Category: Mahkamah

  • Dijel setahun, denda RM50,000 miliki telur penyu

    Dijel setahun, denda RM50,000 miliki telur penyu

    MAHKAMAH Sesyen Sandakan hari ini menjatuhkan hukuman penjara setahun dan denda RM50,000 terhadap seorang lelaki warga Filipina atas kesalahan memiliki 1,769 biji telur penyu hijau tanpa izin di Karamunting, Sandakan, minggu lalu.

    Hakim Darmafikri Abu Adam menjatuhkan hukuman itu ke atas Abdu Rasah Amin, 57, selepas tertuduh mengaku bersalah mengikut Seksyen 41(1) Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997 dan dibaca bersama Seksyen 41(4)(a) enakmen sama.

    Darmafikri turut memerintahkan tertuduh dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda tersebut.

    Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Kampung Bokara, Karamunting, pukul 11.50 pagi, 15 Julai lalu.

    Enakmen tersebut memperuntukkan hukuman denda maksimun RM250,000 selain penjara tidak lebih lima tahun, jika sabit kesalahan.

    Pegawai Pendakwa Jabatan Hidupan Liar, Abdul Karim Dakog berkata, spesies penyu hijau atau nama saintifik, ‘Chelonia mydas’, dilindungi sepenuhnya di bawah Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997.

    Mahkamah turut mengarahkan telur penyu dirampas itu diserahkan kepada pihak pendakwaan untuk tindakan lanjut manakala tertuduh, yang tidak diwakili peguam, dirujuk kepada Jabatan Imigresen selepas menjalani hukuman. – Bernama.

  • Syarikat peleburan aluminium mengaku salah, didenda RM36,000

    Syarikat peleburan aluminium mengaku salah, didenda RM36,000

    SEBUAH syarikat peleburan aluminium didenda RM36,000 selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan termasuk membina sistem kawalan pencemaran udara tanpa kebenaran Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling.

    Kesalahan tersebut termasuk melanggar arahan penahanan operasi kelengkapan (POK) yang dilakukan pada September 2021, lapor Harian Metro.

    Hakim Nariman Badruddin memutuskan hukuman itu selepas menimbangkan rayuan syarikat, Trimax Metal Sdn. Bhd. selaku orang kena saman (OKS), hujah Pegawai Pendakwa Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta keseluruhan fakta kes.

    Mengikut pertuduhan pertama, syarikat berkenaan didapati membina sistem kawalan pencemaran udara iaitu masing-masing satu unit Aluminium Separator, Magnetic Separator dan Cooling Section yang digunakan di premis itu bagi mengawal pencemaran udara daripada proses peleburan aluminium aloi sekunder tanpa pemberitahuan kepada Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling (KAS).

    Kesalahan itu dituduh mengikut Peraturan 5 (1) (b) Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014 dan boleh dihukum mengikut Peraturan 29 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.

    Bagi pertuduhan kedua mengikut Seksyen 5 (1) (d) peraturan sama, OKS turut didapati membuat perubahan Alat Pembakaran Bahan Api iaitu satu unit Relau Peleburan Aluminium dan dua Relau Holding yang digunakan bagi peleburan aloi sekunder dan menyebabkan perubahan material dalam kuantiti pengeluaran daripada satu punca sedia ada tanpa pemberitahuan bertulis kepada pihak sama.

    Trimax Metal seterusnya didakwa mengganggu arahan POK mengikut Seksyen 38 (1) (c) Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 (Akta 127) bertarikh 15 Julai 2021 yang dikeluarkan bagi Alat Pembakaran Bahan Api iaitu seunit Relau Peleburan Aluminium dan dua Relau Holding yang digunakan di premis itu.

    Syarikat didapati melakukan kesalahan Seksyen 48AD (b) jika disabitkan boleh didenda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya.

    Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di premis syarikat berkenaan di No 12, Jalan TTC 8, Taman Teknologi Cheng, pada 14 September 2021 antara jam 11 pagi hingga 12.20 tengah hari.

    Mengikut fakta kes, Penolong Jurutera, Mohd. Noor Hakim Ibrahim, Penolong Pegawai Kawalan Kanan Alam Sekitar, Azeni Abd. Rahman dan Pegawai Kawalan, Asmahani Ab. Manan melakukan pemeriksaan di premis pada tarikh kejadian dan mendapati ia beroperasi semula dengan mengganggu POK iaitu menebuk kotak panel suis dan memotong dawai kunci.

    Syarikat itu juga melakukan kesalahan berulang kerana gagal mengemukakan perakuan perisytiharan bertulis bagi sistem kawalan pencemaran udara.

    Pihak pendakwaan yang diwakili Pegawai Pendakwa JAS Nosora Mohd. Jadi memohon hukuman setimpal dikenakan mengambil kira ia kesalahan berulang apabila premis pernah didenda dua kali sebelum ini serta kedegilan OKS yang mengganggu arahan POK.

    Syarikat itu yang diwakili pegawai sumber manusianya, Lee Chew Fong, 42, memohon hukuman denda ringan kerana syarikat sudah menghentikan operasi dan dalam perancangan untuk ditutup sepenuhnya.

    Nariman dalam penghakimannya mengingatkan OKS supaya tidak mengulangi kesalahan dan menjatuhkan hukuman denda RM14,000 bagi pertuduhan pertama atau empat bulan penjara jika gagal membayar dan RM8,000 atau dua bulan penjara bagi pertuduhan ketiga.

  • Pemandu didakwa guna dokumen palsu tuntut RM882,560

    Pemandu didakwa guna dokumen palsu tuntut RM882,560

    SEORANG pemandu kenderaan berat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu hari ini atas tiga pertuduhan menggunakan dokumen palsu dalam tuntutan kos pengangkutan Projek ‘Community Drumming’ berjumlah RM882,560 di Keningau pada 2019.

    Junaidi Juling, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

    Tertuduh didakwa menggunakan dokumen palsu sebagai tulen iaitu Copy of Invoice PSS Keningau 2 di dalam tuntutan bayaran kos pengangkutan Projek Community Drumming di bahagian Keningau untuk menipu bagi menuntut bayaran itu.

    Junaidi didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri Sabah di Keningau antara 1 Oktober hingga 27 November 2019.

    Dia dituduh mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 468 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan didenda, jika sabit kesalahan.

    Abu Bakar membenarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin tempatan selain mengarahkan tertuduh melapor diri sebulan sekali di pejabat SPRM terdekat, dan menetapkan 20 September untuk sebutan semula kes.

    Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Norsham Saharom, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Projek Community Drumming merupakan inisiatif kerajaan bagi menampung kos pengangkutan tujuh barangan keperluan iaitu beras, minyak masak, gula, tepung, diesel, petrol RON95 dan gas LPG supaya penduduk luar bandar dan pedalaman menikmati harga barang yang sama dengan penduduk bandar.

    Sementara itu, di mahkamah sama dua lelaki masing-masing berdepan dengan tiga pertuduhan bersubahat dengan Junaidi melakukan kesalahan tersebut di tempat dan tarikh yang sama.

    Saina Tamin, 47, seorang arkitek dan Mohd Rahmad Ambotou, 33, seorang jurujual didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 471 kanun sama yang boleh dihukum di bawah Seksyen 468 kanun sama iaitu hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

    Abu Bakar membenarkan tertuduh masing-masing diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin tempatan, selain mengarahkan tertuduh melapor diri dua bulan sekali di pejabat SPRM terdekat, dan kemudian menetapkan 20 September depan untuk sebutan semula kes.

    Norsham turut menjalankan pendakwaan kes berkenaan, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam. – Bernama

  • Skandal 1MDB: Permohonan pendakwaan gantung pelaksanaan perintah pemulangan harta ditolak

    Skandal 1MDB: Permohonan pendakwaan gantung pelaksanaan perintah pemulangan harta ditolak

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan pihak pendakwaan bagi menggantung pelaksanaan perintah pemulangan harta yang disita daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, anak mereka dan beberapa individu lain.

    Hakim Mohamed Zaini Mazlan memutuskan demikian selepas mendengar hujahan daripada pihak pendakwaan selaku pemohon dan peguam yang mewakili Najib, Rosmah, Riza Shahriz Abdul Aziz (anak Rosmah), anak mereka Nor Ashman Razak, Senijauhar Sdn Bhd, Aiman Ruslan, Goh Gaik Ewe, Roger Ng Chong Hwa (bekas pegawai bank Goldman Sachs) dan isteri Lim Hwee Bin sebagai responden pertama hingga kesembilan.

    “Saya tidak nampak alasan munasabah berkenaan permohonan ini jadi saya menolak permohonan pendakwaan untuk menggantung pelaksanaan perintah pemulangan harta,” kata hakim itu.

    Pada 8 Nov tahun lepas, Mohamed Zaini memerintahkan barangan termasuk beg tangan pelbagai jenama, 27 kenderaan dan wang tunai pelbagai mata wang yang disita daripada mereka yang didakwa mempunyai kaitan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak dilucut hak kepada Kerajaan Malaysia.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Harris Ong Mohd Jeffery Ong dalam hujahannya berkata pihaknya memohon untuk penangguhan berikutan rayuan terhadap keputusan pelucutakan itu sedang didengar di Mahkamah Rayuan.

    “Mahkamah Rayuan menetapkan tarikh 6 Sept ini sebagai pengurusan kes dan pihak pendakwaan masih menunggu rekod rayuan. Saya mohon mahkamah pertimbangkan…pihak kami telah memfailkan permohonan rayuan dalam tempoh masa, jadi kami masih mempunyai kuasa terhadap barangan yang disita sehingga kes diputuskan di Mahkamah Rayuan,” katanya.

    Bagaimanapun, peguam Datuk Tan Hock Chuan yang mewakili Roger Ng dan isterinya berhujah pihak berkuasa membenarkan akses secara langsung kepada akaun bank milik pasangan itu susulan saman yang difailkan mereka terhadap dua bank berkenaan iaitu Maybank (cawangan Plaza Damansara) dan RHB Bank (cawangan Bangsar Shopping Centre Office Tower).

    Tan berkata beliau juga tidak tahu sekiranya wang di dalam akaun milik anak guamnya masih wujud kerana pihak bank telah membenarkan akses terhadap akaun sejak April lepas.

    “Kami akan menulis kepada Jabatan Peguam Negara untuk tidak meneruskan rayuan terhadap keputusan itu, memandangkan mereka (Jabatan Peguam Negara) yang memberi arahan kepada pihak bank untuk membenarkan akses terhadap akaun anak guam,” katanya.

    Peguam Mardhiyah Siraj dan Azamuddin Aziz, masing-masing mewakili Najib, Riza Shahriz dan Nor Ashman memohon agar mahkamah menolak permohonan untuk menggantung perintah pemulangan harta atas alasan tidak wujud keadaan istimewa yang membenarkan penggantungan itu.

    “Pemohon juga tidak lagi mempunyai kuasa untuk menangguhkan kerana perintah sita selama 12 bulan telah tamat,” katanya.

    Pada 8 Nov 2021, Mahkamah Tinggi menolak permohonan pendakwaan untuk melucut hak harta-harta itu kepada kerajaan dan permohonan penangguhan itu dibuat sementara menunggu rayuan terhadap keputusan itu di Mahkamah Rayuan.

    Dalam keputusan sama, Hakim Mohamed Zaini bagaimanapun membenarkan permohonan kerajaan untuk melucut hak aset daripada lapan responden lain kerana mereka tidak membantah permohonan itu iaitu Mohd Kyizzad Mesran, Yayasan Rakyat 1Malaysia, Yayasan Semesta, Yayasan Mustika Kasih, Rembulan Kembara Sdn Bhd dan tiga bekas pegawai 1MDB yang melarikan diri, Kee Kok Thiam, Tan Vern Tact dan Geh Choh Hun.

    • Bernama
  • Penulis blog Aspan Alias didenda RM4,500 buat komen jelik terhadap Agong

    Penulis blog Aspan Alias didenda RM4,500 buat komen jelik terhadap Agong

    SEORANG penulis blog Aspan Alias didenda RM4,500 oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini kerana membuat dan memulakan penghantaran komen jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong di laman Facebook miliknya, Mei tahun lepas

    Hakim Nor Hasniah Ab Razak menjatuhkan hukuman itu ke atas Aspan, 70, selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah semasa sebutan semula kes itu hari ini.

    Mahkamah turut memerintahkan warga emas itu menjalani hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

    Aspan didakwa memulakan komen jelik melalui Facebook ‘Aspan Alias’ dengan niat untuk menyakiti hati orang lain pada 2.47 petang, 16 Mei 2021.

    Hantaran itu kemudian dibaca di Jabatan Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Tingkat 27, Menara KPJ, Wangsa Maju, di sini pada 9 pagi, 18 Mei 2021.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara yang boleh sampai setahun atau kedua-duanya dan denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Najihah Farhana Che Awang memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh kerana tindakannya tidak mencerminkan kesopanan dan kesusilaan sebagai seorang rakyat Malaysia yang menunjukkan kesetiaan kepada raja dan negara selain melampaui hak kebebasan bersuara di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

    Peguam Nurul Huda Razali merayu hukuman berbentuk denda rendah dengan mengambil kira anak guamnya menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi serta tidak bekerja.

    “Anak guam saya tidak mempunyai niat jahat untuk membuat hantaran yang jelik dan menyakitkan hati orang lain. Dia juga telah menyesal dengan kekhilafan tersebut,” katanya. -Bernama

  • Syed Saddiq sekali lagi mohon cabar kredibiliti saksi utama

    Syed Saddiq sekali lagi mohon cabar kredibiliti saksi utama

    SYED Saddiq Syed Abdul Rahman yang berdepan dengan tuduhan pecah amanah jenayah (CBT) dan pengubahan wang haram, sekali lagi memohon bagi mencabar kredibiliti seorang saksi utama susulan terdapat beberapa percanggahan dalam keterangan yang direkod oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan keterangan lisannya di mahkamah.

    Ini merupakan percubaan kali kedua oleh pihak pembelaan untuk mendapatkan kebenaran memulakan prosiding bagi mencabar kredibiliti Rafiq Hakim Razali, bekas penolong bendahari Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), selepas Mahkamah Tinggi pada 18 Julai, menolak permohonan Ahli Parlimen Muar untuk mencabar saksi pendakwaan ke-13 itu berikutan percanggahan dalam kenyataan saksi dan keterangan lisannya di mahkamah berhubung prosedur pengeluaran RM1 juta daripada akaun bank Armada.

    Peguam Syed Saddiq, Gobind Singh Deo berhujah terdapat percanggahan dalam keterangan lisan Rafiq Hakim di mahkamah dengan keterangan yang direkod sebelum ini oleh SPRM mengikut Seksyen 30 Akta SPRM 2009.

    “Percanggahan itu merujuk kepada masa dan tempat arahan yang didakwa diberikan oleh Syed Saddiq kepada Rafiq Hakim dan Ahmad Redzuan Mohamed Shafi, yang merupakan penolong setiausaha Armada, untuk mengeluarkan RM1 juta dan tujuan acara kutipan dana di Muar serta wang yang diperoleh daripadanya,” kata peguam itu.

    Katanya saksi itu menerusi keterangan lisannya di mahkamah memberitahu arahan untuk mengeluarkan RM1 juta oleh Syed Saddiq dibuat selepas Langkah Sheraton, pada perjumpaan di rumah tertuduh.

    “Bagaimanapun menerusi kenyataan kepada SPRM saksi berkata arahan untuk pengeluaran RM1 juta itu dibuat menerusi panggilan telefon pada awal Mac 2020,” katanya.

    Gobind turut berhujah bahawa terdapat percanggahan pada keterangan lisan Rafiq Hakim di mahkamah, apabila saksi tidak bersetuju bahawa wang dalam akaun Armada Bumi Bersatu Enterprise (ABBE) adalah hasil dana kutipan orang ramai oleh Syed Saddiq sendiri untuk berkempen di Muar.

    Bagaimanapun peguam itu berkata menerusi kenyataan kepada SPRM, Rafiq Hakim mengesahkan bahawa sumber kewangan ABBE adalah hasil sumbangan orang ramai sepenuhnya iaitu melalui Majlis Makan Malam di Muar dan Majlis Makan di De Palma Hotel.

    “Tujuan majlis makan ini diadakan untuk mendapatkan dana bagi Syed Saddiq sendiri iaitu berkempen di Muar,” katanya yang turut memohon dibekalkan dengan keterangan saksi yang dirakam oleh SPRM.

    Sementara itu Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berhujah permohonan pembelaan adalah satu penyalahgunaan proses mahkamah kerana mereka sebenarnya cuba untuk mendapatkan kenyataan direkodkan SPRM, bukan bertujuan untuk mencabar kredibiliti saksi tetapi untuk melihat keseluruhan kandungan kenyataan itu.

    “Sekarang ini pihak pembelaan melakukan percubaan kali kedua mengikut pintu belakang untuk memulakan prosiding mencabar kredibiliti saksi berkenaan,” katanya.

    Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid menetapkan 25 Julai untuk mengumumkan keputusannya.

    Syed Saddiq, 29, didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali iaitu Penolong Bendahari Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di Kuala Lumpur pada 6 Mac 2020.

    Bagi pertuduhan kedua, Syed Saddiq didakwa menyalahguna RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise untuk diri sendiri dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di Kuala Lumpur antara 8 dan 21 April 2018.

    Beliau juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang dipercayai merupakan hasil aktiviti haram, di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018. – Bernama

  • Peniaga didakwa bunuh ahli perniagaan

    Peniaga didakwa bunuh ahli perniagaan

    SEORANG peniaga didakwa di Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan membunuh seorang ahli perniagaan yang ditemukan terbaring berlumuran darah berhampiran keretanya yang diletakkan di luar kawasan perumahan, minggu lalu.

    M. Partibekumaran, 37, didakwa bersama-sama dengan seorang lagi yang masih bebas membunuh Goh Chok Chuan, 63, di kawasan tempat letak kereta berhampiran pondok pengawal Amarin Kiara, antara pukul 11.40 hingga 11.55 malam, 11 Julai lalu.

    Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

    Tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Wong Chai Sia kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

    Kes itu dikendalikan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Nom Phot Prackdit manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Mahkamah menetapkan 29 September ini untuk sebutan semula kes.

    Semalam, dua pengawal keselamatan yang difahamkan kenalan kepada tertuduh didakwa di hadapan majistret sama bagi pertuduhan yang sama.

    Pada 12 Julai lalu, media melaporkan Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Amihizam Abdul Syukor dalam kenyataan berkata saksi kejadian mendengar tiga das tembakan dilepaskan sebelum menemukan mayat mangsa.

    Beliau berkata lelaki berkenaan dikatakan bermain mahjung di rumah rakannya di Amarin Kiara dan dilapor ditembak berdekatan keretanya yang diparkir berhampiran pondok pengawal di luar kawasan perumahan itu.

  • 4 remaja mengaku tidak bersalah rogol berkumpulan

    4 remaja mengaku tidak bersalah rogol berkumpulan

    EMPAT remaja mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka, hari ini, atas pertuduhan merogol secara berkumpulan terhadap pelajar tingkatan 5 pada Ahad lalu.

    Tertuduh, Khairul Asnawi Rusri, 19, Muhammad Firdaus Noor Apande, 18, dan dua remaja berusia 17 dan 16 tahun membuat pengakuan itu dan meminta dibicarakan pada prosiding didengar Hakim Nariman Badruddin, lapor Harian Metro.

    Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama merogol mangsa berusia 17 tahun di Lapangan Terbang Sungai Rambai Aerodrome, Jasin, kira-kira 4 pagi, 17 Julai lalu.

    Mereka dituduh mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan maksimum 30 tahun jika disabitkan kesalahan.

    Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Bahiyah Amir Haidi tidak menawarkan jaminan namun, peguam Chua Yong Yi merayu semua tertuduh diberi jaminan.

    Peguam memohon jaminan rendah atas alasan Khairul Asnawi adalah pelajar kolej vokasional di Segamat, Johor, manakala Muhammad Firdaus serta juvana 17 tahun tidak bekerja dan penama 16 tahun adalah pelajar tingkatan 4.

    Sementara itu, Khairul Asnawi turut didakwa atas pertuduhan berasingan melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa sama di tempat, masa dan pada tarikh sama.

    Bagai kesalahan itu dia dituduh mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan sebat.

    Mahkamah membenarkan penama berusia 16 tahun diikat jamin RM5,000, manakala Muhammad Firdaus dan remaja 17 tahun sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin masing-masing.

    Khairul Asnawi pula dikenakan ikat jamin RM14,000 bagi dua pertuduhan dan semua tertuduh turut dikenakan syarat tambahan tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan dalam apa juga cara.

    Kes ditetapkan untuk sebutan pada 16 Ogos depan untuk serahan dokumen.

  • Pemilik kelab komedi dituduh buat hantaran sentuh sensitiviti kaum

    Pemilik kelab komedi dituduh buat hantaran sentuh sensitiviti kaum

    SEORANG pemilik kelab komedi didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini, atas tiga pertuduhan membuat dan memulakan hantaran video yang menyentuh sensitiviti kaum dalam aplikasi Facebook, Instagram dan TikTok.

    Bagaimanapun, Mohamad Rizal Johan Van Geyzel, 39, yang memakai kemeja berwarna putih dan berseluar biru muda, selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Nor Hasniah Ab Razak.

    Mengikut ketiga-tiga pertuduhan, lelaki itu didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui aplikasi Facebook menggunakan nama profil ‘Rizal van Geyzel, Instagram ‘rizalvangeyzel’ dan TikTok ‘rizalvangeyzel’, antara 4 hingga 6 Julai 2022.

    Ketiga-tiga hantaran itu dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Tingkat 27, Menara KPJ di Kuala Lumpur, pada 1.17 tengah hari, 13 Julai lepas.

    Ketiga-tiga pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 233(1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan, jika disabitkan kesalahan.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noor Haslinda Che Seman berkata pihaknya menawarkan RM30,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan ke atas OKS sekiranya mahkamah membenarkan jaminan, memandangkan kes berkenaan menyentuh sensitiviti perkauman.

    “Pihak kami juga memohon syarat tambahan iaitu OKS perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak boleh komen serta membuat sebarang hantaran di mana-mana media sosial sepanjang kes ini berjalan,” katanya.

    Peguam Ramkarpal Singh yang mewakili Mohamad Rizal memohon jaminan RM2,000 bagi setiap pertuduhan kerana anak guamnya perlu menyara tiga anak yang seorang daripadanya mengalami disleksia selain bapanya yang berumur 74 tahun menghidap penyakit kanser.

    “Anak guam saya juga telah memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis sepanjang siasatan dan tiada sebab untuknya melarikan diri. Jadi dalam keadaan ini, saya memohon jaminan RM2,000 bagi setiap pertuduhan,” katanya.

    Mahkamah kemudian membenarkan OKS diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan selain OKS perlu menyerahkan pasport di mahkamah serta tidak membuat hantaran atau komen di mana-mana media sosial berkenaan kes itu selain menetapkan 19 Ogos untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

    Lelaki berkenaan membayar jaminan itu.

    Media sebelum ini melaporkan, Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata lelaki itu ditahan di sekitar Lembah Klang oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas kerana disyaki menyentuh sensitiviti dan berbaur perkauman semasa membuat persembahan di sebuah kelab komedi di ibu kota, di sini, seperti tular melalui dua klip video. – BERNAMA

  • Jangan melampaui batas komen kes Syed Saddiq – Hakim

    Jangan melampaui batas komen kes Syed Saddiq – Hakim

    PESURUHJAYA Kehakiman (JC), Datuk Azhar Abdul Hamid, yang mendengar perbicaraan kes Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang berdepan empat pertuduhan berkaitan pecah amanah serta pengubahan wang haram, hari ini mengingatkan orang awam supaya tidak melampaui batas dalam membuat sebarang kenyataan di media sosial berhubung kes itu.

    Azhar bagaimanapun berkata, mahkamah tidak boleh menghalang orang awam daripada membuat sebarang komen kerana mereka mempunyai hak bersuara yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan.

    “Tetapi ia adalah peringatan yang baik. Komen mesti dalam parameter yang dibenarkan dan jangan keterlaluan,” katanya sambil menambah media bebas untuk melaporkan apa yang berlaku di mahkamah.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin membangkitkan aduan berhubung tindakan seorang individu bernama Farhan yang membocorkan transkrip rakaman audio, yang belum ditandakan sebagai eksibit mahkamah dengan membuat hantaran mengenai transkrip itu di akaun Twitter atas nama Farhan.

    Rakaman audio itu didakwa mengandungi perbualan antara Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dengan pegawai kanan SPRM, Mohd Ihsan Sapuan yang memujuk ahli politik itu supaya menyokong kerajaan di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Rakaman audio itu dimainkan semasa Pegawai Penyiasat SPRM, Mohd Syahmeizy Sulong, 37, memberi keterangannya di mahkamah semalam dan saksi pendakwaan itu akan menyambung keterangannya hari ini.

    Wan Shaharuddin turut mempersoalkan bagaimana transkrip rakaman audio itu tersebar kepada pihak media, yang kemudiannya disiarkan oleh Astro Awani dan Sinar Harian memandangkan ia hanya diberikan kepada pihak mahkamah terdiri daripada hakim, jurubahasa, pendakwaan dan pembelaan.

    “Saya boleh sahkan ini bukan perbuatan dua rakan saya (merujuk kepada timbalan pendakwa raya lain).

    “Mereka tidak akan melakukan perkara begini (bocor transkrip kepada media). Pendakwaan mohon mahkamah memanggil editor Astro Awani dan Sinar Harian bagi memberi penjelasan bagaimana transkrip itu diperoleh,” katanya yang turut memaklumkan kedua-dua agensi media itu tidak membuat liputan semasa rakaman audio itu dimainkan semalam.

    Mengenai individu bernama Farhan, Wan Shaharuddin berkata, lelaki itu berada di mahkamah hari ini dan pihak pendakwaan memohon beliau memberi penjelasan kepada mahkamah bagaimana transkrip rakaman audio itu diperolehnya.

    “Seperti yang saya katakan semalam, masih belum ditentukan keaslian pemilik suara dalam rakaman audio itu adalah Ehsan dan Syed Saddiq. Kita semua sudah dewasa, tetapi ini kerja budak mentah yang tidak cukup empuk lagi nasinya.

    “Perbuatan pemilik Twitter ini jelas sub judice kerana dia membuat dapatan tentang kes yang masih dibicarakan. Dia jadi pendakwaan, dia jadi pembelaan dan jadi hakim dalam kes ini,” katanya dan menambah satu laporan polis telah dibuat awal pagi tadi berhubung perkara itu.

    Sementara itu, Gobind Singh Deo yang mewakili Syed Saddiq tidak bersetuju dengan tuduhan pendakwaan transkrip itu dibocorkan kerana rakaman audio itu dimainkan semalam di mahkamah dan pihak media mempunyai kebebasan untuk melaporkannya.

    “Saya tidak setuju transkrip ini dibocorkan kerana ia dibaca di mahkamah dan soalan ditanya adalah verbatim. Media dengar dan laporkan. Pihak media hanya menjalankan tugas dan buat apa yang berlaku di mahkamah. Ini tidak adil dan dalam hal ini Farhan mewakili orang awam,” katanya yang turut memaklumkan mahkamah tidak mengeluarkan larangan kepada orang awam dan media supaya tidak menyiarkannya.

    Sementara itu, seorang lagi peguam yang mewakili Syed Saddiq, Datuk S. Ambiga turut meluahkan rasa tidak puas hati dengan isu yang dibangkitkan oleh pihak pendakwaan yang disifatkan cuba membuli orang awam dengan membuat laporan polis berkaitan isu yang menyentuh integritinya.

    Perbicaraan di hadapan Azhar bersambung. – BERNAMA