Category: Mahkamah

  • Ahmad Zahid nafi pecah amanah dana YAB, pindah RM17 juta kerana pegawai cuai

    Ahmad Zahid nafi pecah amanah dana YAB, pindah RM17 juta kerana pegawai cuai

    DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menafikan melakukan pecah amanah dana Yayasan Akalbudi (YAB) berjumlah RM 17,953,185.21, sebaliknya menyatakan wang itu dipindahkannya kepada sebuah firma guaman kerana bekas setiausaha eksekutifnya kerap melakukan kecuaian.

    Jumlah dana yayasan itu melibatkan pertuduhan keenam daripada 12 kesalahan pecah amanah, yang dihadapi bekas timbalan perdana menteri.

    Ahmad Zahid, 69, memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa beliau melantik Tetuan Lewis & Co bagi mengendalikan wang yayasan miliknya itu, memandangkan Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly kerap melakukan kecuaian dalam menguruskan kewangan peribadinya dan YAB.

    “Yang Arif, sepertimana yang saya nyatakan di awal keterangan bahawa banyak kali kesilapan dilakukan oleh Mazlina, termasuk menulis amaun yang berbeza dengan perkataan pada cek serta tidak menghantar penyata bulanan kad kredit serta dokumen lain apabila diminta.

    “Pemindahan wang yayasan itu ke sebuah firma guaman bukan untuk pecah amanah, tetapi menggunakan firma itu bagi menguruskan akaun pelanggan yayasan berikutan firma tersebut mempunyai pegawai-pegawai yang berketerampilan atau berkemahiran untuk menjaga akaun tersebut,” katanya.

    Ahmad Zahid berkata demikian ketika disoal peguam Datuk Ahmad Zaidi Zainal pada hari keempat prosiding membela diri atas 47 pertuduhan membabitkan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram.

    Menurut Ahmad Zahid, beliau banyak kali memberi nasihat serta panduan kepada saksi pendakwaan ke-90 itu, memandangkan wanita itu tidak mempunyai latar belakang perakaunan.

    “Beliau (Mazlina) hanya meminta maaf tetapi mengulangi semula perbuatan itu. Apakah pilihan yang saya ada melainkan mencari jalan agar keseluruhan dana Yayasan Akalbudi dalam simpanan semasa bank (Affin Bank) dipindahkan kepada sebuah firma guaman yang mempunyai akauntan, pegawai akaun serta ‘book keeper’ yang menjaga akaun pelanggan,” katanya.

    Kepada soalan Ahmad Zaidi dalam banyak-banyak firma guaman, mengapa Ahmad Zahid memilih Lewis & Co untuk mengendalikan dana YAB, Ahmad Zahid berkata seorang pegawai di Kementerian Dalam Negeri telah memperkenalkannya dengan peguam di Lewis & Co.

    Mengenai pemindahan wang YAB kepada Lewis & Co, Ahmad Zahid berkata beliau sendiri telah memberi arahan kepada Affin Bank untuk membuat pindahan wang RM17,953,185.21 daripada bank itu kepada akaun pelanggan Lewis & Co dan wang tersebut masih milik YAB, bukan kepunyaan Yayasan Al Falah, firma guaman itu atau orang lain.

    Selain itu, Ahmad Zahid berkata beliau tidak pernah mengarahkan Mazlina menggunakan dana YAB berjumlah RM107,509.55 untuk membayar polisi insurans kenderaan dan lesen kenderaan.

    “Saya tidak tahu Mazlina akan menggunakan cek pratandatangan untuk membuat pembayaran polisi insurans kenderaan dan lesen kenderaan milik persendirian.

    “Cek-cek yang saya pratandatangan adalah untuk kegunaan segera sahaja, seperti pembayaran kepada kontraktor-kontraktor bagi pembinaan yang sedang dilaksanakan oleh yayasan pada ketika itu, atau pembayaran segera yang perlu dijelaskan apabila saya berada di luar negara,” katanya.

    Semasa di peringkat pendakwaan, mahkamah diberitahu bahawa Ahmad Zahid dan keluarga mengambil 39 polisi insurans kenderaan bagi 20 kenderaan milik keluarganya termasuk 18 kenderaan mewah miliknya, antaranya BMW X5, Mini Cooper S, Mercedes Benz CLS350, BMW 320i (A), Toyota Land Cruiser dan motosikal BMW R1200 GS.

    Ahmad Zahid berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya melibatkan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram, membabitkan berpuluh-puluh juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

    Pada 24 Jan lepas, mahkamah memerintahkan Ahmad Zahid membela diri terhadap kesemua pertuduhan selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.

    Perbicaraan sedang berlangsung di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.–Bernama

  • Mohamed Haniff tidak pernah dilantik peguam Bersatu-Wan Saiful

    Mohamed Haniff tidak pernah dilantik peguam Bersatu-Wan Saiful

    PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyifatkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini yang menolak permohonan penghakiman terus peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla terhadap parti itu, merupakan satu kelebihan kepada Bersatu.

    Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, ini memandangkan Mohamed Haniff tidak pernah dilantik sebagai peguam parti, bahkan tuntutan itu juga dianggap tidak munasabah.

    “Pagi ini saya mendapat berita baik. Hakim Mahkamah Tinggi Yang Arif Akhtar Tahir menolak permohonan peguam Haniff Khatri untuk satu penghakiman terus mengarahkan Bersatu membayar beliau RM12.5 juta, tetapi sebaliknya mengarahkan Haniff pula membayar kos kepada Bersatu.

    “Haniff Khatri tidak pernah dilantik sebagai peguam parti dan tuntutan bayaran yang begitu tinggi sebanyak RM12.5 juta adalah tidak munasabah.

    “Keputusan mahkamah pagi ini menyebelahi Bersatu,” katanya menerusi satu hantaran dalam Facebook miliknya, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Tahun lalu, media melaporkan Mohamed Haniff telah menfailkan saman terhadap Bersatu bagi menuntut yuran guaman yang tidak dibayar berjumlah RM12.5 juta.

    Tuntutan itu juga dibuat kepada anggota parti iaitu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Datuk Mohamed Salleh Bajuri yang memegang jawatan bendahari.

    Dalam tuntutannya, beliau berkata, wang yang dituntut adalah untuk khidmat guaman sebelum Bersatu ditubuhkan sehingga ia menarik diri dari gabungan Pakatan Harapan (PH) dan seterusnya menyertai Perikatan Nasional (PN).

    Sementara itu, Mohamed Haniff menerusi satu hantaran dalam Facebooknya turut memberitahu Permohonan Aturan 14 bagi tujuan perolehan penghakiman terus oleh firman guaman beliau telah dipanggil untuk bicara di hadapan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa.

    Katanya, Mahkamah telah membuat keputusan untuk menolak Permohonan Aturan 14 tersebut dengan kos sebanyak RM3,000 dibayar kepada Bersatu.

    “Selain itu, Mahkamah juga menetapkan tindakan sivil ini untuk bicara penuh dengan keperluan panggilan saksi dan penampilan dokumen yang perlu untuk tempoh awalan sebanyak lima hari mulai 18 Mac 2024 hingga 22 Mac 2024,” katanya.

  • Posmen mengaku tidak bersalah curi, jual barang kemas pelanggan

    Posmen mengaku tidak bersalah curi, jual barang kemas pelanggan

    SEORANG posmen yang bertugas di bahagian kaunter serahan sebuah syarikat penghantaran mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Melaka hari ini atas pertuduhan mencuri dan menjual bungkusan berisi barang kemas milik pelanggan.

    Tertuduh, Mohamad Azizal Rebu, 42, membuat pengakuan tersebut selepas tiga pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh, lapor Sinar Harian.

    Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mencuri seutas rantai leher emas yang mempunyai loket bertulis ‘Atieda’ dan satu loket emas kecil pada 10 Mac lalu kira-kira jam 8 hingga 10.30 pagi di Pusat Serahan Ayer Keroh, Taman Tasek Utama.

    Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

    Mohamad Azizal turut berdepan dua lagi pertuduhan mengikut Seksyen 414 kanun sama kerana menghapuskan harta curi berkenaan dengan cara menjual di sebuah premis pajak gadai di Jalan Munshi Abdullah.

    Perbuatan itu dilakukan menerusi dua transaksi berasingan pada 12 dan 21 Mac lalu dan jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

    Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri memohon jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan mengambil kira kesalahan dilakukan serius manakala tertuduh pula diwakili peguam, Amritpal Singh.

    Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM7,000 bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 7 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

  • Enam kontraktor didenda RM50,000 palsukan dokumen

    Enam kontraktor didenda RM50,000 palsukan dokumen

    MAHKAMAH Sesyen Alor Setar hari ini menjatuhkan hukuman denda RM50,000 terhadap enam kontraktor selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memalsukan penyata akaun bank syarikat untuk melayakkan mereka mendapatkan tender pembersihan awam pada 2019.

    Hakim Harmi Thamri Mohamad menjatuhkan hukuman itu terhadap Zulhilmi Abdul Jabar,43; Mohd. Yusrizal Ismail,43; Muhamad Hairi Md. Ismail, 38; Ranzi Halim, 51; Muhammad Amir Che Azid, 36 dan Badaruddin Mohamad, 40.

    Sinar Harian melaporkan, mereka juga diperintahkan menjalani hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal menjelaskan denda terbabit.

    Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa menggunakan suatu dokumen sebagai tulen iaitu penyata akaun bagi bulan Oktober, November dan Disember 2018, yang mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen tersebut adalah palsu.

    Kesemua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu dalam tempoh bermula 1 hingga 22 Januari 2019 di Wisma Idaman Sdn Bhd, No.163 & 164 Bandar Baru Stargate Jalan BSG 4, Lebuhraya Sultanah Bahiyah di Alor Setar.

    Mereka didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama iaitu memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Rehab Abdul Shukur.

    Muhammad Amir, Mohd. Yusrizal dan Zulhilmi diwakili peguam Intan Nursyafina Baharudin manakala Muhamad Hairi, Ranzi dan Badaruddin diwakili Syed Fakhruzzaman Syed Mansor.

  • Bakal pengantin didakwa beri pinjaman wang tanpa lesen

    Bakal pengantin didakwa beri pinjaman wang tanpa lesen

    SEORANG bakal pengantin didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas satu pertuduhan menjalankan perniagaan sebagai pemberi pinjaman wang tanpa lesen sah, enam tahun lalu.

    Tertuduh, Lee Jan Wee, 32, mengaku tidak bersalah pertuduhan dibaca dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Datin Sabariah Othman.

    Sinar Harian melaporkan, mengikut pertuduhan, dia didakwa atas kesalahan itu di Jalan Wangsa Delima 5, Kuala Lumpur pada 23 Ogos 2016.

    Itu merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 yang memperuntukkan hukuman denda antara RM250,000 hingga RM1 juta, atau dipenjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Hanis Anisha Jamilludin menawarkan tertuduh diikat ikat jamin sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin dan dikenakan syarat tambahan iaitu melaporkan diri di balai polis terdekat sekali sebulan.

    Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam, Izzat Amir merayu agar anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar minimum dengan alasan perlu menanggung seorang anaknya yang berusia tiga tahun.

    Menurutnya, dia yang juga seorang duda, kini tinggal bersama-sama ibu bapa akan melangsungkan perkahwinan bulan hadapan.

    “Anak guam saya tidak mempunyai rekod jenayah lampau malah tidak berisiko untuk melarikan diri.

    “Dulu dia bekerja di bengkel kereta dan menjual nasi ayam,” katanya.

    Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Sabariah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin dan memenuhi syarat tambahan yang dicadangkan oleh pihak pendakwaan.

    Mahkamah menetapkan 27 Jun depan untuk sebutan semula kes.

    Pada Isnin, polis menahan seorang lelaki yang didakwa memperdaya mangsa dalam urusan pinjaman wang tanpa lesen sehingga mangsa menyerahkan dua kenderaan sebagai cagaran namun ia telah dijual tanpa pengetahuan mangsa.

  • Pengetua sekolah menengah bebas tuduhan amang seksual fizikal 4 pelajar lelaki

    Pengetua sekolah menengah bebas tuduhan amang seksual fizikal 4 pelajar lelaki

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    MAHKAMAH Sesyen Butterworth, Pulau Pinang hari ini melepas dan membebaskan seorang pengetua sebuah sekolah menengah daripada pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap empat pelajar lelaki pada 2018.

    Hakim Noor Aini Yusof membuat keputusan itu terhadap tertuduh, Zainuren Mohamed, 58, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya di akhir kes pendakwaan.

    Dalam penghakimannya, Noor Aini berkata, alasan mahkamah terhadap keputusan tersebut adalah berdasarkan kredibiliti saksi terutama keterangan beberapa saksi termasuk guru.

    “Mahkamah juga mendapati banyak kelompangan dalam kes pendakwaan yang mana sekiranya mahkamah memanggil tertuduh untuk membela diri dan tertuduh memilih untuk berdiam diri, adalah tidak selamat untuk mahkamah mensabitkan tertuduh berdasarkan keterangan yang ada,” katanya.

    Beliau berkata, alasan penghakiman penuh akan disediakan sekiranya ada rayuan daripada pihak pendakwaan.

    Sehubungan itu, mahkamah turut memerintahkan wang jaminan dikembalikan kepada penjamin.

    Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Syeqal Che Murat manakala tertuduh diwakili peguam E. Gnasegaran.

    Pada Januari 2019, Zainuren yang merupakan pengetua sebuah sekolah menengah di Butterworth mengaku tidak bersalah selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal ke atas empat pelajarnya berusia 11 hingga 14 tahun.

    Mengkut kertas pertuduhan, beliau didakwa melakukan kesalahan itu di bilik khas pengetua dan asrama di sebuah sekolah antara pukul 4 petang hingga 11.40 malam antara 6 April hingga 10 Oktober 2018.

    Beliau didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan.

  • Lelaki OKU dipenjara 15 tahun, 10 sebatan rogol anak tiri

    Lelaki OKU dipenjara 15 tahun, 10 sebatan rogol anak tiri

    MAHKAMAH Sesyen Ayer Keroh, di Melaka hari ini menjaatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan 10 sebatan terhadap seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) lembam kerana merogol anak tirinya dua tahun lalu.

    Harian Metro melaporkan, Hakim Maziah Joary Mohd. Tajudin menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah di akhir kes pendakwaan hari ini.

    Terdahulu, selepas menimbangkan keterangan tujuh saksi dan hujah pihak pendakwaan, Maziah Joary memutuskan ada kes prima facie dan memerintahkan tertuduh membela diri atas pertuduhan itu.

    Bagaimanapun tertuduh berusia 27 tahun dan berasal dari sebuah kampung di Bukit Katil, di sini, memberitahu mahkamah dia ingin menukar pengakuan.

    Mahkamah menetapkan hukuman penjara bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 9 Mac 2020 serta menjalani kaunseling pemulihan serta dua tahun pengawasan polis selepas selesai hukuman mengikut peruntukan Seksyen 26 (1) dan Seksyen 27 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

    Mengikut pertuduhan, bapa kepada tiga anak itu didakwa merogol anak tirinya berusia 14 tahun enam bulan di dalam bilik kedua di sebuah rumah di Bukit Katil pada 19 Februari 2020, kira-kira pukul 2 pagi.

    Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara minimum lapan tahun dan maksimum 30 tahun serta sebat tidak kurang 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim berhujah supaya hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh mengambil kira keseriusan kesalahan dilakukannya iaitu merogol anak tiri.

    “Tertuduh juga hanya mengaku bersalah selepas perbicaraan (bermula 5 April 2021) yang mana di akhir kes pendakwaan hari ini dia diperintah membela diri selepas kes prima facie dibuktikan,” katanya.

    Peguam bela dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Chia Cheng Wee ketika merayu hukuman ringan memohon mahkamah menimbangkan tertuduh seorang OKU lembam yang hanya bekerja kampung dan menanggung isteri yang juga pesakit psikiatri dan tiga anak termasuk dua anak tiri.

  • Najib, Shafee gagal dapat kebenaran rayu gugur Sri Ram

    Najib, Shafee gagal dapat kebenaran rayu gugur Sri Ram

    DATUK Seri Najib Tun Razak dan peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah gagal dalam usaha mereka untuk mendapatkan kebenaran merayu keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan semakan kehakiman mereka untuk menggugurkan Datuk Seri Gopal Sri Ram daripada pasukan pendakwaan kes mereka.

    Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Datuk Seri Mohd Zawawi Salleh sebulat suara menolak permohonan mereka untuk mendapatkan kebenaran meneruskan rayuan mereka di Mahkamah Persekutuan tanpa perintah berhubung kos.

    Beliau berkata, persoalan undang-undang yang Najib dan Muhammad Shafee mahu mahkamah pertimbangkan telah diputuskan oleh Mahkamah Rayuan dalam kes Pendakwa Raya melawan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2014 dan disahkan oleh Mahkamah Persekutuan.

    Dalam kes sivil, pihak litigasi perlu mendapatkan kebenaran terlebih dahulu sebelum boleh meneruskan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

    Mohd Zawawi, yang bersidang bersama Datuk Nallini Pathmanathan dan Datuk Vernon Ong Lam Kiat, berkata persoalan undang-undang mengenai pelantikan peguam bela sebagai timbalan pendakwa raya telah selesai dan mahkamah tidak mempunyai sebab untuk tidak menerima keputusan itu yang disahkan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Anwar.

    Dalam kes berkenaan, Anwar memohon untuk menggugurkan Muhammad Shafee daripada bertindak sebagai pendakwa ad hoc untuk mengetuai pasukan pendakwaan dalam rayuan pendakwaan dalam kes liwat.

    Hakim Mahkamah Persekutuan (Mohd Zawawi) berkata, Seksyen 376 (3) dan Seksyen 379 Kanun Tatacara Jenayah berkaitan dengan dua cara pelantikan, pertama pelantikan terus oleh pendakwa raya dan Seksyen 379 adalah melalui fiat pendakwa raya.

    Najib memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk melucutkan kelayakan Sri Ram sebagai timbalan pendakwa raya kanan dalam kes berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) pada Disember 2018.

    Muhammad Shafee, yang juga peguam bekas perdana menteri itu, turut memfailkan semakan kehakiman kerana beliau juga mahu menggugurkan Sri Ram daripada pasukan pendakwaan perbicaraan pengubahan wang haram berjumlah RM9.5 juta yang dihadapinya.

    Mereka memohon perintah mahkamah untuk membatalkan atau menggugurkan pelantikan Sri Ram dengan menyatakan bahawa surat pelantikan itu tidak sah.

    Najib dan Muhammad Shafee juga memohon pengisytiharan bahawa terdapat percanggahan kepentingan dalam pelantikan itu dan memohon perintah untuk melarang Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam semua kes yang dihadapi mereka, termasuk dalam kes rasuah, penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram.

    Kedua-dua semakan kehakiman Najib dan Muhammad Shafee telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada 2020 dan mereka gagal dalam rayuan mereka yang juga ditolak oleh Mahkamah Rayuan tahun lepas.

    Semasa prosiding hari ini yang dijalankan secara maya, Muhammad Shafee yang mewakili Najib dan peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Muhammad Shafee berkata terdapat persoalan undang-undang baharu dan kepentingan awam untuk dipertimbangkan oleh Mahkamah Persekutuan.

    Antara persoalan undang-undang yang dikemukakan untuk dipertimbangkan oleh Mahkamah Persekutuan adalah berkaitan pelantikan peguam sebagai timbalan pendakwa raya di bawah Seksyen 376 (3) dan Seksyen 379 Kanun Tatacara Jenayah.

    Persoalan lain adalah sama ada pihak pendakwa raya boleh melantik peguam bela sebagai timbalan pendakwa raya kanan tanpa pelantikannya sebagai timbalan pendakwa raya dibuat di tempat dahulu mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Tatacara Jenayah.

    Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan bertindak bagi pihak kerajaan, Peguam Negara dan Sri Ram membantah permohonan kebenaran dengan mengatakan bahawa persoalan undang-undang telah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Anwar. – BERNAMA

  • Didenda buang patung hiasan

    Didenda buang patung hiasan

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SEORANG lelaki berdepan hukuman penjara tiga bulan jika gagal membayar denda RM2,500 setelah dia mengaku bersalah melakukan perbuatan khianat membuang patung hiasan milik individu lain dalam kejadian lebih seminggu lalu.

    Tertuduh, Gabriele Jungkak Anak Steward, 23, yang bekerja sebagai pembantu kedai makan dijatuhkan hukuman itu setelah pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Sharifah Maleeha Syed Hussin di Mahkamah Majistret Kulai, hari ini.

    Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan khianat dengan mengambil patung hiasan pancutan air milik seorang lelaki berusia 33 tahun yang bersambung dengan paip kecil sehingga tercabut dan rosak sebelum membuangnya ke dalam tong sampah, menyebabkan kerugian bernilai RM25.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di hadapan sebuah rumah di Taman Scientex, Senai, kira-kira pukul 9 pagi, 15 Mei lalu.

    Ekoran itu, dia didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih lima tahun dengan denda atau kedua-duanya.

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Edelynn Wong manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Ketika proses rayuan, Gabriele Jungkak berkata, dia membuang patung berkenaan kerana telah mengganggunya ketika melalui kawasan berkenaan selain turut mengaku pernah membuang dan membakar patung-patung hiasan lain di tempat lain.

    Sebelum hukuman dijatuhkan, Sharifah Maleeha menasihati pemuda itu untuk belajar hidup bermasyarakat dan menghormati barangan milik individu lain.

    Pada 19 Mei lalu, polis mencari suspek yang membuang patung sembahyang agama Hindu ke dalam tong sampah dalam kejadian yang tular melalui rakaman video berdurasi 42 saat di Facebook.

    Polis turut menerima laporan daripada seorang lelaki berkenaan rakaman kejadian terbabit pada pukul 4.30 petang, hari kejadian.

    Selain itu, pengadu mengesahkan patung sembahyang Dewa Ganesh itu diletakkan di luar halaman rumah untuk tujuan hiasan dan bukannya untuk tujuan sembahyang.

  • Tiada satu sen dana Yayasan Akalbudi daripada kerajaan, rakyat

    Tiada satu sen dana Yayasan Akalbudi daripada kerajaan, rakyat

    BEKAS Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bahawa tiada satu sen dana Yayasan Akalbudi datangnya daripada kerajaan atau rakyat, sebaliknya wang puluhan juta ringgit dalam yayasan itu adalah miliknya.

    Ahmad Zahid, 69, berkata, sumber dana yayasan tersebut adalah daripada lebihan pendapatannya ketika beliau membabitkan diri dalam sektor korporat sebelum menjawat jawatan sebagai anggota pentadbiran.

    “Sebelum saya menganggotai pentadbiran iaitu timbalan menteri, menteri atau timbalan perdana menteri, saya telah menjalankan urus niaga korporat, saya pernah mengetuai empat syarikat yang tersenarai di Bursa Kuala Lumpur, saya juga pernah menjadi Pengerusi Bank Simpanan Nasional.

    “Memang terdapat beberapa sumbangan daripada rakan dan ahli perniagaan yang tiada kena mengena dengan portfolio yang saya pegang, namun tidak ada satu sen pun yang datang dari sumbangan kerajaan atau wang rakyat atau pembayar cukai,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika disoal peguamnya, Datuk Ahmad Zaidi Zainal pada hari ketiga prosiding membela diri atas 47 pertuduhan membabitkan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram.

    Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, pendapatan dan elaun sebagai ketua pegawai eksekutif, pengerusi eksekutif dan pengerusi dalam syarikat korporat melebihi perbelanjaan dan keperluan keluarganya.

    “Maka saya berazam atas nasihat bapa saya yang juga seorang mudir atau pengetua sekolah agama di Bagan Datuk untuk menyalurkan lebihan pendapatan saya itu kepada orang yang memerlukan melalui amal jariah, sedekah, infak, wakaf bagi tujuan kebajikan dan keagamaan dalam Yayasan Akalbudi.

    “Dana Yayasan Akalbudi adalah daripada pendapatan peribadi saya serta elaun yang saya peroleh daripada aktiviti urus niaga korporat berkenaan,” jelasnya.

    Selain itu, Ahmad Zahid berkata, beliau memperoleh dividen daripada syarikat berkenaan untuk dimasukkan dalam tabung yayasan dan menjalankan urus niaga pasaran saham sama ada dalam saham blue chip atau saham disenaraikan dan saham tawaran permulaan awam (IPO) bagi memperoleh pendapatan.

    Ahmad Zahid berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya melibatkan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram, membabitkan berpuluh-puluh juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

    Pada 24 Jan lepas, mahkamah memerintahkan Ahmad Zahid membela diri terhadap kesemua pertuduhan selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.

    Perbicaraan sedang berlangsung di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah. – BERNAMA