bertarikh 28 Julai 2020.

    Pada hari sama, Najib, 69, memfailkan notis rayuan kepada Mahkamah Persekutuan. – BERNAMA

  • Ritual tolak bala, Raja Bomoh diheret ke mahkamah syariah

    Ritual tolak bala, Raja Bomoh diheret ke mahkamah syariah

    IBRAHIM Mat Zin atau digelar ‘Raja Bomoh’ yang ditahan atas dakwaan mencela dan menghina agama Islam, dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah Ipoh hari ini.

    Ibrahim, 71, dan ‘Puteri Zaleha’ atau nama sebenarnya, Suliaha Abdul Hamid, 62, tiba di perkarangan mahkamah pada 10 pagi sebelum dibawa masuk ke bilik bicara.

    Pendakwa Syarie Negeri Perak, Suhaili Ishak memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya tidak mengemukakan kertas pertuduhan pada prosiding hari ini kerana masih memerlukan masa untuk mengambil keterangan dan menjalankan siasatan lanjut.

    Sehubungan itu, Suhaili memohon supaya Ibrahim dan Suliaha dibebaskan dengan jaminan mengikut Seksyen 22 Enakmen Tatacara Jenayah Perak 2004.

    Hakim Syarie Mohammad Najib Ab Razak membenarkan kedua-dua individu itu yang tidak diwakili peguam dibebaskan dengan jaminan RM3,000 setiap seorang dan menetapkan 23 Feb untuk sebutan semula kes.

    Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 14 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Perak 1992 atas kesalahan mencela dan menghina agama Islam serta Seksyen 16 Enakmen sama kerana mengingkari Fatwa Jabatan Mufti Perak.

    Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dilapor telah membuka kertas siasatan terhadap Ibrahim berhubung satu ritual menolak bala dilakukan di Dataran JPS di Teluk Intan yang videonya tular di media sosial pada Rabu.

    Susulan itu, Ibrahim dan tiga individu lain ditahan Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Syariah JAIPk (Ipoh) pada petang Khamis.

    Video berdurasi 25 minit yang tular di Facebook itu memperlihatkan Ibrahim atau Raja Bomoh bersama seorang wanita dikenali sebagai ‘Puteri Zaleha’ membuat ritual tepung tawar dipercayai untuk menolak kejadian banjir. – BERNAMA