BLOK pembangkang dalam Dewan Rakyat hari ini menjadi seperti ‘cacing kepanasan’ apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyindir beberapa wakil rakyat pembangkang yang ‘ghaib’ ketika bencana banjir mula melanda beberapa negeri pada 17 Disember lalu.

Kekecohan tercetus apabila mereka berasa ‘panas’ dan tidak berpuas hati dengan sindiran Ismail Sabri tersebut.

Perdana Menteri menjelaskan, beliau bergegas melawat kawasan banjir pada lewat malam ketika musibah melanda untuk membantu mangsa banjir.

Namun, katanya, Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang tidak kelihatan.

“Saya tidak tahu, berapa ramai Ahli Parlimen dan ADUN hilang ketika itu saya tak nampak mereka bekerja waktu malam itu,” katanya.

Beberapa wakil pembangkang antaranya Mohamad Sabu (PH-Kota Raja) dan Khalid Samad (PH-Shah Alam) bangkit membantah kenyataan Ismail Sabri tersebut.

Kemudian, kekecohan berlaku lagi apabila beberapa wakil pembangkang bangkit kerana tidak berpuas hati dengan kritikan jujur yang dilontarkan Ismail Sabri terhadap cara kerajaan PH Selangor menguruskan bencana banjir.

Sementara itu, Bernama melaporkan, Ismail Sabri berkata, andaian hanya negeri di pantai timur Semenanjung yang akan terjejas banjir akibat luruan monsun telah menyebabkan banjir luar biasa di Selangor pada 18 Dis lepas setelah amaran tidak diendahkan oleh sesetengah pihak yang terlibat secara langsung dengan pengurusan bencana.

Menurut beliau, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan enam kali amaran cuaca signifikan yang boleh mengakibatkan hujan lebat termasuk di Selangor, sebelum bencana itu yang tidak dipedulikankan sesetengah pihak.

“Perlu saya tekankan di sini bahawa banjir di Selangor merupakan suatu kejadian yang luar jangka dan berikutan kelemahan yang telah dikenal pasti di peringkat negeri dan daerah, menyebabkan saya terpaksa campur tangan,” katanya ketika menerangkan situasi bencana banjir penghujung 2021 pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata, pada tempoh sama, terdapat beberapa negeri lain yang turut dilanda banjir malah ada negeri yang dilanda banjir pada skala yang lebih buruk seperti Pahang.

Namun katanya, disebabkan jentera pengurusan bencana di peringkat negeri dan daerah adalah teratur dan bersedia, bencana ini dapat dikendalikan dengan baik walaupun terdapat beberapa cabaran.

Perdana Menteri berkata, arahan Majlis Keselamatan Negara No. 20 berkaitan dasar dan mekanisme pengurusan bencana negara jelas menggariskan peranan dan tanggungjawab setiap Jawatankuasa Pengurusan Bencana di setiap peringkat.

“Dari segi Perintah dan Kawalan, Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) dikendalikan oleh Ketua Polis Daerah dan Pegawai Bomba Daerah masing-masing bertindak sebagai Komander dan Timbalan Komander Operasi Bencana manakala Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) perlu dibuka oleh urus setia Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat yang berkaitan,” katanya.

Ismail Sabri berkata, banjir di Selangor pada 18 Dis lepas berlaku akibat jumlah purata taburan hujan luar biasa menyamai jumlah purata taburan hujan bagi tempoh sebulan dan kejadian air pasang pula menyebabkan banjir itu lebih buruk.

“Berikutan keadaan banjir luar biasa yang tidak disangka ini, situasi kelam kabut berlaku pada hari pertama pengurusan banjir di Selangor mengakibatkan pasukan penyelamat menghadapi kesukaran untuk menjalankan operasi kerana berlakunya kompleksiti banjir bandar.

“Malah pengurusan banjir di Selangor masih tidak menunjukkan perubahan yang ketara pada hari kedua dan ketiga sehingga menyebabkan ketidakpuasan hati mangsa-mangsa berikutan kelewatan operasi menyelamat dan penghantaran bantuan,” katanya.

Ismail Sabri berkata, berikutan kelewatan operasi menyelamat dan penghantaran bantuan yang diselaraskan jabatan bomba negeri dan daerah di Selangor, beliau mengambil keputusan mempengerusikan beberapa mesyuarat bagi mendapatkan penerangan situasi semasa banjir dan isu-isu yang memerlukan tindakan segera,

“Sepatutnya bukan saya yang pengerusikan… sepatutnya dah ada jawatankuasa yang diwujudkan di negeri-negeri ini,” katanya yang mempengerusikan tiga mesyuarat termasuk Mesyuarat Khas pada 19 Dis 2021 di Pejabat Daerah dan Tanah Klang yang turut dihadiri Menteri Besar Selangor.

Beliau juga mempengerusikan Mesyuarat Khas Penyelarasan Bencana Negara pada 20 Dis 2021 bersama anggota Kabinet dan Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian di Parlimen dan Mesyuarat Khas Bersama Menteri Besar dan Ketua Menteri pada 21 Dis 2021.

Katanya, melalui semua mesyuarat itu penyelarasan tindakan-tindakan menyelamat dan pemberian bantuan kepada mangsa dengan menggerakkan anggota dan aset tambahan ke kawasan terjejas banjir dilaksanakan.

Ia juga katanya, bagi memastikan rakyat diselamatkan serta ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) secepat mungkin dan mendapatkan maklum balas semua negeri berhubung isu banjir.

Perdana Menteri berkata, berdasarkan maklumat daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), secara keseluruhannya seramai 38,113 keluarga dipindahkan ke 1,112 pusat pemindahan sementara melibatkan 136,030 mangsa.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula melaporkan 55 kes kematian akibat bencana banjir luar biasa ini yang melibatkan 40 orang lelaki dewasa; 12 orang perempuan dewasa; dua kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan, manakala dua orang dilaporkan masih hilang, katanya yang turut merakamkan takziah terhadap mereka yang kehilangan ahli keluarga.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here