Category: Mahkamah

  • 1MDB: Bakke syak Najib terlibat transaksi luar aturan

    1MDB: Bakke syak Najib terlibat transaksi luar aturan

    BEKAS Pengerusi 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Tan Sri Mohd Bakke Salleh memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini beliau tidak bertemu Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memaklumkan mengenai peletakan jawatannya kerana beliau mengesyaki bekas perdana menteri itu terlibat dalam transaksi kewangan 1MDB yang didakwa luar aturan.

    Mohd Bakke, 68, berkata demikian ketika diperiksa balas oleh peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam perbicaraan kes Najib dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Arul Kanda Kandasamy kerana didakwa meminda laporan akhir audit 1MDB.

    Muhammad Shafee: Tan Sri pada satu ketika, anda berkata anda sakit. Sebenarnya anda mahu meletakkan jawatan daripada lembaga pengarah. Sebelum itu adakah anda berjumpa perdana menteri dan memberitahunya mengapa anda meletak jawatan?

    Mohd Bakke: Saya tidak berbuat demikian kerana ada perasaan syak wasangka bahawa perdana menteri turut berada dalam lingkaran dan terlibat dalam skim PetroSaudi International Ltd (PSI). Perasaan yang sama turut dikongsi oleh ahli lembaga pengarah. Salah satu yang mengesahkan kecurigaan kami, yang membuat kami rasa jijik ialah cara wang US$1 bilion dikirimkan.

    “Oleh itu saya memutuskan saya tidak mahu melihatnya secara peribadi. Saya tidak selesa,” kata saksi pendakwaan ke-13 itu.

    Mohd Bakke berkata beliau mengesyaki sedemikian daripada cara perjanjian itu diminta untuk disegerakan walaupun lembaga itu mempunyai keraguan dan red flag mengenai perjanjian itu.

    Sebelum ini, saksi memberitahu mahkamah bahawa Najib pada September 2009 memberitahu lembaga pengarah 1MDB untuk meluluskan JV yang akhirnya menyaksikan syarikat itu mengepam AS$1 bilion dan mahu ia ditandatangani dalam masa empat hari.

    Beliau berkata pengarah syarikat itu telah tergesa-gesa membuat keputusan berikutan panggilan telefon daripada Najib sebelum mesyuarat itu.

    Muhammad Shafee: Anda tahu anda selesa untuk bertemu Perdana Menteri (Najib) bila-bila masa. Bukan untuk 1MDB tetapi mengenai Felda; anda bertemu dengannya setiap dua minggu. Anda boleh bertemu beliau dan beritahunya mengenai 1MDB.

    Mohd Bakke menjawab, “Ia tidak dilakukan kerana kami sudah mewujudkan JV.”

    Muhammad Shafee: Perdana Menteri (Najib) berminat dengan perjanjian PSI kerajaan dengan kerajaan, adakah terdapat sebarang syak wasangka lagi?

    Mohd Bakke: Saya faham, tetapi kenapa perlu bekerja secara tergesa-gesa? Itulah ketidakselesaan saya dan lembaga.

    Muhammad Shafee: Saya hanya sekadar mahu memahami kenapa anda tidak mahu bertemu perdana menteri? Apakah yang anda curiga dengannya? Tidak perlu sangsi, dia terlibat dalam perjanjian itu. Beliau mahu perjanjian itu dilaksanakan.

    Mohd Bakke: Kesangsian saya ialah kenapa perlu segerakan perjanjian dan kedudukan ini untuk melakukannya dengan tergesa-gesa? Apabila anda ditekan untuk melakukan sesuatu terhadap pendekatan profesional, maka lembaga perlu bertanya mengapa kita perlu melakukan ini?

    Muhammad Shafee: Anda telah salah faham sepenuhnya. Kenapa menyalahkan PM sedangkan pengurusan berada di bawah anda? Mengapa beliau (Najib) menguruskan mikro? Dia tidak mungkin menguruskan mikro.

    Mohd Bakke menjawab: Anda perlu melihat konteks keseluruhan projek (JV). Jika anda melihat pada satu masa, ia adalah khusus. Kami tidak puas hati dengan apa yang berlaku; kesimpulan saya sendiri ialah jika saya tidak menghadiri panggilan telefon perdana menteri, lembaga tidak terburu-buru laksanakan perjanjian itu. Inilah sebabnya timbul syak wasangka itu. Cara arahan itu diberi. Sekiranya perdana menteri tidak bercakap dengan saya dan meminta Jho Low untuk memberikan telefon kepada saya, kami akan melihat ini sebagai cadangan yang betul dan melakukannya dengan betul.

    Sementara itu, semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram, Mohd Bakke berkata bahawa panggilan telefon Najib telah menyebabkan lembaga itu terburu-buru menyampaikan keputusannya.

    Najib, 68, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

    Arul Kanda, 45, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan tersebut bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 dan 26 Feb 2016.

    Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 23(1) dan 24(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung esok. – BERNAMA

  • Ibu mualaf gagal rayu kembali status Islam 2 anaknya

    Ibu mualaf gagal rayu kembali status Islam 2 anaknya

    SEORANG ibu yang memeluk Islam dan Pendaftar Muallaf Wilayah Persekutuan tidak boleh meneruskan rayuan mereka ke Mahkamah Persekutuan untuk mengembalikan semula penukaran agama dua anaknya kepada Islam, yang dilakukannya secara unilateral.

    Ini susulan keputusan sebulat suara panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan hari ini yang menolak permohonan mereka untuk kebenaran meneruskan rayuan mereka ke Mahkamah Persekutuan.

    Dalam kes sivil, kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan perlu diperoleh terlebih dahulu sebelum mereka boleh meneruskan rayuan mereka.

    Setelah Mahkamah Persekutuan tidak memberikan kebenaran kepada ibu kanak-kanak itu dan Pendaftar Muallaf, keputusan Mahkamah Tinggi pada 16 Okt 2018, membatalkan penukaran agama Islam secara unilateral dua anak yang dilahirkan dalam perkahwinan sivil, kekal.

    Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Rohana Yusuf yang bersidang bersama hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Mohd Zawawi Salleh dan Datuk Nallini Pathmanathan memutuskan bahawa isu dalam kes berkaitan undang-undang pentadbiran sama ada penukaran agama kanak-kanak yang didaftarkan oleh Pendaftar Muallaf adalah mengikut undang-undang adalah sama dengan kes Indira Gandhi seperti yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.

    Rohana berkata isu tafsiran Perkara 12 (4) Perlembagaan Persekutuan juga telah diselesaikan dalam keputusan kes Indira Gandhi.

    Dalam kes Indira Gandhi, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan memutuskan, pada Januari 2018, bahawa persetujuan kedua-dua ibu bapa diperlukan sebelum anak yang dilahirkan dalam perkahwinan sivil boleh memeluk agama Islam.

    Indira Gandhi, seorang ibu beragama Hindu, telah mencabar penukaran agama tiga anaknya, dilakukan secara unilateral oleh bekas suaminya yang memeluk Islam.

    “Kami mengulangi bahawa adalah pendirian kami bahawa mahkamah perlu mematuhi doktrin (doktrin stare decisis) dengan tegas untuk mengekalkan kepastian dalam undang-undang dan kami mengatakan ini bukan kes yang sesuai untuk tidak mengikuti keputusan kami sebelum ini,” kata Rohana dalam prosiding mahkamah yang dijalankan secara maya.

    Doktrin stare decisis ialah doktrin undang-undang yang mengikat mahkamah untuk mengikut undang-undang yang ditetapkan oleh mahkamah terdahulu mengenai kes yang serupa.

    Hakim itu berkata bukanlah fungsi mahkamah untuk memastikan kemampuan seseorang yang ingin menukar agama kepada agama lain.

    “Fungsi mahkamah terhad kepada aspek pentadbiran fungsi awam Pendaftar Muallaf yang perlu dilaksanakan mengikut undang-undang,” kata hakim itu.

    Beliau berkata ibu itu dan Pendaftar Muallaf Wilayah Persekutuan tidak boleh diberi kebenaran untuk meneruskan rayuan mereka kerana mereka gagal memenuhi syarat di bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

    Bapa kanak-kanak itu, penganut agama Buddha, telah memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi untuk membatalkan penukaran agama dua anaknya yang masih kecil yang telah memeluk Islam pada Mei 2016 oleh ibu mereka tanpa pengetahuan dan persetujuannya.

    Kanak-kanak itu dilahirkan dalam perkahwinan sivil kepada pasangan yang ketika itu beragama Buddha tetapi telah memeluk Islam secara sepihak oleh ibu mereka yang memeluk Islam pada 2015. Identiti keluarga itu tidak boleh didedahkan berikutan perintah Mahkamah Tinggi yang dikeluarkan pada 21 Mei, 2018.

    Bapa kanak-kanak itu berjaya dalam usaha mendapatkan semakan kehakiman untuk membatalkan penukaran agama Islam secara unilateral anak-anaknya. Ibu kanak-kanak tersebut dan Pendaftar Muallaf gagal dalam rayuan di Mahkamah Rayuan pada 27 Okt tahun lepas.

    Mengenai hak penjagaan anak-anak, keputusan Mahkamah Rayuan pada September 2018 yang memberikan hak penjagaan penuh kepada bapa dikekalkan berikutan kegagalan ibu kanak-kanak itu mendapatkan kebenaran meneruskan rayuannya di Mahkamah Persekutuan.

    Dalam prosiding hari ini, mahkamah mendengar hujahan daripada peguam Datuk Sulaiman Abdullah yang mewakili Pendaftar Muallaf, Arham Rahimy Hariri bagi ibu kanak-kanak tersebut, K. Shanmuga bagi bapa dan Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan mewakili ketua pengarah kementerian pendidikan dan kerajaan.

    Sulaiman memohon mahkamah supaya memberikan kebenaran atas alasan terdapat 12 persoalan undang-undang untuk Mahkamah Persekutuan menentukan antara lain mengenai isu berkaitan kebajikan dan kepentingan terbaik kanak-kanak itu.

    Shanmuga berhujah persoalan undang-undang yang dicadangkan itu melibatkan perkara yang telah diputuskan dalam kes Indira Gandhi.

    Shamsul Bolhassan menyokong permohonan untuk mendapatkan kebenaran itu dengan mengatakan bahawa persoalan undang-undang adalah berkaitan dengan hak kanak-kanak itu. – BERNAMA

  • ADUN Sungai Udang gagal rayu bantah petisyen calon BN

    ADUN Sungai Udang gagal rayu bantah petisyen calon BN

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Dr Mohd Aleef Yusof, hari ini gagal dalam rayuannya untuk membantah petisyen pilihan raya yang dikemukakan calon Barisan Nasional (BN) kerusi Sungai Udang, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad, yang tewas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, pada 20 Nov tahun lepas.

    Panel tiga Hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Ketua Hakim Malaya, Tan Sri Azahar Mohamed, Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Harmindar Singh Dhaliwal, dalam keputusan sebulat suara menolak rayuan Dr Mohd Aleef, terhadap keputusan Mahkamah Pilihan Raya Melaka pada 11 Feb yang menolak, bantahan awalnya.

    Hakim Azahar berkata, keputusan Mahkamah Pilihan Raya dalam menolak bantahan awal Dr Mohd Aleef, adalah tidak boleh dirayu ke Mahkamah Persekutuan.

    “Kami dengan teliti telah mempertimbangkan hujahan semua pihak, dan juga mempertimbangkan dengan teliti keputusan Mahkamah Pilihan Raya. Pada pandangan kami, keputusan Mahkamah Pilihan Raya dalam menolak bantahan awal tidak membatalkan petisyen pilihan raya itu. Pada pandangan kami, perintah Mahkamah Tinggi bukanlah penentuan dalam peruntukan Seksyen 36A(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

    “Oleh sebab itu keputusan Mahkamah Pilihan Raya tidak boleh dirayu kepada Mahkamah Persekutuan. Perayu (Dr Mohd Aleef) tidak diprejudis kerana beliau masih boleh membawakan isu yang sama pada perbicaraan sebenar di hadapan Mahkamah Persekutuan. Oleh sebab itu Mahkamah menolak rayuan ini,” kata Hakim Azahar dan menambah kos akan ditentukan dalam kos penyelesaian kes itu.

    Pada prosiding hari ini yang berlangsung secara maya, panel hakim mendengar hujahan daripada peguam Rosli Dahlan yang mewakili Dr Mohd Aleef, peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun yang mewakili Mohd Ali dan Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan yang mewakili Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan juga Pegawai Pengurus Pilihan Raya Sungai Udang.

    Pada masa ini, perbicaraan masih berjalan dengan 13 saksi telahpun dipanggil. Perbicaraan di Mahkamah Pilihan Raya Melaka akan bersambung pada 18 April.

    Pada 14 Dis, Mohamad Ali, 57, memfailkan petisyen pilihan raya bagi membatalkan kemenangan Dr Mohd Aleef, 35, dari Perikatan Nasional (PN) kerana mendakwa terdapatnya elemen rasuah pada pilihan raya bagi kerusi Sungai Udang.

    Beliau menamakan Dr Mohd Aleef yang menang dengan majoriti 530 undi pada pertandingan empat penjuru, Pegawai Pengurus Pilihan Raya kerusi itu, dan juga Suruhanjaya Pilihan Raya, sebagai responden pertama hingga ketiga.

    Dalam petisyennya, Mohamad Ali yang merupakan Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, memohon untuk membatalkan kemenangan Dr Mohd Aleef dan untuk diadakan pemilihan semula untuk kerusi itu.

    Mohamad Ali mendakwa Dr Mohd Aleef telah melakukan amalan rasuah pada pilihan raya itu seperti di bawah Seksyen 32 © Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. – BERNAMA

  • Ahmad Zahid bela diri terhadap 47 pertuduhan berkaitan Dana Yayasan Akalbudi esok

    Ahmad Zahid bela diri terhadap 47 pertuduhan berkaitan Dana Yayasan Akalbudi esok

    BEKAS Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan menjawab 47 pertuduhan yang dihadapi beliau membabitkan pecah amanah (CBT), rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi (YAB), esok.

    Peguam Hamidi Mohd Noh yang mewakili Ahmad Zahid, 69, semasa dihubungi berkata, anak guamnya akan menjadi saksi pembelaan pertama memberi keterangan esok.

    Kes itu telah ditetapkan pada 9 pagi di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah.

    Mahkamah sebelum ini menetapkan 39 hari untuk mendengar kes pembelaan, bermula pada 13 dan 15 April, 23-26 Mei, 27-30 Jun, 1, 4-7 Julai, 22, 23, 29 dan 30 Ogos, 19-22 Sept serta 26-29 Sept, 17-20 dan 31 Okt dan 1-3 dan 7-10 Nov.

    Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dari tempat duduk saksi yang membolehkan pihak pendakwaan menyoal tertuduh semasa pemeriksaan balas

    Pada 24 Jan, Sequerah memerintahkan Ahmad Zahid Hamidi membela diri atas 12 pertuduhan CBT, lapan pertuduhan rasuah dan 27 untuk pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik yayasan itu, selepas mendapati pihak pendakwaan telah membuktikan kes prima facie terhadapnya.

    Dalam penghakimannya, Sequerah berkata pihak pendakwaan telah membuktikan semua unsur dalam kesemua pertuduhan dan berjaya mewujudkan kes prima facie terhadap tertuduh.

    Pada 19 Mac 2021, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 99 saksi termasuk bekas pegawai khas Ahmad Zahid, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar, rakan kongsi firma guaman Lewis & Co B. Muralidharan, pengurup wang Omar Ali Abdullah dan bekas setiausaha eksekutif Ahmad Zahid, Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly.

    Perbicaraan bermula pada 18 Nov 2019.

    Bagi pertuduhan CBT, Ahmad Zahid didakwa menggunakan dana itu untuk membuat enam pembayaran bagi penggunaan kad kredit peribadinya, polisi insurans dan lesen kenderaan peribadinya, pemindahan wang ke firma guaman dan sumbangan kepada Persatuan Bola Sepak Polis Diraja Malaysia.

    Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Affin Bank Berhad, cawangan Jalan Bunus, Off Jalan Masjid India di sini, antara 13 Jan 2014 dan 23 Dis 2016. Pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara antara dua dan 20 tahun serta dengan sebatan dan juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

    Ahmad Zahid juga didakwa dengan lapan pertuduhan menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn Bhd sebagai dorongan untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri ketika itu bagi membantu syarikat-syarikat berkenaan mendapatkan projek MyEG, membekalkan cip pasport, dan dilantik sebagai pengendali pusat sehenti visa migran, masing-masing di Pakistan dan Nepal.

    Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di cawangan Maybank Dataran Maybank di Jalan Maarof, Bangsar, antara 15 Julai 2016, dan 15 Mac 2018. Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

    Ahmad Zahid juga berdepan dengan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018.

    Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di bank yang sama di Jalan Maarof, Bangsar dan Marhaba Enterprise Sdn Bhd, Fahrenheit88, 179 Jalan Bukit Bintang, di sini, antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018.

    — BERNAMA

  • Pelawak Tauke Jambu, empat rakan didakwa miliki dadah

    Pelawak Tauke Jambu, empat rakan didakwa miliki dadah

    PELAWAK Zamatul Amri Zakaria atau lebih dikenali sebagai “Tauke Jambu” dan empat rakannya didakwa di Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur hari ini, atas pertuduhan memiliki dadah jenis ketamin.

    Bagaimanapun, Zamatul Amri, 46; Muhamad Azman Johar, 28; Brandon Cheong Kai Szern, 25, serta dua wanita, Salimah Nasuha Gusti Hassan, 29 dan Lee Kim Yoon, 44, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Aina Azahra Arifin.

    Mereka didakwa bersama-sama memiliki dadah berbahaya jenis ketamin dengan berat bersih 0.37 gram, di 15-01 Menara Up, Jalan Puchong , pada 2.40 pagi, 10 April lepas.

    Pendakwaan adalah mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12 (3) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Pegawai Pendakwa ASP Nom Phot Prackdit mencadangkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

    Zamatul Amri yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah atas alasan pendapatannya terjejas dan ini adalah kesalahan pertamanya manakala empat tertuduh lain turut merayu jaminan rendah.

    Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM3,700 dengan seorang penjamin dan menetapkan 9 Jun ini untuk sebutan semula kes.

    — BERNAMA

  • Pengurus anak syarikat TNB dituduh kemuka tuntutan palsu

    Pengurus anak syarikat TNB dituduh kemuka tuntutan palsu

    SEORANG pengurus sebuah anak syarikat Tenaga Nasional Berhad (TNB) didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan mengemukakan tuntutan elaun lojing dan saraan palsu berjumlah RM1,855, dua tahun lepas.

    Norhayati Hamzah, 50, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan utama dan pilihan yang dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim Rozina Ayob.

    Mengikut pertuduhan utama, Norhayati sebagai pengurus di TNB Power Generation Sdn Bhd didakwa telah menggunakan empat dokumen yang mengandungi tuntutan elaun lojing dan saraan palsu bertarikh antara 22 Dis 2019 dan 5 Feb 2020 berjumlah keseluruhan RM1,855 dengan niat untuk memperdayakan Pengurus Jabatan Audit dan Pematuhan di syarikat tersebut, Mohd Kamal Zulkawi.

    Dokumen dengan butir matan palsu itu digunakan Norhayati untuk mengelirukan Mohd Kamal sedangkan tertuduh tahu sebenarnya perjalanan dan lojing tersebut tidak dibuat.

    Kesalahan itu dilakukan di pejabat TNB Power Generation Sdn Bhd di Bangunan Penjanaan, Jalan Bangsar di sini antara 17 Jan dan 26 Feb 2020.

    Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai butir matan yang palsu atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika disabit kesalahan.

    Wanita itu juga didakwa atas pertuduhan pilihan menggunakan empat dokumen tulen mengandungi tuntutan elaun lojing dan saraan sama yang tertuduh tahu ia mengandungi butiran palsu di tempat dan masa sama mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Fadhli Ab Wahab menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin serta dua syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan melaporkan diri ke pejabat SPRM berdekatan.

    Peguam K Komagan yang mewakili Norhayati memohon jaminan rendah dalam lingkungan RM3,000 hingga RM5,000 atas alasan anak guamnya masih bekerja dengan TNB Power Generation Sdn Bhd dan tidak mempunyai sebarang isu tatatertib dengan syarikat tersebut.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin berserta dua syarat tambahan seperti yang dipohon pihak pendakwaan selain menetapkan 12 Mei depan untuk sebutan semula kes. – BERNAMA

  • Lans Koperal mengaku tidak bersalah tiga pertuduhan rasuah

    Lans Koperal mengaku tidak bersalah tiga pertuduhan rasuah

    SEORANG anggota polis berpangkat Lans Koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu hari ini atas tiga pertuduhan rasuah sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atas dua lelaki yang disyaki terbabit kes rogol tahun lepas.

    Norazmi Afiq Mohd Solleh, 27, yang berasal dari Dungun memohon supaya dibicarakan sejurus selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Dazuki Ali.

    Mengikut pertuduhan pertama, dia yang bertugas di Balai Polis Dungun telah memperoleh wang tunai RM2,500 daripada seorang lelaki sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atas dua individu yang terlibat dengan kes rogol, di Kedai Makan Hjh Hanisah Bt Taib di Jalan Baru Pak Sabah, Kampung Sura di Dungun pada 3.15 petang 30 Mei 2021.

    Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memperoleh RM2,000 daripada seorang lagi lelaki untuk tujuan sama di Tapak Pasar Malam Sura Gate di Dungun pada 9.40 malam 23 Mei 2021.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama bagi kedua-dua pertuduhan.

    Norazmi Afiq juga berhadapan dakwaan meminta suapan berjumlah RM10,000 iaitu masing-masing RM5,000 daripada dua individu sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atas mereka yang terbabit kes rogol di dalam daerah Dungun pada 19 Mei 2021.

    Bagi tuduhan itu, anggota yang masih belum berkahwin itu didakwa di bawah Seksyen 16 (a) (B) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

    Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi bagi setiap pertuduhan.

    Hakim Dazuki membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin dan diarahkan melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat setiap bulan selain mengarahkan tertuduh menyerahkan passport kepada mahkamah.

    Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM Nur Athikah Aziz, manakala tertuduh diwakili peguam Najmi Adila Mat Nasir. Mahkamah menetapkan 17 Mei untuk sebutan kes. – BERNAMA

  • Nicky Liow mengaku tak bersalah 26 tuduhan pengubahan wang haram

    Nicky Liow mengaku tak bersalah 26 tuduhan pengubahan wang haram

    NICKY Liow, yang disyaki mengetuai kumpulan jenayah terancang, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 26 tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM36 juta.

    Ahli perniagaan berusia 34 tahun itu membuat pengakuan tersebut terhadap semua tuduhan yang dibacakan kepadanya dalam bahasa Mandarin di hadapan hakim Helina Sulaiman.

    Dia didakwa mengubah secara haram RM36 juta daripada pelbagai transaksi yang dijalankan di beberapa bank di Bandar Puteri Puchong dan Ampang antara 2016 dan 2021.

    Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

    Liow berdepan hukuman penjara tidak lebih 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti yang menyalahi undang-undang, atau RM5 juta, mana-mana lebih tinggi, jika didapati bersalah, lapor FMT

    Mahkamah membenarkan ikat jamin sebanyak RM1 juta dengan dua penjamin. Hakim membenarkan ikat jamin itu dibayar dalam dua ansuran, dengan yang terakhir mesti dibayar esok.

    Liow turut diarah menyerahkan pasportnya dan melaporkan diri kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) dua kali sebulan.

    Mahkamah menetapkan 26 Mei untuk sebutan kes.

    Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Rozaliana Zakaria dan Syafinas Shabudin, manakala Liow diwakili peguam Rajpal Singh.

    Liow menyerah diri kepada JSJK Bukit Aman semalam selepas melarikan diri daripada polis berkait dakwaan sindiket Macau Scam tahun lepas.

    Tindakan keras polis membawa kepada penahanan puluhan individu yang disyaki menjadi anggota sindiket tersebut.

    Dua pegawai SPRM dan sekurang-kurangnya sembilan pegawai polis yang dikatakan bersubahat turut ditahan tetapi kemudian dibebaskan dengan ikat jamin.

  • Hakim lawat lokasi penganiayaan Bella Rabu ini

    Hakim lawat lokasi penganiayaan Bella Rabu ini

    HAKIM Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan pihak terbabit dalam kes penganiayaan dan pengabaian remaja sindrom down dikenali sebagai Bella, akan melawat Rumah Bonda di Wangsa Maju, Rabu ini.

    Hakim Izralizam Sanusi akan melakukan pemeriksaan dengan lebih jelas di sebuah kondominium terutama bilik dobi berdasarkan keterangan saksi pendakwaan kelima, Yasmin Nahar Mahmood, 19, yang juga bekas penghuni Rumah Bonda.

    Yasmin dalam keterangannya pada minggu lalu memberitahu mahkamah, beliau diarahkan oleh Siti Bainun Ahd Razali (tertuduh) supaya menggigit perut Bella kerana tidak mengikut arahan tertuduh supaya berdiri di bahagian dobi sebuah unit kondominium di Wangsa Maju.

    Isralizam hari ini, membenarkan permohonan peguam Nur A’minahtul Mardiah Md. Nor yang mewakili Siti Bainun yang juga pengasas Rumah Bonda untuk melawat tempat kejadian bagi mendapatkan gambaran jelas berdasarkan gambar dikemukakan kepada mahkamah sebelum ini.

    Bagaimanapun, hanya pihak pendakwaan dan pembelaan, saksi serta tertuduh dibenarkan melawat lokasi kejadian.

    Hakim itu berkata, mahkamah berpendapat selepas meneliti eksibit gambar lokasi kejadian, beliau perlu melihat dengan lebih jelas gambaran atau pandangan bilik (dobi) supaya lebih memahami insiden yang diceritakan dalam keterangan saksi.

    “Saya teliti gambar itu, tidak dapat memberikan gambaran yang jelas terutamanya di tingkap kerana tidak tahu mana satu tingkap yang boleh dibuka dan boleh masukkan tangan.

    “Jadi seperti yang peguam hujahkan, adalah wajar untuk saya pergi ke tempat kejadian sendiri dan melihat,” katanya, memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Pada prosiding minggu lalu, pembelaan mengemukakan permohonan untuk ke lokasi kejadian bagi mendapatkan situasi sebenar rumah dan saiz bilik dobi di mana insiden didakwa berlaku.

    Sementara itu, Ahli Dewan Negara yang juga Presiden Orang Kurang Upaya (OKU) Sentral, Senator Datuk Ras Adiba Radzi turut hadir pada prosiding hari ini.

    Nur A’minahtul Mardiah dalam kenyataan pula berkata, lawatan ke tempat kejadian amat penting apabila saksi memberikan deskripsi yang tidak boleh dizahirkan melalui gambar yang dikemukakan di mahkamah.

    “Lawatan ini juga penting bagi memastikan mahkamah, pihak pendakwaan dan pembelaan memahami serta menghargai keterangan yang sudah dan bakal diberikan di mahkamah mengenai lokasi kejadian.

    “Permohonan lawatan ke tempat kejadian adalah satu permohonan yang biasa dibuat dalam kes perbicaraan jenayah dan adalah proses dinamakan ‘in the interest of justice’ (demi kepentingan keadilan),” katanya,” katanya.

    Siti Bainun, 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya seorang remaja perempuan sindrom down berusia 13 tahun sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021, mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

  • Lans Koperal wanita didakwa miliki air ketum

    Lans Koperal wanita didakwa miliki air ketum

    SEORANG anggota polis wanita berpangkat Lans Koperal bersama empat rakannya dihadapkan ke Mahkamah Majistret kota Bharu, Kelantan hari ini atas dua pertuduhan memiliki air ketum.

    Beliau yang juga merupakan ibu tunggal dua anak, Raja Rozalia Fadila Raja Mamat, 30, didakwa bersama rakan-rakannya iaitu Muhammad Faries Aizat Ruslan, 23, pekerja kedai kosmetik; Anis Nagiehah Muhammad Anggelan, 27, berniaga dalam talian; Bidah Napi, 30, jurujual dalam talian dan Wan Muhammad Alif Wan Suphrach @ Wan Yussoff, 20, yang bekerja sendiri.

    Memetik laporan Sinar Harian, kesemua mereka bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Mohd Izdham Naim Che Ani.

    Mereka didakwa secara bersama-sama memiliki 1.5 liter cecair yang mengandungi racun jenis mytragynine tanpa sebarang kuasa atau kebenaran di sebuah rumah di Jalan Pasir Puteh, Kubang Kerian, Kota Bharu pada pukul 3.25 pagi, 7 April lalu.

    Pada pertuduhan kedua, mereka didakwa memiliki satu liter cecair yang mengandungi racun jenis mytragynine tanpa sebarang kuasa atau kebenaran di sebuah rumah pada masa, tarikh dan di lokasi sama.

    Sementara itu, Wan Muhammad Alif turut berdepan pertuduhan secara berasingan memiliki satu liter cecair mengandungi racun jenis mytragynine tanpa sebarang kuasa atau kebenaran di tempat letak kereta di belakang berek polis Kubang Kerian pada masa dan tarikh yang sama.

    Tertuduh berkenaan juga mengaku tidak bersalah atas tuduhan itu.

    Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 30 (5) akta yang sama dan dibacakan mengikut Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

    Sabit kesalahan, mereka boleh dihukum denda maksimum RM 10,000 atau penjara maksimum empat tahun atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nursyafiqah Mohamad manakala kesemua tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Intan Nor Nadhirah Ismail.

    Sebelumnya, Nursyafiqa mencadangkan jaminan berjumlah RM8,000 bagi kesemua tertuduh kecuali Wan Muhammad Alif sebanyak RM14,000.

    Intan Nor Nadhirah mengemukakan rayuan terhadap semua anak guamnya agar jumlah jaminan itu dikurangkan.

    Mahkamah kemudian membenarkan Wan Muhammad Alif diikat jamin RM 7,500 dengan dua penjamin manakala yang lain RM 4,500 dengan seorang penjamin.

    Kes ditetapkan sebutan semula pada 13 Jun depan untuk serahan dokumen.