Category: Mahkamah

  • Kes bunuh CEO Cradle Fund: mahkamah lepas dan bebaskan Samirah, dua anaknya

    Kes bunuh CEO Cradle Fund: mahkamah lepas dan bebaskan Samirah, dua anaknya

    MAHKAMAH Tinggi Shah Alam hari ini melepas dan membebaskan Samirah Muzaffar dan dua remaja lelaki atas pertuduhan membunuh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Nazrin Hassan, empat tahun lepas.

    Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan kes prima facie di akhir kes pendakwaan terhadap ketiga-tiga tertuduh.

    Beliau berkata mahkamah mendapati bahawa keadaan tidak menunjukkan pelakuan tertuduh dan dua kanak-kanak itu (kini berumur 19 dan 16 tahun) mendatangkan kecederaan sehingga menyebabkan kematian mangsa.

    Katanya pihak pendakwaan juga gagal membuktikan pada masa yang dikatakan dalam pertuduhan berlakunya pembunuhan.

    “Mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh (Samirah) dan kanak-kanak 1 dan kanak-kanak 2. Oleh itu tertuduh, kanak-kanak 1 dan kanak-kanak 2 dilepas dan dibebaskan atas tuduhan membunuh,” katanya.

    Samirah, serta dua kanak-kanak lelaki yang ketika itu berusia 15 dan 11 tahun dan seorang warga Indonesia yang masih bebas Eka Wahyu Lestari didakwa membunuh Nazrin, 45, di sebuah rumah di Mutiara Damansara antara 11.30 malam 13 Jun 2018 dan 4 pagi 14 Jun 2018.

    Pada 14 Feb lepas, pihak pendakwaan menutup kes mereka selepas memanggil 57 saksi.

    Perbicaraan kes Samirah yang didakwa membunuh suaminya itu bermula pada 6 Sept 2019.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Asnawi Abu Hanipah, Tengku Intan Suraya Tengku Ismail dan Nur Sabrina Zubairi manakala pasukan pembelaan terdiri daripada peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Rahmat Hazlan, LS. Leonard, S. Suresh, Savreena Kaur dan Zahria Eleena Redza.

    — BERNAMA

    .

  • Wang AS$61 juta,GBP9.46 juta masuk akaun peribadi Najib – saksi

    Wang AS$61 juta,GBP9.46 juta masuk akaun peribadi Najib – saksi

    SEORANG  pegawai bank hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak menerima sejumlah AS$61 juta dan GBP9.46 juta yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya melalui pindahan wang luar negara daripada tiga syarikat didakwa berkaitan dengan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

    Pengurus Bahagian Unit SWIFT di Ambank (M) Berhad Wedani Senen, 48, berkata kesemua transaksi melibatkan akaun bekas Perdana Menteri itu adalah di antara Mac 2013 dan Dis 2014 dengan nombor akaun 2112022009694 menggunakan kod nama AmPrivate Banking-MR dan 2112022011880 kod nama AmPrivate Banking-1MY.

    Saksi pendakwaan ke-29 itu berkata terdapat pemindahan wang berjumlah US$61 juta ke akaun Najib daripada Tanore Finance Corporation.

    Pada prosiding sebelum ini, Tanore dinyatakan sebagai antara entiti yang menerima wang haram daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selain didakwa mempunyai kaitan dengan sekutu Jho Low, Eric Tan Kim Loong.

    Wedani juga berkata akaun Najib yang berakhir dengan nombor 880 menerima GBP750,000 daripada Blackrock Commodities (Global) Limited pada 23 Jun 2014.

    “Akaun sama turut menerima wang daripada Vista Equity International Partners Ltd (Barbados) melalui lima transaksi iaitu GBP5,750,000 (19 Okt 2014), GBP694,343.62 dan GBP2,216.01 (24 Nov 2014),  GBP995,000.00 (5 Dis 2014) dan GBP1.26 juta (18 Dis 2014),” katanya ketika membacakan pernyataan saksi pada perbicaraan kes Najib berhubung penyelewengan dana RM2.3 bilion daripada 1MDB.

    Sebelum ini, media melaporkan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ) telah mengenal pasti Vista Equity dan Blackrock Commodities sebagai ‘shell company’ (syarikat yang hanya wujud di atas kertas) yang didakwa mempunyai kaitan dengan Tan.

    Ketika disoal balas oleh peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed yang mewakili Najib, Wedani berkata beliau tidak membuat sebarang laporan kepada Bank Negara (BNM) mengenai transaksi melibatkan jumlah wang besar ke dalam akaun Ahli Parlimen Pekan itu.

    “Unit kami tidak membuat sebarang laporan kerana terdapat bahagian lain yang menguruskan pelaporan kepada BNM.

    “Saya juga tidak pasti sama ada BNM ada menimbulkan sebarang amaran dan meminta bank memberikan penjelasan mengenai kesemua transaksi melibatkan wang yang besar itu,” katanya.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

    — BERNAMA

  • Timbalan pengarah sebuah jabatan kerajaan berhadapan 46 pertuduhan rasuah, salah guna kuasa

    Timbalan pengarah sebuah jabatan kerajaan berhadapan 46 pertuduhan rasuah, salah guna kuasa

    TIMBALAN pengarah sebuah jabatan kerajaan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 46 pertuduhan rasuah dan salah guna kuasa membabitkan RM55,020 antara 2019 hingga 2021.

    Mahriyatty  Bahrin, 42, yang juga Jurutera Awam Gred J44 di Pusat Khidmat Kontraktor Negeri Sabah bagaimanapun tidak mengaku bersalah atas semua tuduhan berkenaan ketika pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

    Mengikut pertuduhan, Mahriyatty berhadapan 19 pertuduhan di bawah Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, empat pertuduhan mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta SPRM 2009, masing-masing satu pertuduhan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

    Mahriyatty berdepan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

    Selain itu, wanita berkenaan turut berdepan dengan 21 pertuduhan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau dengan denda, atau kedua-duanya.

    Tertuduh didakwa secara rasuah telah memperoleh suatu suapan sebagai dorongan untuk meluluskan Sijil Taraf Bumiputera (STB) kepada beberapa kontraktor di negeri ini.

    Mahriyatty didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di Maybank Cawangan Sipitang beralamat di Lot 25 & 26 Sipitang Shopping Centre, Jalan Hj A. H. Tengah, Sipitang dan Maybank Cawangan Karamunsing, Bangunan Maybank, N0. 1, Lorong Kemajuan, Karamunsing, di dalam daerah Kota Kinabalu antara 2019 hingga 2021.

    Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM25,000 dengan seorang penjamin selain syarat tambahan iaitu perlu melapor diri di pejabat SPRM Kota Kinabalu sekali dalam masa dua bulan.

    Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Nurul Izzati Sapifee manakala tertuduh diwakili peguam Zahir Hussien Ahmad Shah.

    Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 21 Julai ini.

    — BERNAMA

  • Rayuan terakhir ditolak, bekas pembantu bekas menteri dipenjara 2 tahun kerana rasuah

    Rayuan terakhir ditolak, bekas pembantu bekas menteri dipenjara 2 tahun kerana rasuah

    BEKAS pembantu peribadi seorang menteri akan memulakan hukuman penjara dua tahun selepas gagal dalam rayuan terakhirnya untuk mengetepikan sabitannya kerana menuntut habuan daripada pengarah syarikat yang memohon permit bas kira-kira 20 tahun lalu.

    Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan oleh Hanipah Farikullah berkata, tiada sebab untuk pihaknya mengganggu keputusan Mahkamah Tinggi yang mengesahkan sabitan dan hukuman Mahkamah Sesyen terhadap Eswadi Abd Rahim.

    Hakim lain turut bersidang ialah Ahmad Nasfy Yasin dan Mariana Yahya.

    Eswadi, 50, yang juga bekas pegawai Mara, dipinjamkan sebagai pembantu peribadi kepada menteri pembangunan usahawan ketika itu Datuk Seri Nazri Aziz.

    Eswadi, yang diikat jamin sementara menunggu keputusan rayuannya, turut didenda RM40,000 atau penjara 12 bulan jika gagal membayarnya, lapor FMT

    Dia dibicarakan atas dua pertuduhan pada 2008 kerana menerima suapan sebagai dorongan untuk membantu seorang individu, Chin Ah Lek, mendapatkan permit bas untuk Syarikat Azamat Hati Sdn Bhd di Ipoh daripada Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan dan untuk Chin dengan menamakan bapanya, Abdul Rahim Ismail, sebagai pengarah syarikat berkenaan.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan pada Disember 2002.

    Mahkamah pada 25 Mac 2016 kemudian menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dan denda RM10,000 ke atas Eswadi atau enam bulan penjara tambahan jika membayarnya.

    Dia juga didapati bersalah menerima rasuah RM6,000 yang dimasukkan ke dalam akaunnya di Ipoh pada 17 Jan 2003. Untuk itu, dia dipenjara dua tahun lagi dan denda RM30,000 atau penjara enam bulan lagi jika gagal membayarnya.

    Hukuman penjara berjalan serentak dan bermakna Eswadi akan menjalani hukuman itu dua tahun sahaja.

    Mahkamah Tinggi Ipoh menjatuhkan hukuman itu pada 21 Dis 2017.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 10 (a) Akta Pencegahan Rasuah 1997, yang kemudiannya digantikan dengan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

    Kesalahan itu boleh dihukum mengikut Seksyen 16 Akta SPRM dengan hukuman penjara antara 14 hari dan 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nahra Dollah manakala Eswadi diwakili peguam Shahrudin Ali.

  • Bicara kes pecah amanah, pengubahan wang haram Syed Saddiq mula esok

    Bicara kes pecah amanah, pengubahan wang haram Syed Saddiq mula esok

    PERBICARAAN kes Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang berdepan empat pertuduhan berkaitan pecah amanah dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) berjumlah RM1 juta dan pengubahan wang haram, akan bermula esok di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

    Kes itu akan didengar oleh Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid pada 9 pagi.

    “Bicara akan berjalan esok. Enam saksi pendakwaan dijangka beri keterangan,” kata Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin yang mengetuai pasukan pendakwaan ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Beliau berkata, pihaknya akan memanggil 40 saksi pada perbicaraan kes itu.

    Mahkamah sebelum ini menetapkan 21 dan 22 Jun, 4 hingga 8 Julai dan 18 hingga 22 Julai untuk mendengar kes tersebut.

    Syed Saddiq, 29, pada mulanya didakwa di Mahkamah Sesyen. Bagaimanapun, beliau memohon supaya kesnya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi dan pada 25 Nov tahun lepas, permohonan itu dibenarkan.

    Pada 22 Julai 2021, bekas Menteri Belia dan Sukan itu didakwa di Kuala Lumpur atas satu pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah dan satu pertuduhan salah guna wang manakala pada 5 Ogos tahun sama, beliau dihadapkan ke mahkamah di Johor Bahru atas dua pertuduhan pengubahan wang haram.

    Pendakwaan kemudian memohon memindahkan kes di Johor Bahru ke Kuala Lumpur untuk dibicarakan bersama.

    Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali iaitu Penolong Bendahari Armada, Parti Pribumi Bersatu Malaysia, yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, telah melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020 mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

    Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang tersebut.

    Syed Saddiq didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 hingga 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

    Beliau juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

    Syed Saddiq dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

    Jika sabit kesalahan, Syed Saddiq berdepan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram. – BERNAMA

  • ‘1MDB hanya berurusan dengan PM’

    ‘1MDB hanya berurusan dengan PM’

    MAHKAMAH Tinggi hari ini diberitahu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memaklumkan kepada Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD), bahawa 1MDB hanya berurusan dengan Perdana Menteri (PM) berhubung operasi dan hal ehwal syarikat.

    Datuk Siti Zauyah Mohd. Desa selaku Setiausaha di Bahagian MKD ketika itu, berkata perkara berkenaan dimaklumkan Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi kepada MKD ketika proses perbincangan dan penukaran saham Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) kepada MKD pada 2009.

    Ketika menjawab soalan peguam Tan Sri Muhamad Shafee Abdullah, Siti Zauyah berkata, ketika itu pihak pengurusan 1MDB tidak memberikan kerjasama dan enggan berbincang mengenai perkara berkaitan Memorandum dan Artikel Pertubuhan syarikat 1MDB yang tidak sama dengan syarikat di bawah MKD lain serta terdapat pindaan dibuat tanpa kebenaran.

    “Mereka (1MDB) ada PM di belakang, sebab itu mereka beritahu hanya berurusan dengan PM,” katanya, lapor BH Online.

    Saksi itu berkata, beliau kemudian membangkitkan perkara terbabit kepada Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, namun Ahmad Husni memberitahunya bahawa beliau (Ahmad Husni) tidak mahu terbabit dengan isu berkenaan.

    Katanya, Ketua Setiausaha Perbendaharaan ketika itu, Tan Sri Mohd. Irwan Serigar Abdullah juga memberitahunya supaya tidak berbuat apa-apa mengenainya.

    Ahmad Husni dalam keterangan sebelum ini memberitahu mahkamah, beliau diminta oleh Datuk Seri Najib Razak supaya tidak campur tangan mengenai perancangan pelaburan 1MDB dalam syarikat perkhidmatan dan pengeluaran minyak, PetroSaudi International Ltd.

    Beliau turut memberitahu mahkamah mengenai kebimbangannya dengan keadaan negara dan Najib berikutan penubuhan 1MDB, sehingga membuatkannya menghantar surat peribadi kepada Ahli Parlimen Pekan itu pada Ogos 2010.

    Siti Zauyah dalam keterangannya sebelum ini berkata, klausa Artikel 117 Memorandum dan Artikel Pertubuhan syarikat 1MDB yang menyatakan lantikan dan penyingkiran mana-mana pengarah syarikat itu tidak akan berkuat kuasa tanpa mendapat kelulusan bertulis Perdana Menteri, tidak dirujuk kepada MKD ketika proses perbincangan dan penukaran saham TIA kepada pihaknya.

    Klausa Artikel 117 Memorandum dan Artikel Pertubuhan 1MDB juga menetapkan sebarang komitmen kewangan (termasuk pelaburan) dan penstrukturan semula yang berkemungkinan menjejaskan jaminan oleh kerajaan bagi faedah syarikat dan kepentingan serta keselamatan negara, memerlukan kelulusan bertulis perdana menteri.

    Siti Zauyah berkata, pihaknya juga tidak tahu bagaimana Klausa 117 itu dimasukkan kerana ia disediakan lebih awal oleh setiausaha syarikat 1MDB sebelum dipindah milik kepada MKD.

    Siti Zauyah memberi keterangan terhadap Najib, 68, yang menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

  • ASP, Koperal antara lima didakwa seludup 119 migran warga Myanmar

    ASP, Koperal antara lima didakwa seludup 119 migran warga Myanmar

    SEORANG pegawai kanan dan seorang pegawai rendah polis antara lima individu yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan melakukan penyeludupan 119 migran warganegara Myanmar pada Mei lepas.

     ASP Mohamad Faizal Ahmad Zaki, 37, dan Koperal Mohd Razin Razali, 32, didakwa menyeludup migran warganegara Myanmar itu di kedudukan kira-kira 1.9 batu nautika dengan daratan Kuala Kedah, dekat sini pada 9.30 malam, 24 Mei lepas.

     Polis bantuan Anas Hafizin Ahmad, 37,  Muhamad Aslam Osman, 29, bekerja sendiri dan nelayan Ibrahim Dahamid, 38, juga didakwa atas tuduhan sama.

    Tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

    Bagi pertuduhan itu, Mohamad Faizal dan Mohd Razin didakwa di bawah Seksyen 26B(d) Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (Akta 670) yang dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

    Kedua-dua penjawat awam itu yang bertugas di E6 Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, di sini berhadapan hukuman penjara seumur hidup atau minimum lima tahun dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.

    Anas Hafizin, Muhamad Aslam dan Ibrahim didakwa di bawah Seksyen 26A akta sama yang dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan mereka berhadapan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun atau denda atau kedua-duanya.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zahruddin Mohammed Isa, Nor Syaliati Mohd Sobri dan Nur Syifa Mohd Hamzah, manakala peguam Ravi Shankar Gandhi mewakili Mohd Razin dan tertuduh lain tidak diwakili peguam.

    Kesemua tertuduh tidak ditawarkan jaminan dan Hakim Noor Zaihan Mohamad Ali menetapkan 4 Julai sebagai tarikh sebutan semula kes.

    — BERNAMA

  • 2 tukang cuci masjid didakwa rogol remaja

    2 tukang cuci masjid didakwa rogol remaja

    DUA lelaki yang bekerja sebagai tukang cuci di masjid didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu Kelantan hari ini atas tuduhan merogol seorang remaja di Jalan Merbau, Julai tahun lalu.

    Muhammad Khairul Arif Md. Rodzi dan Muhammad Mustaqim Nazri, masing-masing berusia 18 tahun yang didakwa secara berasingan, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan ketika pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Mohd. Zul Zakiqudin Zulkifli.

    Memetik laporan Berita Harian, mengikut pertuduhan, kedua-duanya didakwa merogol seorang remaja perempuan yang ketika itu berusia 13 tahun di sebuah garaj Lot 207-B, Jalan Merbau, antara pukul 11 malam hingga 5 pagi pada 28 hingga 29 Julai 2021.

    Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat.

    Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nurul Hanini Wan Ahmad Shukry dan kedua-dua tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nor Alini Ahmad Jamil.

    Terdahulu, Wan Nurul Hanini memohon tiada jaminan ditawarkan memandangkan tertuduh melakukan kesalahan serius, manakala Nor Alini memohon jaminan diberi memandangkan kedua-dua tertuduh membantu keluarga dalam mencari pendapatan.

    Mahkamah tidak menawarkan jaminan dan menetapkan 20 Julai sebagai tarikh sebutan semula.

  • 1MDB: Mahkamah tangguh kes Roger Ng sementara tunggu hukuman

    1MDB: Mahkamah tangguh kes Roger Ng sementara tunggu hukuman

    KES bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa berhubung penjualan nota sekuriti dan bon bernilai AS$6.5 bilion milik anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, ditangguhkan sementara menunggu hukuman kes jenayahnya di Amerika Syarikat (AS) diputuskan pada 13 Sept ini.

    Pada 8 April lepas, Ng didapati bersalah oleh mahkamah di AS kerana melakukan konspirasi menyeleweng ratusan juta dolar daripada syarikat pelaburan 1MDB, bagaimanapun hukuman terhadapnya masih belum diputuskan.

    Timbalan Pendakwa Raya, Zaki Asyraf Zubir memaklumkan kepada mahkamah bahawa perbicaraan kes jenayah dihadapi Ng di mahkamah AS telah selesai dan proses hukuman akan dijalankan pada 13 Sept.

    “Untuk makluman mahkamah, Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ) memohon penyerahan sementara tertuduh ke negara itu sehingga akhir Ogos ini. Saya pasti mereka (DoJ) akan memohon lanjutan tempoh penyerahan sementara memandangan proses hukuman pada September ini.

    “Oleh itu, saya mohon tarikh sebutan kes pada 18 atau 19 Okt ini untuk memaklumkan kepada mahkamah tentang status terkini kes tertuduh (Ng) di Amerika Syarikat,” katanya pada pengurusan kes hari ini.

    Peguam Datuk Tan Hock Chuan yang mewakili Ng mengesahkan mengenai tarikh hukuman itu dan memaklumkan anak guamnya telah memfailkan rayuan terhadap keputusan juri di mahkamah di AS.

    “Keputusan dicapai pada 8 April 2022 dan hakim di New York telah tetapkan hukuman pada 13 Sept 2022. Saya setuju dengan permohonan pendakwaan untuk tarikh sebutan itu bagi memaklumkan tentang perkembangan kes (di Amerika Syarikat),” katanya.

    Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menetapkan pengurusan kes pada 19 Okt ini untuk pihak pendakwaan dan pembelaan memaklumkan status terkini kes yang dihadapi Ng di AS.

    Pada 19 Dis 2018, Ng mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan bersubahat dengan Goldman Sachs berhubung penjualan bon 1MDB bernilai AS$6.5 bilion dengan menggugurkan fakta material dan membuat kenyataan palsu.

    Dia didakwa melakukan semua kesalahan itu di pejabat 1MDB, Tingkat 8, Menara IMC, Jalan Sultan Ismail di sini antara 19 Mac 2012 dan 11 Nov 2013.

    Pada 4 Sept 2021, pertuduhan terhadap Goldman Sachs International Ltd dan dua entitinya di Asia iaitu Goldman Sachs (Asia) LLC dan Goldman Sachs (Singapura) digugurkan selepas Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan membenarkan permohonan pendakwaan untuk menarik balik pertuduhan berhubung penjualan bon 1MDB bernilai AS$6.5 bilion. – BERNAMA

  • 14 termasuk dua wanita dituduh anggotai kumpulan jenayah terancang ‘Geng Chandra’

    14 termasuk dua wanita dituduh anggotai kumpulan jenayah terancang ‘Geng Chandra’

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    SERAMAI 14 individu termasuk dua wanita dan seorang warga Bangladesh didakwa di Mahkamah Sesyen Georgetown, Pulau Pinang hari ini atas pertuduhan menganggotai kumpulan jenayah terancang ‘Geng Chandra’.

    Kesemua mereka mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan secara berasingan termasuk di dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Mazdi Abdul Hamid.

    Mereka ialah A. Santeran, 55; Mohd. Azlisham Che Azmi, 38; C. P. Maria Prakit, 48; S. Boharaj, 29; Muhamad Fithri Mohamed Shafe, 41; Marzuki Osman, 42; Milon Masud; 30 dan K. Subramaniam, 49; A. Balasubramaniam, 61; Rosman Mohd. Ismail, 49; S. Puspakaran, 45; A. Raymond, 51, Noor Wadia Aziz, 39, dan Mohd. Fitri Odus, 39.

    Mengikut pertuduhan, mereka didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang ‘Geng Chandra’ antara Januari 2016 hingga 12 Mac 2021 di dalam daerah Timur Laut, Pulau Pinang dan didakwa di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah subseksyen yang sama.

    Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun.

    Prosiding dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Fakhrurazi Ahmad Salim; Saifuddin Rafaie dan Rohaiza Abdul Rahim sementara hanya tujuh daripada kesemua tertuduh diwakili peguam.

    Tertuduh, Mohd. Fitri diwakili peguam, Khairul Fairuz Rahman manakala peguam Ahmad Abdullah mewakili tertuduh Santeran; Maria Prakit; Balasubramaniam; Subramaniam; Boharaj dan Raymond.

    Mahkamah tidak membenarkan semua tertuduh diikat jamin dan menetapkan 5 0gos ini sebagai tarikh sebutan semula.

    Sebelum ini, media melaporkan Polis Pulau Pinang berjaya menumpaskan sebuah kumpulan jenayah terancang apabila menahan seramai 11 suspek anggota kumpulan itu masing-masing sembilan lelaki dan dua wanita berusia antara 29 hingga 61 tahun.

    Kumpulan jenayah terancang itu ditumpaskan menerusi Op Cantas Tanjung III pada pukul 12 tengah hari, 24 Mei lalu yang digerakkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri dengan dibantu Bahagian Jenayah Terancang (D14), JSJ Bukit Aman.

    Menurut Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain, sindiket jenayah terancang itu dilumpuhkan ekoran penahanan ketua mereka yang ditangkap bersama sejumlah dadah di Teluk Bahang, tahun lalu.

    Dalam operasi itu juga, polis turut merampas sebutir bom tangan yang masih aktif, enam pucuk senjata api dan 185 butir peluru hidup daripada sindiket berkenaan.