Category: Mahkamah

  • Rosmah fail permohonan batal kelayakan hakim

    Rosmah fail permohonan batal kelayakan hakim

    DATIN Seri Rosmah Mansor memfailkan permohonan untuk menggugurkan hakim perbicaraan, Mohamed Zaini Mazlan menjelang keputusan kes rasuah berkaitan projek tenaga solar hibrid bernilai RM1.25 bilion yang dihadapinya.

    Memetik laporan Malaysiakini, peguam kepada isteri bekas perdana menteri, Najib Razak itu memfailkan permohonan tersebut semalam bagi menangguhkan keputusan yang ditetapkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur esok.

    Mahkamah menetapkan untuk menyampaikan keputusan kes berkenaan esok, yang akan menyaksikan sama ada Rosmah dibebaskan atau disabitkan serta dijatuhkan hukuman.

    Secara kebetulan, mahkamah semalam menolak permohonan kali kedua Rosmah untuk menggugurkan bekas hakim mahkamah persekutuan Gopal Sri Ram daripada menjadi sebahagian anggota pasukan pendakwaan dalam kes solar itu.

    Ketika dihubungi hari ini, peguam belanya, Akberdin Abdul Kader mengesahkan permohonan itu difailkan semalam dan pihak pendakwaan telah dimaklumkan mengenai perkara itu.

    Menurut salinan permohonan yang difailkan di Mahkamah Tinggi (bidang kuasa jenayah) itu, Rosmah berkata dia hilang kepercayaan terhadap keupayaan hakim untuk mendengar kes tersebut berikutan kebocoran draf penghakiman baru-baru ini yang didakwa menyatakan dia bersalah dalam kes itu.

    Keupayaan hakim Zaini dipertikai

    Rosmah mendakwa dia telah membaca artikel penulis blog Raja Petra Kamarudin bertajuk ‘Rosmah Mansor will be Pronounced Guilty on 1st September 2022″ bertarikh 26 Ogos di blog Malaysia Today.

    Dia menegaskan bahawa draf penghakiman yang didakwa bocor dan tular di dalam talian itu menimbulkan persoalan sama ada Zaini boleh menjalankan tugasnya secara adil dan saksama tanpa dipengaruhi pihak ketiga.

    Rosmah juga mendakwa draf penghakiman itu yang dikatakan disediakan oleh pihak ketiga selain Zaini, menunjukkan pelanggaran Kod Etika Hakim dan Kod Etika Pegawai Kehakiman.

    Dia mendakwa kejadian itu mengundang pelbagai kritikan, persepsi dan tuduhan terhadap keupayaan, keadilan, kesaksamaan, kebijaksanaan dan integriti mahkamah untuk mengadili kes rasuah solar berkenaan.

    “Pemohon (Rosmah) berasa amat terkejut apabila mendapati kandungan artikel yang menyatakan keputusan/penghakiman kes solar telah selesai, tetapi tidak disediakan oleh Yang Arif Hakim, tetapi bagi pihak YA Hakim.

    “Pemohon dengan segala hormatnya menyatakan bahawa pendedahan penulis artikel itu menyebabkan pemohon hilang keyakinan terhadap YA Hakim untuk menjadi hakim bagi kes solar ini, apatah lagi beliau menyampaikan keputusan pada penghujung keseluruhan kes yang dijadualkan pada 1 Sept 2022,” katanya.

    Menurut senarai kausa dalam talian, permohonan itu ditetapkan untuk dikemukakan di hadapan Zaini esok.

    Mahkamah esok akan menyampaikan keputusan berhubung pertuduhan terhadap Rosmah yang didakwa meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah RM6.5 juta daripada bekas pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsuddin, melalui bekas pegawai khasnya, Rizal Mansor.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan sebagai balasan bagi membantu syarikat tersebut mendapatkan Projek Sistem Solar Bersepadu Photovoltaic (PV) dan Penyelenggaraan dan Operasi Genset / Diesel bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

  • Ahmad Zahid selesai beri keterangan selepas 17 hari bela diri kes rasuah

    Ahmad Zahid selesai beri keterangan selepas 17 hari bela diri kes rasuah

    DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini selesai memberikan keterangan setelah 17 hari membela diri terhadap kes rasuah membabitkan puluhan juta ringgit dana Yayasan Akalbdudi (YAB) yang dihadapinya.

    Ahmad Zahid, 69, memberikan keterangan bersumpah dari tempat saksi di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bermula 13 April lepas dengan menafikan segala dakwaan terhadapnya.

    Berkenaan prosiding seterusnya, peguam Hamidi Mohd Noh yang mewakili Ahmad Zahid berkata pihak pembelaan akan mengurangkan saksi pembelaan daripada 43 saksi kepada 40.

    “Pihak pembelaan akan menyediakan pernyataan saksi dan menyerahkannya kepada pendakwaan dalam tempoh 14 hari sebelum mereka memberi keterangan,” kata peguam itu.

    Hakim Sequerah: Perlu ke memanggil 40 saksi lagi?

    Hamidi: Ya Yang Arif, walaupun bilangannya mencecah 40 saksi, keterangan mereka tidak akan mengambil masa yang lama, malah kami akan mengikut jadual perbicaraan yang ditetapkan sebelum ini.

    Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran mencadangkan agar 20 saksi sahaja dipanggil memberikan keterangan.

    “Sebelum ini 43 saksi dikatakan akan dipanggil memberikan keterangan, sekarang turun kepada 40 saksi, namun ia masih dikira ramai. Jadi saya cadangkan mahkamah dapat menetapkan tarikh tambahan untuk prosiding akan datang,” katanya.

    Peguam utama Ahmad Zahid, Datuk Hisyam Teh Poh Teik kemudian berkata tarikh tambahan tidak perlu ditetapkan pada masa ini kerana saksi-saksi ini tidak akan mengambil masa terlalu lama untuk memberikan keterangan.

    Mahkamah menetapkan 40 saksi itu memberikan keterangan selama 20 hari iaitu pada 19 hingga 22 Sept, 26 hingga 29 Sept, pada Oktober iaitu 17, 18, 19, 20 dan 31 manakala November pada 1, 2, 3, 7, 8, 9 dan 10.

    Ahmad Zahid berdepan 47 pertuduhan, iaitu 12 kes pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, membabitkan puluhan juta ringgit milik dana YAB.

    — BERNAMA

  • Nafi selamatkan Bella untuk ambil alih Rumah Bonda – Saksi

    Nafi selamatkan Bella untuk ambil alih Rumah Bonda – Saksi

    SAKSI pendakwaan pertama kes pengabaian dan penganiayaan remaja Sindrom Down dikenali Bella menafikan menyuruh Ahli Jawatankuasa (AJK) Rumah Bonda supaya meletakkan jawatan.

    Memetik laporan Berita Harian, penafian dibuat pembantu pengurus syarikat swasta, Zurianty Sudin, 39, ketika pemeriksaan balas oleh peguam Nurul Hafidzah Hassan yang mewakili pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, pada perbicaraan kes itu di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini.

    Bagaimanapun, beliau mengakui ada menyebut mengenai peletakan jawatan selepas beliau ‘menyelamatkan’ Bella, namun tidak bermaksud mengarahkan mereka berbuat demikian.

    Menurutnya, beliau berhubung dengan beberapa AJK Rumah Bonda selepas diminta oleh seorang individu dikenali ‘Bubu’ untuk menjelaskan kejadian menimpa Bella.

    “Saya menerangkan kepada mereka (AJK) sekiranya mereka tidak tahu mengenai perkara ini (keadaan Bella) langsung, adalah tidak adil untuk mereka.

    “Kalau saya jadi mereka, saya akan letak jawatan. Saya tak cadangkan tapi saya bagi pendapat,” katanya.

    Dalam pada itu, Zurianty tidak bersetuju cadangan peguam bahawa tindakannya menyelamatkan Bella kerana mahu mengambil alih pengurusan Rumah Bonda.

    Disoal seorang lagi peguam Siti Bainun, Mohammad Farhan Maaruf, bahawa tindakannya menyuruh AJK Rumah Bonda meletak jawatan selepas video Bella ‘meletup’ di media sosial, Zurianty menjawab tidak setuju.

    Mengenai pertanyaan Mohammad Farhan apa kaitan Bella dengan Rumah Bonda sehingga saksi meminta AJK meletak jawatan sedangkan remaja itu tidak ditempatkan di rumah jagaan berkenaan, Zurianty menjawab tidak pernah mengaitkan Bella dengan Rumah Bonda.

    Saksi itu kemudian sekali lagi menegaskan tidak pernah mengarahkan mana-mana AJK Rumah Bonda meletak jawatan.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi bersambung 14 September depan.

  • Rasuah: Pembantu penguat kuasa dipenjara 14 hari, denda RM10,000

    Rasuah: Pembantu penguat kuasa dipenjara 14 hari, denda RM10,000

    SEORANG pembantu penguat kuasa dihukum penjara 14 hari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen, di Seremban, atas kesalahan meminta dan menerima wang rasuah daripada peniaga kedai rokok elektronik.

    Memetik laporan Berita Harian, Hakim Rushan Lutfi Mohamed menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Norhisham Saharuddin, 49, mengaku bersalah atas kesalahan yang didakwa dilakukan antara 2020 hingga 2022 itu.

    Mahkamah turut menetapkan hukuman penjara empat bulan sekiranya tertuduh gagal membayar denda berkenaan.

    Berdasarkan pertuduhan, tertuduh yang juga pembantu penguat kuasa di Majlis Daerah Rembau didakwa meminta dan menerima rasuah RM1,050 daripada peniaga kedai vape sekitar Rembau.

    Perbuatan itu sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang iaitu mengeluarkan saman kepada pemilik kedai atas kesalahan berniaga tanpa lesen.

    Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali.

  • Lelaki didakwa guna kedudukan lantik anak saudara dapatkan tender kantin

    Lelaki didakwa guna kedudukan lantik anak saudara dapatkan tender kantin

    SEORANG penolong pegawai pendidikan daerah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan dengan melantik syarikat milik anak saudaranya dalam tender kantin sebuah sekolah bernilai RM50,400.

    Tertuduh Mahalay @ Mahali Jahaya, 48, dituduh melakukan kesalahan itu melibatkan tender kantin sekolah SK Bukit Garam II, Kinabatangan dengan mengambil tindakan dalam proses pemilihan penawaran kerja untuk syarikat Damai Enterprise, yang pemiliknya adalah anak saudaranya Amiruddin Baro, 37, bagi tempoh tiga tahun bermula 1 Dis 2015 hingga 30 Nov 2018.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Pendidikan Daerah Kinabatangan pada 11 Nov 2015.

    Mahalay didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama iaitu penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Hakim Abu Bakar Manat membenarkan ikat jamin RM8,000 dengan RM4,000 didepositkan oleh seorang penjamin tempatan, dan menetapkan 7 Okt depan untuk sebutan semula.

    Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM Rekhraj Jaswant Singh.- BERNAMA

  • Mekanik didakwa bunuh teman wanita

    Mekanik didakwa bunuh teman wanita

    SEORANG mekanik didakwa di Mahkamah Majistret Klang hari ini atas pertuduhan membunuh teman wanitanya dalam kejadian pada minggu lepas.

    Tertuduh, Amirul Amin Amirruddin,19, didakwa membunuh Nurul Shahira Abdullah, 24, di sebuah rumah di Lorong Haji Mahat, Kampung Sri Pandan, di sini pukul 7.18 malam pada 24 Ogos lepas.

    Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi dan tertuduh hanya mengangguk faham ketika pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Noorjidah Mohd Jusan.

    Amirul Amin didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman mati, jika sabit kesalahan. 

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Hanis Zulkapli, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Norazihan Adnan dan Althea Suraya Rahmat.

    Mahkamah menetapkan 26 Okt ini untuk sebutan semula kes bagi serahan laporan bedah siasat, forensik dan asid deoksiribonukleik (DNA).

    Pada 25 Ogos lepas, media melaporkan seorang wanita berusia 24 tahun ditemukan mati dipercayai akibat ditekup menggunakan bantal oleh kekasihnya di sebuah rumah di Kampung Sri Pandan, Klang. – BERNAMA

  • Tiga buruh didakwa rogol remaja perempuan Orang Asli

    Tiga buruh didakwa rogol remaja perempuan Orang Asli

    TIGA lelaki Orang Asli didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini atas pertuduhan merogol seorang remaja perempuan Orang Asli berusia 14 tahun, dua minggu lepas.

    Rosli Bakar, 29, Helmat, 22, dan Murad Ahmad, 26, bagaimanapun tidak mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Shahrul Rizal Majid.

    Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga buruh kampung itu didakwa secara bersama-sama melakukan rogol berkumpulan terhadap remaja berkenaan di hutan berhampiran simpang kawasan perkuburan lama Bukit Ibam, Muadzam Shah, Rompin antara 11.15 malam, 20 Ogos hingga 7 pagi, 21 Ogos.

    Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sharifah Nurul Syuhada Tuan Mamat manakala kesemua tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Muhamad Saifuldin Ab Rahman.

    Bagaimanapun, tiada jaminan yang ditawarkan kerana kesemua tertuduh turut berhadapan pertuduhan membunuh remaja yang sama di Mahkamah Majistret Pekan semalam dan bagi tuduhan rogol itu mahkamah menetapkan 29 Sept untuk sebutan semula kes serta lantikan peguam.

    Media sebelum ini melaporkan, mayat remaja yang tidak bersekolah itu ditemukan oleh sepupunya di lereng bukit berhampiran rumahnya pada 21 Ogos dalam keadaan berdarah di tangan dan kepala.- BERNAMA

  • Pegawai kanan SSDU didakwa guna jawatan cadang lantik terus syarikat milik saudara

    Pegawai kanan SSDU didakwa guna jawatan cadang lantik terus syarikat milik saudara

    SEORANG pegawai kanan anak syarikat milik kerajaan Selangor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menggunakan jawatannya untuk mencadangkan lantikan terus sebuah syarikat bagi kontrak bernilai lebih RM1.7 juta pada Mac 2020.

    Tertuduh Mazlan Mahadi, 51, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

    Mengikut pertuduhan, Mazlan didakwa menggunakan jawatannya sebagai Pengarah Pembangunan Perniagaan di Selangor Smart Delivery Unit Innovations Sdn Bhd (SSDU Innovations) untuk mencadangkan lantikan terus kepada MMSC Ventures Sdn Bhd bagi kontrak Perkhidmatan Design, Develop, Deploy and Maintain The AWS Landing Zone dengan nilai kontrak RM1,797,865.58.

    Syarikat MMSC Ventures adalah milik saudaranya dengan tertuduh mempunyai kepentingan dan kesalahan didakwa dilakukan di pejabat SSDU Innovations di Petaling, pada 25 Mac 2020.

    Mazlan didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) Akta yang sama yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Irna Julieza Maaras dan tertuduh diwakili peguam, Datuk K. Kumaraendran dan Teh See Khoon.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM80,000 dengan seorang penjamin serta mengenakan syarat tambahan perlu melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan dan menyerahkan pasportnya. Kes akan disebut semula pada 30 Sept ini.- BERNAMA

  • TPR tarik balik surat mohon hakim utamakan kes rasuah Ahmad Zahid

    TPR tarik balik surat mohon hakim utamakan kes rasuah Ahmad Zahid

    TIMBALAN pendakwa raya (TPR) dalam perbicaraan rasuah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menarik balik surat memohon hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah mengutamakan kes mahkamah Presiden UMNO itu.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, TPR, Azmi Malik Ayob, yang juga anggota pasukan pendakwaan dalam kes Zahid, berkata perkara ini kini dianggap tamat susulan penarikan balik surat itu.

    “Oleh itu, tiada permohonan sedemikian di mahkamah. Mari kita teruskan kes ini,” katanya kepada mahkamah.

    Sequerah berkata, tiada orang boleh menentukan kes apa yang perlu diberikan keutamaan dalam mahkamah ini.

    Dalam surat itu, Malik berkata, beliau diarahkan meminta Sequerah mengutamakan perbicaraan rasuah Zahid berbanding perbicaraan 1MDB bekas perdana menteri, Najib Razak, yang turut dipengerusikan hakim itu.

    “Permintaan ini dibuat bagi memastikan perbicaraan kes (Zahid) yang di peringkat pembelaan boleh diselesaikan secepat mungkin,” menurut surat itu.

    Peguam utama Zahid, Hisyam Teh Poh Teik berkata, surat itu boleh ditafsir sebagai memberi tekanan kepada mahkamah.

    “Kami berharap perbicaraan ini boleh dikendalikan mengikut kedaulatan undang-undang,” katanya.

    Surat itu dihantar kepada setiausaha Sequerah petang semalam, dengan salinannya diberikan kepada pasukan pembelaan Zahid. Ada yang mempersoalkan kesahihan dokumen itu selepas ia tular di media sosial.

    Pendakwa Raya ad hoc untuk perbicaraan 1MDB Najib, Gopal Sri Ram ketika dihubungi berkata, beliau sudah memaklumkan Sequerah pada Khamis lalu bahawa beliau boleh memberi keutamaan kepada kes Zahid.

    “Saya memberitahu hakim bahawa kes Zahid di peringkat pembelaan, manakala Najib masih di peringkat pendakwaan,” katanya kepada FMT.

    Zahid berdepan 47 tuduhan pengubahan wang dan pecah amanah membabitkan jutaan ringgit dana Yayasan Akalbudi dan menerima rasuah atas pelbagai projek ketika beliau menjadi menteri dalam negeri.

    Bekas timbalan perdana menteri itu, yang juga saksi pembelaan pertama, sedang diperiksa balas.

    Sementara itu, Najib berdepan empat tuduhan menggunakan kedudukannya sebagai perdana menteri ketika itu untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang membabitkan jumlah sama.

  • Syarikat kitar semula didenda RM58,000 beroperasi tanpa lesen, kelulusan EIA

    Syarikat kitar semula didenda RM58,000 beroperasi tanpa lesen, kelulusan EIA

    MAHKAMAH Sesyen Butterworth, Pulau Pinang hari ini menjatuhi hukuman denda sebanyak RM58,000 terhadap pemilik sebuah syarikat kitar semula buangan terjadual kerana beroperasi tanpa lesen dan tanpa mendapat kelulusan penilaian impak alam sekitar (EIA).

    Hakim Noor Aini Yusof membuat hukuman itu selepas wakil syarikat tersebut mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dikenakan terhadap mereka.

    Syarikat terbabit didenda sebanyak RM8,000 atas pertuduhan pertama iaitu beroperasi tanpa lesen yang dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang manakala denda sebanyak RM50,000 dikenakan atas kesalahan di bawah pertuduhan tidak mendapat kelulusan EIA.

    Syarikat itu tidak mempunyai lesen dan kelulusan EIA bagi satu kawasan penstoran luar tapak di Permatang Pauh yang dijadikan lokasi buangan terjadual itu.

    Dalam pada itu, Pengarah JAS Pulau Pinang, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, syarikat yang beroperasi di Bukit Minyak tersebut mempunyai lesen sebagai premis yang ditetapkan untuk memproses buangan terjadual.

    Bagaimanapun katanya, syarikat itu tidak mempunyai lesen dan kelulusan EIA bagi satu kawasan penstoran luar tapak di Permatang Pauh yang dijadikan lokasi buangan terjadual itu.

    Syarikat terbabit didenda sebanyak RM8,000 atas pertuduhan pertama iaitu beroperasi tanpa lesen yang dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang

    “Semua premis atau lokasi yang digunakan untuk aktiviti melibatkan buangan terjadual termasuk penstoran perlu mendapatkan kelulusan EIA di bawah Seksyen 34A (6), Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 terlebih dahulu.

    “Kemudian, mereka perlu memperolehi lesen di bawah Seksyen 18, Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 sebelum boleh beroperasi,” katanya.