Category: Mahkamah

  • Anak saudara, bekas pekerja R Sivarasa dituduh rasuah

    Anak saudara, bekas pekerja R Sivarasa dituduh rasuah

    ANAK saudara kepada Ahli Parlimen Sungai Buloh, R Sivarasa dan bekas pekerjanya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan rasuah untuk tidak melaporkan kemasukan pekerja asing kepada pihak imigresen, lima tahun lepas.

    R Naveen Kularasa, 50, yang juga pembantu peribadi kepada Ahli Parlimen itu dan Nico Kam Joo Hoe, 24, bekas pekerja Sivarasa masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

    Bagi pertuduhan pertama, mereka didakwa bersama-sama telah secara rasuah meminta wang tunai RM55,000 bagi diri mereka daripada warga Bangladesh, Mono Miah Siddikur Rahman sebagai dorongan kononnya untuk tidak melaporkan kepada pihak imigresen berkaitan Syarikat Dyna Maintainance Services Sdn Bhd milik individu itu yang dikatakan telah membawa masuk pekerja asing dengan menggunakan kelayakan profesional untuk kerja-kerja buruh.

    Mengikut pertuduhan kedua dan ketiga, kedua-dua lelaki itu didakwa telah secara rasuah iaitu bersetuju untuk menerima bagi diri mereka wang tunai RM45,000 dan menerima wang tunai RM20,000 daripada pemilik syarikat sama melalui Kam (tertuduh kedua) berhubung perkara sama.

    Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di dua buah restoran di Cheras dan di sekitar Kuala Lumpur pada 1 petang hingga 10 malam, antara 17 hingga 21 Sept 2017.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah nilai suapan atau denda RM10,000 atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya Noralis Mat Rasyidah Azmi Kalai menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh, namun Kam yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah atas alasan dia baru mendapat pekerjaan sebagai pemandu van, berpendapatan RM2,200 sebulan.

    “Saya datang ke mahkamah hari ini dengan menggadai emas (barang kemas) milik ibu dan saya dapat RM1,500 sahaja. Ibu saya hadir ke mahkamah hari ini sebagai penjamin,” kata Kam yang turut memaklumkan dia memberi kerjasama yang baik kepada pihak berkuasa semasa siasatan.

    Peguam M. Puravalen mewakili Naveen tidak mengemukakan sebarang rayuan berhubung jaminan.

    Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 Feb ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen serta lantikan peguam bagi Kam. – BERNAMA

  • Zahid diperintah bela diri atas kesemua 47 pertuduhan

    Zahid diperintah bela diri atas kesemua 47 pertuduhan

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini memerintahkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membela diri atas 47 pertuduhan pecah amanah (CBT), rasuah, pengubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akalbudi (YAB).

    Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu setelah mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Ahmad Zahid, 69, terhadap 12 pertuduhan CBT, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik yayasan itu, yang dimiliki Ahmad Zahid.

    Mahkamah menetapkan 39 hari untuk mendengar kes pembelaan, bermula 26 hingga 28 April, 23 hingga 26 Mei, 27-30 Jun, 4-7 Julai, 22, 23, 29 dan 30 Ogos, 19-22, 26-29 Sept , 17-20 dan 31 Okt serta 1-3 dan 7-10 Nov.

    Ahli Parlimen Bagan Datuk itu yang memegang jawatan timbalan perdana menteri dari 2015 hingga 2018, memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dari tempat saksi dan pendakwaan berpeluang menyoalnya semasa pemeriksaan balas.

    Ahmad Zahid, Pengerusi Barisan Nasional dan Presiden UMNO, dijadual memberi keterangan pada 26 April ini.

    Dalam penghakimannya, Sequerah berkata pihak pendakwaan telah membuktikan semua unsur dalam kesemua pertuduhan dan berjaya mewujudkan kes prima facie terhadap tertuduh.

    “Pertamanya berkenaan dengan isu imuniti, selepas mempertimbangkan hujahan oleh kedua-dua pihak, saya mendapati tiada merit kepada soal imuniti,” katanya.

    Sebelum ini, peguam Hisyam Teh Poh Teik, yang mewakili Ahmad Zahid, berhujah bahawa Ahmad Zahid telah membuat dua kenyataan pada 2 dan 3 Julai 2018, dan berkata dengan membuat pendedahan melalui dua kenyataan itu, Presiden UMNO itu sepatutnya mempunyai imuniti daripada pendakwaan.

    Mengenai 12 pertuduhan CBT di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan, hakim berkata selepas membuat penilaian maksimum terhadap keterangan pihak pendakwaan, beliau mendapati pendakwaan telah membuktikan unsur kesemua 12 pertuduhan dan telah berjaya membuat kes prima facie terhadap semua 12 pertuduhan.

    “Oleh itu, saya memerintahkan tertuduh membela diri atas kesemua 12 pertuduhan,” katanya.

    Bagi lapan pertuduhan rasuah di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hakim juga mendapati pihak pendakwaan telah membuktikan kes prima facie bagi kesemua lapan pertuduhan tersebut.

    “Saya juga mendapati ada unsur di bawah Seksyen 50(1) Akta SPRM terhadap tertuduh, oleh itu saya memerintahkan tertuduh membela diri atas kesemua lapan pertuduhan itu,” kata hakim itu.

    Beliau turut memerintahkan Ahmad Zahid supaya membela diri atas kesemua 27 pertuduhan pengubahan wang haram bagi penemuan yang sama.

    Bagi pertuduhan CBT, Ahmad Zahid didakwa menggunakan dana itu untuk membuat enam pembayaran bagi penggunaan kad kredit peribadinya, polisi insurans dan lesen kenderaan peribadinya, pemindahan wang ke firma guaman dan sumbangan kepada Persatuan Bola Sepak Polis Diraja Malaysia.

    Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Affin Bank Berhad, cawangan Jalan Bunus, Off Jalan Masjid India di sini, antara 13 Jan 2014 dan 23 Dis 2016. Pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara antara dua dan 20 tahun serta dengan sebatan dan juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

    Ahmad Zahid juga didakwa dengan lapan pertuduhan menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn Bhd sebagai dorongan untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri ketika itu bagi membantu syarikat-syarikat berkenaan mendapatkan projek MyEG, membekalkan cip pasport, dan dilantik sebagai pengendali pusat sehenti visa migran, masing-masing di Pakistan dan Nepal.

    Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di cawangan Maybank Dataran Maybank di Jalan Maarof, Bangsar, antara 15 Julai 2016, dan 15 Mac 2018, mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

    Ahmad Zahid juga berdepan dengan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018.

    Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di bank yang sama di Jalan Maarof, Bangsar dan Marhaba Enterprise Sdn Bhd, Fahrenheit88, 179 Jalan Bukit Bintang, di sini, antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018.

    Ahmad Zahid kelihatan tenang semasa hakim menyampaikan keputusannya.

    Hakim  berkata Ahmad Zahid mempunyai tiga pilihan untuk membela diri – memberi keterangan secara bersumpah dari tempat saksi, atau memberikan keterangan tidak bersumpah dari tempat tertuduh, atau berdiam diri.

    Peguam Hamidi Mohd Noh yang juga mewakili Ahmad Zahid memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya akan memberi keterangan secara bersumpah. 

     Hisyam berkata pembelaan akan memanggil kira-kira 20 saksi untuk memberi keterangan.

    “Yang Arif, pihak pendakwaan telah menawarkan kepada kami sebanyak 37 orang saksi. Kami memerlukan lebih banyak masa untuk menyediakan pembelaan, kami perlu menemu bual serta menyediakan kenyataan saksi.

    “Oleh itu, kami tidak dapat memulakan pembelaan pada 28 Mac seperti yang ditetapkan sebelum ini. Bolehkah saya mencadangkan kepada mahkamah supaya memulakan perbicaraan pada 26 April ini,” kata peguam itu.

    Permohonan itu tidak dibantah Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran.

    Ahmad Zahid juga menghadapi 40 pertuduhan di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas dakwaan menerima rasuah daripada sebuah syarikat berhubung sistem visa luar negara, menjadikan jumlah pertuduhan terhadapnya kepada 87. Kes itu ditetapkan untuk sambungan perbicaraan pada  3 Feb. – BERNAMA

  • Esok hari penentuan sama ada Zahid perlu bela diri

    Esok hari penentuan sama ada Zahid perlu bela diri

    KEPUTUSAN sama ada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan dibebaskan atau diarah membela diri terhadap 47 pertuduhan pecah amanah (CBT), rasuah dan penggubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akalbudi (YAB), akan diketahui esok.

    Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah dijadualkan untuk menyampaikan keputusannya di penghujung kes pendakwaan pada pukul 9.30 pagi.

    Sekiranya keputusan mahkamah berpihak kepada pendakwaan, yakni mahkamah mendapati terdapat kes prima facie terhadap Ahmad Zahid, 68, maka beliau akan dipanggil untuk membela diri, namun jika keputusan adalah sebaliknya, bekas timbalan perdana menteri itu akan dilepas dan dibebaskan.

    Pada 6 Dis lepas Hakim Sequerah menetapkan 24 Jan (esok) sebagai tarikh untuk menyampaikan keputusannya di penghujung kes pendakwaan selepas mendengar hujah kedua-dua pihak.

    Pasukan pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran manakala pasukan pembelaan terdiri daripada peguam Hisyam Teh Poh Teik dan Hamidi Mohd Noh.

    Pada 19 Mac, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 99 saksi termasuk bekas pegawai khas Ahmad Zahid, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar, rakan kongsi firma guaman Lewis & Co B. Muralidharan, pengurup wang Omar Ali Abdullah dan bekas setiausaha eksekutif Ahmad Zahid, Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly. Perbicaraan bermula pada 18 Nov 2019.

    Ahmad Zahid mengaku tidak bersalah terhadap 12 pertuduhan CBT, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

    Bagi pertuduhan CBT, Ahmad Zahid, didakwa menggunakan dana berkenaan untuk membuat enam pembayaran kad kredit milik persendirian, polisi insurans kenderaan dan lesen motor persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

    Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Affin Bank Berhad, cawangan Jalan Bunus, Off Jalan Masjid India di sini, antara 13 Jan 2014 dan 23 Dis 2016. Pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara antara dua dan 20 tahun serta dengan sebatan dan juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

    Bagi lapan tuduhan rasuah, Ahmad Zahid didakwa menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn Bhd sebagai dorongan untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri ketika itu bagi membantu syarikat-syarikat berkenaan mendapatkan projek MyEG, membekalkan cip pasport, dan dilantik sebagai pengendali pusat sehenti visa migran, masing-masing di Pakistan dan Nepal.

    Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di cawangan Maybank Dataran Maybank di Jalan Maarof, Bangsar, antara 15 Julai 2016, dan 15 Mac 2018, mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

    Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga berdepan dengan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018.

    Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di bank yang sama di Jalan Maarof, Bangsar dan Marhaba Enterprise Sdn Bhd, Fahrenheit88, 179 Jalan Bukit Bintang, di sini, antara 29 Mac 2016 dan April 2018.

    Ahmad Zahid juga berdepan dengan 40 pertuduhan di Mahkamah Sesyen Shah Alam menerima rasuah daripada sebuah syarikat berhubung sistem visa luar negara, yang menjadikan beliau berdepan dengan sejumlah 87 pertuduhan semuanya. – BERNAMA

  • Mengaku tipu berkait urusan kerakyatan, jual beli telefon

    Mengaku tipu berkait urusan kerakyatan, jual beli telefon

    SEORANG pengurus kafe dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuantan hari ini atas empat tuduhan menipu dua individu bagi urusan mendapatkan dokumen kerakyatan dan jual beli telefon pintar.

    Tertuduh, G. Ananda Raj, 35, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Farahah Mohd. Suah.

    Mahkamah bagaimanapun menetapkan 27 Januari depan untuk menjatuhkan hukuman dan penyerahan dokumen.

    Ananda dituduh menipu seorang wanita Indonesia hingga mangsa menyerahkan wang tunai RM2,000 bagi urusan mendapatkan dokumen kerakyatan negara Malaysia bagi anak wanita itu.

    Kesalahan dilakukan di sebuah premis di Semambu 66, di sini pada 12 tengah hari, 26 September 2020.

    Dia juga menghadapi tiga lagi pertuduhan menipu seorang peniaga lelaki berusia 28 tahun bagi pembelian telefon pintar iPhone 12 Pro Max tidak wujud pada 12.24 tengah hari, 4 Mei 2021, berhampiran sebuah stesen minyak di Tanah Putih, Kuantan yang mendorong mangsa memasukkan RM1,000 ke dalam akaun bank diberi tertuduh.

    Pada 12.20 tengah hari, keesokan harinya di Jalan Alor Kangkong, Kuantan, tertuduh juga memperdaya mangsa sama untuk menyerahkan RM1,000 bagi mendapatkan hadiah percuma termasuk telefon bimbit dan komputer riba.

    Bagi pertuduhan berikutnya, tertuduh didakwa menipu peniaga itu pada 14 Mei 2021, sehingga mangsa menyerahkan RM400 yang dimasukkan ke akaun bank diberi tertuduh sebagai bayaran untuk kos penghantaran dan insurans barangan tidak wujud.

    Semua pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan sehingga 10 tahun, berserta sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Azreen Wan Zaid, manakala tertuduh diwakili peguam Nur Hafidza Baharudin dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.

  • Penganggur dihukum mati kerana bunuh anak kekasih

    Penganggur dihukum mati kerana bunuh anak kekasih

    SEORANG penganggur dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi di Kangar hari ini selepas didapati bersalah membunuh anak lelaki kekasihnya yang berusia enam tahun pada 2018.

    Hakim Datuk Azmi Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap Noraizuwan Hamali, 30, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah selain terdapat keraguan dalam pembelaannya.

    Noraizuwan didakwa membunuh Muhammad Rayyan Hidayat Hairil Khan di sebuah rumah di Jalan Arau, Lorong Chempaka, Kampung Jejawi, dekat sini antara jam 3.45 petang 18 April 2018 dan 12.10 tengah malam 19 April 2018.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Izham Ali manakala tertuduh diwakili peguam Rafidi Mohamad.

    — BERNAMA

  • Pekerja putus jari, majikan didenda RM20,000

    Pekerja putus jari, majikan didenda RM20,000

    SEBUAH syarikat pembuatan didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh di sini selepas seorang pekerjanya putus jari telunjuk tangan kiri akibat terkena mata ketam yang sedang berputar semasa menjalankan kerja-kerja mengetam kayu di tempat kerja.

    Pejabat Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak dalam satu kenyataan menyebut syarikat MSBB Engineering Sdn Bhd yang diwakili pengarah syarikatnya, Liew Chee Weng, 53, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Norashima Khalid.

    “MSBB Engineering Sdn Bhd sebagai majikan telah gagal untuk memastikan setakat yang praktik, keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerjanya semasa bekerja iaitu gagal mengadakan sistem  kerja selamat bagi aktiviti kerja pengendalian jentera ‘surface planer’ sehingga menyebabkan berlaku kemalangan kepada seorang pekerja tempatan berusia 19 tahun. 

    “Kemalangan yang berlaku pada pukul 8.40 pagi 19 Mac tahun lepas telah menyebabkan mangsa mendapat kecederaan akibat terkena mata ketam yang sedang berputar ketika sedang menjalankan kerja-kerja mengetam kayu menggunakan mesin ‘surface planer’,” menurut kenyataan itu.

    Kenyataan itu menjelaskan mangsa dihantar ke Hospital Batu Gajah untuk mendapatkan rawatan dan disahkan putus sepenuhnya hujung ruas jari telunjuk dan tisu terpotong pada hujung jari tengah di  tangan kiri mangsa.

    Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 15(1), Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi tempoh dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

    — BERNAMA

  • Long Tiger mengaku salah, dipenjara 12 bulan

    Long Tiger mengaku salah, dipenjara 12 bulan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    LONG Tiger atau nama sebenarnya Abdul Hamim Ab. Hamid dijatuhkan hukuman penjara 12 bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Tangkak hari ini kerana melarikan diri daripada tahanan polis pada 15 Disember lalu.

    Tertuduh yang merupakan seorang lelaki berketurunan Rohingya berusia 33 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret, Zaridah Y. Abdul Jaapar.

    Zaridah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 28 Disember 2021 di Penjara Kluang.

    Mengikut pertuduhan, Abdul Hamim didakwa dengan sengaja melarikan diri daripada jagaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mana tertuduh ditahan secara atas kesalahan di bawah Seksyen 388 Kanun Keseksaan.

    Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Mahkamah Majistret Tangkak di sini pada pukul 11.55 pagi, 15 Disember 2021.

    Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda atau keduanya sekali.

    Mengikut fakta kes, tertuduh didakwa melarikan diri dari lokap mahkamah dengan menggunakan alasan untuk membuang air besar dan meminta anggota polis yang ditugaskan membuka gari.

    Tertuduh kemudiannya mengambil kesempatan untuk lolos daripada tahanan ketika melihat pintu sel tidak berkunci dan bertindak melarikan diri keluar dengan menghala ke pintu utama mahkamah.

    Ketika melarikan diri, tertuduh juga telah dikejar beberapa anggota polis, namun berjaya lolos dengan bersembunyi di kawasan semak-samun berhampiran mahkamah sebelum berjaya melarikan diri ke Sungai Petani, Kedah.

    Dalam prosiding sama, mahkamah turut menetapkan tarikh 14 dan 16 Februari ini bagi bicara empat kes melibatkan Abdul Hamim iaitu mengikut Seksyen 388, 342 dan 506 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Tangkak.

    Pendakwaan dikendalikan, Pengarah Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Johor, Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman dan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Qaiyum Rahman.

    Tertuduh pula diwakili peguam, Datin Freda Josephine Gonzales dan Muhammad Hariz Md. Yusoff.

  • Tipu projek gali pasir tidak wujud libat kerugian RM1 juta, empat beranak didakwa di Melaka

    Tipu projek gali pasir tidak wujud libat kerugian RM1 juta, empat beranak didakwa di Melaka

    SEORANG bapa bersama tiga anaknya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini atas pertuduhan menipu dan bersubahat menipu sebuah syarikat berhubung projek menggali pasir yang tidak wujud melibatkan kerugian RM1 juta.

    Wong Tiing Kiong, 63, didakwa atas dua pertuduhan dengan curangnya menipu dan memperdayakan Chong Teamwork Marketing Sdn Bhd dengan menawarkan projek menggali pasir sehingga mendorong syarikat itu menyerahkan wang berjumlah RM1 juta melalui dua keping cek berjumlah RM500,000 setiap satu.

    Anaknya Amy Wong E Tim, 32, Wong Sing Kung, 42, dan Felix Wong Sing Jie, 26, menghadapi pertuduhan bersubahat dengan Wong berhubung pertuduhan menipu.

    Mereka masing-masing mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di dua Mahkamah Sesyen.

    Keempat-empat tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Melaka Raya pada 10.10 pagi 19 April 2019 mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 10 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya Anis Najwa Nazari mencadangkan jaminan sebanyak RM400,000 bagi setiap pertuduhan terhadap Wong memandangkan kerugian yang dialami mangsa adalah RM1 juta.

    Peguam Paul Krishnaraja memohon jaminan RM5,000 atas alasan anak guamnya yang menetap di Sarawak memberi kerjasama dengan pihak berkuasa semasa siasatan.

    Hakim Nariman Badrudin membenarkan Wong diikat jamin RM20,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin dan memerintahkan pasport diserahkan kepada mahkamah.

    Sementara itu, di hadapan Hakim Maziah Joary Tajudin, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim mencadangkan jaminan RM100,000 bagi setiap pertuduhan terhadap tiga anak Wong, namun Paul memohon jaminan minimum kerana ketiga-tiga tertuduh memberi kerjasama.

    Maziah Joary membenarkan jaminan RM20,000 bagi setiap tertuduh dengan syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran pada setiap bulan.

    Kedua-dua mahkamah menetapkan 21 Feb untuk sebutan semula kes.

    — BERNAMA

  • Lokman diarah padam hantaran fitnah ketua hakim syarie

    Lokman diarah padam hantaran fitnah ketua hakim syarie

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini memerintahkan Datuk Lokman Noor Adam supaya memadam kesemua hantaran berunsur fitnah membabitkan Ketua Hakim Syarie Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berhubung dakwaan gangguan seksual yang dimuat naik dalam Facebook dan YouTube milik bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu, dalam tempoh 24 jam bermula hari ini.

    Peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Mohd Na’im ketika dihubungi pemberita berkata, Hakim Datuk Rozana Ali Yusoff membenarkan permohonan injunksi ex-parte (sebelah pihak) yang dikemukakan Mohd Na’im dalam kes samannya terhadap Lokman.

    Dalam saman fitnah yang difailkan pada 17 Jan lepas, Mohd Na’im selaku plaintif memohon suatu perintah injunksi supaya defendan memadam video dan hantaran tersebut dan suatu injunksi untuk menghalang defendan daripada menerbitkan semula hantaran itu.

    Akberdin berkata, mahkamah membuat keputusan itu dalam prosiding secara dalam talian (Zoom).

    “Anak guam saya memperoleh perintah injunksi interim bagi menghalang defendan (Lokman) atau wakilnya daripada menerbitkan semula hantaran berkenaan dalam apa jua cara sekali pun,” katanya menambah mahkamah menetapkan 7 Feb untuk pendengaran injunksi inter-parte (antara pihak).

    Mohd Na’im, 54, selaku plaintif memfailkan saman atas kapasiti peribadi dengan menamakan Lokman, 49, sebagai defendan bagi menuntut ganti rugi berjumlah RM30 juta berhubung dakwaan gangguan seksual terhadap beberapa wanita termasuk seorang ‘Datin.’

    Berdasarkan pernyataan tuntutan, Mohd Na’im yang juga Ketua Pengarah di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia mendakwa, Lokman telah memfitnahnya dengan membuat kenyataan menerusi dua siaran langsung di Facebook ‘Lokman Noor Adam Official’ pada 10 Jan dan 13 Jan lepas.

    Mohd Na’im mendakwa, defendan juga memuat naik siaran langsung itu di YouTube miliknya masing-masing pada 10 Jan dan 14 Jan selain memuat naik tiga hantaran fitnah terhadap beliau di Facebook milik defendan pada 11 Jan dan 13 Jan lepas.

    Dakwa plaintif, kenyataan fitnah itu membawa maksud antaranya beliau seorang penunggang agama, gagal menjadi pemimpin yang berkredibiliti dengan akhlak yang terpuji dan dihormati serta memberi teladan yang baik kepada masyarakat serta mencemarkan imej dan institusi Jabatan Kehakiman Syariah.

    Menurut plaintif, satu laporan polis telah dibuat pada 12 Dis tahun lepas bagi menafikan dakwaan dan tuduhan palsu Datin terbabit terhadapnya dan beliau juga telah membuat laporan polis terhadap Lokman agar pihak polis membuat siasatan berhubung tindakan defendan.

    Plaintif berkata, notis tuntutan bertarikh 13 Jan lepas dikeluarkan terhadap defendan supaya menarik balik kenyataan fitnah serta memadamkan hantaran di Facebook selain memohon maaf secara terbuka dalam tempoh 24 jam namun sehingga hari ini, defendan tidak mengendahkan laporan polis dan notis itu.

    Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am yang akan ditaksir oleh mahkamah, ganti rugi teladan, teruk dan punitif masing-masing berjumlah RM10 juta, faedah, serta relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah selain permohonan maaf daripada defendan yang dimuat naik di media sosial. – BERNAMA

  • Pengurus syarikat kemuka dokumen palsu direman 4 hari

    Pengurus syarikat kemuka dokumen palsu direman 4 hari

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG pengarah sebuah syarikat direman empat hari bermula hari ini sehingga 23 Januari ini untuk membantu siasatan kes mengemukakan dokumen palsu kepada sebuah kementerian di Putrajaya berjumlah RM25,000.

    Perintah reman tersebut dikeluarkan Majistret Tiffany Chin Phin Yuan selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor membuat permohonan pada pagi tadi.

    Semalam, SPRM Johor menahan suspek wanita tersebut bagi membantu siasatan kerana disyaki mengemukakan dokumen palsu bagi proses tuntutan pembayaran balik subsidi minyak masak sawit tulen berjumlah lebih RM25,000.

    Suspek wanita yang berusia 47 tahun itu ditahan di pejabat SPRM di sini pada jam 2 Rabu selepas hadir memberikan keterangan.

    Difahamkan, suspek telah mengemukakan dokumen palsu berbentuk invois dengan menggunakan nama syarikat lain kepada kementerian terbabit bagi proses tuntutan tersebut, sepanjang 2019.

    Kes berkenaan disiasat dibawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.