Category: Mahkamah

  • Pemilik syarikat didakwa palsukan dokumen program PenjanaKerjaya

    Pemilik syarikat didakwa palsukan dokumen program PenjanaKerjaya

    PEMILIK sebuah syarikat didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini atas dua pertuduhan memalsukan borang pendaftaran pekerja di bawah Program Insentif Pengambilan Pekerja (PenjanaKerjaya) 1.0, dua tahun lalu.

    Tertuduh, Ezza Suria Muda, 37, yang merupakan Pemilik Syarikat ESM Suria Enterprise mengaku tidak bersalah setelah pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan hakim Dazuki Ali.

    Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada November 2020 di Akademi Binaan Wilayah Timur, Hulu Terengganu, lapor Harian Metro.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memalsukan satu dokumen iaitu borang pendaftaran pekerja dibawah Peraturan-Peraturan (AM) Keselamatan Sosial Pekerja 1971 (Peraturan 10,12 dan 12 A) pendaftaran bertarikh 3 November dan 23 November 2020.

    Dengan itu, tertuduh didakwa melakukan di bawah Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda.

    Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM10,000 oleh seorang penjamin selain pasport diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta dikehandaki melaporkan diri ke pejabat SPRM berdekatan setiap bulan.

    Mahkamah turut menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 18 Oktober depan.

    Kes tersebut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Yasmin Salleh manakala tertuduh diwakili peguam, Datuk Syed Azimal Amir.

    Difahamkan, kes berkenaan merupakan kes pertama didakwa susulan siasatan dijalankan SPRM dan Perkeso sebelum ini.

    Sebelum ini, SPRM dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) melancarkan Ops Hire bagi menyiasat isu tuntutan palsu dan penyelewengan dana insentif Program Penjana Kerjaya (PenjanaKerjaya) di beberapa negeri.

    Program PenjanaKerjaya antara inisiatif kerajaan bagi membantu majikan dan pekerja semasa mendepani cabaran Covid-19 bermula awal 2020.

    Perkeso sebelum ini turut menggantung bayaran insentif PenjanaKerjaya sebanyak RM423 juta susulan terdapat penyelewengan dan tuntutan palsu membabitkan pihak majikan dan penyedia latihan.

  • Suri rumah didakwa buat laporan palsu anak dipukul warden madrasah

    Suri rumah didakwa buat laporan palsu anak dipukul warden madrasah

    SEORANG suri rumah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini atas tuduhan membuat laporan polis palsu berhubung sebuah pertubuhan kebajikan milik badan bukan kerajaan (NGO) pada 21 Ogos lalu.

    Tertuduh, Zuraina Zamri, 45, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali.

    Mengikut kertas pertuduhan, Zuraina didakwa membuat laporan dengan memberikan maklumat secara bertulis yang diketahuinya palsu.

    Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 12.45 tengah malam di Balai Polis Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam, pada 21 Ogos.

    Justeru dia didakwa melakukan satu kesalahan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan, lapor Harian Metro.

    Timbalan Pendakwa Raya, Elyza Amira Habeeb Rahman menawarkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin kepada tertuduh.

    Peguam mewakili tertuduh, Datuk Wan Azmir Wan Majid bagaimanapun memohon jaminan dikurangkan kerana Zuraina adalah suri rumah dan suaminya berpendapatan bulanan RM3,000.

    Majistret kemudian menetapkan jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin selain turut berharap agar tertuduh tidak mengeluarkan kenyataan media yang boleh mengganggu kes dan perbicaraan yang adil.

    Zuraina Zamri mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membuat laporan polis palsu mengenai dakwaan anaknya didera ala militan di sebuah Madrasah di Shah Alam selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Sebutan semula kes ditetapkan pada 15 November depan.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, pada 21 Ogos lalu, wanita berkenaan membuat laporan anaknya yang berusia 20 tahun yang menghuni madrasah dipukul, ditumbuk dan kepala diketuk oleh warden serta mahu dia mengeluarkan anaknya daripada tempat itu.

    “Hasil siasatan polis mendapati, anak pengadu dihantar ke Madrasah Darussolihin selama empat bulan bagi menjalani rawatan pemulihan ketagihan dadah.

    “Pada 23 Ogos lalu, anak wanita berkenaan membuat laporan polis menyatakan dia tidak dipukul pihak madrasah bagaimanapun, pada 25 September, pemuda itu sekali lagi membuat laporan polis mengatakan dipukul.

    “Pemeriksaan lanjut dibuat terhadap mangsa di Hospital Shah Alam dan mendapati tiada sebarang kecederaan pada mangsa,” katanya.

  • Juruteknik dipenjara 5 tahun kerana merompak, menyamar polis

    Juruteknik dipenjara 5 tahun kerana merompak, menyamar polis

    SEORANG lelaki dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini, kerana merompak warga Bangladesh dan menyamar sebagai polis.

    Keputusan itu dibuat Hakim Nooriah Osman selepas tertuduh, Saiful Ridzuan Ibrahim, 31, mengaku salah terhadap kedua-dua pertuduhan berkenaan, lapor Berita Harian.

    Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merompak wang tunai RM150 milik lelaki warga Bangladesh berusia 32 tahun di tepi jalan, Jalan Kuala Berang, Kampung Binjai Rendah, Kuala Terenganu, jam 8 pagi, 6 September lalu.

    Tertuduh turut berdepan satu lagi pertuduhan iaitu menyamar sebagai penjawat awam iaitu anggota polis dengan cara menahan dan menyuruh mangsa menaiki kenderaan di tepi jalan, Jalan Pejabat di Kuala Terengganu, pukul 7.30 pagi, pada hari sama.

    Bagi kesalahan merompak, tertuduh yang bekerja sebagai juruteknik didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan (KK) dijatuhi hukuman penjara lima tahun.

    Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 170 KK kerana menyamar sebagai penjawat awam dijatuhi hukuman penjara enam bulan.

    Bagaimanapun, mahkamah mengarahkan hukuman penjara berjalan serentak bermula dari tarikh tertuduh ditahan iaitu pada 22 September lalu.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hanis Nabihah Hizamul-Din manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

  • RM90.89 juta masuk akaun peribadi Najib – Saksi

    RM90.89 juta masuk akaun peribadi Najib – Saksi

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu, sejumlah RM90.89 juta dimasukkan ke dalam akaun peribadi AmIslamic Bank milik Datuk Seri Najib Razak melalui dua transaksi pada Oktober dan November 2012.

    Berita Harian melaporkan, perkara itu dinyatakan saksi ke-37 pendakwaan yang juga Pengurus Cawangan Ambank (M) Berhad Jalan Raja Chulan, R Uma Devi, ketika beliau dirujuk penyata akaun bekas Perdana Menteri itu membabitkan akaun peribadinya yang berakhir dengan nombor 694.

    Uma Devi yang membacakan penyataan saksinya berkata, kedua-dua transaksi terbabit adalah kemasukan wang RM15,149,963.64 yang direkodkan pada 31 Oktober dan RM75,749,963.64 pada 20 November 2012.

    Beliau berkata demikian pada sesi pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Najwa Bistamam, pada perbicaraan kes rasuah serta pengubahan wang haram membabitkan dana RM2.3 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi Najib.

    Dalam penyataan pembukaan pada 2019, Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata, Najib yang bertindak melalui ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, mengambil langkah positif dan menyebabkan 1MDB terbabit dalam dua transaksi di mana tertuduh didakwa memperoleh sejumlah RM90,899,927.28.

    Transaksi itu adalah berkaitan perkara dalam pertuduhan kedua yang dihadapi oleh Najib, membabitkan pengambilalihan aset dengan nilai yang diragui oleh 1MDB.

  • Bicara kes gangguan seksual Ebit Lew esok

    Bicara kes gangguan seksual Ebit Lew esok

    PERBICARAAN kes pendakwah Ebit Irawan Ibrahim Lew atau Ebit Lew melibatkan gangguan seksual akan bermula esok hingga 30 Sept di Mahkamah Majistret Tenom.

    Lew, 37, menghadapi 11 pertuduhan, antaranya didakwa mengaibkan kehormatan seorang wanita berumur 41 tahun dengan menghantar perkataan lucah ke nombor telefon mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac dan Jun tahun lepas.

    Dia dituduh melakukan perbuatan itu mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

    Majistret Nur Asyraf Zolhani akan mendengar kes itu manakala pendakwaan akan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Azreen Yas Mohammad Ramli dan Adibah Saiful Bahari.

    Barisan peguam Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki, Timothy Daut, Kimberly Ye Wanchuin dan Chen Wen Jye akan mewakili Lew.

    Pada Februari lepas, Lew mengaku tidak bersalah atas 11 pertuduhan berkaitan gangguan seksual dan dibebaskan dengan jaminan RM1,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua penjamin.

    Tenom merupakan sebuah daerah di pedalaman Sabah terletak kira-kira 145 kilometer arah selatan dari Kota Kinabalu.- BERNAMA

  • Lapan individu tidak mengaku salah, salah guna kad petrol PDRM

    Lapan individu tidak mengaku salah, salah guna kad petrol PDRM

    LAPAN bekas pekerja di sebuah stesen minyak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kemaman hari ini atas dakwaan menyalahgunakan kad petrol milik Polis Diraja Malaysia (PDRM).

    Tertuduh Mohamad Amirul Izzat Mohamad, Md. Nazrul Khusairi Mohamad Ros, Muhamad Ikhwan Ruslan, Muhamad Aidil Mohd. Kamal, Muhamad Khairi Fakhri Abd. Karim, Khairul Fadhli Bahar, Abdullah Hassani Basri dan Iskandar Zulkarnain Adenan yang berusia lingkungan 23 hingga 32 tahun didakwa melakukan kesalahan itu ketika bekerja sebagai pembantu pam minyak di sebuah stesen minyak di Kemaman pada 2017.

    Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman minimum enam bulan penjara, maksimum lima tahun penjara dan dikenakan sebatan dan denda, jika sabit kesalahan, lapor Sinar Harian.

    Semua tertuduh membuat pengakuan tidak bersalah setelah 45 pertuduhan ke atas mereka dibacakan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Azhani Azman dihadapan Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman.

    Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dalam mencapai niat secara curang dan tidak jujur menggunakan kad inden milik PDRM bernilai antara RM50 hingga RM830.05 antara pukul 7 pagi hingga 3 petang pada Oktober hingga Disember 2017.

    Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin antara RM5,500 hingga RM30,500 setiap seorang dan menetapkan sebutan semula kes pada 7 November depan.

    Difahamkan kesemua tertuduh berdepan 138 lagi pertuduhan menjadikan keseluruhan 183 pertuduhan yang didakwa melibatkan kesalahan dibawah seksyen yang sama.

    Kesemua tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

  • Dua rakan didakwa tipu skim perumahan, pelaburan babitkan RM326,500

    Dua rakan didakwa tipu skim perumahan, pelaburan babitkan RM326,500

    DUA rakan didakwa di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan menipu seorang ahli perniagaan berhubung skim perumahan dan pelaburan membabitkan kerugian RM326,500, dua tahun lepas.

    Rozma Yunus, 53, dan A. Rajeswary, 30, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.

    Kedua-dua wanita itu didakwa menipu Mohd Rafidy Yaacob, 51, dengan cara memperdayakan mangsa dalam skim perumahan dan pelaburan yang tidak wujud, sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang berjumlah RM326,500 secara pembayaran tunai dan pindahan wang ke akaun Maybank atas nama syarikat RC Developer Resources milik mereka.

    Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Wisma Genting, Jalan Sultan Ismail di Kuala Lumpur, pada 13 Jan dan 20 April 2020.

    Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dan dengan sebat dan juga boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

    Hakim membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM30,000 setiap seorang dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali sehingga kes selesai dan menetapkan 28 Okt ini untuk sebutan semula kes.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ngoh Jess Lynn dan Rajeswari diwakili peguam G. Alexander, manakala Rozma tidak diwakili peguam.

  • Juruteknik mengaku tidak bersalah pecah rumah, larikan kereta

    Juruteknik mengaku tidak bersalah pecah rumah, larikan kereta

    SEORANG juruteknik didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban, hari ini di atas dua pertuduhan melakukan pecah rumah dan melarikan kenderaan di sekitar Port Dickson pada 14 September lalu.

    Tertuduh, Chong Kek Wui, 39, mengaku tidak bersalah pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Diana Md. Razali, lapor Harian Metro.

    Mengikut kertas pertuduhan, Chong didakwa melakukan pecah rumah ke atas sebuah rumah kediaman dengan niat untuk mencuri cincin berbatu jade warna hijau dan jam tangan jenama Omega.

    Kesalahan itu dilakukan di Kampung Lukut Kecil Batu 3 1/2 Jalan Seremban, Port Dickson lebih kurang pukul 2.20 hingga 5 petang, 14 September lalu.

    Tertuduh yang juga bapa kepada dua anak itu didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun jika sabit kesalahan dan boleh dikenakan denda atau sebat jika kesalahan kali kedua atau lebih.

    Tertuduh sebelum ini pernah disabitkan dan dihukum oleh Mahkamah Majistret Seremban atas pertuduhan di bawah seksyen yang sama, maka dia tertakluk kepada pemberatan di bawah Seksyen 75 kanun yang sama.

    Manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mencuri kereta Toyota Vios iaitu kesalahan yang boleh didakwa di bawah Seksyen 379A(1) Kanun Keseksaan.

    Kesalahan itu dilakukan di lokasi dan masa yang sama.

    Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara minimum satu tahun dan maksimum tujuh tahun serta boleh dikenakan denda.

    Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Zulfikri Mohd Nasir manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Tertuduh dalam rayuannya memohon mahkamah memberikan jaminan yang rendah berikutan perlu menanggung dua anak selain penanggung tunggal dalam keluarga.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu perlu melapor diri di balai polis berdekatan pada setiap hari Sabtu minggu pertama.

    Kes akan disebut semula pada 25 Oktober depan.

  • Pelayan restoran mengaku tidak bersalah lakukan amang seksual fizikal

    Pelayan restoran mengaku tidak bersalah lakukan amang seksual fizikal

    SEORANG pelayan restoran warga India mangaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Melaka, hari ini, atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun.

    Tertuduh, Sunil Kumar, 35, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

    Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan cara meraba punggung seorang kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun di Tingkat 9, The Shore Residences, Jalan Persisiran Bunga Raya pukul 3.30 petang 12 September lalu.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan hukuman sebat, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, N. Sivashangari manakala tertuduh diwakili peguam Pang Wan Si memohon jaminan rendah RM3,000 dengan alasan tertuduh hanya berpendapatan RM1,500 sebulan, lapor Sinar Harian.

    Bagaimanapun, rayuan itu ditolak Nariman kerana kerana permit kerja tertuduh tamat pada 18 September lalu dan perlu mengemukakan bukti telah memperbaharui permit kerja dikeluarkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

    Mahkamah mengarahkan pihak pembelaan mengemukakan rekod pergerakan keluar masuk tertuduh selain status permohonan lanjutan kerja yang perlu dikemukakan dalam tempoh dua minggu.

    Selain itu mahkamah menetapkan 17 Oktober depan sebagai sebutan semula kes.

  • Lelaki bebas tuduhan seksual fizikal terhadap kanak-kanak

    Lelaki bebas tuduhan seksual fizikal terhadap kanak-kanak

    SEORANG bekas penghantar makanan dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di Putrajaya atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun.

    Hakim Datin M. Kunasundary membebaskan Mohamad Shahril Abu Hanifa di akhir kes pendakwaan tanpa mengarahkan membela diri selepas memutuskan pihak pendakwaan gagal untuk membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

    Dalam keputusannya beliau berkata, keterangan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan menunjukkan mangsa tidak mengenali pelaku dan tiada siasatan menyeluruh oleh pegawai penyiasat.

    Mohamad Shahril, 42, dituduh melakukan kesalahan itu di Presint 15, Putrajaya pada 6.30 petang, 7 Jun 2020.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 yang jika sabit kesalahan, boleh dipenjara hingga 20 tahun dan sebatan.

    Mohamad Shahril diwakili peguam Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan Vivi Aznita Zaina’ Larifin manakala Timbalan Pendakwa Raya Julaila Jamaludin bagi pihak pendakwaan.