Hari ini, media melaporkan tentang seorang pemimpin kanan UMNO dan Barisan Nasional (BN) disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan rasuah yang kononnya berlaku di Negeri Sembilan kira-kira 14 tahun lalu.

Siasatan itu dikatakan adalah ekoran laporan yang dibuat oleh Ketua Penerangan UMNO Cawangan Setapak Jaya 1A, Datuk Halim Rahmat baru-baru ini.

Pada 4 April lalu, Raja Petra Kamarudin dalam laman blognya membangkitkan dakwaan rasuah tersebut yang dikatakan berlaku semasa Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan dahulu.

Dua hari kemudian, Halim membuat laporan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya menggesa siasatan dilakukan terhadap dakwaan yang dibangkitkan Raja Petra.

Memang SPRM perlu menjalankan siasatan kerana laporan telah dibuat. Cuma timbul beberapa persoalan mengapa dakwaan lapuk itu dibangkitkan semula ketika UMNO sedang dalam situasi panas menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15)?

Pejabat Peguam Negara pada 2013 telah memutuskan tiada tindakan pendakwaan dalam kes tersebut dan keputusan tersebut disahkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap undang-undang semasa era Pakatan Harapan (PH), mendiang Datuk Liew Vui Keong pada 2019.

Ribut tidak, taufan pun tidak, tiba-tiba kes berkaitan pembelian aset di luar negara yang telah diputuskan tiada tindakan lanjut (NFA) oleh Pejabat Peguam Negara digodak kembali oleh Raja Petra. Memang mengejutkan.

Justeru, timbul persoalan apa motif Raja Petra atau sesiapa sahaja yang menjadi tok dalang di belakangnya mencetuskan isu yang boleh menggugat reputasi Tok Mat Hasan.

Adakah mereka mahu merosakkan nama baik Tok Mat yang semakin popular dalam kalangan akar umbi UMNO dan rakyat setelah kejayaan beliau mengemudi jentera parti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor?

Adakah mereka mahu menghalang Tok Mat yang ketika ini pemimpin nombor dua dalam UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk memegang jawatan penting dalam kerajaan seandainya ditakdirkan BN menang PRU-15?

Persoalan yang paling besar sekali adalah: Siapakah dalang dalam komplot menjatuhkan Tok Mat?

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here