Category: Mahkamah

  • Peter Anthony berjaya gantung hukuman, sabitan guna dokumen palsu

    Peter Anthony berjaya gantung hukuman, sabitan guna dokumen palsu

    MAHKAMAH Sesyen di Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony bagi menggantung hukuman dan sabitan salah terhadapnya atas kesalahan menggunakan dokumen palsu.

    Hakim Azura Alwi membuat keputusan itu selepas mempertimbangkan afidavit, hujahan bertulis dan hujahan lisan yang dikemukakan pihak pembelaan dan pendakwaan pada prosiding sebelum ini.

    “Mahkamah berpuas hati dan memutuskan agar permohonan pihak pembelaan supaya suatu penggantungan pelaksanaan hukuman dan sabitan terhadap pemohon dalam kes ini adalah dibenarkan, berdasarkan alasan-alasan yang telah dinyatakan,” katanya yang turut memerintahkan wang jaminan terhadap Peter, 51, dinaikkan daripada RM50,000 kepada RM80,000.

    Azura juga membenarkan permohonan peguam S. Devanandan yang mewakili Peter untuk menyelesaikan pembayaran baki jumlah jaminan sebanyak RM30,000 sebelum atau pada 3 Ogos depan memandangkan penjamin ahli politik itu tidak hadir pada prosiding hari ini.

    Pada 28 Julai lepas, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin ketika membantah permohonan itu berhujah permohonan pihak pembelaan supaya Hakim Mahkamah Sesyen membenarkan tertuduh (Peter) diberikan suatu penggantungan pelaksanaan sabitan hanya boleh dibenarkan sekiranya terdapat ‘clerical error’ atau kesilapan seperti dinyatakan dalam Seksyen 278 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ).

    “Jelas sekali tidak terdapat sebarang ‘clerical error’ dan oleh yang demikian permohonan pihak pembelaan supaya Peter diberikan suatu penggantungan pelaksanaan sabitan adalah tidak berasas pada peringkat ini,” katanya.

    Sementara itu, Devanandan pula berhujah permohonan anak guamnya untuk menggantung pelaksanaan sabitan dibuat atas alasan yang sama seperti dalam dalam kes Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dengan alasan terdapat keadaan istimewa mengikut Seksyen 311 KTJ.

    Peguam itu berkata rayuan Peter yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap terhadap sabitan dan hukuman bermerit dan mempunyai peluang yang tinggi untuk berjaya.

    “Jika permohonan ini tidak dibenarkan, pemohon yang juga Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) yang merupakan sebuah parti politik di Sabah tidak boleh bertanding pada PRU15 yang bakal diadakan.

    “Kita tidak tahu bila Parlimen akan dibubarkan. Jika tidak dibenarkan, pemohon akan hilang kelayakan untuk bertanding dan ia menyebabkan prejudis kepadanya. Oleh itu, sabitan ini perlu digantung sementara untuk membolehkan beliau bertanding,” katanya.

    Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Haresh Prakash Somiah ketika ditemui berkata Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 19 Sept ini sebagai tarikh pengurusan kes seterusnya bagi rayuan Peter untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen pada 26 Mei lepas.

    Pada 26 Mei lepas, Azura menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000 atau penjara 15 bulan terhadap Peter selepas didapati bersalah memalsukan surat berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan sistem Sistem Mekanikal dan Elektrik (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 2014. – Bernama

  • Daftar anak mualaf tanpa kebenaran: Wanita dibenar cabar bekas suami

    Daftar anak mualaf tanpa kebenaran: Wanita dibenar cabar bekas suami

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh ibu tunggal, Loh Siew Hong, bagi mencabar tindakan bekas suaminya mendaftarkan tiga anak mereka sebagai mualaf tanpa kebenarannya.

     Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, semasa membenarkan permohonan itu berkata permohonan Loh mempunyai merit untuk didengar.

    “Permohonan ini bukan remeh, tetapi kes yang boleh dipertikaikan. Pemohon juga tidak kehabisan masa apabila memfailkan semakan kehakiman.

    “Pertama sekali, permohonan itu tidak dibantah oleh Peguam Negara. Berdasarkan alasan tersebut, kebenaran diberikan tanpa perintah kos,” kata hakim itu melalui prosiding dalam talian.

    Ketiga-tiga anaknya telah didaftarkan sebagai muslim oleh bekas suami Loh yang memeluk Islam, M. Nagahswaran tanpa persetujuannya pada 7 Julai 2020.

    Bagi saman yang difailkan melalui permohonan semakan kehakiman, kebenaran perlu diperoleh terlebih dahulu daripada mahkamah sebelum saman boleh didengar.

    Permohonan itu difailkan pada 25 Mac 2022 dengan Pendaftar Mualaf Negeri Perlis, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan kerajaan negeri Perlis dinamakan sebagai responden pertama hingga keempat.

    Keempat-empat responden itu, pada 17 Mei lepas, membantah permohonan Loh atas alasan wanita tersebut sepatutnya memfailkan permohonan berkenaan dalam tempoh 90 hari selepas anak-anaknya memeluk Islam pada 7 Julai 2020.

    Peguam A. Srimurugan mewakili Loh, Mohamed Hanif Khatri Abdulla mewakili MAIPs, manakala Peguam Kanan Persekutuan Ainun Wardah Shahidan mewakili Pendaftar Mualaf Negeri Perlis, Mufti Perlis Mohd Asri dan kerajaan negeri.

    Ibu tunggal itu memohon pengisytiharan bahawa ketiga-tiga anaknya beragama Hindu dan bekas suaminya tidak mempunyai kapasiti undang-undang untuk membenarkan Pendaftar Mualaf Negeri Perlis mendaftarkan anak-anak sebagai mualaf tanpa persetujuannya.

    Wanita itu juga memohon pengisytiharan bahawa ketiga-tiga anaknya tidak mempunyai kapasiti undang-undang untuk memeluk Islam tanpa kebenarannya.

    Beliau juga memohon perintah certiorari untuk membatalkan deklarasi memeluk Islam, bertarikh 7 Julai 2020, yang dikeluarkan oleh Pendaftar Mualaf Perlis atas nama tiga anaknya, dan juga kad lain mengenai penukaran agama kepada Islam yang telah dikeluarkan oleh pihak lain, dan juga menghalang mana-mana pihak daripada mengeluarkan kad tersebut.

    Loh turut memohon perintah mandamus supaya Pendaftar Mualaf Negeri Perlis memadam atau membatalkan nama tiga anaknya atau nama Islam mereka dalam Daftar Mualaf Negeri Perlis dan perintah menghalang Mohd Asri, melalui pegawai, pekerja atau Jabatan Mufti Negeri Perlis daripada mengeluarkan kenyataan yang boleh membawa makna anak-anaknya mualaf atau beragama Islam.

    Selain itu, beliau memohon pengisytiharan bahawa Seksyen 117 (b) Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2006, yang memberi kuasa kepada Pendaftar Mualaf Perlis untuk mendaftarkan anak sebagai mualaf hanya dengan persetujuan ibu atau bapa kanak-kanak itu walaupun kedua-duanya masih hidup, adalah tidak berperlembagaan dan tidak sah.

    Ketiga-tiga anaknya itu, yang ketika itu berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat, diserahkan kepada Loh pada 21 Feb lepas selepas Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan habeas corpusnya.- BERNAMA

  • Sembilan didakwa tawar pinjaman tidak wujud

    Sembilan didakwa tawar pinjaman tidak wujud

    SEMBILAN Individu termasuk seorang remaja perempuan bawah umur mengaku salah di Mahkamah Majistret Batu Pahat hari ini, atas tuduhan menawarkan pinjaman tidak wujud bulan lalu.

    Tertuduh, Muhamad Muslim Hamidi, 24; Muhammad Qamarul Jafree, 25; Wong Jong Sin, 23; Mohamad Shahrul Affendy Kamarulzaman, 24; Tan Jun Fatt, 18; Siti Nur Fadilah Abdul Rahman, 19; Huda Nadiela Hashim, 19; Muhammad Zulfaizzat Zakaria, 30, dan remaja terbabit membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Majistret Nurasidah A. Rahman.

    Mengikut pertuduhan, kesemua mereka didakwa bersama-sama sebagai satu pakatan dengan melakukan perbuatan salah di sisi undang-undang iaitu menawarkan pinjaman tidak wujud, lapor Sinar Harian.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di Taman Sentosa Batu Pahat antara 1 hingga 17 Julai lalu.

    Bagi kesalahan berkenaan, mereka didakwa mengikut Seksyen 120B (2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda atau kedua-duanya.

    Pendakwaan dikendalikan, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Khalijah Khalid manakala kesemua tertuduh diwakili peguam, Hooi Tsae Yun.

    Sebelum itu, Tsae Yun berkata, kesemua anak guamnya mengaku bersalah dan insaf atas perbuatan mereka selain tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

    Susulan itu, beliau meminta mahkamah mengenakan denda minimum bagi menjimatkan masa dan kos mahkamah.

  • Penganggur didakwa bakar remaja

    Penganggur didakwa bakar remaja

    SEROANG penganggur didakwa bersalah di Mahkamah Sesyen Kemaman hari ini atas tuduhan mencederakan seorang remaja lelaki sehingga melecur pada bulan lepas.

    Tertuduh, Shaikh Hilman Hakim Shaikh Anuar, 28, yang memakai baju lokap berwarna ungu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Wan Suhaila Mohd.

    Mengikut pertuduhan, Shaikh Hilman didakwa menyebabkan cedera parah ke atas Muhammad Fiqrie Adam Abdullah, 15, menggunakan api pada 3 pagi, 22 Julai lalu di Kampung Perasing Jaya di Jabor dekat Kemaman, lapor Sinar Harian.

    Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan denda atau boleh dikenakan sebat jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurhanisah S H Sahul Hamid manakala tertuduh diwakili peguam, Nurul Farhana Shamsudin.

    Pada prosiding tersebut, Nurul Farhana turut memohon agar mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin berikutan isterinya yang sarat mengandung sedang menunggu masa untuk bersalin.

    Wan Suhaila kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin.

    Mahkamah turut menetapkan syarat agar tertuduh perlu melaporkan diri ke balai polis berhampiran mengikut tarikh ditetapkan selain tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

  • Jururawat didakwa bunuh bayi sendiri

    Jururawat didakwa bunuh bayi sendiri

    SEORANG jururawat didakwa di Mahkamah Majistret di Sungai Siput, hari ini, atas tuduhan membunuh bayi kandungnya yang berusia lapan bulan, minggu lepas.

    Tertuduh, T Rebekal, 30 tahun, mengangguk faham apabila pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nurul Asyifa Redzuan.

    Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana ia melibatkan kes bunuh lapor Astro Awani.

    Mengikut kertas pertuduhan, ibu tunggal yang bekerja di sebuah hospital swasta itu didakwa membunuh J. S. Melvin Jeshuran di sebuah rumah di Fasa 2A, Kampung Muhibbah, Sungai Siput (utara) kira-kira jam 6 petang, 24 Julai lalu.

    Dia didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

  • Lelaki didakwa tendang muka isteri

    Lelaki didakwa tendang muka isteri

    SEORANG lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Melaka, hari ini terhadap pertuduhan menendang muka isterinya awal bulan ini.

    Tertuduh, Danial Dallas Abdullah, 41, membuat tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah terhadapnya di hadapan Majistret Nabiha Mohd. Noor.

    Difahamkan tertuduh bertindak mencederakan isteri selepas mendakwa mangsa yang bekerja di sebuah kedai makan bersikap curang.

    Mengikut kertas pertuduhan, bapa kepada dua cahaya mata itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap isterinya, Norazlinda Ali, 41, dengan cara menendang muka mangsa.

    Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 8 malam di sebuah rumah di Taman Kesidang, pada 4 Julai lalu.

    Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 326A Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM2,000.

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ehsan Nasarudin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Muhamad Ehsan mencadangkan jaminan sebanyak RM5,000 dikenakan terhadap tertuduh.

    Bagaimanapun, tertuduh memohon jaminan rendah kerana hanya memperoleh pendapatan kira-kira RM1,200 sebulan selain menyara dua anak.

    Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 September depan tarikh sebutan semula kes.

  • Empat lelaki didakwa rogol remaja bawah umur

    Empat lelaki didakwa rogol remaja bawah umur

    EMPAT lelaki didakwa atas tuduhan merogol seorang remaja perempuan bawah umur di Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini.

    Muhammad Azeem Abdul Rahman, 20, Mohamad Ariff Haikal Arapin, 21, dan seorang lelaki berusia 17 tahun 10 bulan didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah tidak bernombor di Taman Dovenby Sungai Siput, antara pukul 1 pagi hingga 2 pagi pada 14 Julai lalu.

    Sinar Harian melaporkan, pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 375B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara 10 tahun hingga 30 tahun jika sabit kesalahan.

    Seorang lagi tertuduh, Afiq Yan Muhammad Farid Yan, 20, didakwa di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara 10 tahun hingga 30 tahun dan dengan sebatan jika sabit kesalahan.

    Berdasarkan pertuduhan, dia melakukan perbuatan itu dengan remaja perempuan yang sama di dalam bilik sebuah rumah di Jalan Felda Lasah, Kampung Pulau Mentimun, Sungai Siput, antara pukul 1 pagi hingga 2 pagi pada 17 Julai lalu.

    Bagaimanapun kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah atas tuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Asmaniza Muhamad manakala tertuduh diwakili peguam Navin Punj, Mahajoth Singh dan S Sundarajan.

    Ainul Shahrin menetapkan sebutan semula kes pada 2 September depan di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar.

    Mahkamah membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000, RM8,000 dan RM10,000 dengan seorang penjamin.

    Pada 22 Julai lalu, media melaporkan Polis Perak menahan enam lelaki termasuk remaja selepas disyaki merogol seorang pelajar perempuan dalam kejadian di sini pada 16 Julai.

    Kesemua mereka yang berusia lingkungan 16 hingga 21 tahun itu ditahan sekitar Ipoh pada Rabu selepas ibu mangsa membuat laporan polis.

  • Mawar Karim berjaya ketepi penghakiman ingkar terhadapnya

    Mawar Karim berjaya ketepi penghakiman ingkar terhadapnya

    USAHAWAN Mawar Abdul Karim hari ini berjaya dalam permohonannya untuk mengetepikan penghakiman ingkar diperoleh ahli perniagaan Nabil Mat Jahya supaya wanita itu membayar balik pinjaman persahabatan berjumlah RM720,000 selepas gagal memasukkan kehadiran dalam saman berkenaan.

    Nabil yang menyaman Mawar menuntut wang berjumlah RM720,000 yang diberikan kepada wanita itu, selaras dengan Perjanjian Pinjaman Persahabatan yang dipersetujui dan ditandatangani oleh mereka.

    Peguam Datuk Mohd Imran Tamrin yang mewakili Mawar berkata pada prosiding hari ini di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Effandi Nazila Abdullah secara dalam talian, hakim itu membenarkan permohonan defendan (Mawar) untuk mengetepikan penghakiman ingkar itu.

    “Lanjutan daripada keputusan itu, Mawar akan memfailkan pernyataan pembelaan dan tuntutan balas terhadap pihak yang dinamakan dalam kes ini dalam masa 14 hari bermula hari ini,” kata Mohd Imran ketika dihubungi.

    Perkara itu turut disahkan peguam Nik Zarith Nik Moustpha yang mewakili Nabil.

    Pada 11 Jan lepas, Nabil selaku plaintif diberi kebenaran oleh mahkamah untuk mendapatkan penghakiman ingkar terhadap Mawar, selepas beliau gagal memasukkan kehadiran dalam saman yang difailkan plaintif.

    Sementara itu, Mawar dalam afidavit sokongan untuk mengetepikan penghakiman ingkar itu berkata beliau tidak pernah sama sekali menerima salinan termeterai penghakiman ingkar itu daripada plaintif atau peguamnya, pada setiap masa yang material sehingga notis pelantikan peguam bertarikh 14 April lepas difailkan oleh peguamnya.

    Dalam saman difailkan pada Disember 2021, Nabil mendakwa dalam perjanjian itu defendan antaranya perlu membayar semula RM100,000 sebelum atau pada setiap 1 haribulan selama enam bulan berturut-turut bermula 1 Jun 2021, manakala bagi bulan terakhir iaitu bulan ketujuh, Mawar hendaklah membayar RM120,000 sebagai bayaran terakhir terhadap pinjaman wang tersebut.

    “Bagaimanapun, sehingga ke tarikh pemfailan writ dan pernyataan tuntutan ini, defendan gagal untuk membayar balik keseluruhan pinjaman itu seperti yang termaktub di dalam perjanjian tersebut, walaupun beberapa kali dituntut dan diminta oleh saya atau wakil saya,” kata Nabil dalam pernyataan tuntutannya.–Bernama

  • Mahkamah Persekutuan tolak permohonan Najib tangguh rayuan SRC

    Mahkamah Persekutuan tolak permohonan Najib tangguh rayuan SRC

    MAHKAMAH Persekutuan menolak permohonan pasukan pembelaan Datuk Seri Najib Razak untuk menangguhkan pendengaran bagi rayuan kes rasuah SRC International yang dijadual bulan depan.

    Sehubungan itu rayuan berkenaan akan didengar selama 10 hari mulai 15 Ogos di Mahkamah Persekutuan seperti yang dijadualkan sebelum ini.

    Timbalan Pendakwa Raya Ashrof Adrin Kamarul memaklumkan perkara itu kepada pemberita selepas pengurusan kes di Mahkamah Persekutuan hari ini.

    Selasa lalu, peguam yang baru dilantik Najib diketuai Hisyam Teh Poh Teik memohon penangguhan berkenaan memandangkan pasukan itu baru dilantik.

    Pasukan peguam yang baru menggantikan pasukan peguam terdahulu yang diketuai Muhammad Shafee Abdullah bagi kes rayuan berkenaan.

    Najib yang juga bekas Nenteri Kewangan berusaha untuk membatalkan sabitan bersalah atas tujuh pertuduhan salah guna kuasa, jenayah pecah amanah (CBT) dan pengubahan wang haram membabitkan RM42 juta dana SRC, serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

    Malaysiakini melaporkan, Ashrof Adrib mengesahkan keputusan Mahkamah Persekutuan tidak membenarkan permohonan penangguhan itu semasa pengurusan kes di hadapan Pendaftar Mahkamah Persekutuan Wan Fatimah dan Siti Hajar Mustaffa.

    “Hari ini pengurusan kes bagi permohonan bukti baru yang difailkan peguam terdahulu (bagi Najib, iaitu peguam dari Shafee & Co). Kemudian pindaan kepada usul tersebut untuk mendapatkan bukti baru.

    “Kemudian isu pertukaran peguam (melibatkan pasukan peguam diketuai Hisyam) untuk rayuan utama.

    “Mahkamah (persekutuan) telah memaklumkan bahawa tarikh pendengaran yang ditetapkan pada 15 hingga 26 Ogos 2022 dikekalkan, dan arahan untuk mematuhi perlu dipatuhi,” kata DPP, sambil menambah pendengaran akan dijalankan secara fizikal di mahkamah terbuka.

    Usul untuk mendapatkan bukti baru merujuk kepada permohonan Najib untuk mengemukakan bukti tambahan bagi membatalkan sabitan bersalah terhadapnya dalam kes SRC, berhubung dakwaan bahawa Hakim perbicaraan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali mempunyai konflik kepentingan.

    Ashrof berkata, Mahkamah Persekutuan menetapkan 15 Ogos untuk mendengar permohonan bukti baru Najib.

    Semasa pengurusan kes yang diadakan melalui aplikasi zoom, pihak pendakwaan turut diwakili oleh DPP V Sithambaram.

    Najib diwakili oleh Hisyam serta peguam Liew Teck Huat dan Rueben Mathiavaranam.

    Turut hadir ialah Shafee, yang sebelum ini merupakan peguam bela Najib dalam rayuan itu.

  • Remaja perempuan didakwa subahat dengan perogol

    Remaja perempuan didakwa subahat dengan perogol

    SEORANG remaja perempuan berusia 16 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Kangsar hari ini atas dua pertuduhan bersubahat dengan empat lelaki sehingga menyebabkan rakannya yang merupakan remaja perempuan bawah umur dirogol.

    Sinar Harian melaporkan, mengikut pertuduhan, remaja terbabit didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah tidak bernombor di Taman Dovenby Sungai Siput, antara pukul 1 pagi hingga 2 pagi pada 14 Julai lalu.

    Tertuduh didakwa bersubahat dengan Noor Danial Hamizan Mohd. Noor, 18, Muhammad Azeem Abdul Rahman, 20, dan Mohamad Ariff Haikal Arapin, 21, dengan cara membenarkan serta menyebabkan seorang remaja berusia 15 tahun 11 bulan dirogol.

    Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 375B Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 108 kanun sama yang membawa hukuman penjara antara 10 tahun hingga 30 tahun, jika sabit kesalahan.

    Selain itu, tertuduh turut didakwa bersubahat dengan Afiq Yan Muhammad Farid Yan, 20, atas kesalahan sama di dalam bilik sebuah rumah di Jalan Felda Lasah, Kampung Pulau Mentimun, Sungai Siput, antara pukul 1 pagi hingga 2 pagi pada 17 Julai lalu.

    Bagi pertuduhan berkenaan, dia didakwa di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama yang membawa hukuman penjara antara 10 tahun hingga 30 tahun dan dengan sebatan jika sabit kesalahan.

    Bagaimanapun tertuduh mengaku tidak bersalah selepas tuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nurul Asyifa Redzuan.

    Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 untuk setiap pertuduhan di samping syarat tambahan iaitu tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan melaporkan diri di balai polis berhampiran sekali setiap sebulan.