Category: Mahkamah

  • Jho Low didakwa pernah tawar RM1.5 bilion selesai kes

    Jho Low didakwa pernah tawar RM1.5 bilion selesai kes

    AHLI perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dilaporkan pernah menawarkan RM1.5 bilion kepada kerajaan Malaysia untuk menyelesaikan pertuduhan terhadapnya.

    Walau bagaimanapun, Malaysiakini yang memetik The Edge melaporkan, sumber yang tidak dinamakan mengatakan bahawa kerajaan telah menolak tawaran itu.

    Laporan itu yang disiarkan malam tadi juga mendakwa seorang bekas Peguam Negara mewakili Jho Low dalam rundingan dengan kerajaan Malaysia.

    Sementara itu, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar memberitahu Malaysiakini bahawa beliau tidak mengetahui tentang perkara itu.

    Jho Low dikaitkan sebagai dalang di sebalik skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan telah didakwa tanpa kehadiran di mahkamah Amerika Syarikat (AS) dan Malaysia.

    Dia kini dalam pelarian dan lokasinya tidak diketahui umum.

    Pada 2018, Jabatan Kehakiman AS telah mendakwa Jho Low dengan konspirasi untuk mengubah berbilion dolar daripada dana kekayaan negara Malaysia, dan konspirasi untuk melanggar Akta Amalan Rasuah Asing Amerika.

    Di Malaysia, Jho Low dan rakan sekutunya berdepan lima pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah AS$1.03 bilion. Dia juga menghadapi pertuduhan pengubahan wang haram berasingan dengan pembantunya, Eric Tan Kim Loong sebanyak AS$125.97 juta.

    Pada 2020, SPRM membawa satu lagi pertuduhan terhadap Jho Low dan rakan-rakannya, kali ini didakwa terlibat dalam konspirasi jenayah bagi membolehkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menggunakan kedudukannya untuk menerima rasuah berjumlah RM60,629,839.43.

    Jho Low berulang kali mendakwa dia tidak bersalah dan pada wawancara 2020 dia mendakwa dia hanyalah perantara dalam urusan 1MDB.

  • Mahkamah benarkan premis Rumah Bonda dibuka semula

    Mahkamah benarkan premis Rumah Bonda dibuka semula

    PREMIS Pertubuhan Kebajikan Rumah Bonda Kuala Lumpur, yang lebih dikenali sebagai Rumah Bonda dibenarkan untuk beroperasi semula selepas Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan membuka ‘Lak’ yang difailkan pengerusi rumah perlindungan itu, Siti Bainun Ahd Razali.

    Majistret Nur Syafiqah Noorinda mengeluarkan perintah itu selepas membenarkan permohonan Rumah Bonda melalui Siti Bainun selaku plaintif yang memohon untuk menanggalkan lak yang telah dibuat oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKM WPKL) pada 12 Julai 2021.

    Peguam Asiah Abd Jalil yang mewakili Siti Bainun ketika dihubungi berkata perintah menanggalkan lak diberikan oleh mahkamah di bawah Seksyen 16A Akta Pusat Jagaan 1993 tidak dibantah oleh pihak JKM dan Rumah Bonda hendaklah berakujanji bahawa premis itu tidak akan digunakan sebagai pusat jagaan.

    “Rumah Bonda sudah dikompaun berjumlah RM5,000 dan ia telah dibayar pada 25 April lepas,” kata peguam itu.

    Prosiding hari ini turut dihadiri Peguam Persekutuan Fatin Shafira Ab Patah yang mewakili Pengarah JKM WPKL.

    Pada 7 Jun lepas, Rumah Bonda memfailkan saman terhadap JKM WPKL selaku defendan bagi memohon perintah menanggalkan lak yang telah dibuat pada 12 Julai 2021 ke atas premis itu di Taman Setapak, dan memohon perintah agar plaintif boleh menggunakan premis berkenaan bagi maksud lain selain daripada pusat jagaan, selain memohon kos dan relif lain yang sesuai oleh mahkamah.

    Berdasarkan afidavit sokongan yang difailkan bersama saman itu, Siti Bainun berkata beliau telah menerima Notis Lak daripada JKM WPKL, yang memaklumkan bahawa Rumah Bonda di Taman Setapak akan ditutup mengikut Seksyen 16(1) Akta Pusat Jagaan 1993.

    Dakwa Siti Bainun, tindakan lak yang dibuat pada 12 Julai 2021 atas alasan Rumah Bonda tidak berdaftar di bawah Akta Pusat Jagaan 1993 adalah tidak adil, tidak mengikut prinsip pentadbiran dan undang-undang administratif yang wajar, memandangkan JKM WPKL telah mengetahui bahawa rumah perlindungan itu sedang dalam proses permohonan pendaftaran.

    “Pada 20 April 2022, Rumah Bonda telah menerima notis tawaran kompaun berjumlah RM5,000 daripada JKM WPKL mengikut Peraturan-Peraturan Pusat Jagaan 1994 (Pengkompaunan Kesalahan), di bawah Seksyen 21A dan Seksyen 24 Akta Pusat Jagaan 1993 dan Rumah Bonda telah membuat bayaran penuh kompaun itu pada 25 April 2022,” katanya menerusi afidavit sokongan.

    Menurut Siti Bainun, beliau kecewa apabila dimaklumkan oleh Pegawai Penguatkuasa JKM WPKL bahawa, Rumah Bonda hanya boleh dibuka melalui satu perintah mahkamah walaupun kompaun telah dijelaskan sepenuhnya. – BERNAMA

  • Lelaki Sierra Leone dituduh tipu wanita ganda wang guna cecair

    Lelaki Sierra Leone dituduh tipu wanita ganda wang guna cecair

    SEORANG lelaki warganegara Sierra Leone mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan menipu seorang wanita tempatan untuk menyerahkan wang RM50,000 dua bulan lepas.

    Aruna Saccoh, 39, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Inggeris di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.

    Saccoh didakwa menipu Chee Ting Han, 32, untuk menyerahkan wang tunai berjumlah RM50,000 dengan memperdaya wanita itu bahawa tertuduh boleh menggandakan wang menggunakan cecair kimia dengan cara cucian wang.

    Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan tempat letak kereta OUG Parklane, Brickfields pada 30 Mei lepas, mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya Nurliyana Mohd Jafri tidak menawarkan sebarang jaminan atas alasan tertuduh bukan warganegara dan tiada dokumen perjalanan sah.

    Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 18 Ogos ini untuk sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen serta lantikan peguam. – BERNAMA

  • Awal Ashaari kemuka representasi tuduhan rosak palang pagar

    Awal Ashaari kemuka representasi tuduhan rosak palang pagar

    SELEBRITI Awal Ashaari yang didakwa atas pertuduhan melakukan khianat dengan merosakkan palang pagar pondok pengawal milik pengurusan sebuah perumahan di Damansara akan mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) berkaitan pertuduhan itu.

    Peguam Hamizah Sobree yang mewakili Awal Ashaari atau nama sebenarnya Ahmad Awaluddin Ashaari, 41, memaklumkan kepada mahkamah pihaknya bercadang untuk mengemukakan representasi berdasarkan dokumen yang diterima daripada pihak pendakwaan hari ini.

    “Kami sahkan sudah menerima dokumen daripada pendakwaan dan bercadang untuk mengemukakan representasi berkenaan pertuduhan. Mohon arahan lanjut mahkamah,” katanya pada prosiding di hadapan Majistret Muhammad Iskandar Zainol, yang turut dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Siti Maryam Jamilah Ab Manaff.

    Muhammad Iskandar berkata pihak pembelaan boleh memfailkan representasi sekiranya dokumen yang diterima pada hari ini telah mencukupi dan menetapkan 25 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

    Ketika ditemui media di luar mahkamah, Hamizah berkata pihaknya memerlukan masa untuk meneliti dokumen berkaitan kes yang telah diserahkan oleh pihak pendakwaan sebelum memutuskan jenis representasi yang akan dikemukakan.

    Pada 17 Mei lepas, personaliti televisyen itu mengaku tidak bersalah melakukan khianat dengan merosakkan palang pagar milik Pengurusan Challis Damansara yang nilai kerugian dianggarkan RM600, di pondok pengawal Challis Damansara, Jalan PJU 3/30, Sunway Damansara, pada 11.30 pagi, 16 April lepas.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dari setahun dan tidak lebih dari lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – BERNAMA

  • Pelawak wanita hina Islam akan didakwa di Mahkamah Syariah

    Pelawak wanita hina Islam akan didakwa di Mahkamah Syariah

    SEORANG wanita yang membuat persembahan menghina agama Islam di sebuah kelab komedi pada minggu lalu, Siti Nuramira Abdullah, 26, akan didakwa di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur dalam masa terdekat.

    Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary mengesahkan perkara itu dan memaklumkan Siti Nuramira akan didakwa di bawah Seksyen 7 (Menghina atau menyebabkan dipandang hina dalam agama Islam) Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan 1997 (Akta 559).

    “Untuk makluman, Siti Nuramira Abdullah (Amy) akan didakwa di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur dan pendakwaan di mahkamah syariah akan dibuat dalam masa terdekat.

    “Kerajaan tidak akan berkompromi dengan sebarang tindakan menghina agama yang akan menggugat keharmonian dan perpaduan kaum. Tindakan akan diambil berasaskan undang-undang sedia ada,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Semalam, Siti Nuramira telah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan menyebabkan rasa tidak harmoni dalam kalangan orang Islam.

    Mengikut pertuduhan, Siti Nuramira didakwa mengaku seorang Muslim dan menghafal 15 juzuk al-Quran kemudian membuka tudung dan menanggalkan baju kurung sewaktu membuat persembahan di atas pentas di Restoran Crack House Comedy Club, Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Brickfields pada 4 Jun lalu, pukul 6 petang.

    Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan iaitu perbuatan berkenaan boleh menyebabkan suasana tidak harmoni di atas alasan agama, di antara orang yang menganut agama sama.

    Bagaimanapun, tertuduh mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.

  • Pasangan kekasih didakwa membunuh

    Pasangan kekasih didakwa membunuh

    SEPASANG kekasih didakwa di Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini atas pertuduhan membunuh seorang pemuda di Kampung Gondang, Ketereh pada Mei lalu.

    Maizatul Shima Abdullah, 21, dan Muhammad Zaim Syakir Shaari, 20, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Fitri Mokhtar dan tiada pengakuan direkodkan.

    Memetik laporan Harian Metro, mengikut pertuduhan, kedua-kedua tertuduh secara bersama dengan niat melakukan kesalahan bunuh hingga menyebabkan kematian Muhamad Fahmi Adli Mat, 24, dengan menetak tubuh badan mangsa menggunakan parang.

    Kesalahan itu dilakukan di kawasan perkuburan lama Islam Kampung Gondang, Ketereh antara pukul 10 malam pada 14 Mei hingga pikul 1 pagi 15 Mei lalu.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama mengikut Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Yusnaliza Mohammad Yusoff dan tertuduh tidak diwakili peguam.

    Mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan dan menetapkan 26 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan laporan forensik.

  • Juruteknik didakwa  pandu secara melulu, sebabkan kematian pasangan OKU

    Juruteknik didakwa pandu secara melulu, sebabkan kematian pasangan OKU

    SEORANG juruteknik kilang hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Jasin hari ini atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian pasangan suami-isteri Orang Kurang Upaya (OKU), bulan lepas.

    Amirul Anwar Mohamed Jelani, 24, didakwa memandu sebuah kereta secara melulu dan berbahaya sehingga menyebabkan kematian Ezuddin Mohammad, 50, dan Surayah Muhamat, 46, yang menunggang dan membonceng motosikal ketika itu.

    Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Serkam Pantai-Merlimau di sini pada 7.45 pagi pada 6 Jun lepas dan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 1999).

    Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM50,000.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar menawarkan jaminan RM30,000 dan memohon lesen memandu tertuduh digantung.

    Bagaimanapun peguam Mohd Fadzlullah Ramlee memohon jaminan minimum dikenakan terhadap anak guamnya.

    Mohd Fadzlullah berkata ia memandangkan anak guamnya menetap di Melaka dan telah memberi kerjasama sepanjang siasatan dijalankan selain menjaga ayahnya yang kurang sihat.

    Mahkamah menetapkan jaminan RM12,000 dengan dua orang penjamin serta syarat tambahan, lesen tertuduh digantung dan menetapkan 29 Ogos untuk sebut semula kes.

    — BERNAMA

  • Bekas Komando 69 bebas tuduhan miliki kerambit dan parang, hukuman penjara diketepikan

    Bekas Komando 69 bebas tuduhan miliki kerambit dan parang, hukuman penjara diketepikan

    MAHKAMAH Rayuan Putrajaya  hari ini melepaskan dan membebaskan seorang bekas anggota Komando 69 serta mengetepikan hukuman penjara tujuh tahun dan satu sebatan kerana memiliki kerambit dan parang empat tahun lepas.

    Panel tiga hakim diketuai Datuk Seri Kamaludin Md Said memerintahkan Muhamed Khairul Akmar Mohamed Shahid, 35, dilepas dan dibebaskan atas pertuduhan memiliki senjata berkenaan selepas membenarkan rayuan lelaki itu.

    “Ini adalah keputusan sebulat suara. Mahkamah mendapati, ada keraguan dalam kes ini. Oleh itu, sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen diketepikan. Perayu dilepas dan dibebaskan,” kata Kamaludin yang bersidang bersama-sama Datuk M Gunalan dan Datuk Hashim Hamzah.

    Panel itu membuat keputusan berkenaan selepas mendengar hujahan Timbalan Pendakwa Raya Atiqah Abdul Karim dan peguam Mohamad Naim Kamaruddin yang mewakili perayu (Muhamed Khairul Akmar).

    Di luar mahkamah, Muhamed Khairul Akmar dilihat memeluk seorang ahli keluarganya sambil menangis selepas mahkamah membuat keputusan.

    Pada 13 Jun 2019, Muhamed Khairul Akmar dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ipoh selepas dia didapati bersalah atas pertuduhan itu dan sabitan serta hukuman dikekalkan oleh Mahkamah Tinggi Ipoh pada 14 Dis 2020.

    Mahkamah Tinggi juga membenarkan  permohonannya untuk menggantung pelaksanaan hukuman sementara  rayuan di Mahkamah Rayuan dengan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.

    Mengikut pertuduhan, Muhamed Khairul Akmar didakwa memiliki senjata iaitu kerambit dan parang di dalam beg berwarna hitam dan beg “porche” celoreng miliknya di dalam masjid Kem PGA Ulu Kinta, Perak pada 3 petang, 4 Jun 2018.

    Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Merbahaya 1958 yang membawa hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 10 tahun.

    — BERNAMA

  • Anggota, bekas ketua polis balai dituduh rasuah

    Anggota, bekas ketua polis balai dituduh rasuah

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Dua anggota polis dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini bagi berdepan beberapa pertuduhan rasuah yang didakwa dilakukan enam tahun lalu.

    Kedua-dua tertuduh, Koperal Faudzi Mat Desa, 58 serta Sarjan Mejar Ahmad Ibrahim bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan dihadapi mereka.

    Faudzi yang bertugas di Balai Polis Mahang terlebih dulu dihadapkan dengan empat pertuduhan kerana memperolehi rasuah dengan nilai keseluruhan RM900.

    Sarjan Mejar Ahmad Ibrahim

    Bagi pertuduhan pertama, ketiga dan keempat yang didakwa dilakukan pada 15 April 2016, 8 Jun 2016 dan 11 Mac 2016, tertuduh didakwa telah menerima sebanyak RM250 untuk setiap pertuduhan.

    Bagi pertuduhan kedua yang didakwa dilakukan pada 12 Mei 2016, tertuduh didakwa menerima rasuah sebanyak RM150.

    Wang rasuah untuk pertuduhan pertama, kedua ketiga didakwa diterima di Kedai Makan Serk Heang di Pekan Mahang manakala suapan untuk pertuduhan keempat didakwa diterima di sebuah warung makan tidak bernombor di persimpangan jalan menghala ke Ulu Mahang.

    Selain empat pertuduhan itu, Faudzi turut dituduh dengan niat bersama menerima rasuah dengan Ahmad Ibrahim yang merupakan bekas Ketua Balai Polis Mahang.

    Rasuah berjumlah RM550 itu didakwa diterima di sebuah restoran di Taman Mutiara, Sungai Kob dekat Kulim kira-kira pukul 8.43 malam, 1 Julai 2016.

    Selain itu Ahmad Ibrahim turut didakwa dengan satu lagi pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM300 pada 25 Julai 2016, kira-kira pukul 12.56 petang

    Kesemua suapan itu didakwa diterima mereka dari seorang individu yang kini berusia 53 tahun, sebagai dorongan untuk tidak mengeluarkan saman terhadap lori-lori milik seorang lelaki lain.

    Semua pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Rehab Abdul Shukur mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, CP Ang.

    Hakim, Juraidah Abbas menetapkan kadar jaminan sebanyak RM14,000 untuk semua kes dihadapi Faudzi manakala Ahmad pula dibenarkan diikat jamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin.

    Kes ditetapkan untuk disebut semula pada 1 September 2022.

  • Empat sekeluarga maut: Pemandu treler direman tiga hari

    Empat sekeluarga maut: Pemandu treler direman tiga hari

    PEMANDU treler yang terbabit dalam kemalangan maut membabitkan empat sekeluarga di Kilometer 277.1 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan di Ipoh, petang semalam, direman tiga hari bermula hari ini sehingga Sabtu.

    Perintah reman itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Puteri Nordina Kamalaudin selepas mendapat permohonan polis bagi meneruskan siasatan berhubung kes tersebut.

    Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata pemandu berusia 34 tahun itu mempunyai 13 saman kesalahan trafik sejak 2008 sehingga tahun lepas, termasuk tiga daripada saman tersebut adalah terlibat dalam kemalangan jalan raya.

    “Polis telah menahan pemandu treler dan akan direman hari ini bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan.

    “Bagaimanapun, ujian air kencing yang dijalankan mendapati lelaki tersebut tidak memandu di bawah pengaruh dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mior Faridalathrash berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada 2.45 petang semalam dan hasil siasatan mendapati sebuah  treler tanpa muatan yang dipandu lelaki itu dari arah Taiping menghala ke Bukit Beruntung, Selangor telah merempuh sebuah kereta yang dinaiki empat sekeluarga dari arah belakang.

    “Akibat daripada rempuhan tersebut, treler dan kereta itu telah menggelongsor ke hadapan lalu melanggar lima buah kenderaan lain yang turut mengalami kerosakan teruk namun kesemua pemandu dan penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

    Dalam pada itu, Mior Faridalathrash turut meminta orang ramai yang telah menyaksikan kemalangan tersebut supaya menyalurkan maklumat kepada Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Tarmini Che Hassan di talian 013-5949441 untuk membantu siasatan kes tersebut.

    Mangsa, pesara polis Rahim Ramli, 60, isterinya Siti Petimah Omar, 59, dan dua anak perempuan mereka, Nor Hadirah, 28, dan Nor Hamizah, 27, meninggal dunia di lokasi kejadian.

    — BERNAMA